Ads Powered By ClixSense


Monday, December 20, 2010

PRU 13 tidak akan diadakan Mac depan

JOHOR BAHRU 19 Dis. - Pilihan Raya Umum ke-13 tidak akan diadakan pada Mac tahun depan seperti yang diuar-uarkan oleh pakatan pembangkang.
Ahli Parlimen Johor Bahru, Datuk Seri Shahrir Abdul Samad yakin, pilihan raya tersebut akan diadakan dalam tempoh enam bulan ke atas berdasarkan perubahan dasar yang dibawa oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Malah katanya, beliau merasakan Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu, masih giat berusaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada semua rakyat melalui dasar-dasar yang dilakukan termasuk faktor ekonomi dan sosialnya.
"Ini ramalan saya, bukan ramalan presiden parti. Saya rasa Perdana Menteri kita masih hendak membawa hasil daripada dasar-dasar barunya.
"Pilihan raya tidak akan diadakan pada Mac seperti yang diramalkan oleh pihak pembangkang. Malah saya rasa lebih daripada enam bulan iaitu Jun atau lebih.
"Rakyat jangan terpedaya dengan ramalan yang dibuat oleh pihak pakatan pembangkang tentang pilihan raya itu. Mereka terlalu suka meramal sehingga lupa pada tugas membantu masyarakat," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Kesihatan Menjamin Keluarga Bahagia anjuran Biro Kebajikan Wanita UMNO Bahagian Johor Bahru di sini hari ini.
Sehubungan itu, Shahrir mengesa, pakatan pembangkang menghentikan sebarang provokasi berkenaan pilihan raya umum itu dan memberi fokus sepenuhnya kepada peranan mereka untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
"Apa yang berlaku kini, kita lihat bahawa mereka lebih tertarik kepada ramalan pilihan raya dan politik sehingga melupakan tugas diamanahkan rakyat iaitu menjadi wakil suara setempat.
"Malah, mereka juga beranggapan penangguhan pemilihan yang dibuat oleh komponen BN adalah satu mesej untuk pilihan raya diadakan dalam tempoh terdekat. Ternyata mereka tersalah tafsir isu penangguhan tersebut," katanya lagi.
Ditanya berkenaan tindakan beberapa wakil rakyat pembangkang menimbulkan kekecohan di Dewan Rakyat baru-baru ini, Shahrir berkata, kejadian tersebut adalah satu perkara yang dirancang, berniat jahat dan tindakan tidak tidak matang.
Shahrir berkata, tindakan tersebut adalah sebahagian taktik pembangkang untuk mewujudkan suasana kucar kacir dan mengelirukan semua pihak.
"Ia suatu yang dirancang kerana mereka boleh berdiri sambil memegang kad kertas yang siap tertulis perkataan. Kalau ia spontan, mereka mungkin hanya akan berbalas mulut sahaja," katanya.

No comments:

Post a Comment

Ads


Followers