Ads Powered By ClixSense


Monday, December 20, 2010

Jauhi pihak mahu hancur negara

KUALA LUMPUR 19 Dis. - Rakyat diseru supaya bersama-sama untuk menghapuskan golongan atau kelompok tertentu yang mana perjuangan mereka adalah bermatlamatkan kepada 'pembohongan'.
Ahli Dewan Negara, Senator Mohamad Ezam Mohd. Nor berkata, ia kerana, Malaysia yang sudah lebih 50 tahun merdeka ini akan 'hancur' sekiranya dibiarkan dibina berasaskan pembohongan.
Sebaliknya, beliau berkata, negara perlu terus dibina dengan semangat kejujuran yang merupakan teras pembangunan negara yang sudah lama diamalkan oleh pemimpin terdahulu seperti Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra, Tun Tan Cheng Lock dan Tun V. T. Sambanthan.
"Malaysia sudah lebih 50 tahun merdeka, kita telah bina negara ini dengan aman. Ini kerana pemimpin terdahulu membina negara ini melalui kejujuran dan tidak bohong kepada rakyat.
"Sekarang kita ada pemimpin yang sukakan pembohongan. Siapa tak kenal Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim), bukan sahaja rakyat dia bohong malah parti dalam pakatan pembangkang iaitu Pas dan DAP juga dia bohong.
"Jadi, kelompok pemimpin sebeginilah kita keseluruhan rakyat perlu lawan dan hapuskan kerana kalau kita biar mereka berkuasa, mereka akan terus membina negara ini dengan pembohongan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah bertajuk 'Siapa Sebenarya Anwar Ibrahim' dalam ceramah politik anjuran MCA Bahagian Serdang di sini hari ini.
Hadir sama, Ketua MCA Bahagian Serdang, Datuk Liew Yuen Keong.
Mengulas lanjut, Mohamad Ezam yang juga Bekas Ketua Angkatan Pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, sejak merdeka dan dalam sejarah parti politik pembangkang di negara ini, belum ada pemimpin politik seperti Anwar yang hidup dalam pembohongan dan putar belit.
"Sebagai parti pembangkang, nak lawan kerajaan tak apa, tetapi jangan tipu rakyat. Tetapi kita lihat Anwar, penipuannya terutamanya untuk membentuk kerajaan 16 September cukup memberi impak besar bukan sahaja kepada negara malah seluruh dunia.
"Jadi, sekiranya ada pilihan raya umum atau tidak, kita keseluruhan rakyat mulai tahun depan perlu bersama-sama untuk melawan seterusnya menghapuskan golongan pembohong daripada terus bermaharajalela di negara ini," tegasnya.
Beliau dalam pada itu yakin pakatan pembangkang yang kini diterajui oleh Anwar bukan sahaja berada dalam keadaan tertekan malah menghadapi krisis kepimpinan yang teruk kerana bermatlamatkan kepada pembohongan.
"Kejujuran adalah penting dalam membina negara. Hanya Barisan Nasional (BN) yang secara jelas saya lihat mengamalkan semangat itu dan ia perlu berterusan untuk kita terus membina negara ini dengan jayanya," katanya.

No comments:

Post a Comment

Ads


Followers