Mingguan Malaysia, 4 Oktober 2009
Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia


Saya amat bersimpati ke atas nasib yang menimpa seorang pemimpin atau ketua sebuah parti Islam di negeri Selangor yang juga merangkap exco kerajaan negeri Selangor. Lebih malang lagi, exco tersebut terpaksa berhadapan dengan orang dalam parti sendiri, yang meminta beliau meletakkan jawatan exco kerajaan negeri. Jika parti ultra kiasu ini mahu mengikuti stail pemerintahan Umar Abdul Abdul Aziz, tindakan exco itu boleh dikira betul. Exco tersebut hanya memberikan kritikan dan mengeluarkan kenyataan mempertikaikan tatacara Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) mengendalikan kes melibatkan pentadbir awam.
Ternyata parti ultra kiasu ini begitu tertutup kepada pandangan dan kritikan yang mana bercanggah dengan cara urus tadbir khalifah Umar. Dahulu merekalah yang begitu lantang mengkritik. Orang lain semua salah. Sekarang, bila kena batang hidung sendiri, sendiri yang betul, orang lain salah. Jelas sekali, parti ultra kiasu ini tetap tidak mahu mengalah atau mengaku salah, malah mereka masih lagi boleh bersorak gembira kerana ada orang Melayu yang bersekongkol dan mempertahankan mereka. Saya tidak faham di manakah sebenarnya kedudukan kepemimpinan Umar Abdul Aziz yang ingin dicontohi? Inilah muslihat musang berbulu ayam mencairkan rakan sekutunya.
Untuk makluman pembaca, Umar Abdul Aziz amat mengalu-alukan perbezaan pendapat. Khalifah bersikap terbuka kepada sesiapapun yang mahu mengkritik kepimpinannya. Dalam isu ini, exco berkenaan hanya mahukan supaya pegawai kerajaan yang disiasat tidak dimalukan di khalayak. Sebenarnya inilah gaya kepimpinan Khalifah Umar. Menjatuhkan maruah orang lain di khalayak tidak dibenarkan dalam Islam. Justifikasi exco tersebut memang ada kebenarannya.

Sebagai contoh, ketika pemerintahan Umar bin Abdul Aziz, telah berlaku satu peristiwa seorang yang dituduh menyebarkan berita yang dirasakan boleh membawa kepada fitnah. Lalu orang itu telah dibawa ke hadapan khalifah. Bagi memastikan berita tersebut, khalifah lalu berkata dengan memetik ayat Quran yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman, apabila datang kepada kamu seorang yang fasik membawa suatu berita maka hendaklah kamu menyelidiknya terlebih dahulu, supaya kamu tidak (terburu-buru) membuat satu tindakan ke atas satu-satu kaum di dalam keadaan jahil, maka kamu menjadi menyesal kerana tindakan yang telah kamu lakukan (Al-Hujurat: 6). Dalam ayat ini merujuk kepada orang fasik, bayangkan dia orang itu munafik atau sekutu dengannya.

Mendengar sahaja kata-kata khalifah Umar, lelaki tersebut memilih untuk menerima maaf daripada khalifah dan tidak meneruskan niatnya untuk menyebarkan berita yang dibawanya itu. Apa yang ingin saya tonjolkan di sini ialah bagaimana rakyat di bawah pemerintahan khalifah beramal dengan Islam. Ajaran Islam bukan sekadar iman di dalam hati, tetapi diamalkan dalam segala aspek kehidupan. Ini menyebabkan mereka berhati-hati di dalam percakapan, pemberitaan dan tindakan, kerana bimbang sekiranya perkara yang dibawa itu boleh membawa kepada fitnah, walaupun mungkin berita itu benar.

Tujuan khalifah amat murni, agar perkara tersebut tidak membawa kemudaratan di dalam masyarakat dan menimbulkan salah faham. Bayangkan jika yang membuat tindakan itu kalangan musang berbulu ayam yang hanya memperalatkan gaya kepimpinan khalifah Umar untuk membalas dendam ke atas mereka yang tidak disenanginya.

Ternyata dalam isu ini, khalifah Umar benar-benar membuat pertimbangan walaupun mungkin khabar berita itu benar, apatah lagi sekiranya berita atau tuduhan itu memang salah atau bohong semata-mata. Adakah sifat ini masih ada pada kumpulan ultra kiasu itu? Bayangkanlah jika pada zaman ini, maklumat dan khabar berita menjadi bahan yang boleh dijual beli kerana mengejar harta, pangkat dan kemewahan, tanpa mengira sama ada maklumat yang dibawa itu betul atau salah. Yang penting dendam terbalas.

Hari ini, kita amat sedih, kerana hanya mengejar pangkat dan kemewahan, menyebabkan umat Islam lupa untuk menjaga hubungan persaudaraan Islam dan hubungan sesama manusia. Rasulullah SAW telah menyebut betapa eratnya hubungan sesama mukmin. Saling cinta mencintai dan berkasih sayang laksana salah satu anggota badan sakit maka seluruh anggotanya yang lain akan terasa kesakitan itu. Adakah perasaan seperti ini masih wujud di kalangan umat Islam? Jika tidak, bayangkan bagaimana kita boleh mempercayai pihak musang berbulu ayam ini?

Kita mesti ingat, pertembungan dan pertarungan sesama orang-orang Islam hanya akan melemahkan kita. Walaupun masih ramai orang yang menamakan diri masing-masing dengan nama Islam dan sangat marah apabila dikatakan kepadanya sebagai lemah iman dan kurang Islamik, tetapi dalam masa yang sama mereka mempermainkan ajaran Islam dan membelakangkan ajaran yang diperjuangkan. Bukan sahaja mereka membawa fitnah yang membawa dosa kepada diri mereka tetapi juga memalukan Islam dan umat Islam. Mereka lebih suka melihat umat Islam jahanam disebabkan sikap ingin membalas dendam sesama sendiri, lantas mempercayai orang lain lebih daripada orang sendiri.

Islam membenarkan kita memberikan pandangan dan kritikan sekiranya perkara tersebut menyentuh dan menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran atau amar makruf nahi mungkar. Slogan inilah juga yang dicanangkan di negeri parti ultra kiasu ini. Saya masih musykil adalah mereka faham atau tidak slogan ini? Atau sekadar bahan mainan mencairkan kita? Apa yang kita lihat hari ini mereka mahu melepaskan geram dan membalas dendan dengan menonjolkan diri serta menjatuhkan seorang yang lain. Pada saya, mereka yang ingin mencontohi khalifah mesti berlaku adil bukannya fasik atau munafik. Mereka seolah-olah boleh dibeli untuk melakukan tuduhan-tuduhan sesama manusia yang boleh membawa bencana kepada umat dan negara.

Umat Islam perlu sedar, kita perlu menjadi contoh kepada umat manusia. Apatah lagi jika mahu mengikuti stail khalifah Umar. Hendaklah kita malu kepada diri sendiri dan malu kepada Allah SWT sekiranya diri kita sendiri bernama Islam, tetapi tidak beramal dengan ajaran Islam. Ingatlah kata-kata Umar bin Al-Khattab bahawa kita adalah suatu kaum yang dimuliakan oleh Allah dengan Islam. Jika kita mencari kemuliaan dengan selain daripada cara yang dimuliakan, nescaya Allah SWT akan menghina kita. Allah SWT mengingatkan kita, “kamu adalah sebaik-baik umat yang dikeluarkan untuk manusia, kamu menyuruh perkara baik dan mencegah kemungkaran, dan kamu beriman kepada Allah”.(Ali-Imran: 110)

Ikhtibar corak pemerintahan Umar Abdul Aziz patut menjadi teladan kepada golongan ultra kiasu ini. Sebenarnya mereka tidak pernah percaya kepada Islam, apatah lagi mereka yang memperjuangkan Islam. Saya cukup yakin, bukan mudah untuk exco tersebut untuk menjalankan aktiviti seharian kerana sentiasa akan diawasi oleh golongan ultra kiasu ini. Saya turut yakin pergerakan exco ini diawasi saban hari kerana golongan ini amat takut dengan mereka yang memperjuangkan Islam kerana mereka memang anti-Islam. Logiknya mudah, jika mereka tidak percaya kepada Islam, bagaimana mereka boleh percaya kepada orang Melayu. Inilah nasib yang telah menimpa orang Melayu di bumi Melayu di Singapura. Adakah kita masih lagi buta melihat nasib umat Melayu Islam di sana? Apa bezanya antara parti yang memerintah Singapura dengan golongan musang berbulu ayam ini?

Lihat contoh terbaru, seorang pemimpin muda pakatan sekutu parti ultra kiasu ini, telah melontarkan satu pandangan agar Ketua Menteri negeri ultra kiasu ini digilirkan. Sebenarnya, perkara ini bukanlah isu baru, sebab ia telah lama yang telah dibangkitkan oleh parti Melayu sebelum itu. Spontan, beberapa jam sahaja selepas isu ini dibangkitkan, sayap pemuda dan pengerusi parti ultra kiasu ini terkinja-kinja ibarat cacing kepanasan. Kiasu sungguh.

Apa kata sayap musang berbulu ayam ini? Mereka menyalahkan rakan sekutunya sebagai gila kuasa. Pada mereka, belum sampai masa dan tidak perlu jawatan Ketua Menteri itu digilirkan. Persoalannya, sampai bila? tunggu kiamat? Tidakkah kita masih ingat, sebelum itu beberapa kali sebuah parti Melayu Islam membangkitkan isu yang sama dengan alasan mereka mempunyai kerusi majoriti? Adakah permintaan atau pandangan itu dilayan oleh parti sekutu mereka? Jawapannya, tidak. Ini sifat Belanda dapat tanah seperti Yahudi di Singapura. Apa yang boleh kita belajar? Maknanya, mereka ini tidak ada dua atau tiga, tetapi mereka hanya ada SATU. SATU inilah yang menjadi mereka kuat. Sebab SATU ini tetap bersatu mempertahankan hak kebanggaan nenek moyang mereka. Ibarat Islam, Islam hanya ada SATU, kita tetap satu mempertahankan yang SATU. Bezanya SATU dalam Islam adalah untuk semua bangsa kerana SATU ini tidak bersifat perkauman tetapi bersifat sejagat. Saya harap kita semua faham apa yang saya maksudkan.

Bila saya berkata sedemikian, saya yakin saya akan dituduh sekali lagi, tidak dapat memahami golongan ini secara mendalam walaupun saya sebangsa dengan mereka. Saya juga akan dituduh bersalah kepada nenek moyang. Persoalan saya, apa guna nasib keturunan nenek moyang terpelihara, jika maruah agama dipersenda atau tergadai? Mana lebih utama nenek moyang atau Allah Yang Maha Agong? Pada mereka mungkin nenek moyang, tetapi pada saya Allah SWT segala-galanya. Oleh kerana nenek moyang dijadikan Allah SWT, maka saya mesti sujud kepada Allah SWT berbanding nenek moyang. Nenek moyang tidak perlu saya sujud, ia tetap terpahat di hati untuk diingati. Keturunan bagi saya sudah tidak penting apabila berlaku pertembungan dengan kepentingan Tuhan yang telah membuka hati ini untuk menerima Islam. Allahhuakbar!

Kepada mereka yang merasakan keturunan lebih penting berbanding Tuhan, maka jagalah keturunan itu baik-baik. Muliakan mereka. Jangan berzina. Jauhi hubungan terlarang. Sahkan hubungan suami isteri. Buat yang disuruh, jauhi yang dilarang. Kotakan kata-kata amar makruf nahi mungkar. Barulah keturunan nenek moyang menjadi mulia dan aman di alam kubur. Jika tidak, nenek moyang akan berantakan kerana kita sebenarnya telah khianat kepada mereka. Janganlah kita berlagak pandai bercakap pasal keturunan dan nenek moyang, jika kita sendiri yang khianat atau menjadi munafik.

Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia