Ads Powered By ClixSense


Saranan Salleh Majid

Transformasi atau pakej rangsangan ekonomi?
25/09/2010

DI sebalik kehangatan kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya, rakyat Malaysia dialihkan seketika minggu ini dengan topik yang tidak kurang hangatnya iaitu Program Transformasi Ekonomi (ETP).
Perkara ini mendapat lebih tumpuan semua pihak kerana dicanang sebagai pelan drastik membawa ekonomi Malaysia untuk tempoh 10 tahun akan datang, seterusnya mencapai status negara maju menjelang 2020.
Penjelasan yang dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala di hadapan 3,000 peserta pelbagai kaum menyatakan bahawa ETP menerusi 12 bidang utama ekonomi nasional telah mengenal pasti 131 pintu masuk projek untuk menghasilkan AS$444 bilion (RM1.4 trilion) yang diperlukan dari sektor swasta untuk mentransformasikan negara menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.
Unit Penyampaian dan Pengurusan Prestasi (Pemandu) yang bertanggungjawab membantu Idris memperincikan sumber pelaburan RM1.4 trilion tersebut untuk tempoh 10 tahun akan datang dari pecahan sebanyak 60 peratus pelaburan sektor swasta, 32 peratus syarikat-syarikat kerajaan (GLC) dan kerajaan sebanyak lapan peratus.
Melalui ETP nanti, kita dijanjikan dengan peningkatan Pendapatan Kasar Nasional (GNI) sebanyak tiga kali ganda dari RM660 bilion pada 2009 kepada RM1.7 trilion pada 2020. Kesannya dijangka membawa pendapatan per kapita GNI dari RM20,770 (AS$6,700) kepada sekurang-kurangnya RM46,500 (AS$15,000) seperti digariskan Bank Dunia sebagai status pendapatan tinggi.
Kesemua sumber pelaburan swasta itu merentasi 12 bidang ekonomi iaitu tenaga, minyak dan gas, kelapa sawit, perkhidmatan kewangan, pelancongan, perkhidmatan perniagaan, elektrik dan elektronik, pemborong dan peruncitan, pendidikan, kesihatan komunikasi dan infrastruktur, pertanian dan Greater Kuala Lumpur.
Memang menarik idea-idea tersebut seperti mana kita pernah mendengar projek koridor, program kluster BCIC-2 dan macam-macam seumpamanya dengan pemimpin-pemimpin sebelum ini tetapi akhirnya langsung tidak memberi kesan yang besar dan mendalam terutama rakyat jelata.
Sebagai rakyat, kita memang menyokong apa juga usaha untuk memaju dan memakmurkan negara. Cuma kita perlu memastikan keberkesanan pelaksanaan sesuatu dasar bagi mengelakkan kegagalan.
Malah jika tersilap langkah, perjalanannya akan menjadi ‘ibarat pisau makan tuan’ kepada kerajaan yang memerintah apabila rakyat marhaen merasakan mereka tidak sama sekali merasai nikmatnya hingga kerajaan dituduh dengan pelbagai anggapan negatif sekali gus membawa keruntuhan politik seperti PRU-12.
Peluang mendengar cakap-cakap hadirin yang hadir dalam taklimat ETP dan peminat-peminat ekonomi mengulas dalam pelbagai sumber media mungkin memberikan kita semua respons sebenar tentang kesamaran dan tahap keyakinan masyarakat umum terhadap idea ETP.
Antaranya ialah definisi penglibatan sebenar pihak swasta dan pelaburan yang tiba-tiba melonjak kepada RM1.4 trilion pada 2020, sedangkan dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini, Malaysia mencatatkan keseluruhan pelaburan swasta sebanyak RM535 bilion.
Persoalan yang dirungutkan ialah apakah benar-benar pihak swasta akan memainkan peranan utama dengan sejumlah pelaburan tersebut untuk jangka masa 10 tahun akan datang dan siapakah mereka itu?
Bagi sesetengah penganalisis, lawak tersebut pernah dicetuskan dalam projek koridor dan beberapa transformasi kepimpinan terdahulu tetapi akhirnya pihak kerajaan juga lebih memainkan peranan berbanding sektor swasta.
Akhirnya hanya GLC yang bertungkus-lumus membangunkan koridor hingga ada yang mengalami kerugian besar dalam keseluruhan projek dalam dan luar negara. Apakah penglibatan GLC ini sebagai sektor swasta tulen ataupun akhirnya menjadi sebahagian besar sumber pelaburan adalah dari kerajaan?
Cakap-cakap juga memberi contoh cadangan membangunkan pangkalan udara Sungei Besi menggunakan Dana Pembangunan 1Malaysia Bhd (1MDB) yang dijamin oleh kerajaan untuk memperoleh dana daripada bank. Apakah ini juga GLC atau swasta sepenuhnya?
Pelbagai projek mega ini dikatakan oleh Datuk Nazir Razak sebagai pencetus ekonomi besar melalui 12 bidang utama. Oleh kerana projek mega, maka sudah pasti yang terlibat juga syarikat swasta gergasi. Tidak ada masalah!
Cuma apakah pula langkah untuk memastikan keseimbangan peluang ekonomi diberikan kepada syarikat gergasi yang telah lama bertapak dan telah lama membolot habuan, dengan usahawan-usahawan baru untuk memasuki saingan dalam saiz seimbang?
Begitu juga pembangunan hartanah yang begitu besar yang mensasarkan pembinaan begitu banyak bangunan pencakar langit dalam tempoh sembilan tahun akan datang. Keraguan tercetus disebabkan suasana penawaran hartanah seumpama itu pada masa kini pun sedang berdepan dengan kemelut besar yang tidak dapat dijual.
Projek Sentral misalnya sedang berdepan dengan masalah penyewa sehingga memaksa GLC menempatkan pejabat mereka di situ bagi mengelakkan kerugian yang lebih besar.
Hasrat ETP adalah memajukan rakyat dan negara. Mungkin juga untuk menandingi daya saingan ekonomi dan pelaburan dunia terutama negara jiran dalam rantau Asia Tenggara. Jika kita ingin bersetuju dengan ETP, kerajaan juga harus bersetuju melaksanakan transformasi pelbagai peringkat yang sepatutnya menjadi penggerak, bukan hanya ETP tetapi juga pencapaian matlamat negara maju.
Antaranya ialah kualiti pembangunan modal insan iaitu dalam pendidikan dan kualiti kemahiran. Maka reformasi pendidikan tinggi juga perlu berubah untuk melahirkan keupayaan dan kemahiran membina negara atas usaha ini. Mutu pendidikan mesti berubah segera dan mengekalkan tenaga pekerja mahir yang semakin berhijrah ke luar negara hingga membawa pengaliran keluar modal kepakaran.
Banyak aspek infrastruktur negara yang menjadi penghalang minat pelaburan dipertingkatkan dan tersenarai dalam ETP. Contoh jelas ialah soal pengaliran trafik jalan raya yang masih sesak yang merugikan masa perjalanan dan pergerakan pengangkutan niaga.
Begitu juga kemudahan awam seperti pasar-pasar borong, gerai-gerai makan di bandar raya seperti Kuala Lumpur yang masih menjijikkan. Malah kerenah birokrasi yang masih belum benar-benar mengalami transformasi untuk menyokong usaha menarik pelaburan swasta jika ETP hendak dilaksanakan.
Tanpa memperkecilkan ETP, mesej yang hendak kita sampaikan ialah transformasi yang seimbang antara ETP dan kesediaan rakyat dan negara mencapai misi tersebut. Kuncinya ialah keseimbangan transformasi secara total untuk menghasilkan kemajuan yang berdaya tahan, berdaya maju dan berdaya saing. Dalam erti kata lain ialah perlunya melibatkan transformasi institusi juga.
Apakah pelaburan RM1.4 trilion ini akan membawa keajaiban baru dalam masa 10 tahun akan datang? Mungkin tidak mustahil jika ETP digerakkan dengan penuh cermat, tegas, berhati-hati dan berhemah. Jika tidak, gagasan ini bertukar menjadi gimik dan bahan lawak rakyat hingga memberi kesan serius kepada perubahan landskap politik negara. Harapan kita ialah melihat kejayaan supaya ETP benar-benar satu transformasi ekonomi dan bukannya strategi ekonomi yang tidak ubah seperti pakej rangsangan ekonomi.
DATO’ SALLEH MAJID ialah bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia)

 

Data lapuk penghutang ‘bunuh’ usahawan
18/09/2010

DALAM berniaga, meminjam modal daripada institusi kewangan seperti bank adalah suatu perkara biasa dan wajib terutama bila perniagaan kian berkembang.
Risiko perniagaan yang membawa kepada kegagalan membayar hutang adalah sesuatu yang amat ditakuti kecuali kepada mereka yang memang berniat untuk tidak mahu membayar hutang.
Kali ini, saya lebih berminat untuk membincangkan isu usahawan yang telah membayar hutang tetapi pihak bank masih menyenaraikan hutang lama dalam skrin komputer. Ini menyukarkan usahawan untuk mendapatkan kemudahan pembiayaan baru.
Apa yang aneh ialah semua pihak yang pandai menyenaraikan hutang tersebut di dalam senarai penghutang tetapi tidak tahu pula memadamkan rekod tersebut apabila si penghutang telah melangsaikan hutang mereka.
Saya membuat sedikit kajian terhadap ramai usahawan yang menerima nasib malang ini setelah mendengar luahan rasa tidak puas hati usahawan tulen dalam beberapa siri dialog anjuran pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat-syarikat kewangan baru-baru ini.
Dalam kajian tersebut antara rasa tidak puas hati mereka ialah :
Pertama, tiada satu badan penyelaras data penghutang terkini yang menjadi badan induk mengenai status hutang peminjam yang sudah dilangsaikan.
Walaupun ada Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) di bawah Bank Negara, fungsi data berkenaan lebih kepada penyenaraian aliran bayaran terutama hutang berjadual semata-mata.
Akibatnya, setiap bank menggunakan pelbagai saluran data masing-masing seperti CTOS dan iklan kebankrapan oleh akhbar tempatan. Lebih malang, kadangkala hutang lunas dalam bank mereka sendiri pun tidak dikemaskini menyebabkan sesama cawangan masih terkeliru.
Kedua, bank masih menggunakan rekod lama kononnya sebagai analisis sejarah kewangan usahawan untuk menolak sebarang permohonan pembiayaan pinjaman baru walaupun semua hutang telah dilunaskan sepuluh tahun lalu.
Kesannya ialah usahawan tulen ini tidak diiktiraf layak oleh bank sebagai peluang kedua walaupun rekod perniagaan dan kewangan terkini menyatakan kedudukan kewangan yang kukuh.
Ketiga, pengurusan sebaran rasmi melibatkan Jabatan Insolvensi dan pihak berkaitan tidak efisien yang memaksa usahawan yang telah dibebaskan mahkamah sebagai bankrap terpaksa mengharung sendiri setiap bank membawa surat pelepasan.
Amat memeritkan, perjalanan mereka yang ditahan imigresen sebelum ini masih mempunyai rekod orang bankrap, sedangkan mereka sudah diisytiharkan bebas bankrap.
Persoalannya, apakah surat rasmi daripada Jabatan Insolvensi tidak diberikan pengiktirafan oleh institusi-institusi kewangan yang berkenaan.
Bila wujud persoalan-persoalan di atas, mampukah usahawan tulen yang berpotensi menjadi usahawan berjaya diberi peluang kedua selepas melunaskan hutang?
Perkara ini harus diberi perhatian kerana kerajaan pada Mac lalu pernah menyatakan hasrat untuk membantu usahawan tulen untuk bangun semula kerana pengalaman mereka ini, sedikit sebanyak mampu menyumbang kepada ekonomi negara.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin ketika merasmikan Karnival Usahawan Desa 2010 di Bukit Jalil pada Mac lalu memberi jaminan tersebut dengan menyatakan hasrat kerajaan mengkaji Akta Kebankrapan 1967 yang mungkin sudah tidak sesuai masa kini.
Meminjam kata-kata beliau pada masa itu iaitu once a bankrupt, always a bankrupt memberi maksud bahawa tidak semestinya orang bankrap, maka mereka mesti bankrap selama-lamanya. Namun hakikatnya inilah yang berlaku. Situasi ini sangat tidak adil kepada mereka yang telah berusaha melunaskan hutang mereka.
Pihak yang bertanggungjawab dengan pengurusan data penghutang ini sewajarnya melihat bahawa usahawan berkenaan pernah berdepan dengan masalah kewangan atau gagal dalam perniagaan suatu ketika dahulu mungkin disebabkan oleh faktor luaran dan bukannya kelemahan pengurusan usahawan itu semata-mata.
Contohnya, saya sering mendengar isu usahawan yang mendapat projek kerajaan berdepan masalah kerenah birokrasi hingga menyukarkan aliran tunai mereka dan membawa kepada kemusnahan perniagaan. Ramai juga yang nekad bangun semula dan melunaskan hutang mereka.
Kajian saya mendengar rintihan usahawan ialah kerja yang paling membosankan ialah membawa surat pelepasan hutang dan bankrap kepada setiap bank satu per satu kerana setiap bank mempunyai sistem rekod yang berbeza.
Begitu juga sistem CTOS yang pandai menyebarkan maklumat hutang individu untuk membuat keuntungan tetapi gagal mendapatkan maklumat terkini hutang yang dilunaskan.
Seorang usahawan pula terpaksa membawa surat pelepasan bankrap Jabatan Insolvensi setiap kali hendak ke luar negara walaupun sudah lama dilepaskan bankrap.
Menurut jutawan tersebut, pernah terjadi beliau terkandas berjam-jam kerana imigresen masih mempunyai rekod status beliau sebagai masih bankrap.
Atas kesilapan data berkenaan beliau dibenarkan ke luar negara tetapi dinasihati membawa surat pelepasan imigresen setiap kali berurusan dengan imigresen.
Apa yang pasti, sistem data penghutang yang seolah-olah memberi cop mohor untuk melabelkan penghutang sebagai bermasalah akan terus menjerut usahawan tulen mendapatkan pembiayaan sewajarnya.
Namun pelik dan lucu, mereka yang telah dilepaskan bankrap ini digalakkan menyimpan duit dan membuka akaun sebanyak mungkin di bank yang kadangkala mencecah berjuta ringgit. Cuma yang tidak boleh ialah meminjam lagi daripada bank walaupun satu sen!
Adakah institusi kewangan akan sealiran dengan kerajaan yang mahu memberi peluang kedua kepada usahawan yang disenarai hitam dan bankrap? Sedangkan mereka yang sudah dilepaskan bankrap dan melunas hutang pun masih berada dalam lingkungan usahawan malang kepada bank?

 

Memupuk minat sektor pertanian
28/08/2010

JARANG sekali isu penglibatan tenaga muda warganegara Malaysia dalam sektor pertanian dibincangkan secara serius di Malaysia. Mungkin faktor persepsi masyarakat terhadap bidang pertanian yang masih rendah menjadikan forum seumpama ini hanya dibincangkan sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan peringkat kebangsaan yang diraikan setahun sekali.
Oleh itu, diskusi tersebut hanya berlaku setahun sekali dan kadang-kadang berakhir tanpa tindakan susulan. Selepas mengupas prestasi pertumbuhan ekonomi negara bagi suku penggal kedua 2010, saya menerima dua respons yang menarik iaitu isu tanah-tanah Melayu di kampung-kampung yang semakin banyak dipajak oleh tauke-tauke Cina untuk tempoh panjang hingga menyukarkan waris kerana mereka mempunyai perjanjian dengan pemilik asal yang kadangkala tidak boleh disentuh oleh generasi pewaris.
Dalam isu kedua pula membabitkan keresahan juruteknik-juruteknik pertanian sama ada di sektor swasta dan kerajaan yang ketandusan pekerja hands-on kerana rata-rata IPTA dan IPTS tidak lagi memberi tumpuan kepada golongan juruteknik yang menjadi nadi tenaga kerja sektor pertanian sama ada di peringkat kerajaan, mahupun swasta.
Walaupun dalam televisyen, saya hanya mengupas punca kadar pertumbuhan pertanian yang sangat perlahan dalam suku kedua tahun ini, respons penonton yang saya terima menarik minat saya kerana mereka mengaitkan kegagalan kita menarik minat generasi muda untuk melihat sektor pertanian sebagai kerjaya yang lumayan.
Hakikatnya, golongan inilah yang menjadi nadi pertanian kerana tenaga muda memiliki kreativiti dan inovasi yang diperlukan dalam pengeluaran pertanian moden. Semua ciri itu ada pada orang muda dan jika kerajaan ingin melonjakkan sektor pertanian, golongan inilah yang mesti menjadi sasaran utama.
Justeru, pembangunan sumber manusia muda secara fokus dalam pertanian perlu diberi perhatian semua pihak. Contohnya, Taiwan mempunyai tahap ilmu pengetahuan pengeluaran pertanian yang lebih tinggi serta mampu menjadikan para petaninya meraih pendapatan tinggi. Walaupun setiap tahun ribut taufan tropika melanda negara itu pada bulan September, namun ia tidak menjejaskan pengeluaran beras negara kerana teknologi pertaniannya yang berkesan.
Jika keadaan itu berlaku di Malaysia, kita yakin generasi muda akan berduyun-duyun memasuki sektor ini. Apa yang menghairankan kita ke manakah ribuan graduan dari institusi pendidikan dan latihan pertanian yang sepatutnya menceburi sektor ini?
Ikon pendidikan dan latihan pertanian di Malaysia yang agak popular adalah Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Kolej Pertanian Malaysia (KPM). Manakala bagi institusi latihan pertanian swasta, ikon yang mula popular adalah pusat latihan pertanian swasta di Melaka yang turut mempunyai beberapa cawangan termasuk Sabah. Walaupun mereka tidak gah seperti UPM dan KPM, ada banyak aspek strategi latihan pertanian serta kejayaan melahirkan usahawan dan tenaga kerja pertanian yang boleh dijadikan iktibar.
Saya mengikuti perkembangan mereka sejak dulu apatah lagi sesudah mereka dianugerahkan sebagai Juara Kluster BCIC-2,Anugerah Usahawan Malaysia 2010 yang disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri baru-baru ini. Lebih menarik minat saya, bagaimana Kolej Pertanian Xin Jian, China yang tersenarai antara terbaik di negara China berkunjung ke kolej berkenaan untuk menjalinkan kerjasama. Jika hendak melihat teknologi, mungkin China jauh lebih baik tetapi pada pandangan saya bagaimana keupayaan institusi tersebut menarik 2,000 belia Malaysia mengikuti kursus kemahiran pertanian selama setahun telah menarik minat kolej pertanian dari China untuk belajar resipi mereka.
Bila dilihat secara mendalam, memang ada asasnya mereka sanggup datang dari negara China ke Melaka kerana banyak sebab. Antaranya, dengan program dan pengiktirafan yang sama dijalankan oleh institusi latihan awam di Malaysia, kolej di Melaka ini mendahului jumlah pelatih hampir 2,000 orang pengambilan baru setiap tahun berbanding dengan institusi latihan kemahiran pertanian awam yang hanya melatih tidak lebih daripada 800 orang setahun dari peringkat sijil sampai diploma.
Memang kita tidak boleh melihat kuantiti semata-mata kerana kualiti latihan juga adalah penting tetapi kolej di Melaka ini membuktikan banyak hasil yang berkualiti. Contohnya, ramai usahawan muda dilahirkan di seluruh negara sebaik sahaja tamat latihan. Dengan sasaran 30 peratus menjadi usahawan sebaik tamat latihan bukanlah mudah kerana Universiti Harvad dan London Schools Of Economics pun belum tentu berupaya berbuat sedemikian sebaik sahaja graduan tamat pengajian.
Melahirkan usahawan kadangkala satu proses yang panjang. Walaupun begitu, kolej di Melaka ini mempunyai resipi ajaib membolehkan sebahagian graduan menjadi usahawan dalam jangka masa singkat tanpa kaedah pengajaran yang mempunyai falsafah perniagaan berjela-jela.
Biarpun mempunyai sumber-sumber operasi yang terhad, mereka berani memulakan transformasi baru pengeluaran pertanian dan industri asas tani. Kaedah bio-teknologi membolehkan kita melihat sendiri pisang berkualiti dan benih nanas bermutu tinggi.
Malah ada juga eksperimen berani yang kadangkala bersifat lucu iaitu menggunakan ramuan herba tradisional Melayu bagi membolehkan baka kambing jantan tua mempunyai keupayaan tenaga membiakkan banyak anak kambing dalam tempoh singkat.
Paling menarik, setiap pagi Sabtu saya akan menonton televisyen menyaksikan demonstrasi kaedah pertanian mudah oleh pelatih-pelatih muda. Walaupun suatu ketika dulu, mereka adalah golongan pelajar tercicir, pendekatan latihan menjadikan mereka yakin berbicara secara langsung di kaca televisyen setiap minggu.
Pendekatan ini telah menukar imej rancangan pertanian di TV Malaysia yang dahulunya ikon-ikon usia senja kepada wajah muda, ceria dan agresif. Difahamkan di Sabah pula, pendekatan latihan pertanian mereka sangat popular sehingga Datuk Mukhriz Mahathir, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang bertanggungjawab dengan skim latihan kolej di Melaka ini turun padang ke cawangan Sabah untuk mengesahkan kehebatan mereka.
Memandangkan cawangan Sabah sudah penuh, anak Sabah sanggup terbang beramai-ramai ke Melaka semata-mata untuk menimba kemahiran pertanian. Saya tidak berhasrat untuk mengulas panjang kerana tidak mahu dilihat mahu mempromosi atau menonjolkan mana-mana pihak tetapi sesuatu yang baik mengapa tidak kita contohi?.
Namun pengajaran daripada kolej di Melaka ini ialah kita perlu mempunyai fokus yang jelas dalam mendidik, melatih dan menarik minat generasi muda menyertai sektor pertanian secara komersial.
Kalau kita perlu merombak semula fokus pertanian hands-on di UPM, kita perlu lakukan seperti mana Amerika berbangga dengan Universiti Cornell yang mengekalkan tradisi kepakaran dan pengkhususan dalam bidang pertanian bertaraf dunia. Biarpun ia universiti swasta, namun kerajaan Amerika memberikan geran yang agak besar kepada universiti berkenaan untuk membiayai pelajar dan keperluan penyelidikan.
Begitu juga kehebatan pertanian Thailand yang masih belum kita tandingi. Sesetengah pusat latihan mereka tidaklah gah dengan kampus besar seperti kolej komuniti di Malaysia tetapi institusi komuniti desanya mampu melahirkan modal insan yang kreatif dan inovatif.

 

Pelancong betul atau ada tujuan lain
07/08/2010

SABAN hari kita terbaca di akhbar berita penahanan mereka yang masuk ke negara ini atas tiket pelancong tetapi bekerja sebagai pelayan pelanggan di kelab-kelab hiburan dan tidak kurang juga yang memberikan perkhidmatan ‘lebih’ yang lain.
Dalam usaha kita menarik pelancong asing, kita juga menarik mereka yang sebenarnya masuk dengan tujuan menjadi pelayan seks. Mereka yang mengendalikan kelab-kelab yang menggunakan wanita asing ini tidak mengendahkan tangkapan yang dilakukan kerana pernah diberitakan kelab yang diserbu beberapa kali tetapi masih melakukan perniagaan haram itu.
Selain itu, kita juga dibanjiri oleh pendatang dari negara Afrika yang kononnya datang ke negara ini untuk belajar. Mereka ini berada di beberapa tempat seperti di Kepong dan Cheras, selain dilaporkan mengganggu masyarakat sekeliling dengan tabiat biadab mereka.
Selain daripada itu, sesetengah kawasan di Kuala Lumpur turut dipenuhi orang asing seperti yang datang dari Nepal. Di Selayang pula, begitu ramai yang berniaga di pasar borong yang terdiri daripada orang Myanmar. Apabila diserbu, tidak ramai yang ditahan dan keadaan kembali seperti sebelumnya.
Kenapa sesuatu tidak dilakukan oleh pihak berwajib? Dalam usaha kita mengajak ramai melancong ke negara ini, kita mesti melakukan penapisan dan memantau supaya jangan sampai keadaan mereka yang datang dengan alasan hendak belajar tetapi masuk melakukan penipuan, rompakan dan pembunuhan.
Bagi yang ada pengalaman hendak masuk ke negara Jepun, pihak Imigresen mereka akan memeriksa dan bertanyakan pelbagai soalan sebelum dibenarkan masuk ke negara mereka. Begitu juga di Hong Kong dan Kanada. Pendek kata, bukan mudah hendak masuk begitu saja seperti di negara kita.
Tidak dinafikan bahawa pelancongan merupakan satu industri yang terus berkembang. Untuk 2009 sahaja, kira-kira 23.6 juta pelancong dilaporkan tiba di negara ini berbanding dengan 22 juta pada 2008. Pada Mei 2010 sahaja, jumlah pelancong adalah sebanyak 1.99 juta iaitu 5.7 peratus lebih daripada Mei 2009.
Pelancongan juga telah dikenal pasti sebagai salah satu sektor ekonomi penting dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh. Oleh itu, adalah tidak wajar bagi semua pihak yang berkaitan dengan pelancong mengalami kesan sampingan buruk akibat daripada tindakan beberapa orang yang berpura-pura menjadi pelancong tetapi sebenarnya mempunyai tujuan lain masuk ke negara ini.
Walaupun kita tidak mahu menyusahkan pelancong tulen, tetapi kita tidak ada pilihan kerana kita telah berdepan dengan pelbagai jenis masalah termasuk mereka dari Iran yang menggunakan Malaysia sebagai pusat pengedaran dadah di rantau ini.
Bagi mereka yang mengaku menuntut di institusi pengajian tinggi, adalah wajar pihak Imigresen bekerjasama dengan universiti yang menjadi pilihan mereka untuk memastikan mereka betul-betul pelajar, selain tarikh masuk dan tamat pengajian mereka dipantau. Kemungkinan yang datang untuk belajar di sini, kemudian selepas tamat pengajian tidak balik ke negara asal boleh berlaku.
Negara ini sudah dibanjiri warga asing yang tidak mendatangkan faedah kepada kita. Mereka bukan sahaja selalu berpeleseran di beberapa tempat di Kuala Lumpur, malah di lain-lain bandar juga. Kalau pekerja asing tanpa izin sudah memberikan kita masalah, mereka yang masuk atas tiket pelancong tetapi sebaliknya menambah lagi masalah sosial sedia ada. Mereka yang didapati menggaji orang asing untuk melakukan kerja-kerja maksiat wajar dikenakan hukuman yang lebih berat daripada sekarang.
Pernah dilaporkan terdapat masyarakat rakyat asing yang tinggal di dalam hutan yang dibuka secara haram tetapi apabila dilakukan serbuan oleh pihak berkuasa, seluruh masyarakat itu hilang. Seolah-olah mereka tahu yang serbuan akan dilakukan.
Kadang-kadang terfikir juga kita bahawa dalam kegigihan kita menarik pelancong dan pelajar untuk menghadiri institusi-institusi pengajian tinggi kita, pelajar-pelajar kita boleh terpengaruh dengan mereka yang berperangai buruk. Tidak syak lagi kita perlu melakukan satu saringan kepada yang masuk ke negara ini supaya kita tidak terikat dengan anasir-anasir negatif yang boleh mencemarkan nama baik negara.

 

FDI: Kita patut berbuat sesuatu
31/07/2010

BERITA paling hangat masa kini ialah kejatuhan 81 peratus dalam pelaburan langsung asing (FDI) untuk 2009 yang diterbitkan oleh Laporan Pelaburan Dunia (World Investment Report UNCTD) baru-baru ini.
Malaysia hanya memperolehi AS$1.4 bilion untuk tahun itu. Apa yang merisaukan ialah negara kita yang mengalami kejatuhan yang paling tinggi berbanding lain-lain negara dalam ASEAN.
Vietnam mengalami kejatuhan sebanyak 44 peratus, Thailand jatuh sebanyak 31 peratus, Indonesia jatuh 48 peratus, Filipina jatuh 26 peratus dan Singapura meningkat 45 peratus.
Kita difahamkan bahawa untuk penggal pertama 2010 kita telah mencapai keseluruhan jumlah pelaburan untuk tahun lepas iaitu AS$1.41 bilion. Ertinya keadaan merudum pelaburan itu tidaklah berterusan hingga ke tahun ini.
Nampaknya Datuk Mustapa Mohamad kenalah lebih pantau mereka yang bertanggungjawab mempelawa pelaburan asing. Kita dikatakan tidak lagi mahu menarik pelaburan yang berintensifkan buruh kerana kita ingin bergerak ke arah teknologi lebih tinggi.
Pada waktu yang sama kita juga tidak mempunyai tenaga mahir yang mampu menggerakkan industri berteknologi tinggi. Tenaga mahir kita hanya 25 peratus daripada tenaga kerja negara.
Jadi kenalah perhebatkan latihan untuk meningkatkan lebih ramai tenaga mahir. Dan ini akan mengambil masa.
Pada masa ini pekerja asing yang ramai dalam negara kita terdiri daripada mereka yang tiada kemahiran atau taraf kemahiran mereka rendah. Mungkin salah satu jalan sementara kita melatih orang kita untuk jadi mahir, kita bawa masuk pekerja asing yang mahir.
Selain daripada India yang mempunyai ramai tenaga mahir, kita juga boleh melihat ke arah negara-negara yang mengalami kesan buruk daripada kemelesetan ekonomi 2008 yang menyebabkan ramai tenaga mahir yang terpaksa diberhentikan kerja. Ini termasuklah Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah.
Apa juga langkah yang telah diumumkan dalam Model Baru Ekonomi dan Rancangan Malaysia Kesepuluh untuk mengatasi masalah kurang tenaga mahir dan kemerosotan pelaburan akan mengambil masa.
Talent Corporation yang ditubuhkan untuk melengkapkan negara dengan tenaga mahir melalui usaha mengajak balik rakyat Malaysia yang sedang bekerja di luar negara akan mengambil masa.
Mereka yang bekerja di luar negara mempunyai sebab mengapa mereka lebih gemar bekerja di luar negara daripada negara sendiri selain gaji yang lebih tinggi.
Ramai yang telah menyatakan kepada menteri-menteri kita bahawa bukannya faktor gaji yang penting tetapi persekitaran dan budaya kerja juga banyak perbezaan.
Walaupun kita dikatakan mempunyai seramai 300,000 rakyat Malaysia yang berkerja di luar negara, kita belum pasti berapa ramai yang sanggup balik dan apa pula jenis galakan yang perlu diberikan untuk memujuk mereka balik.
Persoalan yang berkaitan juga ialah apakah syarikat-syarikat kita mempunyai tempat untuk menampung mereka ini.
Kita juga mempunyai ramai rakyat yang bekerja dengan syarikat antarabangsa di negara kita yang tahap kemahiran mereka begitu tinggi. Mereka ini boleh dikenal pasti dan dipujuk untuk membantu kita.
Walaupun berita kejatuhan yang begitu tinggi itu pedih, apa yang penting saya rasa kita tidak membiarkan keadaan berterusan begitu. Kita mengambil langkah untuk menangani masalah tersebut.
Sekian lama kita tidak berbuat sesuatu untuk menyusun semula struktur ekonomi kita hanya apabila Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil alih masalah yang kita hadapi ini diakui dan beberapa langkah untuk mengatasi masalah ini telah pun dirancangkan.
Kini dengan kebebesan yang diberikan kepada Lembaga Kemajuan Pelaburan Malaysia (MIDA) untuk bertindak sewajar yang patut bagi menarik pelabur, dijangka masalah birokrasi yang kerap dialami oleh pelabur akan dapat diatasi.
Syarikat tempatan kita pun dikatakan sudah ramai melabur di luar negara. Ini tidak semestinya dipandang sebagai sesuatu yang negatif kerana lebih banyak syarikat kita yang bersifat global, lebih baik juga bagi negara kita selain pendapatan mereka kalau meningkat, bahagian kepada negara kita juga akan meningkat.
Walau apa pun, syarikat kita juga wajar melakukan sesuatu untuk melonjakkan diri mereka ke tahap rantaian nilai tambah yang lebih tinggi dan bergerak ke arah teknologi tinggi dan industri berintensifkan modal.
Matlamat kita untuk meningkatkan pendapatan ke tahap yang lebih tinggi tidak akan tercapai kalau kita masih lagi bergantung kepada industri berintensifkan buruh.
DATO' SALLEH MAJID ialah bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia)

 

Peluang di bulan Ramadan dan ketelusan
24/07/2010

SESIAPA saja akan berasa kagum membaca berita mengenai kira-kira 15,000 peniaga ingin berebut mendapatkan 400 tapak perniagaan bazar Ramadan di kawasan Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. Bayangkanlah begitu ramai yang berminat untuk berniaga pada bulan Ramadan.
Tentulah suatu persoalan yang timbul ialah apakah faktor yang bakal digunakan oleh mereka yang membuat keputusan untuk memberikan lesen kepada peniaga yang berjaya mendapatkan tapak tersebut.
Selain daripada kemampuan membayar yuran lesen yang saya jangka tidak begitu berat, apakah pengalaman berniaga diambil kira. Bagaimana pula kalau seseorang itu belum ada pengalaman tetapi ingin mencuba.
Atau penganugerahan akan diberikan berdasarkan jenis perniagaan atau makanan yang akan disediakan? Pada masa yang lalu, kita pernah terdengar cerita ada orang yang berkuasa memperoleh sampai 10 lesen dan lesen itu diberikan kepada sesiapa yang mampu membayar jumlah besar yang dikehendaki pemegang lesen tersebut.
Dalam kes sebegini tidak hairanlah kalau rasuah memainkan peranan. Sesiapa yang pernah berniaga di bulan Ramadan tentu sedar bahawa berniaga sepanjang bulan tersebut mendapat laba yang sama dengan berniaga satu tahun.
Jadi, kalau disuruh bayar ‘bawah meja’, banyak mana pun mungkin ramai yang sanggup kecuali mereka yang langsung menjauhkan diri daripada amalan tersebut. Ada baiknya undian siapa yang dapat ini dibuat secara telus dihadiri oleh juruaudit seperti Price Waterhouse yang boleh memantau perjalanan undian tersebut seperti yang pernah dilakukan untuk cabutan Tawaran Awal Awam untuk saham.
Setiap daripada 15,000 peniaga tersebut dikehendaki membayar misalnya cengkeram sebanyak RM1,000 untuk kebersihan kerana kawasan perniagaan perlu dijaga oleh mereka yang berniaga. Wang itu akan dipulangkan selepas tamat tempoh berniaga.
Yuran untuk lesen itu terpulanglah berapa jumlah yang wajar difikirkan munasabah untuk dikenakan. Sebaiknya yuran ini patut berbeza berdasarkan lokasi petak perniagaan. Maklumlah Jalan Raja Alang di Kampung Baru tentu lebih panas berbanding dengan lain-lain tempat seperti Kampung Pandan Dalam.
Untuk majlis pengundian tersebut, satu peta menunjukkan di mana petak-petak yang 400 ini terletak harus dipamerkan dengan diberikan nombor pengenalan masing-masing supaya semua yang berhajat boleh nampak kalau mereka terpilih.
Nama 15,000 orang tadi dimasukkan ke dalam tong dan diminta wakil-wakil pihak DBKL untuk mencabut setiap satu daripada 400 petak perniagaan tersebut.
Dengan cara ini, rasa saya barulah tidak ada tuduhan pilih kasih, orang itu mampu bayar dan sebagainya.
Seperkara lagi yang tidak kurang pentingnya ialah hanya mereka yang betul-betul berniaga saja yang patut diberikan lesen dan apabila sudah bermula, lawatan rambang untuk memastikan warung tidak digadaikan kepada orang lain.
Mereka yang didapati melakukan demikian wajar disenarai hitamkan. Maklumat penting yang utama dan wajib disimpan oleh pihak berkuasa ialah nama peniaga dan kad pengenalannya. Satu pangkalan maklumat boleh dibangunkan untuk rujukan masa depan. Kalau setiap kawasan, daerah, negeri mengikut proses pengundian sebegini, barulah adil kepada semua pihak.
Kita tahu untuk mendapatkan tempat berniaga pada bulan Ramadan terutama di kawasan-kawasan yang panas, orang dari kawasan tersebut wajar diberikan keutamaan supaya jangan sampai orang dari negeri lain pun nak merebut peluang orang tempatan.
Atau pun untuk memberikan juga peluang itu kepada orang luar, maka bayaran lesen yang lebih patut dikenakan. Kita tidak tahu berapa banyak di seluruh negara tapak-tapak berniaga yang dibuka untuk bulan Ramadan yang rasmi. Kita tahu selain daripada yang dikenakan lesen, banyak juga yang akan menjalankan perniagaan tanpa lesen.
Di sinilah pihak penguatkuasa perlu menjalankan rondaan kerana kalau ada yang patuh dengan undang-undang sanggup melalui proses pemilihan seperti diundi dan sebagainya, tiba-tiba ada orang itu boleh buka warung lemang dan rendang dekat sudut simpang jalan yang sibuk begitu saja hingga menyebabkan kesesakan trafik, mereka wajib disaman.
Misalnya di jalan raya MRR2, apabila hampir Syawal, jalan arah ke Taman Melawati akan sesak kerana ramai sangat peniaga yang tidak berlesen. Kita terpaksa berhadapan dengan kesesakan lalu lintas yang begitu panjang. Selain daripada berebut tapak berniaga, syarat utama ialah kebersihan kawasan dan makanan yang disediakan.
Di setengah tempat, terdapat juga sukarelawan yang menjaga perjalanan kenderaan supaya pemandu tidak meletakkan kereta sesuka hati. Di kawasan seperti Shah Alam, warung-warung disediakan di kawasan letak kereta Stadium Shah Alam yang luas. Ia tidak menjadi masalah tetapi di kawasan-kawasan lain seperti Taman Cempaka, Ampang, memang selalu berlaku kesesakan.
Perkara penting yang perlu diakui ialah Ramadan memberikan peluang kepada peniaga. Lihat saja bayaran makanan yang dikenakan oleh hotel-hotel untuk berbuka puasa yang semakin tahun semakin tinggi. Berita akhbar yang pernah melaporkan hanya dua peratus daripada keseluruhan hotel di Kuala Lumpur menghidangkan makanan halal sungguh mengejutkan. Hotel dan kedai makan turut mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan di bulan Ramadan dengan pakej berbuka puasa yang bukan-bukan.
Saya rasa pihak berkuasa wajar memantau harga-harga yang dikenakan. Apakah setimpal dengan makanan yang dihidangkan? Amalan mengenakan harga yang bukan-bukan ini berleluasa dan patut diambil perhatian oleh pihak yang berkuasa.

 

Harapan pada pengurusan baru Pos Malaysia
17/07/2010

BERITA yang menggembirakan anggota kerja Pos Malaysia ialah kenaikan tarif pos tidak berganjak sejak 18 tahun dahulu dan dijangka diikuti dengan kenaikan gaji.
Tenaga kerja Pos telah berkhidmat dengan penuh dedikasi malangnya sebelum pengumuman penjualan 32 peratus ekuiti oleh Perdana Menteri pada 30 Mac lalu, ramai yang mungkin menerima hakikat bahawa gaji 15,000 pekerja yang mendapat serendah RM610 sebulan itu akan kekal begitu saja.
Sebenarnya kalau diambil kira 40 peratus ke bawah daripada seluruh penduduk negara berpendapatan bawah daripada RM1,440 ramailah pekerja Pos termasuk dalam golongan miskin ini.
Kalau diambil kira pula golongan pekerja yang berpendapatan RM3,000 di bandar dianggap golongan miskin bandar, maka mereka ini ramai yang tergolong dalam golongan ini. Kerajaan melalui Model Baru Ekonomi (MBE) berhasrat meningkatkan pendapatan per kapita negara daripada AS$7,000 kepada AS$15,000.
Tanpa kenaikan gaji ini tentu sekali golongan tertentu seperti pekerja pos kita tidak akan mengalami kenaikan gaji.
Langkah kerajaan akan menjual 32 peratus ekuiti Pos Malaysia ini juga dijangka akan dapat menyuntik pengurusan baru yang berlandaskan teknologi moden serta dilengkapkan dengan peralatan moden yang mampu meletakkan perkhidmatan pos setaraf dengan piawaian dunia.
Kita melihat pengenalan Internet dan e-mel telah mengurangkan penggunaan surat di kalangan orang ramai. Sebahagian besar daripada punca pendapatan Pos Malaysia tentu sekali terjejas akibat daripada kekurangan ini.
Ini bukannya sesuatu yang ganjil hanya kepada Pos Malaysia kerana di mana jua perkhidmatan pos di dunia akan terlibat dengan perkembangan teknologi ini.
Pos Malaysia mempunyai rangkaian cawangan yang banyak di seluruh negara dan pelbagai jenis perkhidmatan disediakan di cawangan-cawangan ini terutamanya pembayaran bil.
Tidak hairanlah kalau di mana saja cawangan Pejabat Pos terdapat barisan pengguna yang ingin menggunakan perkhidmatan pos berbaris dengan panjang.
Mungkin dengan adanya suntikan baru ini nanti bukan saja gaji pekerja Pos yang setia bertugas di cawangan-cawangan ini bertambah tetapi bilangan dan kualiti cawangan juga akan meningkat.
Dengan adanya peralatan moden kita mengharapkan barisan-barisan yang panjang di cawangan-cawanganPejabat Pos yang terdapat masa kini akan menjadi pendek.
Kita juga mengharapkan pelbagai jenis perkhidmatan baru juga akan ditambahkan kepada bidang perkhidmatan yang ditawarkan.
Seperkara lagi ialah dengan jumlah pekerja yang ramai ini, kita difahamkan pekerja Pos juga mempunyai koperasinya.
Mungkin bidang pembabitan koperasi ini agak terhad dan ini mungkin boleh diperluaskan lagi untuk meliputi bidang perniagaan seperti dagangan barang-barang keperluan yang pembelian ahli akan menerima rebat. Ini tentu sekali akan membantu mengurangkan kos sara hidup ahli dalam suasana kenaikan kos sara hidup yang kian meningkat.
Koperasi ahli ini juga wajar melihat bidang pelaburan yang tidak terhad kepada pelaburan saham atau saham amanah sahaja. Pelaburan dalam emas keping dan hartanah misalnya mungkin dapat diberikan pertimbangan oleh pihak koperasi. Di akhir tahun, dividen atau bonus dapat dikongsikan bersama ahli.
Saya percaya sebahagian besar daripada pekerja ini terdiri daripada orang Melayu, jadi tidak hairanlah kalau mereka tergolong dalam golongan 40 peratus ke bawah tadi.
Kita pun sedia maklum bahawa orang Melayu dari segi pendapatan memang golongan yang terendah sekali berbanding dengan bangsa lain. Kenaikan gaji ini tentu sekali akan memperbaiki kedudukan mereka.
Mereka boleh dianggap sebagai golongan yang tidak diberikan perhatian kerana perkhidmatan yang mereka berikan dianggap sebagai wajar ada.
Kita mengharapkan dengan keputusan kerajaan untuk melepaskan ekuiti Pos ini kepada pihak yang berminat, bukan saja mutu perkhidmatan akan lebih baik tetapi kebajikan pekerja akan diberikan keutamaan.
Walaupun setem hanyalah sebahagian besar daripada pendapatan entiti ini, perkhidmatan penghantaran, pembayaran bil dan saham amanah juga merupakan bidang pendapatan yang penting juga.
Terpulanglah kepada tenaga pekerja Pos untuk meningkatkan lagi produktiviti mereka selepas kenaikan gaji nanti.
Kalau gaji saja yang naik tetapi produktiviti tidak, tentu sekali kita tidak akan mencapai taraf negara maju yang kita idamkan.
DATO' SALLEH MAJID ialah bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia)

 

Patutkah UPSR dan PMR dimansuhkan?
10/07/2010

BANYAK perbincangan dan hujah diketengahkan untuk menyokong dan tidak menyokong pemansuhan UPSR dan PMR.Pada masa ini, kita tidak tahu apakah keputusan yang bakal dibuat oleh Kementerian Pelajaran.Walau apa pun keputusan itu, kita percaya kerajaan tentu sekali akan mengambil kira kepentingan dan kemajuan negara.
Kita memang sedia maklum bahawa pelajar-pelajar kita terlalu mementingkan lulus peperiksaan sehinggakan kita melihat ramai yang berlumba-lumba untuk mendapat berapa banyak jumlah A dalam Sijil Pelajaran Malaysia.Persoalannya, apakah sudah ada kajian dilakukan bahawa mereka yang mendapat banyak A itu baik untuk modal insan keseluruhannya.
Kita diberitahu bahawa tujuan pemansuhan kedua-dua peperiksaan peringkat kebangsaan adalah untuk mengubah tumpuan pendidikan daripada yang berorientasikan peperiksaan kepada sesuatu yang mengambil kira pembentukan insan yang mampu berfikir.Sebenarnya, kalau kita perhatikan lepasan universiti tempatan sendiri pun, ramai juga yang taksub dengan peperiksaan.Kita difahamkan seramai 30,000 graduan universiti kita masih lagi menganggur.
Tak tahulah bagaimana pecahan tahunan.Ertinya entah ada yang mungkin sudah bertahun sejak keluar dari universiti masih lagi menganggur.Kalau mereka yang lulus universiti masih ada yang tidak mampu berkomunikasi dengan baik dan ramai juga yang kurang pengetahuan am mereka, apakah yang boleh kita rumuskan tentang pengajian mereka?Sekolah rendah dan menengah merupakan asas seperti bangunan tinggi, cerucuk yang perlu ditanam.Kalau asas bangunan ini lemah maka bangunan tinggi sekalipun tidak akan selamat.Kita lihat saja kurangnya tumpuan kita berikan kepada pendidikan vokasional sehingga menyebabkan kita kurang tenaga pekerja yang mahir.
Kini, baru kita sedar ia membuatkan rumit bagi kita untuk melonjak ke tahap pengeluaran yang lebih tinggi.Orientasi akademik yang diberikan tumpuan ini tidak menguntungkan kita sekarang, malah kita telah ketinggalan berbanding dengan mereka yang pada suatu masa dulu sama tahap dengan kita.Aset yang terpenting bagi mana-mana negara ialah modal insan.
Kita telah membawa corak pendidikan kita tidak lagi setaraf dengan negara-negara serantau.Lihat saja pencapaian pelajar 15 tahun kita dalam mata pelajaran sains dan matematik untuk tiga tahun berbanding dengan Hong Kong, Singapura dan Korea Selatan di mana kita hanya mampu duduk di tangga kedua puluhan saja.Ini berdasarkan laporan Bank Dunia.Jangan sampai kita menafikan pentingnya laporan itu.Begitu juga dari sudut inovasi, kita kalah dengan negara Vietnam.
Apakah dengan adanya peperiksaan diperingkat sekolah saja kita akan dapat mengurangkan tumpuan kepada peperiksaan? Sebabnya, soal pokok adalah bagaimana kaedah mengajar yang kita amalkan.Ini tentu sekali bergantung kepada mata pelajaran, kandungannya dan kualiti tenaga pengajar.Kalau tujuan kita untuk mengubah kaedah pendidikan daripada yang memberikan tumpuan kepada peperiksaan kepada mewujudkan pelajar yang mampu berfikir, bukankah sebahagian besar daripada pengaruh untuk mencapai hajat itu terletak atas tenaga pengajar kita.
Katakanlah kita ingin mengubah tumpuan kepada melahirkan pelajar yang mampu berfikir dan katakanlah kita perkenalkan mata pelajaran yang dipanggil 'proses'.Mata pelajaran ini akan menunjukkan pelajar tentang bagaimana proses membuat atau mencapai sesuatu keputusan.Sebenarnya kita tidak pernah diajar langsung tentang ilmu proses.Kita hanya diberikan isi.Apa saja mata pelajaran yang kita ikuti dari darjah satu sehingga ke peringkat universiti, semuanya mementingkan isi.Kadang-kadang isi ini jauh daripada keadaan sebenar di luar sana atau keadaan sekeliling.
Berapa ramai daripada guru dan tenaga pengajar yang mampu mengajar 'proses?"Selain daripada pendekatan proses ini, 'pemetaan minda' seperti yang dipelopori oleh Tony Buzan wajar diberi perhatian.
Seseorang yang terpelajar tidak kira apa bidangnya sepatutnya dikatakan orang terpelajar kerana ia tahu mencari maklumat yang diperlukan atau mencari jawapan kepada apa-apa persoalan.Di sinilah yang kita maksudkan pelajar yang mampu berfikir.
Saya beranggapan meletakkan tanggung jawab peperiksaan kepada sekolah akan mewujudkan macam-macam masalah terutama unsur pilih kasih yang mungkin wujud.Diperingkat kebangsaan, guru yang memeriksa tidak tahu siapa pelajar yang kertasnya diperiksa.Kemudian dari segi pengurusan dan pentadbiran juga, mungkin menimbulkan masalah di sesetengah sekolah dan ini akan berlanjutan kalau tidak disedari oleh pihak kementerian.
Apa yang perlu diubah untuk mengurangkan tumpuan kepada peperiksaan ialah sukatan pelajaran untuk sesuatu peringkat.Pelajar tidak perlu dibebankan dengan begitu banyak mata pelajaran, sebaliknya patut didedahkan dengan keadaan sekeliling seperti lawatan ke tempat bersejarah, institusi-institusi kerajaan yang penting, taman-taman seperti taman wetland, dan sebagainya.Guru-guru dan pendidik pula patut perlu diberikan latihan untuk mampu melakukan perubahan untuk mewujudkan modal insan yang mampu berfikir.

 

Jambatan menghubungi Malaysia-Indonesia
03/07/2010

TIDAK berapa dulu pada 18 Ogos 2009, suatu cadangan yang bakal membawa manfaat kepada kedua-dua negara, Malaysia dan Indonesia telah dibentangkan kepada kerajaan. Cadangan tersebut ialah pembinaan 48.7 km jambatan merentasi Selat Melaka yang menghubungi Pulau Ruput di Riau, Indonesia dan Teluk Gong di Melaka.
Projek yang bernilai RM44 bilion itu bakal dibiayai oleh Export-Import Bank of China yang sanggup membiayai sehingga 85 peratus kos pembinaan. Bakinya akan datang daripada dana ekuiti dan sumbangan daripada kumpulan terpilih.
Idea asalnya dicadangkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam tahun 1995 lagi tetapi krisis kewangan Asia pada tahun 1997/98 telah menghalang pelaksanaannya.
Sesuatu projek mega yang begitu besar tentu sekali mempelawa pelbagai reaksi. Ada yang mengatakan projek ini tidak mendatangkan apa-apa faedah kerana tidak berdaya maju (viable) memandangkan kos yang begitu tinggi dan masa mengaut balik pelaburan yang begitu lama.
Bayaran yang mungkin dikenakan ialah dalam lingkungan RM300. Sebanyak 15,000 kenderaan dianggarkan menggunakan laluan ini sehari.
Bagaimanapun kajian keseluruhannya belum lagi lengkap dan angka-angka yang dianggarkan mungkin berubah.
Sejak 10 tahun yang lalu terdapat sembilan jambatan sebegini yang telah dibina di China. Syarikat pereka utama untuk projek ini ialah The Hunan Provincial Communications Planning, Survey and Design Institute (HNDI) daripada selatan China yang mempunyai pengalaman luas dalam mereka bentuk struktur besar jenis ini.
Antara pendapat yang disuarakan ialah projek ini sesuatu yang merugikan dan mengambil masa yang lama untuk pembinaan iaitu sembilan tahun.
Semestinya bagi projek sebesar ini tentulah beberapa kajian telah dijalankan. Setakat ini dua kajian kesesuaian telah dijalankan, satu daripada China dan yang kedua daripada perunding Belanda. Tiga lagi kajian akan dilakukan.
Dari segi potensi, jambatan ini bakal membuka pelbagai jenis peluang bukan saja ekonomi antara kedua-dua negara tetapi politik dan sosial. Dari sudut politik, 'penyeberangan' ini akan mengubah suasana politik antara negara-negara sempadan Malaysia, Indonesia, Singapura dan Thailand.
Kerjasama antara kerajaan membanteras lanun akan dapat memantau kapal-kapal yang menggunakan selat yang paling sibuk di dunia. Di mana-mana tempat pertemuan pembinaan akan menyaksikan peningkatan pelaburan yang bakal membawa kestabilan politik di antara negara-negara sempadan.
Jembatan ini bakal menyemarakkan lagi semangat ASEAN dan menyatukan rantau ini ke arah penyatuan dan kemajuan.
Dari sudut sosial, hubungan beribu tahun antara Malaysia dan Indonesia akan dapat membawa penyatuan pertukaran maklumat, teknologi, kesenian dan kebudayaan kepada kedua-dua negara.
Masyarakat baru akan terbentuk sekitar bandar-bandar berdekatan yang menyaksikan pembangunan industri dan perdagangan.
Sumatera yang mempunyai seramai 70 juta penduduk kaya dengan sumber alamnya akan membuka pencapaian kepada ekonomi gergasi negara China.
Semenanjung Malaysia yang terkenal dengan industri perkhidmatannya akan memperolehi peningkatan dalam pelancongan, dagangan dua hala, pembangunan pengangkutan dan pelaburan dalam pendidikan.
Hubungan Indonesia dengan Asia akan meningkatkan faedah kepada negeri China, Singapura dan Thailand.
Kalau diandaikan Sumatera mempunyai 10 peratus daripadanya golongan kaya, ini bererti peluang meningkatkan lagi pelancongan akan berlipat ganda.
Melaka pula mempunyai 800,000 penduduk dan 40,000 kenderaan. Riau di sebelah Indonesia adalah rantau kedua terkaya dengan minyak dan gasnya dan ini telah disokong oleh minyak kelapa sawit.
Bagaimanapun pembangunan di Riau telah terhalang disebabkan oleh infrastruktur yang lemah. Riau juga bakal membangun dengan penyambungan jalan antara Pekanbaru dan Dumai.
Dengan banyaknya pembangunan prasarana diperlukan di Riau, syarikat pembinaan kita yang berpengalaman bakal boleh turut serta dalam pembangunan tersebut.
Bagi Melaka, ini menyediakan peluang kepada Teluk Gong dan kawasannya untuk membangun dan membentangkan banyak peluang perniagaan bagi rakyat tempatan.
Sekian lama penyeberangan yang begini telah banyak dibangunkan di keliling dunia, termasuk di China. Teknologi pembinaan yang menggunakan kabel dan struktur tergantung ini telah dihalusi dan lebih canggih.
Mungkin mereka yang memberikan pandangan negatif kepada projek ini tidak melihat kelebihan utamanya iaitu merapatkan lagi rumpun Melayu serantau.
Kalau dalam ASEAN, dagangan kita dengan Singapura yang tertinggi sekali dan banyak dibantu oleh tambak Johor, dengan adanya penyeberangan ini kemajuan di bidang ekonomi bagi kedua-dua buah negara bakal meningkat berlipat kali ganda.
Bagaimanapun pihak Singapura melalui Temasek Holdings menyokong penuh projek ini dan bakal menguntungkan mereka juga.
Ahli perniagaan Malaysia sedar betapa kecilnya pasaran negara kita dengan penduduk berjumlah dalam lingkungan 10 peratus daripada penduduk Indonesia.
Dengan hajat kita untuk mencapai pertumbuhan dalam lingkungan 6 peratus setahun untuk mencapai matlamat pendapatan tinggi, projek ini dilihat sebagai salah satu prasarana yang bakal menyumbang ke arah pertumbuhan tersebut.
Suatu perkara penting yang perlu ditekankan supaya orang ramai tidak salah sangka ialah segala pembiayaan projek ini ditanggung oleh sektor swasta dan tidak melibatkan wang rakyat. Kerajaan tempatan Riau dan kerajaan negeri Melaka memberikan sokongan yang padu kepada projek ini.
DATuk SALLEH MAJID ialah bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia)

 

Mengambil tindakan ke atas kaki buli
26/06/2010

BERITA kematian seorang pelajar, Mohamad Naim Mustaqim akibat didera di Maktab Tentera Sungai Besi tentu sekali mengejutkan.
Walau apa pun siasatan yang dilakukan, pelajar tersebut telah meninggal dunia dan mereka yang bertanggungjawab wajar dihukum. Amalan kuno yang dikenali ragging ini memang kerap berlaku di sekolah atau kolej berasrama. Begitu juga pergaduhan sesama pelajar. Apa yang boleh dikatakan daripada perkara ini adalah kecuaian pihak yang menjaga maktab, kolej atau sekolah berkenaan. Saya rasa ibu bapa pelajar tersebut bukan sahaja patut membuat laporan polis tetapi wajar mengambil tindakan undang-undang ke atas pihak pentadbiran maktab tersebut termasuk pegawai-pegawai mereka yang bertanggungjawab terhadap kecuaian tersebut. Tentera dikenali atas sifat disiplin mereka tetapi nampaknya sikap kurang disiplin telah menular ke dalam maktab tentera. Kalau tindakan undang-undang tidak diambil, perkara ini akan berlaku lagi. Pelajar-pelajar yang membuli pelajar yang meninggal dunia ini bukan saja patut dibuang tetapi dikenakan hukuman yang setimpal dengan perbuatan mereka, walaupun mereka mungkin dianggap juvenil.
Saya ingat semasa saya memasuki Institut Teknologi Mara (ITM, sekarang UiTM), 40 tahun yang lalu, sudah ada amalan ragging di kolej atau asrama sekolah. Dahulu, semasa pelajar baru memasuki ITM, kami semuanya dibuli oleh pelajar senior. Kononnya, diadakan minggu orientasi tetapi seminggu itu adalah minggu mendera pelajar baru lelaki atau perempuan. Kami akan dikejutkan dari tidur pada pukul 3 pagi dan disuruh memakai seluar dalam sahaja untuk turun ke tingkat bawah tempat kediaman kami semasa itu di flat Seksyen 14, Petaling Jaya (PJ). Semasa itu, asrama pelajar ITM terletak di luar kampus dan kerana itu, pelajar perlu menyewa rumah atau flat di luar dan sekitar kawasan Petaling Jaya seperti Petaling Garden, Petaling Tin, Jalan Klang, Seksyen 17 PJ dan Seksyen 14, PJ. Sabun basuh kain akan ditabur di atas simen bangunan flat tersebut dan kami disuruh berenang atas sabun tersebut. Ia satu perbuatan yang menyeronokkan pelajar-pelajar senior. Maklumlah orang sedang sedap tidur dibangunkan dan disuruh berenang atas simen yang bersabun. Sesetengahnya tidak sedar lagi apa yang berlaku pada masa itu. Pelajar-pelajar senior masa itu bergaya semacam gangster.
Pada satu ketika, terdapat seorang pelajar dari Sarawak yang telah dibuli berlebihan oleh salah seorang ketua pelajar senior. Pelajar Sarawak tersebut telah berlari ke biliknya dan mengambil pedang panjang dari bawah katilnya serta mengejar ketua pelajar senior tersebut. Memang umur ketua pelajar senior itu panjang kerana jika tidak, sudah tentu dia hilang kepalanya pada malam tersebut.
Selain itu, pelajar senior juga menyumbat kepala kami ke dalam lubang tandas dan dengan megah mereka mengatakan itu adalah 'royal flush'. Saya melihat mereka ini berani kerana mereka ramai dan pelajar baru belum bersatu lagi pada masa itu.
Pelajar perempuan juga tidak ketinggalan dibuli oleh pelajar wanita senior. Mana-mana pelajar baru wanita yang cantik sikit akan teruk dibuli kononnya mereka menjadi ancaman kepada pelajar senior wanita dari segi berebutkan pelajar lelaki. Daripada apa yang diceritakan oleh pelajar wanita yang dibuli oleh pelajar wanita senior kepada saya, mereka juga digerakkan pada awal pagi dan disiram dengan air pancutan yang deras ke dalam alat sulit mereka.
Semua perbuatan itu kononnya untuk membuang sikap angkuh dan sombong pelajar yang baru masuk. Dari mana pemikiran itu mereka peroleh, kita tak tahulah kerana apa yang saya lihat, selepas beberapa tahun peristiwa tersebut, ketua 'ragger' lelaki pada masa itu sekarang berjalan pakai tongkat dan memakai pacemaker untuk jantungnya, manakala ketua pelajar wanita senior itu pula sakit teruk dan telah pun meninggal dunia. Pada saya, itulah balasan Allah SWT di atas perbuatan mereka. Pada saya juga, amalan sebegini memang patut dihentikan kerana tidak mendatangkan faedah, sebaliknya boleh mendatangkan mudarat seperti apa yang berlaku kepada Muhammad Naim.
Saya rasa, ibu bapa yang ada anak-anak mereka yang tinggal di asrama sekolah sekarang elok memantau anak-anak mereka kerana duduk di asrama ini, ada baik dan ada juga buruknya. Secara peribadi, saya tidak berasa menempatkan anak kita di asrama satu amalan yang baik. Anak perempuan saya semasa di Maktab Rendah Sains Mara di Taiping, Perak, beberapa tahun lalu selalu dipulau bersama kawan setianya kerana mereka kerap bercakap dalam bahasa Inggeris. Kebanyakan pelajar di maktab tersebut bercakap dalam bahasa Melayu. Bayangkanlah, mereka dipulau kerana selalu bercakap dalam bahasa Inggeris. Inilah jenis sikap pelajar Melayu kita. Kalau seseorang pelajar tersebut tidak kuat semangat dan berani, mereka akan terpengaruh dengan kumpulan yang berfikiran picik dan jumud. Kumpulan yang begini memang wujud di asrama-asrama kita. Nasib baik bagi anak saya, dia memperoleh 'tali pinggang hitam' taekwando semasa di sekolah menengah dan sesiapa pelajar yang cuba mencari pasal dengan dia, memang menerima padahnya.
Saya menyarankan anak-anak kita diberikan latihan mempertahankan diri kerana bukan saja ini baik untuk mempertahankan diri mereka daripada perbuatan pelajar jahat dan kaki buli, malahan di sekolah menengah sendiri pun kita pernah terbaca cerita pelajar dibuli oleh beberapa orang. Selain daripada kebolehan untuk mempertahankan diri daripada pelbagai ancaman, latihan tersebut menyemai sifat disiplin dan keyakinan diri.
Para pelajar hari ini bukan lagi macam zaman dulu. Terlalu banyak pengaruh yang menjadi ikutan mereka. Media saja mengajar mereka macam-macam. Kalau panggung wayang ada sekatan bagi mereka di bawah umur 18 tahun dan tidak boleh menonton wayang berunsur ganas dan seks, mereka boleh menonton dengan membeli VCD dan DVD haram yang dijual berleluasa. Pergi saja ke mana-mana taman selera, tentu kita akan didatangi oleh mereka yang menjual bermacam jenis VCD secara haram ini, secara terang-terang.
Membimbing anak-anak pada zaman ini bukan satu perkara yang mudah. Oleh itu, ibu bapa perlu mengambil berat tentang apa yang berlaku terhadap anak-anak mereka. Jika boleh, periksa beg sekolah mereka kerana kita tidak tahu apa yang kita boleh jumpa di dalam beg sekolah mereka. Kalau anak-anak dipaksa memberikan duit kepada kaki buli, mereka kadang-kadang tidak berani mengadu kepada ibu bapa. Itu sebabnya walaupun anak-anak kita sudah mencapai umur 16 tahun sekalipun, kita perlu mengambil tahu apa yang berlaku dan apa kegiatan mereka.

 

Keperluan, kehendak dan keputusan yang telus
19/06/2010

RAMAI mungkin tidak sedar bahawa ekonomi ada kaitan dengan semua orang. Tidak semestinya orang ahli ekonomi sahaja yang ada kaitan dengan ekonomi. Murid sekolah pun ada kaitan dengan ekonomi kerana setiap hari dia diberi belanja dan kena berjimat bagi keluarga yang susah.
Setiap hari juga kita membuat keputusan dengan ekonomi. Ada keputusan yang dibuat oleh bapa, ada yang dibuat oleh emak dan ada yang dibuat oleh anak. Ketua keluarga akan melaksanakan atau memberi kata putus kepada kehendak dan keperluan yang disuarakan oleh ahli keluarga.
Inilah dua perkara yang penting yang patut kita ambil perhatian bila kita membuat keputusan. Keperluan dan kehendak. Di antara kedua-dua faktor ini tentulah keperluan diutamakan.
Selepas keperluan dipenuhi barulah dipenuhi kehendak. Begitulah sepatutnya mengikut teori ekonomi manusia itu insan rasional. Tetapi itu hanya dalam teori ekonomi sahaja. Dalam realiti tidak begitu.
Manusia kadang-kadang tidak rasional dan tidak logik dalam membuat keputusan. Disebabkan itu timbullah pelbagai jenis macam masalah.
Abraham Maslow dalam kertas kerjayanya pada tahun 1943, A Theory of Human Motivation (Teori Motivasi Insan) menyatakan bahawa tangga keperluan manusia ialah dalam bentuk piramid yang mana keperluan fisiologi atau asas di bawah sekali atau di lantai piramid tersebut.
Ini termasuklah menyediakan makanan, pakaian, tempat berlindung. Ini diikuti di atas dengan keperluan keselamatan. Ini merangkumi keselamatan, diri, keluarga, harta dan kekayaan.
Di atas lagi diikuti dengan kasih sayang dan kekitaan yang termasuk keluarga, kemesraan dan rakan-rakan. Di tingkat atas keperluan lagi ialah penghargaan yang termasuk hormatkan orang lain, penghormatan diri, keyakinan diri, kejayaan.
Akhir sekali di peringkat tertinggi ialah keperluan penghakikian diri (self-actualization). Ini termasuklah soal-soal moral, kreativiti, penerimaan kenyataan, tiada prejudis.
Ertinya seseorang manusia itu akan memenuhi keperluan asasnya dulu barulah dia akan memikirkan keperluan yang lebih tinggi. Jadi kalau kita bercakap dengan mereka yang tinggal di rumah setinggan, tidak gunalah kita mengajak pergi ke Balai Seni Lukis kerana ini jauh daripada keperluan mereka yang belum dipenuhi sepenuhnya lagi.
Pada waktu yang sama, mereka yang telah berjaya dalam kehidupan apabila kesemua keperluan yang dinyatakan daripada yang asas sehingga ke peringkat hakiki diri dipenuhi, tidak hairanlah kalau dia berminat dengan lukisan Van Gogh atau Monet.
Ertinya mereka yang kehidupan masih lagi kais pagi makan pagi, kais petang makan petang memerlukan keperluan asas. Di sinilah pihak yang bertanggung jawab menyediakan sesuatu keperluan perlu mengambil kira di mana tahap golongan masyarakat itu.
Misalnya mereka yang ada lima atau enam buah kereta tentu sekali tidak perlu subsidi minyak. Kerap kali kita dibandingkan dengan harga minyak di tempat lain, seperti jiran-jiran kita. Tapi pernahkah membandingkan harga kereta di negara kita dengan di negara lain.
Sepatutnya, tujuan diadakan pemasangan tempatan bagi kereta-kereta luar adalah untuk mengurangkan harga tetapi hari ini jelaslah bahawa harga kereta di negara kita salah satu yang termahal di rantau ini kecuali Singapura.
Mereka yang tidak mampu membeli kereta kenalah menggunakan pengangkutan awam. Ramailah yang terpaksa menggunakan pengangkutan awam. Apabila jumlah orang yang menggunakan pengangkutan awam begitu ramai, kenalah ada pengangkutan awam yang mampu menampung keperluan pengguna.
Tapi kita sedia maklum banyak lagi yang perlu dilakukan untuk mencapai tahap penyediaan pengangkutan awam yang memuaskan. Kalau kita perhatikan di Hong Kong, mereka menggunakan semua cara untuk mengangkut pengguna daripada bas, teksi dan kereta api bawah tanah hingga kepada tongkang.
Dalam kawasan yang sepadat itu, kita perhatikan banyak perancangan diberikan kepada pergerakan insan. Misalnya daripada satu bangunan ke suatu bangunan bersambung-sambung dan banyak escalator disediakan. Jadi banyak masa tidak membazir.
Kalau hendak mengadakan pertemuan perniagaan, sampai enam temu janji dalam masa satu hari pun mudah saja kerana kelancaran perjalanan. Kalau di Kuala Lumpur dengan kesesakan hampir menyamai Bangkok dan Jakarta, kata orang luar yang datang untuk berurusan di sini, hendak buat tiga temu janji sehari pun payah.
Kalau diibaratkan negara kita ini sebagai insan, apakah kita sudah memenuhi keperluan asas dari sudut prasarana dan institusi. Institusi di sini termasuklah dewan-dewan bandar raya atau penguasa tempatan yang bertanggungjawab dalam soal perancangan bandar raya dan bandar.
Kita mempunyai lapangan terbang yang begitu indah untuk memenuhi kehendak mereka yang mampu terbang ke sana sini, tetapi yang lebih ramai memerlukan kemudahan bergerak jarak jauh, stesennya tidak setaraf lapangan terbang yang harga berbilion ringgit.
Lihat saja Hentian Puduraya. Sudahlah bertempat di tengah-tengah kesibukan bandar, sebelum penambahbaikan yang dilakukan sekarang keadaannya begitu buruk sekali. Bas-bas yang berhenti di sana tidak menghentikan enjin mereka sehinggakan mencemar udara di atas yang penuh dengan warung makanan.
Suatu keadaan yang tidak sihat langsung. Bertahun-tahun keadaan itu begitu, tiada siapa peduli sehinggalah tahun lepas. Kalau pun lapangan terbang menampung pelancong asing, stesen bas juga digunakan oleh pelancong asing.
Stesen kereta api di KL Sentral sudah indah, lapangan terbang sudah indah kini menunggu stesen bas pula menjadi indah. Sementara menunggu pembaikan siap, pengguna kenalah pergi ke Bukit Jalil. Lihat sajalah keadaan di sana.
Kita difahamkan stesen-stesen bas ini akan dipecah-pecahkan antara zon Utara, Selatan dan Timur di bawah Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) yang telah dirancangkan.
Kita berharap pihak yang bertanggung jawab dalam perancangan bandar mempunyai pandangan jauh akan keperluan masyarakat, macam di Putrajaya payah berjumpa tempat letak kereta. Jadi orang yang pergi ke sana letak kereta mana dapat saja. Suatu kawasan yang begitu indah tetapi tidak mesra pengguna.
Ini semua ada kaitan dengan soal bagaimana kita membuat keputusan. Keputusan yang penting-penting sepatutnya kita lakukan seberapa objektif yang boleh. Kita wajar menggunakan peratusan kemungkinan bagi faktor-faktor yang wajar digunakan dalam membuat keputusan. Kemudian setiap jenis keputusan itu juga diberikan penarafan dalam skala 1 sehingga 10, yang terbaik 10 mata yang terburuk 1 mata.
Faktor-faktor katakan A, B, C, D yang masing-masing ada peratusan pentingnya didarabkan dengan setiap pilihan keputusan itu untuk mencari yang mana mempunyai markah yang tinggi sekali. Apabila kita menggunakan cara ini orang tidak boleh mencabar keputusan yang kita buat secara objektif dan kita telah membuat suatu keputusan secara telus.
Dato' Salleh Majid ialah bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia)

Iltizam capai negara maju

Liputan meluas diberikan oleh pelbagai akhbar dan media elektronik tentang Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) dan tidak perlu rasanya diberikan huraian lagi di ruang ini. Beberapa perkara penting yang dibentangkan dalam dokumen perancangan tersebut wajar diberikan pandangan. Pertama, salah satu topik yang hangat dibincangkan di pelbagai forum, seminar, konvensyen dan kongres ialah penyertaan bumiputera dalam ekonomi negara.
Di sini, RMK-10 menggariskan langkah yang berbeza daripada rancangan-rancangan berkaitan dengan penyertaan bumiputera yang lepas. Bantuan akan diberikan kepada mereka di dalam kelompok 40 peratus di bawah yang berpendapatan RM1,440 supaya dapat ditingkatkan mutu taraf kehidupan. Bagi syarikat bumiputera pula, bantuan akan diberikan berdasarkan kategori mana syarikat tersebut tergolong iaitu daripada yang mikro sehinggalah kepada yang besar. Hanya syarikat yang mempunyai potensi dan berkemampuan sahaja yang akan diberikan bantuan dan sokongan. Mereka yang selama ini yang mengamalkan sikap 'Ali Baba' dan 'mengambil komisen' tidak akan dilayan. Satu Majlis yang akan diketuai oleh Perdana Menteri sendiri akan memantau kemajuan bumiputera ini.
Penyertaan bumiputera walaupun kekal di paras 30 peratus tetapi itu secara keseluruhan dan ia bukan sahaja terhad kepada pemilikan ekuiti sahaja tetapi termasuk hartanah. Kebanyakan penyertaan ini akan dilakukan melalui institusi-institusi seperti PNB, Tabung Haji dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera. Kita sedar rasional ini kalau diberikan kepada individu, sebahagian besar akan terjual seperti yang disaksikan berlaku sebelum ini. Kedua-dua badan utama yang bertanggungjawab atas kemajuan bumiputera iaitu Mara dan Perbadanan Usahawan Nasional Bhd. (PUNB) akan menerima suntikan dana untuk memastikan program sokongan berjaya.
Talent Corporation atau perbadanan bakat yang bakal ditubuhkan untuk meningkatkan taraf kemahiran di kalangan tenaga kerja adalah idea yang menjawab keperluan meningkatkan tahap kemahiran tenaga kerja yang pada masa ini hanya di tahap 28 peratus. Ketiadaan tenaga kerja mahir yang cukup ini akan membantutkan sebarang usaha untuk kita mengorak langkah ke arah ekonomi yang berteknologi tinggi. Dianggarkan seramai 700,000 rakyat Malaysia bekerja di luar negara. Usaha untuk menarik mereka ini pulang ke tanah air bukan perkara yang mudah. Mereka berhijrah ke tempat lain kerana boleh meraih pendapatan yang jauh lebih tinggi. Selain itu, persekitaran kerja juga berbeza. Ia banyak bergantung atas budaya kerja dan budaya korporat negara kita yang mungkin berlainan keseluruhannya di tempat lain. Misalnya peluang untuk kenaikan pangkat atau gaji asas mungkin berbeza daripada negara-negara yang mereka sedang berkhidmat. Ertinya satu perubahan bukan setakat gaji sahaja perlu berlaku sebelum kita dapat menarik rakyat kita yang berkemahiran balik berkhidmat dengan kita.
Itulah sebabnya RMK-10 meletakkan beban kejayaannya bukan setakat sektor awam sahaja tetapi lebih kepada sektor swasta. Sikap sektor swasta yang gemar melakukan skim perpisahan sukarela (VSS) kepada pekerja berpengalaman untuk diganti dengan pekerja baru supaya dapat dibayar dengan gaji yang lebih rendah bertentangan dengan hasrat untuk mencapai matlamat negara berpendapatan tinggi. Dalam masa 10 tahun dari tahun 1997, gaji secara keseluruhan hanya naik sebanyak satu peratus berbanding dengan negara-negara yang sama dengan kita pada awal 70-an dulu yang mencatat kenaikan lebih daripada 10 peratus. Sementara itu, kalau kita lihat dari segi kos sara hidup melonjak berpuluh kali ganda yang tidak setimpal dengan kenaikan gaji yang kecil. Seorang pemegang ijazah elektronik dibayar RM5,000 di negara kita dan di luar negara dibayar gaji sebanyak AS$10,000 (RM33,000).
Kita mengharapkan Talent Corporation ini dapat menyelesaikan segala masalah remeh temeh berkaitan dengan pengambilan pakar dari luar yang ingin berkhidmat dengan negara kita. Kerenah birokrasi diharap tidak akan mematahkan semangat mereka yang ingin berkhidmat di negara kita. Di sesetengah negara ,taraf penduduk tetap atau PR diberikan dengan serta merta kepada pekerja mahir yang dianggap bernilai kepada negara kita.
Langkah untuk mengubah perkhidmatan awam supaya menjadi lebih cekap, berkesan dan responsif dan komited ke arah membangunkan ekonomi maju dan berpendapatan tinggi sememangnya satu langkah yang dialu-alukan. Malah, penubuhan satu lagi institusi latihan untuk penjawat awam yang memberikan penekanan kepada kreativiti dan inovasi, kepantasan, bernilai sejajar dan integriti yang tinggi memang diperlukan. Kalau boleh ditambah sedikit kepada rancangan yang telah pun baik adalah pendekatan perkhidmatan awam iaitu pendekatan berorientasikan keperluan pengguna atau rakyat. Ertinya perlulah penjawat awam bertindak selaku syarikat yang kompetitif dan syarikat yang kompetitif memberikan keutamaan kepada keperluan penggunanya. Misalnya kalau diambil contoh tanah di Cameron Highlands yang menyaksikan pelbagai pembinaan bangunan secara haram hanya diketahui oleh pihak yang berwajib selepas dihuraikan dalam rancangan televisyen. Bayangkan bangunan yang sudah hampir siap tanpa kebenaran tidak diketahui oleh pihak yang bertanggung jawab. Begitu juga dengan pembalakan haram yang berlaku di merata tempat. Kita berharap Akta Pemberi Maklumat yang bertujuan membanteras kegiatan rasuah yang berleluasa dapat mencapai matlamat penubuhannya.
Langkah-langkah untuk meningkatkan kompetensi graduan dengan mengenakan KPI kepada universiti berdasarkan peratusan graduan yang mendapat pekerjaan adalah sesuatu yang diperlukan juga. Pada waktu yang sama, satu transformasi menyeluruh dari segi penawaran program-program universiti terutama institusi pengajian tinggi awam yang lebih berdasarkan kepada permintaan industri dan suasana keseluruhannya dan bukan apa yang universiti boleh tawarkan. Penelitian lebih mendalam tentang program, sumber, peralatan dan pembiayaan perlu dilakukan untuk mengelakkan pertindihan dan pembaziran sumber. Tahap piawaian yang tinggi seharusnya menjadi hasrat setiap universiti.
Apa yang agak menarik dalam RMK-10 ialah penubuhan Suruhanjaya Persaingan yang antimanipulasi dan kartel. Ini tentu sekali akan menghidangkan beberapa kemungkinan kepada keadaan yang sedia ada pada masa ini yang mungkin jatuh di bawah ta'arif kewujudan kartel.
Datuk Salleh Majid ialah bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia)

ARKIB : 05/06/2010

Mengurus Baitulmal dan zakat secara bersama

SESUATU yang menarik dibangkitkan di majlis ceramah mengenai Model Baru Ekonomi di Putrajaya anjuran Dewan Perniagaan Melayu Malaysia cawangan Putrajaya, baru-baru ini. Salah seorang penceramahnya ialah Imam Masjid Mizan di sana.
Nasihat yang diberikannya sungguh penting bagi peringatan oleh orang Melayu. Katanya orang Melayu kalau berniaga di deretan warung yang didirikan oleh kerajaan tidak akan bertegur sapa antara pemilik satu warung dengan warung sebelahnya. Tempat makan akan dikhaskan masing-masing dan kalau yang meminta hendak menukar duit atau kehabisan barang keperluan jangan harap jiran akan menolong.
Sikap orang Melayu sebegini adalah sesuatu yang ramai sudah sedia maklum tetapi harus dikikis. Orang luar datang bekerja di rumah orang Melayu tidak dibayar gaji pada waktu yang sepatutnya, ada yang didera, disuruh melakukan kerja lebih daripada sepatutnya dan layanan yang diberikan kepada mereka yang mencari rezeki di sini sesetengahnya adalah buruk.
Tuan Imam tersebut terus mengatakan kalaulah satu Indonesia mengatasi ekonomi negara kita dan orang kita terpaksa mencari rezeki di sana barulah sedar nasib kita. Indonesia sememangnya sedang berusaha memperbaiki keadaan ekonomi negaranya. Malahan semasa kebanyakan negara mengalami kemelesetan pada tahun 2008/09, Indonesia adalah satu-satu negara yang berjaya mencapai pertumbuhan sebanyak 4 peratus.
Langkah-langkah yang telah diambil oleh pentadbiran Presiden, Susilo Bambang Yudiyhono menampakkan kesan positif keseluruhan kepada Indonesia terutama dari segi pasaran saham dan pelaburan asing. Sebenarnya maksud Tuan Imam tersebut ialah menyeru orang Melayu di negara ini kembali kepada melakukan apa yang dituntut oleh agama Islam.
Semangat bekerjasama dan perpaduan adalah sesuatu yang kurang di kalangan orang Melayu. Bukan saja dalam perniagaan tetapi dalam kehidupan harian kita masih belum mengikiskan sikap hasad dengki dan dalam perniagaan sikap ketam yang menarik kawannya ke bawah menjadi resam sesetengah ahli perniagaan.
Untuk kemajuan orang Melayu dalam suasana ekonomi baru sememangnya wajar memikirkan langkah-langkah yang berteraskan Islam. Misalnya sudah berkali-kali dicadangkan digabungkan Baitulmal dan zakat untuk diuruskan secara Lembaga di peringkat persekutuan.
Penghalang kepada cadangan ini dikatakan ialah kedua-duanya adalah di bawah kerajaan negeri masing-masing. Apa yang perlu dilakukan ialah sedikit pindaan kepada kedua-dua badan ini supaya dapat diuruskan secara profesional seperti juga Lembaga Urusan Tabung Haji. Manfaat yang diperoleh daripada usaha ini dapat membantu umat Islam di negara ini termasuk dalam soal pendidikan seperti biasiswa dan yuran yang diperlukan oleh anak-anak orang Islam.
Selain daripada itu Lembaga ini boleh terus menceburi bidang perniagaan seperti perkilangan makanan dan minuman halal, penyediaan makanan, hartanah dan premis perniagaan, bidang kewangan seperti perbankan dan pengurusan pelaburan dan bidang-bidang baru yang berteraskan pengetahuan seperti IT dan bioteknologi.
Lembaga ini dengan jumlah aset sedia yang begitu tinggi hampir RM3 bilion tentu sekali akan disegani oleh masyarakat perniagaan. Bagaimanapun apa yang penting ialah pihak pengurusan yang dilantik mestilah dipilih dengan saringan yang ketat supaya gejala kurang pengawasan tidak berlaku. Pada majlis penutup Kongres Ekonomi Melayu pada 29 Mei lalu, Perdana Menteri memberikan janji bahawa apa yang diterangkan dalam Model Baru Ekonomi bukannya cadangan kerajaan. Pandangan masih boleh diberikan kepada kerajaan.
Maklum balas ini adalah penting terutama pada malam itu 126 buah badan bukan kerajaan (NGO) yang hadir menyampaikan memorandum masing-masing kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Kongres berasakan 31 usul yang dibentangkan menerusi Model Baru Ekonomi tidak memberikan perhatian yang sepatutnya kepada nasib orang Melayu dan pembetulan perlu dilakukan.
Kita telah melihat pelbagai perubahan yang berlaku selain daripada kehilangan dua pertiga majoriti Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya lalu. Tunggak kepada kekuatan UMNO dan BN masih lagi orang Melayu dan pandangan serta isi hati mereka wajar diberikan perhatian supaya tidak diketepikan. Janji Perdana Menteri malam itu banyak menenangkan mereka yang bimbang.
Sama-samalah kita lihat bagaimana bentuk perubahan yang bakal dilakukan.
DATO’ SALLEH MAJID @ ialah bekas Presiden
Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia)
ARKIB : 29/05/2010

Kewangan Malaysia tidak sama seperti Greece

KITA kerap melihat pelbagai iklan di media, terutama di televisyen yang memaparkan bagaimana baiknya produk-produk tertentu. Selain menunjukkan betapa macho, bergaya, cantik, sihat dan seribu satu macam kebaikan yang mungkin diperoleh daripada sesetengah produk, ada kalanya pengiklan menggunakan unsur menakutkan pengguna seperti iklan ubat gigi iaitu kalau tak digunakan, kuman akan merayap ke seluruh gigi dan gusi. Begitu juga kalau tak mahu kelemumur, gunakan syampu ini atau itu dan kalau tidak minum susu berkenaan, tulang boleh reput dan macam-macam lagi yang boleh mendorong pengguna yang bebal berkejar terus ke kedai mencari barang yang diiklankan.
Tidak siapa menyelidik tentang tuntutan-tuntutan yang dibuat oleh produk-produk. Ada produk yang membunuh kuman yang menyebabkan bau mulut, kata iklan tersebut. Betul ke? Berapa botol perlu digunakan, baru boleh mati kuman tersebut?
Nampaknya Datuk Seri Idris Jala menggunakan taktik yang sama untuk menjual pembasmian subsidi kerajaan. "Kalau tidak dibasmi subsidi dalam sembilan tahun, kita akan muflis macam Greece," kata Idris dalam satu laporan akhbar semalam. Masalah Greece tidak sama dengan kita. Greece dianugerahkan taraf 'hampas' (junk) oleh syarikat S&P. Greece telah menipu rakyat mereka selama 10 tahun kerana ingin menyertai Kesatuan Eropah yang memerlukan negara mempunyai defisit kewangan tidak lebih daripada tiga peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mereka. Apabila kerajaan baru mengambil alih pada November 2009, barulah terdedah keadaan kewangan yang sebenar. Kerajaan Greece telah 'joli' selama 10 tahun kerana kewujudan 'duit murah' dan kerajaan tersebut telah joli sehinggalah hutang mencecah Euro 300 bilion.
Di Malaysia, hutang negara setakat ini adalah dalam lingkungan RM239 bilion iaitu 54 peratus daripada KDNK untuk tahun 2009. Defisit kewangan kita pada masa ini adalah 7.3 peratus. Untuk kita jadi bankrap dalam masa sembilan tahun lagi, ia bukan hanya disebabkan subsidi diteruskan tetapi termasuklah faktor lain seperti ketirisan, kebocoran dan pembaziran yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara setiap tahun yang bernilai berbilion ringgit. Penghujung daripada pembaziran yang dilakukan ini tidak diketahui. Hanya kalau ada yang didapati bersalah, lebih-lebih pun mereka akan ditukarkan ke jabatan atau kementerian lain. Wang yang dibazirkan itu tidak balik kepada kerajaan.
Selain itu, umum sedia maklum kadang-kadang ada projek yang memakan belanja lebih daripada peruntukan awal. Bukan saja Bakun tetapi banyak lagi projek yang mengalami lebihan kos. Amalan melonjakkan kos sesuatu projek juga satu jalan mengalirnya keluar wang kerajaan yang diperuntukkan untuk pembangunan. Kita lihat sahaja berapa jumlah belanjawan yang diperuntukkan untuk satu-satu tahun. Untuk tahun 2010, sebanyak RM200 bilion dan semua orang tahu bila cukup tahun, ada saja jabatan yang akan bertindak selaku 'Santa Claus' untuk menghabiskan peruntukan yang diberi.
Sememangnya kita memerlukan keputusan yang perit apabila memotong subsidi. Maklumlah rakyat sudah naik 'lemak' dengan subsidi sehinggakan banyak juga penyeludupan minyak dan gula, misalnya ke negara jiran. Ia mungkin tidak dapat dielakkan. Pada waktu yang sama, sebarang kenaikan harga makanan dan tenaga seperti tarif elektrik tentu sekali akan mendatangkan kesan kepada kos sara hidup.
Kita difahamkan sebanyak 60 peratus daripada yang diberikan SMS telah bersetuju subsidi dimansuhkan. Siapa mereka ini? Kita semua tahu terdapat pelbagai golongan dalam masyarakat kita.
Ada golongan kaya raya yang tidak peduli ada subsidi atau tidak. Tetapi golongan 40 peratus yang berpendapatan RM1,500 tentu sekali akan merasakan roti canai naik, teh tarik naik. Walaupun ada rancangan untuk memberikan baucar kepada sesetengah golongan ini, ia memang baik tetapi perlu dipantau dengan rapi supaya tidak jadi seperti nelayan yang dapat subsidi diesel, kemudian menjualnya dan tidak pergi ke laut atau subsidi baja yang dijual tidak digunakan. Amalan inilah yang mewajarkan pemansuhan subsidi. Tidak kira mereka berpendapatan rendah atau tidak, kalau didapati menyalahgunakan kemudahan yang diberikan, mesti ada sistem yang boleh menghukum mereka dan jangan diberikan kemudahan itu lagi.
Kepada sesetengah golongan rakyat, subsidi sudah dikira sebagai sesuatu yang 'take for granted' dan tidak dianggap sebagai subsidi dan disebabkan ia akan melibatkan bahagian yang bakal mendatangkan kesan yang besar kepada harga barangan, golongan ini agak payah menerima hujah-hujah yang mewajarkan pemotongan subsidi kepada mereka.
Golongan teknokrat seperti Idris Jala mungkin tidak ambil kira faktor pilihan raya umum 2013 nanti atau lebih awal daripada itu. Ini akan menjadi satu isu yang bakal akan dilambung setinggi-tingginya oleh pihak pembangkang walaupun mereka sendiri melihat kewajaran subsidi itu dipotong.
Dan kalau isu ini boleh menjatuhkan kerajaan, tak payahlah kita bercakap 2010 atau 2009 lagi atau apa model ekonomi sekali pun. Oleh itu, isu ini perlu dikaji dengan teliti kerana kita tidak boleh lari daripada implikasi politik dalam persekitaran negara kita.
Apa yang perlu dipertimbangkan juga adalah pemotongan di pihak-pihak lain seperti dalam syarikat-syarikat milik kerajaan supaya kita tidak lagi rugi sampai RM500 juta atau membeli bas yang tidak boleh dipakai berharga berjuta-juta ringgit. Saya percaya lebihan-lebihan yang diperoleh syarikat-syarikat milik kerajaan dan agensi-agensi kerajaan dapat menampung negara kita daripada bankrap. Kumpulan Wang Simpanan Pekerja mempunyai aset hampir RM500 bilion. PNB sahaja sudah berjaya mengumpul sebanyak RM70 bilion. Dan kita ada lagi banyak agensi lain seperti Lembaga Tabung Angkatan Tentera dan Lembaga Urusan Tabung Haji.
Saya mempunyai keyakinan penuh tentang keupayaan kita untuk mengurus kewangan kita dengan baik dan mengelak kita daripada menjadi negara muflis. Tetapi anggapan yang sama tidak boleh dipanjangkan kepada sesetengah negeri dalam negara kita. Terpulanglah kepada mereka memastikan yang mereka tidak muflis.
Kalau pemotongan subsidi yang dikatakan bernilai RM74 bilion bertujuan mengukuhkan keadaan kewangan negara, usaha yang sama perlu dilakukan melibatkan lain-lain perbelanjaan kerajaan. Ini perlu dilihat secara gambaran yang besar dan tidak tertumpu kepada subsidi sahaja.
Subsidi tidak perlu diberi kepada mereka yang kaya, tidak perlu diberi kepada rakyat asing yang datang isi minyak kereta di sini atau yang duduk di sini. Subsidi perlu diberi kepada mereka yang miskin dan daif dan penguatkuasaan atas pemberian ini perlu tegas dan praktikal.
ARKIB : 15/05/2010

Usahawan Melayu disaran menilai diri sendiri

REPUTASI diri adalah penting. Reputusi bergantung kepada amanah dan komitmen seseorang. Dalam ucapan perasmian Konvensyen Usahawan Melayu 2020 di Pusat Dagangan Dunia Putra semalam, Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan usahawan Melayu perlu meningkatkan ilmu pengetahuan kerana dunia hari ini bukan lagi berlandaskan "technical know who" tetapi "technical know how".
Mereka yang mengharapkan pembahagian projek dan kontrak kerana hubungan dan bukan pengetahuan kena menerima perubahan bahawa di bawah Model Ekonomi Baru (MEB) atau Model Baru Ekonomi bantuan kerajaan hanya akan diberi kepada yang layak.
Najib tidak mahu lagi mendengar cerita mereka yang masih memohon Permit Import (AP) walaupun AP sudah diberhentikan. Beliau tidak mahu lagi mendengar kegagalan kontraktor seperti yang berlaku dengan pemasangan makmal komputer dulu.
MEB mengambil kira keperluan, mesra pasaran dan merit.
Pada waktu yang sama dalam pembentangan Ketua Eksekutif ISIS, Datuk Dr. Mahani Zainal Abidin mengajak usahawan Melayu melihat profil orang Melayu sekarang. Ada golongan yang jadi jutawan, ada golongan yang 'global', ada rumah di London, ramai orang Melayu dalam golongan menengah, mampu menghantar anak sekolah private, ada yang ada pekerjaan tetapi jawatan tertinggi masih lagi dikuasai oleh bangsa lain.
Orang Melayu tidak ramai yang mempunyai kemahiran, 80 peratus lulusan Sijil Pelajaran Malaysia. Orang Melayu perlu prihatin tentang kewujudan urban poor atau kemiskinan bandar.
Jurang antara orang Melayu yang kaya dengan yang miskin semakin meluas. Daripada bahagian bawah 40 peratus yang berpendapatan RM1,500 ke bawah, 80 peratus dikatakan terdiri daripada orang Melayu.
Persoalannya apakah yang harus dilakukan dengan profil orang Melayu yang sebegini rupa supaya jangan sampai orang lain "take away your lunch on your plate" kata Dr.Noraesah, pengerusi sesi pembentangan tersebut. Maknanya jangan sampai makanan dalam pinggan kita dirampas orang lain.
MEB mestilah meneruskan dasar Masyarakat Perniagaan dan Perindustrian Bumiputera yang mengandungi 11 kluster dalam pelbagai bidang seperti yang termaktub dalam Rancangan Malaysia Kesembilan. Ini melibatkan dana, program latihan, idea dan insentif.
Pembangunan ekonomi Bumiputera mesti dijadikan NKRA setiap kementerian dan agensi, termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Ini sewajarnya menjadi tanggungjawab Ketua Setiausaha masing-masing dan CEO GLC. Untuk mengetahui kemajuan, penilaian tahunan wajib dilakukan.
Salah satu perkara penting yang kerap dibangkitkan dan juga menjadi salah satu soalan yang dibangkitkan oleh Profesor Dr. Mohamed Mustafa Ishak daripada Universiti Utara Malaysia di konvensyen tersebut ialah di mana silapnya sistem pendidikan kita sehinggakan ramai graduan kita menganggur.
Dr. Mahani dalam jawapan beliau mengatakan wujud penempuan yang berlebihan kepada universiti dan institusi pengajian tinggi dalam bentuk peruntukan sedangkan di peringkat sekolah rendah dan menengah masih mengalami keadaan yang begitu daif.
Asas pendidikan berlaku di peringkat rendah sebagai asas kepada pengajian lanjutan ke universiti. Sekarang sudah ada dua aliran, bahasa kebangsaan di IPTA dan bahasa Inggeris di IPTS. Apa yang berlaku ialah pihak swasta lebih gemar mengambil graduan yang mengikuti aliran Inggeris.
Pelajar kita juga perlu dibentuk supaya mampu berfikir dan bukan semata-mata memuntahkan sahaja apa yang diterima daripada kuliah dan pensyarah.
Dari segi ini dua perkara penting perlu diketengahkan iaitu isi dan proses. Kita kerap dilambakan sejak di sekolah rendah dengan isi. Apa jua mata pelajaran, kita diberikan kandungan subjek tersebut, sedangkan aspek proses yang lebih penting untuk mengendalikan kehidupan kita tidak disentuh langsung daripada sekolah rendah sehingga universiti.
Walaupun mereka yang lulus dengan pangkat dan gred yang cemerlang, malangnya mereka hanya cermin kepada orang yang mampu mengeluarkan apa yang diterima semasa peperiksaan.
Datuk Mahani menyarankan pelajar kita perlu menguasai pelbagai bahasa supaya mampu berdaya saing di peringkat antarabangsa.
Menyentuh tentang pembangunan modal insan ini, penekanan kemahiran dan keusahawanan sejak dibangku sekolah sehingga di IPT diperlukan. Universti Tun Razak misalnya mempunyai fakulti khas dalam bidang keusahawanan dan mempunyai program bersama dengan universiti terbaik di dunia dalam bidang keusahawanan iaitu Bobson University, Amerika Syarikat.
Penekanan kepada high exchange value courses sebagai bidang wajib kepada mahasiswa yang mengambil bidang sains sosial, kemanusiaan dan pengajian Islam.
Usaha untuk memperkasakan bidang vokasional dengan kerjasama swasta diperlukan untuk faedah anak-anak muda yang mungkin selepas peperiksaan SPM merayau tidak ke mana-mana.
Banyak lagi langkah-langkah yang perlu dilakukan sebagai mengatur strategi untuk meningkatkan taraf usahawan Melayu dan orang Melayu di buminya sendiri.
Janganlah sampai yang melaksana lupa akan tanggungjawab mereka.
DATO' SALLEH MAJID ialah bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia)
ARKIB : 08/05/2010

Kesan keruntuhan Greece

KITA semua ingat apa yang berlaku dengan krisis kewangan yang melanda negara-negara Asia pada tahun 1997/98 dulu yang bermula dengan gelembung hartanah di Thailand. Negara-negara sekelilingnya turut terkena tempias dari negara tersebut termasuk kita.
Sepuluh tahun kemudian, Amerika Syarikat (AS) pula mengalami keadaan yang sama dan sehingga hari ini, negara itu belum lagi keluar dari kemelut tersebut. Masih tinggi lagi angka-angka pengangguran walaupun ada tanda-tanda pertumbuhan ekonomi menunjukkan tanda yang baik.
Kini, Eropah pula bergelut dengan masalah yang bermula di Greece. Ada pendapat mengatakan Greece telah mengelak daripada menceritakan keadaan kewangan yang sebenarnya sebelum diterima masuk ke dalam Kesatuan Eropah (EU).
Mereka sebenarnya telah mempunyai masalah defisit kewangan sebelum memasuki EU. Kini, dengan adanya masalah yang memerlukan diselamatkan dengan bantuan kewangan, mereka melakukan langkah yang kita dicegah melakukan semasa kita mengalami masalah krisis kewangan sepuluh tahun dulu.
Selepas Greece diberikan penarafan 'hampas' (junk), kini negara-negara lain di Eropah juga menghadapi penarafan yang buruk seperti Portugal, Sepanyol dan Itali. Kalau negara-negara dalam EU tidak membantu ancaman besar kepada kesatuan itu, maka keseluruhan EU akan meleset.
Semua orang tahu bahawa kawalan modal dan tambatan ringgit dengan Dolar Amerika yang diperkenalkan dulu menjadi bahan cemuhan dan kritikan sehingga ke peringkat antarabangsa. Kalau tidak kerana ketegasan Tun Dr.Mahathir Mohamad, mungkin negara kita menghadapi nasib yang sama dengan negara-negara lain yang terpaksa mengikut telunjuk Tabung Matawang Antarabangsa (IMF) dengan menjual syarikat-syarikat mereka kepada syarikat asing.
Apa yang berlaku di Greece mungkin jauh dari negara Asia tetapi kesannya dirasai bukan saja di bursa-bursa saham di Eropah tetapi di Asia juga. Kini, mata wang Euro menerima pukulan yang teruk.
Ertinya, satu-satunya benua yang disangkakan paling kukuh dari sudut ekonomi kini sedang mengalami kemelut ekonomi seperti AS juga.
Dengan negara Jepun turut menghadapi masalah tumpuan tinggal kepada BRIIC (Brazil, Rusia, India, Indonesia dan China) dan Timur Tengah. Bagi kita mengarahkan tumpuan kepada Timur Tengah sememangnya wajar kerana selama hari ini, kita belum lagi dapat meneroka sepenuhnya negara-negara Timur Tengah. Lihat saja berapa banyak barang-barang kita yang diimport di Mekah dan Madinah.
Boleh jadi tak ada langsung tetapi lihat pula berapa ramai orang Malaysia setiap tahun pergi melakukan Umrah dan Haji. Tidak kurang daripada 100,000 kerana kuota hanya untuk musim Haji tetapi bukan masa Umrah. Bayangkan berapa banyak orang kita berbelanja untuk katakan dua minggu secara purata di sana termasuk tambang kapal terbang.
Apa yang mereka belanjakan hampir tiada langsung untuk barang-barang makanan dan lain-lain dari Malaysia. Kejayaan penerokaan kita ke dunia sebelah sana mungkin dalam bidang pembinaan dan perundingan tetapi bukan dalam bidang eksport.
Banyak lagi yang kita boleh lakukan untuk menembusi pasaran Timur Tengah, baik secara eksport mahupun secara pelaburan ke dalam negara kita.
Di bidang pelancongan misalnya, kita menawarkan sesuatu yang menarik kepada pelancong dari negara-negara Timur Tengah kerana kita satu-satunya negara Islam yang aman damai dan dari segi makanan dan amal ibadat, sesiapa dari negara-negara tersebut tidak menghadapi sebarang masalah.
Di bidang kewangan, terutama sekali dari sudut pengurusan dan pelaburan aset, syarikat-syarikat kita masih belum lagi dapat menggembeling modal dari negara-negara Timur Tengah. Hanya ada beberapa syarikat tempatan seperti CIMB Wealth Advisors yang telah menjangkau ke dunia sebelah sana. Ada syarikat broker saham kita yang cuba untuk bertapak di Arab Saudi, misalnya tidak dapat menjalankan perniagaan seperti yang diharapkan.
Bukan mudah untuk mencari sesuatu yang dianggap seragam oleh negara-negara Islam ini walaupun dalam bidang kewangan Islam. Prospektus sukuk yang diterbitkan di sini misalnya akan perlu dilakukan perubahan besar jika sampai di Bahrain atau Dubai. Nampaknya, penyeragaman merupakan satu kerumitan dalam dunia kewangan Islam.
ARKIB : 01/05/2010

Mutu diperlukan dalam sektor perkhidmatan

KADANG-kadang mereka dalam sektor perkhidmatan tidak tahu bagaimana hendak mencari jalan lain sekiranya berlaku sesuatu masalah kepada operasi harian mereka. Misalnya semasa saya berjumpa seorang pakar kanak-kanak di hospital swasta AL-Islam di Kampung Baru, saya kena menunggu begitu lama untuk mendapatkan ubat yang disaran oleh doktor.
Alasan yang diberi ialah komputer mereka "tergantung". Pihak farmasi hendak memberitahu bahagian juruwang tersangkut. Tetapi antara bahagian farmasi dengan juruwang hanya satu tingkat dan ada lif. Jadi mudah saja menyelesaikan masalah itu, dengan cara manual.
Tetapi sebelum saya bertanya kenapa begitu lambat tiada siapa mengambil berat untuk menyediakan ubat secepat mungkin. Masing-masing buat hal masing-masing sedangkan pelanggan menunggu begitu lama.
Terpaksalah kita bising kepada orang di situ untuk berbuat sesuatu untuk bergegas melakukan sesuatu. Inilah suasana yang terdapat di sebuah hospital swasta pakar yang pelanggannya wajar menerima layanan yang baik.
Ramai yang terbabit dalam industri perkhidmatan seperti hospital, hotel, eko pelancongan, homestay dan apa jua perkhidmatan perlu sedar bahawa mutu sesuatu perkhidmatan itu perlu diberikan perhatian. Ada suatu rangkaian perhotelan yang kerap mengiklankan perkhidmatan mereka tetapi bagi mereka yang pernah menggunakan perkhidmatannya, akan sedar bahawa khidmat mereka begitu buruk.
Kalau kita di coffee housenya menunggu makanan yang kita pesan, kita akan menunggu begitu lama.
Baru-baru ini saya perhatikan syarikat perkhidmatan bas ekspres dua tingkat yang menyebabkan ramai penumpang terbunuh apabila salah sebuah basnya melanggar pembahagi jalan beria-ia mengiklankan betapa bagusnya perkhidmatan mereka di televisyen. Mereka ini menyangka dengan berbuat demikian dan tidak melakukan sesuatu mengatasi punca berlakunya kemalangan tersebut, orang akan lupa peristiwa menyayat hati tersebut!
Biarlah kita betulkan keutamaan kita. Lihat mutu perkhidmatan kita. Mutu perkhidmatan bas ini bukan terletak atas jenis basnya, tetapi jenis manusia yang diambil untuk memandu dan jadual yang diberikan kepada pemandu selain daripada tiket dan lain-lain perkhidmatan jika ada.
Tempat berehat dalam perjalanan pun penting. Jangan jadi macam perjalanan bas ke bahagian selatan. Kesemuanya berhenti di sebuah restoran yang dipenuhi dengan lalat. Sebab apa? Sebab kawasan itu dekat dengan ladang ternakan ayam. Jadi apabila kita makan sesuatu, kita akan berebut dengan lalat!
Kenapa syarikat bas untuk ke selatan ini tidak berhenti saja di salah satu tempat Rehat dan Rawat yang disediakan oleh PLUS? Kerana mereka tentu ada kira-kira dengan pemilik restoran di Machap itu. Sesiapa yang sudah biasa menggunakan perkhidmatan tersebut tentu tahu betapa rendahnya mutu makanan yang disediakan dan tidak banyak pilihan jika dibandingkan dengan yang terdapat di tempat-tempat Rehat dan Rawat yang banyak di sepanjang jalan.
Saya hairan kenapa pihak berkuasa tidak melihat perkara untuk kebajikan orang ramai yang menggunakan perkhidmatan bas ini.
Bercakap tentang bas, memang ramai pemandu bas ini tidak serik kalau diberi saman sekali pun. Kita ikut saja belakang bas untuk tahu betapa lajunya bas-bas ini. Sepatutnya untuk mengelakkan daripada kemalangan dan kehilangan banyak nyawa, pihak berkuasa patut ada kereta ronda yang memantau bas-bas di lebuh raya kita ini. Mereka membawa bas seperti kereta sport!
Masih lagi tentang pengangkutan. Lihat saja perkhidmatan teksi kita. Begitu banyak rungutan tentang mereka yang tidak mahu menggunakan meter. Kita juga mendengar rintihan pelancong yang "disembelih" oleh pemandu teksi. Kita juga rajin mendengar aduan tentang keengganan teksi untuk mengambil penumpang dan memberi macam-macam alasan menerangkan sebab keengganan mereka.
Di sinilah menunjukkan kelemahan penguatkuasaan kita ke atas teksi-teksi ini. Dan teksi-teksi ini pandai, kalau ditekan oleh pihak berkuasa, mereka akan membuat ancaman melalui tindakan persatuan. Bayangkan mereka ini boleh mencekik leher kita sedangkan kita yang membayar untuk perkhidmatan mereka.
Kenapa di negara jiran kita tidak ada masalah dengan teksi mereka. Bukan saja mereka tidak berani memberi bermacam helah, teksi mereka juga bersih dan cara mereka sopan dan santun. Mereka tidak berani lari laju kerana tentu sekali akan dikejar oleh pihak polis trafik mereka. Di sini pemandu sesuka hati menghisap rokok dalam teksi, membuatkan di dalam teksi berbau rokok. Sudahlah begitu nama saja ada hawa dingin, tetapi sesetengahnya tidak berfungsi tetapi mahu bayaran lebih.
Sekali lagi saya rasa mereka yang diberi lesen sama ada untuk menjalankan perusahaan teksi dan pemandu perlu ditapis betul-betul supaya dapat mereka yang mampu memberikan perkhidmatan yang bermutu. Dan sekiranya ada rungutan daripada orang ramai, tindakan perlu diambil segera.
Bukankah Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Sidek Hassan telah mengatakan yang ramai ketua jabatan dan mereka yang berkuasa tidak mahu mengambil tindakan jika ada orang di bawah jagaan mereka bertindak melanggar peraturan dan prosedur kerana semua orang suka mereka disukai. Kalau ada yang buat salah, lebih-lebih pun kena pindah tempat lain. Ini KPI apa namanya. Dia akan buat hal lama di tempat yang dia dipindahkan pula.
Mutu perkhidmatan untuk sektor perkhidmatan ini membawa makna produktiviti. Produktiviti adalah penting bagi negara yang ingin maju macam kita. Tidak ada gunanya dua tiga orang dapat keuntungan perniagaan beratus juta menjadikan jumlah keseluruhan pendapatan meningkat dan secara purata angka pendapatan meningkat sedangkan yang membuat kenaikan tersebut ialah disebabkan dua tiga orang yang dapat untung beratus kali ganda!
Terlalu banyak jenis perkhidmatan yang boleh dihuraikan. Termasuklah syarikat perundingan, peguam, penerbangan, logistik, penyediaan makanan, telekomunikasi, kemudahan awam elektrik dan air, perkhidmatan kerajaan yang pelbagai jenis dan pembayaran.
Kita lihat saja perkhidmatan jalur lebar. Kadang-kadang ada, kadang-kadang tak ada. Lepas itu bayarannya tinggi, bagaimana ramai rakyat hendak menikmati perkhidmatan ini. Mereka yang diberikan lesen untuk menyediakan khidmat penting ini perlu teliti perkara ini betul-betul.
Dato' Salleh Majid ialah bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia)

ARKIB : 24/04/2010

Goldman Sachs, Lehman Bros dan Hulu Selangor

AWAL minggu ini, pasaran saham dunia telah dikejutkan dengan berita mengenai sebuah bank pelaburan yang terkenal di Amerika Syarikat (AS) telah didakwa kerana penipuan. Menurut berita yang disebarkan oleh Goldman Sachs yang pernah dibantu oleh kerajaan AS semasa krisis 2008 dengan pinjaman sebanyak AS$10 bilion (RM32 bilion) didakwa menjual produk berasaskan sub-prima kepada para pelabur dan pada waktu yang sama mengetahui produk itu akan jatuh.
Dalam erti kata lain, Goldman Sachs telah memperdayakan pelabur dengan tidak memberikan maklumat yang lengkap. Kontrak-kontrak sub-prima yang dibungkus oleh bank-bank pelaburan telah dijual kepada pelabur institusi di merata dunia menyebabkan krisis kewangan terbesar sejak keruntuhan ekonomi 1929.
Walau bagaimanapun Goldman Sachs memberitahu para pelabur yang mereka tidak melakukan sebarang kesalahan dan berjanji akan mempertahankan diri mereka di mahkamah. Apa yang membimbangkan pasaran saham dunia adalah kemungkinan pengawal selia di Amerika Syarikat iaitu Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa (SEC) akan mendakwa bank-bank pelaburan lain yang mungkin juga telah melakukan penipuan kepada pelabur.
Cuba kita bayangkan apa yang berlaku. Di sebuah negara yang begitu maju sehinggakan banyak amalan perniagaan di sana ditiru oleh lain-lain negara tidak dapat mengawalselia apa yang berlaku di pasaran. Salah seorang penasihat Presiden Amerika Syarikat sekarang, Larry Summers berkata, bekas presiden Bush telah membantah pengenalan sebarang peraturan dan undang-undang ke atas pasaran kewangan. Dia dan juga Alan Greenspan, Pengerusi Lembaga Rizab Persekutuan tidak percayakan pembabitan kerajaan kerana percaya pasaranlah yang paling wajar untuk menentukan arah aliran ekonomi sesebuah negara.
Banyak yang dapat kita jadikan teladan daripada apa yang berlaku di AS dan Eropah. Eropah kini sedang bergelut dengan masalah kebankrapan Greece, yang tidak silap lagi ada kaitan dengan pakej-pakej sekuriti yang dijaja dari AS oleh bank-bank pelaburan mereka yang ternama serta agensi-agensi penarafan seperti Moodys yang turut sama menyatakan taraf yang terbaik untuk pakej-pakej tersebut. Pendeknya kerajaan jangan campur tangan, biarkan saja pasaran menentukan pergerakan ekonomi. Apabila mereka yang tidak mampu membayar diberikan pinjaman dan bila gagal membayar, maka seluruh struktur sekuriti yang dijaja runtuh. Sekuriti yang dimaksudkan yang dipanggil derivatif yang berasal daripada perkataan derive from atau 'datangnya daripada' sesuatu komoditi atau sekuriti.
Pihak pengawal selia tidak faham sepenuhnya tentang apakah jenis-jenis derivatif yang digubal oleh bank-bank pelaburan ini yang semuanya diberikan taraf tertinggi oleh agensi-agensi penarafan. Bank pertama bungkus - jual kepada bank kedua, bank kedua bungkus - jual kepada bank ketiga dan seterusnya kepada bank dalam negeri dan luar negeri dengan semua percaya benda bagus akan memberi pulangan tinggi. Apabila produk yang digubal berasaskan gabungan yang lemah dan jatuh, kesannya macam domino jatuh. Sebab itulah, bank-bank luar negara seperti di Eropah dan Britain yang membeli pakej-pakej ini turut sama lingkup. Semuanya pasal tamak yang tidak bertepi. Satu dunia sengsara dibuatnya.
Dalam kes Goldman Sachs ini, Warren Buffet, pelabur terkaya di AS sendiri turut mengalami kerugian.
AS belum keluar lagi daripada kemelut ekonominya walaupun ada pihak-pihak yang cepat mengatakan bahawa kemelesetan telah berlalu. Dengan adanya pendakwaan yang terbaru ini terhadap suatu bank pelaburan yang terkenal di sana, maka kita bakal mendengar bank pelaburan mana lagi yang mungkin didakwa. Sementara itu, Britain dan Jerman juga berjanji akan menyiasat pembabitan Goldman Sachs dengan institusi-institusi mereka. Kalau penyiasatan ini membongkar lagi, maka amalan mengelirukan para pelabur bukan saja di kalangan Goldman Sachs, malah banyak lagi bank-bank lain. Justeru, kita akan berhadapan dengan satu lagi pusingan kemelesetan dan jajarannya akan dirasai di seluruh dunia.
Perdana Menteri Britain, Gordon Brown, begitu marah dan mengatakan apa yang dilakukan oleh Goldman Sachs ialah suatu 'kebankrapan moral'. Pihak berkuasa Perkhidmatan Kewangan di Britain akan melancarkan penyiasatan ke atas bank pelaburan itu.
Pada waktu yang sama, laporan 2200 muka surat tentang kemuflisan Lehman Brothers, bank pelaburan berumur 150 tahun yang jatuh muflis pada September 2008 lalu yang disediakan oleh penyiasat Lehman, Anton R. Valukas mendapati bahawa Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa AS tahu akan amalan-amalan yang salah yang dilakukan oleh Lehman tetapi 'hanya mengumpul maklumat dan membiarkan saja'. Dalam temu bual penyiasat ini dengan pengerusi pengawal selia tersebut, pengerusi pada masa itu, Christopher Cox menyatakan bahawa mereka bukan pengawal selia Lehman. Pada waktu Lehman bankrap, asetnya bernilai AS$639 bilion (RM2 trilion) dan mengambil masa sekurang-kurangnya lima tahun untuk menyelesaikan hutang piutangnya. Ada yang akan dapat sekecil AS14.70 (RM47.04) bagi setiap Dolar sebagai bayaran. Bila sudah lingkup begitu, pihak-pihak yang bertanggungjawab tidak akan mengaku bertanggungjawab.
Pada 20 April lalu, ketua pegawai eksekutif Lehman, Richard Fuld terpaksa berdepan dengan panel kongres Amerika yang menyiasat tentang kejatuhan Lehman.
Tidak hairan kalau siasatan tersebut mendapati ramai lagi bank pelaburan lain menggunakan helah akaun yang sama seperti Lehman. Walau bagaimanapun setiap kegagalan akan disiasat ke akar umbi.
Kita berharap perkara yang sama dilakukan di sini terutama tentang apa jua kegagalan seperti Zon Bebas Pelabuhan Kelang (PKFZ) yang dikatakan kerugian menjangkau RM12 bilion. Terkejut juga membaca berita mengenai Lembaga Pengarah lama bebas daripada sebarang tuduhan oleh Lembaga Pengarah baru. Kita harap komitmen perkara ini akan disiasat ke akar umbi seperti yang diminta oleh Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat.
Beralih kepada cerita politik pula, saya tertarik dengan apa yang berlaku di Hulu Selangor. Semua orang tahu yang pilihan raya kecil ini telah menonjolkan nama Hulu Selangor di dada akhbar setiap hari. Banyak laporan mengatakan kawasan itu sunyi sepi dengan tidak banyak perubahan berlaku selama ini. Saya hairan orang yang dipilih pengundi di situ yang berpenggal-penggal apa dibuatnya? Macam biasalah apabila muncul pilihan raya, macam-macam janji ditabur kepada pengundi dan kalau pengundi tidak dapat membuat penilaian siapa yang wajar diberikan kepercayaan, nescaya kesannya akan diterima oleh pengundi balik.
Pilihan raya masa kini betul-betul berubah gelanggangnya. Sekarang, calon-calon gunakan Facebook dan Twitter untuk memastikan mesej mereka sampai kepada masyarakat muda. Kedua-dua rangkaian sosial ini begitu popular dan corak pilihan raya akan datang tentu sekali tidak sama lagi seperti dahulu. Caci mencaci, fitnah memfitnah berlaku melalui blog-blog dan kenalah pihak yang bertanding mengawasi pula apa yang diperkatakan oleh blog. Disebabkan orang yang menggunakan blog ini tidak semestinya menggunakan nama sebenar mereka, jadi untuk mengetahui siapa yang melemparkan fitnah dan cacian agak susah diketahui, melainkan dapat kerjasama pihak berkuasa.
Apa nak dikata, hari ini orang sudah tidak takut Tuhan. Itu sebabnya sedikit demi sedikit kita ditunjukkan tanda-tanda balasan Tuhan seperti debu dari gunung berapi di Iceland yang sudah 200 tahun tidak meletup sekarang memenuhi ruang angkasa di Eropah menyebabkan kerugian berbilion ringgit. Yang pasti, apabila tiba balasan, mereka yang tidak berdosa pun akan terkena.
ARKIB : 17/04/2010

Satu kes yang wajar diberikan renungan

INI adalah kisah benar. Seorang peniaga warung yang telah berniaga nasi ayam dan nasi campur selama 12 tahun di atas tanah milik seorang pesara di sebuah kawasan dalam Kuala Lumpur.
Apabila Terowong Jalan Raya dan Pengurusan Air Banjir atau Stormwater Management and Road Tunnel (SMART) hendak dibina, perniagaan dia terpaksa ditutup untuk membuka jalan bagi pembinaan terowong tersebut.
Pada masa itu dia dapat tahu bahawa tanah yang disewanya sebanyak RM1,200 sebulan selama 12 tahun sebenarnya tanah kerajaan. Oleh itu apabila ditutup warung peniaga tersebut, jabatan yang berkenaan, Jabatan Saliran sepatutnya memberikan pampasan ke atas penutupan perniagaan tersebut.
Dengan penutupan tersebut maka bermulalah masalah peniaga tersebut. Dia telah dirujuk kepada Pejabat Tanah Wilayah yang berjanji akan memberitahu Jabatan Saliran tentang pampasan yang patut diberikan.
Kemudian dia telah berhubung dengan Jabatan Saliran dan juga bertemu dengan pegawai jabatan tersebut yang telah memberitahu beliau bahawa kesnya terpaksa dirujuk kepada Unit Perancang Ekonomi.
Begitulah seterusnya sehingga hampir dua tahun berlegar-legar antara satu jabatan dengan satu jabatan lain sehingga pernah hadir di suatu mesyuarat yang mendengar tuntutan beliau serta tuntutan tuan tanah yang sebahagian tanahnya ialah milik kerajaan.
Sampai hari ini peniaga ini belum dapat bayaran pampasannya. Nasib baiklah dia mendapat tempat berniaga di medan selera yang berdekatan. Walaupun tempat itu tidak sebaik warung yang ditutup dahulu, untuk terus hidup dia terpaksalah menjalankan perniagaannya di sana.
Inilah masalah masyarakat peniaga kecil yang dipermainkan oleh pihak berkuasa hanya untuk menuntut hak mereka.
Pada pegawai-pegawai yang berkenaan, mereka tidak simpati dengan masalah peniaga tersebut kecuali simpati melalui kata-kata manis sahaja. Bagi seseorang yang tidak mempunyai hubungan dengan sesiapa untuk membantu masalah mereka, mereka akan dilupakan begitu sahaja.
Saya ingin bertanya di manakah letaknya manifestasi kenyataan "Rakyat Didahulukan" oleh penjawat-penjawat awam yang berkenaan dalam slogan 1Malaysia yang menjadi tumpuan sekarang. Dalam kes begini memang rakyat tidak didahulukan.
Saya bersyukur kerana ada juga pihak-pihak yang nampak kebaikan daripada cadangan saya menghidupkan semula Bursa Saham Bumiputera tempoh hari.
Di antara pihak yang saya rasa dapat melihat faedah cadangan tersebut ialah mereka di Astro Awani yang telah menghubungi saya tiga kali untuk tiga rancangan terbitan mereka yang berlainan dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris.
Malahan pada suatu program, saya telah bersama seorang pengamal industri sekuriti yang merasakan tidak perlu diwujudkan lagi bursa tersebut kerana di Bursa Malaysia sudah ada bahagian ACE yang dulunya dikenali dengan nama MESDAQ.
Saya telah menerangkan bahawa walaupun ACE ada di Bursa Malaysia, sehingga hari ini tidak ada satu pun syarikat Bumiputera yang tersenarai di bahagian tersebut walaupun syarat penyenaraian di bahagian berlainan daripada pasaran utama Bursa Malaysia.
Seperkara lagi, kalau kita perhatikan syarikat-syarikat di bahagian ACE ini, boleh dikatakan kesemuanya berkaitan dengan teknologi maklumat atau IT.
Daripada segi kecairan yang dipersoalkan oleh sesetengah pihak, jawapan saya ialah kita akan meneroka seluruh dunia melalui Internet kerana cadangan Bursa Saham Bumiputera ini perlu bergerak melalui Internet untuk mengambil kesempatan jumlah pelanggan yang besar.
Walaupun kita sasarkan peratusan bawah daripada setengah peratus daripada jumlah keseluruhan pelanggan, ia sudah lebih daripada mencukupi.
Dan seperti yang saya terangkan dengan adanya syarikat Bumiputera ini, dengan sendirinya kita menawarkan syarikat yang diluluskan oleh syariah. Ini memberikan kemungkinan cerah pelabur dari Asia Barat mungkin berminat dengan syarikat yang berpotensi dan berprestasi baik selain rakyat Malaysia di seluruh dunia.
Ertinya dari segi kecairan, kita tidak terhad kepada pelabur negara kita atau Bumiputera sahaja.
Peranan pendidikan tentang selok-belok pasaran saham penting bagi usahawan untuk memahami. Bursa ini akan memberikan keutamaan kepada pendidikan bukan sahaja kepada usahawan malahan kepada pelabur sekali.
Dato' Salleh Majid ialah bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia).
ARKIB : 10/04/2010

Sebelum kutuk, fahami cadangan hidupkan semula BSB

SAYA telah dikutuk kerana mencadangkan dihidupkan semula Bursa Saham Bumiputera (BSB). Ramai kalangan yang memberikan pandangan tentang cadangan tersebut termasuk orang kita sendiri yang mengatakan cadangan itu membuang masa dan tidak berguna.
Sememangnya apa jua cadangan berkaitan dengan kebaikan untuk golongan Bumiputera semuanya tak baik dan membuang masa. Mereka yang memberikan pandangan (akhbar The Star kelmarin) tidak tahu butir-butir tentang cadangan tersebut. Ada yang mengatakan kalau dulu sudah gagal mengapa sekarang akan berjaya.
Mereka tidak tahu kegagalan dulu disebabkan tidak ada suatu sistem – baik sistem dagangan, hantaran atau penjelasan bayaran. Tunggang langgang. Mereka yang hendak beli dan jual saham kena tunggu berbulan-bulan untuk mencari pembeli atau penjual.
Sebenarnya kalau ada sistem pasaran, saham itu boleh berjaya. Kerajaan sendiri telah memberikan peruntukan dalam Akta Perindustrian Sekuriti 1968 yang memberikan pengecualian kepada pengawalseliaan pasaran tersebut. Apa yang difaham oleh pengkritik kerusi malas ini ialah kegagalan pasaran saham Bumiputera bukan disebabkan tak ada kecairan tetapi tidak ada sistem.
Jadi orang menyampah hendak berurus niaga dengan bursa tersebut. Kemudian pihak Mara sendiri tidak mempunyai pakar dalam pengurusan bursa tersebut.
Ketua Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Yusli Yusuff mengatakan syarikat Bumiputera sekarang sudah kompetitif. Saya hendak bertanya, syarikat Bumiputera yang mana disenaraikan di Bursa Malaysia? Berapa banyak syarikat milik individu yang bukan milik kerajaan macam Telekom dan Tenaga yang disenaraikan. Ada, memang ada dua tiga kerat sahaja. Di pasaran ACE (dulunya MESDAQ) tidak ada satu pun syarikat Bumiputera. Kesemuanya boleh katakan syarikat IT.
Apabila kita menyenaraikan syarikat Bumiputera di Bursa Saham Bumiputera sudah tentu syarikat-syarikat tersebut yang diluluskan oleh syariah, ertinya syarikat Islam. Jadi dengan cadangan untuk dijalankan dagangan bursa ini melalui Internet, kita boleh mendapat pelanggan daripada negara Asia Barat juga. Malahan mereka yang inginkan syarikat lulus syariah berbanding dengan syarikat-syarikat yang ada sekarang dari seluruh dunia.
Syarikat yang kita maksudkan untuk diberi peluang untuk disenaraikan ini terdiri daripada syarikat kecil dan sederhana (SME) yang sukar untuk mendapat pembiayaan dan syarikat yang bersandarkan pengalaman seperti yang diuar-uarkan oleh kerajaan. Contohnya syarikat Biomed yang sudah terbukti keunggulannya tetapi bergelut hendak mendapatkan pinjaman kerana sandaran cagarannya ialah ilmu.
Ramai usahawan yang kecewa, betapa susahnya hendak mendapat pinjaman hinggakan ada yang melupakan keinginan untuk menjadi usahawan. Ramai yang berjumpa saya terdiri daripada mereka yang berkelayakan tinggi dan berkemahiran tetapi apabila ingin mula berniaga tersangkut untuk mendapatkan pembiayaan.
Memang benar macam-macam dana pinjaman diwujudkan tetapi semuanya disalurkan melalui bank-bank perdagangan. Kalau tak percaya betapa susahnya mendapat pinjaman, cubalah. Bukannya orang kita ini tidak ada ilmu, kemahiran dan pengalaman tetapi macam-macam rintangan dan halangan terutama sekali untuk mendapatkan pinjaman. Jadi cadangan menghidupkan semula Bursa Saham Bumiputera ini bertujuan mengadakan suatu jalan untuk mendapatkan pembiayaan.
Kita wujudkan suatu sistem sepenuh elektronik dan automatik untuk dagangan, penjelasan dan penyelesaian. Tidak ada wakil atau syarikat broker kerana pelabur berdagang terus dengan bursa. Kita kenakan satu bayaran saja untuk dagangan, penjelasan dan penyelesaian tak kira banyak mana saiz belian atau jualan. Sesiapa hendak beli kena bayar dulu, sesiapa hendak jual kena bagi tunjuk hak milik. Cara begini kita tidak ada manipulasi atau spekulasi pasaran.
Kita pilih syarikat yang ada penaja. Penaja boleh terdiri daripada badan berkanun, bank perdagangan, bank pelaburan, syarikat broker dan syarikat yang dana pemegang saham bernilai RM100 juta tidak tergugat dengan kerugian.
Misalnya kalau Mara ada syarikat yang sudah dibimbingnya bertahun-tahun yang mempunyai potensi untuk berkembang dan Mara tahu perkembangan dan kemajuan syarikat tersebut, Mara boleh jadi penaja kepada syarikat tersebut.
Begitu juga agensi seperti Tabung Haji, Felda, Risda, Felcra. Juga bank-bank seperti Bank Rakyat yang ada syarikat yang telah dibimbing sekian masa yang mempunyai potensi.
Bursa Saham Bumiputera bukan bermakna untuk Bumiputera sahaja tetapi kita peruntukan – katakan sebahagian daripada saham kepada bukan Bumiputera dan sesiapa sahaja boleh melabur dengan bursa tersebut termasuk orang kita di luar negara.
Kita wujudkan portal Internet untuk menceritakan tentang butir-butir syarikat-syarikat yang disenaraikan supaya pelabur dapat membuat keputusan untuk pelaburan mereka. Segala urusan dagangan telus dan boleh dilihat di laman sesewang bursa ini.
Cadangan ini tidak bertentangan dengan Model Ekonomi Baru kerana ia tidak mengambil hak daripada sesiapa kecuali menggembleng modal orang Melayu. Perkara yang penting disini ialah kita memudahkan orang untuk melabur dengan hanya satu unit pun mereka boleh beli dengan urusan yang boleh dilihat telus.
Walau apa pun Bursa ini perlu diuruskan oleh suatu badan yang terdiri daripada ahli profesional yang berpengalaman supaya tidak ada tuduhan berat sebelah, kronisme dan pilih kasih. Suruhanjaya Sekuriti menjadi pengawal selia terpenting. Oleh kerana sudah ada Akta Suruhanjaya Sekuriti, jadi segala urusan sekuriti perlu diawasi oleh suruhanjaya tersebut.
Siapakah yang boleh menjadi pelabur? Institusi pelaburan persendirian dan individu, koperasi dan badan-badan bukan kerajaan boleh jadi pelabur untuk bursa ini. Ia mungkin tidak dapat jumlah dagangan sebesar Bursa Malaysia tetapi promosi tentang bursa ini tidak terhad kepada negara kita sahaja. Malahan suruh rantau Nusantara ini, ASEAN dan dunia menjadi potensi pelabur. Jangan ingat Bumiputera tidak ada kecairan. Lihat saja hari ini berapa nilai pelaburan di Amanah Saham Nasional Bhd. Tidak kurang daripada RM70 bilion, majoritinya terdiri daripada Bumiputera.
Kita tidak perlu mula dengan banyak syarikat tetapi kita pilih syarikat-syarikat yang bermutu. Memang ada syarikat Bumiputera yang bermutu dan telah meneroka sampai ke pasaran dunia secara diam-diam. Untuk pertumbuhan yang lebih luas mereka perlukan biayaan. Syarikat-syarikat yang berasaskan pengetahuan dalam bidang pertanian misalnya yang penghasilan mereka boleh disahkan walaupun mereka tidak mempunyai rekod prestasi boleh diberikan peluang untuk menggembleng modal untuk maju dan berkembang.
Satu perkara lagi tentang bursa ini yang lain daripada lain ialah ia akan menyediakan suatu jabatan yang akan membantu menyusun semula syarikat-syarikat yang ingin disenaraikan.
Dan kenapa suatu masa nanti kita tidak boleh masukkan syarikat-syarikat daripada negara Islam? Suatu saingan kepada Bursa Saham New York bukan lagi Bursa Malaysia.Tak percaya tengoklah nanti.
Pengkritik dan pengutuk sesuatu idea akan terus wujud. Ingat dulu semasa saya cadangkan diberhentikan dagangan saham Malaysia di Bursa Singapura, saya dikutuk oleh akhbar The Star pada 31 Julai 1989 dengan mengatakan saya berfikiran picik dan jumud - pasaran kita akan runtuh jika diberhentikan dagangan saham kita di Singapura.
Apabila diumumkan pemberhentiannya pada Belanjawan 1990 oleh Tun Daim Zainuddin belum sempat bulan Januari 1990 tarikh berkuat kuasanya, dagangan saham pada bulan Oktober 1989 di bursa kita melonjak 500 peratus sehinggakan syarikat broker kita tidak dapat mengendalikan jumlah yang begitu besar.
Pepatah Inggeris mengatakan ‘Those who laugh last laugh best’ atau siapa ketawa kemudian ketawa terbesar.
Dato’ Salleh Majid ialah bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia)
ARKIB : 03/04/2010

Mengimbas initiatif Model Ekonomi Baru

MODEL Ekonomi Baru (initiatif) yang bertujuan meningkatkan pendapatan per kapita negara menjelang 2020 telah dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 30 Mac 2010. Dalam masa sepuluh tuhun yang akan datang ini Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) perlu mencapai sekurang-kurangnya pertumbuhan sebanyak 6 peratus.
Kelalaian kita selama lebih 10 tahun telah membuatkan kita ketinggalan dari segi daya saing dengan negara-negara yang suatu masa dulu setanding dengan kita.
Dengan pengkorporatan Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA) diharap agensi kerajaan itu akan dianggotai oleh tenaga kerja yang profesional dan mahir baik dari dalam negara atau luar negara dan membuka pilihan untuk melantik pakar industri dalam bidang tertentu. Disarankan juga kita patut menjalankan satu kajian ke atas negara-negara yang telah berjaya menarik ramai pelabur asing tentang apakah asas-asas kejayaan mereka.
Kita tidak mengambil peluang dengan adanya hasil minyak untuk menyusun semula struktur ekonomi kita membuatkan pelabur asing dan pelabur tempatan tidak melabur sebanyak yang pernah mereka melabur 10 tahun dahulu.
Pada waktu yang sama kita melihat kemunduran dalam keupayaan kita untuk meningkatkan tenaga kerja mahir dan kemerosotan dalam kualiti pelajar kita yang keluar daripada institusi-institusi pengajian tinggi. Ramai yang begitu lemah dalam kemahiran berkomunikasi baik dalam bahasa Inggeris mahupun bahasa Melayu.
Malahan kita terbelenggu dengan masalah pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang dikritik hebat oleh pelbagai pihak sebagai dasar yang hanya menguntungkan sesetengah golongan sahaja.Tuduhan kronisme, berat sebelah, tidak telus dan mereka yang hanya mementingkan 'komisyen' dan 'menjual' projek kepada orang lain terus menjadi tunggak utama kritikan. Kesan yang dilihat hari ini ialah kita terlekat dengan pendapatan pertengahan dan jurang antara sesama kaum masih luas.
Tidak dinafikan dalam latar belakang semua ini, rasuah masih memainkan peranan buruknya sehingga ada pihak-pihak yang berkuasa tidak lagi segan silu melakukannya. Umum melihat ramai daripada mereka yang dituduh lepas begitu sahaja kerana pihak pendakwa kurang bukti yang kukuh.
MEB ini secara mudahnya adalah cara lain untuk menguruskan ekonomi negara. Ia membabitkan penyuburan kembali sektor swasta supaya dapat memacu pertumbuhan, membangun tenaga kerja yang berkualiti dan mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing. Kalau dianggarkan ada 2 juta pekerja asing dan setiap seorang menghantar balik RM100 sebulan, dalam sebulan sahaja RM200 juta mengalir keluar daripada negara kita atau pun RM2.4 bilion setahun. Itu kalau RM100 setahun, sebarang gandaan akan melipatkan gandakan lagi jumlah yang mengalir keluar.
Dengan sektor swasta lebih gemar mengambil pekerja asing yang bergaji rendah, kita tidak akan dapat meningkatkan gaji kepada tahap yang lebih tinggi. Berkaitan dengan ini juga ramai kalangan rakyat kita yang lebih gemar bekerja di luar negara kerana mereka memperolehi pendapatan yang jauh lebih tinggi. Disebabkan kemahiran yang ada pada mereka dinilai lebih tinggi di luar negara, kita kehilangan mereka yang memiliki kemahiran yang sangat-sangat kita perlu untuk mengubah haluan ekonomi kita yang berteraskan pengetahuan dan kemahiran tinggi.
Amalan di sektor swasta menawarkan skim pemisahan sukarela (VSS) yang mana orang lama yang berpengalaman dibayar imbuhan dan diganti dengan orang baru yang diberikan gaji lebih rendah. Sikap begini akan meletakkan negara kita sentiasa berada dalam lingkungan negara berpendapatan rendah.
Initiatif seterusnya mewujudkan ekonomi tempatan yang berdaya saing. Kita mempunyai kekuatan. Kita mempunyai sumber alam yang belum diterokai sepenuhnya. Sumber alam ini bukan sahaja boleh diterjemahkan ke dalam bentuk komoditi tetapi dalam bentuk perkhidmatan.
Kuasa angin misalnya boleh ditukar menjadi penjana tenaga mengurangkan kebergantungan kepada tenaga minyak. Begitu juga tenaga suria yang boleh digembleng seperti yang dilakukan di negara-negara Timur Tengah. Dari sudut komoditi hutan-hutan kita yang berumur beratus juta tahun boleh dijadikan sumber untuk pelbagai jenis ubat kalau ditingkatkan penyelidikan dan pembangunan secara berkesan. Kelapa sawit kita belum diterokai pelbagai kegunaan sepenuhnya dan sentiasa menjadi bahan tentangan oleh mereka yang menyokong kacang soya.
Kita juga kerap mendengar rungutan tentang penyampaian perkhidmatan awam yang perlu dirombak dan diperkukuhkan. Ini menjadi initiatif MEB seterusnya. Dalam wawancara dengan media di Hong Kong, Perdana Menteri telah menyatakan perlunya mengadakan reformasi pentadbiran. Apa yang membimbangkan ramai pihak ialah rancangan yang begitu baik seperti MEB ini tidak berjaya disebabkan kelemahan dalam pelaksanaan. Ramai yang menjenguk ke belakang kepada pelaksanaan DEB yang penuh dengan ketirisan dan kebocoran.
Tindakan afirmatif yang telus dan mesra pasaran juga menjadi salah satu initiatif MEB.Tindakan afirmatif yang telus memang benar-benar diperlukan. Melihat daripada pengalaman yang lepas-lepas banyak perkara seperti bagaimana sesuatu projek besar boleh diperolehi oleh sesuatu kumpulan tanpa sebarang tender menimbulkan keresahan di kalangan pihak lain. Ramai yang merasakan mereka didiskriminasikan. Walaupun ada perlunya bantuan diberikan, rakyat ingin tahu apakah mereka yang menerima wajar diberikan bantuan. Ia seharusnya bergantung kepada keupayaan dan bukan hanya kekuatan hubungan dengan orang tertentu.
Kerajaan juga wajar prihatin dengan keadaan di mana golongan yang terbesar di negara ini merupakan golongan yang terlemah sekali kedudukan ekonominya. Dalam proses menaikkan kedudukan ekonomi mereka ini, rakyat ingin tahu siapa sebenarnya yang patut diberikan bantuan untuk memperbaiki kedudukan mereka.
Suatu golongan yang tidak boleh dilupakan ialah mereka yang miskin di bandar. Walaupun mereka ini mungkin bekerja dan mempunyai pendapatan tetap, tetapi pendapatan mereka tidak mencukupi dan ini membuatkan ramai yang terpaksa membuat pekerjaan yang lebih daripada satu, misalnya bekerja siang dan berniaga di pasar malam.
Initiatif seterusnya membabitkan membina infrastruktur yang berasaskan pengetahuan. Initiatif ini bakal melonjakkan industri kita ke arah industri yang lebih tinggi nilai tambahnya. Faktor-faktor pengeluaran yang tradisional seperti tanah, buruh dan modal telah di atasi oleh pengetahuan dan kita lihat mereka yang berjaya seperti Bill Gates dan Steve Jobs masing-masing daripada Micorsoft dan Apple membina empayar mereka daripada pengetahuan, tanpa tanah dan modal.
Di sini sekali lagi saya nyatakan bahawa tanpa konsep berasaskan pengetahuan ini difahami betul-betul oleh institusi sokongan seperti institusi kewangan dan pentadbiran awam, nescaya usaha kita untuk membina infrastruktur yang berasaskan pengetahuan akan terbantut. Hari ini kita sudah ada usahawan yang asas mereka ialah pengetahuan misalnya dalam bidang perkhidmatan dan teknologi tinggi seperti pertanian berteknologi tinggi yang memerlukan laboratari dan bukan tanah berhektar-hektar untuk menghasilkan keluaran yang jauh lebih tinggi pulangannya.
Malangnya mereka ini mempunyai masalah meyakinkan golongan yang bertanggungjawab dalam pembiayaan. Bagi institusi kewangan yang gemar menyerahkan penilaian kepada perunding luar pula mereka juga enggan mendengar pembentangan daripada bidang yang baru dan unggul ini. Dengan sendirinya ini boleh mematahkan semangat mereka dalam bidang ini.
Dalam ucapan Perdana Menteri tempoh hari beliau menyatakan bahawa kerajaan mempelawa maklum balas daripada rakyat tentang MEB ini sebelum digubal dengan butir-butir terperinci nanti.
DATO' SALLEH MAJID ialah bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia)
ARKIB : 27/03/2010

Bila lagi orang Melayu hendak bersatu!

KADANG-KADANG kita terfikir, adakah orang yang kita pilih sebagai wakil rakyat kawasan kita tersalah pilih. Sistem demokrasi memberikan orang ramai peluang memilih orang yang mewakili kepentingan mereka. Malangnya kita lihat setiap hari pelbagai jenis masalah rakyat yang timbul yang wakil rakyat yang dipilih tak tahu atau tak ambil tahu. Lihat saja program Aduan Rakyat dan Expose yang mendedahkan masalah yang dihadapi oleh rakyat.
Kadang-kadang kita terfikir apakah rakyat tahu latar belakang orang yang mereka pilih untuk mewakili mereka. Kebanyakannya orang ramai terpengaruh dengan janji-janji yang dibuat oleh orang politik semasa berkempen. Selepas pilihan raya ramai wakil rakyat ini ghaib entah ke mana.
Kalau kawasan mereka di kampung, itu hanyalah untuk mendapatkan kawasan. Dia tinggal di bandar raya dan sekali sekala saja menjenguk kawasan mereka. Tetapi bila hendak pilihan raya, setiap minggu pun boleh nampak muka. Asyik tertipu sajalah orang ramai!
Ada juga wakil rakyat yang melantik wakilnya pula untuk mewakili mereka. Jadi wakil ini kadang-kadang lebih pula lagaknya daripada orang yang jadi wakil rakyat. Kata pepatah 'besar sudu daripada senduk.' Mereka yang benar-benar berkhidmat untuk rakyat memang tidak ramai. Ramai yang bertujuan berkhidmat untuk diri sendiri. Jadi tidak hairanlah tuduhan menjadi wakil rakyat untuk mendapatkan kontrak dan projek.
Kalau kita perhatikan arus perdana media kita setiap hari tidak lekang daripada cerita politik. Semakin hari semakin hangat. Akhir-akhir ini macam-macam cerita belakang tabir muncul dan lebih lakulah surat khabar. Saman menyaman di kalangan ahli politik sudah menjadi kebiasaan sekarang.
Parlimen kita hampir sama dengan Ringling Barnum Brothers. Hampir sama dengan Parlimen India. Di sana kerusi pun melayang, di sini ajak bertumbuk sudah biasa kita dengar. Saya rasa ada baiknya mereka yang bergaduh mulut ini menyelesaikan pertengkaran mereka dengan bertumbuk. Adalah peluang orang ramai untuk mempertaruhkan siapa yang boleh menang. Selalunya orang yang menyalak kuat ini, gigit mereka tidaklah sehebat salak mereka.
Kalau orang luar macam pelabur asing baca surat khabar, setiap hari mereka terhibur dengan tindak tanduk ahli politik kita. Ada yang lompat parti, ada yang berhenti lepas itu tarik balik. Ada yang berhujah beria-ia mengatakan mereka lompat parti tidak bermoral, lepas itu beria-ia pula menyokong tindakan mereka yang melompat parti kerana hendak rampas kuasa.
Rakyat harus sedar supaya jangan lagi diperbodohkan dengan janji-janji dan kata-kata manis, walaupun yang diselang-selikan dengan tafsir dan hadis. Jarang-jarang sekali mereka yang menggunakan tafsir dan hadis ini ikhlas tujuan mereka untuk menyedarkan masyarakat.
Kini apa yang berlaku selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12 seolah-olah suatu kebangkitan di kalangan mereka yang merasakan diri mereka selama hari ini sudah tertindas. Hakikatnya mereka yang sebenarnya tertindas mungkin tidak sedar atau tidak mahu sedar yang mereka yang tertindas.
Dari segi ekonomi mereka ketinggalan jauh di belakang kecuali beberapa orang yang mempunyai hubungan dengan pihak yang berkuasa. Jadi jurang antara yang kaya dengan yang miskin semakin jauh. Lepas itu mereka tidak sedar yang golongan peniaga yang terdiri golongan bukan sesama kaum dengan mereka, menaikkan harga barangan sesuka hati menyebabkan kos sara hidup meningkat.
Rantaian bekalan apa jua barangan pun dikuasai oleh golongan ini. Malangnya golongan yang ketinggalan ini tidak bersatu. Orang lain banyak suara minta ini, minta itu dan suruh kerajaan jangan lagi bantu mana-mana golongan supaya persekitaran sama dengan hidup di hutan, yang kuat berkuasa.
Kita pula jenis segan nak bersuara. Kepada mereka yang kita letakkan harapan untuk memperjuangkan hak kita sudah termakan cerita orang yang kononnya selama ini mereka tertindas. Jadi kepada siapa yang kita harus mengadu.
Kalau sejarah menunjukkan kita boleh bersatu atas sesuatu tujuan seperti tentangan pembentukan Malayan Union, kenapa sekarang atas desakan semasa ini kita tidak boleh bersatu. Biarkan orang politik ini bercakaran sesama mereka kerana menyangka mereka yang tahu segala-galanya, orang lain semuanya bodoh dan boleh diperbodohkan.
Politik wujud untuk membantu rakyat bukan untuk menyusahkan rakyat. Tetapi terlalu banyak contoh yang menunjukkan bagaimana politik menyusahkan rakyat. Pada waktu yang sama kita lihat negara-negara yang keadaan mereka aman damai, siapa yang memimpin negara tersebut pun tidak tahu.
Kalau tidak ada pembangkang nanti dikatakan tidak ada demokrasi dalam negara tersebut. Di Amerika Syarikat sendiri ada benda yang bagus hendak diperkenalkan oleh kerajaan pun dibantah oleh pembangkang. Sudah hancur lebur sistem kewangan apabila hendak diperkenalkan langkah-langkah yang memperketatkan undang-undang, pembangkang membantah juga.
Bila kita lihat negara-negara yang tidak ada pembangkang, negara mereka berkembang maju juga, lebih maju daripada negara yang kononnya demokrasi. Lihat saja negara China yang akan mengambil alih selaku ekonomi terbesar di dunia sebelum 2015.
Mengambil sempena Perhimpunan Agung Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) hari ini, ia satu-satunya badan bukan kerajaan yang berani bersuara, yang berani menuntut apa yang sepatutnya, badan yang wajar diberikan sokongan oleh orang Melayu. Kalau nak kirakan rasis, orang putih di Amerika lagi rasis terhadap orang kulit hitam.
Orang putih di Australia lagi rasis terhadap orang Asia. Di negeri China sendiri kaum Uigher dianiaya. Itu sesama bangsa. Di United Kingdom sendiri sikap rasis begitu hidup dan segar.
Orang Melayu tidak perlu minta maaf menuntut apa yang sepatutnya hak mereka dalam negara mereka sendiri. Kalau kita diam saja, kadok akan naik junjung.
Orang muda kita yang berpelajaran tinggi menganggap semangat nasionalisme sudah berkubur kerana mereka melihat yang menerima faedah daripada kerajaan adalah mereka yang terpilih sahaja dan persaingan itu tidak adil. Semangat mereka hendak jadi usahawan misalnya dengan ilmu yang mereka ada, tidak bermakna langsung kepada institusi kewangan membuatkan pembiayaan projek mereka terhalang.
Selain daripada itu, mereka melihat rasuah bermaharajalela. Ada yang belum faham bahasa rasuah akan mendapati diri mereka ternanti-nanti seminggu jadi sebulan, sebulan jadi setahun. Kalau dapat pembiayaan pun, sikit demi sikit sahaja. Jumlah yang diberikan tidak cukup untuk berbuat apa-apa.
Jadi janganlah kita berdiam diri lagi demi masa depan anak cucu cicit kita. Fikirkan dengan rasional apa yang wajar kita lakukan sekarang. Tanpa penguasaan ekonomi, kita tidak ada kuasa kerana politik sudah boleh dibeli kalau ada kuasa ekonomi.
DATO' SALLEH MAJID ialah bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia)
ARKIB : 20/03/2010

Kenapa kita perlukan Model Ekonomi Baru

KENAPA negara kita memerlukan Model Ekonomi Baru (MEB)? Kita sudah ditinggalkan oleh jiran-jiran kita. Pelaburan asing walaupun ada datang tetapi sudah berkurangan. Syarikat swasta kita sendiri tidak melabur dalam negara sendiri. Mereka pergi ke tempat lain untuk mencari keuntungan.
Kita terlekat dengan pendapatan pertengahan. Negara-negara yang satu masa dulu sama taraf pendapatan dengan kita seperti Korea Selatan, Hong Kong, Taiwan dan Singapura kini telah jauh meninggalkan kita.
Pendapatan perkapita kita hanya setakat AS$7,000 (RM23,100) sedangkan negara yang sama taraf dengan kita satu masa dulu sudah meningkat dua hingga lima kali ganda daripada perkapita kita.
Kenapa pelaburan asing berkurangan? Syarikat asing memberikan pelbagai sebab mengapa mereka tidak lagi datang ke sini. Pertama, industri kita masih lagi bertumpukan industri bergaji rendah dan teknologi rendah yang kurang nilai tambahnya dalam produk keluaran.
Kedua, bagi industri berteknologi tinggi, kita tidak memiliki tenaga pekerja yang berkemahiran. Ramai tenaga kerja berkemahiran kita lari ke negara jiran atau negara lain kerana mereka boleh mendapat gaji yang dua tiga kali ganda lebih tinggi daripada negara sendiri.
Golongan profesional kita juga begitu. Ramai yang sudah lari ke negara lain seperti Singapura, Hong Kong dan Singapura, malahan Indonesia sendiri memberikan gaji yang lebih tinggi daripada kita.
Ketiga, ramai pelabur yang merungut susah untuk memulakan perniagaan dengan kerenah birokrasi yang menjadi-jadi. Kalau di tempat lain, apa jua yang perlu untuk memulakan perniagaan – boleh dilakukan dalam beberapa jam tetapi di sini, mengambil masa berbulan.
Satu maklum balas yang tidak pernah kita alami dalam tahun-tahun 1990-an dulu adalah jenayah. Ramai orang luar berasa bimbang dengan keadaan jenayah di negara kita. Ini kerana ia menimbulkan keadaan yang tidak selamat kepada diri dan keluarga. Lihat saja akhbar kita setiap hari dipenuhi dengan kisah pembunuhan, rompakan dan ragut.
Walaupun pihak Kementerian Dalam Negeri berusaha sedaya upaya untuk membasmi jenayah itu, tetapi keadaan masih belum selamat.
Syarikat kita juga tidak melabur dalam negara sendiri. Sumbangan pelaburan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) daripada 40 peratus kira-kira 10 tahun dulu jatuh sehingga ke paras 20 peratus. Orang kita sendiri rela melabur di luar negara – kenapa?
Di sini, tidak ada industri yang boleh memberikan mereka keuntungan yang lebih seperti yang boleh diperoleh dari luar negara. Lihat sahaja Vietnam yang sekian lama menjadi mangsa perang dengan Amerika Syarikat selama bertahun-tahun kini telah bangkit mencabar kedudukan jiran-jirannya.
Dari sudut usaha dan inovasi, kita kalah dengan mereka. Apa yang peliknya adalah sektor swasta yang sepatutnya menaikkan taraf teknologi industri kita. Kalau semuanya sudah lari ke negara lain, siapakah yang akan melonjakkan tahap perindustrian kita ke tahap yang lebih tinggi?
Selain itu, sektor awam sedia maklum bahawa rasuah masih belum dapat dibanteras. Mungkin orang yang memberi dan menerima rasuah tidak sedar bahawa orang dalam dan luar negara tahu akan penyakit buruk yang boleh meruntuhkan negara ini.
Keadaan semasa menunjukkan jurang perbezaan pendapatan antara yang kaya dan miskin semakin meluas. Mereka yang duduk di paras bawah 40 peratus mempunyai pendapatan kurang daripada RM3,000 dan 80 peratus daripada golongan ini terdiri daripada orang Melayu. Juga jurang antara satu rantau dengan satu rantau lagi juga luas.
Misalnya, antara Semenanjung Malaysia dan Sabah dan Sarawak. Kemiskinan di Sabah dan Sarawak, Kelantan dan Terengganu mencapai paras 25 peratus berbanding dengan paras purata nasional 5 peratus.
Apa yang jelas adalah satu keadaan yang ketiadaan kesaksamaan dalam ekonomi antara satu kaum dengan satu kaum yang lain. Kaum majoriti penduduk negara ini merupakan golongan yang kedudukan ekonominya lemah berbanding dengan kaum lain.
Keadaan yang begini mempelawa ketidakstabilan dalam kalangan kaum-kaum di negara ini, dan apa jua dasar yang ingin mengurangkan kemiskinan dan menyusun semula masyarakat tidak tercapai sepenuhnya disebabkan pelaksanaan yang mempunyai banyak kelemahan.
Salah satu kelemahan yang kerap dibangkitkan oleh pengkritik Dasar Ekonomi Baru (DEB) adalah ia menguntungkan orang-orang tertentu, mereka yang mempunyai kaitan dan hubungan dengan pemimpin dan pentadbir atau tergolong dalam golongan yang mempunyai pengaruh atau boleh membawa pengaruh.
Oleh itu, DEB tidak sampai ke sasaran yang diinginkan. Tidak hairanlah kalau pengkritik mengatakan mereka yang berdegar-degar menyuruh DEB diteruskan terdiri daripada mereka yang ‘tukang tenggek’ (rent-seekers) yang bimbang peluang-peluang mereka mendapatkan projek secara mudah tanpa bekerja kuat akan musnah kalau tidak diteruskan.
Sebenarnya, negara kita tidak boleh terus dalam keadaan di mana jurang ekonomi antara golongan majoriti (60 peratus) dengan golongan minoriti bertambah luas. Kalau semua bidang ekonomi sudah dikuasai oleh golongan minoriti, bagaimana golongan majoriti ini boleh memperbaiki kedudukan ekonomi mereka.
Syarikat swasta yang rata-rata dikuasai oleh bukan Melayu tidak akan mengambil orang Melayu bekerja dengan mereka. Mereka yang menguasai rantaian bekalan tidak akan memberikan potongan kepada bahan binaan yang diperlukan oleh kontraktor Melayu. Projek swasta tidak akan diberikan kepada kontraktor Melayu.
Pada waktu yang sama, penjawat awam juga harus mengamalkan dasar adil kepada yang layak menerima tidak kira bangsa. Misalnya, jangan disekat kenaikan pangkat di institusi pengajian tinggi bagi tenaga pengajar yang layak.
Pelajar yang memenuhi syarat kemasukan universiti misalnya tidak patut ditolak. Lesen dan permit tidak patut dibolot oleh sesuatu golongan sahaja.
Banyak reformasi perlu dijalankan selaras dengan pelaksanaan MEB ini. Selain daripada cara menghasilkan modal insan yang boleh memenuhi kehendak negara, perkhidmatan awam juga wajar dilakukan reformasi.
Lihat sahaja masalah yang dihadapi pada masa lalu dengan pelaksanaan misalnya apa yang termaktub dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9). Kalau sesuatu dasar atau program itu tidak difahami dan jenis tindakan yang diperlukan tidak sampai ke peringkat bawahan, sesuatu rancangan, program atau model itu tidak akan dapat dilaksanakan dengan berjaya.
Hal ini telah dapat kita saksikan pada masa lalu. Program Masyarakat Perniagaan dan Perindustrian Bumiputera misalnya ghaib begitu sahaja walaupun ada peruntukan sebanyak 12 kluster dalam pelbagai sektor pembangunan usahawan yang telah dihuraikan dalam RMK-9. Jadi, yang kesembilan pun belum dapat dilaksanakan dengan sepenuhnya, kita kini di ambang memperkenalkan yang ke-10 pula.
Apa MEB akan lakukan adalah mengubah struktur ekonomi negara kita supaya tahap persaingan kita akan lebih meningkat supaya pendapatan perkapita menjelang 2020 adalah AS$17,000 (RM56,100).
Hasrat yang lainnya supaya industri berasaskan pengetahuan ke hadapan, selain daripada tanah, buruh dan modal, serta inovasi dan kreativiti menjadi fokus utama.
Ini adalah satu arahan besar yang memerlukan banyak pihak, baik yang mendokong mahupun yang menyokong seperti institusi kewangan melakukan reformasi masing-masing.
Pendapatan lebih tinggi tidak bermakna memberi gaji yang lebih sahaja. Yang lebih penting adalah peningkatan dalam produktiviti. Kini, angka indeks produktiviti itu rendah dan kita perlu tingkatkannya.
Banyak yang perlu diberikan tumpuan kepada aktiviti pembangunan dan penyelidikan (R&D) kalau kita ingin maju.
Apa juga kekuatan negara kita seperti sumber alam dan kepelbagaian budaya dan masyarakat harus kita terokai sepenuhnya.
DATO’ SALLEH MAJID ialah bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia)
ARKIB : 13/03/2010

Model ekonomi baru dan agenda Melayu

TIDAK lama lagi Model Ekonomi Baru (MEB) akan diumumkan. Teka-teki tentang apakah kandungan model itu masih berterusan. Setakat ini, yang kita tahu hanya inovasi, kreativiti dan pendapatan tinggi. Itu saja. Lain daripada itu, agak sendirilah.
Pada Ahad lalu, satu perbincangan meja bulat tentang perkara tersebut anjuran Majlis Perundingan Melayu (MPM) dan Kementerian Perindustrian dan Perdagangan Antarabangsa (MITI) telah diadakan. Perkara utama yang dibincangkan, apakah MEB ini akan mengambil kira beberapa kelemahan di kalangan orang Melayu pada hari muka. Kelemahan dari segi pendapatan yang rendah, kelemahan dari segi jurang pendapatan antara kaum yang kian meluas, jurang antara Melayu bandar dan luar bandar yang luas dan pencapaian masyarakat perniagaan dan perdagangan Melayu setakat ini yang belum setakat mana dan penguasaan orang lain atas ekonomi negara kita.
Kelemahan-kelemahan itu tidak payah diulang berkali-kali kerana umum mengetahui penguasaan orang Melayu dalam ekonomi negara begitu rendah dalam semua bidang. Hakikatnya, semangat Dasar Ekonomi Baru (DEB) dahulu perlu diteruskan. Banyak yang mengkritik mengatakan dasar itu bersifat diskriminasi kerana mengutamakan suatu kaum, sedangkan kaum bukan Melayu mendapat manfaat lebih daripada RM80 bilion.
Banyak negara lain di dunia mengamalkan dasar seperti DEB yang diamalkan oleh Malaysia. Misalnya, di India dinamakan dasar pertumbuhan dengan kesamarataan, di China - dasar pertumbuhan inklusif dan di Eropah - dasar pertumbuhan meluas. Malah Piagam Bangsa-bangsa Bersatu dan Bank Dunia bersetuju bahawa tindakan affirmative diperlukan dan penting demi kestabilan rakyat. Ketidaksamaan akan membawa kepada ketidakstabilan.
Pada masa ini, ada pihak mengatakan bahawa DEB telah menyebabkan pelabur asing tidak mahu melabur di negara kita, sedangkan hakikatnya pelabur asing tidak masuk sebanyak dahulu adalah kerana sudah banyak negara yang muncul menarik sama pelabur asing dan kita tidak bergerak ke arah industri berteknologi tinggi. Kita telah menjual negara kita berasaskan gaji yang rendah, sedangkan negara yang gaji buruh yang tinggi menerima pelabur asing dua kali ganda daripada kita. Pelabur asing tidak datang ke sini sebanyak dahulu kerana kita mempunyai tenaga kerja yang berkemahiran hanya sebanyak 25 peratus daripada jumlah keseluruhan tenaga kerja.
Kemudian, tengoklah siswazah yang keluar dari institusi pengajian tinggi kita yang kebanyakannya tidak mahu diterima oleh sektor swasta kerana beberapa kelemahan seperti berkomunikasi dalam bahasa Inggeris, pengetahuan am, keyakinan diri dan kelemahan memilih bidang yang tidak secucuk dengan keperluan industri.
Jadi, walaupun kita bercakap berdegah-degah tentang pentingnya modal insan, modal insan Melayu begitu lemah jika dibandingkan dengan bangsa lain. Kita lihat Universiti Tuanku Abdul Rahman dapat keistimewaan untuk pelajarnya yang boleh menggunakan hospital dan klinik-klinik kerajaan, sedangkan Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia terpaksa mengadakan kemudahan untuk pelajar perubatan mereka sendiri. UiTM yang baru menubuhkan fakulti perubatan juga terpaksa membangunkan kemudahan sendiri.
Saya kurang pasti apakah perbincangan tempoh hari yang dihadiri oleh berpuluh badan bukan kerajaan dan ahli akademik akan menzahirkan apa yang dihajatkan iaitu bantuan kepada masyarakat dan usahawan Melayu tidak akan dipinggirkan dalam MEB. Memandangkan pengumumannya akan dibuat pada akhir bulan ini, kita tertanya-tanya apakah input-input daripada perbincangan tersebut akan diambil kira oleh pihak-pihak bertanggungjawab. Salah seorang penceramah hari itu mengatakan kalau tindakan affirmative ini tidak diteruskan, maka orang Melayu akan jadi seperti Melayu di Singapura yang dipinggirkan. Di Pulau Pinang, sudah nampak tanda-tanda itu akan berlaku. Masih ada orang Melayu yang tidak sedar.
Pendirian yang telah dibuat pada hari meja bulat itu adalah NGO-NGO Melayu tidak boleh berdiam diri menelan apa jua yang diberi walaupun kepentingan Melayu diketepikan. Memang ada pihak-pihak menyarankan agar kerajaan tidak memberi bantuan lagi kepada orang Melayu, menyarankan biar yang besar berkuasa, berdayasaing dengan sikap brutal dan macam-macam lagi yang menunjukkan sifat picik dan jumud mereka.
Apa yang lebih menyedihkan adalah orang Melayu sendiri yang sudah hidup selesa turut sama menyarankan dihapuskan DEB atau sebarang dasar sedemikian. Tengkuk mereka sudah lepas, maka mereka tidak peduli tengkuk orang lain. Golongan itu juga berfikiran sempit mempunyai blindspot dalam pemandangan mereka. Mereka ini tidak sedar apa yang berlaku. Kalau pelaksanaan yang menjadi masalah, jangan keseluruhan dasar hendak dibuang. Kita tidak bakar kelambu kalau marahkan nyamuk.
Kita kena lihat kalau ada kebocoran dan ketirisan dalam pelaksanaan dahulu, di mana yang bocor dan di mana yang tiris. Kalau perlu semua yang terlibat kena pergi sekolah balik. Kalau ada yang didapati bersalah, patut dihukum, jangan dipindahkan saja ke lain jabatan. Lihat saja laporan Ketua Audit Negara penuh dengan kejanggalan. Berapa orang yang kita dengar kena ambil tindakan?
Justeru, penglibatan kerajaan diperlukan untuk memberikan keseimbangan.
 ARKIB : 06/03/2010

Sikap tikam menikam belakang masih wujud


Kadang-kadang mengenali seseorang sebagai rakan kongsi perniagaan selama tiga puluh tahun tidak cukup untuk diberikan kepercayaan dan boleh lagi berpaling tadah menyokong rakan perniagaan yang baru. Sudahlah begitu, dengan orang baru ini pula dirancang untuk menyingkirkan rakan lama itu daripada syarikat.
Krisis kewangan pada tahun 1997/98 telah menyebabkan banyak perniagaan mengalami kemerosotan dan kepincangan termasuklah syarikat broker saham.
Rakan-rakan kongsi syarikat terpaksa menjual saham milik masing-masing kepada orang lain. Dengan terjual sebahagian besar saham syarikat secara keseluruhan, layaklah badan baru ini melantik rakan baru selaku wakil.
Tiada siapa pun menyedari belang sebenar orang baru ini. Bercita-cita tinggi sehingga ingin menjadi tampuk utama syarikat walaupun boleh dianggap setahun jagung.
Disebabkan seorang daripada rakan lama syarikat ini tidak lagi layak menerajui syarikat tersebut oleh pihak berkuasa, rakan seorang lagi yang layak memegang tampuk syarikat dikhianati.
Rakan kongsi lama sanggup bergabung dengan orang baru untuk menjadikan saham mereka lebih besar daripada saham milik rakan yang dikhianati. Tujuannya adalah untuk menyingkirkan rakan yang dikhianati itu daripada syarikat dan meletakkan orang setahun jagung ini selaku peneraju utama.
Orang baru ini mempunyai banyak 'tengkorak' dalam almarinya yang tidak disedari oleh rakan yang hendak menjatuhkan kawan lamanya.
Di tempat-tempat kerjanya yang lama dia pernah disuruh berhenti kerana berbelanja di paras yang bukan-bukan dan dia tidak lama di sesuatu tempat kerja. Tempat terakhir dia bekerja sebelum dia menyertai syarikat ini juga dia disuruh berhenti kerana berbelanja yang bukan-bukan.
Kesilapan mereka di syarikat tersebut ialah semasa ia dicalonkan oleh pemegang saham terbaru selaku wakil mereka. Pihak empunya syarikat tidak melakukan penyiasatan yang lengkap tentang latar belakangnya.
Sifat suka berbelanja dan mencari publisiti murah tidak diketahui mereka. Dia tidak berminat untuk menambah pengalaman dalam sesuatu industri itu tetapi lebih gemar melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti luar untuk publisiti.
Jadi apabila orang yang menjadi pengerusi syarikat tersebut tidak lagi disambung tempohnya selaku pengerusi oleh pihak berkuasa, dia merasakan rakannya seorang lagi telah merancang dengan pihak berkuasa untuk tidak menyambung tempohnya selaku pengerusi.
Dia kemudian berpakat dengan pemegang saham terbaru ini untuk menggabungkan saham mereka melantik orang baru menjadi ketua. Malangnya pihak berkuasa tidak akan bersetuju dengan pelantikan tersebut disebabkan rekod tidak baik pegawai baru itu.
Apa yang dapat dipelajari daripada episod ini ialah sifat dengki dan khianat manusia tidak ada tepinya. Walaupun sudah bersama selaku rakan perniagaan selama 30 tahun dan orang itu telah membangunkan syarikat itu sehingga tersenarai di bursa saham tetapi sikap khianat dan dengki beliau tidak bertepi.
Beberapa keputusan yang telah dibuat oleh wakil pemegang saham terhadap anggota syarikat itu seperti bonus dipotong telah menimbulkan keresahan di kalangan mereka dan ada yang berhajat untuk meninggalkan syarikat tersebut.
Kita perlu ingat bahawa dalam dunia ini, kita tidak boleh percaya kepada sesiapa pun. Tengoklah walaupun sudah bertungkus lumus selama 30 tahun, sanggup menikam rakan daripada belakang.
Pengajian yang kedua, selepas kita tidak boleh meletakkan kepercayaan kepada sesiapa pun walau saudara dan adik beradik sekali pun, kita perlu mempunyai pelan kontingensi atau perlindungan kita sekiranya berlaku sesuatu.
Dalam kes ini, pertalian baik mangsa dengan pihak berkuasa memberikan dia kelebihan daripada calon baru yang inginkan jawatan beliau.
Selain daripada itu, sekiranya dia tidak ada jalan lain untuk mendapatkan punca pendapatan, pilih sama ada buka perniagaan yang lain atau bekerja dengan orang lain. Kalau umur sudah lanjut agak susah orang hendak mengambil kita bekerja, kecuali mereka kenal baik kita.
Bercakap tentang tidak boleh percaya sesiapa ini, ramai sangat yang pernah menceritakan kepada saya bagaimana rakan perniagaan mereka sama ada menipu, melakukan pecah amanah, memfitnah, bersekongkol dengan pihak lawan dan yang paling teruk sekali menggunakan ilmu hitam.
Golongan begini kalau orang Islam memang sudah tidak takut Allah dan cerita jatuh menjatuh, khianat mengkhianati ini sudah menjadi darah daging orang Melayu. Ia seolah- olah suatu dalam genre orang Melayu yang tidak dapat dihapuskan.
Orang berjaya dia sakit hati. Orang yang gagal dia kutuk, dia tidak akan tolong untuk naik balik.
Fitnah memfitnah sekarang sudah dimudahkan dengan adanya telefon bimbit dan internet. Hentam saja sesiapa kita suka, tak ada siapa boleh tahan. Sekarang semua bebas.
Lihat saja dalam dunia politik hari ini. Tidak sunyi daripada tikam menikam belakang, fitnah memfitnah, khianat mengkhianati. Lidah tidak bertulang digunakan dengan sepenuhnya.
Tidak hairanlah kalau kawan jadi lawan. Tidak hairan juga kalau lawan jadi kawan. Payah untuk kita faham ketinggian ilmu mereka ini.
Orang dalam perniagaan sebenarnya kena berhati-hati sama ada dengan rakan kongsi, pemegang saham, peguam, ahli bank, pelanggan dan sesiapa saja yang dia ada berinteraksi dalam urusan harian.
Kadang-kadang pesaing kita menggunakan pelbagai cara jahat untuk menguasai, guna wanita, duit dan kemudian diperas ugut dengan pelbagai ancaman.
Jangan simpan dokumen penting kita di suatu tempat sahaja. Yang penting mungkin disimpan dalam peti simpanan di bank dan tidak sekali-kali dalam komputer.
Apa yang dihantar atau terima melalui e-mel dan sms - kalau tentang perniagaan berhati-hati. Sekarang e-mel boleh diceroboh, mesej pesanan ringkas boleh dibongkar oleh seseorang kalau dia ada orang dalam syarikat telekomunikasi.
Kemajuan teknologi komunikasi hari ini ada baiknya dan ada buruknya juga. Jangan meletakkan terlalu tinggi kepercayaan kepada alat-alat komunikasi hari ini tanpa sebarang langkah perlindungan sekiranya berlaku sesuatu yang buruk.
DATO' SALLEH MAJID ialah bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia)
ARKIB : 01/03/2010

Dialog dengan Majlis Tindakan Ekonomi Negara

BEBERAPA kumpulan pertubuhan bukan kerajaan (NG0), usahawan Bumiputera Semenanjung, Sabah dan Sarawak telah berpeluang memberikan pandangan mereka tentang Model Ekonomi Baru(MEB) kepada Pengerusi Majlis Tindakan Ekonomi Negara, Tan Sri Amirsham Aziz pada hari Khamis 25 Februari yang lalu.
Di antara isu yang dibangkitkan dalam dialog tersebut ialah kebimbangan usahawan Bumiputera tentang apakah bentuk MEB ini dan sama ada kepentingan Bumiputera akan diketepikan. Kalau kebimbangan ini tidak ditangani dan ciri-ciri MEB ini telah diselesaikan mungkin agak terlambat untuk menyuarakan kebimbangan golongan ini.
Pada pertemuan hari tersebut itu, disampaikan pendirian NGO-NGO ini bahawa perhatian dan peruntukan kerajaan kepada usahawan Bumiputera perlu diteruskan. Apa jua projek di bawah MEB dan Rancangan malaysia Kesepuluh (RMK-10) nanti perlu memasukkan projek-projek pembangunan usahawan Bumiputera.
Selepas Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi dan segala-segala yang berkaitan dengan pembangunan usahawan Bumiputera seperti Pasukan Petugas Pelaksanaan Nasional dan 13 kluster di bawah rancangan pembangunan Masyarakat Perniagaan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB) dimansuhkan, tidak hairanlah kalau kebimbangan-kebimbangan ini disuarakan. Hanya kluster tentang latihan dan tenaga manusia sahaja yang bergerak.
Di dalam persembahan majlis itu, beberapa kelemahan negara kita dibentangkan. Ini termasuklah pengurangan pelaburan asing dan tempatan yang begitu ketara sekali, jurang pendapatan antara kaum, sesama kaum dan antara bandar dan luar bandar.
Kira-kira 80 peratus daripada mereka berpendapatan di bawah RM3,000 sebulan. Kalau di bandar sudah dianggap dalam tahap kemiskinan sekarang.
Misi untuk menjadi negara berpendapatan tinggi menjelang 2020 dengan pendapatan purata dalam lingkungan AS$12 ribu merupakan suatu perintah besar (tall order). Kita boleh tidak pedulikan mereka yang berpendapatan rendah dan tumpukan kepada mereka yang berpendapatan pertengahan dan tinggi sahaja, angka hajat itu pun mungkin boleh tercapai juga. Tetapi itukah yang kita inginkan?
Petani dan nelayan kita merupakan suatu golongan yang terbesar dan terdiri daripada orang Melayu. Merovulasikan teknologi pertanian dan penangkapan ikan adalah suatu kemestian.
Kelemahan kita dalam bidang pendidikan juga diakui. Di mana kedudukan kita hari ini berbanding dengan beberapa tahun dulu. Penghasilan graduan kita yang tidak secocok dengan kehendak industri menyebabkan ramai yang menganggur.
Dalam bidang matematik dan sains sahaja anak-anak kita kalah dengan anak-anak negara seperti Korea Selatan, Hong Kong, Singapura dan Taiwan yang satu masa dulu sama dengan kita.
Kita berhadapan dengan masalah kejatuhan daya saing negara, rasuah, kos berurusan dalam perniagaan, kerenah birokrasi, kekurangan tenaga mahir, kerumitan mendapatkan pembiayaan. Selain daripada itu kewujudan blok-blok perniagaan (cartel) yang menguasai beberapa bidang dalam ekonomi seperti bahan binaan.
Kerenah birokrasi merangkumi sikap penjawat awam yang mungkin tidak jelas tentang hala tuju negara. Sikap sesetengah mereka bukan sahaja boleh menghalang kemajuan usahawan Bumiputera malahan boleh mematahkan terus semangat mereka.
Begitu juga sikap sesetengah pegawai bank yang kadangkala walaupun sudah diluluskan permohonan - melepaskan pinjaman sedikit demi sedikit sehingga menyukarkan untuk berbuat apa yang perlu dilakukan. Tidak kurang juga yang tidak faham projek berasaskan pengetahuan dan bukan bercagarkan hartanah atau tanah.
Ketidakupayaan menyesuaikan diri dengan kehendak MEB yang berteraskan pengetahuan, inovasi dan kreativiti akan membantutkan sebarang usaha untuk usahawan mengorak langkah menuju hasrat mencapai matlamat penstrukturan semula ekonomi negara.
Adalah wajar mereka ini diberikan suatu orientasi atau suai kenal dengan kehendak MEB nanti. Begitu juga mereka dalam sektor awam yang menjadi pemimpin dalam jabatan-jabatan kerajaan.
Untuk mengikis sikap, perlu mengaturkan fiil atau perilaku kerana sikap terbentuk oleh perilaku. Kalau seseorang itu gemar membuang sampah merata tempat misalnya ertinya ia bersikap pengotor. Untuk mengubah sikap pengotor itu, setiap kali dia membuang sampah dia dikenakan hukuman melakukan kerja tukang sapu sampah dan dihebahkan dalam akhbar.
Tentang rasuah memang suatu penyakit besar. Kita harap apabila Akta Pengadu Terlindung (Whistleblower Act) yang memberikan perlindungan kepada sesiapa yang membuat aduan tentang sesiapa dalam organizasi mereka yang melakukan rasuah, ia dapat dibendung atau dikurangkan.
Kita telah mendengar dan membaca tempoh hari apabila ada di antara taikun-taikun negara yang menyarankan kerajaan tidak lagi memainkan sikap membantu golongan tertentu. Ertinya biarkan mereka yang besar menentukan persaingan, yang besar menguasai yang kecil.
Mereka ini adalah kalangan yang telah dibantu oleh kerajaan dan bila kedudukan mereka sudah selesa mereka tidak mahu orang lain yang bergelut untuk berjaya diberikan pertolongan. Mereka ini menyarankan apa yang berlaku di Amerika Syarikat yang mana sejak zaman Ronald Reagan selaku presiden, banyak undang-undang telah dimansuhkan untuk memberikan keutamaan kepada persaingan yang kononnya asas pasaran bebas.
Sikap ini telah disambut oleh presiden-presiden berikutnya yang akhirnya menyebabkan keruntuhan ekonomi Amerika sendiri. Apabila pihak swasta telah diberikan pasport melakukan apa saja, maka mereka telah muncul dengan pelbagai jenis tawaran seperti pelbagai jenis derivatif yang pihak berkuasa sendiri tidak faham. Akhirnya kerajaan juga terpaksa menyelamatkan syarikat besar-besar ini dengan perbelanjaan begitu besar sebanyak AS$787 bilion di Amerika sahaja.
Begitu juga di Britain dan negara-negara di Eropah. Hari ini Greece dan Iceland sudah bankrap dan nyaris bankrap ialah Sepanyol, Portugal dan Itali. Kesemua ini ialah kesan daripada kelonggaran undang-undang yang berlarutan bertahun-tahun yang memberikan lesen kepada pihak swasta berbuat apa saja - yang besar mengambil alih yang kecil, yang kuat mengambil alih yang lemah.
Kalau sikap begini boleh meruntuhkan sebuah ekonomi sebesar Amerika dan Eropah, bayangkanlah apa akan jadi kepada negara sekecil kita dengan penduduk berjumlah hanya 27 juta (10 peratus daripada penduduk Amerika). Sikap free for all yang disarankan oleh sesetengah pihak ini merupakan sikap tamak di tahap yang paling tinggi sekali.
Hari ini pengangguran di Amerika di tahap 10 peratus dan ramai yang telah hilang rumah mereka dan tidur dalam khemah di tepi-tepi jalan, sesuatu yang mungkin tidak terbayang pada kita akan berlaku lima tahun dulu.
Saya teringat kata-kata wakil NGO dari Sabah Khamis lalu, "Bagaimana kami hendak berlari sedangkan kami masih lagi belajar hendak berjalan." Kalau kita bersikap brutal seperti yang disarankan oleh sesetegah golongan kaya raya, apa akan jadi kepada mereka yang masih lagi merangkak. Tau tak apa.
DATO' SALLEH MAJID ialah bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia)
ARKIB : 13/02/2010

Singkir peniaga bersikap 'brutal'

SEKARANG kita boleh melihat taring sebenar usahawan bukan Melayu apabila ada di kalangan mereka mencadangkan perniagaan patut 'brutal', ertinya bersikap kejam. Yang mana kuat boleh buat sesuka hati dengan yang lemah. Juga segala subsidi patut dibuang dan kerajaan tidak patut jadi 'big brother' (abang sulung).
Mereka ini lupa sistem pasaran bebas inilah yang menyebabkan keruntuhan ekonomi di Amerika Syarikat dan seterusnya di seluruh dunia. Apabila semua sudah runtuh, ke mana mereka meminta bantuan kalau tidak kepada kerajaan.
Sehingga sekarang, belum boleh dikatakan dunia sudah keluar daripada kemelut ekonomi yang melanda. Di kawasan eurozone, Greece menghadapi masalah besar, begitu juga Iceland dan Sepanyol yang dikenali dengan nama 'the sick man of Europe' (orang sakit Eropah). Seperti yang dinyatakan oleh Kunta Kinte, orang-orang seperti Francis Yeoh, Robert Kuok, Ananda Krishnan, Lim Goh Tong dan Vincent Tan semuanya kaya-raya disebabkan pertolongan kerajaan sehinggakan ada loji tenaga bebas yang keluarannya terpaksa dibayar tetapi tidak digunakan.
Kini, ada pula yang mengatakan mereka akan menjadi pengeluar tenaga suria terbesar di negara ini. Dari mana mereka dapat kebenaran untuk berbuat demikian kalau bukan dengan kebenaran kerajaan? Pernah saya nyatakan daripada Rancangan-Rancangan Malaysia yang pertama sehingga kesembilan yang berjumlah mungkin lebih RM1.2 trilion, siapa yang sebenarnya lebih mendapat manfaat kalau bukan peniaga bukan Melayu.
Masyarakat perdagangan Melayu mesti sedar bahawa kita sekarang berada di ambangsuatu perubahan besar iaitu struktur ekonomi yang berdasarkan model ekonomi baru. Apakah cadangan-cadangan yang telah dibuat oleh Dewan Perniagaan Melayu Malaysia misalnya yang telah dikemukakan untuk dimasukkan ke dalam kerangka model ekonomi baru yang tidak lama lagi akan diumumkan. Apakah projek-projek yang bakal dihuraikan dalam model ekonomi baru nanti di dalam bidang kemampuan usahawan Melayu untuk mendokongnya? Apakah institusi-institusi sokongan seperti bank akan mengubah sikap mereka daripada sentiasa bergantung kepada cagaran memberi keutamaan kepada projek berakal (berasaskan pengetahuan).
Padi tidak perlu ditanam di sawah lagi. Ia boleh ditanam di depan rumah, pegaga tidak perlu tanah berekar-ekar untuk hidup subur. Ia hanya perlukan makmal sahaja. Pada masa ini, bank yang ditubuh khas untuk usahawan Melayu kecil dan sederhana lebih berminat melelong aset syarikat yang mempunyai masalah daripada mendengar jalan penyelesaian. Inikah yang dikatakan institusi sokongan yang membantu? Sehinggakan sokongan daripada menteri pun tidak dipedulikan. Sebab apa? Sebab mereka telah sediakan agen untuk melelong, peguam dan kaki-kaki yang ada kaitan dengan urusan melelong dan daripada tindakan begitu, mereka akan dapat bahagian mereka.
Orang-orang beginilah yang boleh dikatakan pengkhianat bangsa dan wajib disingkir.
Berbalik kepada apa yang harus dilakukan oleh masyarakat perdagangan Melayu. Janganlah tidur lena. Bangunlah dan lihatlah apa yang sedang berlaku. Kita sedang mengejar kejayaan yang lebih tinggi. Gaji nak jadi lebih tinggi. Ingat angka yang digunakan untuk mengukur adalah angka purata. Ertinya satu golongan boleh dapat pendapatan yang melonjak tinggi dan satu atau dua golongan lagi boleh duduk ditakuk lama lagi.
Masyarakat petani dan nelayan misalnya merupakan bilangan tenaga kerja Melayu terbesar yang termasuk dalam golongan pendapatan rendah. Apakah pendapatan mereka akan terus rendah atau meningkat? Kalau meningkat, bagaimanakah cara untuk mereka meningkatkan pendapatan mereka.
Kita kena melihat dari sudut apakah kekuatan yang ada pada kita. Berapa ahli profesional kita yang sedia ada. Bagaimana cara kita untuk menggembeling modal insan ini supaya boleh membangkitkan nadi kemajuan masyarakat kita supaya kita tidak terus tidur lena.
Jangan sampai orang lain maju, negara maju, kita ketinggalan. Sorak kita kuat, kampung tergadai.
ARKIB : 30/01/2010

Pusat setempat untuk pembangunan usahawan

FORUM sehari “Usahawan Melayu Kini di Persimpangan, Digugat dan Digigit” yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 19 Januari yang lalu mendapat perhatian Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
Menterinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed mengadakan suatu perjumpaan dengan wakil-wakil badan bukan kerajaan (NGO), Dewan Perniagaan Melayu, Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) dan beberapa persatuan usahawan Bumiputera di Putrajaya pada 26 Januari yang lalu.
Mustapa membawa bersama-sama beliau kedua-dua Timbalan Menteri, pegawai-pegawai kanan kementerian serta ketua-ketua agensi di bawah MITI. Beliau bersetuju mendengar rintihan mereka yang hadir, walaupun pada masa-masanya penuh emosi dan suara lantang.
Antara perkara yang dibangkitkan oleh para hadirin pada hari itu ialah sikap pegawai kerajaan yang memandang lesu kepada pembangunan usahawan Bumiputera, pegawai-pegawai bank yang tidak langsung mahu memberi peluang kepada usahawan Bumiputera, terutama sekali bank SME.
Ramai juga yang menceritakan pengalaman mereka dalam mengharungi cabaran yang dihadapi oleh usahawan Bumiputera. Misalnya sebuah syarikat yang berteknologi tinggi dalam bidang Biomed tidak mendapat sokongan seperti yang diheboh-hebohkan tentang perlunya lebih banyak syarikat berteknologi tinggi untuk melonjakkan negara menjadi sebuah negara berteknologi tinggi.
Pemiliknya, Halim yang pernah menjadi penasihat kepada kerajaan Singapura tentang biomed terpaksa “turun naik kementerian dan berpusing-berpusing” untuk mendapatkan pelbagai jenis kelulusan. Dia hairan kalau sebenarnya bidangnya sesuatu yang diperlukan kenapa dia diberikan run around.
Tidak kurang juga yang menceritakan tentang sikap sesetengah pegawai kerajaan yang berkaitan dengan pembangunan usahawan, sampai ada hadirin yang mengesyorkan pegawai kerajaan melakukan perubahan paradigma.
Sikap memang sukar untuk diubah kalau ia sudah sebati dalam diri. Hanya kalau orang Melayu itu sedar bahawa orang Melayu ketinggalan jauh dan yang terbabit dengan pembangunan usahawan ini patut sangatlah mengubah sikap yang negatif kepada lebih positif dalam membantu. Tidak cukup menyuruh mereka mengubah sikap tetapi pihak kementerian berkenaan wajar mengambil tindakan kepada mereka yang bersikap negatif.
Mustapa pada hari itu memberikan peluang kepada para usahawan menyuarakan rintihan mereka dan ada yang mengambil kesempatan melepaskan geram mereka. Apa pun ini semua diambil oleh menteri dengan hati yang terbuka dan di akhir pertemuan, beliau meminta para hadirin melantik beberapa orang selaku wakil sebagai jawatankuasa sebagai penyambung kepada beliau dalam menyampaikan apa-apa masalah berkenaan pembangunan usahawan Bumiputera.
Menteri meminta intipati pertemuan hari itu dirumuskan supaya dapat dikemukakan kepada pihak Majlis Tindakan Ekonomi Negara dan seterusnya kepada Perdana Menteri. Sikap Mustapa patut dipuji kerana beliau satu-satunya menteri yang sanggup berdepan dengan suatu kumpulan yang boleh dikatakan tengah “menggelegak” ekoran daripada pemansuhan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi atau MECD.
Banyak langkah yang telah digariskan oleh Pasukan Petugas Pelaksanaan Nasional dan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan dalam membangun Masyarakat Perniagaan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB) tidak ada susulannya dan pengumuman bahawa Model Ekonomi Baru bakal dilaksanakan tidak lama lagi bererti membawa suatu dimensi baru kepada pertumbuhan dan pembangunan masyarakat usahawan Bumiputera.
Pada pertemuan itu juga ada pihak yang membangkitkan kritikan sesetengah orang yang mengatakan usahawan Bumiputera ini meminta ini dan itu tetapi tidak mampu berdikari dan semuanya asyik berkehendakkan bantuan kerajaan.
Fakta yang nyata pada hari ini menurut hujah pihak yang menyangkal dakwaan tersebut ialah siapakah yang menguasai rantaian bekalan barangan apa jua sekalipun kalau tidak bukan Bumiputera.
Siapakah golongan yang beruntung sekali sejak Rancangan Malaysia Pertama sehingga Kesembilan yang dianggarkan sebanyak RM1 trilion yang dibelanjakan untuk membina prasarana dan pelbagai kemudahan lain kalau bukan pihak bukan Bumiputera.
Perangkaan daripada pihak bertanggungjawab seperti Unit Perancang Ekonomi menunjukkan tentang penguasaan Bumiputera dalam pelbagai bidang masih rendah dan tidak perlu dihuraikan lagi.
Apakah dengan begitu banyak jumlah syarikat berkaitan kerajaan GLCs yang ada hari menyumbang ke arah pembangunan usahawan Bumiputera sehinggakan ada pihak yang mendakwa bahawa membantu Bumiputera itu pada hari ini tidak lagi fashionable.
Walau apa pun, harapan yang tinggi diletakkan kepada pihak Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri untuk menjadi peneraju kepada usaha membantu golongan usahawan Bumiputera wajar diberikan perhatian yang serius.
Sama ada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi dihidupkan kembali atau tidak, tidak sepenting mewujudkan satu pusat setempat yang boleh menyelaraskan segala perkara berkaitan dengan pembangunan usahawan Bumiputera seperti Majlis Amanah Rakyat (Mara) diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri dan diberikan mandat untuk mengisi langkah-langkah yang telah digariskan untuk membangun MPPB.
Dato’ Salleh Majid ialah bekas Pengurus Besar Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia)
ARKIB : 23/01/2010

Iklan pengaruhi gaya hidup manusia

Iklan satu-satunya alat perniagaan yang memainkan peranan yang penting kepada pelbagai golongan orang. Stesen televisyen, radio, akhbar, majalah semuanya hidup atas iklan yang disumbang oleh peniaga.
Pada tahun 2009, nilai iklan untuk Malaysia berjumlah RM2.9 bilion, kurang hanya 1 peratus daripada tahun sebelumnya. Bayangkan dalam keadaan ekonomi merosot, peniaga masih lagi gah untuk beriklan.
Salah satu rancangan yang paling popular di televisyen ialah Liga Premier Inggeris. Begitu hebat pengaruh pasukan bola tersebut sehinggakan kita boleh melihat kumpulan penyokong kelab masing-masing di sini.
Untuk menaja pertandingan tersebut, Bank Barclays membayar 87 juta pound atau hampir RM480 juta untuk dua musim selaku penaja. Bayangkanlah nilai yang diletakkan kepada pertandingan tersebut.
Syarikat AIG yang hampir muflis di Amerika Syarikat masih sanggup menaja kelab Manchester United. Kenapa? Mereka tahu yang menonton rancangan tersebut terdiri daripada penonton seluruh dunia dan jumlahnya beratus juta pada sesuatu masa.
Jadi walaupun mereka terpaksa membayar satu jumlah yang besar, mereka tahu dari segi jangkauan kepada orang ramai, kosnya begitu rendah.
Hari ini kita melihat ramai golongan artis dan ahli sukan yang memperolehi berjuta ringgit setelah dilantik oleh pelbagai syarikat untuk mengiklankan barangan mereka. Misalnya Roger Federer, pemain tenis nombor satu dunia diambil oleh Rolex, Maria Sharapova mewakili Canon dan Cristian Ronaldo, pemain bola sepak termahal di dunia untuk shampoo Clear dan berpuluh jenama lain.
Berpuluh artis Hollywood dan Bollywood juga diambil untuk mengiklan pelbagai jenis jenama.
Artis negara kita ramai yang sudah diterima untuk mengiklan barangan peniaga seperti Rosyam Nor, Erra Fazira, Fahrin Ahmad dan ramai lagi daripada barangan herba hingga produk syarikat menguruskan badan.
Mengapa syarikat penaja sanggup membayar berjuta ringgit kepada selebriti untuk mengiklan barangan mereka? Tentu mereka mempercayai yang ramai orang apabila melihat selebriti idola mereka sama ada ahli sukan atau artis Hollywood, mereka akan terpengaruh untuk menggunakan barangan yang idola mereka gunakan.
Kita tak tahulah orang macam mana yang boleh mudah terpengaruh tetapi hakikatnya tentulah ramai, kalau tidak tentulah syarikat besar-besar dan terkenal seperti Adidas tidak akan sanggup mengeluarkan belanja yang begitu besar.
Memang tidak disangkal dari segi ekonomi, iklan membantu perkembangan ekonomi kerana ia suatu perbelanjaan. Dan juga iklan bertujuan untuk memberikan kesedaran dan maklumat kepada masyarakat.
Malangnya keadaan kebergantungan kepada iklan ini ada juga buruknya. Program di radio dan televisyen akan terikat dengan kehendak pengiklan dan ada masa-masanya iklan yang kita saksikan, misalnya lebih banyak mengganggu daripada memberitahu sesuatu yang bermanfaat.
Kalau kita lihat iklan yang disasarkan kepada golongan muda, kita mungkin tidak tahu apa sudutnya selain ingin mengajak golongan remaja ini mengikut apa yang menjadi ikutan.
Pengiklan menganggap diri mereka mendapat suatu lesen besar untuk menyelam alam kreativiti sehinggakan kadang-kadang mereka lupa akan perkara-perkara seperti adab dan tatasusila.
Ada iklan mi segera misalnya yang menunjukkan seorang bapa yang mengangkat mangkuk makanannya sambil menghirup kuah mi segeranya. Sesuatu yang kita ajar anak-anak kita tidak melakukannya kerana nampak macam kurang sopan.
Ada juga pencuci mulut yang mendakwa boleh membunuh kuman yang menyebabkan mulut berbau busuk. Tuntutan ini sama juga seperti penjual satu jenis ubat gigi yang mengatakan kuman berkeliaran pada gigi pengguna tetapi tidak disahkan dakwaan mereka oleh sesuatu badan kesihatan.
Selain daripada itu kita juga perhatikan di akhbar dan majalah misalnya iklan yang bukan-bukan tuntutan mereka dan saya percaya ramai yang termakan dengan apa yang digendangkan oleh mereka ini.
Dari sudut peniaga atau pemasar, iklan dianggap selaku pencetus untuk melakukan sesuatu tindakan. Kata-kata ringkas yang jadi amalan pengiklan ialah 'Sedar, Minat, Ingin dan Tindakan' atau Awareness, Interest, Desire dan Action (AIDA). Bila sedar akan wujudnya sesuatu barang itu, barulah timbul minat, bila berminat barulah timbul keinginan dan keinginan membuatkan mengambil tindakan iaitu membeli atau menggunakan.
Dalam teori tabii pengguna, minda manusia dianggap seperti 'kotak hitam' yang tidak tahu apa di dalamnya. Apa yang dilakukan oleh pengiklan ialah memasukkan beberapa rangsangan ke dalam kotak hitam itu dalam bentuk iklan yang membuatkan pengguna rasa cantik, rasa megah, rasa seperti selebriti dan rasa penting.
Mesej yang disampaikan mempunyai sasaran segmen pasaran tertentu seperti remaja, orang dewasa, kanak-kanak dan sebagainya. Rangsangan yang dimasukkan ke dalam kotak hitam ini bertujuan untuk menggerakkan pengguna mengambil sesuatu tindakan.
Kadar yang dikenakan bergantung kepada media yang digunakan. Televisyen yang paling mahal dan kadar juga berbeza mengikut masa siaran dan kegemaran sesuatu rancangan. Disebabkan stesen televisyen misalnya terlalu bergantung kepada iklan, hinggakan iklan diberhentikan untuk menyiarkan berita atau rancangan. Itu sebabnya ada baik kita jangan banyak sangat menonton televisyen kerana satu kajian di Britain mengatakan sesiapa yang menonton televisyen lebih daripada empat jam sehari akan hidup pendek!
Dato' Salleh Majid ialah bekas Pengurus Besar Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia)
ARKIB : 09/01/2010

Dilema usahawan Bumiputera selepas MECD

ALKISAH tidak berapa lama dahulu timbul hasrat hendak menubuhkan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB). Objektifnya adalah untuk membantu usahawan Bumiputera berdaya saing, berdikari, mapan dan produktif serta membangunkan industri kecil dan sederhana yang berdaya tahan.
Maka timbullah Strategi MPPB 2 yang mengandungi pelaksanaan mekanisme pemantauan dan penilaian yang lebih berkesan, penglibatan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Bumiputera dan dewan perniagaan, pengukuhan peranan agensi amanah, syarikat milik kerajaan (GLC) dan koperasi, pelaksanaan inisiatif sektor awam, pelaksanaan inisiatif sektor swasta serta pewujudan kerjasama erat antara sektor awam dan swasta.
Inisiatif kerajaan dan swasta ini dilaksanakan melalui 13 Kluster iaitu Kluster: Bangunan dan Pembinaan, ICT dan Telekomunikasi, Niagatani, Perbankan dan Kewangan, Pendidikan dan Sumber Manusia, Pertahanan dan Aeroangkasa, Pengangkutan dan Logistik, Bioteknologi dan Biofarmasi, Industri Automotif, Perjalanan dan Pelancongan, Minyak, Gas dan Petrokimia, Dagangan Pengedaran, Elektrik dan Elektronik. Kesemua kluster itu diketuai oleh orang-orang kuat kerajaan dan 'kapten industri'.
Arakian antara kluster itu, hanya satu sahaja yang nampak menonjol iaitu Skim Kluster Latihan Kemahiran Sumber Manusia (SKLKSM) untuk ILKS Bumiputera (ILKSB) yang didokong panglima hebat. Difahamkan Kementerian Kewangan sempat menyediakan geran kepada semua ILKSB itu dan tercapailah objektif sebenar SKLKSM BCIC-2. Ia bukan hanya melahirkan champion tetapi juga ramai anak didik yang jadi usahawan.
Maka dipendekkan cerita, ketika skim yang bagus itu berjalan hingga ke Sabah dan Sarawak, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MECD) dibubarkan, jabatan-jabatan di bawah MECD dipecahkan kepada lapan kementerian dengan jaminan diberikan tentang kelangsungan dasar-dasar membantu pembangunan usahawan Bumiputera.
Tidak hairanlah kalau pertukaran pegawai yang sudah biasa dengan sesuatu tugas itu berlaku dan timbullah keadaan yang mana mereka yang tidak biasa dengan sesuatu tugas itu mencorakkan tugas dengan cara berlainan.
Kini, unit yang mengawasi MPPB ini telah dikecilkan kepada sub-unit dan Badan Petugas Pelaksanaan Nasional (NITF) yang fungsinya memberi fokus kepada pembangunan usahawan Bumiputera yang telah dimansuhkan hingga membuatkan tiada badan memberikan tumpuan kepada pembangunan usahawan Bumiputera. Sedihnya, kelam kabut semua kluster dan panglima yang hebat juga pening kepala.
Persoalannya, apa sudah jadi dengan dasar yang cantik diuar-uarkan dahulu? Cerita lama masih belum selesai, timbul pula isu baru. Lebih malang, pegawai baru yang mungkin generasi XY yang tidak faham asal usul cerita berani mempersoalkan keputusan kerajaan. Agenda Bumiputera yang tersurat dan tersirat langsung tidak difahami. Namun kesannya sudah pasti usahawan Melayu yang benar-benar berdaya saing dan tulen itu bakal berkubur jika semangat panglima sebagai usahawan tidak berkobar!
Itu belum lagi dikaji apakah yang sudah terjadi kepada kluster-kluster lain yang kononnya hendak dijuarakan? Kononnya ramai juga yang sudah kecewa tetapi sudah dilamar oleh syarikat luar negara. Sayang sekali, apabila orang luar menghidu potensi besar usahawan Melayu, dasar di Malaysia serba tidak kena! Sampai bila?
 ARKIB : 02/01/2010

Langkah menjadikan negara berpendapatan tinggi

TAHUN baru. Azam baru. Azam kita untuk keluar daripada kemelut terjerat dalam pendapatan pertengahan dan merapatkan jurang pendapatan yang semakin meluas di antara yang berpendapatan tinggi dan berpendapatan rendah.
Azam kita untuk masuk golongan negara-negara berpendapatan tinggi memerlukan strategi bersepadu yang dihuraikan oleh Laporan Bank Dunia November lalu terdiri daripada langkah-langkah mengkhususkan lagi ekonomi, meningkatkan kemahiran tenaga kerja, membuatkan pertumbuhan lebih menyeluruh dan menyusun pulih kewangan awam.
Kita perlu memberikan tumpuan kepada beberapa sektor bernilai tinggi dan berpotensi tinggi. Misalnya bidang-bidang seperti kewangan Islam, makanan halal, elektronik, industri-industri berdasarkan sumber alam dan pelancongan. Kesemuanya perlu berlatar belakangkan ekonomi yang menyokong pengetahuan.
Dalam sedikit sebanyak kita diberitahu tentang Model Ekonomi Baru, kita turut dimaklumkan bahawa ia berteraskan kepada inovasi dan kreativiti. Ramai yang mungkin menyangka kedua-dua aspek agak tergulung dalam kepulan mereka sendiri iaitu terbatas kepada perkara-perkara seperti pengiklanan, perfileman, animasi dan sepertinya.
Sebenarnya banyak perkhidmatan kerajaan yang memerlukan inovasi dan kreativiti. Misalnya apa yang dilakukan oleh Jabatan Imigresen dengan pembaharuan pasport dengan menggunakan mesin adalah salah satu contoh mengurangkan masa dan orang beratur.
Kita lihat Lembaga Hasil Dalam Negeri begitu berusaha untuk membantu pembayar cukai dengan sistem 'on-line' yang hanya memerlukan beberapa minit sahaja untuk mengisi dan menghantar maklumat tentang cukai pendapatan kepada lembaga tersebut.
Pembayaran balik lebihan cukai yang dikutip juga tidak lebih daripada dua minggu adalah contoh inovasi dan kreativiti yang telah diperkenalkan. Begitu juga penyediaan persembahan multimedia di masjid-masjid semasa khutbah Jumaat juga merupakan langkah kreatif pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan.
Tidak lama dahulu kita dikejutkan dengan berita penjualan tanah oleh orang-orang tertentu tanpa pengetahuan pemilik sebenar. Gempar bukan kepalang kalau kita mengetahui tiba-tiba tanah yang kita miliki sudah 'hilang'. Sekian lama kita ketahui bahawa sesuatu bentuk penyusunan semula maklumat tentang pemilik tanah di seluruh negara yang mudah diakses adalah terdesak dan sangat diperlukan.
Banyak faedah boleh diperoleh jika maklumat pemilik tersusun dalam satu pangkalan data yang membolehkan seseorang pemilik mengetahui tentang kedudukan tanah mereka seperti cukai yang masih tertangguh. Masalahnya hal tanah adalah di bawah pentadbiran kerajaan negeri masing-masing dan sebarang penyelarasan ke seluruh negara mungkin menjadi satu masalah.
Begitu juga dengan perkara-perkara berkaitan dengan Jabatan Agama Islam negeri seperti zakat dan Baitulmal perlu diselaraskan kerana pekerja mungkin berpindah dari satu negeri ke satu negeri lain.
Kita lihat sahaja isu orang asing yang kini melanda negara kita yang menimbulkan masalah sosial kepada masyarakat kita seperti mereka dari Afrika yang sesetengahnya datang ke sini untuk belajar tetapi dalam masa yang sama menyumbang ke arah jenayah.
Di sesetengah tempat di negara kita, keadaan sudah tidak terkawal dan dipenuhi oleh golongan tertentu dari negeri seperti Myanmar, Bangladesh dan Nigeria. Kita perlu mewujudkan suatu mekanisme supaya kita dapat memantau orang asing di sini supaya mereka tidak duduk lebih daripada sepatutnya tanpa menggugat kedudukan pelancong sebenar ke negara ini.
Pernah dilaporkan terdapat orang asing yang membersihkan hutan untuk mereka tinggal. Peliknya apabila dilakukan serbuan keseluruhan masyarakat asing yang tinggal di situ hilang entah ke mana!
Dalam usaha mempertingkatkan kemahiran tenaga kerja, kita perlu meningkatkan kuantiti dan kualiti tenaga kerja berkemahiran. Ini memerlukan insentif, persaingan, pengambilan berasaskan merit dalam pendidikan, pembentukan kurikulum dan latihan guru yang lebih baik.
Gaji guru yang rendah tidak akan menggalakkan mereka untuk berkhidmat di luar bandar sekali gus menjadikan jurang antara sekolah-sekolah bandar dan luar bandar kekal luas. Suatu revolusi cara pengajaran yang menggunakan multimedia dan mengurangkan berat beg sekolah perlu dilakukan.
Pada masa ini, terlalu banyak buku yang dibawa murid walaupun dalam darjah satu. Kita wajar melihat masa hadapan yang mana murid-murid hanya perlu membawa 'thumbdrive' sahaja ke sekolah dan semua bahan bacaan dan rujukan sudah disediakan lebih awal oleh guru-guru mata pelajaran berkenaan. Kalau ada pun buku teks hanya yang penting-penting sahaja.
Kita juga perlu meningkatkan usaha melipat gandakan penyertaan mereka yang keluar selepas sekolah menengah dalam bidang vokasional dan teknikal. Berbanding dengan beberapa negara lain, penyertaan kita hanyalah setakat 10 peratus sedangkan negara seperti Belanda dan Australia yang sama bilangan penduduk dengan kita setinggi 60 peratus. Kemahiran peringkat vokasional dan teknikal penting selaku pelapis di bawah kumpulan mereka yang mempunyai ijazah.
Pendedahan kepada penggunaan Bahasa Inggeris yang lebih awal dalam pendidikan juga penting untuk memperlengkapkan tenaga kerja bagi keperluan industri.
Dasar-dasar yang lebih menjurus kepada keseluruhan daripada khusus kepada sesuatu golongan tertentu sahaja dapat membantu usaha mengurangkan kemiskinan dan pada waktu yang sama menggalakkan keusahawanan dan melatih diri dalam mengambil risiko.
Kita tidak menafikan wujudnya golongan miskin bandar ekoran daripada penghijrahan masyarakat luar bandar mencari kehidupan yang lebih baik. Kehendak kehidupan di bandar memberikan tekanan kepada golongan miskin bandar dengan sewa rumah, api, air, pengangkutan dan harga barang makanan yang lebih tinggi daripada di luar bandar.
Selain daripada itu, persekitaran tempat tinggal mereka misalnya di pangsapuri murah juga yang kerap tertakluk kepada perbuatan jahat vandalisme seperti merosakkan lif, kecurian barang-barang, pengotoran sekeliling dan di sesetengah tempat kehadiran rakyat asing yang berkelakuan biadab dan mengganggu. Jaringan keselamatan sosial diperlukan untuk membantu dalam keadaan kesusahan dan kos sara hidup.
Merujuk kepada Indeks Kualiti Kehidupan, Malaysia berada di tangga 36 dalam kalangan 111 negara di dunia. Indeks ini mengambil kira kesihatan, kehidupan keluarga, kehidupan masyarakat, kestabilan politik, pendapatan per kapita dan kuasa beli, kebebasan politik, iklim, keselamatan pekerjaan, dan layanan yang sama bagi lelaki dan wanita. Negara kita lebih baik daripada Thailand, Filipina, Brazil, Qatar dan Kuwait tetapi dibelakang Barbados, Mexico, Cyprus, Chile dan Slovenia.
Berkenaan dengan menyusun pulih kewangan awam, penyatuan fiskal dan reformasi kewangan akan mengurangkan kebimbangan tentang kenaikan defisit fiskal, meluaskan bidang pendapatan negara dan mengurangkan peranan subsidi serta mengurangkan himpitan kepada sektor swasta.
Penumpuan perbelanjaan kepada bidang-bidang khusus yang mampu memberikan penggandaan kepada pertumbuhan ekonomi. Pelaburan swasta telah merosot daripada 20 peratus KDNK pada tahun 1997 kepada hanya 10 peratus. Banyak yang melabur keluar negara dan arah aliran itu perlu dibendung demi meningkatkan pertumbuhan ekonomi. Pelabur tempatan macam merajuk.
Banyak langkah 'memujuk' telah dilakukan termasuk 15 peratus cukai di Iskandar, Johor dan pengecualian FIC dan pemansuhan syarat 30 peratus ekuiti Bumiputera dan liberalisasi di sektor perkhidmatan dan kewangan. Semoga tahun 2010 menunjukkan manifestasi langkah-langkah ini.
ARKIB : 26/12/2009

Maksimumkan kekuatan orang Melayu

MASA mula meninggalkan kita. Kita, orang Melayu. Jadi untuk tidak ketinggalan, kita perlu berusaha berlipat kali ganda. Kita perlu memberi tumpuan kepada bidang yang kita ada . Lagipun kita bukan ada kekuatan dalam semua bidang.
Contohnya bidang pembinaan. Dengan lebih kurang 40,000 kontraktor kelas F, apa yang boleh kita katakan? Kalau ada beberapa kerat dalam kelas A, di mana mereka mendapat bekalan bahan?
Kita tidak menguasai rantaian bekalan bahan binaan. Harga bahan tidak dapat dikawal selain yang sedia dalam senarai kawalan.
Kalau ada kenaikan, kos projek juga berubah. Permohonan untuk mengubah kos (variation cost) perlu dibuat dan akhirnya boleh mengurangkan keuntungan.
Amalan menyerahkan kerja kepada sub kontraktor juga berleluasa, tak tahulah berapa peringkat. Sub kontraktor terakhir mungkin dapat untung sikit sangat jadi dia pula akan “potong sana potong sini”.
Itu yang membuatkan bumbung roboh, dinding berkulat dan runtuh.
Kalau kita amati, kita ada kekuatan dalam bidang perkapalan dengan adanya syarikat seperti MISC. Penerbangan – AIROD. Minyak dan gas, kewangan, perundingan, motivasi dan jualan langsung.
Ada syarikat jualan langsung menghebahkan berjaya membentuk beratus jutawan. Dalam bidang kreatif seperti animasi kita juga mula mempunyai kekuatan dengan adanya syarikat Les Copaque dan Lensa. Bidang fesyen pula ramai lulusan Universiti Teknologi Mara (UiTM) berjaya sebagai pereka terkenal. Begitu juga di bidang pertanian moden.
Dalam bidang penerbangan kita mempunyai anak-anak muda yang memiliki asas teknikal seperti kejuruteraan. Mereka boleh dilatih untuk menjadi pembantu yang lebih cekap dan mahir. Ramai yang berpengalaman ini diambil bekerja oleh syarikat-syarikat antarabangsa.
Industri penyenggaraan di Asia Barat juga lebih gemar menggajikan orang kita daripada Barat kerana pekerja Barat mahu bayaran berlipat ganda.
Dengan adanya asas yang kukuh, bidang-bidang ini boleh dijadikan nukleus untuk melipatgandakan penguasaan kita. Mungkin ada bidang yang memerlukan sedikit bimbingan lanjutan dan ia boleh didapati dengan membawa masuk teknologi luar.
Sekian lama kita memberikan tumpuan kepada penguasaan ekuiti dan ia bukan sesuatu yang kita boleh menang.
Sebabnya kita banyak bergantung kepada agensi kerajaan untuk menyumbang ke arah penguasaan angka yang lebih besar. Sedangkan bangsa lain perkembangannya semakin meningkat. Daripada penguasaan individu ke tahap lebih tinggi dan daripada suatu bidang ke bidang lain.
Kalau kita perhatikan, dalam apa jua bidang yang memperlihatkan kekuatan, mereka mempunyai sistem. Sistem beginilah yang diperlukan oleh petani dan nelayan mereka. Tanpa sebarang sistem, sesuatu keadaan tidak dapat dikawal dan nelayan atau petani tadi akan terus duduk dalam kitaran yang mengancam.
Tahun baru azam baru. 2010 menjanjikan jutaan harapan kepada rakyat Malaysia. Kerangka Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) adalah contoh keterbukaan kerajaan.
Tahun depan juga menjanjikan permulaan kepada Model Ekonomi Baru (MEB) bertujuan menyusun semula struktur ekonomi supaya tidak ketinggalan dalam persaingan. Kedudukan kita yang ke-24 untuk tahun lalu bukan boleh dibanggakan.
Selaku negara yang ingin mencapai taraf perindustrian sepenuhnya, kita ingin lari daripada terjerat dengan pendapatan pertengahan. Salah satu ciri MEB ialah peningkatan kepada pendapatan tinggi iaitu dalam lingkungan AS$17,000 seorang. Ia dua kali ganda daripada sekarang.
Banyak perkara perlu dilakukan untuk mencapai tahap tersebut. Misalnya kita menuntut pelbagai hab di negara ini. Hab halal, pelancongan perubatan, pendidikan dan pelbagai lagi.
Hab-hab ini adalah pusat utama gerakan kemajuan. Namun sesuatu bidang perlu dimajukan lagi kerana banyak yang ada kaitan dengan sektor perkhidmatan yang telah diliberalisasikan Julai dahulu.
Kemelesetan di pasaran saham kita juga memerlukan suntikan fizikal dan semangat. Tidak cukup dengan bertambahnya jumlah syarikat dari China sahaja.
Langkah kerajaan melepaskan pegangan dalam syarikat GLC supaya meningkat kecairan dalam pasaran dan lebih banyak peluang untuk pelabur sahaja tidak mencukupi. Kita juga perlu menambah tawaran selain daripada ekuiti dalam pasaran. Di sini opsyen stok boleh dipertimbangkan dan juga Dana Dagangan Bursa dalam emas.
Penjaga jamin yang boleh diminta untuk mempastikan instrumen ini boleh diniagakan mungkin boleh terdiri daripada Lembaga Tabung Haji, Tabung Angkatan Tentera atau PNB sendiri .ETF Emas ini penting kerana 30 peratus daripada dagangan emas dunia berlaku di ETF di bursa dunia.
Akhir sekali apa jua langkah yang bakal diambil untuk meletakkan kita di persada utama dunia ialah penyelesaian ke atas masalah-masalah yang membelenggu kita seperti jenayah, rasuah serta kerenah birokrasi.
Kita melihat ke arah KPI yang betul-betul menyediakan “kayu dan carrot” untuk mereka yang betul-betul berjaya diiktiraf dan mereka yang tidak mencapai matlamat mesti dikenakan tindakan sewajarnya.
Negara kita kaya dengan sumber alam dan ia perlu digembleng supaya mendapat faedah optimum. Tidak guna kalau ada uranium sekali pun jika ia kekal di dalam tanah. Tidak guna bercakap pasal bioteknologi jika tidak memanfaatkannya.
Kita harap percaturan politik negara tahun depan akan berkurangan dan tumpuan sama-sama diberi untuk meningkatkan kemajuan negara. Ramai ahli politik kita membuktikan kemahiran berpolitik tetapi apakah kos kemahiran mereka itu?
Bagi orang Islam ingatlah akhirat tetap datang. Hari pembalasan tetap ada. Pemimpin akan diadili dahulu. Lainlah kalau ada yang sudah tidak percayakan Tuhan.
DATO’ SALLEH MAJID ialah bekas Presiden
Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia)
ARKIB : 19/12/2009

Setiap Hijrah banyak seruan supaya berubah

DENGAN tidak disedari air mata kegembiraan mengalir semasa Negaraku dimainkan ketika pasukan bola sepak kita menerima pingat emas di Sukan SEA. Selepas 20 tahun ketandusan pingat emas, akhirnya K. Rajagopal dan anak-anak buahnya berjaya mengalahkan pasukan Vietnam untuk mendapatkannya.
Tak kisahlah kalau bola terkena pemain lawan. Bola kena tangan Henry pun Perancis layak masuk Piala Dunia 2010. Syabas kita ucapkan kepada pasukan bola sepak negara.
Saya masih ingat zaman bola sepak yang saya menonton di Stadium Merdeka bersama arwah datuk saya. Nama-nama seperti Robert Choo, Mokhtar Dahari, Arumugam, Khan Hung Meng, Santokh Singh, Ghani Minhat, Zainal Abidin Hassan, Dollah Salleh, Soh Chin Aun dan berpuluh lagi yang bermain bukan kerana gaji tetapi kerana negara.
Sebelum disebut-sebut Satu Malaysia, komposisi pasukan bola sudah mencerminkan 1Malaysia. Begitu juga dengan lain-lain sukan seperti baru-baru ini badminton wanita merangkul johan perseorangan dan beregu di Johor Bahru.
Semangat 1Malaysia sudah memang lama wujud. Adakah mereka ingatkan kulit mereka atau bangsa mereka apabila mereka menerima pingat atau hadiah mereka. Tidak. Malahan Kunalan semalan menyelubungi dirinya dengan bendera Malaysia.
Selepas zaman Santokh dan Chin Aun, jarang sekali saya ke stadium kerana bola sepak kita sudah merosot. Dulu Jepun dan Korea cukup takut dengan kita. Inilah yang perlu kita kaji dan teliti.
Dengan adanya dana pembangunan bola nanti, kita boleh sediakan pakar bukan saja dalam hal bola tetapi hal motivasi, kesihatan, kecergasan, kekuatan mental dan apa jua yang penting demi menaikkan tahap prestasi pasukan kita.
Beralih kepada satu topik lain pula. Semalam 1 Hijrah 1431. Mungkin kepada kebanyakan orang 1 Hijrah tidak lebih daripada satu lagi hari cuti. Kepada orang Islam dan orang Melayu, kita patut menyedari kedudukan orang Islam hari ini. Walaupun jumlah orang Islam di dunia seramai 1.5 bilion, malangnya ramai yang tinggal dalam kedaifan.
Di negara-negara Afrika bukan saja mereka berdepan dengan kebuluran, peperangan, pembunuhan sesama kaum seperti di Darfur, dihalau daripada tempat mereka sendiri seperti di Palestin, huru-hara yang tidak berhenti di Iraq dan di Pakistan dan tidak ketinggalan juga di Indonesia.
Siapakah yang akan menyelamatkan umat Islam? Seruan demi seruan dibuat setiap Hijrah untuk umat Islam berhijrah, berubah, beralih paradigma dan macam-macam lagi tetapi keadaan bukannya lebih baik malahan lebih buruk.
Persepsi orang bukan Islam begitu sempit sekali terhadap agama Islam seperti yang terdapat di Switzerland yang mengharamkan pembangunan menara masjid. Di belakang tapak kasut sebuah jenama kasut sukan terkenal diukirkan nama Allah dan tidak lama dulu di Denmark karikatur Nabi Muhammad dipersendakan. Salman Rushdie orang Islam, sendiri menulis buku Satanic Verses mempersendakan lagi Rasullullah.
Kita melihat negara Islam yang berkuasa pun tidak mahu menggunakan kuasa mereka kerana mereka tidak mempunyai ilmu. Ilmu untuk membuat senjata, ilmu untuk mendirikan prasarana negara, ilmu untuk mengatasi pemikiran sempit yang dianjurkan oleh masyarakat Barat.
Kuasa mereka pada minyak. Kalau mereka tahan penjualan minyak, negara Barat akan melutut kepada mereka, tetapi mereka tidak mahu kerana mereka boleh dapat lagi banyak duit daripada menjual minyak.
Kita lihat Iran yang menjadi sasaran negara-negara Barat. Walaupun Iran ingin mendirikan tenaga nuklear untuk kepentingan tenaga tetapi mereka menganggap itu ancaman kepada dunia Barat.
Kalau mereka membangun tenaga nuklear mereka tidak mengapa. Tetapi negara-negara Islam tidak dapat berbuat apa-apa kerana negara yang mengutuk adalah kawan baik kepada sesetengah negara Islam sendiri. Semasa Iraq ditawan, kononnya memiliki senjata pembinasa, tiada siapa di kalangan negara Islam yang berkuasa berbuat sesuatu.
Akhirnya Saddam Hussein digantung. Kita lihat Persidangan Negara-negara Islam (OIC). Sejak ditubuhkan sampai sekarang, yang ada hanya mesyuarat saja. Kita lihat Bank Pembangunan Islam, ada duit tak digunakan - tidak kurang daripada AS$7 bilion sedangkan orang Islam ramai yang hidup merempat.
Di negara kita orang Islam tidak sepakat. Politik telah memecah belahkan orang Islam. Apakah orang Islam iaitu orang Melayu tidak sedarkah yang kita ketinggalan dalam banyak bidang: ekonomi, sosio dan teknologi. Kita lihat di sekeliling kita, kemajuan banyak terletak di tangan orang lain. Kita masih lagi terikat dengan perkara-perkara yang tidak dapat menyatupadukan Islam.
Kalau berniaga pun orang lain yang berniaga. Kalau ada yang berjaya pun, dia mengurus hak orang lain bukan hak dia sendiri. Jadi kita pandai mengurus hak orang tapi bila dah tua, kita tak ada perniagaan sendiri atau pun dah tua baru nak buat perniagaan sendiri.
Orang Melayu patut buat suatu audit keseluruhan bukan saja dari segi ekonomi tapi semua sekali supaya dengan maklumat itu kita boleh rancang bagaimana tindakan yang patut kita ambil.
Tahun 2020 hanya tinggal 10 tahun lagi. Nak cakap kena berhijrah pun tak memadai. Kena melakukan lonjakan (leapfrog) supaya kemajuan yang bakal dilakukan, bukan aritmetik tetapi geometrik.
Kita kena kumpul mereka yang otak cair-cair, lengkapkan mereka dengan ilmu dari pelbagai sudut termasuk ilmu agama supaya dapat menyumbang ke arah modal insan yang betul berguna bagi umat Islam.
DATO’ SALLEH MAJID ialah bekas Presiden
Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia)
ARKIB : 12/12/2009

Ke arah Bursa Malaysia yang lebih digemari

BARU-BARU ini Bursa Malaysia menjadi tumpuan dalam perbahasan di Parlimen. Ada ahli Parlimen yang ingin tahu tentang prestasi bursa kita secara umum.
Merujuk perangkaan oleh Persekutuan Bursa Dunia (World Federation of Exchanges) berkenaan jumlah nilai dagangan bursa kita setakat akhir Oktober 2009 ialah AS$72.25 bilion. Penurunan sebanyak 34.7 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
Jika dilihat jiran-jiran kita seperti Indonesia, nilai dagangannya ialah AS$81.57 bilion. Kejatuhan sebanyak 25.5 peratus berbanding 2008. Singapura mencatat nilai dagangan tertinggi dalam ASEAN iaitu sebanyak AS$208.9 bilion, penurunan sebanyak 16.6 peratus berbanding 2008, Thailand yang dipenuhi dengan satu demi satu tunjuk perasaan, mencatat nilai lebih tinggi daripada kita iaitu AS$106.31 bilion, jatuh hanya sebanyak 3.2 peratus berbanding 2008.
Sementara Filipina pula menunjukkan kenaikan sebanyak 4 peratus kepada AS$16,455. Di rantau ASEAN bursa kitalah yang menunjukkan penurunan tertinggi.
Bursa di Asia yang mencatat nilai dagangan tertinggi setakat Oktober ialah Shanghai iaitu AS$4.022 trilion – kenaikan sebanyak 70 peratus. Sementara suatu lagi bursa di China yang menunjukkan prestasi menakjubkan ialah Shenzen iaitu kenaikan sebanyak 87.3 peratus kepada AS$2.114 trilion. India juga tidak kurang hebatnya dengan AS$1.315 trilion, kenaikan sebanyak 0.7 peratus. Korea turun sebanyak 0.5 peratus dan Hong Kong sebanyak 15 peratus.
Daripada segi nilai modal pasaran, Singapura mendahului negara-negara ASEAN iaitu sebanyak AS$442.174 bilion. Malaysia dengan nilai sebanyak AS$271.8 bilion, Indonesia yang dulunya jauh di belakang dengan AS$196.2 bilion dan Thailand AS$164.5 bilion. Filipina mencatat nilai modal pasaran berjumlah AS$79.04 bilion. Nampaknya kedudukan nombor satu kita selama beberapa tahun dalam tahun 1990-an telah lama dirampas oleh Singapura.
Nilai dagangan kita mula diatasi oleh Bursa Singapura pada 1998. Sebelum itu kita mencatat rekod demi rekod. Salah satu sebab utama pada masa itu ialah krisis kewangan Asia dan kejatuhan nilai mata wang kita sehingga serendah AS$1 sebanyak RM$4.80.
Keputusan menandakan 100 syarikat dalam KLCI – atas arahan – pada 27 Ogos itu menyebabkan indeks kita yang pernah mencecah paras 1,313 mata jatuh ke paras 268 pada 1 September 1998. Erti tanda itu ialah sesiapa ingin membeli perlu membayar dulu dan sesiapa ingin menjual perlu menyerahkan sijil sahamnya.
Ini berbeza dengan amalan biasa yang memberi penjelasan selama tiga hari. Keadaan pada masa itu boleh dikatakan sudah jatuh ditimpa tangga. Mata wang jatuh, pasaran saham pun jatuh.
Sesuatu perlu dilakukan sekiranya kita ingin mendapatkan sokongan pelabur terutama pelabur asing. Dalam lawatan singkat Datuk Seri Najib Tun Razak ke New York baru-baru ini, beliau berpeluang bertemu dengan beberapa pengurus dana terbesar di sana.
Antara maklum balas yang beliau terima tentang pasaran modal ialah perlunya kita mempunyai syarikat-syarikat yang besar, perlunya dilonggarkan pegangan kerajaan kepada syarikat-syarikat berkaitan kerajaan yang tersenarai supaya dapat mereka yang berminat berpeluang membuat pelaburan dalam beberapa syarikat milik kerajaan.
Indeks utama kita agak berat sebelah daripada segi beberapa syarikat besar walaupun bilangan mereka kecil tetapi sumbangan kepada keseluruhan nilai modal pasaran agak besar.
Seperkara lagi adalah wajar bagi kita mengekalkan nama indeks kata yang utama iaitu Kuala Lumpur Composite Index seperti terdapat dengan lain-lain bursa, masing-masing mengekalkan identiti mereka dan tidak perlu bergantung dengan nama orang lain.
New York ada Dow Jones, London dengan FTnya, Hong Kong – Hang Seng, Korea KOSPI dan seterusnya. Nilai antarabangsa tidak semestinya terletak pada nama asing kepada indeks kita.
Suatu langkah yang patut dipuji walaupun agak lambat ialah membenarkan penyenaraian syarikat asing sepenuhnya. Rancangan awal penyenaraian syarikat asing dulunya ialah pada 2001 tetapi tidak dilaksanakan pada masa itu.
Macam ada sesuatu yang kita bimbangkan pada masa itu. Sekarang sebagai langkah liberalisasi, 30 peratus pun tidak perlu diperuntukkan kepada bumiputera.
Mungkin terlalu awal untuk mentafsirkan kesan kepada pemansuhan itu setakat ini. Penyatuan Papan Utama dan Kedua juga suatu langkah yang wajar dan tidak lagi mengelirukan.
Bagaimanapun pada masa ini terdapat 28 syarikat di bawah kategori PN17 iaitu syarikat yang mempunyai masalah berkaitan kewangan. Pembersihan patut dilakukan kepada syarikat-syarikat yang telah lama duduk dalam keadaan tersebut.
Pada masa ini ada satu sahaja jalan keluar kepada para pelabur sekiranya keadaan pasaran kurang baik iaitu menjual.
Kita wajar memikirkan di bursa derivatif kita memperkenalkan opsyen stok yang mana sesiapa yang melabur saham di bursa saham boleh melindungi pelaburan mereka dengan melabur dalam stok opsyen.
Misalnya kalau Telekom berharga RM10 seunit, stok opsyennya mungkin RM1,000 sahaja. Sesiapa yang ingin melindungi pelaburannya membeli saham Telekom pada waktu yang sama membeli stok opsyen Telekom.
Jadi kalau satu jatuh, ada satu lagi yang boleh melindungi pelaburan mereka. Pada masa ini indeks hadapan stok tidak begitu popular di kalangan para pelabur.
Kajian juga patut dibuat sama ada Dana Dagangan Bursa untuk Emas (Exchange Traded Fund - Gold) wajar ditawarkan di bursa saham. Ini memandangkan lebih banyak hari yang mana Dolar Amerika lebih lemah daripada hari-hari ia kuat.
Itu sebabnya kita lihat harga emas satu auns mencecah sehingga paras AS$1,200 seauns. Banyak bursa saham di dunia memperkenalkan dagangan jenis ini dan ia mewakili hampir 30 peratus segala pembelian emas dunia.
Mungkin ada di kalangan kita yang memikirkan bursa tidak lebih daripada suatu kasino. Kepada mereka kita tunjukkan Las Vegas yang banyak kasinonya sudah ditutup selepas krisis kewangan terbaru tetapi setahu saya belum ada bursa saham yang ditutup walau dilanda krisis termasuk di Dubai
ARKIB : 05/12/2009

Manusia sentiasa memakai topeng

SEBENARNYA sebelum merebaknya penyakit H1N1 manusia kebanyakannya telah memakai topeng. Topeng yang selalunya dipakai oleh manusia begini tidak nampak.
Jarang sekali kita mendapati manusia menunjukkan dirinya yang sebenar. Diri yang dilihat oleh orang ramai dengan diri yang sebenar selalunya berbeza. Misalnya kepada umum seseorang pemimpin masyarakat itu boleh menunjukkan bahagian dirinya yang alim, warak, kerap menasihati orang berbuat baik tetapi dirinya yang sebenar jauh berbeza.
Kadang-kadang kita tahu orang itu menyalahgunakan kuasa yang diamanahkan kepadanya tetapi kepada umum dia tidak menampakkan bahagian yang dia menyalahgunakan kuasa tetapi menampilkan bagaimana dia taat sekali menjalankan amanah yang diberi kepadanya.
Hanya mereka yang menjadi mangsa kepada penyalahgunaan kuasanya saja yang tahu diri manusia itu sebenarnya. Oleh sebab mangsa takut atau diancam akan dilakukan sesuatu terhadapnya, mangsa akan terus berdiam diri.
Ada juga yang menyalahgunakan kuasa ini tertangkap atau didakwa di mahkamah tetapi ramai juga yang terus bermaharajalela dengan amalan buruknya. Kadang-kadang sudah jelas seseorang yang melakukan penyalahgunaan kuasa itu bersalah tetapi disebabkan kecekapan peguam berhujah di mahkamah, manusia itu boleh bebas. Banyak kita lihat kes yang sebegini.
Sesetengah peguam itu mempunyai reputasi untuk menyambut kes-kes yang mirip kepada penyalahgunaan kuasa kerana dia tahu kes sebegitu mempunyai publisiti yang tinggi dan kalau dia menang, namanya akan melonjak naik.
Kita perhatikan mereka yang bersalah dari segi gerak laku mereka. Kebanyakan mereka tidak menunjukkan gerak laku orang yang bersalah dan menyesal. Dalam kes-kes rasuah misalnya mereka yang didakwa boleh ketawa-ketawa walaupun mereka sedar orang media sentiasa di hadapan mereka.
Orang sekarang sudah tidak ada rasa malu lagi membuat kesalahan. Mereka yang didapati bersalah kerana mendera pembantu misalnya boleh menampilkan bahagian diri mereka yang sedih konon kerana ingin diberikan pertimbangan. Kalau dilihat penyeksaan yang telah dilakukannya, nauzubillah, berbanding dengan manusia yang pijak semut pun tak mati dalam mahkamah, sekali lagi beliau memakai topeng.
Bagi mereka yang walaupun tidak jadi mangsa kepada manusia bertopeng ini, tapi ada kalanya tahu apa sebenarnya di belakang topeng orang tertentu. Mereka ini akan ketawa sendirian melihat gelagat manusia yang bertopeng itu. Kenyataan mereka mungkin disanjung oleh orang yang tak tahu diri mereka sebenar tetapi bagi mereka yang tahu latarbelakang perangai buruk mereka, mereka akan berdekah ketawa.
Banyak kita terdengar orang terpedaya dengan macam-macam gaya, ditipu duit, ditipu berubat, ditipu berkahwin dan seribu satu macam lagi. Ini kerana orang tidak melihat diri orang yang memakai topeng tersebut. Macam orang sedang bercinta, semuanya seronok, selalu makan angin, selalu tengok wayang, selalu lepak bersama.
Lepas kahwin saja macam monster perangai. Semasa itulah menyesal tak sudah. Walaupun banyak yang boleh dijadikan contoh tetapi manusia mudah lupa dan banyak lagi terus terkena.
Saya masih ingat seorang ustaz saya semasa sekolah agama rendah dahulu yang begitu garang, garang muka, garang perwatakan. Pakai smart siap bercelak. Saya hairan kenapa ustaz itu (datang naik basikal) berbaju Melayu bersamping hari-hari begitu garang.
Korek-korek rupanya dia berminat dengan seorang anak dara kampung itu tetapi tidak dapat sambutan. Jadi dia lepas geram kepada kami anak muridnya. Sebenarnya sebelum dia jatuh hati dengan anak dara kampung itu, dia baik orangnya.
Begitu juga di pejabat. Ketua jabatan mungkin bila mesyuarat baling fail, baling pena, mengherdik, memaki hamun seperti yang terdapat dengan suatu jabatan kerajaan yang saya ada hubungan. Semua orang tahu perangai ketua jabatan tersebut. Rupa-rupanya ketua jabatan itu takut bini di rumah macam tikus jatuh ke beras tetapi di pejabat kalah harimau betina.
Sandiwara manusia ini menarik bagi mereka yang sedar ramai orang yang bertopeng. Kadang-kadang dengan tidak disedari oleh mereka yang bersandiwara ini, tabiat sebenar diri mereka terkeluar. Ini yang banyak kita lihat akhir-akhir ini.
Pergolakan yang kita lihat hari ini baik di peringkat negara mahupun di peringkat antarabangsa, kebanyakan manusia memakai topeng diri mereka. Misalnya di peringkat antarabangsa presiden Amerika dulu, George W. Bush kata Iraq di bawah Saddam Hussein ada senjata yang boleh menjahanamkan dunia tetapi sebenarnya dia hendak menguasai minyak Iraq. Saddam Hussein sudah menjual minyaknya menggunakan Euro.
Kita lihat Presiden Obama sekarang, sambil dia kata ingin merapatkan diri dengan orang Islam, sikap Israel yang degil dan biadap tidak mahu memberhentikan pembangunan rumah di tanah Palestin berterusan.
Berpuluh kali Iran mengatakan kuasa nuklear hanyalah untuk tenaga tetapi terus mempengaruhi dunia mengatakan Iran ialah pengancam ketenteraman dunia. Sebab Israel dekat dengan Iran.
Di negara kita terlalu banyak contoh yang boleh di ketengahkan. Buka saja surat khabar hari-hari terlalu banyak dalam pelbagai bidang kita akan terjumpa sandiwara manusia ini.
Oleh sebab politik penting lebih banyaklah cerita dalam akhbar tentang politik, yang sudah kalah tak tahu nak berundur, yang ditolak pun tak mahu pergi. Sementara itu yang berangan-angan meneruskan angan-angan mereka. Maka begitulah seterusnya.
Seboleh-bolehnya manusia akan menyorok sifat diri mereka yang sebenar. Macam orang homoseksual. Dia tidak akan mengaku dalam masyarakat kita atau mungkin sudah ramai yang berani mengaku mereka homoseksual kalau dilihat gelagat sesetengah orang itu.
Mungkin ada orang itu tiap-tiap bulan buat usrah di rumahnya – panggil kawan-kawan datang dengar ustaz bersyarah pasal agama, makan-makan sikit. Biar orang cakap, “Oh dia itu kuat agama, selalu ada majlis usrah.” Padahal perkara yang sebenarnya mungkin mengamalkan sikap “mujur lalu melintang patah.”
Bagi Islam, orang yang apabila bercakap dia bohong, bila berjanji dia mungkiri, bila diberikan amanah dia mengkhianati, orang itu tergolong dalam golongan orang munafik. Orang munafik lebih teruk daripada orang kafir. Di zaman Rasullullah, Allah melarang Rasullullah menyembahyangkan orang munafik yang mati. Tetapi manusia sudah takut mati.
DATO' SALLEH MAJID ialah bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia)
ARKIB : 28/11/2009

Amalan sentiasa nafikan kelemahan

RABU lalu semasa sesi soal jawab selepas ceramah yang saya sampaikan kepada pegawai-pegawai kanan kerajaan tentang cabaran ekonomi semasa, seorang peserta wanita telah bertanya;
kenapa orang kita apabila dinyatakan tentang sesuatu kelemahan, mereka sama ada tidak mahu mengakui atau menerima ataupun menafikannya.
Beliau dengan beberapa orang pegawai lain pernah membuat lawatan sambil belajar ke Singapura pada suatu masa dan melihat cara pengurusan dan pengawalan beberapa sistem yang berkaitan dengan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat. Mereka melihat betapa berkesan dan cekap pelaksanaan dan penguatkuasaan yang dijalankan di sana.
Balik ke sini beliau telah membangkitkan kepada ketua-ketua beliau dalam suatu forum tentang apa yang dilihat beliau tentang perancang bandar, kemudahan awam yang disediakan, perkhidmatan pengangkutan dan pelbagai perkara lain yang perlu dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat terutama sekali dari sudut reka bentuk bandar yang memudahkan orang ramai.
Reaksi yang beliau terima ialah "Oh kita tidak boleh bandingkan diri kita dengan Singapura" kerana cara mereka lain dan macam-macam lagi alasan yang diberikan yang pada beliau tidak mengakui kelemahan kita dan tidak mahu menerima hakikat yang kita perlu melakukan sesuatu untuk meningkatkan tahap kecekapan sistem penyampaian awam kita.
Saya diminta memberi komen tentang perkara ini. Jawab saya memang betul. Ada di kalangan penjawat awam kita yang bertaraf pengurus sentiasa dalam alam penafian (constant self-denial). Kalau kita lihat laporan Dayasaing Dunia (World Competitiveness Report 2009) kita dapati Malaysia dari kedudukan ke 21 jatuh ke tangga 24 daripada 134 negara.
Dalam huraian 12 Tunggak Utama yang dijadikan panduan, kita hanya mendapat skor di bawah 10 pada suatu faktor sahaja iaitu Kecanggihan Perkhidmatan Kewangan. Lain-lain perkara seperti Pendidikan Rendah dan Tinggi, Institusi Prasarana dan lain-lain semuanya pada angka dua puluhan ke atas sehingga pendidikan mencapai tahap 43.
Daripada segi kemahiran, Laporan Bank Dunia 2009 menyelitkan kajian yang dibuat oleh Yusuf dan Nabeshima pada 2009 yang antara lain menyenaraikan kemerosotan dan kenaikan jenis-jenis kemahiran pada tahun 2007 berbanding 2002.
Misalnya Kecekapan Bahasa Inggeris jatuh daripada skor 47.5 pada 2002 kepada 16.5 pada 2007, Kemahiran Komunikasi Profesional jatuh daripada skor 14 pada 2002 kepada 6.4 pada 2007.
Sementara itu Kemahiran Teknologi Maklumat meningkat daripada 4.1 kepada 20.4, Kreativiti/Inovasi meningkat daripada 4.1 kepada 10 dan Kemahiran Teknikal/Profesional meningkat daripada 3.2 kepada 18.0. Bukanlah semuanya malang tetapi banyak yang perlu diperbaiki lagi.
Pada ceramah tersebut, bila ditanya tentang apa peranan sektor awam, saya menyatakan antara lain penjawat awam harus mengamalkan budaya atau pendekatan pemasaran iaitu mengenal pasti pelbagai golongan rakyat dan pelbagai jenis keperluan atau kehendak.
Untuk itu mereka perlu turun padang dan tidak menunggu di pejabat sahaja untuk menerima laporan bila ada sesuatu yang tidak kena. Misalnya jangan tunggu dihebahkan di televisyen waktu berita nasional tentang sesuatu rintihan rakyat barulah hendak bertindak.
Hutan sudah ditebang oleh pembalak haram baru hendak bertindak. Sungai yang airnya dijadikan bekalan minuman oleh berjuta rakyat tercemar dengan sisa toksik dan sisa binatang dihebahkan dalam media barulah kelam-kabut jabatan yang berkenaan.
Mereka yang memerlukan khidmat masyarakat misalnya disuruh isi borang ini dan borang itu baru boleh dapat bantuan, sedangkan keadaan mereka sudah daif sekali. Sesebuah jabatan awam yang ada kaitan dengan perkhidmatan wajar melihat semula segala prosedur yang membebankan rakyat dan dilakukan perubahan yang sepatutnya.
Banyak prosedur dan peraturan yang ada sekarang sudah wujud beratus tahun dan boleh dianggap sesetengahnya peraturan purba. Saya menarik perhatian peserta kepada apa yang dilakukan oleh sesetengah jabatan/kementerian yang berorientasikan pemasaran seperti Filem Negara, Kementerian Kesihatan dan Jabatan Pengangkutan Jalan. Iklan yang dibentangkan mengenalpasti masalah utama yang berkaitan dengan jabatan tersebut dan memberi peringatan yang wajar.
Jabatan awam juga patut memberi peluang kepada cadangan pekerja, tidak kira bagaimana pelik sekali pun cadangan yang diberikan bukan setakat menyediakan peti cadangan yang tidak pernah dilihat.
Setiap cadangan mestilah disertakan dengan nama dan jabatan supaya dapat dibuat susulan. Bagi cadangan yang baik diberikan pengiktirafan dengan diberikan hadiah. Amalan ini digunakan oleh syarikat Toyota, sebuah syarikat automatif yang tercekap sekali di dunia.
Dengan cara ini mereka yang inovatif dan kreatif dapat disaring supaya idea-idea mereka dapat diteliti dan dilaksanakan kalau munasabah.
Hasrat kita untuk mencapai negara berpendapatan tinggi, kita perlu melonjak daripada pendapatan purata sekarang iaitu sebanyak AS$8 ribu kepada AS$17 ribu barulah dianggap kategori negara pendapatan tinggi. Tidak ada jalan lain selain menceburi bidang inovasi dan kreativiti, bidang ekonomi pengetahuan untuk kita membuat lonjakan itu.
Suatu kajian tentang arah aliran Matematik dan Sains antarabangsa di kalangan kanak-kanak berumur 13 tahun bagi Taiwan, Hong Kong, Singapura, Korea dan Malaysia pada tahun-tahun 1999, 2003 dan 2007 menunjukkan Malaysia jatuh daripada tangga 16 pada tahun 1999 kepada tangga 20 pada tahun 2007 untuk Matematik. Bagi Sains pula daripada tangga 22 pada tahun 1999 kepada tangga 20 pada 2003 dan 21 pada 2007.
Sementara Korea kekal di tangga 2 daripada tahun 1999 hingga 2007 dan Singapura kekal di tangga 1 untuk Sains dan 3 untuk Matematik. Nampak sangat kita teruk. Inilah kunci untuk meningkatkan tahap kemajuan negara kita pada anak-anak muda kita.
Apa jua keputusan yang telah dibuat tentang kajian Matematik dan Sains diharap tidak akan memburukkan lagi keadaan kerana konsep pemasaran ialah mendengar detik dan nadi pengguna, kalau tidak kita sama-sama akan menerima akibatnya.
DATO' SALLEH MAJID ialah bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia)
ARKIB : 21/11/2009

Malaysia disaran wujud 'ruang gegar inovasi'

SAYA tertarik dengan berita tentang ucapan Dr. Shahid Yusuf, pakar Bank Dunia berkenaan isu-isu pembangunan pada suatu seminar dikelolakan oleh Majlis Penasihat Ekonomi Nasional pada hari Khamis 19 November yang lalu.
Beliau mengatakan Malaysia kurang memiliki 'ruang gegar inovasi' (innovation hotspots) untuk melonjakkan pembangunan teknologi tempatan. Untuk mewujudkan ruang gegar ini mengambil masa lima atau sepuluh tahun. Ia memerlukan komitmen kerajaan menerusi peningkatan mutu pendidikan dan pembiayaan penyelidikan yang mewah.
Keperluan utama untuk mewujudkan ruang ini ialah mengadakan pusat-pusat penyelidikan asas dan yang diguna pakai serta mampu menghasilkan idea-idea berlebihan dan bakat keusahawanan untuk dikomersialkan.
Menurut Dr. Shahid pusat-pusat ini boleh mengandungi universiti-universiti terbaik, institusi penyelidikan atau firma yang memiliki pelbagai jenis penyelidikan.
Suatu suasana bandar yang terbuka, selesa, mampu dijangkau oleh ramai pihak dan mempunyai penyambungan yang tinggi.
Sebenarnya untuk pusat sebegini wujud tidak semestinya datangnya daripada kerajaan semata-mata. Ia muncul daripada suatu kesedaran di kalangan golongan tertentu yang mungkin berfikiran berlainan daripada golongan majoriti, golongan yang ingin mencabar perkara tradisional, golongan yang mempunyai minda terbuka dan kepada sesetengah orang mungkin dianggap golongan "sewel".
Ia suatu budaya bandar yang lebih berminat kepada inovasi dan teknologi. Silicon Valley di California tidak diwujudkan oleh kerajaan. Ia semata-mata suatu usaha sektor swasta.
Malangnya di negara kita sektor swasta tidak melabur dalam penyelidikan dan pembangunan sebanyak yang diperlukan oleh sebuah negara yang ingin maju dan keluar daripada kepompong pendapatan pertengahan.
Syarikat menunggu didatangi oleh seseorang yang mempunyai hasil kajian yang boleh dikomersialkan. Sikap mereka sepatutnya mencari dan mengenal pasti yang berpotensi.
Pepatah Melayu, "Kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya." Kalau semua idea mesti ada jaminan berjaya, kita tidak akan ke mana-mana.
Ada baiknya pihak-pihak tertentu mengambil konsep "tempat lepak" yang terdapat di merata tempat yang selalu dikunjungi oleh golongan remaja, sama ada untuk bersembang atau menggunakan Wifi di cafe-cafe mempelawa mereka yang mempunyai idea-idea baru atau cadangan-cadangan yang tidak dilayan oleh pihak lain, atau kertas kajian daripada universiti-universiti sebagai memenuhi syarat lulus kursus yang diwajibkan kepada pelajar.
Mengikut pengalaman saya banyak juga kajian yang pernah dijalankan oleh pelajar di bawah bimbingan saya, misalnya, yang mempunyai potensi untuk dikomersialkan.
Di pusat "lepak" yang diubah suai ini ada panel yang boleh mengkaji dan meneliti cadangan-cadangan kreatif yang dikemukakan selain daripada menyediakan ruang untuk mereka yang mungkin idea yang radikal bertukar-tukar fikiran dengan orang lain.
Fasilitator daripada universiti atau institusi penyelidikan boleh juga dijemput untuk mencungkil idea-idea yang kemudiannya boleh diperbaiki.
Pusat-pusat sebegini tidak lagi menjadi masalah dari sudut untuk mendapatkan tempat kerana di kebanyakan bandar mempunyai cawangan dewan perniagaan yang boleh dijadikan tempat untuk bertemu sama ada di masa-masa tertentu seperti hujung minggu atau sentiasa terbuka seperti cafe.
Masalah di cafe ialah untuk mengadakan perbincangan yang serius mungkin terganggu kecuali dikhaskan ruang tertentu untuk perbincangan. Inilah suatu cara yang mampu menghasilkan inovasi.
Dalam laporan Bank Dunia terkini, ia menyatakan untuk Malaysia melangkah masuk menjadi negara berpendapatan tinggi ia perlukan suatu strategi bersepadu yang mengandungi empat unsur:
Pertama, mengkhususkan lagi ekonomi. Penting untuk memberi fokus kepada hanya beberapa sektor bernilai tinggi berdasarkan inovasi yang mempunyai potensi yang kukuh. Persekitaran yang membantu boleh diwujudkan dengan membangunkan ekonomi yang mesra perniagaan dan dalaman yang berdaya saing.
Juga prasarana yang mampu menampung ekonomi pengetahuan perlu disediakan. Teknologi tertumpu, inovasi dan dasar-dasar perbandaran mampu mengasuh ruang-ruang pertumbuhan dengan membangun kekuatan yang sedia ada dalam sektor-sektor seperti elektronik, industri berasaskan sumber dan kewangan Islam.
Kedua, meningkatkan kemahiran tenaga kerja. Pekerja yang mahir pada masa ini di paras 25 peratus, sektor tenaga memerlukan kuantiti dan kualiti pekerja mahir. Ini perlukan perhatian kepada insentif, persaingan dan pengambilan berdasarkan merit dalam pendidikan dan pada waktu yang sama pembangunan kurikulum, latihan guru yang lebih baik dan meningkatkan usaha dengan bantuan sektor swasta.
Ketiga, menjadi pertumbuhan lebih meluas. Dasar-dasar meluas yang boleh membantu membangun ekonomi yang berdaya saing, dinamik dan fleksibel. Ia bukan saja menolong isi rumah mengatasi kemiskinan tetapi dapat memajukan keusahawanan dan pengambilan risiko.
Jaringan keselamatan sosial dapat melindungi yang memerlukan pada masa kesusahan dan mengurangkan kos fiskal.
Keempat, menyokong kewangan awam. Reformasi dan penyatuan fiskal dapat menangani kebimbangan pelabur tentang kenaikan defisit, keluasan asas pendapatan, mengurangkan peranan subsidi dan mengurangkan pengecualian inisiatif swasta.
Peralihan dalam pola perbelanjaan daripada yang am kepada usaha-usaha yang khusus dan yang mahir juga dapat membantu.

ARKIB : 14/11/2009

Elok melabur dalam bentuk emas

MINGGU lepas saya dijemput oleh TV3 menerangkan tentang emas sebagai pelaburan alternatif dalam program Bijak Wang. Minat dengan pelaburan emas memang sedang meningkat. Melalui program tersebut pun ada beberapa penonton yang menelefon bertanyakan beberapa perkara tentang emas.
Saya diminta menerangkan mengapa wajar melabur dengan emas. Emas sebenarnya ialah suatu komoditi yang tidak luntur ditelan zaman. Walau tertanam beribu-ribu tahun sekalipun, emas tetap berkilau.
Tidak ada negara yang mata wangnya tidak tertakluk kepada turun naik nilai emas, termasuklah negara kita semasa krisis 97/98 yang mana mata wang kita dikatakan menjadi bahan spekulator dan pernah jatuh ke paras serendah RM4.50 untuk satu dolar Amerika.
Mata wang dunia tidak lagi disokong oleh emas dan negara seperti Amerika Syarikat didapati boleh mengeluarkan seberapa banyak wang sesuka hati mereka.
Sekian lama mata wang dolar Amerika digunakan untuk segala-galanya daripada rizab negara kepada dagangan dunia.
Boleh dikatakan tidak ada urusan yang tidak lepas daripada dolar Amerika sehinggalah Kesatuan Eropah menghasilkan Euro yang menjadi pencabar kepada kedudukan dolar Amerika.
Apabila berlaku krisis ekonomi pada tahun 2008 yang berpunca di Amerika, dolar terus tertekan kedudukannya selaku mata wang utama. Tambahan pula negara seperti China yang banyak membeli Bil Perbendaharaan Amerika Syarikat merasa bimbang mengenai penurunan nilai dolar dan menyarankan penggunaan mata wang alternatif untuk perdagangan.
Pada waktu sama China juga mengajak negara-negara Asia Barat mengubah haluan menggunakan mata wang lain selain dolar Amerika.
Suasana begini dicampur dengan defisit kerajaan Amerika yang berjumlah trilion dolar menyebabkan ramai orang membeli emas selaku pelindung atau insuran.
Mereka yang mengambil langkah perlindungan ini bukan saja orang individu tetapi juga negara. Selasa minggu lepas, Bank Negara India telah membeli 200 tan emas dari Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) dan ia telah melonjakkan harga emas pada hari itu. Dikhabarkan IMF akan menjual sebanyak 200 tan lagi. Kenaikan permintaan ini menyebabkan harga emas terus meningkat.
Minggu lepas sehingga semalam (Jumaat) emas naik dari AS$1091 (RM3,815) seauns kepada AS$1106 (RM3,871).
Bagaimanapun mereka yang ingin membeli emas patut melihat pembeliannya untuk disimpan selama 365 hari. Bukan untuk dijual minggu depan atau bulan depan kerana dengan mengambil sikap demikian segala turun naik harga (volatiliti) dapat diatasi.
Misalnya sejak setahun lalu, harga emas naik sebanyak 52 peratus dari AS$734.90 (RM2,572) seauns kepada AS$1116.80 (RM3,908) seauns.
Kalau emas tidak penting mengapa kerajaan India membeli 200 tan emas minggu lepas?
Kebimbangan akan kejatuhan nilai matawang dolar Amerika dan kemungkinan pemulihan mungkin akan mengambil masa lebih lama daripada dijangkakan kerana pengangguran di AS hampir mencecah 10 peratus dan masalah yang membelenggu sektor perumahan belum dapat diatasi lagi.
Kerajaan China juga menasihatkan rakyatnya menyimpan 5 peratus daripada wang simpanan mereka dalam bentuk emas dan ini bakal menaikkan lagi harga emas.
Kita ingat semasa zaman ramai pelarian meninggalkan negara asal mereka seperti semasa perang Vietnam. Mereka yang lari daripada Kemboja membawa bersama emas dan apabila sampai di sini mereka menggunakan emas tersebut untuk memulakan perniagaan dan hidup baru.
Contohnya di kawasan Kota Tinggi, Johor. Ramai orang Kemboja yang memiliki perniagaan seperti barang kemas dan perniagaan kain. Emas diterima di mana-mana tidak kira di negara mana sekalipun, emas tetap emas.
Seperti yang pernah dinyatakan dahulu, emas boleh dibeli secara buku pas dan secara syiling atau keping (wafer) dari bank-bank perdagangan. Selain itu, barang kemas juga suatu pelaburan dalam "bentuk emas" walaupun ketulenan emas pada barang kemas adalah rendah daripada emas keping iaitu 91.6 peratus bagi barang kemas dan 99.99 bagi syiling dan emas keping.
Bagi Bursa Malaysia pula, mungkin Dana Dagangan Bursa Emas (Gold Exchange Traded Fund) mungkin boleh difikirkan selaku salah suatu tawaran di bursa kita.
Dengan adanya ETF Emas ini dapatlah lebih ramai pelabur melabur dalam emas dengan modal yang lebih rendah.
DATO' SALLEH MAJID ialah bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia)
 ARKIB : 31/10/2009

Melonjak ke tahap rantaian nilai lebih tinggi

ADA beberapa perkara yang mungkin tidak menarik perhatian orang ramai tentang Bajet 2010 baru-baru ini. Pertama ialah perubahan pusat latihan pegawai awam INTAN kepada sebuah pusat latihan antarabangsa.
Dengan ini INTAN akan meluaskan skop latihan kepada lebih luas lagi bidang dan lebih ramai lagi tenaga pengajar daripada pelbagai institusi dan universiti antarabangsa.
Nama-nama Universiti seperti Stanford, Harvard, Carnegie Mellon, Wharton School of Finance misalnya dari Amerika Syarikat dan INSEAD, IMEDE dari Eropah terbayang sebagai universiti yang terkenal di dunia. Selalunya mereka yang menjadi tenaga pengajar di universiti-universiti tersebut terdiri daripada mereka yang mempunyai pengalaman luas dalam sesuatu industri.
Di sinilah rancangan untuk mendedahkan pegawai kerajaan terhadap pengalaman dalam sektor swasta melalui perlekatan dengan syarikat-syarikat milik kerajaan (GLCs). Ia adalah suatu langkah yang wajar dalam usaha melengkapkan pengalaman pegawai-pegawai kerajaan.
Pengalaman ini diharap akan meningkatkan produktiviti amnya. Hanya dengan meningkatnya produktiviti sahaja pendapatan boleh meningkat.
Dalam suatu rancangan televisyen tidak lama dahulu, hos program Hujah melahirkan kesangsian beliau tentang bagaimana pendapatan boleh ditingkatkan di negeri-negeri seperti Kelantan.
Peningkatan pendapatan membabitkan cara baru dalam melakukan sesuatu kerja. Kalau dilihat industri-industri yang ada sekarang, banyak yang masih lagi terikat dengan cara penghasilan yang lama, berteknologi lama sedangkan banyak cara baru telah pun diperkenalkan.
Dalam bidang perkilangan misalnya, loncatan kepada rantaian nilai yang lebih tinggi misalnya memerlukan pengeluaran berasaskan teknologi baru. Banyak produk kita yang dieksport ke negara jiran yang kemudiannya dibungkus dan dilabel olehnya dan dinyatakan sebagai produk hasil negara tersebut.
Dengan melakukan pembungkusan dan pelabelan produk tersebut di negara sendiri, kita sudah menjual barang tersebut dengan harga yang lebih tinggi seterusnya melonjak kepada nilai rantaian yang lebih tinggi.
Kunci kepada lonjakan ke tahap rantaian nilai yang lebih tinggi ialah teknologi dan kemahiran tenaga pekerja di sesebuah negara. Mungkin sebagai langkah untuk meningkatkan kefahaman kepada teknologi baru ini perlu latihan atau latihan semula.
Ramai yang masih menyangka bahawa pelabur asing akan datang melabur sekiranya kos tenaga pekerja rendah. Hakikatnya kalau kita melihat negara-negara yang telah beralih kepada teknologi tinggi, mereka menerima jumlah nilai pelaburan asing lebih tinggi daripada negara yang mempunyai tenaga pekerja bergaji rendah.
Ertinya pelaburan asing akan melabur di mana saja mereka boleh membuat keuntungan dan sekiranya kita masih terikat dengan cara lama kita akan ditinggalkan oleh mereka yang sudah beralih kepada teknologi tinggi atau di rantaian nilai yang lebih tinggi.
Lihat saja dalam bidang bioteknologi, pelbagai perkara boleh dilakukan termasuk Genetically Modified Foods (GMO) seperti buah tomato yang terlindung daripada ulat perosak atau timun yang lebih kerap berbuah. Malahan kita melihat hari ini pelbagai jenis cantuman tanaman boleh dilakukan untuk meningkatkan hasil dan mutu.
Makanan laut kita pernah diharamkan pengimportannya oleh negara-negara Kesatuan Eropah disebabkan aktiviti penghasilan daripada ternakan kepada pengeksportan tidak mematuhi piawaian negara-negara tersebut. Ertinya tidak bersih.
Di sinilah pendidikan dan pendedahan kepada teknologi dan ilmu pengetahuan baru penting dan beban melengkapkan tenaga pekerja ini tidak terletak di atas bahu kerajaan sahaja. Malahan sektor swasta memainkan peranan yang tidak kurang pentingnya.
Ketua-ketua pekerja wajar dihantar untuk latihan keluar negara atau pakar-pakar dalam bidang teknologi masa depan ini dibawa ke sini untuk membimbing pekerja tempatan. Latihan untuk pelatih ini penting supaya menerima kesan penggandaan pekerja yang terlatih.
Rantaian nilai (value chain) bukannya usaha mengurangkan kos tetapi di setiap peringkat aktiviti penghasilan sesuatu produk atau barang, nilai produk tersebut meningkat.
Dalam bidang pertanian misalnya perisian yang mampu memberi arahan untuk penyiraman dan pembajaan tanaman boleh memastikan hasil keluaran yang lebih baik. Air yang digunakan yang dianggap "air mati" kalau dipasangkan peralatan yang boleh "menghidupkan" air tersebut, nescaya hasilnya akan lebih tinggi mutunya.
Perkara yang penting dalam rantaian nilai yang lebih tinggi ialah mutu. Produk pertanian wajar dibungkus dan ditandakan dengan kemas dan baik supaya kebersihannya sentiasa terjamin dan tidak terlambak seperti yang terdapat di Pasar Chow Kit. Keadaan pasar tersebut begitu kotor dan mengaibkan sebagai sebuah negara yang ingin berganjak kepada prasarana kelas satu.
Rantaian nilai bukan sahaja dikaitkan dengan pengeluaran di kilang sahaja tetapi membabitkan juga rantaian bekalan dan pengedaran (supply and distribution chain). Ertinya hubungan antara pengeluar dan pengguna mampu dikurangkan dengan penyusunan semula keseluruhan aktiviti yang membabitkan bekalan dan pengedaran supaya lebih cekap.
Keseluruhan aktiviti tersebut perlu dilihat dan di mana perlu orang tengah dikelolakan semula atau dimansuhkan sama sekali. Misalnya syarikat Federal Express (FedEx) begitu terkenal dengan sistem penyuraian mereka untuk menampung keperluan seluruh dunia. Begitu juga syarikat terkenal WalMart yang memiliki sistem bekalan dan pengedaran terbaik di kalangan syarikat-syarikat runcit. Kesemua anak Sam Walton, pengasas WalMart adalah bilionaire.
Bagi perusahaan pondok di kampung-kampung suatu revolusi berasaskan penyelidikan dan pembangunan secara berkelompok mampu memberikan input yang berguna kepada pengeluar. Agensi-agensi yang sedia ada seperti MARDI, FAMA boleh digabungkan dalam unit R&D tersebut supaya kepakaran yang ada boleh dikongsi bersama beberapa pengeluar.
Pokoknya, unit ini pergi keluar dan mencari (go out and seek) dan tidak menunggu pengeluar perusahaan pondok ini datang mencari mereka. Inilah konsep pemasaran yang boleh diamalkan oleh agensi-agensi kerajaan yang mempunyai peranan untuk meningkatkan lagi produktiviti negara.
Kedua mungkin ramai tidak terbayang apakah impak daripada pemasangan Sistem Jalur lebar Kelajuan Tinggi yang bernilai lebih RM11 bilion ke seluruh negara. Dengan meningkatnya penembusan jalur lebar daripada 27 peratus sekarang kepada sasaran 50 peratus tahun hadapan, pusat-pusat penyelidikan dan pembangunan di kampung-kampung bakal mendapat manfaat daripada pelbagai jenis maklumat yang boleh diakses.
Di sinilah selaku tanggungjawab sosial korporat, syarikat-syarikat milik kerajaan boleh sama-sama menaja pusat-pusat ini supaya terus berkembang dan berkesan kepada masyarakat.
DATO' SALLEH MAJID ialah bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia)

ARKIB : 26/10/2009

Bajet 2010 faedahnya menyeluruh

BAJET 2010 sudah dibentangkan. Seperti biasa bukan semua orang puas hati. Sudah tiada apa hendak dibangkang, bayaran RM50 untuk kad kredit pun jadi hal. Kalau kita lihat gaya bank mempromosikan kad kredit mereka, sampai buka gerai di pusat-pusat membeli-belah di merata tempat dan di stesen minyak.
Ertinya begitu agresif menyuruh rakyat negara ini hidup dengan kredit. Maka ramailah yang berhutang sehingga tak terbayar dan ramai jugalah yang menyumbang kepada institusi kad kredit ini dengan kadar faedah lebih kurang 18 peratus setahun.
Kehidupan gaya kredit inilah yang membuatkan Amerika Syarikat mengalami krisis ekonomi yang teruk mulai 2008 dahulu. Amalan berhutang ini lebih banyak buruknya daripada baik kecuali dalam keadaan kecemasan atau terdesak misalnya hospital tidak mahu merawat kes kecemasan waris kita kalau tidak dibayarkan cengkeram. Maklumlah sekarang ini kalau hendakkan rawatan di hospital swasta dalam kes kecemasan sekalipun kena bayar cengkeram dulu.
Melihat daripada apa yang dibentangkan rasanya bajet kali ini memberi manfaat yang merangkumi pelbagai lapisan masyarakat daripada petani dan nelayan kepada mereka yang makan gaji.
Rasanya melihat harga rumah yang melambung tinggi yang tidak sepadan dengan pendapatan masyarakat ada baiknya Cukai Keuntungan Hartanah bukan saja patut dikenakan 5 peratus tetapi patut lebih tinggi supaya mereka yang melakukan spekulasi hartanah ini dapat dibendung.
Sememangnya pasaran hartanah wajar rancak tetapi biarlah dalam keadaan sihat dan bukan dengan kenaikan harga yang bukan-bukan. Perkara yang membuatkan harga rumah dua tingkat berkembar misalnya sampai RM500 ribu ialah spekulasi yang menjadi-jadi sehinggakan mereka yang betul-betul berhajat untuk memiliki rumah jenis tersebut tidak tercapai.
Kalau dibanding dengan kadar pendapatan golongan pertengahan memang tidak setimpal. Alasan pemaju ialah kuasa pasaran. Mereka yang buat untung banyak dengan spekulasi hartanah ini mampu membayar cukai keuntungan yang tinggi.
Semasa perbincangan tentang bajet ini di dalam program Astro melalui saluran Bloomberg Jumaat lepas, timbul perkara berkaitan dengan pinjaman pendidikan tinggi ditukar kepada biasiswa bagi mereka yang memperolehi Kepujian Kelas Pertama.
Pandangan daripada ahli panel yang pernah berkhidmat dengan Kementerian Pengajian Tinggi ialah galakan ini pernah diberikan tetapi diberhentikan kerana ada IPTS yang menyalahgunakan keistimewaan ini apabila pemberian Kelas Pertama Kepujian ini secara begitu mewah.
Maklum balas daripada seorang pensyarah bidang arkitek disalah sebuah IPTS yang suka berpublisiti ialah apabila dia hendak memberikan pangkat gagal kepada pelajar kelasnya dia diberitahu oleh orang atasan institusi tersebut, “di sini kita tidak ada pelajar yang gagal.”
Tidak hairanlah kalau Datuk Izat Emir, Presiden Perdasama merungut selepas mengambil tiga orang siswazah daripada IPTS tersebut bekerja dengan syarikatnya didapati mereka tidak boleh buat kerja langsung.
Kalaulah amalan meluluskan pelajar yang patut gagal berlaku di sesetengah institusi pengajian tinggi ini sama ada yang di sektor awam atau swasta semata-mata kononnya untuk menunjukkan rekod pencapaian yang hebat, nescaya kita akan menjadi bahan ketawa apabila lulusan daripada institusi-institusi tersebut tidak mampu melakukan kerja yang diberikan kepada mereka.
Janganlah modal insan yang diharapkan daripada pelaburan yang begitu besar untuk pendidikan setiap tahun tidak mampu berdaya saing dalam keadaan dunia yang sentiasa berubah dan tidak menentu ini.
Bajet kali ini merupakan asas kepada Rancangan Malaysia Kesepuluh yang bakal berlatarbelakangkan model ekonomi baru. Kita melihat dalam bajet kali ini peruntukan sebanyak RM200 juta untuk industri kreatif yang meliputi pembiayaan penghasilan drama dan filem, muzik, animasi, pengiklanan, pengeluaran bahan tempatan.
Dana ini akan diuruskan oleh Bank Simpanan Nasional. Ke arah ini suatu dasar industri kreatif akan digubal untuk kemajuan industri kreatif. Kegiatan innovative pula merangkumi kesemua jabatan dalam kerajaan yang bertujuan memudahkan lagi sistem penyampaian awam, baik untuk rakyat mahupun untuk sektor korporat seperti yang telah dilaksanakan di Jabatan Imigresen, Suruhanjaya Syarikat, Jabatan Pengangkutan Jalan.
Dalam suasana penurunan pendapatan kerajaan, bajet kali ini masih lagi memberikan pelepasan cukai kepada rakyat. Pelepasan diri bertambah seribu ringgit dan pelepasan daripada bayaran insurans dan KWSP dinaikkan juga sebanyak seribu. Cukai individu juga diturunkan daripada 27 peratus kepada 26 peratus. Semoga lebihan ini dapat dibelanjakan untuk menjana pertumbuhan ekonomi.
Subsidi utama yang selama hari ini dinikmati juga oleh orang asing ialah subsidi minyak. Ini akan dapat diatasi dengan penguatkuasaan pembelian dengan penggunaan bersyaratkan MyKad pada masa akan datang.
Pembentangan bajet ini telah didahului oleh Laporan Ketua Audit Negara. Banyak perkara yang mengejutkan berkaitan pembaziran dan penyalahgunaan wang kerajaan terdapat dalam laporan tersebut. Perdana Menteri telah melahirkan rasa kecewa beliau dengan penyalahgunaan ini dan mahukan tindakan diambil atas mereka yang didapati bersalah.
Apa yang dilaporkan oleh Ketua Audit Negara adalah berdasarkan contoh rambang perbelanjaan wang kerajaan. Kalaulah diteliti setiap perbelanjaan mungkin kita akan dikejutkan dengan penyalahgunaan yang lebih meluas.
Kita sedar bukan semua penyelewengan yang dilaporkan dalam laporan Ketua Audit Negara yang lepas-lepas diambil tindakan dan kita berharap dengan adanya iltizam baru daripada kerajaan, mereka yang bersalah dapat diambil tindakan. Banyak mana peruntukan sekalipun tidak akan cukup sekiranya kebocoran dan penyelewengan ini berleluasa.
DATO’ SALLEH MAJID ialah bekas Presiden
Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia)
ARKIB : 20/10/2009

Perlunya didikan agama diberi keutamaan

KADANG-KADANG kita terfikir, adakah kita memberikan masa yang setimpal kepada pengajian agama jika dibandingkan dengan masa yang kita berikan kepada pelajaran biasa.
Misalnya enam tahun untuk sekolah rendah, ditambah dengan lima tahun sekolah menengah, dicampur dengan dua tahun tingkatan enam dan tiga atau empat tahun untuk ijazah sarjana muda, dua tahun untuk sarjana dan mungkin empat tahun untuk ijazah kedoktoran. Antara 21 hingga 23 tahun tempoh masa dikhaskan untuk sekolah dan universiti.
Sedikit sangat terdapat dalam 21 tahun itu dimasukkan pengajian agama kecuali kalau seseorang itu mencari sendiri guru yang boleh membimbing sehingga betul-betul memahami apa yang diperlukan untuk menjadi seorang insan yang beriman.
Masalahnya bermula dengan ibu bapa yang mungkin tidak mengambil berat tentang perlunya anak-anak mendapat pengajian agama yang lengkap bukan setakat pandai membaca al-Quran sahaja.
Kalau ada pun kelas sebelah petang untuk sekolah agama selalunya hanyalah setakat sekolah rendah sahaja.
Daripada keadaan dan suasana yang tidak memberikan keutamaan kepada pengajian agama yang betul inilah timbul bermacam-macam fahaman dan muncul pelbagai jenis orang seperti Ayah Pin dan Rasul Melayu yang mempunyai pengikut tapi baru-baru ini ditangkap pihak berkuasa.
Mereka yang menjadi pengikut ini bukannya terdiri orang tidak berpelajaran tetapi mereka yang mempunyai ijazah dan sarjana. Misalnya sebelumnya al-Arqam diharamkan, ramai pengikutnya yang terdiri daripada golongan terpelajar yang sudah terpengaruh dengan pelbagai tuntutan ketuanya termasuk dikatakan dilantik oleh Nabi Muhammad.
Pernah juga terdengar penceramah daripada luar negara yang berceramah hanya untuk golongan ahli-ahli korporat dan mereka memberikan sumbangan berjuta ringgit kepada penceramah yang kononnya begitu mendalam ilmu agamanya.
Mudahnya orang kita terpengaruh disebabkan kurangnya ilmu pengetahuan tentang agama. Kebanyakannya asas keagamaan mereka begitu lemah dan mudah terpengaruh dengan kumpulan yang mampu mempengaruhi dengan ilmu songsang. Mereka yang menjadi pengikut ini tidak mempunyai ilmu untuk menangkis fahaman yang tidak betul.
Ekoran daripada sikap "tidak takut Tuhan" inilah berlaku macam-macam penyelewengan, penipuan, jenayah dan seribu satu macam kesongsangan tabiat yang dilakukan oleh orang yang berpelajaran tinggi. Ada juga yang mengaji tidak tamat, tetapi dengan sedikit ilmu menggunakannya untuk tujuan yang menyimpang.
Hari ini kita terbaca tentang "siang hari pakai tudung, malam jadi kupu-kupu malam" di kalangan pelajar kita yang tidak malu lagi menggadai tubuh mereka. Begitu juga kelab-kelab gay dan lesbian.
Kesemua ini adalah ketidakmampuan mereka untuk menangkis pengaruh Barat yang mereka baca dan saksikan melalui televisyen, internet, majalah dan surat khabar.
Desakan kehidupan juga menyebabkan ibu bapa tiada masa untuk mendidik anak-anak dalam bidang agama kerana kedua-duanya terpaksa bekerja untuk menampung keperluan kehidupan.
Ramai anak-anak yang ditinggalkan di rumah jagaan kanak-kanak atau dijaga oleh pembantu rumah yang kebanyakannya orang asing seperti rakyat Indonesia dan Filipina. Jarang sekali bagi mereka yang sedar perlunya ilmu agama membawa guru ke rumah atau menyuruh anak-anak mereka mengikuti kelas-kelas agama.
Di sinilah jabatan-jabatan agama sama ada berbentuk kerajaan atau badan-badan bebas yang disahkan untuk mengambil tindakan daripada peringkat kampung, daerah, bandar dan negeri bagi memastikan pengajian agama ini diberikan suatu keutamaan sama seperti yang diberikan kepada perkara-perkara berkaitan ekonomi dan politik.
Tidak kurang juga masa yang terluang bagi ibu bapa ditumpukan kepada politik, baik di peringkat cawangan, bahagian. Kalau peringkat negeri, maka lagi kuranglah masa untuk anak-anak.
Ini juga boleh menimbulkan macam-macam perkara yang kurang sihat seperti rebutan kedudukan, jawatan, dengki mendengki walaupun mempunyai pelajaran tinggi. Ini dapat kita saksikan sedang berlaku hari ini.
Kalaulah ilmu agama yang betul dapat diberikan secara percuma dalam pelbagai bidang dan peringkat, misalnya yang ingin tahu pasal belajar perkara yang asas, yang ingin mendalam misalnya dalam bidang tasawuf boleh mengikuti bidangnya.
Kita sedia maklum memang ada ceramah agama lepas-lepas sembahyang di masjid-masjid tetapi ini tidak mencukupi kerana kadang-kadang mereka yang betul-betul berminat mencari guru boleh tersalah pilih.
Kita perlu ingat bahawa ilmu yang pertama dituntut untuk kita pelajari ialah ilmu mengenal diri sebelum kita mengenali Allah.
DATO' SALLEH MAJID ialah bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia).
ARKIB : 10/10/2009

Emas sebagai alternatif pelaburan

MINGGU ini saya bercerita sedikit tentang emas sebagai pelaburan. Sebenarnya emas sudah menjadi bahan pelaburan sejak harganya mula-mula diselaraskan pada tahun 1717 oleh Sir Isaac Newton.
Pada tahun 1971, emas tidak lagi terikat dengan Dolar Amerika dan diperdagangkan secara bebas. Pada 6 Oktober 2009 baru-baru ini, harga emas di pasaran emas dunia melonjak sebanyak AS$24.60 kepada AS$1,041.80 seauns sehari.
Enam bulan dulu harga terendah emas ialah AS$868.70 dan setahun dulu harganya ialah AS$709.50 seauns. Dalam masa setahun harga emas naik sebanyak 46.8 peratus. Lima tahun dulu harga terendahnya ialah AS$412.10 iaitu kenaikan sebanyak 152.8 peratus.
Secara purata seseorang yang melabur jangka panjang mendapat pulangan purata dalam masa lima tahun sebanyak 30.5 peratus. Rasanya pelaburan di pasaran saham sendiri tidak boleh memperolehi keuntungan sebanyak itu.
Tidak ramai yang sedar akan pulangan yang lumayan daripada pelaburan emas. Cara yang baik untuk melabur emas ialah dengan membeli syiling emas atau emas keping selain barang kemas.
Untuk makluman, suatu auns bersamaan dengan 31.10 gram. Bagaimana pun harga jualan emas di institusi kewangan berbeza-beza kerana harga emas bukannya sesuatu yang terkawal.
Banyak kos perkhidmatan seperti insurans diambil kira oleh institusi-institusi ini. Syiling dan emas keping ini boleh diperolehi di bank-bank seperti Maybank dan OUB.
Ada juga yang menggunakan buku pas seperti Public Bank tetapi pelanggan tidak menyimpan dan melihat emas sebenarnya hanya jumlah dan harga semasa pembelian dimasukkan ke dalam buku pas.
Kini ada pembelian dan penjualan boleh juga dilakukan dengan Koperasi Etika Emas yang mempunyai cawangan di seluruh negara.
Kenaikan harga emas tertakluk lazimnya atas tiga faktor utama. Pertama penyusutan nilai dolar Amerika. Apabila nilai dolar Amerika susut harga emas akan naik, apabila dolar Amerika stabil harga emas akan susut.
Emas bertindak sebagai pelindung nilai menentang dolar Amerika. Pada masa ini dolar Amerika lemah dan menunjukkan tanda-tanda akan menjadi lebih lemah.
Ada juga ura-ura negara Asia Barat dan China akan menggunakan mata wang lain selain dolar Amerika disebabkan kelemahan dolar Amerika ini. Walaupun peralihan kepada mata wang selain dolar Amerika (euro misalnya atau mata wang bentuk baru) bukan sesuatu yang boleh berlaku dengan segera, berita itu telah cukup untuk melonjakkan harga emas dunia.
Faktor kedua ialah harga emas akan naik selari dengan kadar inflasi. Apabila inflasi naik, harga emas akan naik selaras dengan inflasi.
Dalam keadaan negara-negara di dunia termasuk kuasa-kuasa ekonomi besar menyuntik pakej rangsangan ekonomi dengan besar seperti AS$787 bilion pakej rangsangan Amerika Syarikat kesannya ialah peningkatan inflasi.
Amerika hanya mengecap duitnya sesuka hati dan ini akan menyebabkan nilai duitnya akan turun.
Faktor ketiga ialah kenaikan harga petroleum akan menyebabkan harga emas naik selari dengan kenaikan kos penghasilan dan penghantaran barangan, jika harga petroleum jatuh. dijangka emas juga akan turun tetapi pada tahap minimum.
Terdapat beberapa cara untuk melabur dalam bentuk emas dan diterangkan secara lengkap di dalam www.gold.org/value. Orang ramai boleh melabur secara langsung dengan membeli emas bulion (jongkong), syiling emas, dinar emas, atau secara tidak langsung melalui gold futures, options, waran atau sijil pelaburan.
Salah satu cara paling popular dan cepat berkembang dalam sekuriti bursa di seluruh dunia yang dikenali dengan nama Gold ETF (Exchange Traded Fund).
Antara bursa saham dunia yang menawarkan Gold ETF ialah di Australia, Amerika Syarikat, Perancis, Hong Kong, Jepun, Mexico, Afrika Selatan, Switzerland, Singapura, Turki dan United Kingdom. ETF ini dalam bentuk sekuriti dan disokong 100 peratus oleh emas secara fizikal.
Pelaburan secara ini berkembang dengan pesat sehingga 38 peratus daripada pelaburan yang dikenal pasti terdiri daripada sekuriti bentuk ini. Di sini belum ada lagi Gold Emas ini diperdagangkan di bursa kita.
Melihat pergolakan yang berlaku sekarang terutama sekali tergugatnya kedudukan Dolar Amerika ekoran krisis ekonomi yang berpunca di Amerika, daripada mereka dan merebak ke seluruh dunia. Orang ramai sudah tentu mencari sesuatu bentuk pelaburan yang lebih selamat daripada pergolakan harga.
DATO' SALLEH MAJID ialah bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia)
ARKIB : 03/10/2009

Sekilas pandang tentang perbuatan terkutuk

SAYA bertemu seorang kenalan semasa Hari Raya baru-baru ini. Dia seorang usahawan restoran yang begitu berjaya pada mulanya tetapi akhir-akhir ini tidak ramai lagi pelanggan yang datang ke restorannya.
Dia merasa hairan kerana perniagaannya begitu merosot sedangkan mutu dan harga makanannya sama seperti pada mula-mula dibuka.
Dia dinasihatkan oleh ahli keluarganya untuk mencari seseorang yang arif tentang perkara khianat mengkhianati.
Dia bertemu seorang alim yang bukan bomoh dan diberitahu memang ada unsur khianat. Walaupun tidak diberitahu dengan jelas daripada apa yang dibayang-bayangkan kepadanya, dia dapat memastikan yang membuat khianat kepadanya ialah seorang tuan punya restoran yang juga pemilik bangunan di situ.
Disebabkan sifat yang tamak dan berduit, dia sanggup menghancurkan periuk nasi orang lain.
Dalam perniagaan, perebutan kuasa, bahagian pasaran, sabotaj menggunakan sihir dan ilmu hitam bukan lagi perkara baru, baik dalam perniagaan warung mahu pun perniagaan nilai beratus juta.
Rebut merebut projek dan kontrak misalnya menjadi agenda utama, tak dapat cara baik cara halus.
Cerita begini memang tidak ganjil. Malahan boleh dikatakan sudah menjadi lumrah orang kita walau di mana sekali pun.
Ini adalah sebahagian kecil sahaja daripada sifat hasad, dengki, cemburu, tamak, tidak senang melihat kejayaan orang lain.
Kita berada di kurun ke-21 tetapi perbuatan terkutuk ini masih berleluasa. Cerita khianat mengkhianati ini meliputi pelbagai bentuk.
Pertama perkara begini boleh berlaku di kalangan ahli keluarga, umpama suami dan isteri. Cerita isteri memberikan makanan kotor seperti kuku, rambut, darah kepada suami bersama nasi memang diketahui ramai sehinggakan pernah dimegahkan dalam sebuah drama tv.
Tujuan perbuatan begini adalah supaya suami tunduk kepada apa jua kehendak isteri. Suami juga tidak mahu kalah melakukan sesuatu supaya si isteri tunduk kepada suami.
Cerita tunduk menunduk antara suami dan isteri ini kadang-kadang adalah atas saranan mertua, saudara mara dan kawan-kawan. Kadang-kadang kawan sendiri yang berniat jahat tidak senang melihat kebahagiaan orang lain tetapi begitu rapat menjadi batu api.
Kata Confucius, “Kita boleh berjaga-jaga dengan musuh tetapi kalah dengan kawan.”
Di kalangan adik beradik, saudara mara pun boleh berlaku. Misalnya dalam kes rebutan harta sesama adik beradik atau saudara mara tiba-tiba ada yang jatuh sakit teruk.
Seni penggunaan ilmu hitam ini sudah begitu canggih sehinggakan mangsa yang mati boleh dikatakan kerana serangan jantung atau sesuatu yang nampak secara fizikal.
Pernah berlaku di sebuah cawangan bank di Utara yang mana pengurusnya begitu percaya akan penolongnya sehinggakan memberi kunci rumahnya tanpa menghiraukan perbuatan khianat penolong yang bercita-cita besar.
Pengurus ini jatuh sakit kuat dan apabila diubati secara tradisional didapati perkara yang bukan-bukan ditabur di bawah katilnya. Semasa itu dia baru ditukarkan ke cawangan bank tersebut dan keluarganya belum lagi bersamanya. Rupa-rupanya penolongnya berangan hendak mengambil alih jawatannya.
Seorang wanita muda yang bekerja dengan sebuah bank diminati oleh seorang pelanggan lelaki yang sudah beristeri.
Apabila pinangannya ditolak oleh wanita tersebut, wanita tersebut berkelakuan pelik mengoyak-ngoyakkan pakaiannya sehingga dia bertelanjang bulat dan keluar rumah untuk berjalan-jalan. Ibu bapa wanita terpaksa membawa balik ke kampung dan mengunci wanita muda ini di dalam bilik sehingga dirawat.
Selain di rumah, perkara khianat mengkhianati ini boleh juga berlaku di tempat kerja. Saya pernah melihat kawan saya yang berjawatan tinggi dalam kerajaan menggelupas keseluruhan kulit di badannya seperti terbakar sehinggakan kedua-dua belah matanya terpaksa ditampalkan plaster.
Ini adalah ekoran tindakan disiplin yang diambilnya terhadap seorang kakitangan di pejabatnya yang telah melanggar peraturan pejabat dengan menukarnya ke tempat lain. Bayangkan seluruh badan tidak lagi berkulit sehinggakan kuku-kuku kaki dan tangannya terpaksa dibuang.
Di pejabat pun macam-macam boleh berlaku kalau tidak berhati-hati. Dalam minuman dan makanan, orang yang sakit hati boleh buat macam-macam. Cemburu akan kebolehan atau kenaikan pangkat orang lain boleh jadi punca seseorang itu menjadi mangsa ilmu hitam.
Itu sebabnya kadang-kadang kita lihat ketua-ketua pejabat minum hanya air kosong sahaja.
Di kalangan ahli politik juga perbuatan khianat mengkhianati, fitnah memfitnah tidak lengang terutama sekali semasa pemilihan kepimpinan di peringkat bawah sehingga ke atas. Itu sebabnya waktu pemilihan pemimpin ini tok bomoh, tok cak dan tok batin keluar dari tempat penginapan mereka untuk membantu pihak-pihak yang memerlukan perkhidmatan mereka.
Di kalangan artis, tak payah cerita. Ada yang hilang suara semasa menjadi pengacara majlis, ada yang kena busung, kena santau sampai mati dan rumah tangga porak peranda sehingga bercerai berai.
Sikap cemburu mencemburui ini sudah menjadi lumrah di kalangan artis. Daripada cemburu akan muncullah gosip dan fitnah. Semua ini akan jadi bahan hangat majalah, akhbar dan program televisyen.
Rating program tv yang memuatkan cerita-cerita begini akan sentiasa tinggi dan wartawan-wartawan akan semakin berani bertanyakan yang bukan-bukan yang boleh melaga-lagakan antara satu dengan yang lain, seolah-olah mereka diberikan hak istimewa untuk mengaibkan seseorang. Malangnya orang kita gemar menyaksikan orang diaibkan.
Agaknya orang yang melakukan perbuatan-perbuatan terkutuk ini menyangka mereka ini tidak akan mati suatu hari nanti dan mengadap Illahi. Kepada bakal yang menjadi mangsa beringat-ingatlah.
DATO’ SALLEH MAJID ialah bekas Presiden
Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia)

ARKIB : 26/09/2009

Budaya kerja universiti - Bahagian 2

SAYA berterima kasih kepada Ketua Pengarah Kementerian Pengajian Tinggi, Profesor Datuk Radin Umar yang telah menjawab rencana saya pada hari Rabu 23 September yang lalu.
Walaupun beliau mengakui kebenaran penciplakan di kalangan tenaga pengajar di Universiti Putra Malaysia (UPM), macam lain-lain perkara di Malaysia - kita menganggap peratusannya kecil dan berlaku hanya pada segelintir tenaga pengajar sahaja.
Ada dua kemungkinan. Pertama perkara ini berlaku lebih ramai daripada yang dilaporkan. Kedua universiti yang terlibat tidak mahu melaporkan kerana publisiti begini tidak baik untuk imej universiti.
Kita berasa tindakan yang diambil oleh pentadbiran UPM menjadi contoh kepada universiti-universiti yang lain. Maklumlah kita mempunyai 27,000 tenaga pengajar dan lebih 20 universiti awam.
Hari ini orang boleh dapat ijazah kedoktoran tanpa pergi ke universiti. Serahkan saja teks-teks ucapan atau rencana yang pernah diterbitkan sudah boleh dapat ijazah kedoktoran tanpa berada di universiti. Jadi tidak hairan kalau ada yang dapat ijazah daripada "bogus" universiti bukan bagus universiti.
Sesiapa saja boleh letakkan "Dr." di depan nama atau pada kad namanya hari ini untuk menegakkan imej mereka. Kalau di sektor swasta mudah saja diketahui sama ada tindakan dan keputusan yang dibuat oleh seseorang itu mencerminkan ijazah kelulusan mereka, kerana kalau dia tidak menunjukkan prestasi yang memuaskan dia akan dipecat.
Perkara kedua yang disebut oleh Ketua Pengarah tersebut adalah tentang penguasaan siswazah dalam bahasa Inggeris yang mengikut kajian di tahap sederhana. Dalam hal ini, saya terpaksa tidak bersetuju. Ramai lagi rakan saya yang pernah menemuduga lulusan universiti bersetuju dengan saya bahawa tahap keupayaan bertutur dan menulis dalam bahasa Inggeris begitu rendah malahan begitu teruk sekali.
Perkara ini sangat mudah diatasi kalau yang empunya diri sedar yang dia lemah dalam bahasa Inggeris mengambil kursus untuk memperbaiki kelemahan mereka. Ketidakupayaan berkomunikasi dalam bahasa Inggeris ini menyebabkan mereka kurang keyakinan dan kalau temu duga dilakukan dalam bentuk kumpulan di mana mereka perlu berbincang sesuatu topik, memang mereka ini akan diam sahaja atau meminta izin untuk keluar.
Tentang overhaul yang dikatakan sudah dimulakan, saya hanya boleh katakan kita tengok sajalah. Selagi KPI tidak dijelaskan kepada universiti-universiti dengan sejelas-jelasnya termasuklah faktor-faktor yang digunakan untuk memilih Naib Canselor atau menyambung perkhidmatan mereka.
Naib Canselor merupakan CEO dalam universiti dan perlu bertanggung jawab atas jumlah siswazahnya yang menganggur atau yang mendapat pekerjaan. Kalau di swasta, ukuran utama mungkin keuntungan tetapi bagi IPTA awam, keupayaan menghasilkan graduan yang diterima oleh industri wajar dijadikan kayu pengukur kejayaan universiti selain daripada penemuan-penemuan, ciptaan dan inovasi yang dihasilkan.
Kajian dan penyelidikan saja tidak mencukupi kalau hasilnya tidak mempunyai nilai komersial. Universiti tidak patut menunggu industri datang bertanya kepada mereka tentang sesuatu penghasilan, sebaliknya bertanyakan kepada industri apa yang wajar diselidik dan dikaji.
Banyak penyelidikan yang dilakukan oleh syarikat penyelidikan swasta hari ini mampu dilakukan oleh universiti seperti Market Index untuk barang-barang pengguna yang menunjukkan perubahan dan penguasaan sesuatu jenama atau syarikat. Ini boleh dilakukan dengan bayaran yang lebih murah dan lebih berkualiti.
Saya pernah melihat hasil kerja syarikat penyelidikan swasta yang mengenakan bayaran berpuluh ribu. Apabila diminta menerangkan sesuatu fakta yang dimuatkan, mereka tidak dapat memberikan penjelasan yang memuaskan.
Pelbagai kajian yang munasabah yang boleh membantu industri memahami pelbagai perkara yang boleh dilakukan oleh universiti. Kita juga sedar memang ada universiti yang melakukan ini tetapi bilangannya sedikit sangat. Banyak yang gemar meniup trumpetnya tetapi kedudukan kita masih tidak ke mana.
Saya juga menerima beberapa reaksi daripada tenaga pengajar. Salah satu daripadanya ialah seorang pensyarah bidang perubatan yang sambil kena mengajar sarjana perubatan, dia juga seorang pakar bedah dan perlu merawat pesakit. Katanya, berbanding dengan seorang pakar setanding dengannya di Kementerian Kesihatan yang mana tanggungjawabnya hanyalah untuk merawat pesakit, imbuhannya jauh lebih tinggi daripada pensyarah. Oleh itu minat untuk menjadi pensyarah itu hilang. Selain daripada itu, dia juga mengatakan wujudnya perasaan dengki, kronisme dan sesiapa yang baik dengan orang atasan akan naik pangkat.
Beliau juga membandingkan pensyarah universiti di Singapura yang berlumba-lumba secara sihat dan sesiapa yang berkualiti berpeluang naik pangkat. Dari segi emolumen pula kerajaan Singapura amat menghargai golongan pensyarah dan profesional yang bekerja di sektor awam. Sebahagian besar pakar perubatan dan pakar bedah di Singapura adalah rakyat Malaysia. Mereka bekerja di sana kerana mereka dihargai.
Saya bertemu juga seorang pensyarah yang disuruh turunkan markah kelulusan pelajarnya dan pelbagai tekanan dikenakan kepadanya sehingga dia berhenti daripada universiti tersebut. Ini disebabkan beliau begitu tegas tidak mahu menurunkan markah kelulusan kelasnya.
Kalau ini berlaku di universiti kita disebabkan ingin menunjukkan rekod kelulusan yang baik, alamat kedudukan kita akan merosot lagi.
Nampaknya trend sekarang memang hendak mendapat banyak A tetapi bila tanya banyak - tak tahu. Bila buka mulut, entah apa-apa yang keluar.
DATO' SALLEH MAJID ialah bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia)

ARKIB : 19/09/2009

Budaya kerja universiti patut diubah

TERLEBIH dahulu saya mengambil kesempatan ini mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin kepada semua pembaca. Maafkan saya sekiranya ada kata-kata saya yang terkasar, kurang sedap dibaca dan menyinggung perasaan sesiapa saja.
Berita dua orang pensyarah universiti kita, UPM, didapati melakukan ciplak tentang sebuah buku bertajuk "Writing an Effective Resume" sungguh mengecewakan. Tidak hairanlah kalau ramai pelajar universiti hari ini dikatakan gemar "potong dan tampal" apabila dikehendaki menyiapkan projek kuliah.
Sudahlah kedudukan kita di kalangan universiti di dunia semakin jatuh, berita penciplak di kalangan tenaga pengajar universiti kita akan memburukkan lagi keadaan yang sudah buruk. Saya difahamkan di sebuah universiti yang baru, tenaga pengajar yang menciplak bahan ini menjadi-jadi.
Seorang pengarang akhbar terkenal di Malaysia mengatakan terjumpa suatu surat dalam bahasa Inggeris daripada Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan berkenaan H1N1 yang penuh dengan ejaan yang salah dan nahu yang tidak betul.
Apabila disampaikan kepada pengetahuan Ketua Pengarah itu sendiri barulah diperbetulkan. Semua orang tahu penggunaan bahasa Inggeris Tan Sri Ismail Merican itu ditahap terbaik dan surat itu telah dirangka oleh pegawai beliau. Itulah contoh tentang penguasaan bahasa mereka yang lulus universiti dan berpangkat pegawai.
Pengarang itu seterusnya mengatakan bagaimana pelajar yang mengikuti jurusan kewartawanan diajar oleh mereka yang tidak ada pengalaman dalam bidang kewartawanan langsung. Beliau mengatakan dari segi kedudukan universiti-universiti kita di kalangan universiti di dunia tidak ke mana. Walaupun asas menentukan kedudukan ini boleh dibahaskan, hakikatnya sama ada kita mengakui ada kemerosotan atau tidak.
Sekiranya diakui ada kemerosotan di universiti kita, sesuatu tindakan drastik perlu dilakukan. Suatu "overhaul" universiti-universiti kita perlu dilakukan. Pertama sekali dari segi kualiti tenaga pengajar.
Amalan sekarang ini ialah apa yang dikatakan amalan "inbreeding". Di kebanyakan universiti kita tenaga pengajar tiada pengalaman praktikal berbanding di negara-negara lain yang mana usaha dijalankan untuk menarik mereka yang berpengalaman walaupun secara separuh masa. Pelajar-pelajar pula dibebankan dengan jam kredit yang berat, dengan sendirinya meletakkan beban kepada tenaga pengajar.
Di salah sebuah universiti yang saya tahu secara purata tenaga pengajar mengajar sebanyak 15 sehingga 18 jam seminggu. Pada masa bilakah pensyarah-pensyarah ini mempunyai masa untuk melakukan penyelidikan dan kajian dan menerbitkan buku dan menulis artikel. Kata-kata hikmah di universiti-universiti terkenal di dunia ialah "Publish or Perish" (terbit atau disingkir) tetapi tidak di universiti-universiti kita.
Kenaikan pangkat lebih banyak bergantung kepada pertalian seseorang dengan seseorang, misalnya daripada Profesor Madya kepada Profesor. Banyak "ketakjuban organisasi" (organizational intrigue) berlaku di universiti-universiti sehinggakan orang yang layak tidak dapat kenaikan pangkat sebaliknya mereka yang "mengikut kata" yang untung. Cemburu dan dengki dan sikap perkauman sudah menjadi kelaziman.
Di salah sebuah universiti tempatan, seorang bekas ahli korporat yang banyak pengalaman industri pada mulanya dijanjikan jawatan Ketua Eksekutif sebuah syarikat induk milik universiti berkenaan. Disebabkan tentangan pegawai-pegawai atasan terhadap pelantikan beliau, perkara itu senyap begitu saja.
Ketua jabatan kepada sesuatu Fakulti di universiti lazimnya diketuai oleh Dekan yang dilantik - selalunya selama dua tahun. Apalah yang boleh seseorang itu lakukan dalam masa dua tahun? Kalau nasib dia baik jawatan dia akan disambung dua tahun lagi. Sambungan kali kedua itu akan meresahkan beberapa orang lagi yang juga tidak sabar menjawat jawatan tersebut.
Tetapi kalau naib canselor sampai tiga atau empat perbaharui kontrak pun tidak mengapa kerana dia bijak mengatur "strategi" dan mengambil hati orang-orang tertentu untuk kekal di jawatan itu. Apakah Indeks Prestasi Utama (KPI) yang digunakan untuk mewajarkan kenaikan pangkat atau penyambungan kontrak sesuatu jawatan?
Kita sudah sampai ke tahap terlalu banyak universiti. Banyak jurusan yang sama kecuali universiti khusus untuk sesuatu bidang seperti Multimedia, Telekom, Petronas. Disebabkan wujudnya universiti pengkhususan ini, mereka yang keluar daripada universiti lain yang bidangnya secucuk dengan bidang yang ditawarkan oleh universiti khusus, peluang mendapat kerja agak terhad.
Nampak macam ada ketidakpadanan antara permintaan dan bekalan. Universiti-universiti wajar mengamalkan konsep memenuhi keperluan industri dan negara, bukan kemampuan mengeluarkan lulusan apa jua bidang. Misalnya beribu-ribu siswazah dalam bidang Sumber Manusia yang keluar setiap tahun. Lepas lulus tak tahu hendak ke mana.
Perbincangan pemadanan antara keperluan industri dan kemampuan universiti-universiti ini perlu dilakukan supaya kurikulum boleh dibentuk mengikut kehendak industri. Mungkin sambutan daripada pihak swasta untuk berbincang agak dingin, pihak Kementerian berkenaan patut mengatur pertemuan dan perbincangan ini.
Saya pernah dijemput untuk menjadi ahli panel penasihat fakulti sebuah universiti bersama-sama beberapa orang tokoh korporat yang lain. Sekali saja kami bertemu iaitu untuk bergambar beramai-ramai selepas itu tidak ada langsung mesyuarat.
Begitu juga pelantikan selaku profesor adjung di dua universiti. Yang satu panggil dua kali yang satu lagi sekali. Langkah "hangat-hangat tahi ayam" ini memang merupakan suatu ciri kebiasaan terutama sekali kalau yang menjemput tidak lagi menjawat jawatan yang membolehkan beliau menjemput orang luar selaku ahli panel penasihat dan profesor jemputan.
Pengalaman peribadi saya selepas mula-mula berkhidmat diawal kerjaya saya selaku pensyarah dan dekan, kemudian menyertai sektor swasta hampir 30 tahun dan balik ke bidang akademik ialah pelajar-pelajar yang saya temui selepas 30 tahun, standard mereka lebih teruk daripada tahun-tahun 1970-an dulu. Ramai yang tidak mampu bertutur dan menulis dengan baik dalam bahasa Inggeris.
Dalam suatu ayat sepenuhnya atau apabila diberikan tugas dalam bahasa Inggeris dijawab dalam bahasa Melayu. Ada juga yang menggunakan bahasa SMS! Tidak kurang juga yang menciplak jawapan rakan mereka dan mengubah satu dua perkataan dengan sangkaan guru tidak tahu. Betapakah salah sangkaan mereka.
Saya tidak mahu mengatakan keadaan ini berlaku di semua universiti tetapi melihat daripada angka pengangguran di kalangan siswazah tentu kajian yang pernah dijalankan oleh Unit Perancang Ekonomi dalam tahun 2005 dulu tentang faktor-faktor yang menyebabkan ramai pelajar menganggur boleh dikaitkan.
DATO' SALLEH MAJID ialah bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia)

 ARKIB : 12/09/2009

Tumpukan usaha tingkat daya saing negara

BANYAK berita menarik mengisi halaman akhbar minggu ini. Kelmarin, memuatkan pertandingan di dalam MIC antara “bom hidrogen” dengan “bom nuklear”.
Inilah ceritanya yang tak habis-habis. Bila orang tegur bukan dia hendak ambil teladan tetapi marah pula. Orang beginikah yang akan melonjakkan daya saing negara kita ke tangga lebih tinggi?
Tindak tanduk beginilah yang akan mendatangkan kesan yang tidak baik secara keseluruhannya kepada parti pemerintah.
Laporan terkini tentang Forum Daya Saing Dunia (World Competitiveness Forum) menunjukkan kita jatuh daripada tangga 21 tahun lepas kepada tangga ke-24.
Ada 12 faktor utama yang diambil kira dalam meletakkan negara di kalangan 133 ‘peserta’.
Tiga bahagian utama ialah keperluan asas, peningkatan kecekapan dan faktor-faktor inovasi dan kecanggihan. Di bawahnya ada empat tunggak: Institusi – tangga ke-43 (dahulu 30), Prasarana 23 (26), Kestabilan Makroekonomi 42 (38), Pendidikan Kesihatan dan Rendah 34 (23).
Di bawah faktor utama kedua ialah Peningkatan Kecekapan: Latihan dan Pendidikan Tinggi jatuh ke tangga 41 daripada 35; Kecekapan Pasaran Barangan jatuh 30 (23); Kecekapan Pasaran Buruh 19 (31); Kecanggihan Pasaran Kewangan meningkat kepada 6 daripada 16; Persediaan Teknologi jatuh daripada 34 kepada 37 dan Saiz Pasaran tidak berubah pada tangga 28.
Di bawah faktor-faktor kecanggihan dan inovasi terdiri daripada kecanggihan perniagaan daripada 22 kepada 24 dan inovasi juga di tangga yang sama.
Laporan tersebut menyatakan faktor-faktor yang menjadi masalah untuk menjalankan perniagaan ialah kerumitan mendapatkan pembiayaan kewangan, birokrasi ketidakcekapan kerajaan, rasuah, ketidakstabilan dasar, tenaga buruh kurang terlatih dan etika kerja yang lemah di kalangan tenaga buruh.
Apa yang harus kita amati tentang laporan ini ialah segala langkah-langkah keterbukaan yang diambil oleh Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Perdana Menteri tidak mungkin termasuk dalam perkiraan laporan ini.
Langkah-langkah membuka sektor perkhidmatan, melakukan perubahan kepada Jawatankuasa Pelaburan Asing, ketidakperluan 30 peratus milik bumiputera untuk saham terbitan awal adalah perubahan besar yang telah dilakukannya.
Bagaimanapun faktor-faktor seperti institusi, pendidikan rendah dan tinggi yang jatuh agak banyak juga wajar diberikan tumpuan dan sesuatu wajar dilakukan.
Perkara penting yang bakal menjadi pemandu kepada peningkatan daya saing negara ialah kecekapan pasaran buruh yang jatuh daripada 19 kepada 31.
Mungkin ada pihak yang tidak memandang berat laporan kerana dianggap sebagai suatu sudut pandangan orang luar.
Tetapi kita perlu ingat bahawa kita masih ingin mempelawa pelaburan asing dan kita wajar mengamalkan konsep pemasaran iaitu seberapa daya memberikan apa yang dikehendaki oleh mereka yang menjadi sasaran.
Saya pernah berbual dengan seorang kenalan “Mat Saleh” yang pernah duduk bertahun-tahun di Hong Kong dan Singapura. Saya tanya ‘apa yang masalah Kuala Lumpur?’
Katanya satu perkara yang mungkin orang Kuala Lumpur tidak ambil pusing ialah pelabur asing yang datang ke Hong Kong atau Singapura boleh hadir sehingga enam mesyuarat sehari. Sedangkan di Kuala Lumpur, hendak mengadakan tiga mesyuarat pun susah dengan masalah kesesakan lalu lintas.
Sebenarnya Hong Kong adalah suatu contoh penyelesaian pengangkutan yang paling cekap di rantau ini. Mereka gunakan apa sahaja bentuk pengangkutan yang boleh. Teksi, tram, bas, tongkang, transit ringan dan juga kereta api bawah tanah.
Di antara satu bangunan dengan satu bangunan disediakan eskalator dan bumbung supaya mudah orang pergi dari suatu bangunan ke suatu bangunan lain.
Selain daripada berita kurang sedap tentang kedudukan daya saing kita, berita mengenai MCA, Zon Bebas Pelabuhan Klang, Inkues Teoh Beng Huat dan kepala lembu di Shah Alam terus menjadi berita utama.
Tidak kurang juga hebat berita tunjuk perasaan di Indonesia terhadap Malaysia. Sehinggakan ada yang menahan dan memeriksa dokumen pengenalan diri rakyat kita di sana. Mereka hendak ganyang kita kerana tarian?
Lain kali jika kita beri orang lain buat iklan untuk kita, tengok-tengoklah. Jangan pakai lulus semua. Sampai tidak peduli apa yang diluluskan. Akhirnya kita mendapat padah.
Kita juga hairan bagaimana suatu projek besar seperti PKFZ diuruskan oleh orang yang tidak tahu mengurus sehingga melimpah perbelanjaan dengan begitu besar.
Kesungguhan Perdana Menteri mendedahkan ke akar umbi memang wajar sekali.
Apa pun berlaku dengan MCA, ia sudah ada dua kumpulan. Masing-masing menyokong Presiden dan Timbalan Presiden. Kedudukan ini adalah suatu liabiliti kepada BN. Lagi cepat diselesaikan lagi baik. Keadaan tidak akan sama lagi seperti dulu.
DATO’ SALLEH MAJID ialah bekas Presiden
Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia)

 ARKIB : 05/09/2009

Tanggapan yang wajar diberikan perhatian

TEMU bual dengan Tun Musa Hitam yang disiarkan di dalam Mingguan Malaysia, 30 Ogos 2009 yang lalu sesuatu yang menarik. Analisis Tun Musa tentang tanggapan golongan muda berkenaan UMNO memang tepat sekali dan wajar diambil kira oleh ahli-ahli UMNO.
Pertama tanggapan tentang politik wang. Sudah menjadi pengetahuan umum semasa pemilihan pemimpin-pemimpin cawangan, bahagian dan negeri UMNO, banyak wang digunakan oleh pihak-pihak yang bertanding. Beberapa orang kenalan saya sendiri mengakui memerlukan banyak wang kerana pertandingan pada masa itu.
Seorang imam berkelayakan arkitek dari sebuah negeri sebelah selatan yang masuk bertanding kalah di Bahagian kerana tidak mahu terlibat dengan politik wang.
Ada suatu kefahaman di kalangan mereka yang terlibat melakukan perkara ini mewujudkan suatu suasana seolah-olah tidak ada apa-apa. Perebutan kuasa ini tidak kira di peringkat mana sekalipun berbeza sekali pada suatu masa dulu yang mana yang dipilih kadang kala menolak dan memberi laluan kepada orang lain yang lebih layak.
Ramai yang bertanding melihat pemenang akan meraih pelbagai keistimewaan yang akan menjadikan mereka kaya raya semata-mata kerana hubungan yang terbentuk dengan pemimpin-pemimpin tertentu.
Ini jelas dilihat terutama sekali semasa syarat memerlukan 30 peratus Bumiputera untuk terbitan-terbitan saham awam yang baru pada masa dulu. Pihak yang ingin menyenaraikan saham syarikat mereka perlu menamakan sesuatu pihak atau dicadangkan pihak tertentu oleh pihak berkuasa.
Kadangkala yang dicadangkan itu terpilih berkali-kali sehinggakan saya pernah mendengar rungutan daripada salah seorang yang kerap menerima agihan tersebut terlampau banyak yang diberikan kepadanya sehingga dia tidak tahu nak buat apa!
Selain daripada itu diketahui umum jua tentang kemenangan membuka laluan kepada pelbagai projek dan kontrak yang tidak semestinya dilakukan sendiri oleh mereka yang menerima.
Kita berharap pemilihan pemimpin atasan UMNO akan datang akan dipilih oleh semua ahli UMNO dan bukan ahli perwakilan ke persidangan UMNO sahaja. Dengan lebih tiga juta ahli membuat keputusan siapa yang patut menjadi pemimpin, payahlah yang bertanding nak melakukan politik wang.
Bayangkan kuota yang memerlukan sekian-sekian jumlah pencalonan untuk bertanding sesuatu jawatan menggalakkan lagi berlakunya politik wang. Kita mengamalkan demokrasi tetapi melarang perlakuan demokrasi sepenuhnya. Kuota diperkenalkan semata-mata untuk memastikan kelangsungan kepada sesetengah pihak yang sudah berkuasa.
Semuanya ini dapat diperhatikan oleh mereka yang balik dari luar negara atau mereka yang terpelajar. Mereka yang dimaksudkan oleh Tun Musa dalam wawancara tersebut.
Mereka melihat golongan yang mengejar jawatan bukan kerana ingin berkhidmat kepada rakyat tetapi lebih mementingkan diri sendiri. Mereka melihat ramai yang sanggup menggadai nama kepada bangsa lain semata-mata kerana kemewahan. Kesudahannya mereka di dalam syarikat, misalnya, tidak bertambah ilmu dan pengalaman mereka.
Pengalaman bertahun-tahun lebih kepada satu tahun diulang bertahun-tahun. Di situlah terletaknya salah satu kelemahan perlaksanaan Dasar Ekonomi Baru. Kejayaan terbesar yang boleh dilihat ialah dari segi pendidikan. Begitu ramai yang menerima manfaat biasiswa belajar keluar negara sama ada melalui Mara atau Jabatan Perkhidmatan Awam. Selepas minda mereka terbuka dengan pendedahan yang diterima, tentulah pendirian mereka berubah.
Perkara kedua yang menjadi tontonan golongan muda ini ialah kronisme. Beberapa orang tertentu diamanahkan dengan pelbagai perkara sama ada saham, memimpin syarikat milik kerajaan dan macam-macam lagi.
Lihatlah kesan kepada syarikat-syarikat ini semasa krisis kewangan 1997-98 yang menanggung hutang berbilion ringgit. Begitu banyak pembaziran yang berlaku pada masa itu.
Mereka yang menjadi kroni ini memang gemar menunjuk-nunjuk kemewahan mereka. Sangkaan mereka orang tidak tahu latar belakang mereka. Betapa salahnya sangkaan mereka.
Menunjuk-nunjuk kemewahan menimbulkan pelbagai persoalan di kalangan mereka yang memerhati dan semua ini membantu mereka membentuk sesuatu persepsi yang kurang selesa tentang keadaan semasa.
Seterusnya komen Tun Musa tentang memberikan tumpuan lebih kepada kualiti daripada kuantiti memang wajar diberikan perhatian.
Lebih 1.5 bilion umat Islam berbanding 14 juta orang Yahudi tetapi segala penemuan perubatan kebanyakannya oleh orang Yahudi seperti Benjamin Ruben (jarum vaksin), Jonas Salk (vaksin polio), William Klofcame (dialisis buah pinggang). Semua Yahudi. Einstein, Freud, Samuelson dan Friedman juga orang Yahudi.
Seluruh negara Islam mempunyai hanya 500 universiti sedangkan di Amerika Syarikat saja ada 5,758 universiti, di India 8,407 dan tidak satu pun universiti di negara Islam terletak di kedudukan 500 teratas di dunia.
Pandangan sesetengah anggota masyarakat tentang pendidikan kita hanya mementingkan berapa banyak pangkat A tetapi kurang dalam memperkukuhkan asas bakal menampung ilmu di peringkat yang lebih tinggi. Ibarat bangunan cantik tetapi cerucuknya lemah.
DATO’ SALLEH MAJID ialah bekas Presiden
Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia)
ARKIB : 29/08/2009

Apa dah jadi, tak aman lagi...

AKHIR-AKHIR ini banyak ditimbulkan soal hak orang Melayu dan kontrak sosial. Keadaan yang pada suatu ketika, kita lihat seperti aman damai selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 bertukar seolah-olah tidak dapat dibendung lagi perasaan geram sesetengah orang sehinggakan mereka ini lupa akan sensitiviti orang Melayu.
Malahan ada juga di kalangan pembangkang yang baru merasa kuasa setahun jagung sudah berani memperkecilkan agama Islam.
Gelagat orang seperti ini boleh membangkitkan perasaan marah di kalangan orang Melayu yang sekian lama agak diam.
Walau bagaimana pun ada juga di kalangan segelintir mereka yang membiarkan diri mereka dikudakan oleh orang yang lantang bersuara tidak mengira sentimen dan perasaan orang lain.
Sikap orang Melayu telah dapat kita lihat dengan sikap tolak ansur yang berlaku di Pulau Pinang. Walaupun UMNO pada masa dulu memperolehi majoriti dalam kerajaan negeri, tetapi disebabkan sikap baik hati telah memberikan Gerakan memerintah Pulau Pinang.
Hari ini apabila Pulau Pinang telah jatuh ke tangan pembangkang semakin rapat kita lihat akan menjadi Singapura nombor dua di negara kita sendiri.
Tidak hairan kalau lama kelamaan orang Melayu akan terpinggir dari Pulau Pinang sendiri, pulau yang terkenal dengan nama Pulau Mutiara itu.
Saya pernah menyatakan walaupun Dasar Ekonomi Baru meletakkan peruntukan 30 peratus pencapaian hak milik Bumiputera, selepas 39 tahun hanya 19 peratus yang tercapai.
Itu selepas lapan Rancangan Malaysia dan masuk Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9). Kalau diandaikan satu RMK bernilai RM100 bilion, lapan RMK sudah berjumlah RM800 bilion.
Apabila dicampurkan dengan yang ke-9 yang bernilai RM220 bilion, jumlah keseluruhan yang dibelanjakan untuk pembangunan negara ialah RM1.02 trilion.
Siapakah yang mendapat manfaat yang terbesar sekali dengan perbelanjaan yang begitu besar? Kalau bukan orang bukan Melayu, siapa?
Kita lihat hampir kesemua sektor bidang ekonomi dikuasai oleh bukan Bumiputera. Kalau ada pun mereka yang dilantik selaku pengerusi sana sini.
Kini dengan peraturan baru, mereka ini akan diketepikan kerana tidak perlu lagi 30 peratus Bumiputera.
Cakap-cakap yang mempersoalkan kontrak sosial, menghina orang Melayu dan agama Islam oleh orang bukan Melayu sudah melampau dan kalau perkara ini tidak dibendung sebelum merebak tidak tentu hala akan mendatangkan kesan yang buruk.
Kita sedar pemimpin kita sedang berusaha untuk mengembalikan keyakinan kepada bangsa lain supaya tidak beranggapan orang yang memerintah tidak pedulikan mereka.
Tetapi kita lihat bidang politik ini tidak lagi boleh dikatakan bidang orang Melayu kerana sudah banyak perbezaan sejak PRU 12.
Suara-suara lantang bukan saja daripada mereka yang menjadi pembangkang tetapi daripada mereka yang diharapkan oleh orang Melayu sendiri untuk memberikan kelainan kepada apa yang mereka lihat tidak digemari sebelum PRU 12 dulu.
Nyata sekali harapan itu tinggal harapan saja kerana telah terbukti bahawa mereka yang dapat kuasa tidak dapat menegakkan suara mereka sendiri sebaliknya ditentukan oleh orang lain.
Sekian lama negara kita dalam keadaan aman dan selesa, kini kita berdepan dengan suatu suasana yang kurang selesa dan kurang aman.
Parti-parti komponen Barisan Nasional bercakaran. Lihat saja yang terbaru, MCA memecat Timbalan Presidennya atas perkara yang berlaku dua tahun dulu. Apa jua sebab dia dipecat, gambaran kepada orang ramai ialah keresahan sudah dirasai.
Begitu juga PPP dan MIC. Apakah sebagai suatu parti yang suatu masa disegani sudah mula luntur imejnya dengan apa yang berlaku sekarang ini.
Apakah ini adalah ekoran daripada reformasi yang dikatakan dijalankan oleh masing-masing? Kalau ya, ia tidak mendatangkan manfaat malahan lebih buruk daripada dulu.
DATO’ SALLEH MAJID ialah bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia)
ARKIB : 15/08/2009

Rancang persediaan hari tua

Kebanyakan kawan yang sebaya dengan saya sudah empat lima tahun bersara daripada pekerjaan mereka. Ada yang telah meneruskan kehidupan dengan membuka perniagaan dan ada juga yang bergantung kepada wang pencen daripada perkhidmatan kerajaan mereka.
Tidak kurang juga yang kurang sihat menghidap kencing manis, darah tinggi, gout dan macam-macam lagi.
Bagi mereka yang bekerja dengan syarikat swasta wang KWSP menjadi penyambung hidup. Ada juga yang bergantung semata-mata dengan pendapatan isteri mereka.
Walau apa pun kesimpulannya adalah dua perkara. Pertama seseorang itu memerlukan sejumlah wang yang agak banyak juga untuk meneruskan kehidupan selepas bersara.
Kedua sudah menjadi lumrah dunia apabila mencapai paras umur yang meningkat seperti 50 ke atas, seseorang itu boleh menghidap pelbagai jenis penyakit.
Sekiranya dia seorang bekas pegawai kerajaan, rawatan untuk penyakit dibiayai oleh kerajaan tetapi bagi mereka yang bukan pegawai kerajaan, kos rawatan penyakit mungkin tinggi kalau keluar masuk hospital.
Bagi mereka yang mempunyai anak-anak yang bertanggungjawab, legalah sedikit kehidupan mereka.
Menurut suatu kajian bagi penduduk Malaysia lelaki purata berumur sehingga 74 tahun tetapi 14 tahun terakhir selalunya mengalami pelbagai jenis penyakit.
Contohnya kencing manis. Penyumbang utama ialah minum berkarbonat seperti Pepsi, Coca-Cola, Root Beer dan sebagainya. Tidak kurang juga sumbangan daripada teh tarik yang hanya teh dengan gula sebenarnya. Tetapi memanglah sedap dan tidak boleh berpisah bagi sesetengah orang.
Kalau dibincangkan, berapakah jumlah wang yang cukup untuk menampung kehidupan kita selepas bersara? Kalau hidup selama 10 tahun selepas bersara, jika ada RM1 juta sekalipun, ia bukan bernilai RM1 juta selama 10 tahun.
Kita harus ingat nilai mata wang akan merosot tahun demi tahun dan mungkin RM1 sekarang akan bernilai hanya 10 sen 10 tahun lagi. Bererti kalau seseorang itu sudah biasa dengan sesuatu taraf kehidupan mungkin kerana jawatan tingginya sebelum bersara, RM1juta kalau dibahagikan 10 tahun tidak lagi bernilai RM100 ribu setahun.
Berapa ramai di antara kita yang mempunyai simpanan di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berjumlah RM1 juta apabila kita bersara?
Ertinya kalau simpan di bawah daripada RM1 juta sudah tentu tidak mencukupi. Tambahan pula kalau ada anak-anak yang masih belajar di kolej atau di universiti. Kalau anak belajar di luar negara dan tidak ada biasiswa tentulah bertambah tertekan.
Oleh itu apakah yang harus dilakukan? Bagi seseorang yang ingin bersedia akan masa tuanya, dia perlu membuat persiapan beberapa tahun sebelum bersara. Itulah sebabnya kita semua perlu membuat perancangan diri sendiri.
Kita bertungkus lumus kadang-kadang membuat perancangan untuk syarikat atau organisasi kita tetapi kita jarang sekali merancang untuk diri kita sendiri. Misalnya bila sampai umur 40 hendak jadi apa? 50 ada di mana? Kitalah yang menentukan nasib kita.
Kalau kita tidak membuat perancangan hidup kita, nescaya kehidupan kita ibarat sepotong kayu yang hanyut di lautan, singgah di pantai di mana dipukul ombak.
Tidak ganjil kalau kita bertukar kerja lepas beberapa tahun berkhidmat dengan sesuatu badan atau syarikat demi masa depan kita dan keluarga kita. Kebanyakan anak muda yang baru bekerja tidak terfikir untuk membuat perancangan tentang masa depan mereka kerana masih seronok dengan kehidupan orang bujang.
Seseorang yang merancang masa depannya tahu apa yang hendak dicapainya. Mungkin dia tidak dapat mencapai setinggi yang dikehendakinya tetapi dia akan berusaha ke arah itu.
Ertinya dia mempunyai hala tuju kehidupan. Dia juga melihat apa yang diperlukan dari segi pengalaman dan kemahiran untuk mencapai sesuatu matlamat.
Misalnya ingin menjadi usahawan bila sampai umur 40 tahun. Dia harus membuat keputusan bidang apa dan dari mana dia boleh mendapatkan maklumat tentang idamannya sama ada daripada kajiannya atau daripada berinteraksi dengan mereka yang berpengalaman.
Dia juga harus menilai kelemahan dan kekuatan dirinya. Misalnya nak jadi usahawan tapi tak tahu akaun atau menyimpan buku. Kenalah cari jalan belajar. Kalau bahasa Inggeris tak lancar kenalah belajar bahasa Inggeris. Atau ada baiknya tahu bahasa Cina, eloklah belajar bahasa Cina.
Menilai kelemahan dan kekuatan diri seseorang itu penting untuk melengkapkan persiapan mencapai sesuatu hajat itu.
Begitu juga jenis pengalaman yang diperlukan. Mestilah sanggup melabur masa untuk sesuatu jangka masa yang panjang untuk mendapatkan pengalaman. Misalnya nak jadi kontraktor elektrik yang bertauliah, tentulah perlukan pengalaman beberapa tahun.
Kemudian kita juga kena mengakui halangan-halangan atau batasan-batasan dalaman dan luaran diri kita. Mengenal pasti halangan-halangan penting untuk mencari jalan mengatasi mereka.
Kita mestilah mempunyai kehendak yang kuat untuk berjaya dalam hidup, tidak semestinya hendak kaya saja. Kalau hendak jadi ahli sufi sekalipun kena belajar bertahun-tahun. Kenalah tahu syariat, tarikat, hakikat makrifat, zat, sifat, ismak ef'el dan iman, tawakal, ilmu, akhlak. Kenalah berguru barulah boleh sampai.
Saya syorkan semua keluarga menubuhkan sebuah syarikat supaya segala perbelanjaan boleh diserapkan ke dalam syarikat tersebut. Kenalah kenal pasti sesuatu jenis perniagaan seperti ubat kampung turun menurun yang boleh dikomersilkan.
Kalau isteri pandai menjahit boleh terima tempahan untuk menjahit atau pandai melakukan landskap, juga suatu perniagaan. Di Internet pun macam-macam jenis perniagaan yang ada tetapi hati-hati jangan sampai tertipu bila minta duit dulu dan menceritakan orang ini dan itu boleh dapat pendapatan beratus ribu sebulan, sedangkan barang yang dijual hanya RM40/RM50 saja.
Kita mesti buat siasatan dulu sebelum menceburkan diri supaya jangan sampai wang simpanan kita tergadai.
Hanya dengan ada suatu perniagaan saja masa depan kita boleh terjamin. Tak percaya?
DATO' SALLEH MAJID ialah bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia)

 ARKIB : 08/08/2009

Dulu lain sekarang lain

KALAU diamati perubahan di sekeliling kita, nescaya kita akan terkejut dengan apa yang berlaku sekarang.
Dulu anak-anak minum susu ibu, sekarang ramai anak minum susu lembu. Dulu anak perempuan tidak boleh bebas, sekarang jumpa bayi dalam tandas.
Dulu 'jahat-jahat' anak muda, kacau anak dara balik mengaji; sekarang mat rempit dan bohsia menjadi-jadi.
Dulu guru didik anak murid macam anak sendiri, kalau nakal atau main-main kena pukul kena ketuk ketampi, balik rumah kena rotan lagi. Sekarang kalau anak murid kena jentik, guru sekolah akan kena 'titik'.
Dulu guru ramai yang tinggi hemah, sekarang guru ada yang hisap dadah dan moral rendah. Dulu budaya Timur jadi panduan, sekarang budaya Barat habis-habisan jadi tiruan, lelaki bersubang bertatu di badan.
Dulu dalam politik tolak menolak jawatan, sekarang cari tok cak, tok batin, tok sami dari sini sampai sempadan.
Dulu suasana politik negara stabil, sekarang dah nampak kucar-kacir. Dulu pembangkang sikit sangat, sekarang pembangkang riuh dan gamat.
Dulu semua negeri bawah Barisan, sekarang lima negeri di bawah Pakatan. Dulu fitnah tersebar dengan surat layang, sekarang ada blog, Internet, sms dan video pun tak kurang.
Dulu sebelum kahwin merisik, bertunang dan nikah, sekarang belum kahwin duduk sekali dah. Dulu yang buat perangai luar tabii sembunyi-sembunyi. Sekarang apa orang kata, dia orang tak peduli, ada kelab gay lagi.
Dulu mak bapa yang dah tua dijaga, sekarang mak bapa dihantar ke rumah orang tua.
Dulu tak ramai orang kita belajar di luar negeri, sekarang sudah ramai yang balik lupa diri.
Dulu hendak dapat biasiswa, kalau suruh sembah pun sanggup sembah, sekarang dah dapat ijazah penjamin yang susah.
Dulu orang Melayu ada P.H.D (perangai hasad dengki), sekarang pun masih tebal P.H.D.
Dulu Aceh kena langgar tsunami, sekarang kita kena selesema babi.
Dulu doktor gaji rendah, sekarang doktor masih lagi rendah. Dulu kebanyakan kita fasih bahasa Inggeris, sekarang ramai yang tak boleh.
Dulu ada dua tiga saluran tv, sekarang lebih 80 saluran disaji. Dulu pelajar rajin ulang kaji, sekarang tercongok depan tv.
Dulu filem Melayu hitam putih tetapi tinggi kualiti, sekarang nak cari yang berjenis susah sekali.
Dulu drama berbentuk bangsawan, sekarang drama penuh cerita tahyul dan syaitan.
Dulu para artis payah nak cari makan, sekarang ramai lumayan pendapatan.
Dulu orang Melayu ketinggalan ekonomi, sekarang orang Melayu masih ketinggalan di sana sini. Orang dah jauh sampai ke bulan, kita masih lagi "Engkau laksana bulan".
Tiga puluh tahun dulu gaji mula akauntan dua ribu, sekarang pun masih dua ribu. Tiga puluh tahun dulu rumah teres dua tingkat di Taman Tun Dr. Ismail harga RM60,000, sekarang harga dekat RM500,000.
Tiga puluh tahun dulu ekonomi kita lebih kurang sama dengan Taiwan, Korea dan Singapura, sekarang kita bukan lagi Asian Tiger. Dulu paras gaji kita sama mereka, sekarang kita dah ditinggalkan mereka.
Dulu Amanah Saham Nasional orang Melayu yang beli, sekarang orang Melayu tak larat nak beli. Dulu ada Bank Bumiputera sekarang yang ada Kelab Golf Rahman Putra.
Dulu duit kita dua ringgit setengah satu dolar Amerika, sekarang duit kita tiga ringgit setengah satu dolar Amerika.
Dulu orang Malaysia membeli-belah di Singapura, sekarang orang Singapura membeli-belah di sini pula.
Dulu rasuah adalah juga, sekarang ini sudah berleluasa. Sudah 52 tahun kita merdeka, masih ada kemiskinan tegar, Pasar Chow Kit tak bertukar.
Dulu sungai-sungai kita boleh mandi, sekarang semua dah dicemari.
Dulu kita banyak tanam padi, sekarang kita banyak import padi. Dulu terbongkok-bongkok kita tanam padi, sekarang pun masih terbongkok-bongkok tanam padi.
Dulu anak petani mahu kerja di sawah, sekarang buruh Siam yang jadi mewah.
Dulu pekerja asing adalah juga, sekarang dia orang dah melambak-lambak.
Dulu anak-anak muda rajin mengaji, sekarang anak-anak muda ramai yang ambil ekstasi.
Dulu di universiti ramai pelajar lelaki, sekarang entah ke mana pergi. Dulu pelajar asing datang nak belajar, sekarang dah banyak aktiviti luar.
Dulu dapat pink form jadi kaya sekelip mata, sekarang banyak kemudahan dah tak ada. Dulu pengerusi sini pengerusi sana, nama ada saham orang lain punya, sekarang pengerusi tak ada, saham pun tak ada.
Dulu tak ada duit ceti jadi payung, sekarang tak ada duit pergi jumpa ah long.
Dulu eksport jadi sandaran, sekarang yang penting ilmu pengetahuan. Dulu hasil keluaran bernilai rendah, sekarang kenalah tingkatkan nilai tambah.
Dulu orang Melayu tak pandai berniaga, sekarang banyak pula skim cepat kaya.
Dulu orang guna mesin taip lagi, sekarang orang dah guna PC. Dulu telefon bimbit berat nak angkat, sekarang seorang ada tiga dan empat.
Dulu jalan mana-mana pun selamat, sekarang silap haribulan beg tangan kena rembat. Dulu halal haram orang tak kisah sangat, sekarang sijil palsu 'Halal' pun orang buat.
Dulu Islam lalui zaman gemilang, para ilmuwan begitu terbilang. Sekarang umat Islam dah tinggal belakang, meletupkan diri untuk berjuang.
Dulu kita disuruh "Bekerja dengan Saya", sekarang konsep 1Malaysia. Dulu ramai pejuang bangsa, sekarang di mana mereka berada?
DATO' SALLEH MAJID ialah bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia)

ARKIB : 01/08/2009

Masa untuk masuk pasaran saham?

ADA tiga perkara penting yang berlaku minggu ini. Pertama, berita penguasaan 31 peratus saham Bernas oleh sebuah syarikat Hong Kong, Wang Tak Co. Ltd. Ramai yang melahirkan rasa terkejut dan kecewa kerana satu-satunya syarikat terpenting di negara kita boleh dikuasai oleh sebuah syarikat asing.
Seperti kata Datuk Dr. Zainal Aznam, ahli Majlis Ekonomi Negara, apa sebenar motif sebuah syarikat Hong Kong memiliki sebuah syarikat pengeluar beras. Kita semua tahu beras adalah makanan penting kepada rakyat Malaysia dan Bernas bermonopoli dalam perniagaan beras.
Kita lihat sesiapa yang memiliki Bernas turut memiliki beberapa anak syarikatnya yang lain seperti Edaran Bernas Nasional Sdn. Bhd.(80 peratus), Jasmine Food Corporation Sdn. Bhd. (61 peratus), Era Bayam Kota Sdn. Bhd. (60 peratus), Syarikat Faiza Sdn. Bhd. (51 peratus) dan YHL Holding Sdn. Bhd. (51 peratus). Kesemuanya Bernas memiliki saham majoriti dalam anak-anak syarikat ini.
Bagaimana pihak Padi Beras Nasional Bhd (Bernas) tidak sedar yang ada syarikat asing yang sudah mengumpul sebegitu banyak milik saham dan dengar cerita yang menjual ini sebuah agensi kerajaan juga dan individu Melayu.
Kalau ya pun agensi kerajaan itu hendak menjual, kenapa tidak dilakukan di luar pasaran terbuka secara married deal hanya kepada agensi kerajaan yang lain.
Setahu saya agensi tersebut tidaklah sesak duit kerana mampu miliki dua tiga bangunan dan dia tak tahu ke yang dijualnya itu suatu syarikat yang strategik.
Semasa saya di Amanah Saham Nasional dulu bila ada mesyuarat agung syarikat yang mana agensi kerajaan ada kepentingan, agensi kerajaan berkenaan buat tak kisah hendak menghadiri mesyuarat tersebut.
Pada hal banyak perkara penting yang wajar dibangkitkan dalam mesyuarat terutama dari segi dasar syarikat dan amalan terhadap perniagaan Bumiputera. Kadang-kadang saya merasakan mereka ini tidak ambil pusing pasal kepentingan Bumiputera sejak dulu.
Bila saya bangkitkan macam-macam perkara janggal dengan sebuah syarikat yang Amanah Saham Nasional Bhd. ada kepentingan berdasarkan maklumat yang saya terima daripada orang dalam, syarikat itu mengadu kepada pengerusi saya, Allahyarham Tun Ismail Ali dan saya ditegah untuk menghadiri mana-mana mesyuarat agung syarikat-syarikat yang ASN ada kepentingan.
Orang yang mengadu itu orang Melayu juga. Saya pernah cakap kepada syarikat yang dimiliki sahamnya oleh PNB atau ASN, mereka yang berasa megah kerana dapat organisasi terpenting negara menjadi pemilik saham mereka, bukannya PNB atau ASN yang berasa megah.
Kalau kita milik sebahagian syarikat, lepas itu kita tidak ambil tahu apa yang dilakukan oleh syarikat yang mungkin bertentangan dengan aspirasi PNB atau ASN atau mana-mana agensi kerajaan, siapa lagi yang hendak menjaga kepentingan rakyat? Bukankah duit pelaburan agensi kerajaan itu duit rakyat?
Kita tidak nafikan, apabila sesebuah syarikat itu disenaraikan di bursa saham, siapa saja boleh beli sahamnya tetapi ada syarikat-syarikat tertentu yang perlu menyedari hakikat bahawa ia mungkin tergulung dalam kategori syarikat strategik kepada negara.
Kenapa, misalnya Tun Mahathir dulu tidak membenarkan Singtel, syarikat telekomunikasi Singapura memiliki saham Telekom Malaysia? Habislah kita.
Bila berita pembelian saham oleh syarikat Hong Kong ini timbul dan ramai yang merungut, cepat-cepat kata saham itu akan dibeli balik.
Beli balik mungkin boleh tetapi dengan harga yang lebih tinggi daripada dijual dulu. Itu pun kalau dia orang hendak jual. Kalau dia orang tak mahu, kita tak boleh juga buat apa. Lembu dah terlepas baru kita nak tutup pagar.
Kedua, suatu pertemuan ketua-ketua kumpulan di bawah Gabungan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) bertemu pada hari Rabu 29 Julai lalu membincangkan "Cabaran dan Hala Tuju Usahawan Bumiputera." Banyaklah perkara yang dibangkitkan hari itu.
Antaranya perbezaan beberapa golongan orang Melayu, di bandar dan di luar bandar. Tekanan hidup mereka yang berpendapatan rendah di bandar dan perbezaan antara mereka yang dalam golongan kelas menengah dan mereka yang masih lagi kais pagi makan pagi, kasi petang makan petang.
Sementara itu, mereka yang berpendapatan rendah ini melihat beberapa langkah keterbukaan yang bakal memberikan saingan yang lebih sengit kepada usahawan Melayu.
Ada juga persoalan ditimbulkan tentang kenapa Kementerian Pembanguan Usahawan dan Koperasi dimansuhkan sedangkan menterinya yang dulu Datuk Noh Omar melakukan pelbagai usaha untuk memajukan golongan usahawan Bumiputera.
Kini dipecahkan kepada lapan kementerian sehingga peranan menyelaras 60 agensi yang terbabit dengan pembangunan usahawan Bumiputera ibarat kumbang putus tali.
Hakikat sebenar yang ekonomi negara akan berubah untuk meningkatkan daya saing perlu diterima oleh usahawan sekarang.
Menurut Tan Sri Rahim Thamby Chik, rakyat perlu bersatu di bawah konsep 1 Malaysia kerana dokumen penting yang menjadi rujukan utama ialah Perlembagaan Negara. Satu Malaysia bukannya suatu yang baru tetapi mengingatkan kepada sesuatu yang sudah lama termaktub.
Ketiga, suatu seminar tentang pasaran saham diadakan pada hari Khamis 30 Julai. Tajuknya, "Adakah pasaran saham akan naik atau tidak?" Menurut Ahmad Abdullah, seorang pengarah eksekutif syarikat broker yang berpengalaman lebih 20 tahun menyatakan dua perkara penting.
Pertama katanya, ramai orang menyangka ada kaitan pasaran saham New York dengan pasaran saham kita. Sebenarnya tiada dan Ahmad membuktikannya dengan pergerakan tertinggi dan terendah Standard and Poors 500 (suatu ukuran pergerakan pasaran).
Jadi, jangan sibuklah menganalisis pasaran New York. Setiap pasaran saham ada kitaran dan gegarannya sendiri.
Kedua, Ahmad telah mencatat pergerakan purata 200 hari pasaran saham dan mendapati sejak April 2009, pasaran telah mula naik dan akan kekal naik selama lima tahun. Ada juga yang tidak bersetuju dengan Ahmad, tetapi dia mengatakan anak muridnya sudah untung sejak membeli pada Mei lalu.
Wakil syarikat broker saham daripada CLSA Securities, San Choo menyatakan bahawa pasaran saham kita tinggi penilaiannya berbanding dengan lain-lain pasaran. Nisbah purata harga-pendapatan kita lebih tinggi daripada orang lain.
Ertinya, berdasarkan kadar pendapatan kita, syarikat-syarikat kita dengan harga pasaran mereka, seseorang itu terpaksa menunggu lebih lama mendapatkan pulangan pelaburannya.
Ditanya tentang sama ada pelabur asing sudah memasuki pasaran sejak Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil alih dan memperkenalkan pelbagai perubahan, katanya, mereka ingin melihat pelaksanaan perubahan-perubahan yang diperkenalkan.
Mereka hanya meletakkan kewajaran sebanyak empat peratus sahaja kepada pasaran saham kita.
Begitulah putaran dunia. Ada masa kita menjadi pujaan, ada masa kita diketepikan.
DATO' SALLEH MAJID ialah bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia)

 

ARKIB : 27/07/2009

Bumiputera tak minat lagi saham amanah?

DALAM masa satu hari sahaja (21 Julai lalu), 1.6 bilion unit Amanah Saham Malaysia (ASM) habis dilanggan oleh golongan bukan Bumiputera selepas Bumiputera tidak melanggan baki yang diperuntukkan kepada mereka. Maka timbullah beberapa pertanyaan tentang kenapa golongan Bumiputera tidak mengambil unit-unit yang diperuntukkan.
Adakah Bumiputera sudah cukup dengan unit-unit ASM yang ditawarkan selama hari ini dan tidak mahu lagi? Atau adakah Bumiputera tidak mampu lagi melanggan unit-unit saham amanah? Atau mungkinkah pihak Permodalan Nasional Berhad (PNB) tidak memasarkan unit-unit ini kepada Bumiputera kerana menyangkakan Bumiputera akan datang kepadanya dan dia tidak perlu pergi memajukan lagi kepada Bumiputera?
Mungkinkah mereka yang ditanggungjawabkan dengan menjual unit-unit ini tidak ada sebarang galakkan dan bergantung semata-mata ihsan daripada wakil-wakil yang dilantik seperti Pos dan beberapa bank sahaja?
Jawapan yang mungkin ramai menerimanya sebagai sebab ialah Bumiputera sudah tidak ada kemampuan dan sudah cukup melabur dalam saham amanah. Lagi pun kalau mereka membeli dengan mengambil pinjaman, dividen yang mereka perolehi sebahagian besarnya tentulah terpaksa dibayar kepada bank.
Dari satu sudut jika diteliti pelaburan yang berdasarkan pinjaman daripada bank, bukanlah lebihan daripada pendapatan. Ia menggalakkan mereka yang ingin melabur untuk berhutang. Tapi apa nak buat. Kalau tidak dilakukan begitu lebih rendahlah penyertaan Bumiputera dalam pelaburan unit saham amanah keseluruhannya.
Dari segi pendapatan, kalau kita lihat perbezaan antara Bumiputera dan kaum lain, menurut Kajian Setengah Penggal RMK-9, pendapatan purata Bumiputera meningkat daripada RM2,711 pada tahun 2004 kepada RM3,156 pada tahun 2007 dan kalau diunjurkan kepada tahun 2009 angkanya mungkin RM3,450 dengan kadar pertumbuhan sebanyak 5.2 peratus setahun.
Bagi kaum Cina pula pendapatan purata mereka meningkat daripada RM4,437 pada tahun 2004 kepada RM4,853 pada tahun 2007. Kalau diunjurkan kepada tahun 2009, angkanya ialah RM5,150 dengan kadar pertumbuhan sebanyak 3 peratus setahun.
Bagi kaum India pula, pendapatan meningkat daripada RM3,456 pada tahun 2004 kepada RM3,799 pada tahun 2007. Unjuran kepada tahun 2009 dengan kadar purata setahun sebanyak 3.2 peratus ialah RM4,046.
Bagi golongan lain-lain ialah daripada RM2,312 pada tahun 2004 kepada RM3,651 pada tahun 2007. Unjuran untuk tahun 2009 dengan kadar purata 15.5 peratus ialah RM4,870.
Jurang antara Bumiputera dengan Cina telah rapat daripada 1:1.64 kepada 1:1.54 dan dengan golongan India daripada 1:1.27 menurun kepada 1:1.20.
Hakikat sebenarnya setiap ringgit yang disimpan oleh Bumiputera, mungkin bukan Bumiputera menyimpan RM10. Itu sebabnya kalau kita melihat milik hartanah, 75 peratus dikuasai oleh bukan Bumiputera. Setiap taman perumahan yang dibuka rumah kedainya habis terjual kepada bukan Bumiputera. Kalau ada peruntukkan rumah untuk Bumiputera dengan potongan diberikan pun tidak laku.
Daripada angka-angka di atas bolehlah dirumuskan bahawa golongan Bumiputera masih lagi golongan yang pendapatan terendah di kalangan kaum-kaum terbesar di negara ini. Kalau dikatakan PNB telah mengumpul sebanyak RM70 bilion, mungkin sudah sampai tahap kematangan dalam industri ini dari segi penyertaan Bumiputera.
Tetapi industri saham amanah di negara ini masih dianggap suatu penyertaan yang rendah kerana jika dibandingkan dengan nilai pasaran modal bursa saham, ia hanya dalam 10 peratus, sedangkan di negara yang sudah maju sehingga 25 ke 30 peratus.
Mulai sekarang mungkin PNB akan memberikan tumpuan lebih kepada golongan bukan Bumiputera kerana sambutan golongan tersebut begitu hangat. Kalau sudah diberikan kepada Bumiputera tidak mahu, berikan saja kepada yang mahu.
Sama juga dengan rumah di taman-taman perumahan yang diperuntukkan kepada Bumiputera yang tidak diambil, tak mungkin pemaju hendak simpan sampai bila-bila. Begitu juga PNB. Ia suatu syarikat yang berurusan perniagaan yang bermotifkan keuntungan dan ada tanggungjawab sosial.
Kita mengharapkan Model Ekonomi Baru yang bertujuan meningkatkan pendapatan rakyat ke tahap yang lebih tinggi akan memberikan tumpuan kepada golongan yang pendapatannya masih rendah dan kurang tumpuan kepada simpanan atau pelaburan.
Kalau sudah ada lebihan daripada pendapatan tentulah lebih besar peluang untuk melabur. Kita lihat gaji guru sahaja sudahlah. Golongan yang terendah gaji di kalangan para profesional. Bagaimana kategori ini boleh menarik golongan yang lebih tinggi kelayakan mereka kalau gaji mereka begitu rendah.
Bumiputera diakui kaum majoriti yang terdiri daripada petani dan nelayan - pendapatan mereka tidak menentu. Petani masih menggunakan cara lama sedangkan pelbagai teknologi digunakan masa kini untuk meningkatkan hasil pertanian.
Teknologi maklumat digunakan untuk tugas-tugas biasa dalam pengawasan ladang.
Semuanya bakal meningkatkan hasil pertanian. Tumpuan teknologi baru ini wajar diberikan kepada petani muda kerana yang tua tidak mampu untuk meresap ilmu pengetahuan yang baru ini.
Begitu juga bagi golongan nelayan yang mungkin masih menggunakan bot warisan datuk nenek mereka. Bot patut dilengkapi dengan alat pengesan kumpulan ikan, pengesan cuaca buruk dan memiliki unsur-unsur keselamatan jika diganggu lanun dan perompak laut.
Mereka ini wajar diberikan kemudahan supaya dapat lari daripada kitaran kemiskinan yang membelenggu masyarakat nelayan dengan cara pengurusan lama. Kalau tidak setiap tengkujuh nelayan akan tidak ke laut dan meminjam wang daripada peraih. Bila sudah ke laut tangkapan digunakan untuk membayar hutang saja. Jadi dapat minyak diesel subsidi pun dijual.
Kalau hendak dikatakan masyarakat Bumiputera kurang mengerti tentang ASM selepas diperkenalkan sejak 2000 ia tidak munasabah dengan penganjuran Minggu Amanah Saham diadakan setiap tahun. Apakah golongan Bumiputera sudah merasa penyertaan mereka cukup setakat ini? Atau golongan Bumiputera sudah pandai pergi ke bursa saham terus dan tidak perlu melanggan unit saham amanah? Tak tahulah siapa yang tahu jawapan sebenarnya.
Apa pun saya merasakan dividen yang diberikan oleh PNB jangan dibandingkan dengan kadar simpanan bank tetapi patut dibandingkan dengan pulangan daripada lain-lain unit saham amanah. Kadar simpanan bank tentulah rendah jadi kalau dapat 6 atau 7 peratus tentulah tinggi. Tapi kalau banding dengan Hwang-DBS atau Public Mutual misalnya yang menawarkan dividen sampai 25 atau 30 peratus barulah dikatakan bersaing.
Saya tak tahulah sama ada PNB boleh membentuk saham amanah dengan memasukkan saham pasaran saham asing yang pada masa ini meletup di sana sini terutama sekali di India dan China. Kita tidak perlu bimbang pasal duit kita keluar kerana duit yang keluar melalui pekerja asing sama ada yang masuk secara betul atau haram, jauh lebih besar daripada 30 peratus yang dibenarkan dilabur oleh sesuatu saham amanah.
Seperkara lagi ialah setiap tahun di bulan puasa saja 100,000 orang Islam Malaysia melakukan umrah dan kalau seorang berbelanja katakan RM10,000, RM1 bilion mengalir keluar di bulan Ramadan saja! Kalau melabur di pasaran saham luar negara dapat memberikan pulangan yang baik kepada para pelabur, kenapa tidak? Bukankah kita ingin meningkatkan daya saing kita?
DATO' SALLEH MAJID ialah bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia)
ARKIB : 18/07/2009

Tambang naik, kualiti pula bagaimana?

AKHIRNYA syarikat pengangkutan mendapat kenaikan tambang seperti yang dinantinantikan. Difahamkan kali terakhir mereka menerima kenaikan ini ialah pada 2005. Memang patut pun diberikan kenaikan kali ini.
Orang ramai kini kena tanggung kenaikan lagi. Semuanya naik. Barang makanan naik, kos sara hidup pula sudah lama naik. Sejak minyak melambung sampai AS$140 setong Julai tahun lalu.
Kini minyak sudah turun sehingga AS$61 setong tetapi harga barang tidak juga turunturun. Gaji tidak boleh naik sebab ekonomi negara masih lagi meleset.
Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) menyatakan, eksport negara akan jatuh lebih 21.8 peratus untuk tahun ini dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) juga akan jatuh lebih tinggi daripada ramalan awal negatif 2.2 peratus kepada negatif 4.2 peratus. Tahun depan jatuh lagi kepada negatif 3.8 peratus.
Rakyat biasa mungkin tidak faham, naik atau turun KDNK. Mungkin ramai yang tidak ambil pusing.
Yang rakyat biasa faham ialah tambang bas dan teksi akan naik sampai paras tertinggi iaitu 30 peratus.
Minggu depan elektrik pula akan dinaikkan. Tidak tahulah banyak mana yang hendak dinaikkan. Kalau tarif elektrik naik, alamat kos semua barang akan naik lagi.
Kita tahu hutang Tenaga Nasional Berhad sebanyak RM22.2 bilion setakat Februari 2009.
Penggal kedua berakhir Februari 2009, TNB untung sebanyak RM674.6 juta. Jatuh daripada RM1,069.2 juta penggal sebelumnya. Hampir separuh.
Kemudian kerugian daripada urus niaga tukaran wang asing setakat akhir penggal 2009 ialah RM1,536.7 juta.
Apa sudah jadi dengan hedging (langkah perlindungan tukaran asing)? Mata wang kita dengan mata wang asing entah kenapa asyik lemah sahaja walaupun negara asing lebih teruk kemelesetan ekonominya.
Kita juga diberitahu dengan kenaikan ini tahap perkhidmatan juga patut naik. Kita tengoklah sama ada kita perlu berdebat dengan pemandu teksi hanya untuk hendak pergi ke sesuatu tempat.
Mereka selama ini ukur kadar bayaran ikut kesesakan trafik. Walaupun kini dah ada kadar untuk sesak dengan tidak sesak tentu ramai yang pukul rata kadar bila lalu jalan sesak.
Berapa banyak rungutan pengguna teksi tentang bukan sahaja tahap perkhidmatan tetapi juga keadaan teksi yang tidak selesa.
Bila naik teksi rasa macam duduk atas tayar kereta bukan atas kusyen sebab penyerap hentakan kereta sudah lama tidak ditukar. Bila pasang radio, yang berkumandang hanya lagu kegemaran pemandu. Dia tidak pedulikan perasaan penumpang yang gemar atau tidak dengan lagu yang dimainkan itu.
Apa nak buat, akhirnya kita penumpang kenalah akur, bukannya pemandu yang sepatutnya kena hormatkan penumpang kerana kita yang membayar tambang.
Sementara itu, ada juga teksi yang dipandu oleh orang asing.
Entah macam mana dia orang boleh diberikan kebenaran memandu kita pun tidak faham. Jenuhlah penumpang pula yang tunjuk jalan kepadanya.
Tetapi dengan kenaikan tambang sekarang, kita harap bolehlah dapat perkhidmatan yang lebih baik.
Sepatutnya sistem penyewa teksi kena bayar RM45 hingga RM50 sehari dihapuskan dan beri hanya kepada mereka yang bawa sendiri dan bukan syarikat-syarikat.
Begitu juga dengan bas. Jangan biarkan sistem bayaran gaji ikut jumlah perjalanan.
Disebabkan rakyat hari ini begitu perlu bergerak dari satu tempat ke suatu tempat, tidak hairanlah kalau beratus-ratus syarikat bas jarak jauh beroperasi.
Dulu kita dengar pasal hendak pasang kotak hitam macam kapal terbang. Sekarang apa dah jadi dengan isu kotak hitam itu? Dengarnya ramai pengusaha merungut pasal kos pemasangan kotak hitam, maka tidak jadilah peraturan.
Kalau dulu belum ada lebuh raya kalau ada kemalangan kita fahamlah jalan tidak elok, ini sudah ada lebuh raya, lagi banyak kemalangan.
Bila tiba hari perayaan, cuti sekolah atau apa jua cuti umum, ramai penumpang yang kena tipu kerana terbeli tiket bas palsu.
Walaupun mereka membeli tiket daripada kaunter belian yang sahih tetapi ada juga yang kena tipu. Tiket ada bas tidak ada.
Kalau dibenarkan diperluaskan semasa raya dengan pengusaha bas sekolah, macammacam berlaku. Sekian lama kita lihat terminal bas di Puduraya begitu menyedihkan.
Terkini kita dengar Puduraya akan diperbaiki. Alhamdulillah.
Bayangkanlah di tingkat atas tempat makan di tingkat bawah bas menghidupkan enjin. Asap hitam dan tebal naik ke kawasan orang menikmati hidangan.
Bayangkanlah pencemaran di situ yang terpaksa dihadapi oleh penumpang sejak sekian lama.
Rungutan tentang pengangkutan awam tidak pernah habis-habis. LRT tidak cukup gerabak, tidak ada pendingin hawa, tidak tepat masa dan kehadiran orang asing yang mungkin tidak mandi 'mengharumkan' lagi suasana dalam gerabak membuatkan orang patah semangat.
Kalau nak kira-kira kos hendak menyampai ke sesuatu stesen LRT pun boleh tahan juga ada yang memilih untuk tidak naik sistem pengangkutan ini.
Bukan semua tempat ada stesen ini. Maka bertambahlah kereta di atas jalan raya. Maka akan semakin sesaklah jalan raya kita.
Jadi akhirnya mutu perkhidmatan pengangkutan awam kita masih di tahap "pi mai pi mai tang tu jugak". Hanya tambang yang naik, mutu belum tentu.
DATO' SALLEH MAJID ialah bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia)
ARKIB : 11/07/2009

Martabat bahasa Melayu, bahasa Inggeris

PENGAJARAN dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) telah pun dibuat keputusan tentangnya. Ramai yang bersetuju, dan tidak kurang juga yang terkilan.
Mereka yang bersetuju mengatakan ramai yang tidak mengikuti pembelajaran tersebut dalam bahasa Inggeris kerana guru-guru mereka tidak fasih berbahasa Inggeris. Oleh itu ramai yang akan ketinggalan kerana tidak dapat menguasai ilmu tersebut dalam bahasa Inggeris.
Ramai juga yang mengatakan langkah menggunakan bahasa Inggeris untuk Matematik dan Sains suatu tamparan kepada usaha memartabatkan bahasa Melayu. Malangnya keputusan beralih balik kepada bahasa Melayu hanyalah untuk sekolah kebangsaan. Untuk sekolah Cina dan Tamil mereka menggunakan bahasa masing-masing. Kenapa begitu ya?
Kalau kita lihat akhir-akhir ini, ramai kalangan siswazah universiti tempatan yang menganggur. Mengikut kajian daripada Unit Perancang Ekonomi selain daripada tidak mempunyai keyakinan diri, kebanyakan mereka yang menganggur tidak mampu berkomunikasi sama ada dalam bahasa Inggeris atau bahasa Melayu dengan baik.
Pengetahuan am mereka juga rendah. Setiap tahun kita akan berdepan dengan siswazah yang keluar daripada 20 universiti tempatan dan mereka yang lemah dalam bahasa Inggeris tidak akan terpilih oleh sektor swasta.
Malahan mereka yang lulus pun mempunyai masalah. Seorang peguam yang memiliki syarikat guaman sendiri begitu kecewa dengan beberapa orang siswazah undang-undang yang diambilnya. Mereka tidak mampu pun mengarang satu surat yang mudah untuk berhubung dengan pelanggan. Akhirnya mereka terpaksa diberikan tugas mengutip hutang. Itu siswazah undang-undang!
Saya bukanlah hendak memperlekehkan bahasa ibunda saya sendiri tetapi ramai yang bersetuju dengan saya jika saya katakan sistem pembelajaran dulu-dulu jauh lebih baik daripada sekarang.
Rasa saya, bahasa Melayu tidak terkorban bila saya menggunakan bahasa Inggeris. Mungkin tidaklah sama dengan standard pakar bahasa tetapi kalau dah sampai orang tak faham nak buat apa.
Kalau tok nenek kita dulu tak payah pergi universiti sudah boleh menjadi pentadbir awam yang baik. Hari ini pelajar universiti kita, bagi dia kerja dalam bahasa Inggeris tapi dia jawab dalam bahasa Melayu. Kerana apa? Kerana penguasaan bahasa Inggeris mereka lemah.
Adakah penguasaan bahasa Melayu mereka baik? Tidak juga. Ada juga yang menggunakan bahasa SMS.
Kelemahan penggunaan bahasa Inggeris ini dapat dilihat dalam surat-surat rasmi kementerian, di kepala surat mereka sendiri penuh dengan ejaan perkataan Inggeris yang salah!
Bagaimana pula agaknya dengan pegawai-pegawai kita yang menghadiri persidangan antarabangsa di luar negara? Atau para diplomat kita yang sentiasa berkomunikasi dalam bahasa Inggeris? Ada tak kualiti semacam Allahyarham Tan Sri Zain Azraai dulu?
Seorang diplomat terkenal kita pernah memberikan pandangan betapa teruknya keadaan sekarang sehinggakan mendapat respons daripada Perdana Menteri.
Semoga dengan adanya usaha untuk menambah guru bahasa Inggeris, menambah masa pengajaran bahasa Inggeris dapatlah ditingkatkan penguasaan bahasa Inggeris anak-anak kita.
Menggunakan bahasa Inggeris bukan maknanya kita berkiblatkan negara Britain dan bukan menjatuhkan martabatkan bahasa Melayu.
Yang menjatuhkan martabat bahasa Melayu ialah mereka seperti ejen pengiklanan yang menggunakan bahasa Melayu sesuka hati mereka dengan tidak langsung menghormati bahasa tersebut.
Yang menjatuhkan martabat bahasa Melayu ialah mereka yang bercakap bahasa Melayu dicampuradukkan dengan bahasa lain.
Yang menjatuhkan martabat bahasa Melayu ialah surat yang ditulis oleh badan-badan kerajaan atau pihak berkuasa dalam bahasa Melayu kepada pelanggan yang terpaksa diterjemahkan kepada bahasa Inggeris kerana mereka tidak peduli untuk memahami bahasa Melayu.
Ramai orang yang boleh fasih bahasa Inggeris dan lancar menulis dan bercakap dalam bahasa Melayu. Datuk Seri Dr. Rais Yatim salah seorang daripadanya, Datuk Seri Ong Tee Keat, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon semuanya fasih dalam kedua-dua bahasa. Di mana mereka belajar dulu.
Macam mana guru dulu dengan guru sekarang. Guru dulu boleh pukul anak murid. Balik rumah emak bapak pukul lagi kalau dapat tahu. Sekarang guru jentik sikit, emak bapak saman guru.
Guru dulu penuh integriti, tujuan untuk kejayaan murid. Guru sekarang ada yang mencabul kehormatan murid, hisap dadah. Itu tak masuk apa yang mereka pelajari.
Kalau yang mengajar bahasa Inggeris dibetulkan bahasanya oleh anak murid, apa nak jadi!
Kita cuma ada 11 tahun lagi untuk menjadi negara perindustrian sepenuhnya. Bukan satu jangka masa yang lama.
Perkara penting yang bakal meletakkan kita dalam kedudukan tersebut ialah modal insan kita. Kalau ada pelajar universiti takat boleh muntahkan apa yang pensyarah beri saja dan tidak mampu berfikir, modal insan begini tidak akan dapat membantu membangunkan negara kita.
DATO' SALLEH MAJID ialah bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia)

ARKIB : 04/07/2009

Antara tersurat dan tersirat FIC

PENGUMUMAN Selasa 30 Jun lepas oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tentang tidak perlu lagi syarikat yang ingin disenaraikan memperuntukkan 30 peratus sahamnya kepada Bumiputera menunjukkan ketidakberkesanan sesuatu peraturan.
Sejak 1970 Jawatankuasa Pelaburan Asing diberi tanggungjawab untuk memastikan hak milik Bumiputera dalam ekuiti syarikat. Malangnya selepas 39 tahun hanya 19.4 peratus sahaja daripada sasaran 30 peratus yang tercapai.
Walaupun ini suatu kejayaan jika dibandingkan dengan 2 peratus hak milik Bumiputera dalam tahun 1970, banyak kelemahan terdapat dalam pelaksanaan pencapaian dasar tersebut.
Kelemahan-kelemahan seperti saham diperolehi oleh golongan tertentu sahaja yang tanpa modal sendiri meminjam daripada bank dan menjual di hari penyenaraian saham syarikat. Dalam tahun-tahun 1980-an dan 1990-an sememangnya pasaran saham yang rancak memberikan pulangan yang lumayan kepada mereka yang beruntung mendapat peruntukkan saham.
Lazimnya golongan ini terdiri daripada mereka yang ada hubungan politik (political connection) sehinggakan pada suatu masa seorang pemimpin wanita tempatan pernah mengeluh, "Alahai saya dah tak tahu nak buat macam mana, selalu sangat saya dapat peruntukkan saham ini."
Bayangkan beliau mengeluh kerana dapat berkali-kali, orang lain mengeluh kerana tidak dapat langsung. Mereka yang mencuba nasib dengan undian yang dibuat sewaktu memohon samalah dengan mereka yang membeli nombor empat ekor.
Ada nasib dapat tak, ada nasib tak dapat. Ada juga di kalangan mereka yang lebih berusaha masuk ke kampung mengambil salinan kad pengenalan orang kampung untuk digunakan menambahkan bilangan permohonan sesuatu terbitan saham supaya peluang untuk terundi lebih tinggi.
Orang kampung yang tidak tahu hujung pangkal diberikan RM20 sudah seronok sedangkan mereka yang berjaya memperolehi kadang-kadang RM2,000 untuk sesuatu borang yang berjaya.
Masalah utama dasar tersebut walaupun berniat baik ialah tidak ada pegangan lama saham yang diberikan. Ini disebabkan mereka yang diberikan peruntukkan sesetengahnya tidak bermodal dan hanya berharapkan pinjaman bank.
Di tahun-tahun 1990-an pernah menyaksikan saham syarikat papan kedua misalnya melonjak kepada RM10 pada hari pertama sedangkan harga terbitan ialah RM2.50. Bayangkanlah keuntungan yang diperolehi oleh mereka yang diberikan peruntukkan.
Pada masa itu pihak berkuasa menentukan harga terbitan saham bukan pasaran. Keadaan agak berbeza apabila undang-undang diubah kepada pasaran menentukan harga terbitan.
Hak milik sahaja tidak mencukupi untuk mencapai hasrat Dasar Ekonomi Baru. Mereka yang mengambil jalan singkat menjadi rakan kongsi secara rakan tidur sahaja memberikan nama yang buruk kepada golongan Bumiputera.
Mereka tidak 'kuasa' untuk mendapatkan pengalaman dan kemahiran hanya menjual nama kepada mereka yang terdesak untuk memenuhi syarat yang diperlukan. Ini dengan sendirinya meletakkan daya saing negara di kerusi belakang dan negara-negara yang sama kedudukannya dengan kita pada suatu masa dahulu seperti Taiwan dan Korea Selatan telah jauh meninggalkan kita.
Orang Melayu yang berkebolehan pun ramai yang meninggalkan kita dan mencuba nasib di tempat orang.
Mereka yang tidak diberikan sebarang bantuan oleh mana-mana pihak seperti di Silicon Valley jelas berjaya. Begitu juga mereka di lain-lain rantau di Amerika, Britain dan Eropah. Rakan saya yang kecewa kerana cinta merantau ke Itali dan kini memiliki perniagaan peralatan industri di Milan.
Begitu juga dengan bangsa lain yang merantau seperti Cina daripada negara China, India pergi ke Britain dan Afrika. Mereka begitu berjaya. Apa yang boleh diteladani dengan semua kejayaan ini ialah tanpa sebarang bantuan, manusia akan berusaha lebih gigih dan kelangsungan hidup merupakan matlamat penting.
Di sini kita kerap melaungkan hak kita dalam ini dan itu, tetapi ada yang mengambil jalan singkat untuk kaya. Lama-kelamaan orang akan jadi jauh lebih pandai daripada kita. Akan sampai suatu titik penentuan yang menunjukkan betapa ke belakangnya kita dengan bangsa lain di negara ini.
Dulu memang kita boleh bermegah dengan kuasa politik kita, tapi bolehkah kita mengatakan perkara yang sama hari ini? Kalau kuasa ekonomi di tangan orang lain dan kuasa politik sudah mula goncang, ke mana hala tuju kita. Kalau negara kita tidak membangkitkan semangat kita untuk berdaya saing, apakah individu-individu Melayu yang kaya raya akan melakukan demikian?
Segelintir sangat. Mungkin dua peratus daripada ramai yang telah menikmati limpah ruah daripada Rancangan Malaya Pertama sehingga Rancangan Malaysia Kesembilan.
Pendokong sebarang dasar kerajaan ialah anggota perkhidmatan awamnya dan pembabitan rakyatnya. Kita lihat negara-negara yang berdaya saing tidak mempunyai sumber alam yang mewah seperti kita. Kekuatan mereka ialah sumber manusia yang mereka miliki seperti orang Jepun yang berjaya menakluk dunia hanya dalam 30 tahun selepas mereka dibom di Hiroshima dan Nagasaki.
Bagi kita, melonjakkan tangga daya saing lebih tinggi (kita pernah duduk di tangga ke-16 pada 2004 kini 21) memerlukan pelbagai anjakan minda. Kesungguhan untuk menambah ilmu dan pengetahuan adalah satu daripadanya.
Dunia hari ini bergerak begitu pantas dan maklumat menjadi basi dengan begitu cepat. Mereka yang berkuasa adalah mereka yang memiliki maklumat yang mutakhir. Segala-galanya adalah dalam bentuk masa sebenar.
Lihat sahaja ciptaan-ciptaan hari ini seperti bilionair termuda Mark Zuckergerb pencipta Facebook dan Jack Dorsy pencipta Twitter. Betapa kreatif mereka sehinggakan CNN terpaksa mengaku kalah dengan Twitter. Begitu juga Steve Jobs dengan I-Phonenya.
Berita dia kembali selepas enam bulan berehat, sudah cukup untuk melonjakkan saham Apple.
Kita meletakkan harapan kepada Ekuinas untuk memberikan pernafasan kepada syarikat Bumiputera yang betul-betul sahih dan bukan diperalatkan oleh orang lain. Ketiadaan modal dan minat yang tinggi boleh mendorong seseorang menjual maruahnya.
Kita mengharapkan faktor penilaian yang digunakan adil dan telus dan mereka yang diberi tanggungjawab untuk memilih yang layak diberikan suntikan berpengalaman dan tidak boleh dirasuah. Integriti mereka mestilah sewajarnya tidak boleh dipersoalkan.
Dato' Salleh majid ialah bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia)
ARKIB : 27/06/2009

Antara perpaduan, penjenamaan, rombakan

TIGA perkara penting menjadi perhatian ramai akhir-akhir ini. Pertama cadangan perbincangan kerajaan perpaduan yang disyorkan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan UMNO yang telah ‘dikebumikan’ sebelum diberi peluang untuk bernyawa.
Memanglah mungkin orang Melayu tidak akan dapat bersatu padu. Dalam Pas sendiri cadangan tersebut ditentang oleh barisan pemimpin sendiri. Apatah lagi di kalangan sekutu Pas, DAP dan PKR. Sehinggakan Hadi terpaksa melupakan hasrat untuk berbincang tentang kerajaan perpaduan.
Cakap-cakap mengenai kerajaan perpaduan di kalangan Pas dan UMNO menyebabkan Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat dalam blognya mengemukakan persoalan kepada masyarakat Cina sama ada MCA patut keluar daripada BN atau tidak. Mengikutnya 75 peratus mengatakan persetujuan kewajaran tersebut.
Apakah tujuan sebenar Tee Keat membuat kajian tersebut di kala Datuk Seri Najib Tun Razak bercakap tentang Satu Malaysia? Mungkin beliau ingin menggunakan keputusan kajian tersebut bagi membantu beliau membuat sesuatu keputusan.
Ketiga, Tee Keat juga menyatakan tidak ada salahnya kalau MCA berbincang tentang perpaduan dengan DAP atau sesiapa pun. Dah kalau dengan DAP pun boleh berbincang, mengapa tidak dengan Gerakan atau abang kepada DAP iaitu PAP?
Jangan sampai orang Melayu jadi “menang sorak kampung tergadai”. Ini yang membuatkan Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria menyuruh mencontohi parti Cina yang sanggup melupakan ideologi parti demi perpaduan mereka.
Pas dengan UMNO memang sudah tidak jadi. Sememangnya betul kata mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Tidak wajar bagi satu bangsa sahaja dalam negara berbilang bangsa mentadbir negara.
Bagaimanapun, sejak kalah pada Pilihan Raya Umum Ke-12 pada Mac 2008, macam-macam suara timbul seperti kajian ringkas bertanyakan patutkah MCA keluar daripada BN dan polemik tentang kontrak sosial yang dipersetujui semasa penubuhan Malaysia dulu.
Seruan yang terbaru sekali daripada anggota komponen BN ialah meminta dibenarkan ketua pengganas komunis, Chin Peng kembali ke negara ini. Ini semua adalah provokasi untuk menguji tahap kesabaran kita.
Pepatah Melayu mengatakan: “Lalu jarum lalu kelindan”. Dan apabila Pemuda Pas menyarankan agar Dasar Ekonomi Baru jangan dihapuskan, kita mendengar tentangan daripada MCA sendiri.
Ramai orang mungkin tidak sedar siapa sebenarnya yang untung besar sejak Rancangan Malaysia Pertama hingga Kesembilan. Kalau kita andaikan setiap rancangan lima tahun itu bernilai RM100 bilion tiap-tiap satu, kita dah lalui lapan rancangan. Ini bererti kita sudah belanja RM800 bilion.
Kita tahu RMK-9 bernilai RM220 bilion jadi kesemuanya berjumlah RM1.02 trilion. Orang Melayu dan Bumiputera dikatakan ada bahagian sebanyak 18 atau 19 peratus sahaja. Jadi siapa yang dapat sebahagian besar daripada RM1.02 trilion ini?
Kita semua tahu jawapannya. Habis kenapa hendak bising-bising lagi?
Adakah ini ekoran daripada cakap-cakap penjenamaan yang kerap kita dengar selepas pilihan raya tersebut? Apakah penemuan-penemuan daripada kajian yang dijalankan atas kekalahan teruk BN yang membuatkan parti-parti komponen ingin menjenamakan parti masing-masing?
Selain daripada UMNO yang presidennya telah bertukar dan disahkan di Perhimpunan Agung lepas, ada parti-parti komponen lain ibarat “tasik yang di atasnya nampak tenang tetapi di bawahnya berkocak kuat”.
Ada presiden yang tidak baik dengan timbalannya, ada presiden yang tak mahu bagi orang lain mencabarnya, ada yang sengketa dalaman terpaksa diselesaikan dengan keputusan Pendaftar Persatuan.
Penjenamaan ialah branding atau diberi nama baru tetapi penjenamaan sahaja tidak mencukupi kerana apa yang diperlukan ialah rombakan.
Kunci kepada rombakan ini ialah punca ketidakpuasan rakyat terhadap beberapa perkara berkaitan dengan kehidupan mereka, yang utamanya kos sara hidup yang melonjak dan janji yang tidak ditepati.
Kita boleh membuat andaian bahawa keputusan yang telah dibuat oleh Perdana Menteri selepas mengambil alih kepimpinan iaitu meliberalisasikan 27 sektor kecil perkhidmatan dan juga sektor kewangan yang mana ekuiti minimum Bumiputera tidak lagi disyaratkan adalah manifestasi daripada apa yang mungkin diperolehi daripada penemuan-penemuan kajian tentang kekalahan BN tersebut.
Begitu juga dengan perubahan kepada kementerian-kementerian yang antara lain telah melenyapkan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, satu-satunya yang dianggap lubuk pembangunan kepada orang Melayu dan Bumiputera.
Pada sebuah seminar tentang Satu Malaysia yang dianjurkan oleh Akademi Pengajian Melayu dan kerajaan Terengganu, ada panel yang menyatakan mungkin gagasan Satu Malaysia lahir disebabkan rasa bersalah orang Melayu. Ia kerana kewujudan ‘peruntukan-peruntukan’ dan keutamaan yang diberikan kepada orang Melayu dan Bumiputera seperti biasiswa, kuota, lesen, penyertaan dalam perkhidmatan awam, kepimpinan syarikat berkaitan Kerajaan (GLC) dan sebagainya yang sebahagian besarnya termaktub dalam Perlembagaan.
Sama ada pandangan tersebut betul atau tidak wallahualam. Bak kata Nabil Raja Lawak: “Lu fikirlah sendiri”.
DATO’ SALLEH MAJID ialah bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia)

ARKIB : 20/06/2009

Peta minda perlu ditanam kepada pelajar

PELBAGAI perkara timbul ekoran daripada krisis ekonomi global yang bermula di Amerika Syarikat. Terkini sebuah rencana di dalam Wall Street Journal menyatakan kebergantungan masyarakat sekuriti dan perniagaan kepada golongan yang berkelayakan sarjana pentadbiran perniagaan (MBA) telah menyumbang kepada krisis yang terbesar dalam sejarah.
Rencana tersebut membangkitkan beberapa kelemahan bagi mereka yang berkelayakan MBA. Pertama mereka terlatih kebanyakannya menyelesaikan masalah jangka pendek, mereka hanya mengutamakan nombor dan keuntungan, mementingkan keuntungan dan pulangan kepada pemegang saham.
Orientasi mereka menjurus banyak ke arah satu aliran sahaja dan tidak berkeupayaan untuk menyelesaikan masalah secara jangka panjang, tidak berkeupayaan untuk mewujudkan suatu pelantar komunikasi dengan pelbagai golongan masyarakat.
Di Harvard Business School, salah sebuah universiti yang dulunya terkenal dengan program MBA kini dikritik kerana ketidakmampuan lulusan MBA mereka menangani masalah yang melingkupi ruang lebih luas daripada untung dan rugi. Pendekatan yang diambil di kebanyakan universiti yang mengajar MBA ialah kajian kes yang mana pelajar diberikan kes-kes syarikat atau organisasi yang mempunyai sesuatu masalah sehinggakan beratus-ratus kes ini akan diselesaikan oleh pelajar sebelum mereka lulus.
Kritikan utama tentang pendekatan ini ialah mereka tidak melihat suasana sebenar dalam penyelesaian kes-kes mereka dan mencipta masalah di dalam perniagaan adalah seperti kes-kes yang telah mereka selesaikan, sedangkan tidak ada satu keadaan yang sama dalam dunia sebenar.
Bagaimana pun ramai daripada mereka yang terlibat kini telah sedar bahawa apa yang diperlukan bukan sahaja kecerdikan daripada satu dimensi sahaja iaitu IQ tetapi pelbagai dimensi kecerdikan seperti emosi, spiritual, sosial dan kreatif.
Pakar utama minda, Tony Buzan menyarankan ditukar MBA (Master of Business Administration) kepada MBT (Master of Business Thinking) kerana di sanalah terletaknya kelemahan mereka yang lulus dengan MBA, ketidakupayaan untuk berfikir hingga ke akhirnya sesuatu masalah.
Tony Buzan yang telah menyampaikan ceramah tentang minda kepada lebih 350 juta manusia dan menulis sebanyak 100 buku dan diedarkan dalam pelbagai bahasa kepada 30 buah negara menggunakan suatu alat yang dipanggil peta minda atau mind mapping.
Alat ini memberikan ruang kepada seseorang untuk melihat sesuatu perkara secara keseluruhannya. Ia menggabungkan hubungan dengan kreativiti. Misalnya, jika seseorang itu memikirkan tentang percutian untuk keluarga. Ini terletak di tengah-tengah latihan peta minda. Ini kemudian diikuti dengan pelbagai cabang seperti negara-negara, syarikat penerbangan, aktiviti, hotel, makanan dan sebagainya.
Setiap satu cabang akan melahirkan banyak lagi cabang yang lain ekoran daripada sesuatu cabang. Misalnya penginapan mungkin apartmen khidmat atau hotel. Hotel pula boleh 4, 5 atau 6 bintang. Makanan boleh jadi masak sendiri, beli di kedai atau makan di restoran.
Setiap cabang dibezakan dengan warna-warni dan cabang-cabang ini tidak boleh lurus. Ia kena bengkok kerana minda kita katanya benci dengan perkara yang kaku, tegar. Minda manusia gemar kepada warna-warni dan kepelbagaian seperti anak-anak yang gemarkan lukisan sebelum mereka masuk sekolah.
Di sekolah guru akan melarang mereka menggunakan warna dan ini dengan sendirinya membunuh kreativiti kanak-kanak sehinggalah mereka dewasa.
Wajar kita melihat apa yang disarankan oleh Tony Buzan yang bukan saja pakar dalam bidang minda tetapi mempunyai minat yang kuat kepada sukan, puisi dan sukan mempertahankan diri. Dialah satu-satunya pakar yang wajar kita pelajari banyak perkara termasuk bagaimana menguatkan ingatan kita.
Dalam usaha kita untuk meningkatkan kreativiti dan inovasi di kalangan rakyat dan tenaga kerja, inilah jenis latihan yang perlu ditanam kepada seberapa ramai yang boleh bermula dengan para guru dan pendidik.
Ia juga ada kaitannya dengan paradigma manusia yang sekian lama mementingkan IQ atau taraf kecerdikan seseorang yang wajar disertakan dengan kecerdikan emosi, spiritual dan kreativiti.
Kecenderungan kebanyakan kita ialah memberikan tumpuan kepada perkara-perkara yang berkaitan dengan otak sebelah kiri iaitu logik dan matematik, sedangkan perkara seperti seni, puisi, muzik, sukan dan kreativiti datangnya daripada otak sebelah kanan.
Masa kini kita telah melihat mereka yang kuat menggunakan otak sebelah kanan menguasai pelbagai bidang dalam dunia seperti sukan, Tiger Woods, Roger Federer, Cristiano Ronaldo, hiburan, Oprah Winfrey. Pelakon pula seperti Will Smith dan Angelina Jolie yang berpendapatan tertinggi.
Seperti biasa sebarang langkah perubahan perlu bermula dengan sistem pendidikan kita dan mana-mana bidang yang kita bukan pakar, wajar kita dapatkan kepakaran daripada luar.
DATO' SALLEH MAJID ialah bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia)

 

ARKIB : 13/06/2009

Sekilas pandang model ekonomi baru

AKHIR-AKHIR ini kita diberitahu yang struktur ekonomi kita kena diubah. Matlamatnya supaya pekerja akan mendapat pendapatan yang lebih tinggi melalui usaha-usaha yang lebih inovatif dan kreatif.
Pada suatu masa dulu, pendapatan pekerja kita sama dengan Singapura, Korea Selatan dan Taiwan. Tapi kini mereka telah jauh meninggalkan kita.
Apakah pada suatu masa, kita perlu memikirkan ada baiknya negara memiliki gaji pekerja terendah kerana ini dapat menarik pelabur asing yang mencari tempat pelaburan dengan kos pengurusannya lebih murah daripada negara asal mereka.
Apabila negara-negara seperti China, Vietnam dan India muncul dengan beberapa reformasi ekonomi negara masing-masing, tenaga pekerja di negara-negara tersebut jauh lebih rendah daripada kita. Ini membuatkan tumpuan pelabur asing mengalihkan tumpuan pelaburan mereka kepada negara-negara tersebut.
Bagi negara seperti Singapura dan Hong Kong, mereka telah berjaya meningkatkan tahap pengeluaran ke tahap yang lebih tinggi dirantai penilaian. Iaitu daripada yang berintensifkan tenaga pekerja kepada yang berintensifkan modal.
Bagaimanapun negara-negara ini masih bergantung kepada eksport barangan seperti negara kita. Apabila negara-negara yang mengimport barangan kita seperti Amerika Syarikat, Jepun dan Eropah mengalami kemelesetan, eksport kita pun jatuh. Kita seterusnya mengalami penurunan Keluaran Dalaman Negara Kasar (KDNK) yang negatif 6.2 peratus untuk suku pertama 2009.
Oleh itu sesuatu perlu dilakukan dan inilah yang menyebabkan pemikiran ke arah model ekonomi baru. Apa sebenarnya komponen-komponen kepada model ekonomi baru ini? Kita belum tahu lagi kerana ia masih lagi digubal.
Sesuatu yang agak drastik dan radikal juga perlu dilakukan sekiranya kita ingin melonjakkan pendapatan tenaga pekerja kita pada masa akan datang. Kita difahamkan model ini akan dihuraikan dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (2011-2015).
Sementara itu elok rasanya kita lihat apakah arah aliran dunia masa akan datang. Apakah benda-benda yang bakal mencorakkan dunia masa akan datang? Kita bukan bercakap 50 tahun lagi tetapi dalam masa 10 ke 20 tahun saja.
Dr. James Canton, Pengerusi dan Ketua Eksekutif, Institute of Global Futures memberikan arah aliran berikut:
Pertama ialah bagaimana bentuk tenaga masa depan. Ini melibatkan krisis tenaga, masa depan selepas minyak, dan juga pilihan selain minyak seperti hidrogen. Peranan kritikal tenaga akan mencorakkan setiap aspek kehidupan kita dalam abad ke-21 ini.
Kedua, ekonomi berinovasi. Transformasi ekonomi global berdasarkan pertemuan dagangan bebas, teknologi, demokrasi, memacu tugas baru, pasaran baru, globalisasi, keamanan dan keselamatan. Empat alat yang berkuasa bagi ekonomi berinovasi ialah Nano-Bio-IT-Neuro.
Ketiga, tenaga kerja seterusnya. Bentuk tenaga kerja masa depan akan berubah. Akan terdapat pelbagai jenis budaya dan untuk berdaya saing mesti menerima inovasi.
Keempat, perubatan untuk kehidupan yang panjang. Kuasa-kuasa utama yang bakal mengubah perubatan seperti nanotek, neurotek dan genomik untuk kehidupan yang lebih sihat dan lebih lama.
Kelima, sains ganjil. Sains masa depan akan mengubah setiap aspek kehidupan, budaya dan ekonomi kita seperti nanobilogi dan pelbagai alam semesta.
Keenam, keselamatan masa depan. Ancaman utama kepada kehidupan dan nyawa kita beralih daripada jenayah kepada pengganas hingga kepada pengawalan minda. Apakah bentuk landskap risiko abad ke-21?
Ketujuh, masa depan globalisasi: budaya dalam pertembungan. Keadaan terbaru perdagangan dunia dan persaingan, kebangkitan China dan India, perbalahan budaya dan nilai serta perebutan ideologi masa depan.
Kelapan, perubahan iklim masa depan. Bagaimana persekitaran akan berubah dan bagaimana kita perlu bersedia menghadapi kepanasan global, pencemaran udara dan ancaman kepada kesihatan (misalnya pandemik H1N1).
Kesembilan, masa depan individu. Berdepan dengan ancaman teknologi, kerajaan dan ideologi dalam bergelutan untuk menegakkan hak manusia, kebebasan individu di abad ke-21.
Kesepuluh, masa depan China dan Amerika Syarikat. Masa depan dua kuasa besar ini daripada kapitalisme kepada demokrasi, daripada inovasi kepada keselamatan bakal membentuk dunia masa depan. Terima atau tidak, inilah hakikat.
Untuk mewujudkan ekonomi berinovasi, empat kuasa penggeraknya ialah nanoteknologi, bioteknologi, teknologi maklumat dan rangkaian dan neuroteknologi. Nanoteknologi ialah manipulasi benda dikadar skala atomik menghasilkan ubat-ubat baru, tenaga, barang-barang dan mesin.
Bioteknologi pula membabitkan usaha merungkai asid deoksiribonukleik (DNA), sains kehidupan dan impak genomik ke atas penjagaan kesihatan, penyambungan kehidupan dan perubatan.
Teknologi maklumat dan rangkaian. Impak pengiraan, cip mikro dan internet kepada kerjaya, komunikasi, pekerjaan, kreativiti dan hiburan.
Neuroteknologi ialah penggunaan peralatan, ubat-ubatan dan bahan-bahan untuk memulih, mengurus dan meningkatkan prestasi dan fungsi mental.
Di manakah kedudukan kita dalam bidang-bidang ini? Kebanyakan syarikat kita segan untuk melaburkan wang dalam penyelidikan dan pembangunan iaitu kunci kepada teknologi masa depan.
Untuk mencapai hasrat anjakan ini tentu sekali kita bergantung kepada tenaga pekerja kita. Apakah corak persediaan disekolah-sekolah dan di institusi pengajian tinggi buat pelajar-pelajar dan tenaga pekerja untuk dunia masa depan? Apakah sistem pendidikan kita mampu menampung kehendak ekonomi masa depan ini?
Apakah perubahan-perubahan kepada kurikulum sekolah rendah, menengah dan universiti yang selaras dengan kehendak pasaran dan dunia masa depan? Bagaimana pula tentang mereka yang menjadi guru, pensyarah dan profesor-profesor yang bakal mendidik tenaga pekerja, baik di peringkat vokasional sekali pun? Latihan jenis apa yang perlu diberikan kepada mereka yang mendidik dan melatih?
Kita mengakui aset utama sesebuah negara ialah penduduknya. Itulah sebabnya negara yang tidak mempunyai sumber alam seperti Jepun dan negara-negara Eropah mampu berdaya saing di tahap tertinggi kerana sumber manusianya. Pendidikanlah menjadi kunci kepada kejayaan mereka.
Untuk membentuk suatu model ekonomi baru mungkin tidak sesukar pelaksanaannya.
DATO' SALLEH MAJID ialah bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia)

 

ARKIB : 06/06/2009

Fahami dahulu selok-belok pasaran saham

SEKITAR tahun 1980-an dan 1990-an terdapat banyak syarikat broker saham, mungkin lebih 65 buah.
Pada awalnya syarikat-syarikat broker saham itu perlu hanya modal berbayar sebanyak RM2 juta berbanding sekarang sebanyak RM150 juta dan syarikat bank pelaburan RM250 juta.
Banyak syarikat broker yang wujud pada masa itu sudah bertukar tangan atau bergabung. Sebab utama mereka terpaksa menjual syarikat ialah kerana tidak mampu menaikkan modal berbayar.
Ini kerana pihak berkuasa menaikkan paras minimum modal itu kepada RM25 juta sebelum meningkatkannya kepada RM50 juta dan seterusnya RM150 juta.
Kebanyakan syarikat yang menjual lesen mereka ini ialah syarikat Bumiputera seperti SJ Securities, Mohaiyani Securities, Alor Star Securities, Perbadanan Kemajuan Negeri Johor, Perlis, Terengganu (ada yang tak sampai setahun pun).
Fasa pembangunan seterusnya membabitkan penggabungan beberapa syarikat yang menjadikan jumlah dalam industri bertambah kecil.
Diikuti pula oleh langkah membenarkan pembukaan cawangan bagi mereka yang sampai ke tahap bank pelaburan.
Ertinya syarikat broker saham itu dibenarkan menjalankan urusan yang lazimnya dilakukan oleh bank pelaburan seperti tawaran awal, penyusunan semula dan sebagainya selain daripada urusan harian syarikat broker saham.
Salah satu perkembangan penting juga ialah berurusan online yang mana syarikat broker mengenakan bayaran lebih rendah daripada melalui wakil peniaga atau remisier.
Bagaimanapun kita belum lagi mengamalkan sepenuhnya urusan melalui Internet seperti di Korea Selatan yang mana 60 peratus daripada urus niaga saham dilakukan melalui Internet.
Sebenarnya syarikat broker saham tidak memerlukan modal yang besar kerana urusannya ialah untuk menjual beli saham bagi pihak pelabur.
Masalah timbul apabila syarikat broker saham memberikan tambahan atau “margin” yang mana sesiapa yang meletakkan RM1 diberikan margin RM1.50.
Bayangkan kalau seseorang pelabur itu meletakkan cagaran RM1 juta, dia akan diberikan tambahan RM1.5 juta.
Kedua, syarikat broker saham tidak sepatutnya mengambil kedudukan atau terbabit dengan jual beli untuk syarikat sendiri. Pandangan umum para broker saham ialah kalau tidak diberikan margin, pasaran akan menjadi lembap kerana yang membuat sesuatu pasaran itu rancak ialah spekulasi.
Di Britain syarikat broker saham yang terkecil sekali bermodal hanya 600,000 pound sterling atau RM3.6 juta.
Bagi saya, orang yang tidak tahu menahu tentang urus niaga saham tidak patut terbabit dalam pasaran saham. Mereka yang hendak masuk pasaran mestilah mempunyai sejumlah wang sama banyak dengan nilai saham yang hendak dibeli.
Ada yang mengatakan kalau semua orang beli kemudian simpan sampai setahun baru hendak jual, pasaran saham akan terus mati. Tidak semestinya. Akan wujud keadaan yang mana apa yang dicerminkan oleh pergerakan pasaran lebih rapat dengan keadaan ekonomi negara.
Pembabitan dalam pasaran saham sepatutnya mudah dan murah. Tidak payah hendak menggunakan wakil peniaga atau orang tengah.
Syarikat broker tak perlu hendak kongsi komisen dengan wakil peniaga. Sesiapa yang tidak tahu tentang selok belok pasaran saham tidak digalakkan memasuki pasaran. Beli sahaja amanah saham yang lebih selamat dan pelbagai jenis.
Kalau kita perhatikan tabiat pelabur, kita tidak boleh lari daripada hakikat bahawa lebih banyak unsur spekulasi daripada pelaburan jangka panjang atau pembelian untuk pelaburan.
Kebanyakan yang asalnya untuk tujuan pelaburan bila tengok harga naik sikit bertukar menjadi spekulator.
Syarikat-syarikat juga pandai menggunakan pelbagai cara untuk memberikan “nyawa” kepada syarikat mereka. Pernah pada 1994, sebanyak 110 memorandum persefahaman ditandatangani dengan syarikat dari China. Tetapi satu pun tidak menjadi.
Bagaimanapun, berita memorandum itu ditandatangani membuatkan pelabur mengejar harga saham ke peringkat yang tidak sepatutnya.
Kita lihat baru-baru ini syarikat penarafan yang terkenal di dunia memberikan penarafan yang tinggi untuk sekuriti sub-prima yang dipakejkan. Penarafan yang tinggi ini membuatkan pelabur yakin yang pakej itu benar-benar baik. Lihat apa yang jadi. Runtuh dari timur ke barat.
Bursa saham mempunyai peranan untuk pembangunan negara supaya syarikat swasta dapat menggembleng sumber modal yang tidak kena faedah berbanding bank.
Ganjilnya penyenaraian syarikat digunakan untuk meminjam lebih banyak daripada bank sehinggakan pada krisis tahun 1997/
1998 banyak pinjaman tidak berbayar dan Danaharta terpaksa membelinya.
Sikap syarikat begini untuk pasaran modal kita bukannya membantu tetapi merosakkan.
Memang tidak salah kalau ada pihak-pihak yang menyarankan bahawa sebahagian besar daripada ciri pasaran saham kita ialah ia terpengaruh dengan khabar-khabar angin.
Lagi rancak khabar angin lagi rancak pasaran. Kalau sebuah syarikat yang besar seperti Maybank mengumumkan keuntungan yang besar seperti RM1 bilion, saham syarikat tersebut tidak akan naik kerana pelabur mengatakan bagi syarikat yang besar seperti Maybank memang patut mendapat keuntungan sebesar itu.
Sebaliknya kalau ada khabar angin mengatakan si anu ini akan dapat kontrak besar belum disahkan oleh syarikat harga sahamnya sudah melambung.
Bagi para pelabur yang serius sewajarnyalah mereka mempastikan sebarang berita yang didengar disahkan melalui saluran-
saluran rasmi.
Syarikat kita secara amnya tidak banyak berbelanja untuk penyelidikan dan pembangunan. Selagi sektor swasta kita tidak mahu menerima hakikat betapa pentingnya berbelanja untuk penyelidikan dan pembangunan selagi itulah kita tidak akan mampu meningkatkan tahap daya saing.
DATO’ SALLEH MAJID ialah bekas Presiden
Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia)

 

ARKIB : 30/05/2009

Terkenang yang tulus, yang kudus

ANTARA detik-detik sejarah yang tidak dapat saya lupakan ialah keruntuhan saham syarikat Pan Electric yang diperdagangkan di kedua-dua bursa saham Kuala Lumpur dan Singapura pada 1985.
Keruntuhan yang membawa bersamanya beberapa anak syarikat lain ialah milik bekas Presiden MCA ketika itu, Tan Koon Swan. Sebab utama kejatuhan itu ialah suatu skim yang dipanggil "kontrak hadapan" iaitu penjualan saham pada jangka masa di hadapan pada harga yang ditetapkan hari ini dan apabila harga itu tidak tercapai, saham syarikat itu jatuh seperti domino.
Jawatankuasa Bursa Saham memanggil Koon Swan. Saya tidak boleh lupa rayuannya kepada Ahli-Ahli Jawatankuasa tersebut. Kejatuhan itulah titik permulaan kejatuhan politiknya juga.
Ketika itu, kedua-dua bursa saham tidak ada sistem amaran awal yang boleh mengesan sebarang salah laku di pasaran.
Selepas itu bukan sahaja kedua-dua bursa menubuhkan Jabatan Amaran Awal malah Akta Perindustrian Sekuriti dimuatkan dengan peruntukan tambahan 87A yang mengharamkan kontrak hadapan.
Suatu lagi sejarah yang sukar dilupakan ialah apabila kesemua Ahli Jawatankuasa Bursa Saham yang dipengerusikan oleh Datuk Nik Din Datuk Nik Yusof sekitar 1995, dipecat oleh Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin.
Nik Din berehat di rumahnya di Perth, Australia ketika itu. Semua AJK tersebut tidak tahu kenapa mereka dipecat dan masing-masing segan hendak bertanya sebabnya kepada menteri berkenaan.
Saya berkali-kali menyuruh AJK tersebut bertanyakan Daim sebab mereka dipecat.
Majalah Far Eastern Economic Review yang gemar menerbitkan rencana menghentam Malaysia, menulis tentang pembuangan tersebut dengan kata-kata sindiran pedas.
Saya memberanikan diri untuk bertemu menteri dan mengajak kesemua AJK kecuali Pengerusi kerana bercuti, ikut sama. Menteri bersetuju berjumpa kami.
Saya memulakan pertanyaan dengan menyatakan kedatangan kami bukanlah untuk mempersoalkan keputusannya tetapi ingin tahu kenapa diberhentikan. Menteri mengatakan yang cadangan beliau untuk menyusun semula struktur keahlian AJK tersebut tidak dipedulikan.
Saya membalas dengan mengatakan yang cadangan bursa sudah dihantar kepada Setiausaha Jawatankuasa Terbitan Modal beberapa bulan sebelum itu.
Ketika itu, Tan Sri Sheriff Kasim ialah wakil Kementerian Kewangan di dalam Jawatankuasa Bursa Saham dan beliau menyokong kata-kata saya. Apa lagi, Setiausaha Jawatankuasa Terbitan Modal yang hadir di pertemuan tersebut terus pucat lesi.
Menteri berpuas hati yang perkara tersebut bukanlah salah AJK Bursa. Tidak lama selepas pertemuan itu menteri pun melantik semula kesemua AJK berkenaan.
Saya kurang pasti sama ada Pengerusi sedar siapa yang mengembalikan maruah AJK tersebut kerana beliau tidak berkata apa-apa kepada saya tentang perkara itu.
Saya juga pernah dituduh mempersoalkan kuasa Pengerusi dan digantung tugas selama seminggu untuk disiasat oleh HRM, sebuah syarikat perunding, sama ada saya melanggar sebarang peruntukkan huraian tugas saya.
Siasatan mendapati tidak ada unsur-unsur pencabulan atau pelanggaran, sesuatu yang dilakukan semata-mata hendak memburukkan nama saya.
Saya juga pernah menerima satu surat yang kandungannya akan mengejutkan sesiapa sahaja dengan tuduhan yang tidak berasas dan kata-kata yang tidak wajar diluahkan. Surat itu saya simpan sehingga kini sebagai kenang-kenangan. Surat itu saya anggap sebagai "politik korporat".
Walaupun jelas ada masa-masanya hubungan saya dengan Pengerusi agak tegang, ia tidak menjejaskan perkembangan Bursa Saham. Saya lihat kembali segala-galanya dan saya mencapai keputusan yang pendekatannya dengan saya ada perbezaan walaupun hala tujunya ada persamaan.
Sejak mula Bursa Saham dibentuk sebagai syarikat tanpa modal menurut jaminan dan badan utamanya ialah jawatankuasa dan bukan lembaga pengarah. AJKnya terdiri daripada broker saham yang dipilih semasa mesyuarat agungnya. Ia bergerak seperti sebuah kelab eksklusif sehingga Kementerian Kewangan memasukkan wakil-wakilnya.
Di awal penstrukturan jawatankuasa itu, Tan Sri Ramon Navaratnam yang merupakan Timbalan Ketua Setiausaha, Kementerian Kewangan menjadi wakil kementerian.
Saya juga ingat Tunku Naquiddin Tuanku Ja'afar dan Datuk Munir Majid (sekarang Tan Sri) pernah menjadi wakil-wakil bebas dilantik oleh menteri. Munir kemudian dilantik menjadi Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti. Tan Sri Sherif Kassim juga pernah menjadi wakil kementerian.
Satu perkara yang saya amat terkilan ialah apabila cadangan - sekitar 1994 - untuk melakukan usaha sama dengan Bloomberg, sebuah syarikat penyebar maklumat kewangan antarabangsa, ditolak oleh Jawatankuasa Bursa Saham.
Bloomberg ketika itu baru sahaja mula bertapak dan ingin melebarkan sayap mereka.
Saya memikirkan satu-satunya usaha sama dalam bentuk penyebaran maklumat kita kepada pelanggan mereka yang terdiri daripada pengurus dana, penganalisis dan pengamal industri sekuriti dunia akan memberikan pendedahan yang meluas kepada pasaran kita. Mereka tentu sekali akan "menjual" pasaran kita kepada beratus-ratus ribu pelanggan mereka di seluruh dunia dan semakin bertambah.
Pemiliknya, Michael Bloomberg yang kini Datuk Bandar New York sendiri datang berjumpa saya untuk menyokong penubuhan usaha sama tersebut. Beliau begitu teruja dengan cadangan tersebut.
Malangnya pihak AJK menganggap usaha itu akan merompak perniagaan mereka. Bayangkanlah kalau hari ini kita ada usaha sama dengan Bloomberg, satu-satunya syarikat penyampai maklumat pasaran terkenal, mempunyai stesen televisyen sendiri. Pasaran saham kita tentu sekali akan lebih bertenaga.
DATO' SALLEH MAJID ialah bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia).

 

 ARKIB : 23/05/2009

Aura Dr. Mahathir jual nama Malaysia

SISTEM depositori pusat yang diperkenalkan menyelesaikan banyak masalah berkaitan dengan sijil. Sebelum diwujudkan, pelbagai masalah dihadapi oleh bursa, syarikat pendaftar dan pelabur.
Terdapat masalah sijil palsu, sijil berlebihan daripada jumlah saham syarikat dan pertukaran hak milik tidak berlaku serta merta kerana sebarang pertukaran dilakukan oleh syarikat pendaftar berkenaan.
Kemasukan sijil-sijil saham syarikat dilakukan dengan berperingkat-peringkat. Seperti lain-lain perubahan yang baru diperkenalkan, ada saja yang membantah.
Ada yang mengatakan mereka ingin tidur dengan sijil saham mereka dan menyimpannya ke dalam sistem depositori itu akan membuatkan mereka risau! Satu perkara yang saya pelajari dalam melakukan perubahan ialah ada sahaja yang menentang.
Semasa kerani bilik dagangan hendak digantikan dengan komputer, mereka menentang bermati-matian. Saya terpaksa berjumpa mereka di luar seorang diri.
Bayangkan berdepan dengan orang yang sedang marah kerana periuk nasi mereka terancam. Selaku penyelesaian, mereka diberi pilihan. Ujian lisan tentang pasaran saham dilakukan dan sekiranya lulus, mereka diterima menjadi wakil peniaga atau remisier.
Wakil peniaga bergaji bulanan, remisier mendapat komisen. Mereka bersetuju dengan cadangan itu. Selamatlah saya daripada dibelasah oleh 45 kerani bilik dagangan itu!
Pendidikan kepada pelabur menjadi fokus utama bursa dahulu. Kami memberi ceramah di merata-rata tempat pada setiap hujung minggu.
Kami mempelawa pengamal industri seperti broker saham, penganalisis dan peserta industri untuk turut serta dalam seminar atau ceramah.
Saya terlalu sibuk waktu itu dan kini menyesal kerana tidak meluangkan banyak masa untuk anak-anak yang masih kecil.
Apabila mereka besar, saya dapati ada jurang komunikasi antara kami walaupun mereka tidak pernah biadab dan sangat menghormati saya.
Satu daripada langkah yang menaikkan nama bursa saham kita ialah dengan mempromosikannya di luar negara terutama di pusat-pusat kewangan utama seperti New York, Boston, London, Zurich, Chicago dan Tokyo.
Lazimnya kami aturkan promosi itu dan menyesuaikannya dengan lawatan Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri ke luar negara.
Semua kandungan persembahan multimedia saya sediakan dan menjawab semua soalan yang dikemukakan.
Saya dapati sasaran di London dan Edinburgh, Scotland tahu tentang pasaran kita seperti "mengenali tapak tangan mereka sendiri".
Soalan mereka menunjukkan mereka tahu betul dengan pasaran kita. Kadangkala mereka begitu sinis dan kuat memerli tentang gelagat sesetengah ahli korporat kita.
Bagaimanapun, New York pada masa itu belum begitu biasa dengan pasaran kita. Soalan mereka berlegar tentang persoalan asas seperti ada atau tidak suatu sistem akaun di tempat kita. Macamlah kita datang dari zaman purba!
Satu perkara yang saya perhatikan ialah ketika Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir menjawab soalan. Begitu bersahaja walaupun untuk soalan-soalan yang susah.
Selalunya mereka yang mendengar ceramah Dr. Mahathir ialah pengerusi-pengerusi bank pelaburan dan syarikat dana-dana terbesar seperti Merril Lynch, Morgan Stanley dan lain-lain.
Biasanya jawapan Dr. Mahathir memuaskan hati semua pihak dan beliau memang betul-betul faham mengenai apa yang diperkatakannya.
Aura Dr. Mahathir berterusan. Saya pernah hadir pada satu majlis di Jeddah di mana beliau memberi ucapan selepas bersara. Sesi soal jawab begitu panjang kerana terlalu ramai yang bertanya dan beliau menjawabnya dengan baik.
Dan selepas sesi itu, beliau dikerumuni oleh peserta lelaki dan perempuan yang sebelum itu dipisahkan tempat duduk di dalam dewan.
Melalui ceramah di luar negara, dapatlah kita memperkenalkan bursa saham kepada lebih ramai pelabur asing sehinggakan pada 1994, Bank Negara terpaksa mengehadkan kemasukan wang ke dalam negara kerana terlampau banyak.
Ia menimbulkan persoalan di kalangan pelabur kerana peluang mereka terhad.
Pada tahun itulah jumlah syarikat baru tersenarai berjumlah 92 buah, 42 untuk papan utama dan 50 untuk papan kedua, suatu jumlah yang mungkin tidak akan kita lihat pada masa ini.
Kita juga pernah mencatat jumlah dagangan tertinggi dalam sejarah iaitu 2 bilion unit dalam tahun itu, suatu angka melebihi jumlah dagangan di Bursa Saham New York pada masa itu.
Ceramah-ceramah tempatan yang kerap telah membantu masyarakat terutamanya Bumiputera mengenali bursa saham.
Perkataan bursa yang penah "asing" kepada kaum Bumiputera menjadi biasa selepas itu. Walaupun bilangan Bumiputera yang melabur mungkin kecil tetapi bolehlah dikatakan mereka mengetahui sedikit sebanyak tentang jualan singkat, dagangan dalaman, dividen, nisbah harga pendapatan dan sebagainya.
Pendidikan pelabur sepatutnya berterusan. Malangnya pihak bursa saham sekarang lebih gemar memulangkan wang rizab yang dikatakan terlalu banyak kepada pemegang saham daripada menggunakannya untuk tujuan pendidikan.
Sebenarnya wang terkumpul itu adalah bayaran yuran penjelasan yang dibayar oleh setiap pelabur dan tidak ada kena mengena dengan pemegang saham yang wujud semasa bursa saham disenaraikan di bursa saham.
Masyarakat pelaburlah yang berhak menerima faedah daripada rizab yang berlebihan tersebut dan bukannya bukan pemegang saham.
Kini sebuah rancangan untuk meningkatkan lagi kefahaman tentang pasaran saham di kalangan orang Melayu terpaksa diketepikan kerana "tidak ada wang."
Itulah sebabnya dulu saya tidak bersetuju Bursa Saham Kuala Lumpur disenaraikan di bursa saham.
Semasa meninggalkan bursa, ada RM1.2 bilion di dalam rizabnya.
Sebahagian besar daripada wang tersebut diagih-agihkan kepada pemegang saham. Mereka mendapat durian runtuh!
DATO' SALLEH MAJID ialah Felo Utama
Fakulti Ekonomi, Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau juga bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia)
ARKIB : 16/05/2009

Bursa saham dulu dan sekarang

DALAM keadaan pasaran saham tidak menentu ekoran daripada krisis ekonomi global, saya terkenang kisah semasa bersama Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia) dari 1984 sehingga 2003.
Memang banyak pengalaman pahit, manis dan maung yang saya lalui. Saya berpeluang berkhidmat di bawah tiga pengerusi dalam jangka 19 tahun itu.
Bermacam-macam kerenah mereka ini yang dapat saya perhatikan. Yang suka datang lambat bila mesyuarat, yang suka susun semula organisasi berkali-kali dan yang cekap buat kerja dalam semua bidang. Cekap dan pantas betul.
Saya masih teringat pada awal perkhidmatan saya, semuanya berjalan secara manual. Dalam ruangan bilik seluas 2,500 kaki persegi pada tahun 1984 itu, berlari-larilah 50 orang kerani bilik dagangan mengambil pesanan dari syarikat broker.
Mereka menggunakan signal tangan untuk menawar dan membeli saham yang kesemuanya tercatat atas papan hitam. Di atas lantai bilik tersebut penuh dengan wayar telefon bertali terus kepada kerani syarikat broker masing-masing.
Bayangkanlah keadaan pada masa itu seperti 'kandang kambing'.
Perlahan-lahan kita memulakan usaha memodenkan bursa tersebut. Mula-mula kita pindah ke tempat yang lebih luas dan kita menggunakan sistem dagangan separuh automatik.
Kita gaji kerani untuk memasukkan pesanan beli dan jual ke dalam komputer tetapi masih lagi menggunakan papan putih yang lebih luas.
Kerani bilik dagangan pada masa itu masih lagi digunakan. Ada yang telah berkhidmat selama 25 tahun dan ada yang tidak punya kelayakan. Kalau difikirkan kenapa mereka boleh bertahan begitu lama sedangkan gaji mereka tidak seberapa? Rupa-rupanya ramai yang menyimpan 'buku hitam' yang mengandungi urus niaga mereka secara peribadi.
Apabila pasaran hangat pada satu-satu masa kita boleh terdengar jerit pekik laungan kerani-kerani ini. Mudah bagi kita hendak mengetahui nadi pasaran dalam masa-masa tertentu. Kalau senyap sahaja, maknanya pasaran lembap.
Apabila pihak bursa membuat keputusan untuk beralih kepada sistem dagangan sepenuh elektronik dan sepenuh automatik, kita membentuk sistem sendiri.
Orang yang bertanggungjawab tentang ini dan perkara-perkara berkaitan teknologi maklumat ialah Ungku Abdul Razak. Pada saya, dia seorang genius IT. Jarang ada masalah IT yang tidak dapat diselesaikannya.
Kita pun beralih kepada sistem sepenuh elektronik dan automatik pada 1989. Dan bursa saham Taiwan begitu tertarik dengan sistem kita sehingga mereka menghantar orang untuk mengkajinya. Taiwan masa itu hanya menggunakan sistem separuh automatik.
Sejajar dengan peralihan kepada sistem dagangan sepenuh elektronik dan automatik, sistem penyampaian maklumat dagangan dan pasaran juga perlu ditingkatkan ke tahap elektronik. Ini dilakukan melalui 'terminal' komputer daripada bursa ke seluruh syarikat broker saham pada masa itu.
Tidak salah kalau dikatakan bahawa permodenan industri sekuriti pada masa itu berpunca daripada permodenan bursa saham sendiri.
Perubahan itu pada mulanya menerima bangkangan daripada broker saham. Mereka tidak mahu mengeluarkan perbelanjaan untuk memodenkan syarikat mereka.
Pada waktu itu - tahun 1984 - tidak ada satu laporan pun tentang pasaran saham, baik secara berasingan atau pun dalam warta berita dalam apa jua media. Pada awalnya laporan dibuat daripada bursa saham, lama-kelamaan diambil alih oleh wartawan media.
Program pertama tentang saham saya buat bersama orang kanan RTM, George Abraham yang dikenali dengan nama Business Trends. Stesen TV3 menyusul pula dengan Money Matters.
Program televisyen dalam bahasa Melayu ialah Dari BSKL, yang ditaja bersama oleh setiap syarikat broker saham dan bursa saham Kuala Lumpur. Rancangan ini bertahan selama tiga tahun.
Tujuan program itu diperkenalkan ialah untuk mendidik masyarakat untuk melabur terutama sekali yang tidak tahu menahu tentang pasaran saham.
Syarikat penyampai maklumat yang pertama mengambil harga saham di pasaran untuk disebarkan ke seluruh dunia ialah Reuters.
Dahulu syarikat kita ada yang tersenarai di bursa saham Singapura dan ada syarikat Singapura yang tersenarai di bursa kita. Keadaan ini berlaku sejak tertubuhnya bursa saham.
Malangnya penyenaraian itu mendatangkan keuntungan lebih kepada Singapura berbanding Malaysia.
Pelabur asing lebih gemar pergi ke Singapura untuk membeli saham syarikat Malaysia daripada berdagang dengan bursa saham kita.
Menyedari hakikat bahawa sekiranya kita ingin membangunkan pasaran modal kita, kita perlu memberikan tumpuan kepada syarikat kita disenaraikan di bursa saham kita. Oleh itu, pada 1990 penyenaraian di bursa saham Singapura diberhentikan.
Singapura tidak duduk diam kerana banyak urus niaga mereka terdiri daripada saham syarikat kita. Mereka memperkenalkan pasaran tidak rasmi dikenali sebagai CLOB. Katanya tiada kena mengena dengan bursa sahamnya tetapi semua orang tahu sebaliknya.
Mereka menggunakan bank-bank Singapura yang beroperasi di Malaysia untuk menyimpan rekod urus niaga saham syarikat Malaysia melalui CLOB.
Saya memohon kepada kerajaan untuk mengambil langkah supaya CLOB dimatikan tetapi pada masa itu tidak nampak bahayanya sehinggalah krisis pada 1997.
Banyak saham kita diurusniagakan secara 'jualan singkat' (short selling). Ertinya mereka menjual saham yang mereka tidak miliki dan membeli balik bila harga saham tersebut jatuh. Dengan cara itu mereka membuat 'keuntungan atas angin.'
Melihat keadaan ini barulah kerajaan mengarahkan mencari jalan untuk menutup CLOB. Malangnya selepas 1997 kita hilang kedudukan kita sebagai nombor satu dalam ASEAN.
(Bersambung minggu hadapan)
DATO' SALLEH MAJID ialah Felo Utama
Fakulti Ekonomi, Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau juga bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia)


ARKIB : 09/05/2009

Daya saing, gaji tinggi, inovatif dan kreatif

SAYA tertarik dengan hasrat untuk meningkatkan tahap gaji pekerja kita kepada tahap yang lebih tinggi. Maknanya gaji pekerja kita lebih tinggi daripada sekarang. Ini sesuatu yag sudah lama patut dilakukan.
Dulu, dalam tahun 1970-an, kedudukan dengan negara-negara seperti Taiwan, Korea Selatan, Singapura lebih kurang sama saja. Kini, selepas 30 tahun, kita sudah jauh ditinggalkan mereka.
Gaji pekerja di negara-negara tersebut jauh lebih tinggi daripada kita. Di negara kita daripada 1991 sehingga 2003, dikatakan purata gaji naik hanya 1 peratus sedangkan negara-negara tersebut pada satu masa sama dengan kita naik 10 peratus.
Kalau tengok Singapura, menteri mereka gaji paling lumayan. Perdana Menteri mereka gaji berpuluh ganda gaji Presiden Amerika Syarikat. Sebab apa? Sebab orang putih kata, "kita bagi kacang, kita dapat monyet."
Yang naik berpuluh kali ganda di negara kita bukan gaji pekerja tapi harga rumah, harga hartanah naik gila-gila. Sebab apa? Bukan orang yang beli rumah nak duduk di rumah itu tetapi nak jadi bahan spekulasi.
Masyarakat yang suka spekulasi ini, tahu-tahulah... Pasaran saham pun orang Melayu mana tahu nak lakukan spekulasi? Naiklah melambung macam Repco dulu sampai RM150 sesaham. Bila tengok tiada isi, tapi orang kejar juga macam nak gila.
Bila kita tegur jangan beli, dia balas balik menyembur kita mengatakan apa kita peduli, bukan duit kita. Inilah yang menyebabkan segala-galanya jadi bahan spekulasi.
Tengoklah ayam pun jadi bahan spekulasi. Kerajaan suruh turunkan harga pasal kita tahu orang takut makan babi, dia tak mahu. Bukankah biadab? Kita mesti ajar sikit mereka ini.
Macam juga yang jual rumah harga gila-gila. Bila suruh buat rumah murah, semua tak mahu kononnya tak untung. Kementerian Perumahan kita entah buat apa pun tak tahu.
Berapa ramai orang yang beli rumah terpedaya. Rosak sana-sini, kopak-kapik dan yang ambil pinjaman rumah tak siap pun beribu.
Bila pemaju tak boleh jual rumah, mereka buat pameran. Yang bingung-bingung, tengok ada potongan sikit pun beli. Patut mereka ini dibiarkan saja.
Cuba bayangkan dalam tahun 1978 harga rumah teres dua tingkat di Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur, suatu kawasan perdana ialah RM60,080. Pada 1989, harganya RM200,000.
Sekarang, cuba teka harga rumah yang sama, dinding sama, kawasan kecil sikit lagi batu-bata sama. Kalau tak ada RM600,000, jangan cakap.
Gaji akauntan 1978 yang baru mula kerja RM2,000, sekarang gaji mula akauntan pun RM2,000 juga.
Itu sebabnya ramai yang kerja luar negara kerana lebih diiktiraf titik peluh mereka. Lepas itu, bila tiba krisis macam sekarang, ada syarikat ambil kesempatan. Kononnya krisis, jadi kena kurangnya kos, bagi VSS kepada kakitangan supaya boleh ambil anggota yang lebih murah lepas mereka berhenti.
Sikap begini memang menjadi lumrah syarikat swasta. Sampai bila pun orang kita tak ke mana.
Kemudian kita berhasrat nak tingkatkan daya saing negara. Satu hajat yang murni.
Sekarang bandingkan negara kita dengan 134 negara lain, kita duduk nombor 21. Dua tahun lepas kita nombor 19.
Empat tahun dulu kita nombor 16. Maknanya, kita dah jatuh. Laporan Daya Saing Dunia dari Switzerland (World Competitiveness Report) menyatakan orang yang buat bisnes dengan kita beri beberapa faktor yang menjadi penghalang utama.
Bukan saya yang kata, tapi boleh laporan ini sendiri. Nombor satu penghalang: Perkhidmatan awam yang kurang cekap. Kedua, rasuah. Ketiga, jenayah dan kecurian (dua orang mengandung mati kena ragut, mat rempit menjadi-jadi, tengah tukar tayar, kena tembak di siang hari).
Keempat, ketidakstabilan dasar (hari ini naik tol, esok tak jadi). Kelima, tenaga kerja yang kurang terlatih, bukan tak terlatih tapi kurang terlatih. Mana tidaknya, ramai orang Bangladesh, Indonesia, Myanmar dan sebut saja rakyat mana - kita ada. Malahan ada kawasan yang dia kontrol.
Jadi kita tengok jiran kita nombor lima. Rakyat dia satu per sepuluh daripada penduduk kita. Ini menunjukkan yang membuatkan sesebuah negara itu berdaya saing ialah bakat rakyatnya.
Jepun, Switzerland, semua tak ada hasil bumi tetapi duduk di atas tangga berdaya saing. Kita macam-macam hasil bumi ada tetapi bukannya makin naik, tetapi makin menurun.
Saya setuju produktiviti perlu ditingkatkan. Macam saya tulis dulu, kalau setiap orang pekerja tambah kerja 10 minit sehari, kalau tiga juta pekerja dah ada 20 juta minit bertambah.
Ini tidak - terlekat dengan kesesakan lalu lintas saja berjam-jam. Nak naik pengangkutan awam, tak cukup koc. Bau busuk dan hapak, tak ada hawa dingin, tak cukup line, nak kena hantar pergi stesen. Kalau tinggalkan kereta, hilang radio.
Di mana datangnya inovatif dan kreatif pekerja kalau tidak diberikan latihan? latihan untuk jadi inovatif dan kreatif tak sama macam pergi kelas biasa.
Inovatif dan kreatif guna otak sebelah kanan, logik, matematik dan hujah guna otak sebelah kiri. Jadi macam mana nak digerakkan otak sebelah kanan.
Memadaikah kalau dengan menyuruh jadi inovatif dan kreatif. Kalau dia segan nak baca buku, (rakyat Malaysia baca purata dua halaman setahun), yang ada pengetahuan mana nak dapat ilmu?
Pelatih yang bakal melatih inovasi dan kreativiti sendiri mesti dilatih dahulu. Macam tongkat ali dah bertahun-tahun di hutan kita, orang luar datang buat macam-macam dengannya. Kita yang tidak kreatif.
Amang bijih pun boleh jadi bahan perkilangan tapi bank kita akan tolak sebarang permohonan berkaitan perkara-perkara sebegitu. Jadi, satu golongan saja nak jadi kreatif dan inovatif, tak jadi juga.
Bila orang bank kita tak biasa dengan sesuatu yang pelik sikit, bukan dia nak cari pakar dalam bidang pelik tersebut, dia akan senang sahaja tolak permohonan.
Dunia sekarang, dunia pengetahuan. Ekonomi sekarang, ekonomi pengetahuan K-ekonomi. Kita sudah siapkah nak pindah kepada K-ekonomi? Inovatif dan kreatif bukan lagi K-ekonomi tetapi era konsep atau dunia konsep. Di mana kita dengan nanoteknologi misalnya?
DATO' SALLEH MAJID ialah Felo Utama
Fakulti Ekonomi, Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau juga bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia)

ARKIB : 02/05/2009

Antara liberalisasi dan selesema babi

Terdapat beberapa isu penting yang berlaku minggu lalu. Malapetaka besar yang melanda dunia ialah selesema babi yang bermula di Mexico City dan sudah merebak di tujuh buah negara di dunia. 159 orang dikatakan telah mati di Mexico City dan penutupan perniagaan di sana dikatakan telah menyebabkan kerugian sebanyak AS$57 juta sehari.
Perlawanan bola dikatakan berlangsung tanpa penonton. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) baru saja meningkatkan paras berjaga-jaga kepada 5 pada 29 April lalu, suatu tanda yang 'pandemik' pasti berlaku.
Penyakit yang boleh merebak melalui manusia juga dikatakan boleh merebak melalui burung. Pemeriksaan dan saringan yang dilakukan di lapangan-lapangan terbang di bandar-bandar di dunia tidak dapat mengenal pasti dengan sah pembawa penyakit ini.
Begitulah ketentuan Allah. Apabila balasan diturunkan kepada manusia atas sesuatu yang telah dilakukan oleh manusia seperti pembunuhan, pencabulan, kerosakan kepada alam yang berleluasa, balanya terkena kepada yang tidak berdosa juga.
Lihat saja krisis ekonomi yang melanda dunia sekarang. Sebuah negara yang begitu berkuasa terpaksa melutut kepada krisis dan angka baru yang diumumkan - pertumbuhan penggal pertama Amerika Syarikat mencapai paras negatif enam (-6) peratus.
Walaupun ada suara-suara yang menyatakan sudah ada tanda-tanda kestabilan ekonomi, ada juga suara-suara seperti Paul Krugman, pemenang Hadiah Nobel Ekonomi terkenal yang mengingatkan orang ramai jangan terlalu optimistik dengan nada-nada suara kononnya pemulihan sudah menunjukkan tandanya.
Ujian tekanan (stress test) yang dijalankan kepada bank-bank di Amerika menunjukkan banyak lagi yang memerlukan suntikan modal. Masalah aset toksik yang membelenggu banyak bank di sana dan di Eropah sebenarnya belum lagi selesai.
Perdebatan tentang nilai yang harus digunakan untuk membersih aset toksik ini masih berjalan. Mengapa mesti mereka yang tamak, tidak jujur dalam urusan dan melanggar apa saja peraturan dibela? Berbilion disuntik kepada mereka dan dalam suatu siasatan terbuka yang dilakukan oleh pemerintah baik di Amerika mahu pun di Britain, pemimpin-pemimpin ini tidak mengakui kesalahan mereka. Bank-bank ini patut dibiarkan pupus begitu saja.
Contoh kelakuan pihak atasan di syarikat insurans terbesar AIG yang terus memberikan bonus kepada kakitangan kanan mereka walaupun menerima bantuan modal daripada kerajaan. Gelagat mereka memaksa Kongres Amerika meluluskan undang-undang mengenakan cukai sehingga 90 peratus ke atas bonus yang diterima. Begitulah angkuhnya tabiat mereka ini sehingga Presiden Barack Obama sendiri terpaksa bersuara melahirkan kemarahannya.
Berbalik kepada soal selesema babi. Kita terkenal sebagai pengeksport babi terbesar di Asia Tenggara mungkin di Asia kerana negara lain tidak mahu tercemar dengan kekotoran yang dibawa oleh babi, hanya hendak memakannya saja.
Kebanyakan ladang babi di negara kita adalah ladang haram sehingga menimbulkan kemarahan di kalangan masyarakat Melayu seperti di Kampung Pelanduk dan Linggi dahulu.
Pendeknya mereka ini tidak punyai suatu sistem pembersihan sisa buangan seperti terdapat di negara-negara maju. Kerap kali terdapat sisa buangan ini dibiarkan masuk ke sungai dan airnya dijadikan sumber air minuman penduduk seperti di Sungai Selangor di mana terdapat berpuluh ladang babi haram yang telah beroperasi bertahun-tahun.
Kita juga difahamkan bahawa sebuah ladang babi bernilai RM100 juta akan dibuka di Selangor dan dengarnya pihak Pas pun sudah bersetuju dibina ladang besar tersebut walaupun berdekatan dengan kampung Melayu.
Bukannya bangsa lain sahaja yang tidak sensitif dengan pantang larang orang Melayu tetapi orang Melayu sendiri juga sudah tidak lagi sensitif dengan orang Melayu.
Begitulah kehendak politik mengatasi segala-galanya sedangkan politik wujud kerana rakyat. Kita tidak peduli kalau orang nak makan babi atau tidak, tetapi seseorang yang waras otaknya tahu akan kesan kepada kawasan sekeliling angkara ladang babi.
Bukan saja sungai kita tercemar malahan laut kita pun tercemar. Setiap minggu orang berkelah di tepi pantai yang lautnya tercemar. Kalau dulu babi membawa virus Japanese Encephalitis (JE), kini lebih teruk lagi, selesema babi. Ramailah yang akan mati dibuatnya.
Liberalisasi
Langkah-langkah liberalisasi kepada sektor perkhidmatan dan kewangan yang diumumkan oleh Perdana Menteri sememangnya wajar. Mengambil salah satu sektor kecil yang dibuka kepada pelabur asing ialah taman tema. Sememangnya wajar suatu taman tema diadakan terutama sekali di Iskandar, Johor kerana boleh menarik bukan saja pelancong dari Singapura yang tak tahu nak ke mana hujung minggu tetapi juga pelancong rantau ASEAN.
Kalau di Jepun dan Hong Kong sudah ada taman tema Disneyland, kita boleh menarik Universal Studios kerana ia suatu taman tema tertutup - jadi kalau hujan sekalipun ia boleh terus berfungsi. Setahu saya, mereka akan membawa teknologi dan kepakaran dan kita kenalah memberikan mereka tanah dan berkongsi modal kerja.
Lagi pun di rantau ini dan Asia belum ada lagi Universal Studios dan saya yakin ia mampu menarik ramai pelancong ke negara kita.
Pusat Konvensyen yang mampu menampung lebih ramai pengunjung juga diperlukan. Kita saksikan pusat konvensyen yang ada seperti Kuala Lumpur City Centre penuh tempahan sehingga bertahun-tahun. Konvensyen dan pameran sememangnya suatu cara yang mendatangkan faedah besar kepada industri pelancongan kita.
Kebanyakan syarikat MLM (jualan langsung) gemar mengadakan perjumpaan tahunan yang dihadiri oleh berpuluh ribu ahli daripada seluruh dunia.
Kita masih lagi jauh ketinggalan dari segi kemudahan konvensyen dan pameran jika dibandingkan dengan negara-negara jiran kita. Tiada siapa akan melabur di negara kita kalau kita tidak memberikan kelonggaran ekuiti sepenuhnya.
Begitu juga dengan sektor kewangan seperti dua lesen bank Islam mega untuk terus meletakkan kita di persada perbankan Islam sedunia. Banyak lagi yang perlu kita pelajari tentang perbankan Islam walaupun kita dianggap sebagai peneraju kepada bon Islam.
Penghuraian cabang-cabang perbankan dan ekonomi Islam wajar diberikan tumpuan sekarang kerana sistem perbankan konvensional sedang menghadapi krisis terbesar dalam sejarah dan banyak bank terkenal dan terbesar yang mengalami masalah kewangan.
Saya masih lagi tertanya-tanya apakah sistem perbankan Islam yang diperkenalkan oleh bank-bank bukan Islam adalah tuntutan sebenar syariat Islam atau semata-mata mengambil kesempatan daripada satu-satunya alternatif perbankan yang belum diterokai sepenuhnya, sama seperti makanan yang dikatakan halal yang disediakan oleh orang bukan Islam.
Dengan itu liberalisasi sektor kewangan dengan memberikan lesen kepada bank asing untuk beroperasi di sini perlu dilakukan dengan berhati-hati kerana kita tentu sekali tidak mahu mereka membawa masalah mereka kepada kita.
Bank terbesar seperti Union Bank of Switzerland sendiri pun mempunyai masalah kecairan, inikan pula yang lain-lain.
Salah satu perkara yang menarik berkaitan dengan Pusat Kewangan Luar Pesisir Labuan ialah kebenaran untuk mengadakan pejabat operasi dan pengurusan bagi bank yang pada masa ini beroperasi di Labuan.
Ini tentu sekali akan meningkatkan lagi kecekapan operasi mereka yang selama ini berada di Labuan dan kerap terpaksa berulang alik ke Kuala Lumpur untuk pengurusan mereka.
Membenarkan mulai 2010 kehadiran operasi bank-bank luar pesisir yang diberi lesen oleh Lembaga Perkhidmatan Kewangan Pesisir Pantai Labuan (LOFSA), pihak berkuasa Labuan, di Kuala Lumpur juga suatu langkah yang dialu-alukan.
Ini akan meningkatkan lagi tahap Kuala Lumpur sebagai pusat kewangan di rantau ini, sesuatu yang patut dilakukan beberapa tahun dahulu.
Mempelawa pakar-pakar untuk turut serta dalam industri kewangan pada masa ini juga sesuatu yang kena pada tempatnya kerana ramai di kalangan profesional dari luar yang berpengalaman luas telah diberhentikan ekoran krisis kewangan yang melanda dunia.
Mungkin selama ini kita agak tidak nampak faedah daripada kehadiran pakar dari luar ini tetapi kalau kita ingin meningkatkan tahap persaingan kita di dunia dan meningkatkan tahap di rantaian nilai yang kita lakukan, kita kena belajar daripada pengalaman dan kepakaran orang lain.
Di Singapura berpuluh universiti terkenal di dunia mempunyai operasi di sana dan ini membuatkan mereka dapat menimba ilmu daripada pelbagai golongan mahir.
Paling terbaru dalam siri liberalisasi ini ialah membuka sektor awam terutama jawatan-jawatan penting kepada bakat terbaik yang ada di negara dan tidak semata-mata terkongkong dengan pegawai Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PTD).
PTD adalah sesuatu yang kita warisi daripada British dan bergerak seolah-olah suatu kelab eksklusif. Keutamaan jawatan diberi atas senioriti, lamanya jangka masa khidmat seseorang dan diandaikan ia berserta merit sekali.
Tindakan yang dikenakan ke atas sesuatu pelanggaran disiplin selalunya pertukaran ke lain jabatan. Oleh itu, memang wajar sistem Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dikenakan kepada menteri dan syarikat berkaitan kerajaan, dipanjangkan kepada pegawai-pegawai dan kakitangan kerajaan.
Pendedahan pegawai kerajaan dengan diberi latihan amali di sektor swasta juga suatu langkah yang dapat meningkatkan prestasi sektor awam. Kebanyakan di peringkat pengurusan tidak mengerti bagaimana membuang benteng jawatan mereka (remove the barrier of their position) dan berinteraksi dengan kakitangan bawahan.
Begitu juga dengan mereka yang memimpin syarikat berkaitan kerajaan yang mungkin terdiri daripada sesuatu golongan pilihan orang tertentu saja berdasarkan hubungan dan kenalan dan bukan pengalaman dan kemahiran.
Ada di kalangan mereka ini yang pandai menukar "kulit" untuk menyesuaikan diri dengan perubahan kepimpinan sedangkan prestasi mereka hanyalah boleh tahan saja. Tidak ada sebab kalau kita ingin meningkatkan daya saing kita, kenapa syarikat berkaitan kerajaan tidak memperolehi bakat yang terbaik.
DATO' SALLEH MAJID ialah Felo Utama
Fakulti Ekonomi, Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau juga bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia).

ARKIB : 25/04/2009

Amanah Saham - Suatu Kemenangan

PELANCARAN Minggu Amanah Saham di Johor Bahru minggu lalu mengingatkan saya kepada zaman ketika berkhidmat di Amanah Saham Nasional pada 1978. Ketika itu ia baru ditubuhkan dan saya diterima di sana sebagai Pengurus Pemasaran ASNB.
Ketika itu, bagaimana bentuk skim saham amanah yang akan ditawarkan kepada masyarakat bumiputera belum lagi ditentukan. Kami disuruh oleh pihak atasan menjelajah ke seluruh negara untuk berceramah mengenai kebaikan melabur dalam saham amanah.
Saya telah mengambil seramai 50 pegawai pemasaran untuk bertugas di seluruh negara. Salah seorang tokoh yang selalu membantu berceramah bersama kami pada masa itu ialah Menteri Besar Johor sekarang, Datuk Seri Abdul Ghani Othman. Ketika itu, beliau ialah Dekan Fakulti Ekonomi di Universiti Malaya. Turut bersama kami ialah Profesor Manaf, juga dari Universiti Malaya.
Bayangkan bagaimana kami menerangkan tentang kebaikan saham amanah secara umum sahaja kerana pakej skim tersebut belum ditentukan lagi.
Untuk membentuk rancangan pemasaran ASNB, saya telah mengendalikan suatu kajian tentang tabiat simpanan di kalangan masyarakat bumiputera di seluruh negara. Kajian itu melibatkan jumlah sampel sebanyak 9,000 isi rumah.
Saya dengan pegawai-pegawai pemasaran ketika itu bertungkus-lumus masuk ke kampung-kampung untuk menemuduga orang Melayu bagi mendapatkan gambaran tentang tabiat menyimpan mereka.
Seorang daripada pegawai pemasaran ketika itu - kemudian dilantik sebagai pengurus pemasaran - ialah Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (sekarang Menteri Pertahanan). Tuah badan.
Bukan mudah untuk mendapatkan maklumat daripada orang kampung yang tidak biasa ditemu bual. Tambahan pula tentang perkara peribadi seperti pendapatan dan simpanan mereka. Kami perlu banyak bersabar dan kerap memujuk untuk mendapatkan kerjasama mereka.
Apa yang jelas daripada kajian itu, masyarakat kampung memang berduit tetapi mereka tidak menunjuk-nunjuk. Tidak kurang juga yang banyak memiliki harta tetapi zahir mereka nampak biasa sahaja kerana tidak terpengaruh dengan perhiasan dunia.
Kesimpulannya, masyarakat luar bandar memang berduit dan ada yang tidak gemar menyimpan di bank kerana masalah riba. Hasil kajian tersebut saya gunakan untuk membentuk Rancangan Pemasaran ASNB.
Ketika itu, institusi kewangan tidak dibenar mengiklankan produk mereka di televisyen. Tetapi rancangan pemasaran saya itu mengandungi program pengiklanan dalam semua media sama ada radio, televisyen dan akhbar. Kami melantik syarikat PTM Thompson selaku agensi pengiklanan syarikat.
Pengerusi ASNB dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) ketika itu ialah Allahyarham Tun Ismail Ali iaitu bekas Gabenor Bank Negara selama 20 tahun manakala Pengurus Besar ialah Tan Sri Desa Pachi.
Allahyarham Tun memang tidak gemar institusi kewangan mengiklankan produk di mana-mana sekalipun. Pada masa itu tiada siapa berani untuk menggunakan iklan sehinggalah ASNB berbuat demikian.
Sebagai satu langkah untuk menarik orang datang mendengar ceramah, saya mengadakan pertunjukan wayang gambar di padang bola di kampung-kampung seperti yang pernah dilakukan oleh Malayan Film Unit pada satu ketika dulu. Bezanya kami menayangkan filem Melayu, Hindustan, Inggeris serta kung fu dan bukannya dokumentari seperti dulu. Sampai di bahagian "kritikal", filem diberhentikan sekejap dan ceramah mengenai saham amanah disampaikan.
Saya telah dihantar ke London untuk membentangkan Rancangan Pemasaran ASNB kepada pegawai-pegawai kanan Save and Prosper Ltd yang ketika itu merupakan syarikat saham amanah kedua terbesar di Britain.
Pengarah Eksekutif syarikat itu telah dilantik sebagai penasihat kepada ASNB. Saya membentangkan Rancangan Pemasaran ASNB yang menggabungkan penggunaan pendekatan secara kelompok kecil melalui ceramah dan secara meluas melalui iklan di media elektronik dan cetak kepada mereka.
Mereka mendapati rancangan pemasaran itu lebih baik daripada yang dibentangkan oleh seorang pegawai kanan PNB sebelum itu.
Sepucuk surat peribadi telah dihantar oleh Pengarah Pemasaran syarikat itu kepada Tan Sri Desa. Ia mengandungi komen tentang rancangan pemasaran tersebut.
Saya dapat tahu daripada setiausaha Tan Sri Desa antara kandungan surat tersebut termasuklah suatu tawaran jawatan kanan kepada saya di syarikat berkenaan. Begitu teruja mereka dengan pembentangan tersebut.
Bagi mencari kumpulan untuk diberikan penerangan dan ceramah, pegawai-pegawai pemasaran saya terpaksa duduk di Pendaftar Persatuan berhari-hari. Mereka berusaha mendapatkan senarai kesemua persatuan bumiputera yang ada pada masa itu.
Maklumat mengenai jabatan-jabatan kerajaan dan kementerian lebih mudah diperolehi. Ceramah berterusan dijalankan kepada persatuan, pertubuhan, syarikat, jabatan kerajaan dan mana-mana kumpulan yang berminat. Usaha ini termasuklah di Sabah dan Sarawak.
Saya terpaksa meninggalkan ASNB selepas menyedari ada pihak tertentu tidak memberikan sokongan penuh kepada rancangan pemasaran itu.
Saya dijemput balik selaku Pengurus Besar sewaktu Skim Amanah Saham hampir dilancarkan dan Tan Sri Desa ditukarkan ke Malaysian Mining Corporation. Khalid Ibrahim (kini Tan Sri - Menteri Besar Selangor) yang menjadi pengurus pelaburan, dilantik sebagai Pengurus Besar PNB.
Usaha mendapatkan kelulusan belanjawan Rancangan Pemasaran yang saya sediakan itu daripada Lembaga Pengarah yang dipengerusikan oleh Allahyarham Tun Ismail bukanlah mudah. Allahyarham terkenal dengan kesempurnaan dan tidak ramai yang berani membantah saranannya.
Apabila membentangkan belanjawan Rancangan Pemasaran itu, saya ingat lagi yang Allahyarham Tun tidak suka dengan peruntukan pengiklanan. Beliau tidak pernah membenarkan institusi kewangan mengiklankan produk ketika menjadi Gabenor Bank Negara. Sudah tentulah beliau juga tidak akan membenarkan ASNB berbuat demikian.
Saya terpaksa berkeras dengan pendirian bahawa pengiklanan diperlukan dan tidak setuju peruntukan dimansuhkan. Akhirnya selepas beberapa kali menerangkan kewajaran dan disokong oleh Ahli Lembaga Pengarah lain terutama sekali bekas Gabenor Bank Negara, Allahyarham Tan Sri Jaffar Hussein, Allahyarham Tun bersetuju.
Sewaktu pemilihan agensi pengiklanan untuk mengendalikan keperluan pengiklanan ASNB, setiap agensi yang berminat telah membentangkan persembahan mereka kepada Allahyarham Tun dan pengurusan kanan ASNB.
Ada juga di kalangan pihak yang tidak terpilih mengadu kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Musa Hitam (kini Tun) ketika itu. Mereka menuduh pengurusan ASN berat sebelah. Oleh itu kami diminta menyerahkan dokumen prosedur dan faktor yang digunakan untuk pemilihan tersebut. Tun Musa akhirnya berpuas hati dengan prosedur pemilihan itu dan saya terselamat daripada 'disalai' oleh Allahyarham Tun.
Iklan televisyen yang paling berpengaruh ketika itu ialah Merah Sangatlah Mak Ngah yang memuatkan mak andam latah (Allahyarhamah Zaiton Hussein yang terkenal menerusi drama bersiri Opah) pada suatu majlis perkahwinan. Ketika melatah, beliau berulang kali menyebut "oh labur, labur, labur".
Strategi pengiklanan ASNB itu telah memenangi tiga anugerah korporat daripada Persatuan Agensi Pengiklanan (6As) sebagai terbaik dalam televisyen, radio dan keseluruhan. Iklan radio pula menggunakan lagu berirama canggung. Sejak itu, institusi kewangan dibenarkan mengiklankan produk.
Skim Amanah Saham Nasional dilancarkan pada April 1981. Pakejnya begitu menarik kerana 100 unit percuma diberikan tetapi tidak boleh dijual selama 10 tahun.
Dalam pengendalian tugas di Amanah Saham Nasional kami dipantau rapi oleh Unit Pelaksanaan dan Penyelarasan, Jabatan Perdana Menteri di bawah Ketua Pengarah, Dr. Iwaz Karim.
Selain itu, kami perlu mengemukakan laporan setiap dua bulan sekali kepada Jawatankuasa Penyelaras Pelaburan dipengerusikan oleh Tun Musa sendiri.
Tidak mudah untuk bekerja dengan Dr. Iwaz. Beliau seorang yang tinggi tahap inteleknya, bijak, banyak membaca, garang dan terkenal dengan keangkuhan. Semasa mesyuarat beliau gemar membaling pensel dan fail apabila ada sesuatu yang beliau tidak setuju. Ketika itu, orang kanannya ialah Ketua Setiausaha Negara sekarang iaitu Tan Sri Sidek Hassan.
Dr. Iwaz meletakkan sasaran pencapaian ASNB setakat 31 Disember 1981 sebanyak RM150 juta dan perkara itu saya ingat kerana "disertakan sekali dengan amaran".
Ketika itu tidak ada KPI seperti sekarang. Seingat saya bukan sekali terdapat perbezaan pendapat dengan beliau sewaktu berpuluhpuluh mesyuarat Jawatankuasa Penyelaras.
Suatu ketika selepas melihat keresahan dan kegelisahan - yang saya amati daripada bahasa badannya - saya menyarankan kepada Dr. Iwaz untuk meninggalkan perkhidmatan awam dan mencari sesuatu yang lebih mencabar di sektor swasta.
Saya menyarankan demikian disebabkan ketika itu beliau telah berkhidmat selama tujuh tahun. Menurut "Prinsip Peter" beliau telah mencapai tahap kurang kecekapan sebanyak satu kali setengah.
'Berasap' beliau bila saya katakan demikian. Tetapi rupa-rupanya cadangan itu telah diambil kira dan dia berhenti daripada perkhidmatan awam dan menceburkan diri dalam sektor swasta.
Bagaimanapun, satu kenangan manis yang tidak dapat saya lupakan ialah apabila di akhir Oktober 1981, kami di ASNB berjaya mengumpul RM800 juta iaitu lebih lima kali ganda daripada sasaran. Walaupun suatu pencapaian yang cemerlang, pengiktirafan yang diberikan tidak setimpal.
Saya tidak tunggu lama di ASNB kerana kerap bertembung pandangan dan banyak tindakan yang wajar kerap dipersoalkan oleh orang yang mengetuai syarikat induk ketika itu. Orang ini juga kuat mempengaruhi Pengerusi untuk menurut saranan-saranan beliau walaupun tidak munasabah.
Saya mendapati suasana itu tidak mengambil kira prestasi tetapi lebih mementingkan perkara remeh-temeh. Jadi ada baiknya saya bertukar angin.
Ternyata keputusan itu suatu hikmah kerana di akhir kerjaya, saya berjaya mengetuai satu-satunya institusi kewangan terulung negara iaitu Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia) selama 19 tahun.
Sepanjang perkhidmatan di sana, bursa kita berada di tempat teratas di ASEAN.
DATO' SALLEH MAJID ialah Felo Utama
Fakulti Ekonomi, Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau juga bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia)

ARKIB : 18/04/2009

Ingat kerjaya, keluarga dan kesihatan

RAMAI di kalangan kita yang bertugas lupakan dua perkara penting dalam kehidupan. Pertama kepentingan keluarga kita dan kedua kesihatan kita.
Kita melihat semasa muda, ramai yang tidak mengambil kira tentang masa yang perlu dilapangkan kepada keluarga terutama sekali anak-anak.
Bekerja sepanjang hari sehingga larut malam kadang-kadang termasuk hujung minggu sehinggakan tiada masa untuk keluarga.
Anak-anak yang baru membesar perlukan kasih sayang ibu bapa. Malangnya kalau bapa sibuk mengejar kerjaya dan lebih buruk lagi ibu pun bekerja, maka tinggallah anak-anak di tangan pengasuh rumah atau rumah pengasuh.
Kerap kali yang membuka perniagaan menjaga anak orang terdiri daripada kakitangan yang belum berumah tangga dan tidak hairanlah kalau pembangunan anak dilentur oleh persekitaran rumah pengasuh.
Apa yang bakal dihadapi apabila anak sudah membesar ialah mereka tidak akan berasa kasih dan sayang kepada ibu bapa. Akan wujud jurang komunikasi antara ibu bapa dengan anak-anak apabila anak-anak sudah membesar dan inilah yang dapat kita lihat sebagai salah satu masalah sosial hari ini.
Anak-anak tidak mendapat kasih sayang mencari kasih sayang di tempat lain. Mereka yang sanggup mengorbankan kerjaya mereka demi menjaga pembangunan minda anak- anak adalah mereka yang patut dicontohi. Bagaimana pun kadang kala tekanan hidup memerlukan kedua-dua ibu bapa mencari rezeki.
Sebenarnya jarang sekali pasangan yang ingin berkahwin berpengetahuan tentang ilmu keibubapaan. Selain daripada kursus sebelum berkahwin yang hanya dua tiga hari, ibu bapa jarang sekali mendidik anak-anak dengan tanggungjawab sebagai ibu bapa.
Kita lihat ibu-ibu yang mendidik anak-anak mereka sendiri seperti ibu kepada Tan Sri Azman Hashim, kesemua anaknya menjadi 'orang'. Ibu itulah dikenali sebagai ibu mithali.
Memang mudah bagi seseorang eksekutif melupakan tentang perlunya meluangkan sedikit masa untuk keluarga. Tambahan pula kadang kala kini ramai yang meluangkan masa di kelab atau bermain golf yang lazimnya mengambil masa sepanjang hari.
Bapa yang agak baik sedikit membawa anak dan isteri ke kelab golf. Tetapi mereka kenalah melayan diri sendiri semasa si bapa bermain golf.
Suatu perkara yang lazim berlaku juga ialah apabila permainan golf ini di tempat lain atau kadang kala di negara lain.
Tidak kurang juga mereka yang terpaksa berjumpa pelanggan atau rakan perniagaan di malam hari atau terpaksa melayan untuk makan malam dan hiburan.
Ini membawa kepada perkara kedua yang penting iaitu kesihatan. Jarang sekali kita mendengar seseorang taat mengikuti jadual pemeriksaan doktor katakan setiap enam bulan.
Banyak penyakit yang boleh diperolehi di masa umur tua yang mungkin tidak diketahui semasa umur muda kerana masih bertenaga.
Semasa mengejar kerjaya ini dengan keraian yang perlu diberi dan dihadiri serta mesyuarat yang tidak putus-putus, kerap kali makanan tidak terkawal dari segi akibat yang mungkin diterima.
Misalnya penyakit jantung boleh dihidapi melalui tekanan kerja, melalui makanan yang tidak mengira buruk baik kesannya.
Seseorang yang gemar misalnya meminum air bergas berkemungkinan mendapat kencing manis di hari tua. Begitu juga penyakit darah tinggi yang boleh membawa strok atau angin ahmar.
Dunia masa kini dipenuhi dengan pelbagai jenis vitamin dan penambaikkan makanan terutama sekali dengan pelbagai tuntutan seperti mengandungi herba tertentu. Mengambil ubat-ubat yang disangka akan mendatangkan kebaikan kepada badan yang sudah sihat akan membawa mudarat.
Mungkin ini salah satu sebab kenapa ramai orang terkena pelbagai jenis barah selain yang jelas seperti barah paru-paru akibat menghisap rokok.
Antara penyakit-penyakit yang lazim dihadapi oleh warga tua atau selepas bersara ialah sakit jantung, kencing manis, darah tinggi, buah pinggang. Malahan ada kajian yang menyatakan walaupun umur purata untuk lelaki di Malaysia ialah 74 tahun tetapi 14 tahun terakhir dipenuhi dengan pelbagai penyakit.
Ini melibatkan banyak wang perubatan dan rawatan. Tidak termasuk seseorang yang perlu menjaga sama ada isteri atau anak-anak.
Walau apa sekali matlamat kehidupan kita, kita wajar ingat akan perlunya mencurahkan kasih sayang kepada keluarga dan badan kita sendiri. Minda yang sihat datangnya dari badan yang sihat.
Bersara tidak bererti tidak melakukan apa-apa. Mereka yang duduk saja tidak melakukan apa-apa selepas bersara akan cepat menemui ajal.
DATO' SALLEH MAJID ialah Felo Utama
Fakulti Ekonomi, Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau juga bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia)

ARKIB : 04/04/2009

Hasrat G20 betulkan sistem kewangan dunia

SIDANG Kemuncak G20 baru berakhir pada 2 April yang lalu di tengah-tengah penunjuk perasaan yang kadang kala bertindak ganas memecahkan kaca pejabat Royal Bank of Scotland di London.
Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan di akhir pertemuan tersebut, pemimpin G20 bersetuju melakukan apa saja yang perlu untuk memulihkan keyakinan, pertumbuhan dan pekerjaan, membetulkan sistem kewangan dan mengembalikan pinjaman, memperkukuhkan peraturan kewangan demi membangunkan kepercayaan, memberikan dana dan reformasi institusi kewangan antarabangsa untuk mengatasi krisis dan mengelakkan daripada berlaku masalah yang sama di masa depan, mempromosi dagangan global dan pelaburan dan menolak perlindungan dan membangun pemulihan hijau dan mampan.
Salah satu langkah yang diambil ialah menyediakan sejumlah AS$1.1 trilion untuk memulihkan kredit, pertumbuhan dan pekerjaan dalam ekonomi dunia kepada Tabung Dana Antarabangsa (IMF).
Keahlian IMF ini juga akan dirombak semula untuk memberikan keutamaan kepada negara-negara lain mendapat suara. China bersetuju menyumbang AS$40 bilion, Jepun AS$100 dan Eropah AS$100 bilion.
Perkembangan fiskal dijangka mencapai paras AS$5 trilion menjelang akhir tahun depan untuk meningkatkan pertumbuhan ke paras empat peratus dan mempercepatkan perubahan kepada ekonomi hijau.
Berkaitan dengan memperkukuhkan pengawal seliaan dan peraturan kewangan, G20 bersetuju menubuhkan Lembaga Kestabilan Kewangan mengandungi kesemua negara G20.
Lembaga ini bersama IMF akan memberikan amaran awal risiko kewangan dan makroekonomi, malah apa jua langkah yang perlu untuk menangani masalah mereka.
Pengawalan akan termasuk kesemua institusi kewangan, instrumen dan pasaran yang penting. Ini termasuk dana-dana perlindungan. Tindakan terhadap mana-mana rantau yang tidak mahu bekerjasama termasuk rantau perlindungan cukai juga akan diambil.
Era kerahsian perbankan akan berakhir. Begitu juga pengawalan terhadap Agensi-Agensi Penarafan Kredit yang sekian lama memberikan sokongan terhadap instrumen-instrumen kewangan dengan penarafan yang bukan-bukan.
Bagi negara kita, disebabkan kita tidak pernah meminta pertolongan daripada institusi seperti IMF ketika berdepan krisis, jadi apa yang boleh kita harap daripada persetujuan negara-negara G20 ialah pemulihan ekonomi terutama negara-negara yang berdagang dengan kita. Sama ada ini akan berlaku selepas pemimpin-pemimpin ini balik ke negara masing-masing tidaklah kita tahu.
Apa yang jelas semasa persidangan tersebut ialah perbezaan tumpuan untuk menyelesaikan masalah krisis ekonomi dunia ini antara negara-negara Eropah terutama Perancis dan Jerman dengan Amerika Syarikat dan United Kingdom (UK).
Perancis dan Jerman inginkan peraturan dan pengawalan kewangan yang lebih ketat sementara Amerika Syarikat dan UK inginkan lebih besar suntikan kewangan ke dalam ekonomi.
Perbezaan ini begitu ketara sehinggakan Presiden Perancis mengadakan persidangan media yang pada masa sama Perdana Menteri Britain, Gordon Brown menyampaikan kenyataan bersama mesyuarat G20.
Kita juga harus sedar bahawa begitu besar ledakan instrumen-instrumen kewangan yang diperkenalkan oleh negara-negara "maju" yang mana krisis ini jelas menunjukkan bahawa badan-badan pengawal seperti Suruhanjaya Sekuriti dan bursa mereka tidak mampu memantau dan mengawal.
Ada juga yang mereka sendiri tidak tahu hujung pangkal beberapa derivatif yang diperkenalkan oleh institusi-institusi kewangan antarabangsa.
Keantarabangsaan institusi-institusi kewangan inilah yang meletakkan negara-negara sedang membangun seperti Malaysia dalam keadaan 'tiada kelebihan.'
Krisis ini bermula daripada sikap tamak institusi kewangan mereka. Walaupun dengan keadaan ekonomi yang meruncing kini mereka masih lagi bersikap angkuh. Misalnya AIG yang diselamatkan oleh Kerajaan Amerika Syarikat tetapi tidak malu memberikan bonus sehingga AS$165 juta kepada kakitangan kanan mereka.
Presiden Barack Obama mendapat persetujuan Kongres Amerika mengenakan cukai sebanyak 90 peratus kepada bonus yang diberi.
Kunci kepada kejayaan pemulihan kita terletak pada betapa cepat dan cekap kita menggunakan pakej rangsangan yang telah diumumkan. Kita lihat China telah mula menunjukkan tanda-tanda pemulihan berikutan tindakan penggunaan pakej rangsangan mereka dengan cepat dan cekap.
Keyakinan rakyat penting untuk memulihkan ekonomi kita. Bagaimana rakyat akan yakin ekonomi negara akan pulih kembali? Tandanya, apabila mereka tahu bahawa langkah-langkah yang dirancang berjalan dan boleh dilihat kemajuannya. Itu saja.
DATO' SALLEH MAJID ialah Felo Utama
Fakulti Ekonomi, Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau juga bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia)

ARKIB : 28/03/2009

Harapan besar kotakan kata-kata perubahan

APA yang dapat dirumuskan dengan ucapan Presiden dan Timbalan Presiden semasa Perhimpunan Agung UMNO yang baru berlalu? Mereka mahukan perubahan. Perubahan yang dicadangkan agak radikal.
Hapuskan kuota untuk pertandingan, letakkan pemilihan pemimpin di tangan ahli UMNO dan bukan perwakilan sahaja dan hadkan penggal perkhidmatan sesuatu jawatan dalam UMNO.
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam ucapan dasar terakhirnya, mengakui kelemahan-kelemahan UMNO. Mengaku yang ahli UMNO mungkin terlalai dengan kejayaan masa lampau yang diperolehi, label yang diletakkan kepada orang UMNO ialah mereka menyertai UMNO untuk mengumpul harta dan kekayaan.
Pandangan masyarakat kepada UMNO begitu negatif sekali sehinggakan lima negeri jatuh ke tangan pembangkang. Kalau dilihat, bukanlah mereka yang mewakili pembangkang terdiri daripada mereka yang hebat-hebat tetapi "angin perubahan" melanda UMNO dan Barisan Nasional sehinggakan pemimpin parti komponen kecundang seorang demi seorang.
Abdullah menyatakan yang perlu berubah ialah ahli UMNO dulu, barulah parti boleh berubah. Mampukah ahli UMNO berubah?
Bolehkah mereka yang berkuasa menghayati sifat-sifat Rasullullah iaitu siddiq, amanah, tabliq dan fatanah? Hari-hari orang Islam mengucap dua kalimah syahadah dan mengakui Nabi Muhammad SAW itu pesuruh Allah.
Tidak ada bezanya orang Islam mengucap dengan orang bukan Islam yang pandai juga mengucap kalau sifat-sifat tersebut tidak dikuti.
UMNO tidak boleh wujud secara berasingan. Selaku tunjang kepada pemerintah, sudah wajar bagi UMNO menerajui kepimpinan kepada parti komponen yang lain. Kata pepatah, "Sesat di hujung jalan balik ke pangkal jalan". Kita kini banyak terdengar tentang penjenamaan. Tidak ada apa salahnya dengan jenama sekarang. UMNO walaupun nama ringkasnya daripada bahasa Inggeris tetapi sudah diterima sebagai perkataan Melayu. Kalau UMNO suatu produk bukannya jenama yang perlu diubah tetapi kualiti produk yang perlu dirombak.
Apa yang boleh kita katakan kepada mereka yang sanggup menggagalkan pencalonan pencabar dalam pemilihan semata-mata untuk terus berkuasa. Ini tentu tidak akan diterima baik oleh masyarakat umum tidak kira daripada bangsa apa, walaupun itu dilakukan oleh satu komponen dalam Barisan Nasional.
Selepas kekalahan teruk 8 Mac tahun lalu, semua parti komponen Barisan menyatakan ingin melakukan reformasi. Setahun berlalu, masyarakat awam tidak nampak apakah reformasi atau revamp yang telah dilakukan oleh parti-parti tersebut.
Banyak perkara yang sensitif dibangkitkan, perkara-perkara yang telah dipersetujui dalam Perlembagaan, dasar kerajaan yang dituduh 'aparteid' bukan daripada pembangkang sahaja tetapi daripada kalangan ahli parti komponen.
Apakah ini mencerminkan kegelisahan yang selama ini terpendam atau semata-mata tidak mahu menerima hakikat yang sebenar demi kedamaian masyarakat majmuk?
Pepatah Melayu mengatakan "Lalu jarum lalu kelindan". Mereka yang bersuara sumbang ini mungkin menguji dan melihat sekiranya tidak ada apa-apa tindakan diambil kepada suara-suara sumbang mereka ini, perkara yang lebih besar lagi mungkin akan mereka bangkitkan.
Sementara itu, perpaduan di kalangan orang Melayu di paras yang rendah sekali pada masa ini. Apa juga sebab yang membawa kepada keadaan ini, yang penting perpaduan memang jauh sekali.
Politik sepatutnya membantu dalam pentadbiran negara tetapi kita melihat hari ini politik tidak dapat menyatukan orang Melayu. Apakah orang Melayu sanggup mengorbankan ideologi masing-masing demi perpaduan bangsa?
Tidak mustahil kalau Pas bergabung dengan UMNO. Apa yang diperlukan ialah ketelusan dan penghayatan keempat-empat sifat Rasulullah SAW.
Dengan berlatarbelakangkan semua ini negara juga berdepan dengan krisis ekonomi dan keadaan akan menjadi lebih buruk sebelum lebih baik. Banyak syarikat dan perusahaan Melayu akan terdampar kerana krisis ini adalah lebih buruk daripada krisis 1997/98.
Antara cabaran yang dihadapi oleh orang Melayu termasuklah kuasa ekonomi yang rendah, jurang pendapatan antara orang Melayu di bandar dan di luar bandar yang kian melebar, rasuah, jurang penyerapan maklumat antara bandar dan luar bandar yang juga luas dan masalah sosial yang menjadi-jadi.
Ini dirumitkan lagi oleh kehadiran pendatang asing yang telah menguasai beberapa kawasan dalam negara ini. Sama ada mereka datang sebagai pelajar atau pekerja halal dan haram, sesuatu yang tegas perlu dilakukan sebelum masalah ini berleluasa.
Kita meletakkan harapan yang besar kepada barisan pemimpin UMNO yang baru ini untuk mengotakan kata-kata perubahan yang banyak dilaungkan.
Ramai daripada mereka yang terpilih terdiri daripada mereka yang lantang bersuara seperti Datuk Tajuddin Abdul Rahman. Ia menunjukkan perwakilan mahukan mereka yang mampu bersuara.
Tetapi kita tahu bersuara sahaja tidak cukup kalau tidak disusuli dengan tindakan.
DATO' SALLEH MAJID ialah Felo Utama
Fakulti Ekonomi, Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau juga bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia).

 

ARKIB : 21/03/2009

Kaji semula kebergantungan kepada eksport

SALAH satu perkara menarik yang muncul dalam Perbincangan Meja Bulat di ISIS Isnin 16 Mac 2009 lalu ialah perlunya penerangan yang jelas disampaikan kepada masyarakat tentang Pakej Rangsangan Kedua yang bernilai RM60 bilion.
Majlis mengakui bahawa kemungkinan salah pengertian tentang jumlah RM60 bilion bukannya RM60 bilion tunai tetapi wang tunai hanya RM15 bilion terbahagi kepada dua tahun - RM10 bilion untuk tahun ini dan RM5 bilion untuk tahun 2010.
Ramai yang melahirkan rasa bimbang apa jua yang disalurkan melalui bank akan berdepan dengan masalah untuk mendapatkannya, seperti Dana Jaminan Modal Kerja yang bernilai RM29 bilion.
Gambaran daripada Datuk Wong Siew Hai daripada Malaysian American Electronics begitu muram sekali. Katanya belum ada tanda-tanda ekonomi Amerika Syarikat, pembeli peralatan elektronik terbesar daripada Malaysia, pulih dalam masa terdekat ini.
Dalam perbincangan yang berlangsung, pelbagai perkara dibangkitkan para peserta. Antaranya banyak projek yang telah dianugerahkan di bawah RMK9 tidak dilaksanakan. Kenapa ini berlaku?
Adakah mereka yang diberikan projek tidak mempunyai kemampuan untuk melaksanakan projek? Majlis tidak memberi jawapan kerana tidak ada wakil daripada badan atau kementerian.
Perkara ini menimbulkan kebimbangan pelaksanaan projek di bawah Pakej Rangsangan Kedua ini mengalami masalah yang sama.
Seorang peserta lain mencadangkan satu badan tindakan serupa dengan Majlis Tindakan Ekonomi Negara semasa krisis kewangan 1997/1998 dulu dibentuk.
Langkah tersebut dilihat begitu berkesan mengatasi krisis kewangan pada masa itu. Jika diterima hakikat bahawa krisis ekonomi hari ini lebih teruk daripada pada krisis 1997/1998, maka suatu badan yang lebih penting daripada yang lalu perlu diwujudkan.
Ini bermakna penyertaan dalam Majlis tersebut wajar mengandungi pelbagai golongan lapisan masyarakat. Kita meletakkan harapan kepada Jawatankuasa Petugas yang diketuai oleh Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan.
Ada juga suara yang menyarankan melihat penggunaan tenaga di negara kita yang pada masa ini tidak optimum. Jika dibandingkan dengan penggunaan tenaga di Jepun, kadar kita adalah lima kali lebih daripada negara itu.
Pada masa ini difahamkan kita tidak lagi berdikari dengan penghasilan tenaga kita kerana 30 peratus daripada kos kita melibatkan kos batu arang. Soalnya selama hari ini kenapa kita tidak melakukan penyelidikan tentang tenaga alternatif.
Kita tahu bahawa keperluan tenaga kita akan meningkat dari tahun ke setahun bukan menurun dan bahan penghasilan kita tentu sekali akan menjadi faktor utama kos kita. Negara kita kaya dengan kuasa matahari dan angin dan wajar diterokai untuk digembleng sebagai tenaga alternatif.
Sebenarnya krisis ekonomi ini memberitahu kita yang kebergantungan kepada eksport suatu kelemahan. Inilah masanya untuk kita mengkaji semula struktur ekonomi kita.
Kalau dari getah dan bijih timah kita berpindah kepada kelapa sawit dan minyak dan memberi tumpuan kepada sektor pengilangan jelas bahawa kos buruh yang rendah menjadi faktor penarik pelabur asing.
Apabila ada negara lain seperti China dan Vietnam yang menawarkan upah buruh yang lebih rendah, kita patut berpindah daripada industri berteraskan buruh kepada berteraskan modal. Kini kita patut berpindah kepada industri berteraskan pengetahuan atau k-ekonomi.
Malangnya persediaan transformasi itu tidak berlaku seperti sepatutnya terutama sekali dalam bidang pendidikan. Bagaimana transformasi akan berlaku apabila tenaga pengajar tidak terlatih untuk k-ekonomi.
Begitu juga mereka dalam sektor awam dan sektor swasta. Di Koridor Raya Multimedia tidak semua daripada tujuh tunggak utama dilaksanakan. Ada baiknya dibawa saja pusat kewangan luar pesisir Labuan ke sana dalam bentuk bonded warehouse sama seperti kawasan bebas cukai.
Saya bersetuju dengan cadangan Datuk Seri Nazir Razak yang kita patut mempelawa pakar-pakar dari luar negara yang boleh membantu kita dalam transformasi itu.
Kita tidak ada pilihan selain mengurangkan penggantungan kepada eksport dan pada masa yang sama mengurangkan juga import atas barang-barang tertentu seperti makanan yang bernilai dalam RM11 bilion setahun.
Banyak disebut-sebut tumpuan wajar diberikan kepada sektor perkhidmatan kerana potensi besar dalam sektor tersebut. Insurans, pembrokeran, pelancongan, peruncitan, pemborongan, perisian penyelesaian, tempahan luar (outsourcing), perundingan dan lain-lain. Banyak lagi ruang dalam kewangan Islam selain perbankan termasuklah bursa saham Islam yang boleh diterokai.
Dato' Salleh Majid ialah Felo Utama Fakulti Ekonomi, Universiti Kebangsaan Malaysia.Beliau juga bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia).

 ARKIB : 14/03/2009

Pakej Rangsangan Kedua perlu pemantauan

BAJET mini atau Pakej Rangsangan Kedua bernilai RM60 bilion telah pun dibentangkan pada 10 Mac lalu. Seperti biasa, bermacam-macam pandangan dan komen tentang langkah untuk mengekang kelembapan ekonomi itu.
Ramai pemerhati turut melahirkan rasa terkejut kerana jumlah bajet yang besar itu. Loncatan kepada RM60 bilion daripada RM7 bilion bagi Pakej Rangsangan Pertama walaupun fiskal hanya RM15 bilion dan peruntukannya hanya untuk dua tahun, memberitahu kita bahawa ia adalah sesuatu yang perlu diberi perhatian.
Tempias daripada krisis ekonomi global bukan lagi tempias tetapi sudah mula hujan melihat angka eksport kita untuk bulan Januari 2009 jatuh 27.9 peratus daripada 15.5 peratus pada bulan Disember.
Lebih terserlah lagi ialah angka pertumbuhan hanya 0.1 peratus untuk penggal akhir 2008. Keputusan Bank Negara menurunkan kadar faedah semalaman sebanyak 125 asas mata juga mengesahkan kebimbangan kerajaan. Pada waktu yang sama institusi kewangan kita juga tidak membantu.
Jumlah pinjaman yang diluluskan pada Januari lalu menurunkan sebanyak 35.6 peratus dan untuk perniagaan kecil dan sederhana pinjaman yang diluluskan menurun sebanyak 44.9 peratus.
Bagi perniagaan keseluruhannya, jumlah kelulusan pinjaman merosot sebanyak 50.9 peratus. Untuk isi rumah pun jumlah kelulusan pinjaman juga menurun sebanyak 17.6 peratus.
Belum apa-apa hal lagi bank-bank sudah mengetatkan pinjaman. Inilah yang bakal memberikan masalah kepada usaha untuk mengekang kemelesetan. Kecairan diperlukan untuk sektor swasta.
Walaupun pihak bank menafikan sekeras-kerasnya sikap ini, hakikatnya boleh dibuktikan dengan mengadakan suatu kajian menyeluruh dengan syarikat-syarikat kecil dan besar.
Inilah salah satu perkara yang penting berkaitan dengan pakej rangsangan ini. Pemantauan. Suatu mekanisme untuk mengumpul maklumat dari peringkat paling bawah diperlukan. Dari kampung ke peringkat daerah, dari daerah ke negeri dan dari negeri ke persekutuan.
Nadi ekonomi negara hanya boleh dipastikan secara masa sebenar (real-time) dan bukan semalam atau seminggu lalu. Perubahan dunia berlaku terlalu pantas. Begitu juga maklumat daripada kementerian-kementerian, jabatan-jabatan, bahagian-bahagian, unit-unit dan apa jua entiti yang terbabit dalam kerajaan.
Bagi sektor swasta begitu juga. Maklumat daripada setiap syarikat yang aktif sama ada melalui badan-badan perniagaan mereka atau secara perseorangan juga perlu dikumpulkan.
Kemajuan pelaksanaan pakej ini boleh dimuatkan dalam satu laman sesawang di Internet mengikut negeri, sektor, kementerian dan lain-lain.
Jawatankuasa Pemantau yang diketuai oleh Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan akan dapat menjalankan tugasnya dengan lebih cekap dan licin.
Ketulusan membantu membangkitkan keyakinan rakyat. Keyakinan rakyat boleh membantu mengharungi kelembapan ekonomi kerana apa jua tindakan yang diambil rakyat kepada sesuatu rancangan bakal memberikan kesan.
Salah satu perkara yang agak membimbangkan ketika di merata dunia memperketatkan penyeliaan pihak berkuasa, kelonggaran diberikan kepada syarikat yang ingin membuat terbitan hak. Tidak perlu kelulusan Suruhanjaya Sekuriti lagi.
Pelaburlah yang bakal membuat keputusan sama ada wajar atau tidak langganan kepada sesuatu terbitan hak yang boleh ditentukan oleh syarikat ikut suka mereka.
Kalau tujuan kita untuk menggalakkan sokongan di pasaran saham, elok dilonggarkan syarat penyenaraian seperti mengurangkan modal berbayar papan utama dan kedua. Terbitan hak ertinya wang. Untuk apa tidak penting lagi. Takut disalahgunakan.
Pergerakan pasaran saham kita dari dulu lagi banyak dipengaruhi oleh perkembangan luar. Apa yang berlaku dengan Dow Jones menjadi ukuran. Kita lihat dengan pembentangan pakej rangsangan ini pasaran saham masih lagi lembap. Reaksi pasaran mengecewakan. Ertinya keyakinan pelabur belum pulih lagi. Berita buruk di sekeliling mereka tidak membantu memulihkan keyakinan.
Walaupun pengangguran menjadi kebimbangan, lebih ramai pekerja akan diberhentikan kerja. Latihan semula tidak akan dapat memberikan jawapan kepada semua kerana kalau syarikat tidak menerima pesanan untuk barangan mereka, tiada pilihan lain kecuali mengurangkan tenaga pekerja. Mereka yang sudah lama dalam sesuatu bidang tidak mungkin boleh menerima latihan dalam bidang baru.
Mereka yang tidak ada kerja ini wajar dibantu dengan diberikan baucar tunai untuk membeli barang keperluan makanan. Bukan wang tunai tetapi baucar dari Tesco, Giant atau Carrefour. Mereka yang tidak ada kerja layak menerima baucar tersebut sehingga ekonomi pulih atau mendapat pekerjaan.
Tentang latihan untuk siswazah misalnya dalam industri sekuriti wajar dipantau kerana di masa yang lalu selepas latihan, syarikat broker saham tidak mahu mengambil siswazah tersebut.
Krisis juga merupakan peluang. Peluang untuk menyusun semula struktur ekonomi kita demi masa depan kita supaya mampu menangani ketidaktentuan. Di sini pelaburan penyelidikan dan pembangunan dalam pelbagai bidang diperlukan.
Misalnya dalam sumber tenaga alternatif seperti suria dan angin. Perhubungan menggunakan kabel elektrik dan bukan wayar telefon yang boleh membantu penembusan jalur lebar di luar bandar.
Kita juga perlu melihat barang-barang eksport kita yang diberikan nilai tambah oleh negara jiran dan mengakui barang kita itu sebagai barang mereka. Bayangkanlah di negara tersebut tidak ada ladang pisang tetapi mereka menuntut mengeksport pisang dari sana. Begitu juga gaharu.
Loopholes perdagangan ini perlu ditutup. Begitu juga mereka yang melakukan spekulasi dengan mata wang kita. Kalau mata wang kita rendah tidak semestinya bagus bagi kita kerana bila kita mengimport, banyak kita kena bayar. Orang lain dah meleset ekonominya, kita belum tapi duit kita lebih lemah daripadanya.
Dato’ Salleh Majid ialah Felo Utama Fakulti Ekonomi, Universiti Kebangsaan Malaysia.
Beliau juga bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia).

 

ARKIB : 07/03/2009

Manfaat tubuh Lembaga Baitulmal dan Zakat

LANJUTAN daripada cadangan yang saya nyatakan dalam rencana minggu lepas berkenaan penubuhan Lembaga Baitulmal dan Zakat elok rasanya saya terangkan sedikit sebanyak tentang cadangan ini.
Kita sedia maklum baitulmal dan zakat diadakan untuk membantu umat Islam. Baitulmal diberikan tanggungjawab untuk mengurus harta yang telah dibahagi-bahagikan mengikut hukum faraid.
Zakat pula merupakan "cukai" yang perlu dibayar oleh orang Islam. Kalau kita perhatikan tidak banyak maklumat yang tersebar tentang baitulmal dan zakat kecuali di Wilayah Persekutuan dan Selangor maklumat tentang zakat disebar meluas.
Baitulmal selaku wakil jabatan agama negeri mendapat bahagian mereka dalam pembahagian harta mengikut hukum faraid dalam kes yang mana pewaris sebenar tidak ada atau mereka yang menerima bukannya mengikut pewaris yang sepatutnya menerima.
Misalnya seseorang yang meninggal dunia dan meninggalkan harta tidak mempunyai anak dan menamakan orang lain, maka saudaranya sebagai pewaris.
Mereka hanya boleh mendapat satu pertiga sahaja daripada harta tersebut. Suami atau isteri akan dapat satu pertiga dan baitulmal akan dapat satu pertiga.
Bahagian baitulmal ini kalau kita andaikan di setiap negeri bernilai RM200 juta, maka untuk 14 negeri jumlahnya bernilai RM2.8 bilion.
Ini adalah nilai harta yang besar boleh digembleng untuk memberikan manfaat kepada umat Islam terutama sekali mereka yang dalam golongan miskin tegar.
Apa yang perlu dilakukan ialah kerajaan-kerajaan negeri memberikan kebenaran (bukan kebenaran mutlak) untuk ditubuhkan suatu lembaga pengurus sama seperti Tabung Haji untuk mengurus harta yang diperolehi oleh baitulmal.
Pada waktu yang sama kutipan zakat juga boleh dilakukan dalam lembaga yang sama supaya tidak ada sesiapa yang masih lagi tidak jelas tentang tanggungjawab mereka untuk membayar zakat.
Meluaskan tempat kutipan dan menyerapkan seberapa banyak maklumat tentang tanggungjawab membayar zakat boleh dilakukan melalui lembaga yang dicadangkan ini.
Ramai anak muda yang bekerja tidak faham tentang haul dan nisab dan juga tentang perkakas yang dibeli dan disimpan dan tidak digunakan langsung yang wajib dikeluarkan zakat.
Lembaga yang dicadangkan ini perlu membuat pindaan kepada Jadual 9 Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan baitulmal di bawah kuasa negeri. Perkara ini boleh dibawakan kepada Majlis Raja-Raja untuk dibincang dan dipertimbangkan.
Saya melihat banyak faedah yang boleh diperolehi daripada penubuhan dan penggabungan kedua-kedua institusi Islam ini.
Dengan nilai harta RM2.8 bilion, lembaga ini boleh membabitkan diri dalam pelbagai bidang ekonomi termasuk bidang rantaian bekalan dan penghasilan makanan halal.
Selain daripada itu badan ini juga boleh menubuhkan pasar raya yang boleh menjual barang-barang hasil pengeluaran masyarakat kita yang sukar untuk mendapatkan ruang jualan di pasar raya-pasar raya besar yang ada sekarang.
Kita lihat sahaja yang mampu mengeluarkan barang-barang berasaskan herba berpuluh kalau tidak pun beratus.
Badan ini juga boleh menceburi bidang kewangan seperti bank Islam, takaful dan pembrokeran pelbagai jenis. Bidang hartanah juga wajar disertai dan mungkin turut serta dalam operasi minyak dan gas, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan nanoteknologi.
Sebahagian besar daripada pelaburan boleh dibuat dalam bidang penyelidikan yang mana kita begitu jauh ke belakang. Mungkin caranya diberikan geran kepada beberapa universiti untuk melakukan penyelidikan dalam pelbagai bidang seperti hutan tropika kita yang mempunyai penyelesaian kepada pelbagai penyakit.
Untuk menjaga kepentingan negeri-negeri dengan sumbangan baitulmal masing-masing sebuah akta lembaga ini perlu diwujudkan.
Apa jua nilai harta baitulmal negeri-negeri ini bukannya diserahkan kepada lembaga ini tetapi dianggap seperti dipinjamkan supaya dapat dilaburkan dengan memberikan manfaat kepada umat Islam.
Setiap negeri akan diberikan bahagian keuntungan mengikut nisbah sumbangan masing-masing. Misalnya kalau untung RM1 bilion dan setengah daripadanya akan dibahagi-bahagikan.
Negeri yang menyumbang RM200 juta daripada jumlah keseluruhan RM2.8 bilion akan dapat satu per empat belas daripada RM500 juta keuntungan.
Tujuan utama cadangan ini adalah untuk membantu umat Islam yang tidak mampu menyara hidup mereka, membantu sekolah anak-anak golongan yang tidak mampu membiayainya sehingga ke peringkat universiti supaya tidak seorang umat Islam di negara ini yang terpinggir.
Untuk ini suatu pangkalan maklumat mengandungi mereka yang termasuk dalam golongan ini dibangunkan dan dikemaskinikan dari semasa ke semasa.
Konsep utama pertubuhan ini ialah pegawai-pegawainya mesti turun padang dan bukan duduk di pejabat sahaja.
Dato' Salleh Majid ialah Felo Utama Fakulti Ekonomi, Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau juga bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia).

ARKIB : 28/02/2009

Bertindak ikut apa bakal berlaku

ADAKAH krisis ekonomi hari ini akan bertambah baik dalam masa terdekat? Atau adakah keadaan akan menjadi lebih buruk sebelum pulih? Adakah rakyat kita sudah mendapat kesan daripada krisis ini?
Banyak pendapat yang mengatakan keadaan akan menjadi lebih buruk sebelum pulih. George Soros, spekulator terkenal mengatakan yang krisis ini lebih buruk daripada Kemurungan Terbesar 1930, krisis ekonomi paling teruk abad ke-20.
Satu demi satu negara di dunia bergelut dengan krisis ini. Denmark, Estonia, Latvia, Iceland, New Zealand, Singapura, Hong Kong, Jerman, Itali, Rusia, negara-negara Kesatuan Eropah, Jepun, Sweden dan Amerika Syarikat adalah negara-negara yang sudah mengalami kemelesetan ekonomi pada tahun 2008.
Dua negara yang diharapkan akan menjana pertumbuhan ekonomi dunia, China dan India juga mengalami kejatuhan pertumbuhan masing-masing 6.75 peratus dan lima peratus. Dulu pertumbuhan mereka dua angka.
Di China, 20 juta pekerja diberhentikan kerja. Rata-rata kita terbaca syarikat-syarikat gergasi dunia seperti UBS rugi AS$17 bilion untuk penggal keempat 2008. Credit Suisse rugi AS$5.2 bilion, Temasek, syarikat kerajaan Singapura hilang hampir AS$100 bilion dan GIC hilang hampir 40 peratus daripada rizab S$550 bilion.
Sebuah bandar di Jepun yang dikenali dengan nama Toyota City mengalami kadar pengangguran sebanyak 120 peratus! Pembuat kereta paling cekap dan terbesar di dunia terpaksa menutup kilang mereka 11 hari dalam sebulan.
Bagi kita mungkin belum ramai yang merasai kesan kelembapan ekonomi dunia tetapi angka eksport kita untuk bulan Disember 2008 jatuh 14.9 peratus berbanding November 4.9 peratus.
Indeks Pengeluaran Perindustrian jatuh 15.5 peratus untuk Disember 2008. Bank Negara yang baru menurunkan Kadar Dasar Semalaman sebanyak 75 mata asas menurunkan lagi 50 mata asas kepada dua peratus pada 24 Februari lalu. Langkah ini menunjukkan pengiktirafan yang keadaan akan menjadi lebih buruk dan kecairan perlu berjalan lancar.
Tidak ada yang lebih buruk selain daripada penarikan balik atau pengurangan kemudahan pinjaman yang diberikan kepada syarikat perniagaan semasa ini. Kita semua telah melihat kesan daripada tindakan sedemikian yang berlaku pada krisis kewangan 1997/1998 dulu.
Pembinaan bangunan terpaksa diberhentikan kerana kemudahan bank ditarik. Syarikat broker saham yang bergantung kepada kemudahan overdraf tiba-tiba dipotong setengah kemudahan mereka. Pelanggan mereka tidak dapat lagi diberikan margin dagangan.
Kesan bangunan yang terbengkalai dapat kita saksikan sampai hari ini. Walaupun ramai ahli perniagaan sudah mula merungut tentang kerumitan mendapatkan pinjaman dan pengurangan kemudahan, ini dinafikan oleh orang bank.
Kita berharap perkara ini tidak berlaku kerana ini boleh membantutkan sebarang usaha meneruskan pertumbuhan walaupun seberapa kecil.
Menurut Tabung Matawang Antarabangsa, pertumbuhan dunia untuk 2009 dijangka 0.5 peratus kadar terendah sejak Perang Dunia Kedua. Amerika Syarikat dijangka merosot 1.5 peratus, zon Eropah dua peratus dan Jepun 2.5 peratus untuk 2009.
Presiden Barack Obama baru saja menggariskan dalam ucapan pertama beliau kepada Kongres tentang penggunaan pakej rangsangan bernilai AS$787 bilion yang memberikan tumpuan utama kepada tenaga, penjagaan kesihatan dan pendidikan.
Seluruh dunia memandang ke arah Amerika Syarikat untuk melakukan sesuatu yang boleh memulihkan kegawatan global ini. Selain daripada pemotongan cukai yang bakal dinikmati oleh 95 peratus pekerja di sana, langkah-langkah lain adalah berjangka panjang.
Tenaga misalnya melibatkan pelaburan dalam sumber lain daripada minyak. Begitu juga pendidikan bertujuan memberikan peluang kepada sesiapa saja yang layak untuk menerima pendidikan sehingga ke peringkat kolej dan universiti. Dia juga ingin mengemaskinikan rekod penjagaan kesihatan.
Sama ada ini akan memberi peluang kepada peniaga kita untuk membida projek-projek prasana di sana tidak pasti kerana Barack pernah menyarankan 'Beli Amerika.'
Bagi kita, tindakan yang bakal kita ambil perlu zero-based dan bukan incremental. Kita tidak boleh berdasarkan semata-mata kepada angka-angka dan prestasi sejarah sahaja tetapi terpaksa meramal beberapa kemungkinan yang bakal berlaku.
Misalnya kalau pengangguran meningkat disebabkan kilang memberhentikan pekerja, apa kesannya kepada perbelanjaan domestik dan seterusnya kepada pertumbuhan. Begitu juga pelaburan asing dan pelaburan semula kesannya sekiranya berlaku kejatuhan beberapa peratus.
Sumbangan sektor-sektor kepada pertumbuhan semasa kegawatan akan berubah. Pertanian mungkin menjadi pilihan kepada mereka yang menganggur tetapi bercucuk tanam sahaja tidak akan menyelesaikan masalah kalau hasil tanaman atau ternakan tidak dibawa ke pasar.
Pemerosesan makanan boleh diperluaskan terutama sekali dalam bidang makanan halal kerana makanan tidak mengira keadaan ekonomi, ia sentiasa diperlukan.
Bahan binaan menjadi tunggak kepada pembinaan dan wajar dilihat supaya kosnya diturunkan terutama sekali kayu, besi dan simen.
Sektor perkhidmatan wajar sekali diberikan perhatian. Homestay misalnya dapat menggalakkan percutian tempatan dan diberikan galakkan.
Baitulmal dan zakat boleh memainkan peranannya jika digabungkan menjadi lembaga macam Tabung Haji dan diurus secara profesional dengan faedahnya diberikan balik kepada setiap negeri mengikut nilai aset terkumpul.
Banyak bidang yang boleh diterokai oleh kedua-dua badan Islam ini seperti perkilangan, pelaburan hartanah, pengeluaran makanan, kewangan, dan apa jua yang boleh meningkatkan kualiti hidup ummah.
Suatu pangkalan maklumat tentang keluarga yang termiskin dibentuk supaya dapat dibantu sama ada dari segi sara hidup atau pengajian anak-anak.
Datuk Salleh Majid ialah Felo Utama Fakulti Ekonomi, Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau juga bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia).

Ads


Followers