Ads Powered By ClixSense


Minda Dr. Maza



ARKIB : 28/02/2010

Mengapa Rasul bersifat insan?

ANTARA asas penting dalam keimanan kepada para nabi a.s adalah beritikad atau berkeyakinan penuh bahawa mereka manusia dan bersifat dengan sifat-sifat kemanusiaan atau ciri-ciri keinsanan (tabai' basyariyyah).
Tidak bersifat dengan sifat-sifat ketuhanan atau malaikat, atau makhluk super power yang berlainan dari insan yang bersifat manusia. Banyak pengikut agama cenderung untuk menyifatkan tokoh agama atau pengasas agama mereka dengan ciri-ciri ketuhanan atau malaikat atau super power bagi menggambarkan kehebatan tokoh atau pengasas agama berkenaan. Namun Islam tidak demikian. Nabi Muhammad dan sekelian para nabi disifatkan oleh al-Quran dengan ciri-ciri manusia seperti mana manusia lain, cumanya mereka ditabalkan menjadi rasul atau nabi, diberi wahyu dan kadang-kala diberi pertolongan dengan ayat atau mukjizat dalam keadaan yang getir. Pun begitu dalam sepanjang sejarah para nabi, ada dalam kalangan mereka yang dibunuh, diseksa, dicederakan, dizalimi dan berbagai-bagai derita yang lain yang selalu menimpa para pejuang. Mereka tidak digambarkan kebal, atau boleh terbang, atau sentiasa dapat menghadirkan perkara-perkara pelik sehingga manusia beriman kerana ketakutan kepada mereka. Jika ada pun pertolongan Allah yang disebut 'ayat' atau mukjizat, perkara tersebut bukannya selalu dan ia sentiasa pula akan dikaitkan dengan kebesaran Allah, bukan kekuatan diri mereka sendiri.
Iktikad atau keyakinan ini diwajibkan oleh al-Quran dan al-Sunnah untuk seorang Muslim tanamkan dalam keimanan mereka. Firman Allah: (maksudnya) Katakanlah (wahai Muhammad): Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan Yang Satu; Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah dia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya. (Surah al-Kahf: 110). Firman Allah lagi: (maksudnya) Katakanlah (wahai Muhammad): Aku tidak berkuasa mendatangkan manfaat bagi diriku dan tidak dapat menolak mudarat kecuali apa yang dikehendaki Allah. Jika aku mengetahui perkara-perkara yang ghaib, tentulah aku akan mengumpulkan dengan banyaknya benda-benda yang mendatangkan faedah dan (tentulah) aku tidak ditimpa kesusahan. Aku ini tidak lain hanyalah (Pesuruh Allah) yang memberi amaran (bagi orang-orang yang ingkar) dan membawa berita gembira bagi orang-orang yang beriman. (Surah al-Anfal: 188). Juga firmanNya: (maksudnya) Dan demi sesungguhnya! Kami telah mengutus rasul-rasul sebelummu, dan Kami jadikan untuk mereka isteri-isteri dan zuriat keturunan. Dan tiadalah sebarang kuasa bagi seseorang Rasul untuk mendatangkan sesuatu mukjizat melainkan dengan izin Allah. Tiap-tiap satu tempoh dan waktu ada baginya ketetapan. (Surah al-Ra'd: 38).
Banyak lagi nas-nas al-Quran yang menegaskan hal ini. Walaupun ciri-ciri keinsanan rasul ini telah menyebabkan sesetengah penentang rasul mengkritik mereka kerana mereka mempunyai sifat dan kehidupan yang sama dengan manusia biasa. Para penentang pula membayangkan para rasul dengan segala keajaiban. Al-Quran merakamkan kritikan mereka. Firman Allah: (maksudnya) Dan mereka berkata: Kenapa dengan Rasul ini? dia makan minum dan berjalan di pasar-pasar (seperti manusia yang lain)? Sepatutnya diturunkan malaikat kepadanya, supaya malaikat itu turut memberi peringatan dan amaran bersama-sama dengannya. (Surah al-Furqan: 7). Namun, Allah membantah cara fikir mereka ini dengan menjawab: Katakanlah (wahai Muhammad): Kalau ada di bumi, malaikat yang berjalan serta tinggal mendiaminya, tentulah kami akan turunkan kepada mereka dari langit, malaikat yang menjadi rasul. (Surah al-Isra': 95).
Akidah
Mengapakah al-Quran menekankan ciri ini? Demikian juga mengapakah Rasulullah saw sentiasa menekan asas akidah ini? Sebabnya yang utama, demi memelihara tauhid atau akidah kepada Allah supaya hanya Dia Yang Maha Berkuasa dan layak untuk disembah. Manusia apabila tidak dikawal oleh akidah sebegini akan mengheret mereka memuji dan mengagungkan para rasul melebihi batasan yang sepatutnya. Lihat apa yang berlaku kepada Nabi Isa bin Maryam as Kepercayaan atau pujian yang berlebihan membawa mereka menyangkatnya menjadi anak Tuhan. Demikian sesetengah aliran tarekat kerohanian yang melampaui batas dalam memuji guru atau 'tok syeikh'. Sikap berlebih-lebihan memuji itu telah membawa mengagungkan guru atau syeikh melebihi tahap nabi, bahkan menyifatkan guru mereka dengan sifat-sifat ketuhanan seperti mengetahui yang ghaib dan seumpamanya. Bahkan lebih buruk lagi mengheret mereka memohon hajat dan doa dari syeikh mereka sebagai perantaraan dengan Allah, bukan lagi hanya memohon kepada Allah. Sehingga ada yang apabila timbul hajat dalam akan memanggil nama wali itu dan ini. Sehingga nama dan gambaran wali atau syeikh mereka itu lebih mendahului jiwa mereka apabila timbul sesuatu hajat, bukan lagi Allah swt Malangnya, ada dalam kalangan mereka yang menjustifikasikan hal itu dan menyatakan itu disuruh oleh Ahlus Sunnah wal Jamaah, bahkan itu sebenarnya ajaran Ahbash dan tarekat-tarekat yang memuja kubur. Jika para wali itu masih hidup pun mereka akan menentang hal ini. Rasulullah SAW sendiri dalam hadis baginda daripada Ibn 'Abbas: "Bahawa seorang lelaki berkata kepada Nabi SAW: "Apa yang Allah dan engkau kehendaki". Maka baginda bersabda kepadanya: "Apakah engkau menjadikanku sekutu Allah, bahkan (katakan): apa yang hanya Allah kehendaki". (Riwayat Ahmad dinilai sahih oleh al-Albani). Baginda juga mengingatkan kita: "Jangan kamu memujiku berlebihan seperti Kristian berlebihan memuji Isa bin Maryam. Aku hanya seorang hamba Allah. Katakanlah: "Hamba Allah dan rasul-Nya" (al-Bukhari).
Perkara yang kedua, jika rasul itu bersifat dengan sifat ketuhanan atau malaikat, bagaimana mungkin manusia biasa mampu mencontohi mereka, sedangkan mereka dihantar untuk menjadi contoh teladan yang baik kepada manusia. Maka, tiadalah suri teladan dalam makan-minum, perhubungan suami isteri, teladan ketika gembira, ketika sedih, ketika marah, ketika lapar, ketika sakit, ketika ditindas dan berbagai lagi. Ini akan menjadi alasan untuk manusia tidak mencontohi rasul dan menyatakan bahawa kehidupan beragama yang diajar oleh para rasul itu tidak praktikal untuk diamalkan oleh manusia biasa. Alasan mereka kerana ciri-ciri fizikal yang dimiliki oleh para rasul itu tidak sama dengan manusia biasa.
Hingga mukjizat yang diberikan kepada para rasul itu pun bukan muncul dalam setiap keadaan. Dalam banyak keadaan para rasul menghadapi perjuangan mereka dengan segala usaha dan ikhtiar insani dan bertawakal kepada Allah. Bacalah Surah Yusuf, lihat bagaimana tribulasi yang dihadapi oleh Nabi Ya'kub dan Yusuf. Mereka berusaha keluar daripada ranjau kehidupan itu dengan menerusi proses perjalanan kehidupan seperti mana insan yang lain. Cumanya, kita dapat melihat kesungguhan, tawakal dan keimanan kepada Allah yang sungguh indah. Nabi Muhammad SAW sendiri pernah dilontar sehingga cedera di Taif, dan cedera dalam peperangan Uhud. Batu-batu yang dilontar di Taif tidak bertukar menjadi tamar, dan pedang yang dihunuskan dalam peperangan menentang baginda tidak pula menjadi roti. Bahkan ada para nabi yang dibunuh oleh Bani Israil. Kesemua itu menutup ruang untuk manusia mengelakkan diri dari mengikuti jejak para nabi atas alasan mereka 'super power' atau tidak serupa dengan kita.
Kata al-Syeikh 'Ali al-Tantawi ketika mengulas sifat-sifat para rasul a.s.: "Para rasul kesemuanya manusia. Mereka dilahirkan seperti mana dilahirkan manusia, mereka mati seperti mana manusia mati, mereka sakit dan sihat seperti mana manusia sakit dan sihat. Mereka tidak berbeza dengan manusia pada bentuk tubuh badan dan anggota, tidak pada perjalanan darah dan pergerakan jantung. Mereka makan dan minum seperti mana manusia makan dan minum. Tidak pada mereka sedikit pun unsur uluhiyyah (ketuhanan), kerana ketuhanan untuk Allah semata. Namun mereka adalah manusia yang telah diwahyukan kepada mereka" (Ali al-Tantawi, Ta'rif 'Am bi din al-Islam, m.s. 161, Mesir: Dar al-Wafa).
Lebih daripada itu kita lihat Allah jadikan mukjizat terbesar Nabi Muhammad saw ialah al-Quran. Ini kerana baginda adalah nabi yang terakhir. Al-Quran akan berterusan sehingga Kiamat, sedang mukjizat yang mempunyai kaitan dengan fizikal seseorang tidak akan dapat disaksikan lagi dengan ketiadaannya. Mukjizat tongkat Musa sudah tidak dapat disaksikan lagi. Begitu juga mukjizat Isa menghidupkan orang mati dengan izin Allah sudah tiada lagi. Namun, ajaiban al-Quran terus disingkap dari zaman ke zaman. Maka, hendaklah para pendakwah dalam menceritakan tentang kerasulan menegaskan tentang ciri keinsanan Nabi Muhammad saw dan kesinambungan mukjizat al-Quran. Fokuslah mukjizat al-Quran yang terus mencerahkan akal dan menegakkan hujah kebenaran. Mukjizat lain, sekadar hanya menjadi riwayat sahaja.

ARKIB : 21/02/2010

Maulid, Melayu dan Mamak Penang

ISU perarakan maulid di Pulau Pinang menjadi kecoh. Ramai wartawan menghubungi saya bertanya tentang hukum perarakan maulid Nabi s.a.w itu. Ia sangat menarik. Sejak sekian lama orang Melayu berarak barangkali mereka terlupa bertanya asal-usul perarakan tersebut. Banyak isu-isu yang akhir ini menjadi universiti terbuka untuk rakyat. Ya, seperti mana yang kita tahu bahawa sejarahwan Islam sepakat baginda Nabi s.a.w lahir pada Hari Isnin, cumanya mereka berbeza pendapat tentang tarikh lahir baginda s.a.w. Kita biasanya mendengar disebut pada tarikh 12 Rabi'ul Awwal. Namun ramai pengkaji yang menyatakan bahawa tarikh sebenar maulid baginda ialah pada 9 Rabi'ul Awwal. Antara yang berpegang dengan tarikh ini al-Syeikh Safiyy al-Rahman al-Muabarakfuri iaitu penulis kitab Sirah terkenal Rahiq al-Makhtum. Di samping di sana ada beberapa tarikh lain yang disebut oleh pengkaji sejarah yang lain. Kegagalan untuk memberikan tarikh yang disepakati itu antaranya berpunca dari para sahabah, tabi'in dan tabi al-tabi'in atau disebut generasi salafus soleh tidak merayakan Maulid Nabi s.a.w.
Al-Imam Ibn Kathir (meninggal 774H) mencatatkan bahawa cadangan agar tarikh Maulid Nabi s.a.w dijadikan tarikh kiraan tahun Islam pernah dibuat kepada 'Umar bin al-Khattab. Namun beliau tidak menerimanya. Kata seorang pengkaji Sirah yang juga merupakan tokoh politik dan Ahli Parlimen Jordan, Dr Muhammad 'Abd al-Qadir Abu Faris: "Pada pendapat kami -Allah lebih mengetahui-, hikmah di sebalik penolakan Umar itu kerana beliau mempelajari dari Rasulullah s.a.w agar kita berbeza dengan Yahudi dan Kristian. Orang Kristian menentukan tarikh berdasarkan kelahiran Nabi Isa bin Maryam a.s. Mereka berlebihan dalam memuji dan membesarkan baginda sehingga sampai ke peringkat ketuhanan. Mereka kata: dia anak Allah, kadangkala "dia Allah" dan dia satu dari yang tiga. Tujuan 'Umar itu agar orang Islam tidak terjatuh seperti Kristian dalam berlebihan membesarkan Nabi s.a.w. Rasulullah s.a.w sendiri telah memberi amaran agar tidak berlebih-lebihan dalam memuji baginda. Sabda baginda: "Jangan kamu memujiku berlebihan seperti Kristian berlebihan memuji Isa bin Maryam. Aku hanya seorang hamba Allah. Katakanlah: "Hamba Allah dan rasul-Nya" (al-Bukhari). Maka Umar tidak menjadikan maulid Nabi s.a.w sebagai permulaan kalendar Islam untuk mengelakkan jenerasi kemudian menyeleweng" (Abu Faris, al-Hijrah al-Nabawiyyah, m.s 16, Jordan: Dar al-Furqan). Inilah ulasan Dr Abu Faris dan pendapat ini dikongsi oleh ramai pengkaji yang lain.
Tanpa syak umat Islam berbangga dengan kedatangan Nabi s.a.w. Kelahiran yang membawa kebahagiaan dan rahmat kepada dunia sejagat. Cumanya, dalam proses mengelakkan persamaan di peringkat itu mereka tidak mengadakan sebarang perayaan khas. Bukan bererti mereka tidak menghargai. Sebaliknya generasi Salafussoleh merupakan zaman yang paling menghormati, mengikuti dan menghargai Nabi s.a.w. Mereka terjemahkan itu semua dalam tindakan dan perbuatan mereka. Mereka mengamalkan sunnah baginda dan menegakkan prinsip-prinsip kebenaran yang ditegakkan oleh baginda. Hakikatnya, mereka merayakan pengutusan Nabi s.a.w sebagai rasul sepanjang hayat mereka.
Berita lanjut, sila rujuk edisi cetakan Mingguan Malaysia atau langgani e-Paper di http://ebrowse.bluehyppo.com/utusan/index.asp

ARKIB : 14/02/2010

Imam syafi'i tolak ketaksuban

Al-Imam Muhammad bin Idris al-Syafi'i (150H-204H) merupakan salah seorang tokoh ilmuwan agung yang pernah dilahir oleh sejarah kegemilangan Islam. Beliau sebaris dengan jaguh-jaguh ilmu seperti al-Imam Abu Hanifah, al-Imam Malik bin Anas, al-Imam Ahmad bin Hanbal, Ibn Abi Laila, Abi Thaur, al-Imam al-Auza'i, al-Imam Sufyan al-Thauri dan ramai lagi tokoh-tokoh agung dalam sejarah perkembangan fekah Islam.
Beliau berketurunan Rasulullah saw. Nasabnya bertemu dengan Nabi saw. pada 'Abd Manaf. Syafi' bin al-Saib (nenek ketiganya) pernah berjumpa Nabi saw, namun teragak-agak untuk menerima Islam. Adapun al-Saib adalah pemegang bendera Bani Hasyim menentang tentera Islam pada hari peperangan Badr. Beliau lalu ditawan oleh tentera Islam dan telah menebus dirinya sendiri, kemudian menganut Islam. (Ibn Khallikan, Wafayat al-A'yan, 2/312). Telah disepakati bahawa beliau lahir di Ghazzah, sebuah bandar yang berada di selatan Palestin. Bapanya meninggal semasa muda. Maka beliau hidup yatim di bawah jagaan ibunya. Ibunya bimbang gagal mendidiknya, maka ketika beliau berumur dua tahun ibunya memindahkannya ke tempat asal keturunannya iaitu Mekah (Al-Zahabi, Siyar A'lam al-Nubala, 10/6). Semasa kecilnya beliau begitu gemar memanah, sehingga berjaya mengatasi saingannya. Kemudian berminat dengan bahasa 'Arab dan sya'ir, sehingga menjadi pakar dalam bidang tersebut. Selepas itu beliau mencintai ilmu fekah, sehingga mengepalai manusia pada zamannya. (ibid, 10/6.)
Beliau terkenal dengan keikhlasannya terhadap ilmu. Walaupun amat menyayangi gurunya al-Imam Malik bin Anas dan gurunya juga menyayanginya, namun tidak pernah membuat beliau fanatik atau taksub kepada mazhab atau aliran fekah gurunya itu. Bahkan sejarah telah mencatatkan beliau telah menyanggahi pendapat-pendapat al-Imam Malik. Apabila al-Syafi'i datang ke Mesir, pada awalnya dia disambut oleh para pengikut Mazhab Malik kerana dia adalah seorang murid utama al-Imam Malik. Namun lama-kelamaan apabila mereka dapati dia menyanggahi Mazhab Malik mereka meninggal dan membantahnya. Bahkan ada di kalangan mereka yang mendoakan agar Allah mematikannya demi memelihara Mazhab Maliki (Al-Zahabi, Siyar A'lam al-Nubala', 10/71-72). Namun bagi al-Imam al-Syafi'i nilai taksub ini tiada padanya. Kebenaran lebih dicintai walaupun terpaksa menyanggahi gurunya sendiri. Penghormatan bukan bermaksud mengikuti setiap perkataannya. Kata al-Zahabi: "Tidak syak sesungguh al-Imam al-Syafi'i apabila tinggal di Mesir lalu menyanggahi dan melemahkan beberapa pandangan fekah para ulama semasa dari Mazhab Maliki dengan dalil-dalil al-Sunnah, maka mereka terasa perit kerananya dan mereka menyakitkannya kembali. Berlakulah antara mereka ketegangan. Semoga Allah mengampunkan kesemua mereka..."( Al-Zahabi, Siyar A'lam al-Nubala' , 10/95). Kata Muhammad Abu Zahrah: "Sesungguhnya keikhlasan al-Syafi'i dalam menegakkan kebenaran sentiasa bersamanya sepanjang hayatnya. Sehingga dia menegakkan kebenaran di mana sahaja dia berada. Jika bertembung keikhlasannya itu dengan apa yang menjadi kebiasaan fahaman orang ramai, dia tetap akan menjelaskan pandangan-pandangannya dengan berani. Jika bertembung keikhlasannya kepada kebenaran dengan keikhlasannya kepada guru-gurunya, dia tetap akan mendahulukan kebenaran. Keikhlasannya pada gurunya al-Imam Malik tidak pernah menghalang beliau menyanggahinya selepas beliau teragak-agak untuk mengistiharkannya. Namun setelah sampai berita kepadanya bahawa ada pihak di Andalus yang meminta hujan dengan menggunakan (tawassul dengan) kopiah al-Imam Malik maka dia mengistiharkan bukunya untuk orang ramai. Tujuannya agar mereka tahu bahawa al-Malik adalah manusia yang terdedah kepada salah dan betul." (Abu Zahrah, Tarikh al-Mazahib al-Islamiyyah, m.s.455).
Fanatik mazhab telah menyebabkan dalam kalangan penduduk Andalus ada yang apabila berlaku kemarau atau kelewatan hujan, maka mereka akan solat istisqa' (minta hujan) dengan meletakkan kopiah al-Imam Malik di hadapan dan bertawasul dengannya. Bahkan di kalangan pengikut Malik di Mesir ada yang apabila dibaca hadis Nabi saw, mereka menjawab dengan menyebut "berkata imam dan syaikh kami Malik..." Mereka menolak hadis demi membela pendapat imam mereka (lihat: 'Abd al-Rahman al-Syarkawi, Aimmah al-Fiqh al-Tis'ah, www.qudsway.com/Links/ Islamiyiat). Al-Imam al-Syafi'i menulis kitab menjawab pandangan-pandangan al-Imam Malik demi memahamkan pengikut mazhab tersebut bahawa imam mereka tidak maksum.
Penampilannya dengan hujah dan ilmu menjadikan beliau tokoh ilmuwan yang tidak diragui kehandalannya. Bahkan beliau tersenarai dalam kalangan mujaddid yang diiktiraf umat. Namun, seperti biasa setiap tokoh mempunyai penyokong dan musuh. Dalam kalangan musuh dan penyokong itu pula ada yang melampau dan ada yang sederhana. Golongan yang melampau dalam sokongan akan memuji melebihi batasan yang patut. Demikian juga yang memusuhi apabila melampau akan menuduh dan mencipta tuduh yang bukan-bukan. Antara yang melampau memuji menyatakan di kuburnya ada tapak kaki Rasulullah saw menziarahi al-Imam al-Syafi'i. Ini juga beberapa kali disiarkan di stesyen televisyen kita. Sedangkan beliau meninggal dunia selepas hampir 200 tahun Rasulullah wafat. Jika beliau membantah kemelampauan tindakan pengikut al-Imam Malik bin Anas, apakah beliau akan redha dengan dakwaan yang seperti ini?!
Saya agak tertarik dengan ulasan Muhammad Na'im al-Irqususi terhadap riwayat mimpi Abu Ja'far yang menceritakan: "Aku lihat dalam mimpiku Nabi saw dalam masjid baginda di Madinah. Seakan aku datang dan memberi salam kepada baginda dan berkata: "Aku tulis pendapat Malik?. Jawab baginda: Tidak!. Aku bertanya: "Aku tulis pendapat Abu Hanifah?" Jawab baginda: Tidak!. Aku bertanya: "Aku tulis pendapat al-Syafi'i?. Baginda mengisyaratkan dengan tangan baginda begini - seakan baginda mengherdikku- "Kau kata pendapat al-Syafi'i?!! Itu bukannya pendapat, tetapi jawapan kepada sesiapa yang menyanggahi sunnahku". Al-Irqususi mengulas: "Bila pulak mimpi menjadi hujjah di sisi ahli ilmu?!!. Malik, Abu Hanifah dan selain mereka adalah dari kalangan para imam yang adil lagi dipercayai (thiqah). Mereka berijtihad. Mereka menepati sebahagian besar apa yang mereka ijtihadkan dan tersilap dalam sesetengah perkara. Setiap orang boleh diterima dan ditolak pendapatnya. Maka apa lagi?!! (Siyar A'lam al-Nubala, 10/43). Namun riwayat mimpi seperti ini selalu dijadikan hujah oleh golongan fanatik.
Dalam kalangan fanatik permusuhan kepada imam yang agung ini ada yang menuduhnya sebagai syiah dan beberapa tuduhan yang lain. Sehingga di zamannya beliau ditanggap dan digari. Al-Zahabi (meninggal 748H) menyebut: "Sebahagian manusia mencercanya, namun itu semua menaikkan ketinggian dan kemuliaannya. Ternyata bagi yang mereka yang insaf bahawa ulasan mereka yang menyaingi beliau (al-Syafi'i) mengandungi hawa nafsu. Jarang sekali seseorang yang muncul keimamannya (ketokohan ilmunya) dan menjawab sesesiapa yang berbeza pandangan dengannya melainkan dia akan dimusuhi. Kita memohon perlindungan dengan Allah dari hawa nafsu". (Siyar A'lam al-Nabala, 10/9).
Bahkan ada yang mencipta hadis palsu kerana fanatik kepada Mazhab Abu Hanifah lalu mencerca al-Imam al-Syafi'i. Disebut dalam hadis palsu itu, kononnya Nabi saw bersabda: "Akan ada dalam kalangan umatku seorang lelaki yang dipanggil Muhammad bin Idris (al-Syafi'i), dia memberi mudarat kepada umatku lebih daripada iblis. Akan ada pula seorang lelaki di kalangan umatku dipanggil Abu Hanifah, dia adalah lampu umatku, dia adalah lampu umatku). Hadis ini direka oleh Makmun bin Ahmad al-Harawi yang hasad dengan perkembangan pengikut al-Imam al-Syafi'i di Khurasan (Al-Sayuti, Tadrib al-Rawi, m.s. 182). Kata al-Jarahi (meninggal 1162H): "Tiada suatu pun hadis sahih mengenai pujian atau cercaan terhadap Abu Hanifah dan al-Syafi'i. Semua yang disebut mengenai hal berkenaan adalah palsu lagi dusta" (al-Jarahi, Kasyf al-Khafa, 2/420). Sementara kisah bohong lain seperti dalam buku al-Rihlah ila al-Rasyid pula memfitnah al-Imam Abu Yusuf dan Muhammad bin Hasan al-Syaibani, dua tokoh dalam Mazhab Abu Hanifah berusaha membunuh al-Imam al-Syafi'i. Demikianlah timbulnya buruk-memburuk disebabkan fanatic mazhab.
Al-Imam al-Syafi'i ialah imam yang mulia seperti para imam tokoh ilmuwan silam yang lain. Mereka tidak maksum, tetapi mereka semua sarjana besar. Kita tidak perlu fanatik kepada mana-mana dalam kalangan mereka, sebaliknya membaca dan cuba memahami penghujahan mereka secara terbuka dan membaca alasan-alasan mereka secara perbandingan. Tidak pernah mereka mengajar untuk kita berkata "siapa tidak ikut mazhab aku maka dia sesat". Bahkan mereka menggalakkan penerokaan ilmu. Kesemua kemelampauan itu datang dari golongan fanatik yang selepas mereka. Bahkan ramai yang mendakwa mazhab Syafi'i atau Hanbali atau Hanafi atau Maliki, tidak pula meneliti sendiri tulisan dan perkataan imam-imam itu, sebaliknya sekadar mengajuk dakwaan orang lain yang mendakwa demikian. Lalu ada yang menuduh orang lain tidak mazhab Syafi'i hanya kerana menyanggahi pendapatnya, padahal belum tentu pendapatnya itu sama dengan al-Imam al-Syafi'i yang sebenar. Fanatik sentiasa membuta mata ramai orang.

ARKIB : 17/01/2010

Kemanisan dalam ujian hidup di dunia

NABI Musa a.s lari meninggalkan Mesir setelah beliau terlibat dengan kejadian memukul sehingga mati seorang Qibti (Coptic) dalam usaha menghalang kezaliman perkauman terhadap Bani Israil.
Tindakannya itu telah melebihi jangkaan dan itu adalah satu kesilapan. Beliau terpaksa lari menuju ke Madyan dalam keadaan yang susah. Madyan yang dimaksudkan itu barangkali di Jordan dan saya pernah sampai berkali-kali di sana. Perjalanan dari Mesir ke sana begitu jauh bagi memastikan tentera Firaun tidak sampai ke negeri tersebut untuk menangkapnya. Apabila sampai di Madyan, Musa a.s. mendapati sekumpulan pengembala yang sedang menceduk air, sementara di sana ada dua gadis yang hanya menunggu.
Jiwa Musa a.s yang amat pantang melihat kejanggalan atau unsur ketidakadilan itu menyebabkan dia yang dalam keletihan yang teramat bertanya hal kepada kedua gadis tersebut. Al-Quran menceritakan kejadian ini: (maksudnya) Dan setelah dia (Musa a.s.) menuju ke negeri Madyan, dia berdoa “Mudah-mudahan Tuhanku menunjukkan kepadaku jalan yang betul. Dan ketika dia sampai di telaga air Madyan, dia dapati di situ sekumpulan lelaki sedang memberi minum (binatang ternak masing-masing), dan dia juga dapati di sebelah mereka dua perempuan yang sedang menahan kambing-kambingnya. Dia bertanya: “Apa hal kamu berdua?” mereka menjawab: “Kami tidak memberi minum (kambing-kambing kami) sehingga pengembala-pengembala itu membawa balik binatang ternak masing-masing; dan bapa kami seorang yang terlalu tua umurnya”. (Surah al-Qasas 22-23).
Nabi Musa a.s. tidak mampu melihat unsur penindasan dan sikap tidak membantu yang lemah. Simpatinya terhadap dua gadis tersebut melebihi keletihan yang dihadapinya ketika. Dia tampil dengan segala keringat yang berbaki menolong gadis-gadis tersebut mendapatkan air. Dia menolong tanpa sebarang habuan yang diharapkan.
Setelah menolong mereka, dan mereka pun pulang, Nabi Musa a.s. dalam keadaan yang teramat letih itu, pergi ke tempat yang teduh dan berdoa dengan doa yang ringkas tetapi amat dalam maksudnya. Saya tidak pasti sama ada mereka yang tidak memahami bahasa arab dapat menikmati keindahan ungkapan yang ringkas itu atau pun tidak?
Namun saya akan cuba menterjemahnya dalam strukturnya. Saya ingin membawa doa Musa a.s. untuk dikongsi bersama para pembaca yang barangkali ada yang tidak perasaan kewujudannya ketika membaca al-Quran.
Juga mereka yang memang sudah tahu tetapi terlupa disebabkan kesibukan yang melanda kita dalam kehidupan sedangkan kita menghadapi suasana tenat yang amat memerlukan rahmat atau ‘kesian’ Tuhan kepada kita.
Menyentuh
Saya ingin menyebutnya di sini kerana doa ini amat menyentuh perasaan saya. Saya percaya anda juga demikian. Entah berapa banyak keadaan getir dan runsing melanda hidup ini, doa ini salah satu ‘penyejuk perasaan’ dan pemberi harapan yang menjadi jambatan yang menghubungkan ujian hidup dengan Tuhan yang memiliki segala kehidupan.
Doa ini jika dibaca dengan jiwa yang benar-benar bergantung kepada Allah, maka saya yakin ketenangan itu hadir sebelum pertolongan Allah itu turun. Firman Allah menceritakan hal Musa a.s. dan doanya: (maksudnya) “Maka Musa pun memberi minum kepada binatang-binatang ternak mereka, kemudian ia pergi ke tempat teduh lalu berdoa: “Wahai Tuhanku, Sesungguhnya aku ini kepada apa sahaja kebaikan yang Engkau turunkan amatlah fakir” (Surah al-Qasas 25). Maksud Nabi Musa a.s. beliau amat fakir atau amat memerlukan kepada apa sahaja kebaikan yang akan Allah berikan kepadanya bagi menghadapi suasana dirinya ketika itu. Dalam bahasa al-Quran yang indah al-Quran riwayatkan ucapan Musa a.s “Rabbi inni lima anzalta ilaiya min khairin faqir”. Sangat ringkas, namun sangat bermakna. Sudah pasti ucapan asal Musa a.s dalam bahasa Hebrew, namun Allah telah merakamkan ke dalam bahasa Arab yang padat dan indah.
Ada ahli tafsir yang menyebut maksud Musa bagi perkataan ‘khair’ atau apa sahaja kebaikan dalam doa ini adalah makanan. Namun, perkataan ‘khair’ atau apa sahaja kebaikan atau kurniaan Tuhan itu amat luas. Bukan sahaja makanan atau minuman, bahkan
apa sahaja yang memberikan kebaikan kepada seorang insan.
Berita lanjut, sila rujuk edisi cetakan Mingguan Malaysia atau langgani e-Paper di http://ebrowse.bluehyppo.com/utusan/index.asp

ARKIB : 10/01/2010

Iman tidak dipaksa

KITA mungkin boleh memaksa manusia makan, atau bercakap, atau bergerak, atau diam atau apa sahaja tindakan fizikal. Namun kita tidak mungkin boleh memaksa keyakinan dan kepercayaan seseorang.
Ini seperti memaksa seorang mempercayai apa yang dia tidak percaya, atau meragui apa yang dia yakin, atau mengkufuri apa yang dia imani, atau mengimani apa yang dia tidak dapat terima kebenarannya.
Demikian juga kita tidak boleh memaksa perasaan seseorang seperti cinta, benci, suka, marah, sayang dan seumpamanya. Jika kita terus paksa dengan kekuasaan dan kekerasan untuk mengungkap dengan lidah apa yang tidak terkandung dalam jantung hatinya atau perasaannya, dia mungkin menyatakannya dengan lidah tetapi iktikad dan perasaan akan tetap menolak. Tiada siapa pun dalam kalangan makhluk mampu memaksa akidah orang lain. Apa yang manusia mampu hanyalah paksaan fizikal, sedangkan iman atau kufur seseorang tidak dapat diubah jika tidak dengan kehendak dan kerelaan empunya diri.
Mencipta
Islam sebagai agama yang diturun oleh tuhan yang mencipta manusia, Allah Maha Mengetahui tentang hakikat hambaNya. Maka Islam mensyaratkan iman itu berteraskan keyakinan dalam jiwa insan. Tanpanya, iman tidak dikira atau dinilai. Seseorang yang mengakui beriman kepada Islam dengan cara paksaan tidak diiktiraf. Demikian seseorang yang mengakui kufur kepada Islam dengan paksaan juga tidak hukum bersalah.
Firman Allah (maksudnya) “Tiada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Maka sesiapa yang tidak mempercayai taghut serta beriman kepada Allah, maka sesungguhnya dia telah berpegang kepada pegangan yang teguh, dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui”, (Surah al-Baqarah ayat 256). Ayat ini diturunkan kepada golongan Ansar di mana dalam kalangan mereka mempunyai anak-anak yang telah diyahudi atau dikristiankan.
Apabila Islam datang, mereka ingin memaksa anak-anak mereka menganut Islam, maka Allah melarang mereka berbuat demikian sehingga mereka sendiri membuat pilihan. Lalu diturunkan firmanNya tadi. Kata Ibn ‘Abbas: “Ada seorang wanita yang tidak dapat mengandung. Dia bernazar jika dia dapat anak, dia akan jadikannya beragama yahudi. Apabila Yahudi Bani Nadir dihalau keluar dari Madinah, ada dalam kalangan mereka anak-anak golongan Ansar. Kata ibubapa mereka: “Kami tidak akan biarkan anak-anak kami mengikut mereka, maka Allah turunkan ayat: (Riwayat Abu Daud, dinilai sahih oleh al-Albani). Demikianlah ajaran Islam. Ibubapa pun tidak boleh memaksa agama atau keyakinan anak sendiri, inikan pula orang lain.
Begitulah juga, jika seseorang dipaksa mengkufuri Islam atau tidak percaya dengan Islam, sedangkan jantung hatinya tetap dengan keimanan dan keyakinan, maka sekalipun dia tunduk dengan paksaan tersebut, imannya tetap sah dan diiktiraf di sisi Allah. Manusia hanya boleh memaksa lidah dan anggota yang lain, tapi tiada siapa mampu memaksa iman. Firman Allah: (maksudnya) “Sesiapa yang kufur kepada Allah sesudah beriman (maka baginya kemurkaan Allah), kecuali orang yang dipaksa (melakukan kufur) sedang jantung hatinya tenang tenteram dengan iman; akan tetapi sesiapa yang terbuka dadanya menerima kufur maka atas mereka ditimpa kemurkaan dari Allah, dan mereka pula beroleh azab yang besar”. (Surah al-Nahl, ayat 106).
Jelas, iman tidak boleh dipaksa. Ia masuk ke dalam dada insan dengan rela dan keyakinan. Demikian kekufuran juga tidak boleh dipaksa. Ia bersarang dalam dada insan dengan pilihannya. Cumanya ada sebab-sebab yang membawa kepada iman atau tidak berimannya seseorang. Hujah dan alasan yang diterima oleh akal dan ruh insani menyebabkan insan mempercayai sesuatu atau mengingkari sesuatu.
Maka Islam sebelum menghukum iman atau kufur atas seseorang mewajibkan Iqamah al-Hujjah (penegakan hujah). Setelah ditegakkan hujah dan alasan yang kukuh, jika dia terus membantah dan tidak menerima sedangkan dia tahu dari segi hujah dan alasan Islam ini benar, maka ketika itu dia dianggap sebagai kufur. Firman Allah: (maksudnya) “Sesiapa yang beroleh petunjuk (menurut panduan Al-Quran), maka sesungguhnya faedah petunjuk itu hanya kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang sesat maka sesungguhnya kesan buruk kesesatannya hanya ditanggung oleh dirinya juga, dan seseorang yang boleh memikul, tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain, dan tiadalah Kami (Allah) mengazabkan sesiapapun sebelum Kami mengutuskan seorang rasul” (Surah al-Isra, ayat 15). Ayat ini adalah kaedah teras yang mesti difahami oleh setiap muslim. Allah Yang Maha Suci tidak akan menanggung dosa seseorang ke atas orang lain dan tidak akan mengazabkan seseorang melainkan setelah diutusnya rasul yang menegakkan hujah. Apabila datang rasul, atau wakil rasul, atau apa sahaja saluran yang menyampaikan hujah dan bukti rasul terhadap kebenaran petunjuk Allah kepada seseorang sehingga dirinya akur bahawa ini merupakan ajaran Allah, maka jika dia menolak, dia layak untuk dihukum di Hari Pembalasan kelak.
Sebaliknya, jika hujah yang kukuh mengenai Islam atau ajaran rasul itu tidak sampai kepadanya, maka dia tidak akan diazab oleh Allah sekalipun kita memanggilnya ‘kafir’ atau seumpamanya. Bahkan kita pula yang mungkin diazab oleh Allah jika kita tidak menerangkan ajaran Islam yang telah sampai kepada kita, atau kita tunjukkan contoh buruk sehingga dia salahfaham terhadap Islam. Jika kita memahami hakikat ini, tentu kita akan mendahulukan dakwah daripada kekerasan. Persoalan yang patut kita semua tanya, apakah mereka yang kita anggap sebagai kaum kafir itu telah sampai kepada mereka hujah yang benar lagi teguh tentang Islam ini? Atau, mungkin kebanyakan mereka itu jahil? Atau mungkin sebahagian mereka telah disalahfahamkan hakikat Islam yang sebenar oleh musuh-musuh Islam, atau mungkin juga oleh tindakan sebahagian orang Islam sendiri.
Manusia
Dalam kalangan manusia, golongan yang paling jauh dari Islam adalah puak atheis yang tidak percaya kepada Tuhan sama sekali. Manusia beragama, walau apapun agamanya, sekurang-kurangnya mereka maju setapak dengan percaya tentang kewujudan dan kekuasaan Tuhan. Justeru menghormati nilai tersebut maka Islam tidak memusnahkan tempat-tempat ibadat mereka tanpa alasan yang benar. Bahkan melindunginya, jika itu merupakan hak mereka. Ini seperti firman Allah: (maksudnya) “Dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani), dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agamaNya; sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa”. (Surah al-Baqarah, ayat 251). Ini menunjukkan walaupun Islam hanya mengiktiraf dirinya sebagai agama yang diredhai Allah, namun dalam masa yang sama Islam menghormati hak dan nilai beragama, kerananya Islam melindungi mereka.
Dalam kalangan agama-agama yang ada, agama yang mempunyai unsur-unsur langit seperti Yahudi dan Kristianlah yang lebih dekat dengan Islam. Ini kerana kesan ajaran nabi-nabi terdahulu yang masih terdapat dalam agama tersebut menjadikan banyak persamaan antara mereka dengan Islam. Justeru, Islam walaupun mengecam Ahlul Kitab (Yahudi dan Kristian) atas pengubahan kitab, kesyirikan mereka dan salahguna agama tetapi Islam tetap mengizinkan memakan sembelihan mereka dan berkahwin dengan wanita mereka yang bukan lacur. Tujuannya untuk membawa mereka kepada ajaran Islam yang sepatutnya mereka ikuti. Isam tahu kesan agama langit dalam jiwa mereka memudahkan mereka menerima Islam jika mereka tidak takabur. Firman Allah: (maksudnya) “Demi sesungguhnya engkau (Wahai Muhammad) akan dapati manusia yang keras sekali permusuhannya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang musyrik. Dan Demi Sesungguhnya engkau akan dapati orang-orang yang dekat sekali kasih mesranya kepada orang-orang yang beriman ialah orang- orang yang berkata: “Bahawa kami ini ialah orang-orang Nasrani” yang demikian itu, disebabkan ada antara mereka pendita-pendita dan ahli-ahli ibadat, dan kerana mereka pula tidak berlaku sombong”. (Surah al-Maidah, ayat 82).
Iman tidak boleh dipaksa. Cuma sebab-sebab manusia menerima Islam disebabkan alasan yang dapat diterima oleh akal dan ruh insan. Mempercayai Tuhan adalah selangkah ke arah Islam. Mengetahui dan mengiktiraf ajaran Allah kepada nabi-nabi yang terdahulu adalah selangkah yang mendekatkan lagi manusia kepada Islam.
Apa yang tinggal peranan kita menjelaskan Islam yang sebenar. Janganlah pula kita yang merosakkan gambaran Islam yang mulia dan suci ini.

ARKIB : 03/01/2010

Mencari keberkatan masa

Menjelang tahun baru, ramai yang menyambutnya. Sama ada hari pertama Januari ataupun Muharam, Islam tidak pernah menetapkan sambutan khusus buat tahun baru. Tiada ibadat khas sempena tahun baru seperti solat tahun baru, atau puasa tahun baru.
Ya, tidak menjadi masalah jika manusia ingin menyiapkan diri mereka menghadapi tahun baru. Mungkin mereka ingin menetapkan sasaran, perancangan dan idaman. Jika perancangan itu untuk kebaikan, seseorang akan memperolehi pahala. Begitulah sebaliknya. Jika tahun baru tidak datang pun, waktu dan hari tetap terus berputar dan tiada bezanya antara tahun lepas dan tahun ini. Ia terus berjalan seperti biasa sehingga sampai detik ia berhenti. Umur setiap kita akan terus bertambah, sama ada menjelang tahun baru ataupun tidak. Jika tidak bertambah tahun, ia bertambah bulan. Jika tidak bertambah bulan, ia bertambah hari. Jika tidak bertambah hari, ia bertambah jam dan minit dan akan terus meningkat ke hari, bulan dan tahun.
Sementara perhentian iaitu kematian, tidak pula kita tahu waktunya yang tepat. Namun yang pasti apabila ia sampai, tidak dilewatkan walaupun sesaat jua. Kita hamba Tuhan di persada masa.
Ya, hari dan waktu akan terus datang dan pergi. Jika jam, matahari dan bulan berhenti, masa tetap berjalan. Tiada makhluk yang dapat menghalang kedatangan waktu dan hari. Demikian tiada siapa pun yang dapat menahan ia pergi. Sama ada manusia menunggu untuk menyambut kedatangannya atau tidak mempedulikannya, ia tetap menjelang.
Demikian juga, waktu dan hari akan terus pergi sekalipun kita menyayanginya dan mengharapkan ia terus tunggu. Entah berapa banyak diari yang dicatatkan, entah berapa banyak sanjungan yang diberikan, entah berapa banyak kejian yang dilontarkan, dengan berlalunya waktu, ia menjadi sejarah dan kenangan.
Maka, entah berapa ramai manusia yang dipuji semalamnya, dilupai pada hari ini. Entah berapa ramai yang diperlekehkan semalam, disanjung pula pada hari ini. Berapa ramai mereka yang bongkak dan sombong semalam, hari ini berbicara bagaikan pengemis yang merintih simpati.
Demikian juga, entah berapa ramai yang diketepikan semalam, mungkin berkuasa atau diangkat pada hari ini. Wajah-wajah yang dahulunya comel dan cantik boleh berubah menjadi sughul dan masam. Tempat yang hening dan indah juga boleh bertukar menjadi sungul dan usang. Pemuda yang gagah akan bertukar menjadi orang tua yang mengah. Gadis yang cantik akan bertukar menjadi nenek. Perjalanan waktu dan masa adalah keajaiban ciptaan Tuhan.
Ramai orang lupa bahawa masa itu adalah makhluk Allah. Kita diciptakan dan diletakkan dalam perjalanan makhluk masa ini. Masa itu tiada siapa yang dapat menongkah pusingannya. Ia merubah segala-gala. Dari yang tiada kepada ada. Dari yang ada kepada tiada. Tiada siapa yang mampu menghalangnya melainkan Tuhan yang menciptakannya. Masa mengubah kita.
Mengubah anggapan manusia sesama mereka. Ia mengubah perasaan dan rasa. Ia mengubah benci dan cinta. Ia mengubah gembira dan duka. Namun waktu tidak boleh mengubah hakikat sesuatu di sisi Allah. Di sisi Allah, insan yang mulia tetap mulia walaupun manusia menghinanya.
harta
Insan yang keji tetap keji, walaupun manusia memberikannya kuasa dan harta. Seorang raja atau sultan yang meraikan hari jadi setiap kali menjelang musimnya dengan menganugerahkan darjat dan pangkat kepada orang lain, belum tentu dia sendiri mendapat darjat dan pangkat yang tinggi di sisi Allah.
Mungkin belanja hari jadinya itu akan menjadi beban kepadanya pada hari akhirat kelak; dari mana wang itu datang dan bagaimana ia digunakan? Seorang miskin di ceruk yang terpencil, mungkin tiada siapa yang mengambil tahu hari lahirnya dan tiada pula anugerah atau hadiah yang diperolehi. Namun, itu bukan tanda kehinaan buatnya. Bahkan jika dia hamba Allah yang baik, umurnya dan waktunya dilimpahi pahala dan keberkatan.
Ya, waktu dan masa akan terus menjelang, mengejar sang raja, juga mengejar si miskin yang tiada apa-apa. Mengejar kita semua untuk sampai ke perhentian masing-masing. Apabila sampai ke detik penghabisan, kita bertemu Tuhan. Ketika itu yang dinilai adalah hakikat yang sebenar, antara insan yang beruntung dan insan yang rugi.
Untuk itu Allah bersumpah dengan masa dan mengingatkan kita, siapa yang untung dan siapa yang rugi.
Firman Allah dalam Surah al-'Asr: (maksudnya) Demi masa! Sesungguhnya insan itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, serta mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar. (Surah al-'Asr 1-3).
Demikian Tuhan Pencipta masa memutuskan bahawa insan yang hidup dalam sistem masa ini akan kerugian. Apa yang dapat menyelamatkan mereka adalah apabila mereka penuhi ciri-ciri yang disebutkan; iman, amal soleh dan berpesan-pesan kepada kebenaran dan kesabaran.
Ertinya, hidup bukan sekadar beriman dan beramal, tetapi hendaklah memperjuangkan tuntutan iman dan amal dengan melakukan peringatan, dakwah, seruan kepada kebenaran dan kesabaran. Kebenaran yang diajar oleh Allah dan rasul-Nya dan sabar dalam membahterai perjuangan kebenaran itu.
Jika sebahagian pengkaji cuba memahami dan membuktikan apa yang disebut oleh Albert Einstein dan Isaac Newton tentang teori kerelatifan masa (relativity of time), Islam pula telah lama memperkatakan tentang keberkatan umur dan waktu. Mereka yang meterialis barangkali tidak dapat berfikir bagaimana mungkin masa seseorang insan dengan seorang yang lain berbeza.
Bagaimana mungkin sejam si A lebih panjang daripada sejam si B?. Mereka kehairanan dan pemikiran materialistik memang tidak dapat menerima hal ini.
Dalam Islam ada istilah berkat atau barakah. Al-Quran berulang-ulang menyebut tentang keberkatan. Antaranya firman: (maksudnya) Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka keberkatan-keberkatan dari langit dan bumi. (Surah al-A'raf, 96). Allah perintahkan Nabi Nuh: (maksudnya) Dan berdoalah: Wahai Tuhanku, Turunkanlah daku di tempat turun yang berkat, dan Engkau adalah sebaik-baik pemberi tempat. (Surah al-Mukminun 29). Kata Nabi Isa: (maksudnya) Allah menjadikan aku ini diberkati di mana sahaja aku berada... (Surah Maryam, 31).
Apakah itu berkat atau barakah dalam bahasa Arab? Asal perkataan barakah ialah bertambah atau berkembang. Juga boleh bermaksud berkekalan. Al-Asfahani (meninggal 425H) menyatakan ia bermaksud kelangsungan kebaikan ilahi kepada sesuatu. (Al-Asfahani, Mufradat Alfaz al-Quran m.s 119, Damsyik: Dar al-Qalam).
Maka barakah adalah penambahan atau kelangsung kebaikan atau kurniaan Allah kepada sesuatu. Jika Allah berkati masa kita bererti berlaku penambahan dan kebaikan. Maka sejam yang diberkati tentu berbeza dengan sejam yang tidak diberkati. Setahun yang diberkati tentu berbeza dengan setahun yang tidak diberkati. Insan-insan yang berkhidmat untuk kemaslahatan manusia, Allah berkati umur mereka. Hasil yang dikeluarkan dan jasa ditaburkan kadang-kala tidak dapat dilakukan oleh orang lain walaupun jika berikan masa yang berganda.
Kita tidak boleh mengubah masa, tetapi kita boleh menjadi masa itu berkat dengan doa dan usaha-usaha yang ikhlas dan baik. Untuk merentasi kehidupan dan belantara masa banyak perkara kita tidak dapat duga. Kita mungkin merancang dengan perancangan yang hebat, tapi siapa yang dapat menjamin ia akan terjadi seperti yang dirancangkan.
rancangan
Berapa banyak rancangan buruk orang kepada kita, Allah tukar ia menjadi keuntungan dan kebaikan. Betapa banyak rancangan yang hebat, Allah tukar ia menjadi kerdil. Dunia ini bukan kita sahaja yang hidup. Berbagai rupa dugaan dan kerenah manusia yang lain.
Saya yang daif ini sejak sekian lamanya amat tersentuh dengan doa Nabi SAW Ya Haiyyum, Ya Qayyum, dengan rahmat-Mu daku memohon pertolongan. Baikilah seluruh urusanku, dan janganlah Engkau serahkan diriku ini kepadaku walaupun sekelip mata (Riwayat al-Nasai, dinilai sahih oleh al-Albani). Telah saya kongsi ia dengan pembaca dulu. Doa ini sering menjadi teman di sepanjang waktu.
Di setiap kesempatan yang mulia, saya lafazkannya. Saya kira saudara pembaca juga demikian. Menjelang tahu baru, moga Allah memberkati umur kita dan membantu segala urusan kita. Kita tidak boleh menongkah masa. Kita tidak boleh menghalang putaran masa. Kita tidak boleh menghentikan masa. Kita tidak boleh keluar dari sistem masa. Kita tidak boleh mengembalikan masa. Namun kita boleh memohon kepada Allah agar masa kita diberkati.

ARKIB : 27/12/2009

Berbeza, bukan menghina

Sikap fanatik kepada sesuatu pegangan atau jumud pemikiran boleh menatijahkan beberapa akhlak yang buruk. Antaranya, ia menyebabkan seseorang itu selalu berfikiran negatif terhadap orang yang berbeza pendapat dengannya. Ini seperti menuduh orang yang berbeza pendapat dengannya itu sebagai jahat, musuh dan seumpamanya.
Bahkan lebih buruk daripada itu mereka yang berpenyakit fanatik ini sering cenderung membuat fitnah dan tuduhan palsu kepada orang lain apabila mereka kehilangan hujah dan alasan bagi mempertahankan apa yang mereka pegang. Mereka akan mengada-adakan tuduhan palsu agar orang ramai terpengaruh dan tidak mendengar hujah pihak yang berbeza dengan mereka.
Di Malaysia umpamanya, apabila ada pihak yang menyatakan 'tiada dalil yang sahih yang menyatakan dikhususkan malam Jumaat untuk membaca Surah Yasin', maka golongan yang tidak dapat menerima perbezaan ini membuat cerita bohong kepada orang ramai kononnya 'puak tersebut menyatakan haram membaca Yasin'. Tentu mereka yang terpengaruh dengan tuduhan ini akan marah dengan kenyataan yang seperti itu. Mana mungkin haram untuk membaca Surah Yasin sedang itu salah satu surah dalam al-Quran?! Lihat bagaimana mereka mengubah kenyataan dan fakta sehingga orang menjadi keliru dan bersalah sangka terhadap maksud asal kenyataan.
Demikian juga apabila ada yang membuat kenyataan menyatakan 'tiada sebarang solat khusus untuk malam Jumaat'. Mereka yang pantang berbeza pendapat itu memberitahu orang ramai 'puak itu kata haram solat sunat malam Jumaat'. Padahal maksud tiada solat khusus itu ialah tiada solat khas sempena malam Jumaat sahaja, adapun solat-solat sunat yang biasa tiada halangan.
Ini disebut oleh baginda Nabi s.a.w: Jangan kamu mengkhususkan malam Jumaat dengan solat yang berbeza dengan malam-malam yang lain. Jangan kamu mengkhususkan hari Jumaat dengan puasa yang berbeza dengan hari-hari yang lain, kecuali ia dalam (bilangan hari) puasa yang seseorang kamu berpuasa (Riwayat Muslim).
Sikap ini akan terserlah buruknya apabila mereka pantang mendengar pandangan atau kritikan terhadap aliran mazhab yang mereka pegang sekalipun dalam keadaan yang ilmiah.
Ada orang yang marah apabila saya memberitahu pandangan ulama dahulu bahawa tempoh mengandung mungkin sehingga dua tahun, atau empat tahun, atau enam tahun atau lebih daripada itu tiada asas yang kukuh.
Katanya, 'dia siapa hendak berbeza dengan ulama-ulama dahulu yang lebih alim dan warak?! Dia lebih alim daripada merekakah?!" Padahal soal tempoh paling lama mengandung yang disebutkan itu memang tiada nas yang sahih daripada al-Quran ataupun Sunnah. Sementara yang ada hanyalah andaian beberapa ulama dahulu berasaskan khabar yang mereka dengar dari beberapa wanita. Wanita-wanita itu mungkin tidak berbohong, tetapi sangkaan mereka bahawa mereka mengandung itu tidak benar.
Apatah lagi ketika itu ujian kehamilan (pregnancy test) seperti sekarang belum wujud. Ahli perubatan moden menyatakan tempoh mengandung secara puratanya 266 hari atau sehingga 280 hari. Untuk sampai sehingga dua atau tiga atau empat tahun tidak menepati perkiraan saintifik.
Justeru itu, seorang tokoh saintis muslim Dr. Muhammad 'Ali al-Bar menyifat kenyataan ahli fekah silam tentang tempoh mengandung sehingga tiga atau empat tahun sebagai riwayat yang khurafat (tiada asas) (lihat: 'Umar Ghanim, Ahkam al-Janin fi al-Fiqh al-Islami, m.s 74, Beirut: Dar Ibn Hazm).
Apatah lagi dakwaan itu boleh mempunyai kesan yang jelas dalam kehidupan. Umpamanya, dengan berpegang kepada pendapat yang menyatakan tempoh mengandung sehingga empat tahun membolehkan seorang wanita yang kematian suami dan melahirkan anak empat tahun kemudian mendakwa dia mengandung empat tahun anak arwah suaminya. Seterusnya menuntut harta pusaka. Maka pengkajian sains moden patut didahulukan.
Menolak pendapat ulama yang lepas bukanlah bererti menghina mereka, sebaliknya berpegang kepada kajian dan ilmu. Namun golongan fanatik menganggap ini keluar mazhab dan tidak beradab.
Dalam sejarah perkembangan ilmu umat Islam berbeza pendapat dan kritikan ilmiah tidak pernah dianggap sebagai dosa dan jenayah melainkan mereka yang fanatik. Contoh al-Imam al-Zahabi (meninggal 748H) yang merupakan jaguh ilmu hadis yang agung dalam Islam ketika mengulas tentang al-Imam al-Ghazali r.h, beliau menyebut: "Aku katakan: Al-Ghazali adalah imam yang besar, namun bukanlah menjadi syarat seorang alim itu untuk dia tidak melakukan kesilapan".
Kemudian al-Zahabi mengulas berbagai perkara mengenai al-Imam al-Ghazali, antara katanya: "Adapun kitab al-Ihya padanya ada sejumlah hadis-hadis yang batil. Sekiranya tidak ada padanya adab, cara dan zuhud yang diambil dari ahli falsafah dan golongan sufi yang menyeleweng, padanya ada kebaikan yang banyak.
Memohon
Kita memohon daripada Allah ilmu yang bermanfaat. Tahukah anda apa itu ilmu yang bermanfaat? Ia apa yang dinyatakan al-Quran dan ditafsirkannya oleh Rasulullah secara perkataan dan perbuatan. Sabda Nabi SAW: sesiapa yang berpaling dari sunnahku, maka dia bukan dari kalanganku (Al-Zahabi, Siyar A'lam al-Nubala 19/339). Ini bukan permusuhan tetapi tugas kesarjanaan yang dilakukan oleh al-Imam al-Zahabi.
Tokoh ilmuwan besar al-Imam Ibn 'Abd al-Barr (meninggal 463H) ketika mengulas pendapat tabi'i terkenal Mujahid bin Jabr mengenai maksud ayat 22-23 dalam Surah al-Qiyamah, beliau menyanggahi pendapat Mujahid bin Jabr. Padahal Mujahid merupakan anak murid sahabah ilmuwan besar dalam bidang tafsir iaitu Ibn 'Abbas. Kata Ibn 'Abd al-Barr: "Tetapi pendapat Mujahid ini ditolak dengan sunnah yang sabit daripada Nabi s.a.w, perkataan-perkataan sahabah dan mijoriti salaf. Pendapat Mujahid ini di sisi Ahl al-Sunnah adalah pendapat yang ditinggalkan.
Apa yang menjadi pegangan Ahl al-Sunnah ialah yang sabit daripada Nabi mereka mengenai perkara tersebut (maksud ayat berkenaan). Tiada di kalangan ulama melainkan boleh diambil atau ditolak pendapatnya, kecuali Rasulullah SAW" (Ibn 'Abd al-Barr, Al-Tamhid, 7/157, Morocco: Wizarah 'Umum al-Auqaf).
Ini bukan bererti menghina Mujahid ataupun gurunya Ibn 'Abbas.
Bahkan kita dapati dalam sejarah ilmuwan, pandangan sahabat Nabi SAW ada yang dikritik. Bukan tanda benci atau tidak hormat, tetapi tanggungjawab keilmuwaan. Umpamanya al-Hafizd Muhammad bin Tahir al-Qaisarani (meninggal 507H) ketika menceritakan ketokohan sahabat Nabi yang mulia lagi dicintai, 'Abd Allah bin Mas'ud, beliau mengulas: Sesungguhnya beliau ('Abd Allah bin Mas'ud) adalah antara tokoh sahabah, jaguh ilmuan dan pemimpin kepada hidayah.
Namun begitu beliau memiliki qiraat dan fatwa yang tersendiri yang disebut dalam kitab-kitab ilmu. Setiap imam itu boleh diambil dan ditinggalkan pekataannya, kecuali imam golongan ahli taqwa, yang benar lagi diakui kebenarannya, yang amanah lagi maksum (Rasulullah) selawat dan salam ke atasnya. Alangkah hairannya, apabila seseorang alim menjadikan agamanya mengikut diri seseorang imam dalam setiap apa yang diucapkan, sedangkan dia tahu wujudnya nas-nas nabawiyyah (sunnah) yang menolak mazhab imamnya.Tiada kekuatan melainkan dengan Allah jua". (Muhammad bin Tahir al-Qaisarani, Tazkirah al-Huffadz, 1/16, Riyadh: Dar al-Sumai'i).
Dalam dunia ilmu, berbeza pandangan tidak pernah dianggap jenayah. Namun golongan yang fanatik selalu mencari jalan permusuhan dengan mengandaikan sesiapa yang berbeza dengan tokoh tertentu maka dia menghina dan tidak beradab. Selagi pandangan itu diberikan dalam lingkaran ilmu dan perbincangan ilmiah tanpa maki dan cerca, maka itu adalah dunia ilmu yang patut diberikan haknya.
Jangan kerana kita begitu rakus agar semua cakap kita didengari apabila ada orang berbeza dengan kita, dia dianggap musuh. Marilah kita belajar menilai pandangan dan menghormati perbezaan. Berbeza bukan bererti menghina. Kata al-Imam al-Zahabi juga: "Setiap orang boleh diambil dan ditolak pendapatnya, kecuali Rasulullah SAW. Namun jika seseorang imam itu tersilap dalam ijtihadnya, tidak wajar untuk kita melupai kebaikan-kebaikannya dan menutup amalan-amalan makrufnya. Bahkan kita beristighfar untuknya dan memaafkannya" (Al-Zahabi, Siyar A'lam al-Nubala, 18/157).

ARKIB : 20/12/2009

Al-Qaradawi: Tokoh tajdid

Kedatangan Dr. Yusuf al-Qaradawi ke Malaysia amat dialu-alukan. Walaupun saya tidak sempat mengikuti ucapan beliau pagi semalam yang khabarnya berkaitan buku terbarunya Fiqh al-Jihad, tetapi saya telah pun membeli buku tersebut sejak dua bulan lepas. Buku tersebut merupakan karya terbesar beliau selepas Fiqh al-Zakah.
Saya antara pengkagum Dr. Yusuf al-Qaradawi. Bukan kerana namanya, tetapi kerana kesarjanaannya. Buku-bukunya mempunyai nilai analisis dan kebebasan akal dari sebarang fanatik mazhab. Beliau adalah tokoh tajdid yang menyeru kepada keluasan fikah dan kemerdekaan minda dari ketaksuban pandangan tokoh kepada penilaian setiap pendapat dengan adil berteraskan al-Quran dan a-Sunnah.
Dalam buku terbarunya itu beliau menyebut tentang kaedah dalam penulisannya: “Mengambil manfaat dari khazanah fikah islami dan mengiktiraf lautannya yang luas dengan tidak cenderung kepada hanya satu mazhab tanpa melihat mazhab yang lain, atau terikat dengan satu imam tanpa melihat imam yang lain.
Bahkan kita menganggap peninggalan besar ini (khazanah fikah) milik setiap pengkaji untuk dia menyelaminya dasarnya, membongkar simpanannya, menggali setiap penjurunya, membandingkan antara satu pendapat dengan pendapat yang lain, satu dalil dengan dalil yang lain tanpa taksub kepada satu pandangan atau taklid berterusan kepada satu mazhab.
Bahkan kadang-kala kita mengambil pendapat Abu Hanifah, kemudian pendapat Malik, kemudian pendapat Syafii, kemudian pendapat Ahmad, kemudian pendapat Daud (maksudnya Daud al-Zahiri-pen). Bahkan mungkin dalam beberapa perkara kecil kita keluar dari mazhab sunni kepada mazhab Zaidiyyah, ataupun Ja‘fariyyah ataupun Ibadiyyah jika kita dapati penyelesaian masalah dalamnya. Mungkin juga kita akan mengambil sebahagian pendapat mazhab yang hilang seperti Mazhab al-Auza‘i, Mazhab al-Thauri dan Mazhab al-Tabari.
Bahkan kita kadang kala akan keluar dari kesemua mazhab itu pergi ke dataran luas fikah para sahabat Nabi SAW, tabi‘iin, dan atba’ al-tabi‘in yang mana mereka ini tiada mempunyai sebarang mazhab yang diikuti. Mereka seperti al-Khulafa al-Rasyidin, Ibn Mas‘ud, Ibn ‘Umar, Ibn ‘Abbas, ‘Aishah, Mu‘adz, Ubai bin Ka‘ab, Zaid bin Thabit dan para sahabat r.ahum yang lain.
Demikian juga murid-murid mereka seperti mereka yang dikenali sebagai fuqaha (ahli fikah) yang tujuh di Madinah, juga selain mereka di Mekah, Kufah, Basrah, Mesir, Syam dan wilayah-wilayah yang lain yang para sahabah dan murid-murid mereka bertebaran. Antaranya; Sa‘id bin al-Musayyib, Sa‘id bin Jubair, ‘Ikrimah, Mujahid, Ata‘, Tawus, al-Hasan al-Basri, Ibn Sirin, ‘Alqamah, al-Aswad, Masruq, al-Nakha‘i, al-Laith bin Sa‘d dan selain mereka…" (Fiqh al-Jihad, 1/24, Kaherah: Maktab Wahbah).
Saya fikir jika ada orang yang ingin berpegang dengan keluasan mazhab atau intelektualisme yang seperti itu di Malaysia tentu akan ada yang menuduh ini puak ‘derhaka mazhab’, tidak beradab dengan jasa orang-orang lama kita, keluar mazhab Syafi‘i, rasa terlalu pandai dan berbagai lagi. Bahkan lebih trajik; wahabi dan sesat.
Kesempitan
Sebab itulah barangkali pandangan-pandangan agama kita membeku dan generasi baru tidak dapat melihat keluasan Islam akibat kesempitan jendela fikir kita. Kita kononnya ingin menghormati khazanah agama di Tanah Melayu sehingga kita melarang orang lain meneliti pandangan luar mazhab, padahal kita lupa tindakan seperti itu menyebabkan kita menyisihkan sekian banyak khazanah kesarjanaan dari berbagai-bagai aliran pemikiran dalam umat ini.
Bukan salah bermazhab, tetapi salahnya itu fanatik mazhab sehingga menganggap setiap yang luar itu salah dan enggan menilai lagi pendapat yang dipakai hanya kerana ‘ini mazhab kita'.
Sebab itu Dr Yusuf al-Qaradawi ketika memperkatakan tentang Manhaj Mu‘asir li al-Fatwa (Kaedah Semasa Dalam Fatwa) menyebut perkara pertama adalah “Membebaskan diri dari fanatik dan taklid”.
Beliau menyebut: “Pertama, membebaskan diri dari fanatik mazhab dan mengikut secara buta tuli kepada si fulan dan si fulan, sama ada dia dalam kalangan ulama terdahulu atau kemudian. Dikatakan " tidak bertaklid itu melainkan seorang fanatik atau dungu”. Aku tidak rela untuk diriku salah satu dari sifat tersebut. Membebaskan diri dari fanatik mazhab itulah sebenarnya merupakan penghormatan yang sepenuhnya kepada para imam dan fakih (ahli fikah).
Tidak bertaklid kepada mereka bukanlah merendahkan kedudukan mereka, sebaliknya itulah yang menepati jalan mereka, juga melaksanakan wasiat mereka agar tidak bertaklid kepada mereka. Kita mengambil agama dari sumber yang mereka ambil (al-Quran dan al-Sunnah). Juga tidak bertalkid kepada mereka bukanlah bererti mengabaikan fikah dan warisan mereka. Sebaliknya, sewajarnya merujuk dan mengambil faedah daripadanya, dari pelbagai aliran tanpa berat sebelah ataupun fanatik. Pendirian seperti ini tidak mensyaratkan seorang sarjana muslim yang berdikari kefahamannya itu mesti sampai ke peringkat ijtihad mutlak seperti para imam yang terdahulu.” ( al-Qaradawi, al-Fatwa bain al-Indibad wa al-Tasaiyub, m.s 101, Beirut: al-Maktab al-Islami).
Ungkapan kemerdekaan ilmu dan kebebasan diri dari kongkongan taksub amat dimusuhi oleh sesetengah pihak. Oleh kerana sejak sekian lama mereka dipayung oleh rasa fanatik lalu mereka tidak akan bertanya atau mempersoalkan lagi apa yang dilontarkan oleh guru mereka sehingga pemikiran agama menjadi longlai dan dihakiskan oleh cabaran zaman.
Namun kelompok agama ini tetap ingin mewarisi takhta ‘empayar agama’ yang tokoh-tokohnya tidak boleh dipersoal, atau pandangan mereka dibincang semula, maka mereka pun mengeluarkan fatwa ‘siapa keluar mazhab dia sesat’, atau ‘siapa banyak tanya atau mengkritik pandangan kita atau kebiasaan kita dia biadap’, bahkan siapa yang cuba memahami Islam di luar dari yang kita terangkan maka ‘dia sesat dan terkeluar dari Ahlus Sunnah’. Seakan bagi mereka ini para sarjana Islam dari mazhab-mazhab yang lain kesemuanya sesat dan bukan Ahlus Sunnah sehingga kita dilarang memahami dan berpegang dengan kajian mereka. Hal ini bertambah buruk apabila aliran tarekat turut berkembang dalam negara kita kebelakangan ini. Ramai dalam kalangan tarekat yang memegang tradisi ‘jangan tanya, ikut saja’ amat marah melihat gerakan pembaharuan yang meminta agar fungsi akal dihidupkan dalam mengikuti agama ini. Islam adalah agama fitrah dan waras. Akal mempunyai kedudukan yang penting dalam Islam sehingga orang gila atau belum sempurna akalnya tidak diletakkan atas neraca dosa dan pahala.
Walaupun al-Qaradawi tidak fanatik kepada mana-mana tokoh, namun ini bukan bererti tiada tokoh kesayangan atau tokoh yang beliau kagumi. Dr al-Qaradawi pernah menyebut “Al-Imam Ibn Taimiyyah ialah daripada kalangan ulama umat yang aku sayangi, bahkan barangkali dialah yang paling jantung hatiku sayangi di kalangan mereka dan paling dekat kepada pemikiranku” (Al-Qaradawi, Kaif Nata‘amul ma‘a al-Sunnah, m.s. 170, Mesir: Dar al-Wafa).
Hampir kesemua buku-buku Dr al-Qaradawi dipenuhi nukilan dari Syeikhul Islam Taimiyyah (meninggal 728H) dan muridnya al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (meninggal 751H). Ini kerana dua tokoh agung ini terkenal dengan usaha tajdid membangunkan semula umat dan membebaskan mereka dari daerah fanatik, jumud dan ‘malas berfikir’.
Kata al-Qaradawi dalam al-Thaqafah al-‘Arabiyyah al-Islamiyyah: “Ibn Taimiyyah dan institusinya adalah salafis. Mereka itu benar-benar tokoh tajdid (revival). Tiada seorang pun yang cuba menafikan pemikiran tajdid mereka, melainkan dia seorang yang keras kepala.” (m.s 59, Kaherah: Maktab Wahbah).
Menuduh
Golongan fanatik mazhab seperti Ahbash membantah beliau kerana suka merujuk kepada Ibn Taimiyyah. Kata al-Qaradawi: “Termasuk perkara yang pelik, mereka golongan Ahbash ini mentohmah aku ini wahhabi dan taksub dengan para imam Wahhabi, kerana seringkali aku apabila bercakap mengambil daripada Ibn Taimiyyah dan Ibn al-Qayyim dan madrasah mereka berdua, mereka (Ahbash) menuduh Ibn Taimiyyah dan Ibn al-Qayyim ini menyalahi ijma’ dalam persoalan ini dan itu..”.
Di Malaysia, kelompok anti-Ibn Taimiyyah bersarang di sesetengah pondok-pondok, jabatan-jabatan agama dan beberapa institusi yang lain. Ada yang keluar dalam TV dan akhbar menyesatkan Ibn Taimiyyah, bahkan mengkafirkannya. Jika mereka baca karya al-Qaradawi tentu tuduhan yang sama akan dikenakan kepada beliau.
Maka al-Qaradawi juga tidak terlepas dari berbagai tohmahan. Beliau pernah dituduh sebagai liberalis, wahabis dan berbagai lagi. Tuduhan itu datang dari berbagai, sama ada kelompok fanatik mazhab, fanatik tarekat, juga yang aliran salafi jalur keras yang jumud. Bahkan ada buku yang melabelnya sebagai ‘anjing yang menyalak’.
Dalam masa yang sama Barat juga melancarkan permusuhan dengan beliau. Ini kerana beliau bekerja untuk Islam, menulis, berceramah dan merancang. Sebelum al-Qaradawi menjadi ‘gergasi’ dengan nama yang besar seperti sekarang, beliau juga pernah memasuki penjara. Bahkan ketika ini pun ada negeri yang tidak membenarkan beliau masuk. Demikian hari-hari yang mesti dilalui dalam melakukan agenda dakwah dan pembaharuan. Seorang tokoh itu tetap tokoh dan akan ada yang membelanya.

ARKIB : 13/12/2009

Salah guna nama ijmak

Setiap kali berlaku kebangkitan pemikiran Islam menghadapi cabaran baru sesuatu zaman kita akan dapati para penentang utama kebangkitan pemikiran Islam itu kadang-kala akan terdiri dari kelompok konservatif agama itu sendiri. Mereka ini bimbang jika berlaku kebangkitan umat menghadapi cabaran baru mereka akan dianggap sudah 'tidak laku' atau menghadapi 'tarikh luput' di kerusi-kerusi empuk atas nama agama yang mereka duduk atau pengaruh agama yang mereka kuasai. Mungkin juga yang menentang itu mereka yang bimbang apabila berlaku reformasi umat dalam mengembalikan ajaran Islam kepada sumbernya yang tulen iaitu al-Quran dan al-Sunnah akan menyebabkan aliran anutan mereka terjejas. Mereka ini biasanya terdiri dari kelompok tarekat, juga kelompok agama yang selalu mengenakan caj atau bayaran yang berbagai-bagai atas nama agama. Mereka ini menjadikan agama sebagai sumber pendapatan. Berbagai petua agama dari kesihatan sehingga kematian dikeluar serentak dengan berbagai bayaran pun dikenakan. Sehingga masyarakat merasa soal dunia atau harta itu kerja kita, soal akhirat atau agama itu kerja golongan agama. Lalu mereka rasa mereka cari harta untuk hidup di dunia, sementara akhirat mereka serahkan kepada kelompok agama ini untuk uruskan dengan bayaran yang diberikan. Maka agama dijadikan alat untuk kuasa dan harta. Sebab itu kelompok ini akan menggunakan senjata agama dalam mempertahankan domain mereka ini.
Apabila ada yang menegur, bagi menjaga kedudukan mereka tuduh berbagai tuduhan. Antaranya, pengkritik menyanggahi 'ijmak ulamak'. Maka golongan agama ini mendapat lesen besar untuk bercakap apa sahaja mengenai agama atas alasan mereka adalah ulama, jika menentang pendapat mereka bererti menentang pendapat ulama. Jika menentang pendapat ulama bererti tidak berpegang kepada ijmak ulama. Sesiapa yang tidak berpegang dengan ijmak ulama bererti menolak sumber rujukan Islam yang ketika iaitu selepas al-Quran dan Hadis, al-Ijma'. Kesan, membawa kepada kekufuran.
Sehingga kita berjumpa orang awam yang disalahfahamkan menyebut 'kita tidak boleh berpandukan al-Quran dan hadis sahaja, kita kena ikut apa kata ustaz kerana ustaz itu ulamak dan kita kenalah ikut ijmak ulama'. Bila ditanya dia apakah itu ijmak ulama? Jawabnya "Pendapat ulama-ulama kita la..". Demikianlah atas kejahilan orang awam, atau sengaja mereka dijahilkan maka sebahagian pihak menikmati lesen besar untuk menggunakan agama atas tiket ijmak ulama. Justeru, wajib kita fahamkan masyarakat apakah itu al-Ijma' atau Ijmak Ulama Mujtahidin yang dijadikan sumber ketiga dalam pengambilan hukum-hukum Islam. Ijmak sebenar itu dijunjung dan dipegang. Cumanya, apakah itu al-Ijma' yang sebenar?
Takrif bagi perkataan al-Ijma' ini di sisi majoriti ulama ialah "Kesepakatan seluruh para mujtahidin (ahli ijtihad) dalam kalangan umat Muhammad s.a.w, selepas kewafatan baginda, pada sesuatu zaman, mengenai sesuatu hukum syarak". (lihat: Wahbah al-Zuhaili, Usul al-Fiqh al-Islami, 1/490, Beirut: Dar al-Fikr). Inilah takrif ijmak. Kita akan temuinya atau takrif yang hampir menyamainya dalam hampir semua buku usul fekah klasik dan semasa.
kesepakatan
Dari takrif ini beberapa perkara mesti kita faham sebelum kita menamakan sesuatu perkara itu sebagai ijmak ulama, antaranya; ijmak itu adalah kesepakatan tanpa kecuali seluruh para ahli ijtihad pada sesuatu zaman. Maksudnya, para mujtahidin tanpa mengira perbezaan mazhab fekah, tidak terbatas kepada empat mazhab sahaja, tidak kira di mana berada bersetuju dengan hukum berkenaan. Jika ada yang berbeza pendapat walaupun seorang, maka itu tidak boleh dianggap ijmak. Bayangkan para mujtahid dalam berbagai aliran fikir dan mazhab yang sering berbeza boleh bersepakat dalam perkara tersebut. Maka betapa sukarnya untuk berlakunya ijmak sebenar melainkan dalam perkara-perkara yang jelas nasnya.
Maka sekadar kesepakatan ulama mujtahidin sesuatu mazhab, atau negara tertentu seperti Madinah, atau Mekah, atau Arab Saudi seluruhnya, atau Jordan, atau Indonesia atau Malaysia tidak dianggap ijmak kerana ia bukan kesepakatan seluruh para mujtahid (lihat: Dr 'Abd al-Karim Zaidan, al-Wajiz fi Usul al-Fiqh, 180, Beirut: Muassasah al-Risalah). Maka dakwaan sesetengah kelompok agama di Malaysia bahawa 'arus perdana' atau main stream atau kebiasaan ulama Nusantara itu sebagai ijmak ulama adalah tidak tepat. Juga keputusan majlis fatwa mana-mana negara dalam perkara-perkara ijtihadiyyah (terdedah kepada pandangan yang pelbagai) tidak boleh dianggap ijmak ulama.
Kedua, kesepakatan itu hendaklah kesepakatan para mujtahid iaitu ahli ijtihad bukan tokoh agama, atau ustaz atau tok guru atau penceramah agama semata. Mujtahid bermaksud mereka yang sampai ke peringkat mampu beristinbat (merumuskan) hukum-hukum syarak dari dalil-dalilnya. Mereka ini bukan sekadar muqallid atau hanya sekadar mengikut pendapat atau fatwa orang lain, sebaliknya mereka sendiri berkemampuan merumuskan fatwa dengan ijtihad sendiri, maka kesepakatan mereka ini yang diambil kira. Adapun kesepakatan mereka yang sekadar memakai gelaran ulama sedangkan bukan ahli ijtihad dan masih bergantung kepada fatwa mazhabnya, atau orang lain maka kesepakatan mereka tiada nilaian dalam ijmak kerana mereka bukan mujtahid. Sebab itu Dr Yusuf al-Qaradawi pernah menyebut: "Tiada dalil wajib mengikut mana-mana imam mazhab sama dari nas al-Quran atau sunnah atau ijmak. Pendapat golongan muqallidin (pengikut mazhab) bahawa wajib mengikut mazhab tidak diambil kira. Ini kerana al-Ijma' yang muktabar ialah kesepakatan para mujtahidin pada sesuatu zaman bukan kesepakatan para muqallidin" (Dr. Yusuf al-Qaradawi, Taisir al-Fiqh li al-Muslim Mu'asir, 38, Beirut: Muassasah al-Risalah).
Apabila kita tahu hal ini maka jelaslah bukan senang untuk mendakwa sesuatu perkara sebagai ijmak ulama. Banyak perkara yang didakwa ijmak sebenarnya tidak ijmak. Sesetengah pihak mudah benar menyebut ijmak ulama sedangkan tidak demikian. Umpamanya, dakwaan yang menyatakan ijma ulama wajib hukuman hudud ke atas peminum arak. Padahal ada dalam kalangan ulama mujtahidin yang berpendapat tiada hukuman hudud ke atas peminum arak. Juga dakwaan Ibn Munzir bahawa telah berlaku ijmak menyatakan bahawa zakat harta tidak boleh diberikan kepada bukan muslim juga bercanggah dengan riwayat daripada al-Zuhri, Ibn Sirin dan Ikrimah yang membolehkannya. Inilah apa yang zahir dari mazhab Saidina 'Umar bin al-Khattab. Banyak sentuhan penting lain yang disebut oleh Dr Yusuf al-Qaradawi mengenai ijmak ini dalam bukunya Taisir al-Fiqh li al-Muslim Mu'asir .
Banyak perkara yang disebut sebagai ijmak ulama itu padahal hanya pendapat beberapa orang ulama atau ulama mazhab tertentu, atau negara tertentu, atau aliran tertentu, atau majlis fatwa tertentu bukan ijmak sebenar yang wajib kita mematuhinya. Tuduhan sesetengah pihak bahawa si fulan menyanggahi ijmak ulama itu belum tentu benar. Bahkan mungkin tuduhan palsu jika sekadar menyanggahi pendapat ulama kelompok atau aliran atau negara tertentu sahaja. Pandangan ilmuwan atau ulama itu dihormati, tetapi bukanlah sampai ke darjat ijmak yang diwajibkan kita patuh tanpa bantah. Selagi ia bukan ijmak, padangan selainnya bukan diberikan. Kata Dr Wahbah al-Zuhaily: "Kerapkali kita terjumpa dalam buku-buku mazhab fekah seseorang ahli fekah berdalil dengan perkataan al-ijma' (ijmak). Kadangkala kita dapati dalam perkara yang mazhab-mazhab berbeza pendapat, tetapi setiap mazhab mendakwa ijmak menyokong pendapat imam mereka. Ini menjadikan ijmak berlaku dengan banyak. Kata al-Ustaz Abu Ishak al-Isfaraiini: "Kita tahu bahawa masalah-masalah ijmak lebih dari dua puluh ribu. Adakah dakwaan ini benar?! Adakah ini ijmak yang diiktiraf sebagai sumber ketiga syariat islam?! Inikah ijmak yang istimewa berbanding dengan ijmak dalam ilmu lain?! Bagaimanakah mungkin untuk diserasikan perkataan para ahli fekah ini dengan apa yang disebut oleh majoriti ulama Usul fekah bahawa ijmak adalah hujah yang putus menjadi kafir sesiapa yang membantahnya?! Sebenarnya, tidak boleh dipegang ijmak-ijmak fekah ini melainkan setelah dipastikan dan diselidiki. Barangkali yang dikatakan ijmak itu hanya sekadar pendapat kebanyakan, bukan semua mujtahid. Boleh jadi hanya pendapat imam-imam yang empat sahaja, bukan selain mereka. Atau boleh jadi pendapat ulama mazhab tertentu, bukan selain mereka. Atau mungkin mereka tidak tahu ada yang berbeza dengan mereka. Biasanya mereka maksudkan dengan ijmak itu kesepakatan mazhab tertentu" (Dr. Wahbah al-Zuhaili, Usul al-Fiqh al-Islami, 1/488-489).
Maka kita anda memberikan pendapat yang berbeza dengan tokoh agama, atau ustaz atau majlis agama atau tokoh ilmuwan tertentu, bukanlah bererti anda menyanggahi ijmak ulama. Dalam banyak perkara ulama berbeza pendapat, anda berhak memilihnya dengan adil dan faham. Berbeza dengan sesetengah ulama tiada salahnya jika ada alasan yang betul. Apatahlagi jika yang dikatakan ulama itu bukan ulama. Atau ulama, tetapi sekadar muqallidin sahaja. Jangan salahfaham maksud ijmak ulama dan jangan salah guna nama ijmak ulama!

ARKIB : 06/12/2009

Antara doa dan politik

Baru-baru heboh isu seorang tokoh politik telah mendoakan agar keburukan menimpa pemimpin negara. Doa ini adalah tindakan balas bagi isu royalti minyak Kelantan. Berbagai pandangan dikeluarkan. Biasanya, penyokong parti politik masing-masing akan memberikan pandangan yang berpihak.
Kesemua pihak cuba membela tokoh partinya. Itulah salah satu keburukan politik kepartian apabila fanatik menyelimuti diri.
Golongan agama yang berkepentingan pun akan mengambil kesempatan mengampu pihak yang boleh memberi manfaat keduniaan kepada mereka.
Maka pandangan dan hukum agama akan diberikan berasaskan kepada keperluan politik, bukan tuntutan nas dan penilaian realiti yang berlaku. Sedangkan nas syarak itu asas, sedangkan realiti itu dinilai dalam melihat adakah wujud keserasian untuk dipadankan nas tertentu dengan konteksnya yang sesuai.
Maka perkara pertama seorang pengkaji Islam hendaklah memahami apakah dalil-dalil syarak dalam sesuatu perkara. Kedua, adakah dalil-dalil itu bertepatan dengan realiti atau konteks yang wujud. Umpamanya perkara yang pernah saya sebutkan dahulu tentang hukum menjawab salam bukan Muslim. Nabi SAW bersabda: "Sesungguhnya Yahudi apabila memberi salam kepada kamu, sebenarnya dia menyebut: as-samu 'alaika (maut atau kemusnahan). Maka kamu jawablah wa 'alaika (ke atas kamu). (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Maka ertinya menjawab salam bukan Muslim dengan ucapan 'wa 'alaika' itu hanya dalam konteks di mana mereka memberi salam dengan cara dan niat yang jahat, bukan dalam keadaan yang apabila salam diberikan dengan sopan dan hormat.
Ertinya melihat nas dalam realitinya adalah penting bagi seorang sarjana dalam memahami sesuatu hukum. Perbezaan keadaan boleh membawa kepada perbezaan hukum. Namun, dalam menilai hukum ia mestilah bertitik tolak dari dalil-dalil syarak, kemudian memahami dalil-dalil tersebut dalam realitinya yang sebenar.
Saya bukan ingin berbicara tentang doa politik tersebut, tetapi ingin berbalik kepada isu doa keburukan kepada sesama Muslim, boleh atau tidak?.
Ada yang menjawab sama sekali tidak boleh. Ada pula yang menjawab sama sekali boleh. Mungkin ada yang fanatik parti akan menjawab, doa untuk parti musuh boleh, parti sendiri tak boleh. Itu pun belum lagi kita tanya dia 'Bagaimanakah mengklasifikasi perkataan 'musuh' menurut Islam?!
Sebelum kita melihat ke dalam konteks bersaing politik dan salahguna agama dalam suasana politik yang ada, mungkin seseorang boleh menjadikan soalan itu lebih mudah dihayati dan difahami dengan bertanya; "Jika seseorang Muslim menzalimi saya, bolehkah saya doakan agar Allah mengambil tindakan atau menghukumnya di dunia?".
Maka di sinilah memerlukan dalil-dalil syarak dalam menetap asas ini. Kemudian, barulah kita akan lihat konteksnya, iaitu adakah orang yang dikatakan zalim itu memang benar-benar zalim?! Kemudian, adakah setimpal kadar kezaliman itu dengan isi doa yang dilafazkan?!
Dalam hidup kita ini kita mungkin akan menemui manusia yang mengaku Muslim tetapi sangat jahat, menganiayai dan menzalimi kita. Menipu, memfitnah dan menyiksa kita; boleh atau tidak kita berdoa agar Allah mengambil tindakan kepadanya?
Lebih jelas jika kita kenang wanita yang dirogol, atau diragut sehingga cacat, atau keluarga dibunuh, adakah mereka diizinkan Islam agar berdoakan kepada Allah untuk menurunkan musibah atau balasan dunia kepada orang menzalimi mereka?!
Ungkapan sesetengah tokoh agama bahawa sama sekali tidak boleh doa bala atau keburukan kepada Muslim sekalipun zalim adalah kurang teliti dan menafikan nas-nas yang mengizinkan hal ini. Sementara kenyataan yang menyebut boleh secara mutlak berdoa agar diturunkan bala kepada Muslim atau bukan Muslim tanpa meneliti kadar yang dikatakan zalim itu, atau musibah yang diminta itu akan menyebabkan doa menjadi permainan lidah dan berlaku perbuatan melampau dalam berdoa.
Diizinkan
Namun kita percaya Allah Yang Maha Bijaksana tidak akan menerima doa yang tidak betul atau disalahgunakan.
-Dr. Mohd Asri Zainul Abidin ialah bekas Mufti Perlis.

ARKIB : 29/11/2009

Bukan sekadar cerita

KETIKA saya menulis artikel ini, saya berada di Bandung, Indonesia. Datang bersama teman-teman berhari raya Aidiladha ke sini serta berpeluang untuk berceramah dan berkhutbah. Nasib baik tiada pihak yang datang menuntut tauliah ketika saya berceramah dan berkhutbah di sini.
Nampaknya ruang dakwah itu tetap ada di mana-mana. Bumi Tuhan ini luas dan insya-Allah ruang dakwah akan tetap terbuka. Dakwah ini bukannya kegiatan sampingan untuk satu kesukaan, atau mencari kekayaan tetapi adalah tanggungjawab dan amanah.
Amanah yang menyebabkan pelaksananya berletihan kerananya. Amanah yang akan menyebabkan terkorbannya kerehatan, harta, bahkan nyawa. Amanah yang akan mengheret insan ke lembah ujian. Namun ia juga amanah yang menyebab insan merasai nikmat kelazatan iman.
Amanah yang menyebabkan insan yang melaksanakannya bebas dari ketakutan terhadap makhluk dan hanya takutkan Allah. Firman Allah: (maksudnya) Mereka yang menyampaikan risalah-risalah Allah serta mereka takut kepada-Nya, dan mereka pula tidak takut kepada sesiapa pun selain Allah, dan cukuplah Allah menjadi penghitung (segala perbuatan makhluk) (Surah al-Ahzab, ayat 39).
Setiap kali menjelang musim Aidiladha, maka berceramahlah di sana-sini berbagai penceramah tentang pengorbanan. Berceritalah tentang Nabi Ibrahim a.s sebagai simbol insan yang berkorban. Pun kita tidak tahu, adakah penceramah yang berbicara tentang pengorbanan itu telah berkorban untuk agamanya, atau sekadar untuk poketnya?
Apakah ucapan itu lahir dari insan yang telah merasai jerit perit pengorbanan perjuangan, atau sekadar memenuhi jemputan sahaja. Maka jadilah ucapan-ucapan itu kontang dari segi rohnya dan tandus dari segi realitinya. Maaf, dalam banyak keadaan kita banyak penceramah atau yang disebut ‘qussas’ namun kita kurang pendakwah yang menjadikan agenda ummat itu sebahagian dari kehidupannya.
Qussas tidak mementingkan ketulenan fakta, sebaliknya yang dipentingkan ‘orang suka dengar’ sekalipun tiada terasnya. Bak kata al-Syeikh Muhammad ‘Ajjaj al-Khatib: “Kebanyakan qussas (tukang cerita) mereka hanya pentingkan orang ramai berkumpul kepada mereka. Maka mereka pun mencipta hadis apa yang boleh disukai dan membangkitkan jiwa orang ramai, menggerakkan perasaan dan memberikan harapan.
‘‘Di kalangan para qussas ada yang melakukan itu semua demi untuk memperolehi habuan dan faedah dari pendengar. Kebanyakan bala datang daripada mereka. Mereka berdusta kepada Nabi SAW dan tidak pula menganggap itu sebagai dosa dan pembohongan. Peliknya, mendukacitakan mereka memperolehi pula telinga-telinga yang sudi mendengar, membenarkan dan membela mereka. Ini disebabkan kejahilan orang awam yang tidak mementingkan kajian dan penelitian”. ( Muhammad ‘Ajjaj al-Khatib, Usul al-Hadith, m.s. 424, Beirut: Dar al-Fikr).
Adapun bagi pendakwah, masa depan Islam, penerimaan masyarakat terhadap Islam, kelangsungan mesej Islam dan pandangan baik manusia terhadap agama ini akan menjadi agenda penting dalam kehidupannya.
Bercerita tentang pengorbanan dan menghayati pengorbanan adalah dua perkara yang berbeza. Untuk berbicara amatlah mudah, ramai penceramah boleh lakukannya. Namun untuk menanggung dakwah dan segala tribulasinya amatlah sukar. Nabi SAW dan para sahabat baginda telah merentasi lembah ujian yang perit untuk membawa dakwah ini. Di situlah mereka terpaksa membelanjakan harta, menanggung sengsara dan keperitan hidup, bahkan menggadaikan nyawa. Bukan untuk kepentingan mereka semata, tetapi untuk manusia sejagat.
Di situlah mereka hayati kemanisan iman, kelazatan perjuangan, kenikmatan persahabatan juga kasih-sayang yang sebenar dari lubuk jiwa para pejuang. Di situ mereka menemui cinta yang sejati kepada Allah dan Rasul-Nya. Ketika dunia kehairanan melihat mereka bagaikan memperjudikan diri untuk membawa risalah Tuhan, padahal mereka sebenarnya tenggelam khusyuk dalam lautan nikmat kecintaan dan tawakal kepada yang Maha Esa.
Berita lanjut, sila rujuk edisi cetakan Mingguan Malaysia atau langgani e-Paper di http://ebrowse.bluehyppo.com/utusan/index.asp

ARKIB : 22/11/2009

Bahaya pemikiran kelompok Ahbash

SUKA mengkafir dan menyesatkan orang lain bukan akhlak muslim. Ahlul Sunnah wal Jamaah berpegang kepada asas tidak mengkafirkan individu Muslim lain melainkan terdapat bukti yang yakin tanpa syak dan tidak keuzuran lagi yang boleh diberikan kepadanya.
Sabda Nabi SAW: Sesiapa yang memanggil orang lain dengan ‘kafir’ atau ‘musuh Allah’ sedang dia tidak begitu, maka tuduhan itu kembali kepadanya (penuduh) (riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Sikap suka menuduh orang lain kafir atau sesat sewenang-wenangnya merupakan penyakit jiwa yang terpendam dalam dada si penuduh yang berpunca daripada keegoan, sikap pantang berbeza pendapat, suka monopoli kuasa dan suka menyalahgunakan agama. Lebih bahaya daripada itu, sikap suka mengkafir ini akan membawa kepada perbalahan yang meruncing dalam masyarakat Islam, bahkan sering membawa kepada tumpah darah yang banyak terjadi dalam sejarah umat ini.
Kebelakangan ini kita dapati ada pihak yang tidak menerima beberapa pandangan pembaharuan atau tajdid dalam masyarakat kita. Tidak dapat menerima itu tidak menjadi masalah, kerana memang adat kehidupan untuk manusia berbeza pendapat. Tetapi apabila mereka yang enggan menerima pandangan yang dianggap berbeza dengan tradisi yang mereka pertahankan itu mula menggunakan pendekatan kafir mengkafir dan sesat menyesat, ini amatlah merbahaya.
Antara aliran yang terkenal suka mengkafirkan orang lain ialah aliran Ahbash. Ahbash adalah aliran atau puak yang berpusat di Lebanon yang diasaskan oleh seorang lelaki Habsyi atau Afrika yang dikenali dengan nama Abdullah al-Harari. Mereka mendakwa sebagai Ahlul Sunnah Wal Jamaah sejati dan sesiapa yang berbeza pendapat dengan mereka menjadi sesat atau kafir. Dr. Yusuf al-Qaradawi mengulas tentang puak ini dengan katanya: “Semenjak beberapa tahun yang lalu aku ada mendengar tentang satu jemaah yang zahir di Lebanon, ia menimbulkan masalah kepada umat Islam di sana dengan pendapat- pendapat yang pelik, menyeleweng dan pandangan yang merbahaya dalam persoalan akidah, fekah dan akhlak dan yang lebih dahsyat bahayanya apabila mereka mengkafirkan setiap orang yang berbeza dengan mereka dalam kalangan umat Islam hari ini atau yang terdahulu.
Mereka mengkafirkan Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah, anak muridnya al-Imam Ibn al-Qayyim, dan sesiapa yang mengikut dua tokoh ini seperti tokoh tajdid tauhid di al-Jazirah al-Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab. Demikian juga mereka mengkafirkan ramai daripada ulama semasa seperti al-‘Allamah al-Syeikh ‘Abdul ‘Aziz bin Baz, Pemikir Islam Syed Qutb, dan selainnya. Golongan Ahbash yang pelampau dan menyeleweng ini mendakwa mereka adalah dari mazhab al-Imam Abu al-Hasan al-‘Asy‘ariy segi aqidah, mazhab al-Imam al-Syafie segi fikah dan mengikut Tarikat al-Rifa‘iyyah dalam berakhlak. Akan tetapi hakikatnya mereka amat jauh dari manhaj kesemua para imam itu sama ada dalam pemikiran, adab dan akhlak.
Kumpulan ini yang mulanya timbul di Lebanon, dinamakan sebagai al-Ahbash, kerana tuan milik dakwah dan pemegang bendera mereka adalah seorang lelaki dari Habsyah (Ethiopia) berasal dari Harara, dia mendakwa dakwahnya ini adalah dakwah yang baru, yang hasrat utamanya ialah memecah belahkan kesatuan umat Islam, mengkucar-kacirkan mereka dan menyalakan api fitnah antara barisan umat Islam dan menghalang setiap usaha untuk membantu perkembangan agama ini. (Dr Yusuf al-Qaradawi, Fatawa Muasarah 3/685-686, Dar al-Qalam). Al-Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi juga menyebut: “Termasuk perkara yang pelik, mereka golongan Ahbash ini mentohmah aku ini wahabi dan taksub dengan para imam Wahabi, seringkali aku apabila bercakap mengambil daripada Ibn Taimiyyah dan Ibn al-Qayyim dan madrasah mereka berdua, mereka (Ahbash) menuduh Ibn Taimiyyah dan Ibn al-Qayyim ini menyalahi ijma’ dalam persoalan ini dan itu..”
Timbalan Presiden The European Council for Fatwa and Research (ECFR), al-Syeikh Faisal Maulawi menyebut: “al-Ahbash atau (Jam‘iyyah al-Masyari’ al-Khairiyyah al-Islamiyyah) mereka adalah anak-anak murid al-Syeikh Abdullah al-Harari. Mereka memiliki jalan tersendiri dalam perkara akidah yang menjadikan mereka mengkafirkan umat Islam dan para ulamanya hanya kerana sebab-sebab yang remeh temeh. Sama halnya, mereka memiliki jalan tersendiri dalam perkara fikah yang berbeza dengan kebanyakan para ulama hari ini. Perbincangan dengan mereka tidak mendatangkan faedah, kerana mereka tidak akan menerima melainkan pandangan-pandangan syeikh mereka. Jika kamu (orang yang meminta fatwa) menjauhi masjid-masjid mereka (golongan Ahbash), itulah yang lebih utama bagi mengelak berlakunya perbalahan yang tidak berfaedah”.
Kementerian Wakaf Mesir, Bahagian Dakwah pula membuat kenyataan berikut: “Maka untuk pertama kalinya muncul seorang lelaki yang pelik dari Habsyah, pelik dari segi pemikiran dan metod yang diikutinya dalam menyebarkan fitnah di kalangan Ahlul Sunnah Wal Jamaah. Pertama kali juga tersebarnya kalimah takfir (pengkafiran) melalui lisan sebahagian mereka. Juga pertama kalinya terjadi masalah kekeluargaan lalu anak-anak mengkafirkan ayah-ayah mereka dan berlakunya persengketaan dan perpecahan antara ayah dengan anak-anak.
Pertama kalinya muncul mereka yang melampau ke atas ulama besar Ahlul Sunah wal Jamaah yang beramal dan berjuang di atas agama dengan cara yang dipenuhi dengan hasad dengki dan menghukum para ulama sebagai kafir. Sesungguhnya al-Habasyi (pengasas Ahbash) mengkafirkan ulama besar seperti Ibn Taimiyyah, Ibn Qayyim al-Jauziyyah, Sayyid Qutb, Muhammad Mutawalli al-Sya‘rawi, Muhammad al-Ghazali dan Sayyid Sabiq. Di antara ulama Lebanon yang mereka kafirkan ialah Hassan Khalid, Subhi Salih, dan Faisal Maulawi dan banyak lagi yang mereka kafirkan dari ulama-ulama Al-Azhar al-Syarif”.
Antara perkara menakutkan yang digunakan oleh puak Ahbash ini, selain dari maki-hamun, cerca, fitnah dan serangan peribadi, mereka juga menggunakan pendekatan menghalalkan darah orang yang mereka musuhi. Sebab itu di Lebanon, sebelum ini mereka begitu bermaharajalela sehinggalah mereka dikaitkan dengan pembunuhan Presiden Rafiq Hariri. Ini apabila Ulil Amri yang dirasakan sudah tidak dapat bekerjasama dengan mereka. Sebelum itu mereka juga mengkafirkan bekas Mufti Lebanon Hasan Khalid dan membunuhnya. Mereka menulis di dinding-dinding di Lebanon: “Katakan tidak kepada Hassan Khalid yang kafir”.

Tabiat
Menjadi tabiat puak Ahbash ini suka memfitnah mengada-adakan cerita bohong dan mempersendakan gambar dan mengubah fakta. The Assembly of Muslim Jurists in America (AMJA) menyebut bagaimana pengasas mereka Abdullah Harari berpakat menghasut pihak berkuasa Habsyah sehingga menyebabkan pengetua Pusat Tahfiz al-Quran di sana di penjarakan selama 23 tahun. (http://www.amjaonline.com/ar). Pendekatan menggunakan pihak berkuasa dan mendampingi pemerintah dengan menyebarkan racun fitnah, cerca, mengkafir merupakan jalan yang dipilih oleh Ahbash di negara-negara yang mereka cuba bertapak.
akhbar al-Watan ketika melaporkan kematian pengasas Ahbash itu menyebut: “Kelmarin (2/9/2008) Abdullah al-Harari, Pengasas dan Mursyid kerohanian bagi gerakan al-Ahbash telah meninggal dunia di Lebanon ketika umurnya 98 tahun…Al-Harari (Abdullah al-Harari) dilahirkan di Harara pada tahun 1910M, seterusnya berpindah-randah di beberapa negara Arab sebelum menetap di Lebanon pada tahun 1950M, beliau sering mengkafirkan para ulama umat Islam.” (Akhbar al-Watan: Rabu 3 Ramadan 1429, bersamaan 3 September 2008, bil. 2896 tahun kelapan).

ARKIB : 15/11/2009

Takut hantu wahabi

ADA beberapa orang mencadangkan saya menyentuh sedikit apa yang disebut minggu lepas oleh seorang aktivis tarekat yang menulis mengenai penangkapan saya.
Bagi saya, adalah perkara biasa untuk ahli tarekat tidak selesa dengan saya kerana beberapa artikel saya sebelum ini turut mengkritik budaya meminggirkan rasional atau budaya taklid buta yang sering berlaku dalam banyak tarekat sehingga pengikut melakukan apa sahaja yang diperintahkan oleh 'syeikh' mereka tanpa bertanya lagi dalilnya.
Namun persoalan besar yang sering ditimbulkan siapakah ahli sunah wal jamaah? Oleh kerana jenama ini begitu laku, bahkan ia juga sering dijadikan senjata, maka banyak pihak mengisytiharkan jenama ini milik mutlak mereka dan sesiapa yang menentang mereka bererti terkeluar dari ahli sunah wal jamaah.
Mereka ini mengingatkan kita kepada Napoleon Banaparte yang berkata: "I am France and France is me". Maka ramailah orang mendakwa ahli sunah wal jamaah, walaupun jika ditanya mereka apakah itu ahli sunah wal jamaah mereka meraba dan terpinga mencari jawapannya.
Atau jika diberikan jawapan, ia mempunyai kepentingan yang tersendiri. Sehingga kelompok tarekat yang sering mencetuskan dakwaan berbagai-bagai termasuk konsep 'wahdatul ujud' (kesatuan tuhan dengan makhluk) yang dilaungkan oleh Ibn 'Arabi juga mendakwa mereka ahli sunah wal Jamaah.
Lebih sedih lagi, ada yang mendakwa "ahli sunah hanya yang ikut mazhab Syafie". Kalau demikian, habislah terkeluar imam-imam lain seperti al-Imam Abu Hanifah, al-Imam Malik, al-Imam Ahmad daripada kalangan ahli sunah wal Jamaah. Sehinggakan mereka yang tidak qunut pun dikeluarkan daripada ahli sunah wal Jamaah. Maka barangkali tiga perempat dari umat Islam ini terkeluar daripada ahli sunah wal Jamaah.
Padahal istilah sunah di sini merujuk sunah Nabi Muhammad SAW yang merangkumi penghayatan al-Quran dan sunah, maka ahli sunah ialah mereka yang menghayati hakikat ini. Sementara perkataan jamaah merujuk kepada para sahabat Nabi SAW dalam erti kata lain menghayati al-Quran dan sunah seiring dengan jalan yang ditunjukkan oleh generasi agung Islam iaitu para sahabat.
Sesiapa yang yakin bahawa al-Quran dan sunah adalah pegangan mereka sementara penghayatan para sahabat adalah panduan mereka, maka mereka adalah ahli sunah wal Jamaah (lihat: al-Mausu'at al-Muyassarah fi al-Adyan wa al-Mazahib wa al-Ahzab al-Mu'asarah, 40-54, WAMY). Maka dengan itu berbagai mazhab fikah sekalipun ada perbezaan pandangan mereka tidak dikeluarkan daripada ahli sunah wal jamaah.
Ini seperti kata 'Abd al-Qahir al-Baghdadi (wafat 429H): "Maka termasuk dalam golongan ini mereka yang mengikut al-Imam Malik, al-Imam Syafi'i, al-Auza'i, al-Thauri, Abu Hanifah, Ibn Abi Laila, Abi Thaur, Ahmad bin Hanbal, Ahli Zahir dan sekelian yang beriktikad dalam bab yang menggunakan akal berdasarkan prinsip-prinsip tauhid sifat. Mereka tidak mencampur-adukkan sedikit pun dengan bida'ah ahli hawa nafsu dan sesat"(al-Baghdadi, al-Farq bain al-Firaq, m.s 314-315, Beirut: Dar al-Ma'rifah).
Jika kita lihat di sini, mazhab Zahiri yang hanya berpegang kepada zahir nas sahaja dikategorikan sebagai ahli sunah, apakah tidak qunut, letak tangan atas dada ketika solat, tidak berwirid beramai-ramai selepas selepas solat terkeluar daripada ahli sunah?
Tauhid
Wakil Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dalam satu wawancara menyebut antara ciri sesat itu mereka yang membicarakan pecahan tauhid kepada Rububiyyah, Uluhiyyah, Asma dan Sifat. Namun dalam ciri-ciri ahli sunah wal Jamaah yang dikeluarkan oleh WAMY, bahkan sukatan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), sukatan sekolah negara kita dan kebanyakan universiti di dunia ini, itulah ciri manhaj kefahaman tauhid ahli sunah yang diajar.
Sejak saya sekolah rendah, dalam usrah, dalam buku akidah Presiden Pas, dalam buku sekolah kerajaan UMNO dan di negara-negara Arab, di United Kingdom, Amerika Syarikat dan Eropah itulah bentuk perbahasan akidah ahli sunah yang diajar. Hari ini wakil JAIS menyatakan itu bukan akidah ahli sunah bahkan dikaitkan dengan akidah penyembah berhala. Akhirnya, dikaitkan dengan wahabi. Kalau begitu telah lamalah kita semua wahabi.
Saya amat dukacita, jika golongan agama itu suka menjadikan senjata kafir mengkafir, sesat menyesat sebagai alat untuk mempertahankan kedudukan dan diri, akhirnya umat yang musnah. Izinkan sekali lagi saya menyebut perkataan Prof. Hamka: "Kadang-kala dikatakan kaum muda tidak hormat kepada ulama. Padahal yang mereka katakan ulama itu bukanlah Imam Malik atau Imam Syafie, tetapi beberapa pegawai kerajaan yang memakai serban dan jubah. Dan beliau pun merasakan dirinya ulama kerana pada tangannya sudah ada surat tauliah". (Hamka, Teguran Suci Dan Jujur Terhadap Mufti Johor, m.s. 66).
Daripada cerita tauliah pergi ke cerita wahabi. Setiap yang berbeza pendapat dengan mereka yang memegang kuasa agama dilabelkan wahabi.
Minggu lepas Pengarah JAIS menyatakan bahawa orang bukan Islam tidak boleh masuk masjid kerana mereka bagaikan wanita haid. Dalam keadaan ramai bukan muslim salah faham terhadap Islam, fatwa seperti ini dikeluarkan. Padahal pada zaman Nabi SAW para perwakilan muslim dan bukan muslim sama ada Yahudi, Kristian dan selain mereka masuk berjumpa Nabi SAW dalam masjid.
Mereka memahami Islam dari masjid dan berurusan dengan kerajaan Islam dalam masjid. Ini disebut dalam banyak hadis. Jika Pengarah JAIS itu memilih pendapat yang saya anggap tidak kukuh dan merugikan Islam di Malaysia dan saya memilih pendapat para ulama yang menyatakan bukan muslim boleh masuk ke masjid jika ada keperluan, adakah saya telah menjadi wahabi dan sesat?
Apakah pula jika satu hari Allah takdirkan saya berada di tampuk kuasa, maka pendapat beliau pula akan dihukum wahabi dan sesat? Rosaklah agama jika menjadi mainan hawa nafsu dan kepentingan!
Saya bukan peminat karangan Muhammad bin 'Abd al-Wahhab (1115H). Saya suka dengan Dr. Yusuf al-Qaradawi yang menyatakan jiwanya begitu dekat Ibn Taimiyyah (meninggal 728H). Begitulah juga saya. Namun saya sama sekali tidak dapat menerima tabiat suka mengkafir dan menyesatkan tokoh ilmuwan seperti yang berlaku sekarang ini.
Jika saya tidak bermazhab Maliki, saya tetap membantah mereka yang menghina al-Imam Malik bin Anas, kerana seorang muslim wajib membela muslim lain yang dizalimi, apatah lagi tokoh ilmuwan. Sekalipun saya bukan pengikut Muhammad bin 'Abd al-Wahhab, saya tetap tidak akan mengizinkan beliau dicerca, dikafirkan dan dihina. Apatah lagi, kesannya besar.
Mereka yang membangkitkan isu kafir dan sesat wahabi ini akan mengheret Arab Saudi secara khusus dan beberapa negara Arab lain sebagai sesat dan mungkin kafir. Mereka ini ada agenda yang tersendiri, yang berpusat di Lebanon dan ada agen-agennya sudah sampai ke negara ini. Rancangan menghidupkan kafir mengkafir sesama umat. Ini akan dihuraikan dalam tulisan akan datang.
Baru-baru ini UIAM meraikan kedatangan tokoh ilmuwan terkenal 'Abd Allah bin 'Abd al-Muhsin al-Turki, Setiausaha Agung, Muslim World League dalam International Conference on Jurisprudence of Minorities in the Light of Maqasid al-Shariah.
Tokoh ini dalam tulisannya Mujmal I'tikad Aimmah al-Salaf memuji akidah dan perjuangan Muhammad bin 'Abd al-Wahhab, antaranya beliau menyebut: "Berterusanlah al-Syeikh Muhammad bin 'Abd al-Wahhab menyeru kepada akidah yang bersih dan bersinar. Dengan tauhid, beliau menentang syirik, dengan ilmu beliau menentang khurafat" (m.s. 105, Beirut: Muasasah al-Risalah).
Dr. Yusuf al-Qaradawi juga menyebut dalam Fiqh al-Aulawiyyat memujinya, dengan berkata: "Bagi al-Imam Muhammad bin 'Abdul Wahhab di Semenanjung Arab perkara akidah menjadi keutamaannya memelihara benteng tauhid daripada syirik yang mencemari pancaran tauhid dan dikotori kesuciannya.
Beliau telah menulis buku-buku dan risalah-risalah dalam perkara tersebut. Beliau bangkit menanggung bebanan secara dakwah dan praktikal dalam memusnahkan gambaran-gambaran syirik. (m.s. 263, Mesir: Maktabah Wahbah).
Seorang lagi tokoh fekah yang terkenal di zaman ini, yang banyak pandangannya dirujuk, Dr. Wahhab al-Zulaili menyebut: "Sesuatu yang tiada syak padanya, menyedari hakikat yang sebenar, bukan untuk meredakan sesiapa, berpegang kepada ayat al-Quran yang agung (maksudnya): "Jangan kamu kurangkan manusia apa yang menjadi hak-haknya (surah Hud: 85), bahawa suara kebenaran yang paling berani, pendakwah terbesar untuk islah (pembaikan), membina umat, jihad dan mengembalikan individu muslim kepada berpegang dengan jalan salafus soleh yang terbesar ialah dakwah Muhammad bin 'Abdul Wahhab pada kurun yang kedua belas hijrah.
Tujuannya untuk mentajdidkan kehidupan muslim, setelah secara umum dicemari dengan berbagai khilaf, kekeliruan, bidaah dan penyelewengan. Maka Muhammad bin 'Abd al-Wahhab ialah pemimpin kebangkitan agama dan pembaikian (islah) yang dinantikan, yang menzahir timbangan akidah yang bersih." (Rujukan: Dr. Wahbah al-Zuhaili, Risalah Mujaddid al-Din fi Qarn al-Thani 'Asyar, m.s 57-58).
Sekali lagi, seperti yang pernah saya tanya dahulu, apakah mereka semuanya wahabi kerana memuji Muhammad bin 'Abd al-Wahhab. Apakah mereka jika berceramah di negara ini akan ditangkap kerana tiada tauliah dan tauliah pun tidak boleh diberikan kepada mereka kerana mereka ada unsur wahabi?
Dalam sejarah, akibat permainan golongan agama seperti ini al-Imam Ahmad bin Hanbal pernah dijatuhkan hukuman oleh ulama pemerintah pada zamannya, al-Imam al-Bukhari juga sama. Wahabi telah menjelma bagaikan istilah hantu yang digunakan oleh orang tua-tua dulu untuk menakutkan budak-budak.
Maka, tidak pentinglah sama ada hantu itu wujud atau tidak di situ, tidaklah penting sama ada orang tua-tua itu pernah melihatnya atau tidak, tidaklah penting apa rupanya, yang penting kanak-kanak menjadi takut dan orang tua-tua dapat duduk selesa bersembang di meja kopi dengan gelak ketawa sampai ke pagi.

ARKIB : 01/11/2009

Sejarah terus berulang

TERLANJUR saya memperkatakan tentang perjuangan Prof. Hamka rahimahullah pada minggu lepas, saya ingin menyentuh sedikit tentang sepucuk surat beliau yang panjang lebar kepada Mufti Johor ketika itu, iaitu al-Sayyid Alwi bin Tahir al-Haddad.
Surat itu dinamakan Teguran Suci Dan Jujur Terhadap Mufti Johor, sekarang telah dijadikan sebuah buku yang dijual di pasaran. Surat ini sekalipun membabitkan persoalan yang kadang-kala menyentuh soal sikap dan peribadi individu, namun ia penting untuk dibaca sebagai pengajaran kepada mereka yang ingin membangunkan Islam. Mempelajari sejarah lepas adalah panduan penting bagi kehidupan insan di hari ini dan akan datang. Sejarah jika tidak diingati untuk pengiktibaran bak kata Winston Churchill: “History repeats itself because no one was listening the first time”. Membaca sejarah bukan bertujuan untuk mengungkit kesalahan orang yang lepas atau sudah tiada, tetapi panduan dan juga peringatan untuk mereka yang masih hidup kerana para pelakon di pentas sejarah itu datang dan pergi, tetapi watak yang diwarisi tetap seiras. Al-Quran menceritakan sejarah penentang Nabi Musa a.s. dan kerakusan Firaun, bukan untuk kita pergi Mesir menyokong Nabi Musa, atau bersiap menentang Firaun Mesir. Mereka semua sudah tiada lagi dan hanya tinggal dalam lembaran, tetapi watak perjuangan Musa dan kerakusan Firaun terus diwarisi zaman berzaman. Maka kita wajib bersama dengan perjuangan ala Musa, dan menentang kerakusan watak ala Firaun. Demikian al-Quran menceritakan tentang kisah Nabi Yusuf a.s. dan adik-beradiknya, bukan untuk kita mengungkit kesalahan adik-beradik Yusuf, tetapi pengajaran dan panduan untuk kita yang masih hidup.
Berbalik kepada surat Prof. Hamka, dalam menghadapi pemikiran pembaharuan pada zaman tersebut, Mufti Johor berkenaan telah mengeluarkan kenyataan yang bercampur fitnah kononnya kelompok pembaharuan yang dituduh sebagai kaum muda atau pun wahabi penyebab orang jadi sesat, antimazhab, menolak ulama, terpengaruh dengan musuh Islam dan berbagai lagi. Kenyataan itu dibuat menerusi akhbar pada 14 Julai 1958. Prof Hamka sekalipun dari Indonesia mengambil tanggungjawab menjawab fitnah-fitnah tersebut. Kata Prof. Hamka: “Melihat cara-caranya samahah al-mufti sebagai pembela kaum tua di dalam menghentam kaum muda bagi beliau rupanya tidaklah mengapa memukul kaum muda dengan membuat fitnah… sekarang samahah al-mufti rupanya memakai cara-cara pula: matlamat menghalalkan car. Asal saja kaum muda dapat dipukul hancur tidaklah mengapa berdusta..” (m.s. 85).
Ya! Orang yang kelihatan beragama pun apabila berbeza pendapat akan hilang pertimbangan. Apatah lagi apabila merasakan kepentingan mereka terjejas. Namun perubahan zaman akan tetap menuntut perubahan pemikiran umat. Prof. Hamka ketika menyentuh perkembangan ini di Indonesia ketika itu menyebut: “Maka orang tua yang dahulunya berusaha keras mempertahankan gelaran itu dengan segala daya upaya, menuduh sesat, zindiq, Wahabi, mulhid, orang tua itu sekarang masih hidup untuk menyaksikan dengan kepalanya sendiri kemenangan yang sekian kalinya dari gerakan kaum muda! Akhirnya, semua orang hendak dikafirkannya” (m.s. 48). Katanya juga: “Memang ada juga orang yang tidak suka berebut-rebut. Jangan buka-buka masalah baru. Biar orang tinggal bodoh seperti dahulu dan kalau ada pun fatwa dari mufti hendaklah diterima dengan: Na‘am (ya)! Tetapi orang itu sudah sangat jauh ditinggalkan keretapi!” (m.s 49).
Dibangkit
Seperti biasa, antara perkara yang selalu dibangkit oleh kelompok yang menjaga tradisi lama ialah kelompok pembaharuan tidak menghormati ulama. Mereka memutar belit maksud kelompok tajdid yang menyatakan tidak salah kita melihat hukum dari berbagai mazhab dan tokoh. Mereka menganggap mengkritik dalil itu sebagai menghina tokoh. Ini kerana sikap kelompok agama berkenaan yang pantang dikritik dan menganggap seakan pandangan tokoh agama semuanya mesti ditelan. Hal ini kita dapat lihat kelangsungannya sehingga hari ini. Di mana akan ada kelompok yang menghalang umat Islam untuk melihat sendiri teks asal perkataan-perkataan imam-imam berkenaan bagi mengetahui apakah yang dikatakan pendapat mazhab itu benar-benar dari imam berkenaan atau andaian semata. Juga untuk sendiri membandingkan pandangan-pandangan mereka secara ilmiah dan membuat pilihan yang terbaik. Kelompok ini akan membantah dengan seakan berkata: terima sahaja apa yang kami beritahu, jangan sibuk yang menyemak yang asal! Jangan hendak dibuat kajian perbandingan, terima sahaja apa yang kami cakap. Prof Hamka menjawab hal ini dengan katanya: “Kedua, kata orang kami tidak menghormati ulama. Sebab mereka pun telah memasukkan pula sebuah lagi tiang baru ke dalam Islam, iaitu wajib menghormati ulama. Wajib taklid kepada ulama! Wajib taat kepada guru. Hal ini saya huraikan dengan saksama, kaum muda amat hormat kepada: ulama. Kaum muda insaf bahawa pengetahuan yang kita dapat sekarang ini, manakan sampaikan ke tangan kita kalau bukan lantaran ulama. Kami sangat patuh kepada ulama ikutan kita keempat-empatnya: Imam Malik, Imam Syafie, Imam Abu Hanifah, Imam Ahmad bin Hanbal. Demikian cinta hormati kami kepada beliau sehingga kalau ada ulama yang menjadi pengawal di luar yang mencuba-cuba menghalangi kami buat bertemu dengan pendapat-pendapat beliau, kami sirwak (memalukan) apa ulama lain itu, dan kami berkata kepinggirlah engkau! Kami hendak bertemu dengan beliau!... keempat-empatnya (imam empat) menyuruh kami meneruskan perjalanan ke atas, ke hulu agama: kepada al-Kitab dan as-sunnah dan keterangan-keterangan yang diberikan oleh orang yang terdekat kepadanya, iaitu sahabat-sahabat Rasulullah. Padahal tatkala kami masih di muara-muara, banyak benar yang menghalangi. Datang syeikh fulan dan sudah jauh di bawah mutaakhirin (ke belakang), bahkan mutaakhiril mutaakhirin (ke belakang dari yang belakang) melarang keras! Jangan pergi ke hulu. Jangan! Haram! Padahal kami tidak mahu dihalang-halangi lagi. Maka dituduhlah kami sesat, siapa kita yang sesat? (m.s. 63).
Berikut Prof. Hamka menjawab tuduhan kononnya kelompok pembaharuan tidak menghormati guru-guru agama yang sedia ada. Kata Hamka: “Alhasil bagi kami ijtihad itu harus digalakkan dan bagi kaum tua pula “taklid dijadikan tiang agama” dan kalau kami bantah taklid, dikatakan kami merosakkan tiang agama. Kadang-kadang dituduh kaum muda tidak hormat kepada guru. Lantaran itu dikata pula merosak tiang-tiang agama. Yang sebenarnya kami hormat kepada guru dan hormat kepada ibubapa. Sebagai juga saudara-saudara muslimin yang lain. kedudukan guru sama dengan kedudukan ibubapa wajib dihormati dan dimuliakan. Tetapi kalau guru itu silap jalannya, maka sebagai tanda kami hormat ialah kami tegur, dan jika dibawanya dengan sengaja atau tidak dengan sengaja kepada yang salah, kami tidak akan menurut”. (m.s. 65).
Perjalanan
Itulah resam perjuangan, tuduhan dan fitnah menghiasi perjalanan. Saya tidak terkejut apabila PGSM dalam laman web membuat memorandum fitnah kepada Yang di-pertuan Agong membantah saya. Dalam memorandum yang kononnya disokong oleh beberapa NGO itu antaranya menyebut: “Beliau juga tidak mengiktiraf iktikad ahli sunnah wal jamaah dari mazhab-mazhab fiqh seperti Mazhab Shafie, Hanafi, Maliki dan Hanbali bahkan dalam keadaan tertentu menolak hadis yang diriwayat oleh Imam Bukhari”. Bahkan fitnah lebih dahsyat daripada itu disebut: “Beliau juga mencerca para ulama besar seperti Imam Nawawi dan Imam Ghazali yang tidak perlu disebut kehebatan dan keilmuan mereka”. Astaghfirullah, di manalah bukti mereka dalam hal ini. Adakah mereka dapat buktikan dari tulisan atau ucapan saya. Tidakkah mereka rasa takut di mahkamah Allah dengan tuduhan sebegini. Lebih hairan lagi, tidakkah sebagai persatuan peguam mereka sepatutnya mendapatkan bukti terlebih dahulu, bukan terpengaruh dengan pihak-pihak tertentu yang memberi maklumat palsu. Namun, ini tidak pelik. Ia telah berlaku sebelum ini, ia akan berulang dan terus berulang.
Kita boleh berbeza pendapat. Sama ada saya atau sesiapa pun bercakap atau tidak, dunia globalisasi ini akan mendedahkan rakyat kepada berbagai-bagai maklumat. Namun, memfitnah orang, apatah lagi atas nama NGO Islam adalah tidak wajar. Memfitnah termasuklah dalam soal dosa dan pahala. Allah melarang kita menerima maklumat yang disampaikan oleh orang lain melainkan setelah diselidiki. Firman Allah: (maksudnya): “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidiklah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum (dengan perkara yang tidak diingini) dengan sebab kejahilan kamu, sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan”. (Surah al-Hujurat, ayat 6).

ARKIB : 25/10/2009

Fitnah dan perjuangan

Siapa tidak kenal Prof. Hamka?! Tokoh ilmuwan agung Indonesia. Beliau seorang ilmuwan Islam yang menguasai berbagai bidang; tafsir, fikah, sejarah, politik bahkan sastera. Kebanggaan umat Nusantara. Karya-karyanya menjadi bacaan dan rujukan termasuk di negara kita ini. Bahkan bukan sedikit pula yang memperolehi Ph.D kerana mengkaji karya-karyanya, khususnya Tafsir al-Azhar karangan beliau yang terkenal. Beliau seorang ilmuwan dan pemikir yang mengukir sejarah emas bagi dirinya. Manfaat dari perjuangan ilmunya dirasai oleh umat Islam di seluruh Nusantara.
Seperti mana kebanyakan tokoh yang berjasa, mereka dikecam atau dimusuhi oleh pihak-pihak yang berkepentingan semasa hayat mereka, namun akan dikenang apabila mereka meninggal dunia. Ini kerana, apabila seseorang tokoh itu muncul, hasad dengki turut muncul dalam jiwa sebahagian yang merasa mereka akan terpinggir atau terancam. Mereka ini akan mencari jalan membuat fitnah dan onar bagi menghalang perjalanan atau perjuangan seseorang tokoh. Demikian juga pihak yang tersentuh kepentingan mereka, akan bertindak balas merencanakan ‘perang’ menghadapi tokoh berkenaan. Namun apabila tokoh tersebut sudah tiada, yang hasad mungkin hilang atau berkurangan, yang rasa terancam sudah selesa atau turut meninggal dunia, maka penilaian waras akan dibuat dan jasa tokoh berkenaan akan dikenang. Demikian Hamka, semasa hayatnya beliau dituduh sesat oleh ulama konservatif Tanah Melayu dengan tuduhan kaum muda dan Wahabi. Semuanya hanya kerana ilmu yang disampaikan itu didengki atau ada kepentingan pihak tertentu yang terganggu.
Tuduhan
Ini tidak pelik. Al-Imam al-Bukhari (194-256H) atau namanya Muhammad bin Ismail yang agung dalam hadis itu, semasa hayat dituduh menganut ajaran Muktazilah dan sesat, bahkan dikafirkan. Beliau terpaksa keluar meninggalkan negerinya Naisabur. Tuduhan bahawa beliau menyatakan al-Quran makhluk bukan sahaja mempengaruhi orang awam, bahkan mempengaruhi tokoh-tokoh ilmuwan hadis besar pada itu seperti Abu Hatim dan Abu Zur‘ah. Tuduhan ini datang daripada gurunya sendiri Muhammad bin Yahya al-Zuhli. Apabila beliau berpindah ke Bukhara, beliau disambut hebat oleh penduduk negeri berkenaan. Malangnya, tokoh ilmuan yang hasad kepadanya itu menulis surat pula kepada Gabenor Bukhara: “Lelaki ini menonjolkan diri menyanggahi sunnah Nabi”. Lalu al-Imam al-Bukhari dikeluarkan dari Bukhara. Menariknya, apabila ditanya al-Imam al-Bukhari tentang ujian itu, beliau menyatakan: “aku tidak peduli selagi agamaku selamat.” Kemudian sebahagian penduduk Samarkand menjemputnya ke negeri mereka. Namun berlaku perbalahan dan fitnah di kalangan penduduk, ada yang setuju beliau datang, ada yang membantah. Akhirnya bersetuju menerima kedatangan beliau, tapi ketika beliau menaiki kenderaan menuju ke sana, beliau meninggal dunia sebelum sempat ke Samarkand. Demikian kisah sedih akibat hasad dengki yang menimpa seorang imam yang agung al-Imam al-Bukhari (lihat: al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala, 12/453-464, Beirut: Dar al-Fikr). Hidupnya dibuang orang, namun matinya tetap terbilang.
Berita lanjut, sila rujuk edisi cetakan Mingguan Malaysia atau langgani e-Paper di http://ebrowse.bluehyppo.com/utusan/index.asp

ARKIB : 18/10/2009

Cinta dan tawakal

Saya menulis artikel ini dalam perjalanan dari Madinah menuju Mekah. Saya datang menyertai rombongan Majlis Agama Islam Perlis bersama dengan Yang Dipertuanya, Raja Muda Perlis. Setelah pulang dari United Kingdom, saya dilantik menjadi Ahli Majlis Agama Islam Perlis yang dahulu saya berada dalamnya atas kapasiti Mufti. Sekarang saya berada dalamnya atas individu saya sahaja. Majlis Agama Islam Perlis membuat lawatan kerja ke beberapa negara; Arab Saudi, Mesir dan Tunisia.
Rasanya hampir dua tahun saya tidak ke Madinah dan Mekah. Seperti orang lain, setiap kali masuk semula ke Madinah jiwa menjadi sayu, syahdu dan rindu. Tidaklah dapat digambarkan dengan bahasa dan bicara, perkataan dan tulisan. Ia satu perasaan yang menerjah ke setiap penjuru jantung dan urat nadi. Apa tidak, di sinilah tempat insan yang amat kita cintai yang namanya kita sebut saban, Muhammad SAW. Bagindalah pemimpin, baginda teladan. Kita ini rela menderita, rela dihina, rela dianiaya, rela dipersenda demi memenuhi cinta kepadanya dan agama yang dibawanya.
Kita akui jalan bagindalah jalan yang terbaik dan kita membenci setiap bidah yang cuba ditokok tambah, atau khurafat yang cuba dipalitkan kepada agama yang dibawa baginda, kerana hidup kita hanya mengiktiraf baginda sebagai rasul yang akhir.
Demikianlah Allah mengingatkan kita: (maksudnya) Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani (Surah Ali-'Imran, ayat 31).
Kata al-Hafizd Ibn Kathir (meninggal 774H): "Ayat ini adalah pemutus kepada sesiapa yang mendakwa mencintai Allah tetapi tidak di atas jalan Muhammad. Maka sesungguhnya dia adalah pendusta atas apa yang didakwanya, sehinggalah dia mengikuti syariat Muhammad dan agama nabawi dalam semua perkataan, perbuatan dan hak ehwalnya seperti yang pasti dalam Sahih al-Bukhari daripada Rasulullah SAW: Sesiapa yang beramal dengan suatu amalan yang tidak di atas petunjuk kita, maka dia ditolak" (Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-'Azim, 1/366, Beirut: Dar al-Ma'rifah).
Madinah
Walaupun Madinah telah berubah wajahnya dengan bangunan yang jauh lebih indah dan moden, tidak lagi seperti zaman baginda, namun cinta dan rindu tidak pernah dimamah sejarah dan tidak wajar berubah. Kita merindui Madinah bukan kerana bangunannya, tetapi di sinilah tempat perjuangan dan kehidupan insan yang kita cintai. Bak kata Qais yang dianggap gila kerana terlalu mencintai Laila: "Aku merentasi rumah Laila, aku mencium dinding-dindingnya, Bukanlah cintakan rumah itu merindukan kalbuku, tetapi cintakan penghuninya"
Demikian Madinah, bukan kerana ia Madinah semata-mata, tetapi kerana sejarah perjuangan yang tercatat di dadanya. Rindu dan cinta bersalut dalam jiwa apabila mengenang di sinilah bumi pengorbanan dan perjuangan Rasul yang tercinta. Namun bagaimana mungkinkah cinta dan kasih itu akan lahir jika kita tidak mempelajari dan menghayati sirah perjuangan dan pengorbanan yang agung itu?!
Seperti yang saya pernah sebutkan, hidup ini adalah kembara merentasi benua yang mencabar. Ketakutan dan cabaran menghambat kita di mana-mana. Namun Allah menyediakan berbagai bekalan kekuatan yang jika dihayati, diselami dan dihirup ke dalam urat nadi akan menjadikan insan sabar dan yakin dalam meneruskan kembara ini. Antara bekalan yang disediakan ialah solat, terutama di qiyamullail. Esakan dan tangisan rintihan di malam yang sunyi adalah nikmat yang tidak gambarkan. Airmata rintihan dan pengakuan diri di hadapan Allah atas kelemahan dan dosa, juga pemohonan atau doa agar diberikan limpah kurnia, itu semua adalah kenikmatan yang tidak dapat difahami melainkan sesiapa yang merasainya. Dalam sebak tangisan itulah insan merasai nikmat menghambakan diri kepada Tuhan Yang Maha Agung.
Itulah bekalan dalam merempuh cabaran dan dugaan hidup. Demikian juga Ramadan, kedatangannya selalu memberikan kekuatan baru dalam hidup ini. Tangisan dan esakan di kesunyian malam ketika sendirian, maka tanpa riyak dan ujub, membawa kekuatan kepada diri insan dalam menerusi agenda perjalanan hidup. Begitulah juga, haji dan umrah. Segalanya apabila ditunaikan dengan jiwa yang merendah kepada Allah, lidah yang memohon ampun dan kurnia, ia adalah bekalan kekuatan yang maha ajaib. Hidup ini jika Allah bantu keajaiban akan berlaku. Percayalah kepada doa dan tawakal, di samping berusaha menurut prinsip-prinsip agama. Apabila Allah menolong kita tiada siapa lagi yang dapat melakukan apapun. Pertolongan dan kurnia Allah itu boleh menjelma dalam berbagai rupa dan bentuk, cuma kita yang selalu jahil untuk memahami kemakbulan doa yang pernah diminta.
Ungkapan
Banyak ungkapan doa yang mengandungi erti yang hebat yang diajar oleh Rasulullah SAW. Tidak perlu ajaran tarekat yang sebahagiannya mencipta wirid dan zikir rekaan, sehingga melupai keindahan wirid dan doa yang sahih yang diajar oleh Rasulullah SAW. Antara ungkapan doa yang amat menarik jiwa saya ialah doa yang baginda SAW ajar: Ya Haiyyum, Ya Qayyum, dengan rahmatMu daku memohon pertolongan. Baikilah seluruh urusanku, dan janganlah Engkau serahkan diriku ini kepadaku walaupun sekelip mata, (Riwayat al-Nasai, dinilai sahih oleh al-Albani). Setiap kali ada kesempatan yang baik, di tempat yang baik dan di waktu yang baik, saya sering mengulangnya, walaupun entah kali ke berapa seratus atau ribu sekalipun. Ya! Jika Allah yang menguruskan urusan kita, tentu aturan yang ditentukan itu akan begitu hebat merentasi andaian mana-mana insan. Namun jika hidup ini hanya bergantung kepada orang lain, kita sering menjadi mangsa. Jika bergantung kepada diri semata, banyak perkara yang kita akan gagal mengendalikannya. Namun, apabila kita serahkan agar Allah membantu, tanpa ditinggalkan kita walaupun sekelip mata, keajaiban hidup akan berlaku. Usaha adalah tuntutan kehidupan, namun tawakal yang sebenar adalah jaminan kekuatan dan kesejahteraan. Allah boleh mengatur perjalanan ini apa yang disangka tewas oleh manusia, tetapi kejayaan yang berlaku, apa yang disangka kecewa oleh manusia, tetapi kebahagiaan yang memenuhi jiwa.
Ajaibnya cinta, ajaibnya tawakkal. Semoga Allah tidak meninggal kita semua dalam merentasi kehidupan ini!

ARKIB : 11/10/2009

Nampak saja kuat agama

Untuk membuat penilaian yang seimbang atau kesimpulan yang adil bukanlah mudah. Dalam kehidupan ini ramai orang selalu membuat kesimpulan daripada penampilan atau faktor luaran yang mereka lihat semata. Penilaian yang seimbang atau kesimpulan yang adil berbeza dengan sangkaan baik. Umpamanya, apabila kita melihat mereka yang kuat bersolat, atau berpuasa maka sudah pasti kita wajar bersangka baik terhadapnya. Namun dalam masa yang sama kita tidak akan membuat kesimpulan bahawa dia adalah pasti ahli syurga, atau pasti orang yang kuat berpegang dengan agama, atau seorang yang soleh. Ini kerana solat dan puasa memanglah amalan yang baik dalam Islam, tetapi Islam bukan sahaja berkaitan soal solat dan puasa, sebaliknya Islam merangkumi pelbagai sudut kehidupan. Jika dia kuat solat dan puasa, tetapi dalam masa yang sama kuat memaki dan mencerca orang, atau menderhakai ibubapanya, atau tidak amanah, atau menzalimi orang lain dan seumpamanya, maka dia bukannya orang yang soleh dalam ertikata sebenar dalam Islam. Tidakkah kita selalu membaca hadis: Tahukah kamu siapakah orang yang muflis? Jawab mereka: "Orang yang muflis dalam kalangan kami ialah sesiapa yang tiada dirham dan tiada harta". Sabda baginda: "Orang yang muflis dalam umatku ialah sesiapa yang datang pada Hari Kiamat nanti bersama solat, puasa, zakat, juga dia pernah memaki seseorang, menuduh seseorang, memakan harta seseorang, menumpah darah seseorang dan memukul seseorang. Lalu diberikan kepada orang ini dan itu pahalanya. Jika pahala-pahalanya habis sebelum sempat dilangsaikan kesalahannya, maka diambil dosa-dosa mereka dicampakkan ke atasnya lantas dicampakkan dia ke dalam neraka (Riwayat Muslim).
Dalam hadis lain Nabi SAW menceritakan tentang akhir zaman ada para pembaca al-Quran kerana hendak dapat untung. Ini dapat kita lihat dalam negara kita mereka yang memakai 'pakaian agama' dan mengutip wang daripada orang ramai kononnya kerana hendak membuat penghantaran pahala kepada si mati. Mereka membuat untung yang besar saban tahun atas nama al-Quran dan orang menganggap mereka melakukan kebaikan sedangkan Nabi SAW menyindir perbuatan ini dengan sabdanya: Bacalah al-Quran dan mintalah daripada Allah (pahala), kerana selepas kamu akan ada kaum yang membaca al-Quran dan meminta (upah) daripada manusia (Riwayat Ahmad dan al-Tirmizi, dinilai hasan oleh al-Albani). Dalam sejarah ramai mereka yang menampil watak 'agama' tetapi sebenarnya penjenayah agama. Antara yang terkenal ialah Abu 'Ismah Nuh bin Abi Maryam yang mencipta hadis-hadis dusta kononnya kerana ingin mendapat pahala dengan diadakan hadis-hadis fadilat itu dan ini khususnya tentang surah-surah al-Quran. Dia digelar Nuh al-Jami' bermaksud Nuh yang menghimpunkan. Ini kerana dia menghimpunkan ilmu daripada berbagai tokoh-tokoh besar. Namun al-Hafiz Ibn Hibban menyatakan: "dia menghimpunkan segalanya, kecuali cakap benar". (lihat: al-Sayuti, Tadrib al-Rawi, 185, Beirut: Dar al-Fikr). Pada zahirnya, dia tokoh agamawan namun pada hakikatnya dia sebenarnya pendusta agama. Bukan sedikit orang yang sepertinya dalam sejarah pengumpulan hadis. Kata seorang tokoh pengkaji hadis, Dr. Hammam Sa'id: "Telah zahir golongan ahli ibadat, zuhud dan nussak (penumpu penuh ibadah). Kejahilan dan kebodohan mereka telah membawa mereka mencipta hadis-hadis palsu dalam fadhilat-fadhilat amal, fadhilat surah-surah al-Quran dan solat-solat sunat, untuk menggalakkan orang ramai beramal. Seperti juga mereka mencipta hadis-hadis palsu dalam menakut orang ramai terhadap maksiat. Mereka menyangka mereka telah membela Islam. Golongan yang jahil ini tidak tahu bahawa pendustaan ke atas Rasulullah SAW boleh menurunkan mereka ke dalam tingkatan-tingkatan yang paling bawah dalam neraka jahannam" (Hammam 'Abd al-Rahim Sa'id, Al-Tamhid fi 'Ulum al-Hadith, m.s. 140, Jordan: Dar al-Furqan). Ini kerana tindakan mereka telah menipu atas nama Nabi SAW dan merubah wajah asal agama. Jika dilihat atau dinilai pada zahir ibadah dan pakaian mereka, tentu kita menyangka mereka golongan yang soleh, tetapi di sisi agama mereka adalah para pendusta yang termasuk dalam sabda Nabi SAW: Sesungguhnya berdusta ke atasku (menggunakan namaku) bukanlah seperti berdusta ke atas orang lain (menggunakan nama orang lain). Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Dalam sejarah pertelingkahan umat Islam kelompok yang paling kuat dan awal menggunakan isu agama untuk mengkafirkan orang Islam yang lain ialah puak Khawarij. Kelompok ini Nabi SAW sifatkan seperti berikut: ...Seseorang kamu akan merasa lekeh solatnya dibandingkan solat mereka, merasa lekeh puasanya dibandingkan puasa mereka. Mereka membaca al-Quran, namun al-Quran itu tidak melebih halkum mereka. Mereka tersasar keluar dari agama seperti anak panah tersasar dari sasarannya... (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Inilah Khawarij yang kelihatan hebat dalam ibadah dan pidato agama mereka dengan menggunakan nas-nas al-Quran. Mereka mengkafirkan orang Islam yang melakukan maksiat, juga mengkafirkan orang Islam yang tidak mengikut kumpulan mereka. Puak Khawarij ini mengangkat slogan: "Tidak ada hukum melainkan hukum Allah". Slogan yang kelihatannya berteraskan al-Quran, tetapi dengan tujuan yang buruk. Kata Saidina Ali bin Abi Talib kepada mereka: "Satu slogan yang benar, tetapi dengan tujuan yang batil". (Al-Khatib al-Baghdadi, Tarikh Baghdad, 304/10, Beirut: Dar al-Kutub al-'Ilmiyyah). Dengan slogan al-Quran Sesiapa yang tidak berhukum dengan hukum Allah maka mereka itu orang-orang yang kafir. (Surah al-Maidah, ayat 44). maka mereka melancarkan kempen mengkafirkan dan memerangi orang Islam. Atas andaian yang tipis maka dengan mudah seseorang dijatuhkan hukuman murtad dan kafir. Hasilnya, pertumpahan yang dahsyat berlaku pada zaman pemerintahan Saidiyyida Ali bin Abi Talib. Selepas zaman Ali pun, pemikiran Khawarij meresap ke dalam berbagai kumpulan dan organisasi. Hasilnya, kita mendengar isu kafir mengkafir muncul di pelbagai zaman dan tempat di seluruh pelusuk dunia Islam. Pada zahirnya puak ini berwajah agama, namun pada hakikatnya Nabi SAW menyebut tentang mereka: Mereka itu berucap dengan ucapan sebaik-baik makhluk. Mereka tersasar keluar dari Islam seperti anak panah tersasar dari sasarannya. Iman mereka tidak melebihi halkum mereka. Di mana sahaja kamu temui mereka maka bunuhlah mereka kerana sesungguhnya membunuh mereka itu ada pahala pada Hari Kiamat. (Riwayat al-Bukhari). Demikian getirnya kelompok ini. Sekalipun dengan ungkapan dan nas agama di mulut mereka, namun Nabi SAW memerintahkan agar pemerintah Islam membunuh mereka kerana mereka mengkafirkan bahkan sesetengah kelompok mereka seperti al-Azraqiyah membunuh orang Islam, anak kecil dan wanita yang tidak mengikut kumpulan atau jemaah mereka.
Dengan ini menyedarkan kita semua, di samping kita bersangka baik kepada golongan yang menzahirkan ciri-ciri agama, kita sayangkan mereka dan menghormati mereka, namun kita juga mestilah berhati-hati dengan tindakan setiap individu dan kumpulan. Janganlah penampilan zahir menyebabkan kita membuta mata atau memandulkan akal daripada membuat penilaian yang matang dan seimbang. Apa yang baik kita kata baik, apa yang salah tetap dinilai salah tanpa mengira dari mana dan siapa kesalahan itu datang. Namun jika golongan tertentu menzahirkan ciri-ciri agama dan memegang prinsip agama dalam seluruh perjalanan mereka, maka merekalah golongan yang kita cinta dan kita bela dengan sepenuhnya.

ARKIB : 04/10/2009

Islam tulen dan UMNO

Ramai tokoh-tokoh UMNO bertanya pendapat saya, apakah caranya untuk memulihkan UMNO. Saya terlebih akui bahawa saya bukan 'orang politik' untuk menghuraikan masalah UMNO. Namun, sebagai seorang yang dianggap ada sedikit sebanyak pengetahuan tentang Islam, saya ingin menyentuh soal Islam dalam UMNO. Islam itu sebagai addin dalam kehidupan masyarakat Islam, termasuklah masyarakat melayu yang secara majoritinya mengakui Islam sebagai nadi hidup mereka. Jika UMNO inginkan masyarakat melayu menerima mereka, UMNO mestilah mendokong dan menjaga nadi hidup mereka ini dengan baik.
Justeru itu, jawapan saya mudah sahaja: "UMNO! Kembalilah kepada Islam tulen! UMNO mesti memainkan peranan sebagai gerakan dakwah kepada Islam yang tulen, moderat dan progresif. Apabila saya kata demikian, bukan bererti saya menafikan keislaman UMNO sebelum ini, atau unsur-unsur Islam yang sedia ada dalam UMNO. Namun apa yang jelas keislaman UMNO itu perlu diperkukuh dan proses perbaikan kelemahan perlu dibuat segera. Allah sendiri dalam al-Quran pernah menyebut: (maksudnya) Wahai orang-orang yang beriman! Berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, serta kepada kitab (al-Quran) yang telah diturunkan kepada Rasul-Nya (Muhammad SAW), juga kepada Kitab yang telah diturunkan sebelum daripada itu. Dan sesiapa yang ingkar kepada Allah, Malaikat-malaikat-Nya, Kitab-kitab-Nya, Rasul-rasul-Nya dan juga Hari Akhirat, maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang amat jauh. (Surah al-Nisa, ayat 136).
Dalam ayat ini Allah memerintahkan orang yang beriman agar beriman. Bagaimana begitu? Tidakkah itu seakan-akan memerintahkan apa yang sudah terlaksana?! Tidak! Maksudnya seperti kata al-Imam Ibn Kathir dalam menafsirkan ayat ini: "Allah taala memerintahkan hamba-hamba-Nya yang beriman agar masuk secara keseluruhan dalam segala syariat iman, cabang, rukun dan tiangnya. Ini bukan suruhan agar melakukan perkara yang sudah tersedia, sebaliknya ia bermaksud lebih menyempurnakan yang sempurna, menetapkan, mengukuhkan dan berterusan atasnya". Dalam konteks UMNO, hendaklah mereka menghidupkan Islam dalam gerakannya kerana yang sedia ada itu tidak mencukupi.
Di sini, saya tidak mahu bercakap tentang falsafah-falsafah politik yang besar-besar. Sudah saya sentuh isu-isu yang lebih prinsip dalam banyak tulisan saya yang lepas. Saya juga tidak berbicara untuk tujuan bagaimana UMNO ingin mengekalkan kuasa. Itu kerja orang politik. Saya bercakap untuk kepentingan setiap individu muslim yang ada dalam UMNO. Saya ingin mengajak orang UMNO berfikir secara 'kampung' sahaja. Saya harap orang UMNO jangan kecil hati, saya bermaksud ingin menceritakan ubat bukan untuk menambahkan penyakit. Saya ingin bertanya, apakah kita dengar seorang ibu atau bapa menyebut: 'anak saya dulu lemah pegangan Islamnya, atau kefahaman Islamnya, tetapi sekarang menjadi muslim yang baik penghayatan dan kefahamannya kerana aktif dalam UMNO?!. Atau anak saya dahulu kurang kefahaman agamanya tetapi selepas aktif UMNO, dia lebih memahami Islam yang sebenar. Saya rasa agak sukar ungkapan seperti itu ditemui. Jika adapun mungkin kes terpencil bukan fenomena umum.

ARKIB : 27/09/2009

Kisah pada musim raya

SEPANJANG Ramadan sehingga kini Syawal, berbagai soalan dihantar kepada saya berkaitan dengan hukum-hakam itu dan ini. Saya sering katakan, pada asasnya Islam begitu luas dalam soal kehidupan umum atau muamalat, tetapi ketat dalam soal ibadah.
Ertinya, dalam soal kehidupan Islam membuka pintu keharusan, atau keizinan seluas-luasnya sehinggalah adanya dalil dari al-Quran atau sunah yang melarangnya. Jika dikaitkan dengan Hari Raya, maka soalan berhubung dengan hukum menghantar kad raya, atau e-mel raya, membuat ketupat dan rendang, dodol dan lemang, atau kena pakai baju Melayu atau jubah dan seumpamanya adakah bidaah atau dibolehkan?
Sudah pasti itu semua termasuk dalam urusan umum kehidupan yang mana kreativiti manusia untuk hidup dan bergembira diberikan ‘lesen’ yang besar oleh Islam selagi tidak melanggar prinsip-prinsipnya seperti membazir, sombong, menyerupai agama lain secara khusus, memudaratkan diri sendiri atau orang lain, menyakiti fizikal atau mental orang secara langsung dan lain-lain prinsip.
Adapun mengenai ibadah khusus, maka Islam begitu ketat melarang sebarang perkara yang ditokok tambah dalam agama yang akhirnya menghilangkan keaslian agama yang asal. Ia juga mencabar Allah Yang Maha Berhak dalam menentukan syariat-Nya, juga mencabar Rasulullah SAW yang merupakan wakil sah yang tiada lagi rasul selepas baginda dengan cara menambah agama yang telah disampaikan.
Maka, jika dikaitkan dengan Hari Raya; takbir Aidilfitri adalah ibadah khas yang tamat selepas solat raya. Maka tidak boleh lagi takbir khas sempena Hari Raya Aidilfitri selepas itu. Demikian solat Hari Raya, hanyalah pada 1 Syawal, maka tiada lagi solat pada hari kedua, atau ketiga, atau selepas puasa enam.
Ini kerana perkara-perkara seperti ini wajib diambil langsung daripada Rasulullah SAW dan kita tiada hak membuat edisi tambahan ke atas agama yang telah sempurna ini. Sekalipun tambahan itu nampaknya baik pada zahirnya, namun memberikan kesan yang buruk kepada agama ini di sudut ketulenannya. Apa akan jadi jika semua pihak menambah produk masing-masing ke atas Islam?
Lihat apa yang berlaku kepada Yahudi dan Kristian, pengikut mereka sudah tidak tahu lagi apakah upacara asal yang dilakukan oleh Nabi Musa as dan Isa as Berbagai-bagai upacara baru dalam gereja mereka. Kemenyan yang diasapkan, loceng yang dibunyikan, muzik yang didendangkan dan berbagai lagi upacara yang akhirnya tidak lagi dapat dibezakan antara arahan wahyu dan tokok tambah pendeta.
Allah menyebut dalam al-Quran: (maksudnya) Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu. (Surah al-Maidah, ayat 3).
Kata al-Imam Malik bin Anas (179H): “Sesiapa yang mengadakan-adakan perkara baru dalam Islam dan menganggapnya baik maka dia telah mendakwa Muhammad SAW mengkhianati risalah. Ini kerana Allah telah berfirman: (maksudnya) Pada hari ini aku telah sempurnakan agama kamu. Apa yang pada hari tersebut tidak menjadi agama, maka dia tidak menjadi agama pada hari ini. (Al-Syatibi, Al-I’tisam, m.s 35 Beirut: Dar al-Kitab al-‘Arabi).
Main mercun
Ada yang bertanya saya tentang hukum main mercun. Sebenarnya main mercun pada Hari Raya bukan sahaja di Malaysia, di negara-negara Arab pun sama. Saya kata bahawa di sana ada beberapa perkara yang mesti dijelaskan. Pertama sekali, tidak boleh sesiapa pun beriktikad bahawa Islam menggalakkan main mercun pada musim raya.
Jika kepercayaan ini ada, ia termasuk dalam bidaah kerana menokok tambah ajaran Islam dengan satu upacara yang dianggap ibadah. Walaupun kepercayaan seperti di tempat kita tiada, namun mesti diperingatkan prinsip ini, kerana perubahan masa dan tempat boleh menyebabkan perubahan kepercayaan dan ibadat.
Kedua, permainan secara umumnya termasuk dalam urusan am kehidupan. Selagi ia tidak memberi mudarat pada diri atau orang lain, maka ia dibolehkan. Mercun yang membawa kepada kecederaan diri atau orang lain adalah haram. Haram itu bertambah apabila adanya arahan pemerintah yang melarang rakyat dari perbuatan tersebut. Ketaatan kepada Ulul Amri dalam perkara yang baik adalah wajib.
Lebih buruk lagi apabila ada yang bermain mercun sehingga mengganggu ketenteraman awam, jemaah yang bersolat di masjid, bayi yang sedang tidur dan seumpamanya. Di negeri-negeri yang bersempadan dengan Thailand seperti Kedah, malam mereka dentuman bagaikan peperangan sedang tercetus.
Nabi SAW menyebut dalam hadis: Tidak halal bagi seorang muslim membuat muslim lain terkejut. (Riwayat Abu Daud dan Ahmad, dinilai sahih oleh al-Albani).
Namun jika bunga api atau mercun yang tidak merbahaya dan diizinkan oleh undang-undang, maka tidak menjadi kesalahan untuk bermain sebagai satu aktiviti kegembiraan dalam batasan yang diizinkan.
Kisah malam raya
Ada isteri bersungut suaminya tiada di rumah pada malam raya. Bahkan suami membantah isterinya yang sibuk menghias rumah dan menyiapkan juadah kerana katanya bahawa disunatkan pada malam Hari Raya menunaikan solat sunat Jibril sebanyak seratus rakaat, dibaca dalam setiap rakaat al-Fatihah dan sebelas kali Surah al-Ikhlas serta beberapa kaifiyyat yang lain. Kononnya fadilatnya begitu hebat.
Saya jawab aduan itu dengan berkata bahawa menghias rumah dan menyediakan makanan untuk Hari Raya termasuk dalam perkara yang diharuskan, itu adalah urusan umum kehidupan. Adapun solat berkenaan, seperti kata al-Hafiz Ibn Jauzi (meninggal 597H) dalam karyanya al-Mudu‘at : “Tiada syak lagi ia hadis palsu”.
Bahkan hadis-hadis tentang menghidupkan malam Hari Raya berada dalam sekitar status ‘teramat daif’ dan ‘palsu’. Bukan tidak boleh beribadah pada malam Hari Raya, sama seperti setiap malam, beribadah malam tetap disunatkan.
Namun fadilat khusus yang sahih tidak sabit periwayatannya daripada Nabi SAW. Maka tidak mengapalah jika suami atau seisi rumah bersiap pada malam Hari Raya untuk bergembira pada esoknya. Islam itu bak kata Nabi SAW: Agar Yahudi mengetahui bahawa dalam agama kita ada keluasan. Sesungguhnya aku diutuskan dengan agama yang lurus lagi mudah. (Riwayat Ahmad, dinilai sahih oleh al-Albani).
Puasa enam
Dalam laman web saya Minda Tajdid (drmaza.com) saya telah menjawab keluhan seorang suami yang isterinya meminta dia berbuka puasa enamnya untuk meraikan anak-anak yang pulang jauh, agar dapat makan bersama.
Oleh kerana dia bimbang nanti fadilat puasa enam Syawal itu hilang jika tidak puasa berturut selepas Hari Raya, maka dia enggan berbuka yang mungkin membawa kecil hati, atau ‘kurang meriah’ bagi anak-anak yang pulang dari jauh.
Kesimpulan daripada jawapan saya dalam Minda Tajdid saya kata bahawa walaupun ada ulama yang menyebut tentang keafdalan berturut-turut itu, namun sunat puasa enam hari pada bulan Syawal, bukanlah terhad setakat enam hari berturut-turut selepas Hari Raya, sebaliknya enam hari pada bulan Syawal sama ada berturut-turut atau berselang-seli dalam bulan tersebut dianggap sebagai memenuhi maksud hadis.
Apatah lagi di sana ada hadis Abu Sa‘id al-Khudri katanya: “Aku telah menyediakan makanan untuk Rasulullah SAW. Maka baginda dan sahabat-sahabatnya pun datang ke tempat ku. Apabila makanan dihidangkan, seorang lelaki dalam kalangan mereka berkata: “Aku berpuasa”. Rasulullah SAW pun bersabda: “Saudara kamu telah menjemput kamu, dan bersusah payah untuk kamu”. Kemudian baginda berkata kepada lelaki itu: “Bukalah puasa, dan berpuasalah satu hari lain sebagai ganti - jika mahu” (Riwayat al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra, dinilai hasan oleh al-Hafiz Ibn Hajar dalam Fath al-Bari).
Dalam riwayat lain oleh al-Tabarani dalam al-Ausad baginda mengkritik lelaki tersebut dengan bersabda: Saudara kamu telah menjemput kamu, dan bersusah payah untuk kamu kemudian kamu berkata ‘aku berpuasa!!)
Ini menggambarkan betapa menjaga hubungan baik itu patut diutamakan sementara puasa sunat pula boleh diganti pada hari yang lain. Puasa enam Syawal pun demikian. Maka untuk menjaga hubungan kaum keluarga, maka eloklah ditangguhkan puasa tersebut jika hari-
hari pada bulan Syawal masih banyak.
Pada zaman ini, cuti yang terhad, waktu pertemuan sesama keluarga juga terbatas oleh kesibukan dan urusan yang berbagai, maka amalkanlah galakan Nabi SAW ini ‘berbuka dan ganti pada hari yang lain jika mahu’. Dengan itu hubungan keluarga dapat dikuatkan atau dijaga, puasa enam juga dapat dilaksanakan.
Jika kita luasan apa yang Islam luaskan, dan elakkan menokok tambah apa yang Islam tidak izinkan, maka kita akan melihat Islam itu begitu indah dan mudah.

ARKIB : 20/09/2009

Bukan hari ratapan

Selamat Hari Raya! Semoga Allah menerima amalan saya dan saudara pembaca sekelian! Hari ini adalah hari kemenangan dan kegembiraan. Minggu lepas saya sudah bicarakan bagaimana sepatutnya hari raya menjadi hari gembira untuk umat Islam bukannya hari dukacita dan kesedihan seperti yang selalu digambarkan oleh drama atau filem Melayu.
Ya, Islam apabila hadir ke dalam sesuatu kaum atau masyarakat, ia tidak menghapuskan budaya atau adat yang tidak bertentangan dengan prinsip-prinsip Islam, atau mengubah rupa asli agama yang tulus dan suci ini. Islam tidak membuang jubah orang Arab, atau kurta orang India, atau sampin orang Melayu. Namun Islam memberikan garis panduan dan prinsip umum dalam berpakaian. Hendaklah juga kita fahami bahawa Islam amat sensitif jika ada amalan sesuatu bangsa atau kaum itu mempunyai iktikad tertentu yang membabitkan prinsip-prinsip akidah di dalam Islam.
Ini seperti kepercayaan orang melayu dahulu bahawa bala boleh ditolak dengan upacara beras kunyit, atau tepung tawar atau apa sahaja yang mempunyai unsur yang sedemikian rupa. Ini kerana ia menyentuh soal pokok dan prinsip dalam akidah Islam.
Islam tidak membantah untuk orang Melayu menggoreng ikan menggunakan kunyit, atau memasak dengan berempah kunyit. Demikian juga untuk mereka membuat tepung talam atau tepung bungkus atau 'tepung pelita'.
Namun, apabila mereka membuat nasi kunyit, atau beras kunyit atau tepung tawar yang disertai dengan sesuatu kepercayaan khusus yang tidak benar, maka ia bercanggah dengan prinsip Islam iaitu persoalan khurafat dan syirik, maka ia dilarang oleh nas-nas Islam. Sama seperti 'mandi bunga', jika ia dilihat di sudut kesan herba kepada kesihatan, maka itu mungkin boleh diterima setelah dibuat kajian pakar. Namun jika disertai iktikad karut seperti boleh mempercepatkan jodah, maka Islam menolak kebodohan yang seperti itu. Ertinya, budaya, adat atau kebiasaan sesuatu kaum boleh diteruskan, namun hendaklah dipastikan ia tidak mengandungi iktikad yang salah, atau amalan yang bercanggah dengan ajaran Islam.
Berbalik kepada persoalan hari raya pun demikian. Pada asasnya, Islam mengajar umatnya beberapa amalan sempena hari raya. Ini termasuklah bertakbir, bersolat 'id (hari raya), berhimpun dan bergembira. Kata Umm Atiyyah: "Rasulullah saw memerintahkan kami (kaum wanita) keluar pada hari raya fitri dan adha; termasuk para gadis, wanita haid, anak dara sunti. Adapun mereka yang haid tidak menunaikan solat, tetapi menyertai kebaikan dan seruan kaum Muslimin" (Riwayat al-Bukhari). Tujuannya menzahirkan kekuatan dan kegembiraan. Justeru, sekalipun Masjid Nabawi itu adalah masjid yang penuh dengan kelebihan, namun Rasulullah saw bersolat Hari Raya di musolla iaitu tempat solat khas di tanah lapang, bukan dalam masjid. Ini seperti hadis Abi Sa'id al-Khudri, katanya: Rasulullah saw itu pada Hari raya Fitri dan Adha keluar ke musolla. Perkara pertama yang dilakukannya adalah solat" (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Kata al-Hafizd Ibn Hajar al-'Asqalani dalam Fath al-Bari: "Musollah itu tempatnya diketahui di Madinah, di mana antaranya dan masjid sejauh seribu hasta". Dengan bersolat di tempat lapang yang disertai oleh setiap lapisan kaum Muslimin maka menambahkan kemeriahan, kekuatan jiwa dan semangat, serta kegembiraan dalam kaum muslimin. Amalan ini diamalkan oleh sebahagian umat Islam sejak zaman Nabi saw sehingga ke hari ini melainkan jika berlaku hujan atau kesukaran mendapatkan tempat lapang. Di Perlis, semasa saya menjadi mufti, saya menggalakkan para imam menganjurkan solat Hari Raya di tempat lapang. Maka zahir kekuatan alunan takbir yang menembusi ufuk dan di tempat yang terbuka itulah alam menyaksikan perpaduan, kekuatan dan kemesraan kaum muslimin.
Masyarakat Melayu
Maka mesej Islam pada Hari Raya adalah kemenangan, kekuatan umat dan kegembiraan. Jangan ditukar mesej ini dengan yang sebaliknya. Untuk mencapai kegembiraan setiap kaum kadang-kala ada cara yang tersendiri. Ia boleh diterima selagi tujuannya tidak tersasar. Mereka mungkin memakai pakaian khas yang cantik menurut tradisi kaum masing-masing; jubah untuk orang Arab, kurta untuk orang India, berbaju melayu untuk orang Melayu dan seterusnya. Demikian juga juadah makanan; Nabi saw tidak pernah menyuruh atau memakan ketupat, rendang dan dodol pada hari raya. Itu adalah makanan orang melayu. Tidak mengapalah, ia tidak menyanggahi tujuan hari raya. Demikian ucapan Selamat Hari Raya, yang diriwayatkan daripada para sahabat mereka sekadar mengucapkan TaqabbalaLlah minna wa minka (semoga Allah menerima amalan kami dan kamu) (lihat: al-Albani, Tamam al-Minnah 354-356). Orang melayu menambah dengan selamat hariraya. Ia mungkin sebahagian daripada aktiviti menceriakan hari raya. Cuma penambahan 'maaf zahir batin' yang membawa kepada hari raya menjadi hari khas untuk bermaaf-maafan, mungkin ada sudut negatif dan positifnya.
Jika ia membawa masyarakat kita melengah-lengahkan permohonan maaf sesama muslim kerana menunggu hari raya, maka ini sesuatu yang negatif. Nas-nas Islam tidak pernah menyebut hari raya hari bermaafan, sebaliknya setiap yang bersalah mestilah menyegerakan pemohonan maaf tanpa menunggu hari raya atau hari tertentu. Demikian juga jika maaf-maafan pada hari raya itu ia membawa suasana 'air mata dan sedih' maka itu di luar dari tujuan hari raya.
Satu lagi perkara yang disangkakan oleh sesetengah masyarakat sebagai amalan hari raya iaitu bertafakur atau menziarahi kubur dengan taburan bunga dan siraman air. Sesetengah orang suasana hari rayanya bertukar menjadi suasana suram dan tidak ceria selepas solat kerana pergi bersedih dan mengenangkan orang yang mati pada Hari Raya. Jika sekadar lalu di kawasan kubur sambil berdoa tidaklah mengapa. Tetapi melakukan ziarah khas pada hari raya bersama dengan perasaan sedih dan pilu bukan amalan Nabi saw dan menyanggahi tujuan Hari Raya dalam Islam.
Di samping amalan menabur bunga dan menyiram air, bukanlah kenali di zaman salafussoleh sebagai amalan yang dipraktikkan. Adapun perbuatan Nabi saw meletakkan pelepah tamar atas kubur adalah keistimewan khas baginda, sebab itu tiada sahabah yang meniru perkara yang sama selepas itu. Manusia pada umumnya mendapat kebahagiaan di akhirat dengan amalan baiknya dan juga doa ikhlas insan lain yang mustajab. Tiada proses belian atau upahan pahala dalam ajaran Islam.
Apapun, sempena Hari Raya kita hendaklah zahirkan kebesaran Allah dan kekuatan umat Islam sebagai umat yang memimpin alam dengan kebaikan dan hidayah. Gema takbir bukan untuk mengundang kesedihan tanpa sebab. Sebaliknya agar jiwa dipenuhi dengan kebesaran Allah, kecintaan kepada perpaduan dan kebahagiaan umat ini. Ia memberikan semangat kepada kita untuk terus sebagai umat yang berdaulat dan mampu melaungkan kebesaran kerajaan Allah yang menguasai langit dan bumi.
Air mata jika pun ada pada Hari Raya adalah air mata mengenang kebesaran Allah dan perasaan cinta yang mendalam kepada umat ini. Khutbah Hari Raya adalah khutbah yang penuh semangat dan makna, bukan khutbah yang 'menidurkan' makmum pada pagi hari dan penuh kemandulan serta tidak membangunkan jiwa jihad dan pengorbanan. Imam atau khatib hendaklah sedar akan hakikat ini. Selamat hari raya! selamat membina kekuatan umat dan kecintaan kepada setiap saudara muslim kita. Allahu akbar, Allahu akbar walillahil hamd.
- DR. Mohd Asri Zainul Abidin ialah bekas mufti Perlis.


ARKIB : 13/09/2009

Aidilfitri bukan hari sedih

MASYARAKAT melayu kita sering mengaitkan Hari Raya dengan hari kesedihan. Perkara ini dirangsang tambah oleh media kita. Apabila tiba Hari Raya, takbir raya ala melayu berirama sedih, alunan melodinya mendayu dan mengundang airmata, drama dan cerita dalam media akan dikaitkan dengan kisah-kisah sedih dan pilu, puisi dan lagu juga begitu. Apakah Hari Raya dalam Islam hari sedih, atau hari kemenangan dan kegembiraan?
Terlebih dahulu kita hendaklah tahu bahawa Hari Raya dalam Islam bukan sekadar tradisi atau cetusan idea mana-mana pihak, ia adalah syariat yang diturunkan oleh Allah dan ada hukum-hakamnya yang tersendiri. Di samping ia adalah hari yang Allah peruntukkan untuk kaum muslimin membesarkan Allah, kemenangan dan kegembiraan. Firman Allah (maksudnya): Bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan, maka hendaklah dia berpuasa; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (maka diganti) pada hari-hari yang lain. (dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya, dan supaya kamu bersyukur. (Surah al-Baqarah: 185). Ayat ini menjelaskan tentang kedatangan hari raya adalah tanda syukur atas nikmat kurniaan Allah. Maka kita disuruh bertakbir membesarkan Allah pada Hari Raya. Ini semua tanda kejayaan dan kegembiraan.
Apatah lagi hadis-hadis Nabi SAW menunjukkan penghayatan hari raya pada zaman baginda penuh dengan kegembiraan dan ceria. Kata Ummu Atiyyah r.aha: Rasulullah SAW memerintahkan kami (kaum wanita) keluar pada hari raya Aidilfitri dan Aidiladha; termasuk para gadis, wanita haid, anak dara sunti. Adapun mereka yang haid tidak menunaikan solat tetapi menyertai kebaikan dan seruan kaum muslimin (Riwayat al-Bukhari). Maka Nabi SAW dalam sunahnya, menunaikan solat hari raya di tanah lapang, sehingga memungkinkan setiap individu menyertai kemenangan dan kegembiraan pada hari tersebut, juga lebih penting untuk memperlihatkan kekuatan, perpaduan, kejayaan dan kebahagiaan hidup kaum muslimin. Takbir Hari Raya adalah takbir yang bersemangat, bukan berirama sedih seperti takbir kita. Cubalah dengar takbir Hari Raya di dunia Arab, lain iramanya.
Berita lanjut, sila rujuk edisi cetakan Mingguan Malaysia atau langgani e-Paper di http://ebrowse.bluehyppo.com/utusan/index.asp


ARKIB : 30/08/2009

Apa mereka perjuangkan?

Pilihan raya Permatang Pasir telah pun selesai. Saya pulang ke Malaysia betul-betul pada hari penamaan calon. Pusat penamaan calon iaitu Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Mengkuang Bukit Mertajam pula betul-betul berhampiran rumah saya, sekalipun kawasan saya tidak termasuk dalam DUN berkenaan.
Ramai yang tidak tahu bahawa saya mempunyai dewan pengajian untuk orang awam iaitu Dewan Pengajian al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah yang bersebelahan rumah saya.
Dewan ini sering menganjurkan berbagai aktiviti ilmiah yang bersifat 'terbuka' dari sudut pemikiran fekah dan 'kepartian'. Para jemaahnya cuba diserasikan dengan prinsip-prinsip ilmu yang merentasi sebarang sempadan kepartian dan mazhab fikah.
Oleh kerana kawasan bangunan dewan ini luas, ramai yang datang dari luar Pulau Pinang yang tidak tahu tentang dewan itu melintasi di hadapannya atau cuba menggunakan kemudahannya. Sebahagian yang tahu saya sudah pun berada di Malaysia datang dan mengunjungi saya di rumah.
Maka, sepanjang tempoh berkempen ramailah juga tetamu saya yang terdiri daripada kalangan tokoh kedua-dua parti yang bertanding. Seperti biasa, saya memberikan pandangan saya yang tersendiri mengenai cara politik kedua-dua parti tersebut.
Ada juga di kalangan tokoh-tokoh yang datang itu menegaskan tentang keperluan untuk saya menjadi aktivis parti mereka. Mereka mengemukakan alasan dan hujah, saya berdiam sahaja. Saya belum berfikir sehingga ke situ. Namun beberapa kesimpulan pemikiran politik dapat saya rumuskan.
Tanda aras
Dalam Islam kita diajar agar mencontohi yang baik, bahkan yang terbaik. Jika kita ingin mencapai sesuatu kualiti yang baik, maka kita mestilah mengambil bench mark atau penanda aras yang terpilih. Justeru itu kita disuruh mencontohi para nabi dan pengikut mereka yang terbukti benar-benar berjaya mempertahankan prinsip kebenaran. Ini seperti firman Allah: (maksudnya) "Sesungguhnya adalah bagi kamu pada (Nabi) Ibrahim (aS) dan pengikut-pengikutnya - contoh ikutan yang baik..." (Surah Mumtahanah, ayat 4).
Firman Allah juga: (maksudnya) Demi sesungguhnya adalah bagi kamu pada Rasulullah itu contoh ikutan yang baik bagi sesiapa yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) Hari Akhirat, serta dia pula mengingati Allah banyak-banyak. (Surah al-Ahzab, ayat 21).
Nabi Muhammad itu sendiri pun diperintah oleh Allah SWT agar menuruti langkah dan teladan para nabi sebelum baginda. Firman Allah: "Mereka (nabi-nabi) tersebut adalah orang-orang yang telah diberi petunjuk oleh Allah, maka turutlah olehmu (Wahai Muhammad) akan petunjuk mereka." (Surah al-An'am, ayat 90).
Demikianlah banyak ayat-ayat al-Quran yang Allah arahkan agar kita mencontohi teladan yang baik sebagai penanda aras dalam perjalanan hidup kita.
Malang sekali, 'orang parti' apabila kita mengkritik tindakan parti mereka, mereka akan menjawab ''parti lawan lebih teruk'', atau ''parti lawan buat tak apa, kenapa kami tak boleh? ''Kenapa bantah kami, parti lawan pun buat perkara yang sama? atau apa sahaja jawapan yang menunjukkan penanda aras tindakan mereka adalah diukur dengan parti lawan mereka.
Pada masa yang sama mereka kata parti lawan buruk dan mendakwa mereka lebih baik dari parti musuh mereka, tapi pengukur tindakan mereka tidak lebih dari parti yang mereka tentang. Mereka sebenarnya bukan mencari yang terbaik, tetapi mereka ingin menjustifikasikan tindakan politik mereka.
Jika itulah tahap pemikiran orang politik kita, sehingga bila pun kita tidak akan dapat membuat perubahan yang terbaik dalam masyarakat kita. Barangkali jika kita mengkritik mereka mengambil rasuah, mereka akan jawab: ''pemimpin parti lawan kami ambil lagi banyak, pasal apa kritik kami?" Mereka menghalalkan tindakan mereka kerana parti lain pun buat.
Jika begitu, kita tidak perlu buat pilihan raya untuk sebarang pemilihan kerana tahap ukuran atau penanda aras mereka itu sama! Mungkin ada yang berkata; kita guna kaedah 'memilih mudarat yang paling ringan' seperti yang diajar dalam qawa 'id fiqhiyyah (kaedah-kaedah fekah).
Kaedah ini mengajar bahawa apabila bertentangan antara dua mudarat atau bahaya, seseorang muslim diperintahkan agar memilih yang paling kurang bahaya atau mudarat antara keduanya. Kaedah ini digunakan apabila tiada lagi di hadapan seseorang pilihan yang lain. Namun jika di sana ada jalan keluar dari bahaya atau mudarat tersebut, maka kita hendaklah mendapatkannya.
Pihak yang layak untuk melaksanakan kaedah ini ialah para pengundi apabila mereka mendapati kesemua parti-parti ini adalah bahaya dan mudarat, mereka terpaksa memilih yang paling ringan mudaratnya.
Soalnya, apakah parti-parti ini hanya mampu menjadi 'yang paling ringan mudarat', bukan yang mampu membawa sesuatu yang baik atau terbaik? Juga, apakah parti-parti politik ini kesemuanya merupakan bahaya dan mudarat yang kita tiada pilihan, atau mampu mencari jalan keluar? Atau, apakah sekadar itu sahaja tahap kualiti dan pemikiran kita.
Kualiti perjuangan
Saya suka apabila ada pihak yang membezakan kualiti pengikut atau penyokong. Saya bukan tokoh politik, tetapi sering berjumpa berbagai pihak dan individu sama ada di tempat awam, tertutup atau melalui surat dan e-mel yang menyebut: ''Saudara, saya penyokong anda", atau ''saya peminat anda", atau ''saya berikan sokongan penuh perjuangan anda."
Jika saya sempat bersembang dengan mereka saya pasti akan bertanya: ''Apa yang anda sokong?'', ''Apa yang anda minat?'' Alhamdulillah, ramai yang menjawab: ''Saya pembaca setia tulisan anda'', atau ''Saya selalu mengikuti ucapan anda dalam berbagai media," atau ''Saya sering menghadiri kuliah anda." Namun jika ada yang menjawab ''Saja, seronok-seronok'' atau ''kawan saya sokong anda, saya pun join kelab mereka," atau ''Sekadar trend terkini,'' tentulah sesuatu yang mendukacitakan dan tidak memberi apa-apa makna kepada segala usaha dan penat lelah.
Saya dapati ramai orang politik cuai hakikat ini. Sesetengah parti politik, para pengikut mereka benar-benar tiada kualiti. Mereka tidak mendokong cita-cita perjuangan, atau tiada faham apa yang diperjuangkan, tetapi sekadar berseronok suka dengan 'keramaian' dan 'faedah sampingan' yang diperolehi.
Mereka tidak tahu idealisme perjuangan, atau jika tahu pun mereka tidak menghayatinya atau terasa sebahagian dari perjuangan mereka. Inilah yang kita lihat pada ramai anak-anak muda, bahkan yang tua juga yang bersorak-sorai dalam musim pilihan raya.
Ada parti yang benar-benar lesu cita-cita perjuangannya. Hilang arah dan matlamat perjuangan. Hidup atas isu atau sekadar hendak mempertahankan kerusi atau kuasa yang ada. Para pengikut bawahan mereka, hanya sekadar untuk mendapatkan upah menggantung poster, atau wang poket, atau 'makan percuma'.
Politik sekadar untuk bersosial, bukan kerena ada perjuangan yang hendak digalas, maka hancurlah politik kita dan masa depan negara. Hal ini berlaku disebabkan banyak perkara, antaranya; perjuangan parti itu sendiri hilang arah, atau cita-cita perjuangannya tidak berpijak di alam nyata, atau perjuangannya tidak dapat diterima pengikut atau contoh teladan buruk kepimpinan parti yang menyebabkan segala idealisme ditelan isu-isu peribadi.
Menetapkan hala tuju perjuangan yang jelas dalam diri individu atau organisasi merupakan rukun utama dalam meneruskan perjalanan hidup.
Sebab itulah, sebahagian sarjana ada yang menyatakan Islam itu adalah jawapan yang tepat kepada tiga soalan utama yang sentiasa muncul dalam akal pemikiran manusia sepanjang zaman; iaitu dari mana manusia wujud? Kenapa manusia diwujudkan? Ke mana akhirnya kesudahan kewujudan manusia?
Islam menjawab persoalan-persoalan ini secara tepat. Jika sesiapa dapat memahami atau memberikan jawapan yang tepat kepada persoalan-persoalan ini, bererti dia memahami hakikat Islam. Dengan memahami hakikat ini, maka umat Islam dahulu yang gemilang berjuang. Kejelasan matlamat dan hala tuju hidup terbentang di hadapan mata mereka.
Maka jika hal ini dikiaskan kepada perjuangan apa sahaja, jika perjuangan itu dapat memberikan jawapan serta memahamkan pengikut mereka, 'bagaimanakah perjuangan mereka itu boleh muncul? Untuk apa mereka berjuang? Dan ke manakah kesudahannya perjuangan tersebut? maka kita akan dapati kelangsungan perjuangan berkenaan. Jika tidak, ia adalah slogan khayalan yang tiada hakikat baginya.
Sekalipun, jika ia kelihatan gah dan besar, ia hanyalah singa atau raksasa kertas yang boleh dimusnahkan oleh sebatang mancis api. Jika jawapan itu benar-benar wujud sekalipun kecil ia mampu bergerak dan membawa dirinya sendiri.


ARKIB : 23/08/2009

Segalanya kerana niat

MENJELANG Ramadan setiap kita berusaha meningkatkan pembersihan jiwanya. Mendekatkan diri kepada Allah. Mengakui sesuatu yang benar itu benar sekalipun ia menyanggahi kepentingan dan kehendak diri kita.
Mengakui yang salah itu salah, sekalipun kita sudah terbabit dengan yang salah tersebut. Ini bukan sesuatu yang mudah, ia memerlukan kekentalan jiwa yang dibina di atas niat yang ikhlas dalam perjuangan hidup di atas muka bumi ini. Hidup yang berteraskan keyakinan bahawa setiap kita akan mengadap Allah SWT, dan Dia menghisab segala amalan baik dan buruk yang telah kita lakukan.
Perjalanan hidup insan sebenarnya mewakili apa yang tersirat dalam jantung hati, atau niatnya. Perbuatan yang dilakukan dengan rela dan pilihan sendiri adalah tafsiran kepada niat, kefahaman dan tujuan hidup seseorang insan. Tidak lebih daripada itu. Bahkan apa yang dirancang, keinginan, harapan yang akhirnya menjelma dalam bentuk tindakan, berpunca dari niat.
Justeru dalam hadis daripada Umar bin al-Khattab r.a, beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya setiap amalan itu hanya dengan niat. Dan sesungguhnya setiap orang hanya mendapat balasan mengikut apa yang diniatkan. Sesiapa yang berhijrah untuk mencari duniawi atau untuk mendapatkan wanita yang ingin dikahwini, maka (pahala) hijrahnya itu mengikut niatnya.” (Riwayat al-Bukhari).
Sebelum kita tersilap faham, niat bukanlah seperti yang dibayangkan oleh sesetengah pihak iaitu ucapan di lidah “sengaja aku berniat sekian dan sekian...” Sama sekali tidak. Itu hanyalah ucapan lidah, belum tentu mewakili tujuan sebenar. Niat juga bukan perkataan yang diatur dalam minda yang menyebab ramai orang yang tidak faham berulang kali kononnya melafazkan ‘niat’, sehingga terganggu solat, puasa, iktikaf dan seumpamanya. Niat adalah keazaman seseorang untuk melakukan sesuatu tindakan.
Dalamnya merangkumi segala yang tersirat di sebalik sesuatu perbuatan. Tepat bak kata tokoh ilmuwan terkenal al-Hafiz Ibn Qayyim al-Jauziyyah (meninggal 751H): “Niat ialah tujuan dan azam melakukan sesuatu. Tempatnya di hati. Tiada kaitan dengan lidah sama sekali.’’
Justeru itu, tidak pernah diriwayatkan daripada Nabi SAW dan para sahabat sebarang lafaz bagi niat. Tidak pernah kita dengar hal ini dari mereka. Segala lafaz yang diada-adakan sebelum bersuci dan solat telah syaitan jadikannya medan memerangi golongan yang was-was.
Syaitan memenjara dan mengazab mereka dengannya. Dia menjadikan mereka berusaha membetulkan lafaz-lafaz itu, sehingga anda lihat ada yang mengulang-ulang dan berhempas pulas dalam mengucapkannya. Padahal ia langsung tiada kaitan dengan solat. Sebaliknya niat itu ialah tujuan sesuatu perbuatan.
Setiap yang berazam melakukan sesuatu, dia telah berniat. Tidak tergambar terpisahnya perbuatan dengan niat kerana perbuatan itu adalah hakikat niat. Tidak mungkin tiada niat sedangkan wujudnya perbuatan. Sesiapa yang duduk untuk berwuduk maka dia telah berniat hendak berwuduk. Sesiapa yang berdiri untuk bersolat maka dia telah berniat untuk bersolat.
Tiada seorang yang berakal melakukan sesuatu ibadah atau selainnya tanpa niat. Niat merupakan perkara semestinya wujud bagi tindakan insan yang disengajakan. Tidak perlu bersusah payah dan berusaha mendapatkannya. Sekiranya seseorang ingin menghilangkan niat dari perbuatan pilihannya, nescaya dia tidak mampu.
Jika Allah mewajibkan solat atau wuduk tanpa niat, maka Dia mewajibkan apa yang insan tidak mampu. Ia tidak termasuk di bawah keupayaan insan. Kalau begitu, mengapa bersusah payah untuk mendapatkan niat?
Sesungguhnya syak dalam memperolehi niat adalah sejenis penyakit gila. Sebab, pengetahuan seseorang tentang keadaan dirinya adalah sesuatu yang yakin. Bagaimana mungkin seorang yang berakal syak tentang niat dirinya. Seseorang yang berdiri belakang imam untuk menunaikan solat zohor; bagaimana mungkin dia syak mengenai tujuannya?
Jika seseorang memanggilnya untuk sesuatu urusan ketika itu, nescaya dia berkata: aku ada urusan, aku ingin solat Zuhur. Jika seseorang bertanya kepadanya ketika dia keluar menuju ke tempat solat: awak hendak ke mana? Nescaya dia berkata: aku hendak solat Zuhur bersama imam.
Amalan hati
Jadi, bagaimana mungkin seorang yang berakal ragu-ragu mengenai hal ini dalam dirinya sedangkan dia mengetahuinya secara yakin” (Ibn Qayyim, Ighathah al-Lahfan min Masaid al-Syaitan, halaman 144). Dr. Yusuf al-Qaradawi pula menyebut: Niat ini adalah amalan hati semata. Bukan amalan lidah.
Tidak diketahui daripada Nabi SAW, tidak juga dari para sahabah dan para tabi‘in yang mengikut mereka dengan baik -yang merupakan salaf umat ini- sebarang lafaz bagi niat ibadat, seperti solat, puasa, mandi, berwuduk dan seumpamanya, apa yang kita lihat sebahagian manusia bersungguh-sungguh melakukannya, seperti mereka menyebut: Aku berniat mengangkat hadas kecil, atau besar, atau solat Zuhur, atau asar empat rakaat kerana Allah Yang Maha Besar, atau aku berniat puasa esok hari pada bulan Ramadan dan sebagainya.
Ini semua tidak dibawa (diajar) oleh sebarang ayat al-Quran atau sunnah. Tidak ada faedah baginya, di mana seorang insan tidak akan berkata ketika hendak ke pasar: aku niat hendak ke pasar. Atau ketika dia hendak bermusafir: Aku niat bermusafir. Al-Zarkasyi dalam fatwa-fatwanya memetik perkataan al-Ghazali: “Urusan niat dalam ibadah itu mudah, namun apa yang menyusahkan ialah disebabkan kejahilan dengan hakikat niat atau (disebabkan) was-was.” (http//:qaradawi.net).
Penegasan niat sering kita sebutkan apabila hendak solat, puasa, zakat, haji dan ibadah-ibadah khusus yang lain. Malangnya, itu pun dengan konsep yang ‘silap’ seperti yang dijelaskan oleh dua tokoh ilmuwan di atas. Sehingga ada yang mempersendakan konsep niat dengan membuat ungkapan-ungkapan yang kononnya mewakili niat, walaupun ada maksud tersirat yang lain.
Berapa banyak operasi kewangan yang menggunakan nama ‘Islam’ dengan berbagai lafaz ketika akad, tetapi maksud yang tersirat berbeza dengan lafaz di lidah. Maka berbagai keuntungan yang sebahagiannya mempunyai unsur penindasan dan kesamaran dibuat atas nama Islam dengan kata-kata yang indah, walaupun niat sebenar amat berbeza. Sebabnya? Orang kita faham niat itu bermaksud lafaz.
Maka niat atau hasratlah yang tersirat di sebalik setiap tindakan. Kita diperintahkan untuk mengikhlas niat kerana Allah dalam ibadah. Membetulkan tujuan setiap tindakan. Inilah yang menjadi antara tujuan utama pendidikan Ramadan. Justeru itu Nabi SAW menyebut dalam hadis qudsi: “Semua amalan anak Adam untuknya, melainkan puasa. Ianya untukKu dan hanya Aku yang membalasnya” (Riwayat al-Bukhari).
Puasa adalah manifestasi keikhlasan yang ada dalam jiwa. Tiada siapa yang boleh tahu seseorang benar-benar puasa atau menipu melainkan Allah. Puasa bukan pergerakan jasad yang boleh dilihat, tetapi pengawalan dalaman diri yang hanya diketahui oleh Allah.
Jika roh puasa dibawa dalam kehidupan, maka pasti banyak masalah umat Islam hari ini dapat diselesaikan. Umat kita hari ini fakir dan miskin ‘niat yang ikhlas’ dalam banyak keadaan. Walaupun niat tidak dapat kita lihat, namun sebahagian besar tindakan dan perbuatan insan mampu memberikan tanda atau menafsirkan niat yang tersirat.
Kemarau
Kita kemarau keikhlasan dalam ilmu, pergaulan, persaudaraan, politik, muamalat dan berbagai cabang kehidupan. Inilah krisis kita. Setiap kita, termasuklah yang menduduki tempat yang penting dalam masyarakat menyimpan niat yang berbagai. Politik umpamanya, sepatutnya setiap individu yang terlibat dalamnya, mengikhlaskan niat kerana Allah, dengan itu maka semua tindakannya dipastikan memenuhi tuntutan keperluan umat dan rakyat.
Namun, apabila ahli-ahli politik muslim menempatkan niat yang lain, maka tujuan politik yang sepatutnya menuju kepada kepentingan umat dan rakyat bertukar menjadi agenda parti atau peribadi yang akhirnya menyusahkan rakyat.
Demikian juga urusan agama, sepatutnya ilmu Islam itu membimbing manusia memahami kehendak al-Quran dan sunnah, tapi telah dijadikan agenda peribadi untuk mengaut untung, atau perniagaan, atau kuasa atau seumpamanya, akhir agama menjadi alat pencapai matlamat peribadi dan kumpulan. Maka, politik tidak mengenai tujuan, urusan agama pun tidak mencapai matlamat. Hari ini kita melihat banyak pihak yang seruannya indah, bahkan sebahagian menggunakan nama Islam, tetapi jalan dan tindakannya amat berbeza dengan ajaran Islam. Apa sebabnya? Semuanya kerana niat. Slogan memang cantik, ramai yang boleh buat dan ada-adakan, namun niat siapa yang tahu?


ARKIB : 16/08/2009

Hidup adalah kembara

SAYA tidak suka menulis tentang diri sendiri di ruangan ini. Namun izinkan saya mencoret kali ini seperti mana saya pernah coretkan hari terakhir saya menjadi Mufti Perlis. Tulisan ini adalah tulisan terakhir saya selama berada beberapa bulan di United Kingdom. Ketika ini, bilik asrama kecil lagi usang yang hampir berusia 200 tahun, yang saya tinggal dalamnya beberapa bulan sebagai 'orang bujang', berselerakan dengan barang-barang yang sedang dikemas. Bilik ini terletak dalam bangunan yang dinamakan Old Building, University Of Wales, Lampeter. Kenapa saya sampai ke sini? Hanya Allah Yang Maha Tahu. Dahulu, saya memang sering berdoa untuk dapat buat sabatikal di UK.
Hanya kerana saya sudah pernah tinggal di negara Arab, harapnya ada sedikit pengalaman baru di negara Barat. Saya tidak pula terbayang di mana universiti saya akan pergi. Sehinggalah saya 'tercampak' ke cerok Lampeter yang tenang dan nyaman ini. Memang, tidak pernah satu hari saya terbayang akan sampai ke daerah yang seperti ini. Namun, saya syukur dan akur atas segala kurnia, kerana hikmah kehidupan menjelma dalam pelbagai rupa dan ruang.
Insya-Allah, pada hari ini (Ahad), hari artikel ini diterbitkan adalah hari saya sampai ke Malaysia. Saya membaca semula tulisan lepas saya yang bertajuk Hari Terakhir Saya Sebagai Mufti Perlis. Artikel itupun diterbitkan pada Ahad, hari terakhir saya sebagai Mufti Perlis. Terus selepas itu, saya ke UK. Ahad yang bermaksud satu adalah hari pertama dalam bilangan hari. Ia sering menjadi hari terakhir saya dalam tugasan. Baik juga, kerana sering memberi saya peluang membuat kesimpulan di ruangan ini. Apapun, Allah mengingatkan kita: (maksudnya) ...dan demikian itulah hari-hari Kami jadikan ia bersilih ganti antara sesama manusia (Surah Ali 'Imran: ayat 40). Ya! Hari berganti, manusia berubah kedudukan, keadaan dan berbagai lagi. Allah mengubah iklim dan warna kehidupan kita dengan berbagai cara. Kesemua itu menerusi hari-hari dalam perjalanan apa yang dinamakan al-hayat al-dunya atau kehidupan dunia. Maka kita pun sedar, kita adalah kembara yang merentasi benua kehidupan untuk sampai ke satu perhentian yang bernama 'kematian'. Di sanalah akan bermula alam baru dan cerita baru. Namun cerita baru itu berkait sepenuhnya dengan diari kembara kita merentasi benua kehidupan ini. Bak kata Nabi saw: Ada apa aku dan dunia ini! Tiadalah dunia dan aku ini melainkan seperti seorang pengembara yang berlindung dari panas di bawah sepohon pokok, kemudian pergi meninggalkannya. (Riwayat al-Tirmizi, dinilai sahih oleh al-Albani).
DR. Mohd Asri ZainUl Abidin ialah bekas Mufti Perlis.
Berita lanjut, sila rujuk edisi cetakan Mingguan Malaysia atau langgani e-Paper di http://ebrowse.bluehyppo.com/utusan/index.asp


 ARKIB : 09/08/2009

Lebih lajak dari laju

Setiap insan ada kelemahan yang tersendiri. Sedikit ataupun banyak. Dosa ada berbagai jenis, kecil dan besar. Seorang insan biasanya tidak dapat lari dari jatuh ke dalam daerah-daerah dosa. Sama ada yang besar atau yang kecil. Jika tidak dosa itu pada tindakan atau perbuatan anggota badan, ia kadangkala pada jantung hati dan perasaan seperti takabur, riyak, buruk sangka dan berbagai lagi. Tiada anak Adam yang suci tanpa disentuh oleh dosa. Bak kata Nabi saw: Setiap anak Adam membuat salah. Sebaik-baik yang membuat salah ialah yang bertaubat. (Riwayat al-Tirmizi dan Ibn Majah, dinilai hasan oleh al-Albani).
Cumanya, atas rahmat Allah, Dia menutup kelemahan kebanyakan insan. Maka tampillah insan itu tampak bersih dan suci pada sangkaan manusia, namun hanya Allah Yang Maha Mengetahui mengenai hakikat diri seseorang. Sebab itu, insan bukan sahaja disuruh selalu beristighfar dan bertaubat untuk kesalahan dirinya, tetapi juga jangan menghukum kedudukan syurga dan neraka orang lain secara putus.
Kita mungkin boleh menyatakan ini perbuatan dosa, ini pula perbuatan pahala. Orang ini berakhlak baik, orang itu berakhlak buruk. Orang ini menzahirkan maksiat, orang itu menzahirkan ibadah. Sekadar itulah penilaian. Namun, untuk menyatakan si fulan itu pasti ahli neraka, atau si fulan itu pasti ahli syurga, maka untuk bukan urusan kita.
Dosa pahala
Hanya Allah dan rasul-Nya yang berhak. Kita tidak pasti melainkan apa yang zahir seperti jika seseorang mati dalam kekufuran setelah datang kepadanya penerangan iman dan Islam yang secukupnya, atau mati dalam maksiat yang jelas. Maka nas al-Quran dan Sunnah menyatakan dia ahli neraka. Itupun hanya pada penilaian zahir sahaja, mungkin dia bersyahadah sendirian sebelum menemui Allah, kita tidak tahu. Pelaku maksiat juga demikian, pada zahirnya maksiat adalah faktor yang membawa seseorang ke neraka. Namun, kita tidak tahu, mungkin seseorang itu di samping maksiatnya, ada kebaikan yang dibuat yang mungkin mampu memadamkan dosanya di sisi Allah.
Mungkin juga dia bertaubat tanpa kita tahu. Hanya Allah yang menentukan kedudukannya. Ini tidak menghalang kita untuk menyatakan yang salah itu salah, dosa itu dosa. Kita akan membantah kemaksiatan yang dilakukan kerana itu tanggungjawab agama, namun kita tidak akan melaknat individu berkenaan dan menentukan dia semestinya ahli neraka. Fanatik dan permusuhan yang melampaui batas, kadang-kala menyebabkan seseorang terlajak dalam menghukum orang lain. Inilah yang berlaku di kalangan golongan Khawarij yang me'neraka' seseorang hanya kerana satu dosa. Inilah juga yang berlaku dalam golongan fanatik agama dalam berbagai aliran dan kepartian yang me'neraka'kan orang lain hanya kerana satu dosa yang dicanangkan.
Padahal sepatutnya, memadai dengan menegur dan menghalang kesalahan atau dosa, namun jangan membuat keputusan tentang kedudukannya di sisi Allah. Jangan melampau dalam menghukum orang lain. Dalam hadis al-Imam al-Bukhari, Rasulullah saw mengajar kita hakikat ini. "Seorang lelaki bernama 'Abdullah, digelar himar (keldai). Dia pernah menyebabkan Rasulullah saw ketawa. Juga pernah Nabi saw. menyebatnya (menjatuhkan hukuman) disebabkan kesalahan meminum arak. Pada suatu hari dia ditangkap lagi (disebabkan kesalahan meminum arak), maka baginda pun menghukum lalu dia disebat. Seorang lelaki berkata: "Ya Allah! Laknatilah dia, alangkah kerap dia ditangkap". Lantas Nabi saw pun bersabda: Jangan kamu semua melaknatinya! Demi Allah apa yang aku tahu dia mencintai Allah dan Rasul-Nya. (Riwayat al-Bukhari).
Bagaimana mungkin orang yang meminum arak boleh mencintai Allah dan Rasul-Nya? Tidakkah Rasulullah saw sendiri bersabda: Allah melaknat arak, peminumnya, penghidangnya, penjualnya, membelinya, pemerahnya, meminta agar ia diperah, pembawanya dan orang yang ia dibawa kepadanya (Riwayat Abu Daud dan Ibn Majah, dinilai sahih oleh al-Albani). Jawapannya, bukan semua yang meminum arak atau apa-apa maksiat itu membenci Allah dan rasul-Nya.
Maksiat adalah dosa dan kelemahan dirinya. Namun tidak semestinya, pelaku maksiat membenci Islam. Maksiat membawa ke neraka, namun bukan semesti seorang pelaku maksiat tidak melakukan pahala dalam perkara yang lain yang akhirnya Allah akan menentukan timbangan antara keduanya. Betapa ramai insan yang nampak peribadinya lemah, tetapi jiwanya masih sayangkan Allah dan rasul-Nya, sayangkan Islam dan marah jika Islam dan kaum Muslimin dihina dan dianiayai. Ya, Rasulullah saw melaknat peminum arak dan yang terlibat dengannya. Pelaknatan itu secara umum, namun apabila penentuan secara individu maka penilaian khusus hendaklah teliti. Setiap insan mempunyai latar dan situasi yang berbeza. Maka kita jangan 'terlebih lajak daripada laju'.
Di sebalik itu, orang zahirnya beramal dengan amalan agama maka pada zahir dia beramal dengan amalan ahli syurga. Namun kita tidak tahu niatnya; ikhlas atau riyak, atau tujuan tersembunyinya. Kita tidak tahu jiwanya; bongkak atau tawaduk, tauhid atau syirik. Di mana kesemua itu faktor yang mengheret seseorang ke neraka. Mungkin juga ada dosa atau kezalimannya terhadap insan lain sehingga Allah mengambil segala pahalanya sebagai gantian. Nabi saw pernah bertanya para sahabat baginda : "Tahukah kamu siapakah orang yang muflis? Jawab mereka: "Orang yang muflis dalam kalangan kami ialah sesiapa yang tiada dirham dan tiada harta". Sabda baginda: Orang yang muflis dalam umatku ialah sesiapa yang datang pada Hari Kiamat nanti bersama solat, puasa, zakat, juga dia pernah memaki seseorang, menuduh seseorang, memakan harta seseorang, menumpah darah seseorang dan memukul seseorang. Lalu diberikan kepada orang ini dan itu pahalanya. Jika pahala-pahalanya habis sebelum sempat dilangsaikan kesalahannya, maka diambil dosa-dosa mereka dicampakkan ke atasnya lantas dicampakkan dia ke dalam neraka (Riwayat Muslim). Ini bukan perkara pelik, ada orang yang kadang-kala berzikir dan bertahmid sebelum berucap atau berceramah, namun apabila habis dia berzikir dan bertahmid, dia memaki hamun orang lain bagaikan tiada sempadan agama.
Rahsia
Kehidupan sangat luas. Kita membenci dan melarang perbuatan buruk dan maksiat kerana itu adalah dilarang oleh agama. Amalan buruk membawa ke neraka. Namun, kita tidak menetapkan untuk seseorang secara individu syurga atau neraka. Amalan baik membawa ke syurga. Kita menyokong dan membantunya. Namun kita juga tidak tahu hakikat sebenar kedudukan orang tertentu yang beramal dengan amalan baik, apakah dia ke syurga atau ke neraka. Kita berbaik sangka dan mengharapkan syurga untuknya. Tapi, kita tidak tahu setiap perkara di sebalik tabir kehidupannya. Hanya Allah Yang Maha Tahu kesudahan dan rahsia hidup setiap insan, kita tidak boleh berlebihan dalam menghukum melainkan ada nas yang jelas untuk seseorang seperti para nabi, orang- orang soleh tertentu dan para sahabat yang disebut dalam al-Quran ataupun sunnah. Demikian mereka yang ditetapkan neraka oleh Allah dan rasul-Nya seperti Iblis, syaitan, Fir'aun, Abu Lahab, Abdullah bin Ubai dan lain-lain.
Orang yang Allah dan rasul-Nya tidak khabarkan kedudukannya, kita tidak tahu. Kita disuruh mendoakan keampunan kaum muslimin yang meninggal. Kita melaknat maksiat secara umum, namun kita tidak disuruh melaknat individu pelaku maksiat secara khusus. Urusan setiap insan dengan Tuhannya. Mungkin dia telah memohon ampun, mungkin dia mempunyai pengecualian yang hanya Allah mengetahuinya, mungkin dia telah dikifarah di dunia dan dia akur, mungkin dia mempunyai kebaikan yang lain yang Allah sangat reda, mungkin orang lain pula telah menzaliminya lalu pahala diberi kepadanya, atau mereka diberi dosanya. Hanya Allah Yang Mengetahui di balik tabir kehidupan. Kita jangan lebih lajak daripada laju.
Dr. Mohd Asri ZainUl Abidin ialah bekas Mufti Perlis.

ARKIB : 02/08/2009

Jangan bantu syaitan

SAYA hanya sempat mengikut dari jauh isu dan secebis ‘hukuman sebat ke atas peminum arak’ di Pahang. Banyak juga e-mel mengenainya meminta saya mengulas isu tersebut, termasuk e-mel seorang tokoh politik dan ahli Parlimen ternama.
Banyaknya urusan menjadikan saya ‘ketinggalan bas’ kebelakangan ini. Rasanya, sikap rela model berkenaan patut dipuji. Ya, arak itu haram di sisi Islam, tiada siapa pun yang beriman berbeza pendapat mengenainya. Namun apabila hukuman ke atas pesalah itu dilaksanakan, ia membabitkan dua aspek utama; pertama, hukuman yang dikenakan, kedua, individu yang dihukum.
Para sarjana hukum, walaupun ramai yang berpendapat kesalahan minum arak di bawah hudud, mereka berbeza pendapat pula tentang jumlah sebatan. Ini kerana al-Quran tidak menyebut hukumannya, cuma hadis ada menunjukkan dipukul empat puluh kali. Namun pada zaman Khalifah Umar al-Khattab r.a. beliau beliau berbincang kadar hukuman tersebut, lalu beliau menerima pandangan ‘Abd Rahman bin al-‘Auf untuk melaksanakannya sebanyak lapan puluh kali (lihat: Riwayat Muslim).
Tindakan Khalifah ‘Umar ini menyebabkan sarjana berbincang apakah hukuman untuk peminum arak ini hudud atau takzir (discretionary punishment)? Ini kerana jika ia hudud, sepatutnya, tidak ditambah. Apatah lagi, Nabi SAW semasa melaksanakan hukuman ini tidak pula menjelaskan apakah ia hukuman yang ditetapkan oleh Allah (hudud) atau ia hanya ketetapan pemerintahan berdasarkan kepada keperluan (takzir).
Lebih daripada itu, dalam hadis menunjukkan pesalah minum arak ada yang dipukul dengan tangan, kain, dan selipar sahaja. Tiada ketegasan yang jelas dalam kaedah pukulan. Pun memang hukuman sebat dalam Islam bukan seperti sebat yang ngeri di penjara sivil yang biasa kita dengar dan lihat.
Sebatan Islam sama sekali bukan untuk mencederakan, sekadar mengingat dan mengajar. Lebih daripada itu, Islam tidak benarkan kita mengutuk pesalah yang dihukum. Dalam riwayat al-Imam al-Bukhari daripada Abu Hurairah, beliau berkata: Dibawa kepada Nabi s.a.w seorang yang mabuk (minum arak), maka baginda memerintahkan agar dipukul, maka dalam kalangan kami ada yang memukulnya dengan tangan, ada yang memukul dengan selipar dan ada pula yang memukulnya dengan kainnya.
Apabila selesai, seseorang berkata: Allah telah menghinanya. Maka Rasulullah SAW pun bersabda: Jangan kamu menjadi pembantu syaitan (merosakkan) saudara kamu.
Maksudnya, mencercanya menyebabkan syaitan mudah untuk merosakkannya lagi. Dalam hadis ini menunjukkan hukuman itu berjalan hanya sekadar dengan kain atau tangan atau selipar, tujuannya bukan untuk menyeksa, tapi mengingatkan.
Janganlah pula berlebihan, hukumannya hanya pukulan tersebut maka tidak perlu diikuti dengan cercaan. Maka sesiapa yang merasakan dirinya pejuang Islam, janganlah menokok tambah dengan makian kerana itu tidak serasi dengan tabiat perlaksanaan yang ditunjukkan oleh Nabi SAW.
Hudud
Ramai yang bercakap tentang hudud. Namun ramai juga, sama ada yang bersetuju atau membantah tidak mempunyai pengetahuan yang jelas dalam banyak perkara mengenainya. Ramai yang blind imitation dalam memperkatakan hukuman jenayah dalam Islam ini.
Berita lanjut, sila rujuk edisi cetakan Mingguan Malaysia atau langgani e-Paper di http://ebrowse.bluehyppo.com/utusan/index.asp


 ARKIB : 26/07/2009

Senjata makan tuan



Ketika berpolitik, umat Islam harus menjaga tata susila supaya mereka tidak mencaci sesama Islam.



Saya merenungi sebuah hadis yang selalu dibaca dan diketahui oleh kebanyakan kita iaitu sabda Nabi SAW: "Bandingan teman duduk berbual yang baik dan yang buruk seperti pembawa kasturi dan tukang besi. Adapun pembawa kasturi, sama ada dia berikan engkau kasturi, atau engkau beli daripadanya, atau engkau dapati bau harumnya. Sementara tukang besi, sama ada ia membakar pakaian engkau, atau engkau akan dapati bau yang busuk" (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).Sebelum disalahfahami, perlu dijelaskan Nabi SAW bukan bermaksud menghina tukang besi, tetapi sebagai contoh kesan keburukan yang mengenai seseorang yang berada di samping orang tertentu. Apatah lagi bukan sepatutnya ketika tukang besi sedang melakukan kerjanya seseorang pergi berada di sampingnya.
Mesej yang hendak disampaikan oleh Nabi SAW adalah agar kita memilih teman berbincang, berbual, berpakat, bermesra atau berdampingan dalam kalangan mereka yang baik. Kesan kebaikan itu akan datang kepada diri kita. Dalam hidup ini, betapa banyak ilmu pengetahuan, pengalaman yang baik untuk kehidupan dan hikmah diperolehi ketika kita bersembang, bergurau, makan sehidang dan bekerja dengan seseorang yang berilmu, baik dan jujur.
Justeru berusaha untuk berdamping dengan ilmuwan, orang yang baik dan jujur demi mengutip mutiara-mutiara hikmah dan manfaat ilmu serta akhlak adalah merupakan usaha yang tinggi nilainya di sisi Islam dan dihitung sebagai ibadah.
Orang yang baik itu bukan dilihat pada serbannya, atau jubahnya, atau bijian tasbih yang dibelinya, atau seumpamanya. Orang baik itu adalah insan yang mulia di sisi Allah. Namun kemuliaan di sisi Allah tidak dapat untuk kita salami, cuma ada petanda dalam kehidupan.
Seseorang yang jujur dengan agamanya, berdisiplin dengan prinsip-prinsip mulia dan menghayati akhlak yang baik dalam hidupnya dapatlah pada zahirnya dihitung sebagai orang baik atau soleh. Ini dapat kita rasai apabila kita berada di sampingnya.
Maka timbulnya perasaan untuk mendampingkan diri kepada Allah, bersemangat dalam perjuangan dan perancangan kebenaran, dan merasa janggal untuk menyalahi disiplin kebaikan merupakan antara kesan berada di samping mereka yang seperti ini.
Setiap kali bangun meninggalkan majlisnya, atau perbualan dengannya kita akan terasa penambahan kebaikan, atau ilmu pengetahuan berguna, atau teladan yang baik, atau pemikiran untuk kebaikan umat, atau pengalaman yang membawa kita mampu mengharungi hidup dengan cara yang lebih baik dan Allah redha. Jika kita berjumpa dengan orang yang seperti itu, sama ada dia rakan kita, atau teman pejabat, atau orang bawahan kita, atau jiran tetangga atau suami, atau isteri maka tidak rugilah untuk kita berusaha berdampingan dengannya.
Tidak rugi untuk lama kita berbual. Tidak rugi untuk kita menemai perjalanannya, menjemputnya datang menjamah hidangan kita, menziarahinya dan apa sahaja yang membolehkan kita mendapat faedah daripada kelebihan yang dia miliki.
Sehingga kadang-kala tanpa kita sedari cara fikir, cara bertindak, sikap serta kematangan hidup kita dibentuk olehnya secara tidak langsung. Betapa ramai insan yang mengubah cara fikir dan sikapnya hanya kerana teman baiknya.
Karya-karya
Sebab itulah dalam karya-karya hadis yang silam sering dimasukkan bab Mujalasah al-Salihin bermaksud bersampingan dengan orang soleh sebagai satu ibadah dan satu langkah penting dalam membentuk peribadi insan. Ada pula yang berkata, "saya mana ada ustaz yang nak berkawan dengan saya". Saya katakan, Nabi SAW menyebut al-jalis al-salih 'teman berdamping yang baik', ia begitu umum.
Siapa sahaja yang membawa kebaikan apabila kita duduk berdampingan dengannya maka dia termasuk dalam hadis ini. Bukan semestinya yang diberikan gelaran 'ustaz' itu mesti menjadi teman yang baik. Entah berapa ramai yang memakai gelaran itu tidak menjadi teman yang baik, sebaliknya betapa ramai yang tidak bergelar ustaz merupakan teman yang baik untuk dunia dan akhirat kita.
Maka carilah di tempat kerja kita, atau tempat tinggal kita, atau di mana sahaja orang yang baik untuk kita berada bersama ketika waktu rehat, waktu makan dan waktu bergembira. Saya lihat ramai rakan yang mempelajari solat musafir, menyapu stokin atau kasut, solat dalam kenderaan dan berbagai ilmu hanya kerana menyertai perjalanan bersama mereka yang berpengetahuan lalu memahami agama dan keluasannya yang mungkin tidak dibiasakan atau dihayati jika dia tidak bermusafir dengan mereka.
Demikian sebaliknya. Jika teman berbual atau musafir atau bersahabat atau berpakat merupakan orang yang buruk akhlak, buruk bahasanya, buruk perangainya maka dia akan mempengaruhi seseorang. Melainkan jika dia sentiasa menasihatinya dan berusaha mengubahnya.
Namun, dalam banyak keadaan jika teman itu selalu menguasai suasana dan kita membiarkannya, kita akan berkongsi dosa, atau berkongsi nama buruk, lebih buruk lagi akan terkesan dengan akhlak yang buruk. Ada insan memang dahsyat mulutnya, pantang kita berbual dengannya ada sahaja orang yang dimaki hamunnya, dicerca dan dihina, bahkan kadang-kala dia mencarut-marut terhadap orang lain.
Jika hal itu berlaku sekali-sekala, mungkinlah boleh dianggap sebagai terlanjur dan kesilapan lantas kita sering ingat mengingati. Namun jika itu menjadi kebiasaan, maka dia adalah teman yang buruk untuk kita bersamanya. Jika kita terus bersamanya, dosa pasti dikongsi, akhlak juga akan berubah.
Saya masih ingat ada seorang pemuda yang berbudi bahasa, namun apabila dia terpengaruh dengan rakan-rakan politiknya, budi bahasanya hilang dan maki-hamun menjadi ringan di lidahnya. Saya kata kepadanya, sesungguhnya pertunjukan artis yang saudara dan kumpulan saudara sering bantah itu, tidak lebih buruk daripada rakan dan ceramah maki-hamun yang saudara sering hadir sehingga mengubah diri saudara.
Saya tidak menolak perbezaan aliran politik dan keluasaan untuk mengkritik dasar-dasar politik, juga disiplin ahli politik, namun maki-hamun dan carut-marut tidak pernah ditunjukkan oleh Islam. Dia berkata kepada saya, Saiyyidina Umar pun tegas. Saya kata kepadanya, tegas bukan bererti maki dan carut. Dalam hadis al-Bukhari daripada Anas bin Malik r.a. katanya:: "Bukanlah Nabi SAW itu seorang pemaki orang, tidak juga seorang pengucap kekejian dan bukan seorang pelaknat orang lain".
Kemudian, kita hendaklah sedar bahawa teman yang kita sering duduk dengannya ketika dia memaki hamun orang lain, tidak mustahil esok dia akan duduk dengan orang lain pula untuk memaki hamun kita. Jikalah setiap orang yang dia tidak bersetuju dimaki hamunnya, apalah mustahilnya apabila dia tidak bersetuju dengan kita, dia akan memaki hamun kita pula. Tiada nilai takwa, tiada nilai bimbangkan hari Akhirat.
Saya lihat ramai orang politik yang kawan-kawannya yang dulu 'sakan' memaki musuh politik mereka, hari ini apabila berpaling tadah memaki mereka pula. Itulah bahaya berkawan dengan orang jahat. Hal ini berlaku bukan sedikit dalam UMNO juga dalam Pas baru-baru ini pun sama.
Apabila berlaku persaingan jawatan, tuduh-menuduh, kutuk mengutuk dan cerca mencerca dihalakan kepada rakan sendiri sama seperti mereka maki dan kutuk musuh politik mereka yang lain. Mungkin di peringkat tertinggi setiap parti tidak berlaku, tetapi 'anak buah', 'penyokong setia' dan 'jentera melobi' yang sudah lama terdidik, atau mendapat tarbiah tidak rasmi memaki orang, dengan petah dan lancarnya memaki sahabat dan rakan seperti sendiri.
Saya ditunjukkan laman web parti-parti berkenaan yang anak-anak buah mereka memaki hamun pemimpin sendiri. Itulah latihan yang mereka dapat selama ini.
Ada pemimpin mereka yang mengeluh kerana dituduh oleh ahli parti sendiri. Dalam isu kerajaan perpaduan, ada yang dituduh 'gila kuasa', 'gila nak jadi menteri', 'nyayuk' 'nak mampus' dan berbagai lagi yang jika dibaca di forum-forum internet mereka tidak tergamak hendak disebutkan.
Apa hendak dikatakan? Sudah sekian itu berjalan dalam dunia politik kita. Ya, tidak menjadi masalah berbeza pendapat, bertegas, membantah kesalahan tetapi mengapa mesti memaki orang. Belajarlah untuk hidup sebagai pengkritik yang bernas, bukan pemaki yang tiada nas. Didik anak buah dan rakan kita untuk tidak memaki dan menggunakan bahasa yang hodoh dan keji terhadap orang lain, tetapi mengkritik secara membina dan berwibawa.
Ada yang bersungut panjang apabila dia dimaki hamun oleh ahli partinya dalam ucapan, internet dan sms. Saya katakan, itulah senjata selama ini yang anda gunakan, atau biar digunakan oleh pengikut untuk menikam orang lain, maka akan sampai masanya 'senjata makan tuan'.
Dr. Mohd Asri ZainUl Abidin ialah bekas mufti Perlis.

ARKIB : 19/07/2009

Lembut gigi daripada lidah

Beberapa hari lepas saya menerima SMS seawal 3 pagi daripada seorang artis terkenal negara. Barangkali beliau tidak menyemak waktu di United Kingdom (UK) semasa menghantar SMS berkenaan. Cuma di UK ketika ini siangnya memang awal. Waktu solat subuh pun masuk seawal 3 pagi. Kali ini mesej artis ini agak keras, meminta saya menggesa orang politik supaya membantah kerajaan China mengenai pergeseran etnik yang membawa pembunuhan beramai-ramai umat di wilayah Xinjiang. Ribuan lain yang ditangkap. Saya yang belum sempat membeli akhbar dan mendengar BBC hari berkenaan hanya dapat mengagak berita yang dimaksudkan.
Saya menghantar ucapan terima kasih atas semangatnya yang bagi saya lebih baik daripada sebahagian orang politik dan orang Islam yang lain yang langsung tidak mengambil pusing apa yang berlaku kepada saudara Muslimnya. Di sebalik watak seramnya, atau 'ikan legenda' yang dilakonkannya, ada juga kesedaran dan simpati yang tinggi terhadap umat Islam, atau hak kemanusiaan yang berlaku di sana-sini.
Seperti biasa seawal pagi, apabila buka sahaja kedai di pekan Lampeter yang penuh damai dan indah ini, saya akan keluar membeli akhbar dan mencari berita-berita penting. Ternyata seperti biasa, di Barat ini jika yang menjadi mangsa itu umat Islam beritanya tidak sebesar mana. Di samping sesetengah akhbar menyulami berita tersebut dengan menyatakan bahawa penunjuk perasaan menjadi mangsa seperti di Iran.
Mereka cuba meringankan berita berkenaan, tiada istilah teroris, tiada istilah ekstremis yang ditempelkan. Bahkan berita pembunuhan wanita Muslimah Mesir di Jerman disebabkan tudung yang dipakainya, langsung tidak saya temui. Mungkin ada di celahan berita-berita yang kecil. Itulah media apabila berada di tangan mereka yang tidak adil.
Wilayah Urumqi yang bergolak itu pernah saya lawati pada tahun 2007 bersama dengan rombongan Kerajaan Perlis ketika saya menjadi Mufti Perlis. Memang wilayah itu dipenuhi oleh umat Islam dan ada masjid yang agak besar di tengah kotanya. Bahasa mereka pun agak asing dan mereka juga mengguna huruf Arab dalam tulisan mereka. Ini saya perhatikan ketika menonton televisyen mereka. Salah seorang yang membawa kami ketika itu menceritakan kezaliman dan penindasan terhadap umat Islam di wilayah tersebut.
Demikian juga apa yang diceritakan oleh 'orang-orang masjid' yang kami lawati. Masjid diganggu, orang Islam ditangkap dan dibunuh bukan cerita baru. Saya masih terbayang sebuah masjid yang amat usang di satu perkampungan kuno yang kami lawati. Terasa sunyi dan tenang namun terbiar di ceruk yang sunyi. Ada masjid yang kami pergi untuk solat Jumaat, Masya-Allah guru yang membaca kitab hadis hari itu begitu lancar dan tepat menyebut nama para perawi dalam sanad-sanad hadis. Namun sudah tua. Kebanyakan yang memenuhi masjid, sudah lanjut usia mereka. Saya yang ketika itu berada di hadapannya termenung mengkagumi kegigihannya menyampaikan Islam dalam keadaan yang bahaya dan sukar, dan terfikir bagaimanakah pula nanti nasib masa depan generasi Muslim di wilayah berkenaan.
Perasaan sedih dan hiba mengenangkan kesenangan yang kita kecapi dibandingkan kesukaran mereka untuk hidup sebagai 'seorang Muslim'. Saya mengabadikan perasaan itu dalam sebuah puisi Islam China Yang Hampir Dilupa yang akhirnya diambil dan dijadikan lirik lagu. Saya tidak pasti apakah ia termasuk lagu yang digam atau tidak oleh RTM. Saya pun sudah lama tidak sempat mengikuti perkembangan itu. Lirik terakhir yang saya ingat diminta oleh Mawi bertajuk Sahabat Sejati, saya rasa itu tidak digam.
Berbalik kepada nasib umat Islam di Urumqi dan juga di tempat lain. Perasaan persaudaraan Islam kita tidak memenuhi apa yang disebut oleh Rasulullah saw: Bandingan orang-orang mukmin dalam kasih-sayang, kesian dan simpati sama seperti satu jasad. Apabila satu anggota merasa sakit, maka seluruh angota lain turut berjaga malam dan demam (Riwayat Muslim). Ada beberapa tahap umat Islam dalam hal ini. Ada yang benar-benar bersemangat dan cuba melakukan apa yang termampu. Ada yang sekadar, marah atau geram ketika mendengar berita, kemudian lupa atau dilupakan oleh urusan dunianya. Ada yang langsung tidak ambil tahu apa yang berlaku. Lebih buruk lagi, ada yang tahu tetapi menganggap itu tiada kena mengena dengannya.
bantahan
Sebenarnya, seperti yang dikatakan oleh artis berkenaan, orang politiklah yang paling berkesan untuk membantah. Pemimpin-pemimpin negara Islam mesti menyatakan bantahan dan pendirian yang tegas mengenai nasib saudara-saudara Muslim kita. Janganlah memikirkan soal kepentingan kebendaan sahaja dalam arena politik, fikirlah tentang tanggungjawab seorang individu Muslim untuk bertindak dengan kadar kemampuannya dan perkara ini akan disoal oleh Allah di akhirat nanti. Apakah kerana China sedang menjelma sebagai kuasa ekonomi dunia maka dia boleh buat apa sahaja terhadap orang Muslim dan kemanusiaan? Malanglah, jika para pejuang hak asasi manusia dari negara-negara yang bukan Islam, lebih lantang daripada kita. Hari ini, barangkali semua parti politik Melayu berkerjasama dengan kaum-kaum lain, maka tidak ramai yang berani memberikan kritikan lantang lagi. Jika ada pun, bersulam berlapik sehingga menjadi "ceroi". Padahal, tiada kaitan antara kekejaman Kerajaan China dan etnik Cina di Malaysia. Orang Cina Malaysia adalah rakyat Malaysia. Ketaatan dan kesetiaan mereka kepada negara ini. Tiada kaitan antara mereka dan Kerajaan China untuk mereka merasa sensitif.
Ya, kalau Hindraf memang membawa isunya ke India. Hindraf juga membentang isunya di House of Lords, UK tentang kezaliman pentadbiran orang Islam di Malaysia terhadap penganut Hindu. Malaysia digambarkan seakan cuba melakukan pembersihan etnik. Apa yang digambarkan berlebih-lebihan. Sedihnya, ada pula orang Islam yang sokong. Begitulah isu itu sampai ke negara India. Saya tidak tahu, apakah negara India layak untuk bercakap tentang keadilan terhadap penganut-penganut agama jika dilihat apa yang mereka lakukan terhadap umat Islam di sana. Tahun 2002, di Gujerat ribuan umat Islam dibunuh, dibakar hidup-hidup, dirogol dan berbagai perbuatan yang begitu kejam dari segi kemanusiaan. Laporan rasmi tempatan India dan antarabangsa mendakwa sebahagiannya dilakukan di bawah penyeliaan polis India. Ada gerakan di India yang kerjanya memburu orang Islam. Mereka bebas di India, dan Amerika tidak pula menyenaraikan mereka sebagai teroris. Dr. Zakir Naik juga pernah berpidato panjang tentang hal ini dalam ceramahnya Is Terrorism A Muslim Monopoly yang tersebar luas. Akhbar Daily Mail UK (8 Julai 2009) melaporkan penyeksaan terhadap tahanan rakyat British yang berketurunan Pakistan. Kuku-kukunya dicabut, dan dia serta Muslim yang lain diseksa kejam dengan kerjasama antara Polis British dan Pakistan. Ini di sebuah negara yang sering bercakap tentang hak dan kebebasan, walaupun soal racialism atau perkauman itu tidak dibenarkan, namun dari segi perlaksanaanya ia berlaku. Lihat pula di Selatan Thai, di Burma, di Filipina dan berbagai lagi. Kemudian, bandingkan ini semua dengan sikap orang Islam terhadap bukan Islam di negara-negara yang majoritinya umat Islam? Walaupun ada kelemahan di sana-sini, namun secara bandingannya ia jauh lebih berperikemanusiaan dari apa yang menimpa umat Islam di seluruh dunia.
kemampuan
Saya bukan hendak membangkit kemarahan sesiapa, saya mengimpikan setiap kita terutama orang politik sentiasa bersuara jelas tentang hak dan nasib umat Islam dan manusia sejagat. Bertindak dengan kadar kemampuan yang dimiliki agar memberikan kesan yang positif dan menunjuk nilai persaudaraan kita. Janganlah kita hanya garang dan 'cenge' sesama sendiri, kendur dan takut apabila hendak menyatakan hak kita di hadapan 'orang lain'. Mana hilangnya ayat Allah yang menyebut: (maksud) Wahai orang-orang yang beriman! sesiapa dalam kalangan kamu berpaling tadah dari agamanya, maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Dia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia; mereka pula bersifat rendah diri terhadap orang-orang yang beriman dan menunjukkan kemuliaan diri terhadap orang-orang kafir, mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah, dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela. Yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah yang Dia diberikan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya; kerana Allah Maha Luas limpah kurnia-Nya, lagi meliputi pengetahuan-Nya. (Surah al-Maidah, ayat 54). Namun, demikianlah kita, jika sesama kita bukan main lagi 'lagaknya', namun dengan orang lain, 'lembut gigi daripada lidah'.
- Minda Dr. Maza-


ARKIB : 05/07/2009

Misteri istilah Wahabi

Perkataan Wahabi dalam penulisan Barat mempunyai berbagai huraian. Kesemuanya menjurus kepada aliran Islam yang dilihat begitu berpegang kepada nas-nas al-Quran dan al-Sunnah secara literal dan enggan melihat tafsiran lebih moden atau tafsiran yang agak western influence.
Clinton Bennet memasukkan Wahhabis dan Deobandis di bawah kelompok traditionalists yang bererti sekali gus berada di bawah aliran fundamentalist (lihat: Muslim and Modernity 18-20, London: Continuum).
Sebahagian penulisan Barat melihat Wahabi sebagai aliran yang menganggap 'hanya Islam agama yang benar', wajib menegakkan Islamic State, adanya 'jihad' menentang kuffar dan ciri-ciri lain yang dianggap unsur 'padang pasir' sekali gus cuba dikaitkan dengan terorisme.
Di Malaysia pula, Wahabi adalah perkataan misteri. Apa tidaknya, ramai yang menyebutnya atau memfitnah orang lain dengan menggunakan perkataan itu, padahal mereka pun tidak faham.
Bagi mereka, ia senjata untuk mempertahankan diri ketika dikritik. Saya masih ingat, di satu tempat di sebelah Utara, apabila ada imam yang mengenakan bayaran untuk solat dan zikirnya, lalu dia dikritik atas sikap salahguna agama untuk kepentingan diri, dengan mudah dia menjawab: "Siapa tak setuju dengan saya dia Wahabi".
Pemberi nasihat yang barangkali tidak terdedah kepada banyak maklumat dan kali pertama mendengar perkataan itu, terpinga-pinga bertanya: "Apa itu Wahabi?". Jawab tok imam: "Siapa yang mengkritik ustaz dia Wahabi". Maka tidaklah berani lagi 'penasihat' itu berbeza pandangan dengan 'tok imam' dan mempertikaikan infallibility ustaz, takut jadi Wahabi.
Di sesetengah tempat, seseorang dituduh Wahabi kerana menentang amalan khurafat. Umpamanya, menggantung gambar orang tertentu seperti sultan atau tok guru dengan kepercayaan boleh menambah untung atau rezeki, atau mengikat benang hitam di tangan bayi yang baru lahir atas kepercayaan menolak sial atau bala dan berbagai kekarutan yang menghantui sebahagian masyarakat.
Malangnya amalan-amalan ini bukan sahaja mendapat restu sesetengah yang bergelar 'ustaz', bahkan merekalah punca. Jika ada yang mengkritik, untuk mempertahankan diri maka 'sang ustaz' itu dengan mudahnya akan menyebut: 'awak Wahabi'.
Sama juga, mereka yang tidak bersetuju dengan kenduri arwah dituduh Wahabi. Padahal kitab Melayu lama Bughyah al-Talab karangan Syeikh Daud al-Fatani sendiri menyebut: "(dan makruh) lagi bidaah bagi orang yang kematian membuat makanan menyeru segala manusia atas memakan dia sama ada dahulu daripada menanam dia dan kemudian daripadanya seperti yang diadatkan kebanyakan manusia (dan demikian lagi) makruh lagi bidaah bagi segala yang diserukan dia memperkenankan seruannya".
Jika pun mereka tidak dapat menerima bahan mereka sendiri, mengapa mereka merasa diri infallible, dan mengharamkan orang lain berbeza dengan mereka dengan menggunakan senjata 'awak Wahabi'.
Sesetengah kelompok agama pula, mereka membaca dan menyebarkan riwayat-riwayat yang tertolak; seperti Israliyyat yang bercanggah dengan nas-nas Islam, hadis-hadis palsu atau kisah-kisah wali atau sufi yang menjadikan manusia keliru tentang keanggunan Islam.
Modal
Mereka menyebarkannya dalam ceramah dan sesetengahnya menjadikannya modal untuk 'bisnes' mereka. Islam menjadi kabur dengan cerita-cerita itu dan menyebabkan agama agung ini kelihatan bagaikan 'kartun' dan 'lucu'.
Jika ada yang menegur para penceramah ini; jawapannya 'awak Wahabi'. Walaupun yang menegur itu tidak pernah pun membaca buku Muhammad bin 'Abdul Wahhab.
Lebih buruk lagi apabila isu Wahabi digunakan oleh pihak berkuasa agama. Jika ramai pegawai agama itu atau yang sealiran dengan mereka bertarekat, atau pembaca hadis-hadis palsu dan lucu, maka mana-mana sahaja guru yang mengajar al-Quran dan hadis sahih serta tidak bersetuju dengan kekeliruan itu akan disenaraikan sebagai Wahabi dan diharamkan mengajar di masjid dan surau.
Nama sultan akan digunakan. Dalam masa yang sama mereka membiarkan kemungkaran yang jelas di sana sini, lalu sibukkan diri dengan kelompok revivalist yang tidak mengancam masyarakat sama sekali. Jika ada pun, ancaman itu kepada pemikiran kejumudan dan kekolotan, bukan kepada masyarakat.
Untuk menjustifikasikan kesibukan mereka dengan kelompok ini sehingga meninggalkan kemungkaran hakiki, mereka kata: "ini lebih bahaya kerana Wahabi". Apa itu Wahabi? Jawab mereka Wahabi itu Wahabi! Sikap ini menjadi lebih panas apabila munculnya di Malaysia 'aliran pengkafir umat' yang bernama Ahbash yang bersekongkol dengan sesetengah pihak agama.
Di peringkat yang lebih tinggi, istilah Wahabi dikenakan kepada mereka yang tidak terikat dengan mazhab al-Syafii. Kononnya, mereka yang tidak ikut mazhab itu Wahabi. Saya telah sebut nas-nas ulama tentang hal ini dalam artikel-artikel yang lepas. Persis seperti yang disebut oleh Dr al-Qaradawi: ''Golongan yang taksub ini tidak membolehkan sesiapa yang mengikut sesuatu mazhab keluar daripadanya, sekalipun dalam beberapa masalah yang jelas kepada pengikut mazhab bahawa dalil mazhabnya lemah. Sehingga mereka menyifatkan sesiapa yang keluar mazhab sebagai tidak berpendirian. Perbuatan ini sebenarnya mewajibkan apa yang tidak diwajibkan oleh Allah swt" (Dr. Yusuf al-Qaradawi, Al-Sahwah al-Islamiyyah bain al-Ikhtilaf al-Masyru' wa al-Tafarruq al-Mazmum, m.s 202, Kaherah: Dar al-Sahwah).
Apa yang menariknya di Malaysia, sesetengah 'mereka ini' apabila menjadi 'penasihat-penasihat' bank, bagi memenuhi keperluan bank yang beroperasi atas nama Islam itu, mereka bersetuju pula dengan pandangan hukum yang diambil tanpa mengikut mazhab.
Bahkan pandangan Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah r.h begitu banyak diambil dalam masalah muamalat ini. Ini kerana, di seluruh dunia pandangan beliau memang dikutip dalam memajukan masyarakat Islam. Padahal 'sesetengah mereka ini' di luar mesyuarat bank yang ber'elaun' itu, mereka menuduh Ibn Taimiyyah Wahabi, dan sesiapa yang bersetuju dengan Ibn Taimiyyah sebagai Wahabi. Bahkan di luar bank mereka bersekongkol dengan golongan yang mengkafirkan atau menyesatkan Ibn Taimiyyah.
Demikian ketika saya menjadi mufti dahulu, apabila saya memberikan pandangan larangan mengintip (tajassus), boleh menjawab salam bukan Muslim, wajib membinkan kepada bapa asal sekalipun bapanya bukan muslim, masjid untuk kaum Cina, keluasan menerima pandangan dan lain-lain lagi, maka pandangan-pandangan ini dituduh oleh sesetengah pihak agama sebagai Wahabi.
Padahal pandangan tersebut jika dibincangkan di Barat dianggap dalam aliran modernism atau rationalism dan penentangnya mungkin akan dimasukkan kepada kelompok Wahabisme. Di Malaysia, sebaliknya, yang terbuka itu Wahabi dan sesat, yang tertutup itulah yang 'membolot segala kebenaran'.
Cara fikir beginilah yang menguasai sektor-sektor agama kerajaan dan mencepatkan 'pereputan' kekuatan kerajaan yang ada. Cara fikir begini jugalah yang menguasai sesetengah aliran agama dalam pembangkang. Sebab itu barangkali, lima puluh tahun kemerdekaan, bukan Muslim bukan sahaja tidak bertambah faham, sebaliknya bertambah keliru dan tegang mengenai Islam.
Penentangan
Tindakan mereka ini mengingatkan saya kepada artikel David Brubaker bertajuk Fundamentalism vs Modernism: A Consideration of Causal Conditions bahawa penentangan terhadap pembaharuan lebih merujuk kepada masalah survival kelompok. Dalam usaha untuk hidup dan terus mendapat tempat dalam masyarakat dan kerajaan maka golongan pembaharuan akan ditentang.
Bagi saya, bukan isu Wahabi sebenarnya, tetapi bimbang terpinggirnya tempat dan kedudukan. Namun, apabila mereka merasa ada ruangan untuk mendapat 'kedudukan' seperti isu perbankan tadi, mereka dapat pula menerima pandangan yang berbeza tanpa menuduh bank yang memberi elaun bulanan dan elaun mesyuarat itu sebagai 'bank mazhab Wahabi'.
David Brubaker menyebut untuk survival mereka terpaksa memilih antara dua accomodation or resistance. Maka, di Malaysia ramai yang dituduh Wahabi, namun ia adalah tuduhan misteri. Saya juga tidak menafikan ada yang dianggap Wahabi itu sendiri perlu bertolak ansur dalam sebahagian pendapat. Namun, untuk menuduh orang lain Wahabi hanya kerana perbezaan pendapat, itu adalah sikap jakun yang cuba hidup di zaman globalisasi.
Dr. Mohd Asri ZainUl Abidin ialah bekas mufti Perlis.


ARKIB : 24/06/2009

Nik Aziz oh Nik Aziz, tok guru yang hebat...



LIM Kit Siang dan anaknya, Lim Guan Eng gembira, Anwar Ibrahim puas manakala Hadi Awang kelihatan serius di mesyuarat membincangkan kedudukan pelan gagasan kerajaan perpaduan di bangunan Parlimen, Kuala Lumpur kelmarin. Idea Hadi itu ditolak.



SYABAS Pas kerana menolak gagasan perpaduan Melayu. Syabas Pas kerana bersekongkol dengan rakan-rakannya - yang asyik mengungkit mengenai isu biasiswa kepada anak-anak bumiputera miskin, isu untuk mengenyah DEB, isu-isu terlalu sensitif yang jika disebut di sini 'orang-orang tertentu' akan mengecap kita ini sebagai rasis.
Cita-cita Pas ialah mahu memerintah Malaysia dengan rakan-rakannya itu. Mungkin Nik Abdul Aziz Nik Mat terlalu mengidamkan menjadi Perdana Menteri. Jika diizinkan tuhan cita-citanya akan tercapai. Tolong, janganlah sesiapa mengatakan dia tok guru yang hanya mengajar agama - sebenarnya beliau ialah ahli politik totok yang dalam istilah Inggeris disebut political animal.
Beliau tidak percaya kepada pengertian kebangsaan - atau dalam konteks gagasan perpaduan, Melayu. Melayu bagi beliau ialah elemen assabiyah yang menurutnya tidak sehaluan dengan ajaran Islam. Teras beliau ialah Islam semata-mata. Bagi beliau Melayu itu tidak wujud.
Itulah antara kegagalan gagasan tersebut. Awal-awal lagi Nik Aziz menolaknya, walaupun kumpulan lain dalam Pas mahu rundingan itu dimulakan. Presiden Pas, Hadi Awang yang mencetuskan idea itu. Ia disambut oleh kumpulan bukan-Erdogan, terutama Timbalan Presiden, Nasharudin Mat Isa. Sambutan Nasharudin itu mengakibatkan beliau 'menghilangkan diri' beberapa hari kerana dimarahi teruk oleh Mursyidul Amnya, Nik Aziz.
Nik Aziz meminta Nasharudin meletakkan jawatan dan masuk UMNO. Nik Aziz terlalu emosional kerana ada pihak yang cuba menghalang cita-citanya untuk menjadi Perdana Menteri.
Anwar Ibrahim yang bimbang melihat berlaku krisis keyakinan yang merugikannya dalam pakatan itu pergi menghadap Nik Aziz di Kota Bharu sebelah pagi Ahad - beberapa jam sebelum Hadi pulang dari luar negara malam itu.
Ternyata dalam pertemuan itu Anwar berjaya mempengaruhi Nik Aziz, atau mereka berdua merancang untuk 'menyelesaikan' kemelut ini - tanpa pengetahuan pencetus idea, Hadi.
Hadi yang ditemui pemberita di lapangan terbang KLIA berkata, Pas akan mengadakan perbincangan mengenai gagasan itu keesokan harinya.
Keesokan harinya (Isnin lalu) pakatan pembangkang yang dihadiri Anwar, Lim Kit Siang, anaknya Lim Guan Eng tersenyum puas. Hadi yang turut berada di dalam mesyuarat sejam pakatan itu di bangunan Parlimen terpaksa 'malu alah' dan bersetuju mengeluarkan satu kenyataan sebulat suara menolak gagasan itu. Kenyataan tiga perenggan itu ditandatangani oleh Anwar, Hadi dan Kit Siang.
Nasharudin tidak hadir dalam pertemuan itu.
Malamnya sebelum pertemuan itu, Nik Aziz di Kuala Krai menyerang UMNO. Beliau menyifatkan UMNO sebagai parti sesat seperti ajaran Ayah Pin. Parti yang membawa negara ini sehingga ke tahap ini - berbanding Pakistan, Bangladesh, Afghanistan dan negara-negara Islam lain - dicercanya sebegitu rupa.
Itulah Nik Aziz, ahli politik totok yang kita kenali lama dulu. Seorang yang kononnya berperwatakan lembut, tapi keras berpolitiknya. Dia menyamakan UMNO seperti Ayah Pin. Dia juga menyamakan UMNO seperti pengganas komunis.
"UMNO ialah pertubuhan sesat, sama dengan Ayah Pin. UMNO dan komunis adalah sama. UMNO ialah parti sosialis kerana menolak Islam. UMNO ialah parti Melayu bukan parti Islam," kata Menteri Besar Kelantan itu di satu ceramah di Kampung Laloh di Kuala Krai malam Ahad lalu.
"Bagaimana kita mahu bersetuju dengan UMNO? Mereka sekarang mahu minta kita lupa yang lepas dan bersatu dengan mereka. Mereka ini tidak tahu malu," katanya di hadapan rakan-rakan pakatannya Anwar dan Timbalan Pengerusi DAP, Tan Seng Giaw.
Awal hari itu (sebagaimana yang dilaporkan akhbar) Nik Aziz sudah mulai berlembut. Tapi beberapa jam kemudian di ceramah di Kuala Krai itu beliau buat pusingan-U di hadapan 5,000 penyokongnya dengan menghentam UMNO dalam kempen menjelang pilihan raya kecil Manek Urai 14 Julai ini.
Itulah Nik Aziz yang kita kenali. Beliau boleh membuat pusingan-U yang tajam. Itu pasal kita kata beliau bukan tok guru ajar mengaji, tapi ahli politik totok yang berjuang atas nama prinsipnya yang kental.
Berkata di hadapan pengikutnya yang fanatik itu, Nik Aziz menganggap UMNO tidak layak memerintah negara ini. Semasa mengucapkannya, beliau langsung tidak sedar UMNO sudahpun memerintah negara ini selama 52 tahun dengan jayanya. Pas tidak pernah.
Tambah beliau, umat Islam wajib menolak UMNO jika mereka takutkan Allah.
Benar Pas sudah memerintah beberapa negeri di negara ini. Di Kedah dan Kelantan mungkin tiada masalah kerana ramai rakyatnya 'Melayu', tapi corak pemerintahan Pas di Perak yang terikat kepada master DAP telah menunjukkan hitam putih corak pemerintahannya.
Belumpun panas duduk di kerusi Menteri Besar Perak, Mohammad Nizar Jamaluddin sudahpun meluluskan hak milik tanah di kampung baru untuk selama 999 tahun (atau dibulatkan 1,000 tahun). Orang Perak sendiri terkejut, teruja dengan tindakan Pas Perak itu. Kita yakin corak inilah yang akan diterapkan apabila mereka memerintah Malaysia kelak.
Kini Nik Aziz merasakan Pas dan pakatan pembangkangnya yang layak memerintah negara ini. Jika tidak layak pun jangan bimbang, mereka akan dipimpin (ditunjuk ajar) oleh sebuah negara jiran yang yakin Malaysia kini sudah pun berada di persimpangan jalan. Negara itulah yang kini melatih Pulau Pinang dengan menghantar beberapa penasihat ke negeri itu.
Nik Aziz merasakan pakatannya sudah kuat. Memang benar mereka sudah kuat. Mereka kuat apabila orang Melayu lemah. Memang benarpun orang Melayu kini sudah terlalu lemah. Gagasan perpaduan bagi Nik Aziz tidak boleh dilaksanakan sama sekali - sama seperti kata-kata Karpal Singh "langkah mayatnya dulu" jika Malaysia mahu menjadi negara Islam.
Memetik kata-kata Bisik-Bisik Awang Selamat kelmarin "… sekiranya gagasan ini berjaya, ia akan menjadi satu pelan politik yang terhebat dalam sejarah tanah air."
"… tapi untuk merealisasinya bukan mudah. Pakatan pembangkang seboleh mungkin tidak mahu melihat rancangan itu berjaya."
Kenapa mereka tidak mahu melihat ia berjaya? Kerana jika gagasan ini berjaya, pakatan itu akan hancur lebur. Dan orang Melayu akan kembali kuat.
Apa pun tahniah dan syabas sekali lagi kepada Anwar dan Kit Siang serta tentunya tok guru Nik Aziz kerana berjaya menggagalkan gagasan itu.


 ARKIB : 28/06/2009

Daulah Islamiyyah: Dulu dan sekarang

Kebangkitan rakyat Iran membantah keputusan pilihan raya mereka menjadi berita hangat di seluruh dunia. Anggapan bahawa pilihan raya mereka tidak telus dan adanya unsur penipuan dikongsi jutaan rakyat negara tersebut. Ini merupakan kebangkitan yang terbesar sejak revolusi negara clergy tersebut. Sudah pasti ada asas tertentu kepercayaan rakyat terhakis terhadap keputusan pilihan raya mereka, atau ada isu lain yang mendesak mereka bangkit, sama ada isu ekonomi, kezaliman, penindasan dan seumpamanya.
Saya bukan ingin mengulas tentang pergolakan politik negara Syiah Imamiyyah tersebut. Namun adalah penting untuk kita tahu bahawa kebangkitan revolusi Iran 1979 mempunyai peranan yang penting mempengaruhi perjuangan gerakan Islam di seluruh dunia dalam memperjuangkan apa yang diistilahkan sebagai Daulah Islamiyyah' (Islamic State). Kejayaan Iran membentuk negara yang dikuasai kelompok mullah atau ulama membakar semangat Islam ramai pejuang daulah Islamiyyah. Banyak pihak kagum dan menyanjung tinggi Ayatollah Khomeini dan pemikiran revolusinya. Sehinggalah isu-isu berkaitan Syiah timbul dengan jelas dan para penyanjung Khomeini seperti tokoh al-Ikhwan al-Muslimin Sa'id Hawwa mula menarik diri disebabkan perbezaan kefahaman aliran Sunnah dan Syi'ah. Beliau menulis buku al-Khumainiyyah: Syuzuz fi al-'Aqaid wa syuzuz fi al-Mawaqif (Khomeinisme: Pelik Dalam Akidah dan Pendirian). Ini kerana atas semangat revolusi tersebut, buku-buku Khomeini seperti Hukumah Islamiyyah, Kasyf al-Asrar dan lain-lain mula dibaca oleh para pencinta Islamic State dan mereka mula mendapati perkara-perkara yang amat sukar untuk diterima seperti menyandarkan zindiq dan kekufuran kepada Saiyyidina 'Umar bin al-Khattab r.a. Apapun Iran telah melakukan usaha yang hebat dalam menempatkan pemikiran politik agama dalam dunia ini.
Apa pun, Iran dengan aliran Syiah Imamiyyah ada keistimewaan yang tersendiri. Mazhab Syiah adalah mazhab politik. Ia tercetus hasil dari pertelingkahan politik lalu dibentuk menjadi mazhab akidah dengan dimasukkan dogma dan elemen akidah. Ayat-ayat al-Quran dan nas-nas Nabi SAW ditafsirkan menurut asas kepercayaan politik tertentu. Tokok-tambah nas-nas Nabi SAW begitu lama dan banyak sehingga menyebabkan mazhab itu stabil sebagai sebuah aliran politik agama. Hal ini tidak jauh dari apa yang berlaku kepada sesetengah gerakan atau parti politik agama dalam dunia ini. Pertelingkahan yang bermula dengan isu-isu politik dibentuk menjadi isu-isu akidah sehingga ke peringkat mengkafir dan menyesatkan antara satu sama lain. Namun Syiah Imamiyyah jauh lebih stabil disebabkan usia dan pengalamannya yang panjang. Begitu banyak hadis-hadis yang telah diwujudkan sepanjang tempoh kempen politik mereka yang berlarutan sejak hampir empat belas kurun lamanya. Hadis-hadis 'keluaran baru' politik memenuhi mazhab mereka. Ini seperti kononnya Nabi saw bersabda: "Sesiapa yang suka hidup seperti hidupku, mati seperti matiku, tinggal di syurga 'adn yang ditanam oleh tuhanku maka hendaklah dia mengangkat 'Ali selepasku. Juga mengangkat penggantinya. Hendaklah dia mengikut para imam selepasku, kerana sesungguhnya mereka adalah kaum keluargaku, diciptakan daripada asal-usulku, direzekikan kefahaman dan ilmuku. Celakalah golongan umatku yang membantah kelebihan mereka dan memutuskan hubungan denganku. Semoga Allah tidak memberikan mereka syafaatku". Pada nilaian ulama hadis aliran Ahli Sunnah hadis ini palsu, sanadnya (rangkaian rawinya) gelap, kesemua para perawinya tidak dikenali dengan pasti kecuali seorang iaitu Ibn Abi Rawwad. Nama-nama para perawi lain tidak pernah disebut oleh para ulama al-Jarh wa al-Ta'dil. Apapun hadis ini disanjung oleh Syiah kerana ia penting dalam kempen politik yang dibawa oleh aliran tersebut.
Pembentukan
Berbalik kepada isu pembentukan negara agama, Syiah nampaknya jauh lebih berpengalaman disebabkan itulah perjuangannya sejak awal kewujudannya. Perjuangan merebut kerajaan dari tangan pemerintah-pemerintah muslim yang pernah ada sepanjang sejarah untuk membentuk negara yang tersendiri pada aliran dan pegangannya. Adapun aliran muktabar ahli sunnah, mereka lebih cenderung menyerahkan urusan politik kepada sesiapa sahaja di kalangan umat Islam, dengan mereka mensyaratkan agar tidak menyanggahi al-Quran dan al-Sunnah, berlaku keadilan dan memerintah atas asas kemaslahatan rakyat. Sesiapa sahaja yang sanggup melakukan demikian dipuji dan disokong oleh para ulama Ahli Sunnah yang ikhlas, jika tidak amar makruf nahi munkar akan dijalankan. Bukan kecenderungan mereka mempolitikkan agama atau terlibat dengan politik agama. Inilah yang kita lihat dihayati oleh al-Imam Abu Hanifah, al-Imam Malik, al-Imam al-Syafi'I, al-Imam Ahmad, al-Imam Ibn Taimiyyah dan lain-lain. Ya, mereka merupakan pengkritik yang tegas dan berani, namun mereka tidak pernah menyeru untuk diberikan 'kerusi' kepada mereka. Berdasarkan kepada tulisan dan kenyataan mereka, ternyata mereka ingin mengelakkan penumpahan darah sesama kaum muslimin. Ya, politik itu penting namun bukanlah segala-galanya dalam kehidupan muslim. Juga politik bukan seperti ibadah khusus yang tetap dan tidak boleh diubah. Politik itu begitu anjal (fleksibel) terdedah kepada keadaan dan perubahan atas asas maslahah rakyat.
Apabila jatuh Khalifah di Turki dan Kuasa-Kuasa Barat menjajah Dunia Islam, kesedaran umat Islam tentang tanggungjawab jihad membebaskan tanah air Islam berkembang. Selepas penjajah dihalau keluar, umat Islam memerintah negara sendiri. Kali ini tiada lagi negara khalifah seperti yang ditulis dalam buku-buku fekah lama. Apa yang wujud adalah nation state atau negara bangsa yang mempunyai kedaulatan tersendiri. Dalam proses menstabilkan negara masing-masing inilah munculnya istilah daulah islamiyyah (islamic state atau negara Islam). Ini adalah reaksi kepada penjajahan dan selepas penjajahan di dunia Islam. Padahal istilah ini tidak dikenali sebelum ini. Dahulu yang ada dalam fikah sarjana silam (sebelum penjajahan) hanyalah istilah Dar al-Islam iaitu Wilayah Islam. Ini merujuk kepada wilayah yang dikuasai oleh umat Islam dan zahir syiar Islam. Sementara Dar al-Harb atau disebut juga Dar al-Kufr merujuk kepada wilayah yang dikuasai oleh bukan muslim dan bermusuhan dengan Dar al-Islam. Dalam erti kata lain nilaian terhadap sesebuah wilayah atau negara itu berdasarkan penguasaan umat Islam ke atas wilayah tersebut, dan wujudnya syiar Islam. Adapun soal sejauh manakah komitmen seseorang pemerintah itu, ia diuruskan oleh umat Islam di bawah tanggung jawab menasihati pemerintah juga Amar Makruf dan Nahi Munkar. Namun apabila istilah Daulah Islamiyyah muncul, maka lahir segelintir kelompok umat Islam yang mengkafirkan negara sendiri, bahkan mengkafirkan sesama muslim. Mereka seakan menjadikan Dar Islam yang diistilah oleh Sarjana Fekah silam sebagai Dar al-Kufr atau Dar al-Harb yang wajib diperangi hanya disebabkan beberapa isu. Adaptasi ini sebenarnya lebih mirip kepada apa yang dilakukan oleh Khawarij dalam sejarah awal krisis antara umat Islam (sila lihat: Fazlur Rahman, Revival And Reform in Islam 33-43, England: Oneworld Publications).
Bagi kelompok ekstremis ini, untuk mencari definasi yang tersendiri bagi Daulah Islamiyyah agak sukar. Jika mereka memakai penafsiran silam yang memberi maksud wilayah yang dikuasai oleh umat Islam, mereka terpaksa mengiktiraf negara-negara umat Islam sekarang adalah Daulah Islamiyyah. Sudah pasti mereka enggan. Jika mereka memakai takrif lain yang dibuat oleh sesetengah sarjana silam iaitu negara yang zahir padanya syiar Islam seperti azan dan solat dan amalan-amalan Islam yang lain, sudah pasti mereka juga terpaksa mengiktiraf kebanyakan negara umat Islam hari ini sebagai Daulah Islamiyyah. Jika mereka menyatakan negara yang sempurna perlaksanaan Islamnya, sudah pasti tidak ditemui dalam sejarah umat Islam melainkan beberapa khalifah sahaja. Akhirnya, mereka menetapkan negara Islam adalah negara yang melaksanakan hudud. Dengan kemunculan Iran, mereka menetapkan satu hal yang lain, negara yang dikuasai oleh golongan mullah. Hari ini, disebabkan perkembangan globalisasi dan politik setempat, sebahagian gerakan politik Islam sudah enggan lagi berbicara tentang hudud dan hasrat untuk menegakkan hudud. Bahkan, pandangan bahawa golongan mullah (clergy) mestilah menjadi pemerintah mulai lemah. Iran sendiri sudah goyah akibat rakyat yang tidak lagi hanya mahu melihat pakaian dan slogan agama semata, tetapi mereka inginkan kemaslahatan dan hak mereka dipelihara. Hari ini sebahagian gerakan politik mungkin terpaksa memberikan takrif baru untuk 'daulat islamiyyah' atau negara Islam!
Dr. Mohd Asri ZainUl Abidin ialah bekas Mufti Perlis.

ARKIB : 21/06/2009

Jalan perdamaian penuh berliku?

Saya dapat membayangkan betapa terguris perasaan beberapa tokoh politik yang dikecam oleh rakan sendiri disebabkan kerana hasrat ingin mencari perdamaian dalam kalangan kaum muslimin.
Keadaan begini menjadikan kita lebih faham mengapa Allah menyebut: (maksudnya) “Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mematuhi perintah) Allah, serta dia sendiri mengerjakan amalan soleh, sambil berkata: “Sesungguhnya aku ialah dalam kalangan muslimin!” Dan tidaklah sama kebaikan dan kejahatan. Tolaklah (kejahatan) dengan cara yang lebih baik; maka (engkau akan dapati) orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib.
Dan sifat yang terpuji ini tidak dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang-orang yang sabar, dan tidak juga dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang yang mempunyai bahagian yang besar (dari kebahagiaan dunia dan akhirat).” (Surah Fussilat ayat 33-35).
Allah mengajar dalam ayat di atas agar kita menyeru kepada Allah, iaitu ajaran-Nya bukan kepada kepentingan diri, parti atau apa sahaja, serta menyatakan kita dalam kalangan kaum muslimin. Maka muslim atau Islam itulah identiti kita merentasi segala identiti dan ideologi perkauman, politik dan fanatik kelompok dan puak. Kemudian Allah mengajar agar dalam dakwah kita berusaha menolak kejahatan dengan kebaikan. Tidak perlu menyimpan dendam dan amarah yang tidak sudah.
Dengan tidak menggadaikan prinsip dan berhati-hati, dalam masa yang sama al-Quran memberitahu kita tindakan menunjukkan kebaikan dalam menghadapi kejahatan boleh menatijahkan musuh menjadi rakan setia. Namun Allah juga memberitahu untuk melaksanakan hal ini amatlah berat dan tidak akan sanggup dipikul melainkan mereka yang sabar dan mendapat kurniaan besar daripada Allah.
Saya tahu ramai orang politik baca ayat ini. Mereka juga tahu Allah menyebut dalam firman-Nya yang lain (maksudnya) “Dan jika dua puak daripada orang-orang yang beriman berperang, maka damaikanlah antara keduanya; jika salah satunya berlaku melampau terhadap yang lain, maka perangilah puak yang melampau itu sehingga mereka kembali mematuhi perintah Allah; jika mereka kembali patuh, maka damaikanlah antara keduanya dengan adil, serta berlaku adillah kamu (dalam segala perkara): Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sebenarnya orang-orang yang beriman itu bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.” (Surah al-Hujurat: ayat 9-10). Juga sabda Nabi saw: “Mahukah kamu aku khabarkan amalan yang lebih tinggi darjatnya daripada puasa dan solat ? Jawab para sahabat: Bahkan. Sabda baginda: “Mendamaikan hubungan, kerana rosaknya hubungan itu adalah pencukur (mencukur agama).” (Riwayat Abu Daud, dinilai sahih oleh al-Albani).
Amat dukacita jika ada dalam kalangan orang Islam melenting dengan idea perdamaian antara kelompok-kelompok Islam yang berbalahan. Mungkin kerana dia kurang jelas maksudnya, atau beberapa andaian politik yang menakutkan. Apa pun, perdamaian bukan semestinya menghapuskan identiti, tetapi untuk kembali memahami antara satu sama lain atas asas ukhuwah islamiah. Bak firman Allah: (maksudnya) “Tiada kebaikan pada kebanyakan bisik-bisikan mereka, kecuali (bisik-bisikan) orang yang menyuruh bersedekah, atau menyuruh berbuat kebaikan, atau menyuruh perdamaian antara manusia. Dan sesiapa yang berbuat demikian dengan maksud mencari keredaan Allah, tentulah Kami akan memberi kepadanya pahala yang amat besar.” (Surah al-Nisa’: ayat 114).
Jika kita tidak melenting dengan cadangan agar penjenayah Chin Peng dimaafkan dan dibawa pulang, mengapa pula begitu marah untuk sesama muslim cuba duduk semeja, bermaaf-maafan dan berunding untuk kebaikan umat dan rakyat.


ARKIB : 14/06/2009

Kerajaan perpaduan: Niatkan kerana Allah, bukan kerana parti

Istilah ‘kerajaan-perpaduan’ menjadi panas. Saya sendiri tidak pasti apakah maksudnya. Mungkinkah ia seperti ‘Islam Hadhari’ yang muncul istilah dahulu, maksudnya dicari kemudian. Apapun bagi saya, sebagai seorang Muslim saya amat gembira dan bahagia jika sesama Muslim dapat berdamai dan mencari jalan ke arah kemaslahatan umat. Orang yang enggan melihat sesama Muslim cuba berdamai ialah manusia yang dirasuk syaitan samada disebabkan dendam kesumat yang tidak habis-habis atau fanatik yang bukan-bukan, atau buruk sangka yang tiada tepinya. Melainkan jika dia dapat buktikan bahawa perbalahan sesama Muslim itu lebih besar kebaikan daripada perdamaian. Allah menyebut: (maksudnya) “Sebenarnya orang-orang yang beriman itu bersaudara, maka damaikanlah antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat” (Surah al-Hujurat: ayat 10).
Jika dahulu perkataan ‘asabiyyah’ itu diwakili oleh ketaksuban kepada kaum atau kabilah sehingga berlaku perbalahan dan peperangan, namun hari ini ‘asabiyyah’ itu menjelma dalam bentuk parti, kumpulan, jamaah dan berbagai lagi bentuk perkumpulan manusia. Lalu manusia berbalah kerananya. Nabi s.a.w bersabda: "…Sesiapa yang berperang di bawah rayah ‘immiyyah (bendera kebutaan) dan menyeru kepada ‘asabiyyah atau marah kerana ‘asabiyyah maka kematiannya adalah jahiliyyah”. (riwayat Muslim). Dalam riwayat yang lemah sanadnya (tetapi dikuatkan dengan hadis tadi) dikatakan Nabi bersabda: “Bukan di kalangan kami sesiapa yang menyeru kepada ‘asabiyyah, bukan sesiapa yang berperang atas ‘asabiyyah, dan bukan di kalangan kami sesiapa yang mati atas ‘asabiyyah” (Riwayat Abu Daud). Penyakit ‘asabiyyah bukan sahaja dalam bentuk perkauman arab, atau parsi atau melayu tetapi juga dalam parti-parti yang dibentuk dibawah nama ‘demokrasi’ hari ini. Segala prinsip dan kewarasan hilang hanya disebabkan ketaksuban kepada parti atau kebencian kepada ‘pesaing parti’. Sehingga yang kononnya berjuang untuk arab atau melayu boleh berpakat dengan bukan orang lain untuk menindas kaumnya. Demikian yang kononnya berjuang untuk Islam boleh berpakat dengan bukan Islam untuk bermusuhan dengan orang Islam. Bahkan ada yang kuat ‘kebangsaannya’ boleh menghina bangsanya hanya kerana berbeza parti. Bagitu yang kononnya kuat Islam bukan berkawan dengan sosialis, kapitalis, bahkan anti-negara Islam, tetapi berang jika diajak berdamai dengan orang Islam. Parti telah membentuk ‘asabiyyah yang menakutkan dan mencerai-beraikan orang Islam.
Saya amat berharap umat Islam dalam negara ini keluar dari kemaslahatan parti kepada kemaslahatan umat yang lebih besar daripada parti. Nabi s.a.w memuji al-Hasan bin ‘Ali disebabkan beliau telah melakukan tindakan yang menyebabkan perbalahan antara penyokong Mu‘awiyah r.a. dan penyokong ‘Ali r.a dapat diredakan. Abu Bakrah r.a menyebut: “Aku melihat Rasulullah s.a.w. di atas mimbar sementara al-Hasan bin ‘Ali berada di sebelahnya. Baginda menghadap ke arah orang ramai dan kemudian kepada al-Hasan, lalu bersabda: “Sesungguhnya anakku ini adalah seorang tuan, mudah-mudahan Allah mendamaikan dengannya dua puak yang besar daripada orang-orang Islam” (Riwayat al-Bukhari). Hadis ini menjadi kenyataan apabila Saiyyidina Hasan telah mengundur diri dari kerusi pemerintahan dan menyerahkannya kepada Mu‘awiyah selepas kewafatan ayahnya Saiyyidina ‘Ali. Mu‘awiyah dengan itu menguasai pemerintahan sepenuhnya dan tahun tersebut dinamakan oleh orang Islam iaitu “tahun perpaduan” (Ibn Kathir, Al-Ba‘ith al-Hathith, m.s. 177, Beirut: Dar al-Fikr). Di samping itu, Mu‘awiyah sendiri mempunyai hasrat perpaduan di mana beliau berkata:“Siapa yang akan menjamin orang Islam (sekiranya dibunuh ayah-ayah mereka)" (Riwayat al-Bukhari). Ibn Taimiyyah dalam ulasannya menyebut: “Nabi s.a.w. memuji al-Hasan kerana perdamaian yang dilakukannya dan menamakannya sebagai sayyid iaitu ‘tuan’. Ini kerana, Allah dan RasulNya suka dan redha terhadap apa yang al-Hasan lakukan. Andainya peperangan yang berlaku antara orang Islam itu diperintah oleh Allah dan RasulNya, tentu Rasulullah tidak akan memuji langkah perdamaian yang diambil oleh al-Hasan. Kalau peperangan itu suatu yang disuruh oleh Allah dan RasulNya, bererti al-Hasan telah meninggalkan suatu kewajipan atau perkara yang disukai Allah. Hadis ini adalah dalil yang jelas bahawa apa yang dibuat oleh al-Hasan adalah sesuatu yang terpuji.”(Ibn Taimiyyah, Al-Khilafah wa al-Mulk, m.s. 84).
Di Malaysia, kita tidak pun tidak mengharapkan parti-parti umat Islam ini menyerah kuasa antara satu sama lain. Ya, kita perlukan imbangan kuasa antara kerajaan dan pembangkang. Apa yang kita harapkan mereka dapat duduk semeja membincangkan tentang maslahat umat ini terutama yang membabit isu-isu khusus umat Islam. Apakah langsung tidak persamaan pendirian atau sikap antara UMNO dan Pas dalam isu-isu khusus? Kita boleh berbeza atau berselisih sekalipun, tetapi kena ada titik-titik persamaan mengenai kemaslahatan umat dan rakyat. Berfikirlah atas landasan nas dan ukhuwwah islamiyyah melebihi sikap ‘tegar’ yang hanya mengikat diri dengan belenggu kepartian semata-mata. Islam itu bukan sekadar politik, Islam juga akidah, akhlak, ekonomi, pendidikan dan berbagai lagi. Apakah dalam keadaan gentir ini tiada langsung nafas untuk memikirkan kemaslahatan umat dalam masalah-masalah khusus kita? Jika UMNO dan Pas boleh duduk bermesra dan bermanis dengan mereka yang berbeza prinsip dan perjuangan, apakah langsung tiada ruang sesama mereka. Marilah kita bimbangi apa yang Nabi s.a.w sebut: “Manusia yang paling Allah benci ialah yang berkeras kepala dalam perbalahan” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Sebab itu ketika saya bersembang panjang dengan Tun Abdullah di London dua minggu lepas, saya mencadangkan agar duduklah UMNO dan Pas berbincang dalam perkara-perkara di luar isu politik. Belajar faham memahami antara satu sama lain. Niatkan kerana Allah, bukan kerana parti.
Jika pun mereka pernah ada rekod buruk perdamaian sebelum ini, namun zaman dan masa sudah berbeza. Semalam sudah tidak sama dengan hari ini. Hari ini manusia lebih matang dan keadaan lebih getir. Jangan lagi berbincang bermula dari titik tolak kuasa, tetapi berbincang dari titik kemaslahatan umat. Jika benar ada keikhlasan, keberkatan akan datang. Jika niat ikhlas inginkan perdamaian, Allah akan membuka jalan kebaikan. Kalau kuffar musuh Islam ingin berdamai, kita disuruh sahut perdamaian. Inikan pula sesama Muslim. Firman Allah: (maksudnya) “Dan jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian, maka engkau juga hendaklah cenderung kepadanya serta bertawakalah kepada Allah. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui” (Surah al-Anfal, ayat 61).
Ada pihak yang berkata perdamaian antara parti-parti orang Islam akan memangsakan orang ‘lain’. Saya hairan, apakah setiap kali jika dua golongan berunding maka pihak lain pasti menjadi mangsa?. Saya fikir jika Muslim yang berbicara demikian, dia seorang yang sama dengan pengikut Abdullah bin Saba yang mencetuskan peperangan antara ‘Ali dan ‘Aishah. Mereka itu apabila melihat ‘Ali berdamai dengan ‘Aishah r.ha, mereka mencetuskan serangan mengejut sehingga mengheret umat Islam bertempur sesama sendiri. Menurut Ibn Kathir (meninggal 774H), apabila mendengar keputusan ‘Ali untuk berdamai, mereka yang terlibat dalam peristiwa pembunuhan ‘Uthman iaitu para pemberontak yang ada di dalam tentera ‘Ali menjadi takut. Mereka berbincang sesama sendiri dan berkata: “Mereka telah berdamai atas darah-darah kita”. Maksud mereka perdamaian ini bererti senjata akan dihalakan pula ke arah mereka.. mereka terus berbincang, akhirnya ‘Abd Allah bin Saba’ mencadangkan agar mereka memulakan api peperangan agar peperangan tetap tercetus..sebelum menjelangnya waktu subuh mereka telah melancarkan serangan terhadap tentera-tentera ‘Aisyah dan ‘Ali secara serentak menyebabkan kedua-dua pihak menyangka bahawa pihak yang satu lagi telah mungkir janji. Tentera ‘Aisyah telah menyatakan: “Tentera ‘Ali telah menyerang kita”. Sementera tentera ‘Ali pula menyatakan: “Tentera ‘Aisyah telah menyerang kita”. Maka tercetuslah peperangan Jamal yang menyebabkan kematian yang begitu banyak...(al-Bidayah wa al-Nihayah 7/249, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah). Kata Winston Churchill: “History repeats itself because no one was listening the first time.”


 ARKIB : 07/06/2009

Tajdid satu keperluan umat

Tajdid atau pembaharuan (renewal) adalah satu keperluan. Jika tidak kerana gerakan atau usaha tajdid sepanjang sejarah umat ini tentulah Islam menjadi begitu lemah dan hilang kemampuannya. Nabi s.a.w dalam hadis yang sahih diriwayatkan oleh al-Imam Abu Daud menyebut: "Sesungguhnya Allah akan menghantar untuk umat ini setiap awal seratus tahun sesiapa yang mentajdidkan untuk umat ini agamanya". Sepanjang sejarah, tokoh-tokoh atau gerakan tajdid muncul melaksanakan berbagai usaha dan menghadapi berbagai cabaran. Berbagai-bagai bidang tajdid dilakukan demi kebaikan umat. Khalifah 'Umar bin 'Abd al-'Aziz ialah tokoh tajdid (mujaddid) yang disepakati umat. Kemudian muncul berbagai tokoh lain yang dianggap mujaddid; seperti al-Imam al-Syafi'i (meninggal 204H), al-Imam Ibn Taimiyyah (meninggal 728H) dan lain-lain. Perkataan 'man' atau sesiapa dalam hadis di atas mencetuskan berbagai tafsiran di kalangan sarjana. Mereka membahaskan apakah ia bermaksud 'seorang' setiap kurun, atau ramai tetapi bertebaran di berbagai tempat dan negeri yang berbeza, atau ia bermaksud gerakan dan seumpamanya. Apapun yang penting, hadis ini menceritakan tajdid dalam Islam adalah keperluan.
Tajdid bukan bererti mendatangkan agama baru. Di sini dua maksud tajdid boleh diberikan; pertama, tajdid bermaksud mengembalikan wajah asal agama seperti kita membaharukan semula sesuatu yang telah menjadi buruk atau akan luput tarikhnya. Pembaharuan atau tajdid bererti yang asal itu wujud, tetapi keadaan dan masa menuntut ia dibaharukan. Contoh yang praktikal adalah kita membaharukan lesen memandu atau selainnya. Lesen asal itu ada, tetapi dipembaharuan dibuat disebabkan ia menjadi lama atau luput. Kedua, tajdid juga boleh bermaksud benar-benar mendatang sesuatu yang baru disebabkan kerana keperluan dan tuntutan yang baru yang tiada pada zaman sebelumnya seperti manusia mengadakan kenderaan moden, tetapi atas asas yang sama iaitu kehendakan manusia untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Maka dalam konteks Islam, sesuatu yang baharu itu hendaklah tidak mengubah agama, sebaliknya tafsiran atau pandangan yang baru disebabkan tuntutan keadaan, namun ia tetap tidak lari dari maksud dan kehendak nas al-Quran dan al-Sunnah. Dalam ertikata lain, pembaharuan Islam bermaksud mengembalikan umat kepada wajah asal Islam yang telah tercemar dan dilupai disebabkan keadaan dan zaman, atau mengadakan tafsiran dan pandangan baru atas keperluan semasa tetapi tetap berteraskan al-Quran dan al-Sunnah.
Dalam hadis yang lain baginda menyebut: "Hendaklah membawa ilmu ini mereka yang adil dari para penyambung (dari setiap generasi); mereka menafikan (menentang) penyelewengan golongan yang melampaui batas, dakwaan bohong golongan yang batil dan takwilan golongan yang jahil. (Riwayat al-Baihaqi, Ibn 'Adi dan lain-lain. Dinilai hasan oleh al-Imam Ahmad).
Al-Quran dan al-Sunnah adalah sumber rujukan Islam yang diboleh diubah. Namun di sana ada dua masalah utama mengenai dua sumber agung ini; pertama, pencemaran terhadapnya. Kedua, penafsiran terhadap maksudnya. Al-Quran sekalipun dijamin oleh Allah tidak mungkin mampu diselewengkan teks asalnya, tetapi ia dicemari oleh mereka yang tidak bertanggungjawab dengan dimasukkan unsur-unsur Israiliyyat dan kisah-kisah dongeng yang cuba dikaitkan dengan al-Quran. Sehingga mereka yang tidak tahu, merasakan cerita-cerita al-Quran bagaikan 'lucu' dan tidak praktikal. Ini bukan sedikit yang dibuat oleh sesetengah para penceramah agama di media elektronik dalam negara kita. Adapun hadis, terdapat ribuan hadis-hadis palsu yang telah direka sepanjang sejarah untuk berbagai kepentingan, atau atas kejahilan. Di Malaysia ramai yang tidak berdisiplin dalam memetik dan membaca hadis sehingga kadang-kala cerita-cerita lucu atau tidak munasabah dikaitkan dengan hadis. Kesemua ini memerlukan tajdid.
Akidah adalah teras Islam. Akidah Islam itu mudah dan jelas. Semudah dan sejelas akidah dalam Surah al-Ikhlas. Sesiapa yang membaca al-Quran seperti Surah al-An'am akan mendapati kejelasan akidah Islam. Ia tidak berbelit-belit seperti sukatan yang mengajar sifat Allah dengan menghafal; Allah ada lawannya tiada, dengar lawannya pekak, lihat lawannya buta. Ramai yang muallaf dan bukan muallaf tidak jelas mengenai akidah dan mudah 'menukar agama' walaupun menghafal sukatan ini. Ini kerana sukatan tersebut adalah ajaran falsafah yang tidak sekukuh akidah yang mudah dan jelas yang diajar oleh al-Quran dan al-Sunnah. Kita perlukan tajdid dalam hal ini.
Dalam kefahaman fekah, taksub 'mazhab' yang cuba diwariskan kepada kita sesetengah kelompok konservatif agama menjadi masyarakat kita 'buta dalil' atau langsung tidak bertanya khabar tentang di manakah sumber sesuatu amalan agama dibuat. Benarkah ia berasal dari al-Quran dan al-Sunnah atau sekadar andaian. Bahkan yang taksub mazhab Syafi'i itu sendiri pun tidak pasti, betulkan al-Imam al-Syafi'i (meninggal 204H) berpendapat demikian? Atau sekadar 'mulut orang'. Lebih bermasalah lagi, kita kefahaman fekah tanpa dalil atau berasaskan dalil yang lemah itu menyebabkan kejumudan dan kesusahan umat. Diletakkan hukum-hakam yang tidak berasaskan nas yang jelas seperti 'arahan menyamak rumah' yang diajar oleh sesetengah pihak. Sudahlah tiada asas yang jelas, ia membebankan umat yang bukan-bukan. Keperluan kepada fekah yang berasaskan dalil dan mudah adalah tuntutan zaman ini. Dalam hadis Nabi s.a.w menyebut: "Agama itu mudah. Tiada seorang yang memberat-beratkannya melainkan dia menjadi susah. Maka bersederhanalah, dekatilah yang tepat dan gembirakanlah mereka" (Riwayat al-Bukhari).
Tazkiah al-Nafs, atau penyucian jiwa yang juga disebut oleh sesetengah pihak sebagai tasawwuf adalah satu keperluan. Namun persoalan yang begitu halus seperti itu yang membabitkan hubungan jiwa insan dengan Allah memerlukan panduan al-Quran dan al-Sunnah. Jika tidak ia akan terbabas menjadi bahasa-bahasa falsafah, igauan mengenai alam ghaib, sibuk dengan cerita wali dan keramat itu dan ini dan berbagai falsafah pelik yang lain. Tidak membawa mereka menuju kepada Allah sebaliknya ada yang terheret ke dalam kancah tarekat-tarekat yang pelik sehingga mereka tidak lagi mempelajari al-Quran dan hadis sebaliknya menumpukan kepada 'apa kata tok syeikh'. Tajdid diperlukan dalam hal ini.
Politik keperluan manusia untuk hidup bermasyarakat. Islam mempunyai panduan mengenainya. Namun oleh kerana terbiasa dengan cara politik Barat, bahkan kita lebih buruk dari mereka kadang-kala, maka politik bukan membawa kebahagiaan dan ketenteraman kepada umat, sebaliknya mencetuskan kesusahan, kegelisahan dan berbagai lagi kerenah yang lain. Pemikiran Islam dalam politik menjadi begitu tidak jelas sekalipun yang memakai jenama Islam atau yang berkaitan dengannya. Tajdid diperlukan dalam hal ini.
Banyak perkara-perkara baru yang wujud di zaman ini yang tidak pernah dikenali sebelumnya. Berbagai perubahan keadaan umat dan dunia menuntut berbagai pandangan baru dicetuskan demi survival umat. Islam itu diturunkan untuk maslahat manusia. Sesetengah pandangan atau pendapat sarjana Islam yang silam, mungkin bukan salah, tetapi telah luput tarikh disebabkan perubahan zaman dan keadaan. Maka mentajdidkan pendapat atau pandangan baru yang masih teraskan al-Quran dan al-Sunnah adalah satu keperluan dan tuntutan. Sebahagian nas al-Quran dan al-Sunnah hendaklah dilihat dalam konteks yang lebih luas dari segi maksud dan 'semangatnya'.
Jelas, usaha dan gerakan tajdid adalah keperluan umat, termasuk kita di Malaysia. Walaupun kadang-kala usaha tajdid di Malaysia pernah dikritik oleh yang tidak selesa dengannya dengan berbagai tohmahan. Namun baginda pernah menyebut: "Islam itu bermula dalam keadaan yang asing, dan akan kembali asing maka beruntung mereka yang asing. Ditanya baginda: "Siapakah mereka wahai Rasulullah!" Jawab baginda: "Mereka yang membaiki ketika manusia rosak". (Riwayat Ahmad, sahih).

ARKIB : 31/05/2009

Islamkan politik, atau politikkan Islam?

Saya sering bercakap tentang "Islamkan politik, jangan politikkan Islam". Mungkin seseorang bertanya apakah beza antara kedua-dua ini? Bezanya adalah jika kita berusaha mengislamkan politik kita memastikan tindak tanduk atau gerak kerja politik itu tidak bercanggahan dengan Islam. Juga, jika ada pengamalan politik yang belum Islamik, kita akan berusaha untuk mengislamisasikannya.
Dalam erti kata lain, Islam adalah panduan sebelum tindakan. Sementara mempolitikkan Islam adalah menggunakan Islam sebagai modal politik untuk kepentingan kuasa. Maka Islam bukan panduan tetapi sekadar alasan atau 'cop halal' yang dibuat untuk menjadikan masyarakat atau pengikut menerima sesuatu tindakan. Hasilnya, seseorang akan bertindak dalam gerak kerja politiknya tanpa terlebih dahulu melihat kepada ajaran Islam, namun apabila ia dipertikaikan, maka pendapat atau nas Islam akan digunakan untuk membela diri. Dalam erti kata lain mengislamkan politik bererti menjadikan Islam sebagai panduan. Sementara mempolitikkan Islam bererti menjadikan Islam sebagai alat atau alasan.
Maka sesiapa yang menjadikan Islam sebagai dasar atau panduan, maka dia akan bersedia menarik balik pandangan atau tindakan sekiranya dia dapati bercanggahan dengan ajaran Islam. Adapun yang menjadikan Islam sebagai alasan dan alat, dia menggunakan Islam bagi menghalalkan tindakan politiknya sekalipun ternyata salah. Dia bukan hendak mendengar dalil atau hujah syarak yang kukuh untuk diamalkan, sebaliknya dia mencari orang agama atau pendapat yang sanggup menghalalkan tindakannya sekalipun dia tahu itu pendapat yang diberikan untuk menyokongnya itu lemah dan tidak kukuh. Ini sama dengan golongan taksub dan pengikut mazhab fekah secara membuta tuli dengan tidak memperdulikan alasan dan hujah yang kukuh. Sehingga al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (meninggal 751H) mengkritik mereka ini dengan katanya: "Yang lebih pelik dari semua itu adalah sikap kamu wahai golongan taklid!. Kamu ini jika mendapati ayat al-Quran yang bersesuai dengan mazhab kamu, maka kamu akan terima apa yang jelas dari ayat itu dan berpegang kepadanya. Teras kamu dalam perkara berkenaan ialah pendapat mazhab kamu, bukan ayat tersebut. Jika kamu dapati ayat lain yang setanding dengannya menyanggahi pendapat mazhab kamu, kamu tidak akan menerimanya. Kamu akan cuba membuat berbagai takwilan dan mengeluarkannya dari maksudnya yang jelas, kerana tidak bersesuaian dengan mazhab kamu. Inilah juga yang kamu lakukan kepada nas-nas al-Sunnah. Jika kamu dapati satu hadis yang sahih bersesuaian dengan mazhab kamu, kamu menerimanya. Kamu kata, "Kami ada sabda Nabi saw begini dan begitu". Jika kamu dapati seratus atau lebih hadis sahih yang berbeza dengan mazhab kamu, kamu tidak pandang kepadanya, walaupun sedikit..." (Ibn Qayyim al-Jauziyyah, I'lam al-Muwaqqi'in, 2/195, Beirut: Dar al-Fikr).
kumpulan
Usaha atau sikap, samada mengislamkan politik atau mempolitikkan Islam bukan semestinya berkaitan parti atau kumpulan tetapi lebih kepada sikap individu dalam kebanyakan hal. Jika salah satu sikap itu menjadi aliran utama dalam sesebuah parti atau kumpulan, maka itu mencerminkan kecenderungan mereka yang sebenar. Untuk berpegang dan istiqamah dengan prinsip Islam dalam mengharungi politik hari ini bukanlah mudah. Namun, itulah yang patut dihayati oleh setiap kita. Dalam sejarah pertembungan Nabi Musa a.s dengan Fira'un, Fir'aun pernah mempertikaikan tindakan Musa a.s. memukul seorang warga Qibti sebelum beliau lari ke Madyan. Allah menceritakan hal ini dalam al-Quran dengan firmanNya: (maksudnya) Maka pergilah kamu berdua (Musa dan Harun) kepada Firaun, kemudian katakanlah kepadanya: "Sesungguhnya kami adalah utusan Tuhan sekalian alam. Menyuruhmu membebaskan kaum Bani Israil mengikut kami". Firaun menjawab: "Bukankah kami telah memeliharamu dalam kalangan kami semasa engkau (Musa) kanak-kanak yang baru lahir, serta engkau telah tinggal dalam kalangan kami beberapa tahun dari umurmu? Dan (bukankah) engkau telah melakukan satu perbuatan (kesalahan) yang telah engkau lakukan dan (dengan itu) engkau dalam kalangan orang yang tidak mengenang budi?" Nabi Musa berkata: "Aku melakukan perbuatan demikian sedangkan aku ketika itu dalam kalangan orang yang belum mendapat petunjuk. Lalu aku melarikan diri dari kamu, ketika aku merasa takut kepada kamu; kemudian Tuhanku mengurniakan daku ilmu pengetahuan, dan menjadikan daku seorang Rasul-Nya. Adapun budimu memeliharaku yang engkau bangkit-bangkitkan itu adalah kerana engkau telah bertindak memperhambakan kaum Bani Israil. (Surah al-Syu'ara: 16-22). Inilah rasul, dia mengajar kita prinsip. Dalam suasana yang sengit, Nabi Musa tetap mengakui bahawa tindakannya memukul warga Qibti itu satu kesalahan dan bukan tindakan yang berdasarkan petunjuk yang betul. Nabi Musa tidak cuba menghalalkan tindakannya demi kepentingannya, tidak sama sekali! Yang salah tetap salah. Nabi Musa a.s. menghadapi kuasa politik yang maha besar di zamannya bah paling bersejarah dalam tamadun manusia. Lebih besar dari segala perjuangan hari ini. Pun begitu, prinsip tetap prinsip. Baginda bertindak memastikan manusia menurut wahyu, bukan wahyu diputarbelitkan untuk kehendak manusia.
Dalam politik kita, amat sukar kita dapati seseorang mengakui kesilapan tindakan partinya, atau tindakannya. Berbagai alasan akan dicari demi membela dirinya atau puaknya, sekalipun dia sendiri sedar itu merupakan kesilapan atau kesalahan. Ada sanggup tergadai prinsip daripada tergadai kerusi atau jawatannya. Maka jadilah apa yang jadi. Maka kita lihat lahir suasana maki hamun, cerca mencerca dan berbagai tindakan yang kadang kala di luar dari batas kewarasan dan perbincangan yang matang.
Mengongkong
Islam bukan terlalu mengongkong politik. Politik satu bidang yang luas yang membabitkan kemaslahatan umat dan rakyat. Politik bukan satu hobi seperti main golf atau bola sepak. Politik mempertaruhkan kemaslahatan manusia. Maka tindakan dalam politik hendaklah tindakan yang membawa kemaslahatan kepada umat dan rakyat. Bukan untuk kepentingan diri dan parti.
Kemudian, perlu kita ingat, bukan semua yang berada di medan jihad itu mesti masuk syurga. Walaupun mungkin tindakannya itu kadang kala menguntungkan umat Islam, namun empunya diri jika tidak betul niat atau tindakan, atau keduanya, maka dia mungkin tidak mendapat balasan yang baik di sisi Allah sekalipun berjuang menggunakan nama Islam. Bahkan dalam hadis ada individu yang kelihatan hebat berjuang, tetapi menjadi ahli neraka. Kata Abu Hurairah r.a: "Kami menyertai Rasulullah saw dalam satu peperangan. Baginda berkata kepada seorang lelaki yang mendakwa Islam, "Dia dalam kalangan ahli neraka". Apabila peperangan berlaku, lelaki tersebut telah berperang dengan hebat dan tercedera. Lalu ditanya Rasulullah saw: "Engkau telah berkata dia dalam kalangan ahli neraka sedangkan dia berperang hari ini dengan hebatnya dan telah mati". Jawab baginda: "Ke neraka". Maka sesetengah pihak merasa keraguan. Dalam keadaan tersebut, tiba-tiba mereka dimaklumkan dia belum mati, tetapi tercedera parah. Apabila malam menjelang dia tidak dapat sabar atas kecederaannya, lalu membunuh diri. Lalu diberitahu perkara tersebut kepada Rasulullah saw, lantas baginda bersabda: "Allahu Akbar!, aku menyaksikan aku hamba Allah dan rasul-Nya!". Lalu baginda perintahkan Bilal agar mengistiharkan bahawa tidak akan masuk syurga melainkan "jiwa yang muslim" dan Allah mungkin menguatkan agamaNya dengan lelaki yang jahat". (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Dalam masyarakat kita, agama memang menjadi faktor penarik bagi banyak pihak. Justeru, setiap yang berjuang agama atau memperkatakan agama sebagai bahan ucapan dan tindakannya hendak bertanya diri sendiri, apakah dia memang inginkan agama, atau inginkan kuasa dengan nama agama?. Jika dia telah betulkan niatnya, dia hendaklah memastikan tindakan selaras dengan kehendak Islam, bukan menafsirkan Islam agar kelihatan selaras dengan tindakannya. Maka Islamkan politik kita, jangan politikkan Islam kita!


ARKIB : 24/05/2009

Jenayah ambil tempat makruf

Dari jauh saya membaca akhbar Malaysia merasa keadaan keamanan rakyat begitu menakutkan. Jenayah-jenayah berat berlaku di sana sini. Pembunuhan, rogol, rompakan, meragut dan berbagai lagi jenayah yang perit untuk membayangkannya. Seseorang dalam negara kita sentiasa dalam kerisauan atau ketakutan untuk berjalan bersendirian, atau membawa barangan berharga, atau memiliki harta mewah, sehingga menggalas beg di bahu boleh mengancam nyawa. Seseorang bukan sahaja merasa tidak selamat semasa di jalanan, bahkan merasa tidak selamat dalam rumahnya sendiri.
Rasa takut untuk membiarkan anak-anak bermain di hadapan rumah sendiri, apatah lagi keluar bermain bersama kawan-kawannya. Penjenayah di sana-sini dengan segala kekejamannya. Bahkan mereka juga mungkin dibela oleh peguam-peguam yang handal di mahkamah. Parti politik yang 'kehausan kuasa' juga mungkin mengambil kesempatan membela penjenayah, jika itu dilihat boleh dijadikan isu politik.
Hilanglah nikmat keamanan yang pernah kita kecapi dahulu. Juga mungkin Allah telah menarik balik rahmat keamanan-Nya. Ia adalah satu bala yang besar dalam kehidupan rakyat. Antara punca hal ini terjadi adalah kerana hilangnya penghayatan Al-Amr bi al-Ma'ruf Dan al-Nahy 'An al-Munkar iaitu menyuruh kepada yang baik dan mencegah mungkar (kejahatan). Tanggungjawab ini disebut oleh al-Quran dan al-Sunnah begitu banyak. Antaranya Allah menyebut: (maksudnya) Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka menjadi penolong bagi sebahagian yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang dari berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan Rasul-Nya, mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (Surah al-Taubah ayat 71). Perkataan mungkar sering disempitkan tafsirannya oleh pemikiran sesetengah kita kepada perkara-perkara seperti zina, minum arak, berjudi dan beberapa perkara lain yang 'sama spesis' dengan itu sahaja.
Maka sesiapa yang menyertai operasi mencegah hal-hal ini sahaja yang 'dirasakan' menunaikan tanggungjawab agama. Sementara kemungkaran lain seperti mengambil dadah secara salah, mencuri, merosakkan harta awam, memaki hamun orang, berlumba haram yang merbahayakan awam dan jenayah-jenayah lain dirasakan sebagai jenayah biasa yang tiada kaitan dengan agama. Maka tindakan mencegah kesalahan-kesalahan ini tidak dirasakan sebagai amalan soleh yang diperintahkan oleh agama. Ini mungkin antara keburukan penyempitan fungsi mahkamah syariah dalam negara kita.
Bercanggah
Hasilnya, jemaah masjid mungkin membuat operasi tangkap khalwat, kononnya sebagai kerja agama, tetapi membiarkan anak muda kampung yang sedang berkumpul menghisap dadah atau ganja atau merosakkan harta benda awam. Jika ada pihak pejabat agama yang pergi membuat 'operasi mengintip khalwat', dirasakan amalan soleh, walaupun itu bercanggah dengan ajaran Islam.
Sementara kerja pihak polis atau 'rukun tetangga' mencegah jenayah yang merosakkan masyarakat hanya dianggap sebagai tugasan biasa atau tanggungjawab sosial semata-mata, tidak pula dinilai sebagai tanggungjawab yang diperintahkan oleh Allah dan rasul-Nya. Kumpulan-kumpulan dakwah, atau organisasi Islami, atau ceramah agama pun banyak tertumpu kepada maksud mungkar yang tidak begitu luas seperti itu. Inilah antara kesempitan fahaman Islam yang berlaku secara tidak sedar. Jika kita hendak menyatakan kesan pemikiran sekular dalam masyarakat kita, inilah antaranya.
Kadang-kala apabila kita biarkan satu mungkar mengundang mungkar yang lain. Umpamanya, kita kurang peduli anak muda di kampung atau taman kita yang menghisap dadah. Mungkin kerana kita rasa itu tiada kena mengena dengan kita. Akhirnya, kerana ketagihan, mereka menjadi pencuri, bahkan pembunuh seperti baru-baru ini. Kita biarkan vandalisme apabila tiada kena mengena dengan harta kita, akhirnya negara rugi dan mungkin satu hari harta kita juga menjadi mangsa.
Kita tidak tegur atau bantah perbuatan 'rempit', akhirnya kita atau orang yang kita sayangi menjadi mangsa. Ibn 'Abbas ketika menafsirkan firman Allah Surah al-Anfal ayat 25 (maksudnya): Dan jagalah diri kamu daripada fitnah yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab hukumanNya berkata: (maksudnya) Allah memerintahkan orang mukmin agar tidak mengakui kemunkaran yang berlaku di kalangan mereka, nanti Allah akan mengenakan azab ke atas mereka keseluruhannya. (Al-Tabari, Tafsir al-Tabari: Taqrib wa Tahdhib, 4/59, Damsyik: Dar al-Qalam) Baginda Nabi saw pernah bersabda: Demi Tuhan yang jiwaku berada dalam tangan-Nya, hendaklah kamu menyuruh kepada yang makruf dan mencegah yang mungkar, atau nanti Allah akan menghantar azabnya ke atas kamu, kemudian kamu berdoa kepada-Nya dan Dia tidak memperkenankan lagi doa kamu (Riwayat al-Tirmizi, dinilai sahih oleh al-Albani). Untuk itu seseorang yang melihat mungkar hendaklah berusaha mencegahnya dengan kadar kemampuannya. Sabda Nabi SAW juga: Sesiapa di kalangan kamu yang melihat kemungkaran maka hendaklah dia ubah dengan tangannya, sekiranya tidak mampu maka dengan lidahnya, sekiranya tidak mampu maka dengan hatinya. Itu adalah selemah-lemah iman. (Riwayat Muslim).
Satu hakikat yang wajib diingati adalah fungsi utama sesebuah kerajaan itu menegakkan yang makruf dan mencegah yang mungkar. Ini seperti dalam Surah al-Hajj ayat 41: (maksudnya): Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan solat serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kemunkaran. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan. Jika sesebuah kerajaan gagal menegakkan yang makruf dan mencegah yang mungkar dalam ertikata yang luas dan menyeluruh, bererti kerajaan itu gagal berfungsi seperti yang Allah dan rasul-Nya kehendaki.
Justeru dicadangkan, dalam negara kita; kerajaan hendaklah berkempen mencegah jenayah dari perspektif amar makruf dan nahi mungkar yang ditegas oleh Islam. Operasi polis dan masyarakat hendaklah diajak masyarakat khususnya umat Islam melihatnya sebagai tanggungjawab mulia agama. Demi menunaikan maksud tolong menolong mencegah mungkar, rakyat dididik membantu polis atas kesedaran agama dan kerajaan menjaga kebajikan anggota polis agar mereka dapat berfungsi dengan baik adalah rangkaian tanggungjawab kerajaan dalam proses itu. Ini termasuk kenaikan gaji polis dan penambahan anggota mereka.
Terhakis
Perlu diingat, pencemaran nama baik polis juga menyebabkan perasaan gerun penjenayah kepada polis berkurangan. Hormat masyarakat juga terhakis. Maka, kerajaan hendaklah memastikan amanah pihak polis dan bebasnya mereka dari tekanan agenda mana-mana pihak. Demikian juga malanglah pihak polis jika disibukkan dengan kerenah 'orang-orang politik' itu dan ini sedangkan urusan jenayah dan keselamatan masyarakat sedang dalam keadaan getir. Buruklah sikap parti-parti politik jika sibuk dengan keselamatan kerusi masing-masing sehingga lupa untuk membincangkan keselamatan rakyat yang makin tergugat dengan peningkatan jenayah.
Satu perkara yang penting untuk kita sedar bahawa peningkatan jenayah adalah disebabkan para penjenayah tidak merasa gerun dengan pemerintah atau undang-undang yang ada. Hal ini kemungkinan disebabkan dua perkara; pertama, kerajaan atau penguasa undang-undang dilihat tidak kukuh sehingga mereka merasakan peluang untuk terlepas daripada hukuman itu luas.
Kedua, undang-undang yang ada belum cukup menggerunkan. Islam apabila menetapkan 'hudud' ia bersifat amat sukar untuk dijatuhkan, tetapi amat menggerunkan apabila dilaksanakan. Dalam erti kata lain, hanya yang benar-benar bersalah tanpa alasan sahaja yang akan dihukum dan hukuman itu pula benar-benar memberikan pengajaran kepada penjenayah dan yang berniat melakukannya. Ya, kaedah hukuman dan cara pelaksanaan mungkin boleh diubah berdasarkan perubahan zaman dan manusia. Namun, kerajaan mestilah kembali kepada ajaran Islam dalam menghadapi jenayah. Seminar dan perbincangan berdasarkan ajaran Islam dalam menghadapi jenayah mesti dilaksanakan secara serius. Ini adalah tanggungjawab 'menegakkan yang makruf dan mencegah yang mungkar' yang berada atas bahu kerajaan. Jika tidak, jenayah akan menguasai makruf dalam negara kita.


ARKIB : 17/05/2009

Ahli politik ‘pemurah pahala’

Ramai orang politik memang pemurah. Semua orang cakap begitu. Sifat pemurah orang politik mempunyai banyak makna. Mungkin kerana ingin menolong orang lain disebabkan mereka merasakan mereka itu pemimpin. Mungkin juga kerana ingin menjaga undi dan sokongan. Sehinggakan Ketua Dewan Ulama PAS pun mengeluh tentang ‘unsur rasuah politik’ dalam partinya.
Sama ada dinamakan rasuah atau apa sahaja; orang politik itukan pemurah?! Sekalipun mungkin ada maknanya yang tersendiri. Ya! Kuasa, pengaruh, nama, pangkat dan segala yang berkaitan dengannya bukan mudah hendak dilepaskan, juga bukan mudah untuk diubati jika sudah mabuk. Benarlah kata tokoh umat Islam yang terbilang al-Imam Sufyan al-Thauri (meninggal 161H): Aku tidak melihat paling kurangnya kezuhudan itu melainkan dalam perkara kepimpinan (kuasa). Engkau akan dapati seseorang yang zuhud dalam makanan, minuman, harta dan pakaian tetapi apabila tiba soal kuasa maka dia akan mempertahan dan bermusuhan kerananya (al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala, 7/262).
Namun ramai orang politik dan ‘tidak politik’ bukan sahaja murah duit atau ‘harta dunia’ tapi juga murah pahala. Dengan mudah sahaja mereka memberikan ‘pahala’ mereka kepada orang lain, atau dengan mudah rela menanggung dosa orang lain jika mereka tidak dapat memberikannya pahala. Nabi SAW pernah bertanya para sahabat baginda: “Tahukah kamu siapakah orang yang muflis?” Jawab mereka: “Orang yang muflis dalam kalangan kami ialah sesiapa yang tiada dirham dan tiada harta”. Sabda baginda: Orang yang muflis dalam umatku ialah sesiapa yang datang pada Hari Kiamat nanti bersama solat, puasa, zakat, juga dia pernah memaki seseorang, menuduh seseorang, memakan harta seseorang, menumpah darah seseorang dan memukul seseorang. Lalu diberikan kepada orang ini dan itu pahalanya. Jika pahala-pahalanya habis sebelum sempat dilangsaikan kesalahannya, maka diambil dosa-dosa mereka dicampakkan ke atasnya lantas dicampakkan dia ke dalam neraka (Riwayat Muslim).
Hadis ini amat menakutkan. Inilah hakikat muflis atau bankrap yang hakiki. Adapun muflis dalam kehidupan dunia mungkin boleh diselesaikan atau berakhir. Namun muflis jenis ini membawa kesan dalam kehidupan ‘alam abadi’. Ya, kita semua jarang yang terlepas dari kesalahan ini. Namun kita selalu berusaha dan ingin mengelaknya. Malangnya, dalam kehidupan sesetengah ahli politik yang tidak berteraskan wahyu kita ada dapati bagi mereka memaki hamun orang, menuduh orang tanpa bukti, memakan harta orang atau rakyat, menumpahkan darah orang sama ada mencedera atau membunuhnya tanpa sebab yang diizinkan syarak bagaikan ‘rukun politik’ yang wajib dan ‘haram’ ditinggalkan. Lebih buruk lagi jika itu semua dihalalkan atas berbagai alasan.
Mengkritik dan memberikan pandangan berbeza dalam politik adalah tidak mengapa. Bahkan merupakan satu keperluan. Jika membabitkan hak rakyat, maka rakyat perlu dibela. Apatah lagi dalam ‘reka bentuk’ politik demokrasi yang diamalkan. Namun, memaki-hamun, mencerca, sehingga ada yang mencarut adalah bertentangan dengan syarak. Lebih buruk lagi ada yang mengutuk sifat peribadi orang lain yang Allah ciptakan seperti mempersendakan ‘botak’, ‘hidung besar’, ‘mamak’ dan berbagai lagi. Makian, kutukan, sendaan itu dijadikan bahan ketawa yang ‘dikongsi dosa’ bersama pengikut dan penyokong. Jika ada tuduhan terhadap musuh politiknya, belum pun ada bukti atau sokongan bukti, terus sahaja diperkatakan secara ‘yakin tanpa syak’. Bersorak sorai pengikut meraikan ‘kemurahan pahala’ orang politik. Sementara membelasah harta orang dilakukan oleh banyak pihak yang tidak jujur dan amanah. Namun, dalam banyak keadaan ramai orang politik yang mempergunakan harta rakyat untuk kepentingan dirinya. Demikian sejarah juga menunjukkan penumpahan darah dan penyeksaan ke atas hamba-hamba Allah yang lain sering mempunyai hubungan dengan politik.
Buruk
Lebih buruk lagi, ada yang menghalalkan kesalahan-kesalahan tersebut atas alasan demi menegakkan kebenaran. Lalu dipetiklah kata-kata sarjana itu dan ini seperti al-Imam al-Ghazali dan al-Nawawi bagi menjustifikasikan perbuatan salah tersebut. Padahal jika dilihat kepada konteks huraian yang mereka sebutkan, bukan demikian maksudnya. Mana mungkin mereka menghalalkan maki-hamun, carut-marut atau menuduh tanpa bukti atas alasan untuk menegakkan kebenaran. Kebenaran apa jika begitu rupanya?! Peperangan mempertahankan agama yang dihalalkan Allah dan rasul-Nya pun, tidak dibenarkan kita melampaui batas, apakah kita boleh melampaui batas ketika berpolitik? Firman Allah: (maksudnya) Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas, sesungguhnya Allah tidak menyukai mereka yang melampaui batas. Namun orang politik yang berperang untuk kerusi mereka melampaui batas. (Surah al-Baqarah: ayat 190)
Saya masih teringat seorang penceramah politik tertentu, beliau juga terkenal dengan alunan zikir munajatnya. Semasa saya menjadi mufti, beliau berceramah atas pentas politiknya bersama dengan pendengarnya mengalunkan ‘istighfar dan zikirnya’. Habis sahaja ceramah beliau memaki hamun saya di atas pentas yang sama dengan menggelar saya ‘bapa syaitan’. Beliau mahu memancung saya dengan tuduhan saya akan menulis buku khas mengkritik partinya dan beberapa tuduhan lain yang tidak benar. Padahal buku tersebut tidak pernah muncul dan saya tiada cukup masa untuk itu. Saya hanya tersenyum sinis melihat rakaman tersebut dalam youtube. Saya juga mungkin berterima kasih atas sedekahnya itu untuk saya yang kekurangan pahala ini. Cuma saya begitu kagum; bagaimana politik boleh menukar watak manusia daripada berzikir kepada memaki hamun orang. Maka jangan hairan jika politik boleh menukar manusia menjadi pencerca, perompak harta, penyeksa bahkan pembunuh sekalipun. Ya, orang politik memang pemurah pahala.
Sikap tidak professional yang dilakukan oleh orang-orang politik seperti inilah yang membantutkan manfaat intelektual dan menyumbang kepada keretakan masyarakat. Malangnya, hal ini sering dilakukan oleh orang politik yang sedang berkuasa, juga yang ingin mendapatkan kuasa. Apa tidaknya, jika seseorang yang memberikan pandangan yang berbeza atau mengkritik dalam batasan yang wajar diambil tindakan, maka terbantut idea-idea yang baik. Juga, apabila tindakbalas itu diambil dalam bentuk maki hamun, atau kezaliman yang lain, maka retak dan bergeserlah masyarakat. Sebab itu, saya dapati dalam negara kita ramai intelektual takut, atau tidak dilatih untuk memberikan pandangan ‘ketiga’ atau yang berbeza dengan ‘kumpulan-kumpulan politik’ yang ada. Ini kerana, jika kumpulan atau badan politik itu mempunyai kuasa kita akan diambil tindakan secara kuasa. Jika mereka belum berkuasa, senjata cercaan, makian dan kutukan akan digunakan yang menyebabkan banyak pihak tidak mampu menanggungnya. Dengan itu, sifat murah pahala orang politik itu bukan sahaja untuk pesaing politik mereka, juga untuk sesiapa yang enggan akur kepada pandangan mereka, sekalipun tidak menyokong musuh mereka. Sehingga kadang-kala kita mungkin kecewa dan perit dengan sikap yang seperti itu. Namun Allah itu adil. Sabda Nabi SAW: Segala hak akan dibayar kepada empunya pada Hari Kiamat, sehinggakan akan dibalas untuk biri-biri yang bertanduk atas perbuatannya ke atas biri-biri yang tidak bertanduk (Riwayat Muslim).
Cumanya, jika kita semua; sama ada kita orang politik atau tidak, merenungi hadis ini dan yang sebelumnya, mungkin kita akan tidak pemurah pahala lagi, atau akan kurang pemurah. Ini kerana setiap kita memang sukar untuk mengawal tabiat ‘boros pahala’ ini, namun mengingati hadis ini akan membataskan kita. Sifat pemurah memang dianjurkan oleh Islam kerana ia boleh membantu orang lain juga mengeratkan hubungan antara kita. Namun, jangan pemurah pahala kerana ia merosakkan orang lain dan meretakkan hubungan antara kita.


ARKIB : 10/05/2009

Ulama atau profesional jadi pemimpin?


Pas panas memperdebatkan isu kepimpinannya sama ada patut dipegang oleh golongan 'ulama' atau profesional? Saya tidak berhasrat memberikan pandangan kerana itu urusan 'rumahtangga jiran' yang tiada keperluan untuk campur tangan. Namun apabila ramai orang bertanya saya dalam bentuk soalan yang lebih luas; Apakah menurut Islam hanya ulama sahaja yang boleh menjadi ketua negara? Jika itulah soalannya, saya rasa terpanggil untuk turut memberikan pandangan.
Saya masih ingat dalam satu temu bual akhbar Harakah, saya menjawab persoalan yang dikemukakan. Hampir semua yang saya jawab disiarkan, cuma beberapa jawapan tidak disiarkan. Antara jawapan saya yang tidak diterbitkan itu, saya menyebut: "Pemikiran politik Islam yang difahami oleh sesetengah pejuang negara Islam itu sendiri perlukan perubahan atau tajdid. Kita tidak boleh terikat dengan konsep Darul Islam yang tulis oleh al-Imam al-Mawardi r.h dalam al-Ahkam al-Sultaniyyah lagi. Barangkali banyak isi kandungan buku tersebut sesuai untuk zaman Kerajaan Abbasiyyah. Dengan menghormati ketokohan al-Imam Al-Mawardi r.h, namun beliau dalam banyak hal menggambarkan sistem kerajaan pada zamannya, sedangkan konsep pentadbiran dan politik dalam Islam jauh lebih fleksibel dan luas. Politik Islami tidak boleh lagi sekadar mengulangi apa yang disebut oleh al-Imam al-Mawardi r.h, nanti kita akan tersepit. Jika sesetengah tokoh agama yang memperjuangkan negara Islam tidak lebih terbuka, mereka akan menghadapi masalah atau bercakaran sesama sendiri apabila tiba ke peringkat perlaksanaan Islam itu dalam alam realiti. Akhirnya, kelompok pembaharuan akan muncul di tengah-tengah mereka dan pergeseran akan berlaku".
Al-Imam al-Mawardi r.h dalam tulisannya menyebut syarat seorang khalifah mestilah memiliki ilmu yang membolehkannya berijtihad menyelesaikan keadaan dan hukum. Al-Mawardi juga menyebut khalifah mestilah berketurunan Quraisy. Jika dilihat dari segi dalil, walaupun lojiknya ada, tetapi tiada nas yang mensyaratkan seseorang khalifah mesti mencapai ilmu ke peringkat ijtihad hukum. Tetapi, ada hadis sahih yang menyebut: Para imam itu daripada Quraisy (Riwayat Ahmad). Sehingga kata al-Mawardi: "Hendaklah imam (khalifah) itu berketurunan Quraisy disebabkan ada nas yang menyebutnya dan telah berlaku ijmak (consensus)". Ertinya, jika syarat al-Mawardi itu hendak dipegang, maka syarat Quraisylah yang mempunyai dalil hadis. Syarat lain hanyalah atas lojik yang kuat dalam urusan politik. Menariknya, di Malaysia belum ada yang bertanya: Apakah Perdana Menteri disyaratkan seorang yang berketurunan Quraisy?
Isu pemimpin negara mestilah ulama menjadi lebih rancak dibincang dalam dunia pemikiran apabila tercetusnya Revolusi Iran dan Khomeini memperkatakan tentang konsep wilayah al-Faqih yang meletakkan faqih atau ulama sebagai pemimpin. Konsep itu mempunyai akar umbi kefahaman Syiah tersendiri, walaupun ia juga didebatkan di kalangan mereka.
Gerakan-gerakan Islam yang wujud, sebahagiannya terpengaruh dengan perkembangan ini. Di samping, pengalaman menunjukkan ramai pemerintah negara yang 'bukan ulama' dalam kalangan umat Islam gagal berpegang dengan Islam, hingga ramai yang menyangka hendaklah ulama menjadi pemerintah. Padahal, penyelewengan yang berlaku dalam banyak keadaan bukan disebabkan latar pendidikan, tapi oleh prinsip kehidupan oleh individu pemerintah itu sendiri. Dalam erti kata lain, jika pemerintah itu bukan ulama sekalipun, tetapi jika dia ingin menjadikan negara berpegang dengan prinsip Islam, nescaya dia mampu melakukannya. Ini kerana, dia boleh mendapatkan khidmat ulama dan nasihat mereka. Betapa ramai pemerintah yang bukan saintis tetapi berjaya menyuburkan perkembangan sains dan teknologi dalam negara. Sebaliknya, jika pemerintah itu lulusan pengajian Islam sekalipun, tetapi tiada hasrat meletakkan keadilan seperti yang dituntut oleh Islam, maka maksud siasah islamiyyah tetap tidak akan tercapai.
Apa yang menjadi masalah kepada masyarakat kita siapakah ulama menurut kefahaman orang ramai? Apakah seseorang itu dianggap ulama hanya kerana dia berkelulusan pengajian Islam? Atau kerana dia memakai jubah dan serban? Atau kerana dia dipanggil 'ustaz'? Perkataan ulama berasal dari 'ilmu'. Bermaksud seseorang yang menguasai ilmu. Jika ia dikaitkan dengan pengajian Islam membawa maksud seseorang yang menguasai ilmu dalam bidang pengajian Islam. Bidang pengajian Islam itu pula luas. Apakah jika seseorang yang hanya menguasai satu bidang sahaja sedangkan tidak kemahiran dalam siasah atau politik, layak digelar ulama yang boleh memerintah? Al-Imam al-Mawardi sendiri meletakkan salah satu dari tujuh syarat khalifah mempunyai pemikiran yang memampukannya menguruskan politik dan kemaslahatan rakyat jelata. Jika dia bergelar ulama, tetapi 'kontang' dalam soal ini, dia tidak layak.
Saya berpendapat perbahasan; sama ada ulama atau profesional yang layak menjadi ketua negara hanya membazirkan waktu. Apa yang penting kita hendaklah jelas; Apakah yang kita kehendaki daripada pemerintahan dan politik? Yang menjadi tanggungjawab politik islami adalah keadilan dan kesejahteraan yang berdasarkan petunjuk wahyu. Dalam melaksanakan maksud ini, hasrat seseorang pemerintah yang dibantu oleh ilmu pengetahuan adalah penting. Jika dia ulama yang mahir dalam politik serta mempunyai ketangkasan siasah, tentulah itu yang terbaik. Jika dia seorang ahli politik yang mahir sekalipun tidak ulama, dia boleh dibantu oleh para ulama yang mendokong hasratnya. Apa yang menjadi masalah adalah jika seseorang jahil atau tidak mahir pentadbiran dan siasah tetapi ingin memerintah. Sekalipun dia memakai gelaran 'ulama' ataupun profesional. Justeru itu, Nabi SAW bersabda kepada sahabah baginda yang soleh dan warak Abu Zar al-Ghifari : "Wahai Abu Zar, Sesungguhnya engkau ini lemah, sedangkan jawatan itu adalah amanah. Ia pada hari akhirat nanti adalah kerugian dan penyesalan, kecuali sesiapa yang mengambilnya dengan kelayakan dan menunaikan apa yang menjadi tuntutannya." (Riwayat Muslim). Namun Khalid bin al-Walid r.a. sekalipun Nabi SAW pernah menegur beberapa tindakannya yang melanggar disiplin peperangan yang digariskan oleh baginda, tetap baginda pilih mengepalai tentera Islam dan menggelarnya sebagai pedang Allah. Ini kerana kemampuan yang dimiliki Khalid tidak dimiliki oleh sahabat-sahabat lain, sekalipun mereka lebih berilmu dan dekat dengan Nabi SAW. Al-Imam Ibn Taimiyyah dalam Al-Siyasah al-Syar'iyyah fi Islah al-Ra'iy wa al-Ra'iyyah menyebut: "Apabila dua orang, salah seorangnya lebih amanah dan seorang lagi lebih kuat (mampu) maka hendaklah didahulukan yang lebih bermanfaat untuk jawatan berkenaan dan paling kurang mudaratnya bagi jawatan tersebut. Maka dalam mengepalai peperangan, yang kuat dan berani - walaupun padanya ada kejahatan- diutamakan dari lelaki yang lemah dan tidak berkemampuan walaupun dia seorang yang amanah.
Maka tanggungjawab umat Islam sekarang bukan membincangkan 'ulama' atau 'profesional' yang layak memerintah, tetapi melihat tanggungjawab jawatan tersebut dalam kerangka politik hari ini dan siapakah yang paling sesuai atau paling berkesan dalam mencapai matlamat sebuah negara yang adil dan dirahmati Allah.
Isunya bukan isu gelaran, atau jenis pakaian, tetapi isu amanah dan kemampuan dalam mentadbir dan menguruskan kehidupan rakyat.


ARKIB : 03/05/2009

Jiwa ‘kehambaan’ Melayu menghalang pembaharuan

Dalam semangat sesetengah pihak untuk menegakkan ‘kedaulatan Melayu’ maka pelbagai slogan kemelayuan dikeluarkan. Ada yang kata kita berbangga menjadi Melayu sebab kaum asal di Nusantara ini. Ada yang kata kita berbangga menjadi Melayu kerana sejarah kesultanan dan kepahlawanan Melayu. Apatah lagi ketika dunia hanya tinggal beberapa belas raja, sembilan daripadanya dimiliki oleh orang Melayu. Ada yang kata orang Melayu itu istimewa disebabkan adat dan budaya. Namun bagi saya, kemuliaan orang Melayu yang sebenar dan kekal kerana mereka menganut Islam. Mereka tidak kekal mulia dengan adat atau kesultanan atau budaya atau apa saja, mereka akan kekal mulia kerana akidah Islam dan jika mereka berpegang kuat dengan Islam. Hari ini budaya dan bahasa Melayu sudah banyak yang dilupakan, sejarah kesultanan atau kepahlawanan Melayu pun banyak perkara yang wajar dinilai semula. Adapun Islam, ia agama Allah yang sejagat, bukan hanya khusus di alam Melayu atau hanya untuk orang Melayu. Keberkatan dan kemuliaan akan dikurniakan kepada sesiapa yang berpegang dengannya sekalipun tanpa sejarah bangsa dan raja. Firman Allah: Ketahuilah! Sesungguhnya wali-wali Allah, tidak ada kebimbangan sesuatu menimpa mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita. (mereka itu) orang-orang yang beriman serta mereka pula sentiasa bertaqwa. Untuk mereka kegembiraan dalam kehidupan dunia dan akhirat; tidak ada sebarang perubahan pada kalimat-kalimat Allah (janji-janji-Nya), yang demikian itulah kejayaan yang besar. Dan janganlah engkau (Wahai Muhammad) didukacitakan oleh kata-kata mereka (yang menentang); kerana sesungguhnya segala kemuliaan bagi Allah; Dialah Yang Maha Mendengar, lagi Yang Maha mengetahui. (Surah Yunus: 62-65).
Jikalah kepahlawanan Melayu hendak dijadikan teladan, saya fikir banyak perkara yang perlu ditapis. Hang Tuah yang kononnya hidup pada zaman kegemilangan Kesultanan Melaka tentu tidak relevan lagi di zaman kita untuk dianggap wira dan teladan. Wataknya itu mungkin sesuai untuk masyarakat yang berpegang kepada feudalisme yang taat patuh kepada golongan bangsawan secara membuta tuli.
Cerita tindakan Hang Tuah membawa lari Tun Teja dari Pahang untuk memenuhi ‘selera’ Sultan Melaka ketika itu, bukanlah tindakan terpuji. Ia salah dari segi nilai kesopanan, apatah lagi dari sudut ajaran Islam. Namun, masyarakat Melayu ketika itu barangkali dapat menerimanya disebabkan kehendak ‘sultan’ atau ‘raja’ itu mengatasi segala-galanya. Bahkan sultan atau raja bagi mereka mengatasi undang-undang dan peraturan. Dalam sejarah, bahasa dan adat yang digunakan oleh orang Melayu di hadapan sultan atau raja menggambarkan sikap berlebih-lebihan dalam memuja raja serta menghina atau ‘menghambakan’ rakyat. Ia sudah pasti tidak serasi dengan roh ajaran Islam yang membebaskan manusia dari perhambaan sesama manusia atau makhluk, kepada mengabdikan diri hanya kepada Allah. Dalam sejarah atau ‘legenda’ kesultanan Melayu juga, bukan sedikit tindakan sultan atau raja Melayu yang amat menyanggah keadilan, tidak masuk akal, sekali gus bercanggah dengan Islam. Orang Melayu dalam banyak keadaan mendiamkan diri dan berkata: “Kita rakyat, baginda raja”. Falsafah raja adalah ‘jelmaan tuhan’ yang dianuti oleh sesetengah agama, walaupun tidak disebut dalam masyarakat Melayu, namun ia menjelma dalam penghayatan. Sehingga perkataan ‘daulat raja’ difahami sesetengah masyarakat bahawa tuhan menurunkan bencana kepada sesiapa yang tidak menghormati raja. Bahkan adat-istiadat istana itu sendiri seperti cara ‘menghadap atau menyembah duli’ bukan berasal dari ajaran Islam. Walaupun Islam masuk ke dalam istana dan masyarakat Melayu, tetapi berhubung dengan adat keistanaan, banyak yang belum berjaya diislamisasikan.
Tidak dinafikan golongan agama, ada yang berjaya menasihati sesetengah raja Melayu. Terdapat juga sultan Melayu yang berpegang dengan Islam dan disanjungi kebaikan dan keadilan mereka. Namun, dalam banyak keadaan jiwa feudalistik Melayu menghalang atau melambatkan proses mengislamisasikan pemikiran Melayu berhubung dengan raja. Anasir itu ada yang berlarutan sehinggalah ke zaman moden ini. Tokoh-tokoh politik Melayu sama ada pro-Islam atau apa saja, bagaimana ‘sakan’ pun mereka mengkritik kerajaan; dari segi belanjawan, pembaziran, tindak-tanduk, pembahagian projek, kepatuhan kepada undang-undang dan agama dan hal lain, apakah mereka sanggup bertanya hal yang sama jika dikaitkan dengan ‘istana’. Jawapan sudah pasti tidak atau amat sedikit, walaupun memang banyak bisikan dalam senyap. Sehingga saya berjumpa sesetengah orang yang mengharamkan ‘yoga’ atas alasan kerana ada unsur agama lain antaranya merapatkan kedua belah tangan seperti ‘menyembah berhala’. Saya bertanya: “Tidakkah perbuatan yang sama dilakukan dalam istiadat Melayu menghadap raja?”. Dia menjawab: “Oh itu lain, saya tidak mahu masuk campur”.
Tulisan ini bukan menghina sejarah istana atau raja. Apa yang hendak ditegaskan kemuliaan kita apabila kita berpegang dengan Islam. Tiada masalah dengan istana atau kesultanan Melayu. Saya hanya menyebut latar masyarakat kita. Institusi ini boleh dikekalkan. Namun, proses pembaharuan minda berkaitan istana masih diperlukan. Apatah lagi istana dianggap memayungi Islam. Banyak institusi Islam di bawah istana. Tiada penguasa yang tidak boleh dinilai dan ditegur untuk kebaikan diri mereka dan rakyat. Seperti mana kerajaan ditegur dan dikritik, demikian juga raja dan sultan. Jika ia hal peribadi, ditegur secara tertutup dan peribadi. Jika ia hak atau isu awam, orang awam dan rakyat berhak menuntutnya. Saya menyebut hal ini demi kebaikan institusi kesultanan itu sendiri, agar berkesinambungannya secara mulia dan dihormati rakyat. Dalam rekod Melayu moden, orang Melayu banyak mempertahankan institusi kesultanan mereka, walaupun tidak banyak keadaan yang menunjukkan sebaliknya. Adapun saya, tidaklah bersetuju dengan kata-kata Hang Jebat: “Raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah”. Saya tidak bersetuju dengan perkataan ‘sembah’ yang disebut oleh Hang Jebat, sebab saya tidak menyembah raja. Saya kata: “Raja adil raja ditaati, raja zalim raja dibantah atau dinasihati”. Tiada beza antara rakyat dan raja atau menteri atau bangsawan mana sekalipun di hadapan keadilan dan hak. Islam tidak pernah mengajar jiwa feudalistik yang meletakkan bagi bangsawan hukuman berbeza dengan rakyat. Rasulullah SAW menyebut: “Sesungguhnya binasa orang yang terdahulu daripada kamu kerana mereka itu apabila seorang bangsawan dalam kalangan mereka mencuri, dia dibiarkan. Apabila seorang yang lemah dalam kalangan mereka mencuri, dilaksanakan hukum ke atasnya. Demi Allah! Jika Fatimah anak Muhammad (puteri Rasulullah) itu mencuri, nescaya ku potong tangannya” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Saya seorang Muslim, saya juga seorang Melayu. Saya tidak nafikan orang Melayu dan kesultanan kita ada keistimewaan yang tersendiri. Namun, saya percaya jika kita berbicara soal sejarah bangsa, setiap bangsa ada sejarah mereka. Jika soal budaya dan adat, setiap bangsa memilikinya. Jika soal bahasa dan sastera, setiap bangsa ada latar mereka. Namun jika kita berbicara rahmat Allah yang menunjukkan Islam kepada orang Melayu, ia adalah sesuatu yang istimewa. Ia membolehkan Melayu itu bergabung dengan sejarah hidayah dan alam yang merentasi segala rupa bangsa dan budaya. Ia menjadikan kita bersaudara dengan pelbagai bangsa di dunia atas kalimah Allah dan menjadikan kita merasai sejarah kegemilangan Islam sebahagian dari sejarah kita bersama. Cuma yang tinggal, sejauh manakah kita berjaya melayari bahtera keagungan Islam pada zaman yang mencabar ini? Zaman sudah berubah. Minda dan cara fikir generasi baru juga sudah berbeza. Sejarah juga akan berubah. Sesiapa yang enggan berubah, mungkin dia diubah.
DR. Mohd Asri ZainUl Abidin ialah bekas mufti perlis dan kini pensyarah pengajian islam, universiti sains Malaysia (usm) yang sedang sabatikal di Britain. laman web: drmaza.com. E-mel:
moasriza@yahoo.com.


ARKIB : 26/04/2009

Bahaya demokrasi tanpa prinsip wahyu

DEMOKRASI itu hampir menjadi agama kepada sesetengah pihak. Bahkan ada pihak yang meletakkan demokrasi lebih tinggi daripada prinsip-prinsip yang ada dalam agamanya. Sehingga jika kita menyebut bahawa tindakannya itu bercanggah dengan prinsip agama, dia akan menyatakan “saya kena patuh kepada kehendak demokrasi”. Walaupun sebenarnya demokrasi dalam banyak keadaan mempunyai tafsiran yang berbagai, tetapi jika semuanya itu dirumuskan ia merujuk kepada kepatuhan pemerintah kepada kuasa atau suara majoriti rakyat. Di samping demokrasi juga menyebut tentang menghormati hak-hak minoriti. ‘Kerajaan rakyat, untuk rakyat dan kepada rakyat’, demikian antara slogan-slogan demokrasi yang dianggap indah. Tanpa sebarang syak demokrasi adalah sistem pemerintahan yang terbaik dibandingkan pemerintah autokrasi yang menjadikan kuasa berada di tangan seorang individu tanpa mempedulikan perasaan dan kehendak rakyat.
Di negara-negara yang dicengkami oleh pemerintahan ‘kuku besi’, demokrasi menjadi igauan rakyatnya. Mereka memuja demokrasi sebagaimana seseorang memuja agama. Bahkan mereka sanggup dipenjara atau mati kerananya. Walaupun dalam ajaran demokrasi tiada bab syurga atau neraka selepas kematian, tetapi kehendak insani terhadap kebebasan rakyat dan keadilan yang kelihatan selaras dengan slogan yang dikibarkan oleh bendera demokrasi membawa manusia sanggup berkorban kerananya. Betapa ramai para pejuang demokrasi yang terkorban tanpa sempat melihat ‘suara majoriti’ menguasai negaranya. Betapa ramai yang mati dalam tahanan tanpa sempat melihat ‘kerajaan rakyat’ yang diidamkannya. Namun, tanpa berbekalkan nas-nas tentang ‘jihad dan syahid’, mereka sanggup dan rela. Sebabnya, keadilan itu selaras dengan naluri insani yang dibekalkan oleh Tuhan dalam fitrah insan. Demokrasi kelihatan menempatkan fitrah ini dalam sistemnya.
Namun dalam dunia Islam sepatutnya tidak perlu mengagungkan demokrasi. Umat Islam telah dibekalkan oleh Islam dengan sistem syura yang adil dan berteraskan prinsip yang diredai Allah. Malangnya para pemerintah Dunia Islam meminggirkan ‘Sistem Syura’ sehingga umat Islam jahil mengenainya, dalam masa yang sama slogan demokrasi yang dilaungkan Barat berkumandang di dunia. Melaluinya, Barat cuba menyebarkan pengaruh politik. Maka slogan demokrasi pun bergema di Dunia Islam sebagai satu impian rakyat. Apatah lagi para pemerintah Dunia Islam ramai yang zalim dan kejam, maka bertambah suburlah kerinduan rakyat di Dunia Islam kepada kebebasan bersuara, hak dan keadilan, lalu dipinjam slogan yang Barat gunakan iaitu demokrasi. Lebih daripada itu, Barat berjaya membuktikan secara realitinya bagaimana kebebasan bersuara dan penghormatan kepada suara ramai dihayati dalam negara mereka. Maka Barat seakan menjadi ‘Kiblat Politik’ dalam mengecapi hak dan kebebasan. Akhirnya Barat itu dianggap teladan dalam segala perkara yang negatif dan positif; sehingga kepada soalan yang berkaitan agama dan budaya. Ini semua berlaku dek kedurjanaan para pemerintah umat Islam itu sendiri yang merampas kebebasan rakyat sehingga mereka hilang panduan.
Ada yang menyebut bahawa ‘syura dan demokrasi’ namanya sahaja yang berbeza, tetapi maksudnya sama. Saya tidak mahu berbalah tentang istilah, kerana setiap orang berhak mempunyai kefahamannya yang tersendiri terhadap istilah yang dia pakai. Apa yang penting apakah prinsip yang dipegang, bukan jenama yang dipakai. Prinsip-prinsip syura tulen berteraskan nas-nas wahyu, sementara prinsip-prinsip demokrasi berdasarkan pemikiran manusia. Walaupun mungkin banyak perkara secara umumnya demokrasi tidak bercanggah dengan Islam kerana asas pemerintahan dalam Islam itu sendiri adalah keadilan untuk rakyat berpandukan syariat Islami.
Dipatuhi
Namun ada perbezaan antara demokrasi dan prinsip syura dalam Islam. Dalam sistem syura Islam; suara ramai dihormati, demikian hak individu rakyat juga dipelihara. Dalam masa yang sama Islam mempunyai prinsip-prinsip yang perlu dipatuhi iaitu syariat Islam yang diturunkan Allah untuk kebaikan manusia. Jika suara ramai itu bercanggah dengan syariat Allah, sistem syura akan berpegang kepada syariat dan tidak akan menghalalkan yang haram atas nama ‘suara ramai’. Misalnya, jika kehendak rakyat ‘menghalalkan arak atau judi, atau zina, atau homoseksual maka kerajaan yang berteraskan demokrasi perlu menghormatinya. Sementara dalam sistem syura, pemerintah berpegang kepada wahyu; maka kehendak ramai yang bercanggah dengan wahyu tidak dapat diterima. Bahkan menjadi tanggungjawab pemerintah mendidik rakyat dengan ajaran Allah agar mereka terbimbing dan dapat membezakan antara yang baik dan yang buruk. Suara ramai memang dihormati tetapi ia bukan semestinya sentiasa betul. Jika suara ramai ingin menghalal yang salah, kita tidak bersetuju dengannya. Firman Allah: (maksudnya): Dan jika engkau menurut kebanyakan orang yang ada di muka bumi, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah; tiadalah yang mereka turut melainkan sangkaan semata-mata, dan mereka tidak lain hanyalah berdusta. Sesungguhnya Tuhanmu, Dia lah Yang lebih mengetahui siapa yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah Yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat petunjuk. (surah al-An‘am: 116-117)
Di peti undi pilihanraya, undi seorang ilmuwan besar yang sarat dengan analisa dan kajian tiada beza nilainya dengan undi seorang yang tiada pelajaran dan mengundi secara suka-suka tanpa fikir. Jika masyarakat dipenuhi oleh majoriti mereka yang mahu perkara-perkara negatif, demokrasi terpaksa menerima sedangkan sistem syura tidak. Bahkan tanggungjawab pemerintah ketika itu melaksanakan apa yang Allah sebut: (maksudnya): Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan solat serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kemungkaran. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan. (Surah al-Hajj: 41).
Pemerintahan berjiwa ‘syura islami’ akan menerapkan hubungan perasaan dengan Allah yang memberikan amanah kuasa pemerintahan kepadanya untuk memerintah dengan adil. Pegangan pemerintah adalah Islam dan keadilannya untuk rakyat. Bukan pemerintah berpegang kepada rakyat dan cuba memberi keputusan kepada agama. Politik demokrasi jika tidak dikawal akan menempatkan suara ramai menggantikan wahyu. Siang malam yang diimpikan oleh pemerintah adalah undi rakyat bagi memungkin mereka terus berkuasa kerana kuasa dilihat sebagai amanah rakyat semata, bukan amanah Allah. Demikian pihak pembangkang yang partinya beriman penuh kepada prinsip demokrasi akan melakukan apa sahaja demi mendapat sokongan rakyat. Akhirnya lahirlah politik wang, jatuh-menjatuh demi mendapatkan undi, menggadaikan prinsip perjuangan kerana undi dan berbagai lagi. Sehingga yang berslogan Islam pun, menukar pegangan demi pengundi atau berdiam diri terhadap kemungkaran pengundinya. Di Malaysia, kita akan melihat satu demi satu prinsip-prinsip Islam terpinggir dalam kegilaan mendapatkan sokongan rakyat atau memenangi peti. Pihak yang memakai jenama ‘Islam’ juga akan mendiamkan diri, jika dilihat membela prinsip-prinsip itu merugikan undi mereka. Itulah buruknya demokrasi yang berteraskan suara rakyat, tanpa berpaksikan wahyu.
Saya tidak bertujuan mencadangkan agar ditukarkan nama demokrasi kepada syura. Apa yang ingin saya sebut, sebagai seorang muslim apa pun sistem yang diguna namanya, atau terpaksa kita berinteraksi dengannya, kita hendaklah sentiasa berpaksikan wahyu. Perlu ada acuan prinsip kita yang tersendiri. Jika pun tidak mampu menukar, nama demokrasi itu mungkin boleh dipakai, tetapi prinsip seorang muslim hendaklah sistem syura yang berasaskan tanggungjawab pemerintah di hadapan Allah. Jika tidak, demokrasi akan mengorbankan prinsip Islam dan menjadikan pemerintah dan pembangkang hilang idealisme tenggelam dalam kehendak ramai yang pada hari dipengaruhi berbagai-bagai kehendak globalisasi. Hingga pemerintah dan pembangkang itu akhirnya mengikut kehendak rakyat bukan mendidik dan membimbing rakyat. Maka rosaklah negara.
DR. Mohd Asri ZainUl Abidin ialah bekas mufti perlis dan kini pensyarah pengajian islam, universiti sains Malaysia (usm) yang sedang sabatikal di Britain.
laman web: drmaza.com.
E-mel: moasriza@yahoo.com.


ARKIB : 19/04/2009

Antara kehendak kerohanian dan tarekat


Apabila masyarakat manusia menjadi berselerak, kelam kabut, porak peranda, kekontangan jiwa, keruntuhan nilai akhlak dan budi, sedangkan penyelesaian yang memuaskan tidak dapat ditemui, ketika seperti itu kita akan melihat bagaimana sebahagian manusia akan mula mencari agama sebagai jalan keluar. Jika pun tidak untuk merungkaikan masalah itu secara keseluruhan, sekurang-kurangnya untuk menyelesaikan keresahan atau keserabutan yang ada dalam jiwa seseorang. Tidak mustahil di peringkat yang seperti ini, ajaran-ajaran kerohanian yang menawarkan 'kempen-kempen ajaib' akan mendapat perhatian sesetengah golongan.
Tarekat-tarekat yang mempunyai cerita-cerita ajaib dan pelik akan mula diminati oleh sesetengah pihak sebagai satu penyelesaian ekstrem yang kononnya dapat membuka kehidupan baru penuh cerita-cerita sakti.
Kita akan melihat banyak pihak akan mengambil kesempatan atas 'kehausan rohani' masyarakat. Ada yang bertujuan menyebarkan ajaran sesatnya, ada juga pula yang bertujuan untuk mengumpulkan kekayaan atau kuasa.
Hal seperti ini sering berlaku ketika kemelut sosial melanda masyarakat Islam termasuk semasa zaman 'Abbasiah. Ia juga akan berlaku dalam negara kita.
Saya ingin menyentuh tajuk ini kerana banyak pihak mula bertanya tentang banyak cerita-cerita tarekat yang mula muncul dalam masyarakat kita.
Saya ingin mengingatkan pembaca tentang satu hakikat yang penting bahawa Islam itu ditegakkan atas prinsip-prinsip akidah yang jelas. Paksi akidah Islam terkandung dalam al-Quran dan Sunah.
Apa-apa pengalaman kerohanian yang tidak berasas akidah Islam adalah tertolak. Siapa pun syeikh, besar mana pun serbannya, sepetah mana pun dia, apa pun tafsirannya tentang kerohanian, namun jika ia bercanggah dengan nas-nas al-Quran dan al-Sunnah, maka ia tertolak.
Agama-agama lain juga ada pengalaman kerohanian mereka, namun itu semua tidak dijadikan sukatan dalam ajaran Islam untuk menentukan ketepatan ajaran.
Pengalaman kerohanian itu diterima jika tidak bercanggah dengan wahyu yang diturunkan. Rasulullah saw ialah guru kerohanian yang agung dan utama, mengatasi segala tokoh dan syeikh tarekat. Jika ajaran kerohanian itu tidak sama dengan ajaran Rasulullah SAW maka itu bukan jalan hidayah yang diimani oleh seorang Muslim.
Ya, kita akur persoalan kerohanian dan penyucian jiwa adalah perkara yang penting dan ada dalam ajaran Islam yang bersumberkan al-Quran dan al-Sunnah yang sahih.
Tepat
Usaha untuk membersihkan diri itu mestilah dengan panduan kedua sumber tersebut secara tepat. Tanpa tarekat tertentu, apa yang ada dalam al-Kitab dan al-Sunah sudah memadai bagi setiap muslim. Bukanlah bererti bahawa seseorang jika tidak menyertai tarekat bererti dia tidak akan dapat membersihkan diri.
Sebaliknya, sekiranya seseorang berpegang dengan ajaran Nabi SAW dia akan menemui semua penawar untuk jiwa. Nas-nas al-Quran dan al-Sunnah begitu banyak berhubung dengan tazkiah al-Nafs (penyucian jiwa) .
Ahlus Sunnah wal Jama'ah berpegang bahawa jalan untuk membersih telah pun ditunjukkan dengan jelas oleh baginda SAW Itulah tonggak kerohanian. Bahkan mana-mana jalan (tarekat) kerohanian yang bercanggah dengan jalan Rasul saw adalah ditolak, seperti yang dinyatakan sebelum ini. Seorang tokoh ilmuwan Islam terkenal Dr. 'Abd al-Karim Zaidan dalam buku yang masyhur Usul al-Da'wah menyebut: "Amalan soleh adalah apa yang sahih dan ikhlas kepada Allah.
Apa yang sahih itu adalah yang menepati syarak, maka membuat bid'ah dalam agama dengan menambah atau mengurangkannya adalah sesuatu yang tidak dibolehkan dan tiada pahala bagi pengamalnya sekalipun dengan niat beribadah kepada Allah.
Bidaah itu lebih buruk daripada maksiat. Ini kerana bidaah itu mengubah agama serta menghukum dan mentohmah syarak sebagai cacat, berhajatkan kepada penyempurnaan, pengurangan dan mengubahkan.
Ini adalah perkara yang sangat besar yang tidak boleh kita beriktikad atau beramal dengannya. Untuk itu al-Rasul SAW memberi amaran mengenai bid'ah, sabdanya: Jauhilah kamu perkara-perkara yang diada-adakan dalam agama, kerana setiap yang diada-adakan itu bid'ah, dan setiap yang bid'ah di dalam neraka (sahih: riwayat Abu Daud).
Maka segala kebaikan apa yang bawa oleh syarak dan berpada dengannya. (m.s. 41, Beirut: Muassasah al-Risalah).
Perkara kedua yang patut kita sedar, bahawa sebahagian ajaran tasawuf dan tarikat dipengaruhi oleh anasir-anasir luar daripada Islam, seperti unsur-unsur ajaran Kristian, Hindu, Parsi, Yunan dan lain-lain.
Kata Dr. Yusuf al-Qaradawi: "Para pengkaji tidak boleh membantah bahawa tasawuf telah terpengaruh -pada tahap tertentu- unsur-unsur asing, samada anasir Kristian, Hindu, Parsi atau Yunan, juga unsur-unsur Islam.
Dalam tempoh masa sekian lama, telah masuk ke dalam tasawuf pemikiran yang pelik daripada sumber-sumber yang disebutkan tadi atau selainnya. Sehinggakan sebahagian tasawwuf sampai ke peringkat percaya kepada al-hulul, atau al-ittihad, atau wahdatul wujud.
Sebahagian mereka pula bercakap mengenai qidam nur Muhammad atau yang mereka namakan al-hakikat al-Muhammadiyyah (hakikat Muhammad). Juga mereka bercakap mengenai kewalian, para wali, kasyaf, mawajid, zauq dan berhukum dengan perkara-perkara tersebut dalam nas-nas agama.
Mereka memisahkan hakikat dan syariat, berpegang bahawa dalam mendidik murid tasawuf hendaklah dia di hadapan gurunya bagaikan mayat di hadapan orang yang memandikannya. Mereka melampaui batas dalam zuhud dan apa yang berkaitan dengannya sehingga ke peringkat terkeluar dari kesederhanaan Islam kepada kerahiban Kristian". (Dr. Yusuf al-Qaradawi, Thaqafah al-Da'iyah, m.s. 94-95, Beirut: Muassasah al-Risalah)
Saya menimbulkan hal ini, bukan bertujuan mematahkan semangat mereka yang ingin membersihkan diri. Saya menimbulkannya untuk kita berhati-hati. Jangan sampai ada pihak yang tersangkut dengan ajaran yang memisahkan antara hakikat dan syariat, atau dalam erti kata lain menganggap kerohanian yang mereka pelajari tidak lagi bergantung kepada al-Quran dan al-Sunnah.
Tersasul
Dalam kehendak ingin mendekati Allah, janganlah kita tersasul sehingga terjun ke lembah falsafah kerohanian yang mengeluarkan pemikiran dan cerita-cerita yang pelik, yang akhirnya bukan membawa insan mendekatkan diri kepada al-Quran dan al-Sunnah, sebaliknya 'seronok sendiri' dengan bahasa dan istilah yang dia anggap orang lain tidak tahu.
Bak kata tokoh ilmuwan besar al-Syeikh Munna' al-Qattan ketika memperkatakan tentang tafsir golongan sufi: "Tasawuf telah bertukar menjadi falsafah andaian semata-mata, yang tiada lagi hubungan dengan warak, taqwa dan kezuhudan. Falsafah ini mengandungi pemikiran-pemikiran yang bercanggah dengan Islam dan akidahnya". (Manna' al-Qattan, Mabahith Fi 'Ulum al-Quran, m.s. 356, Riyadh: Maktabah al-Ma'arif).
Dalam dunia umat Islam berbagai ajaran kerohanian atau tarekat wujud. Hingga ada yang salah faham, sehingga menganggap tarekat sufi yang memakai 'skirt' berpusing berjam-jam tanpa henti dalam keadaan khayal seperti di Turki, itulah kerohanian Islam. Sama sekali tidak.
Kita berpegang apa yang al-Imam al-Syatibi (w. 790H) kata: "Golongan sufi juga sama seperti orang lain yang tidak maksum (terpelihara daripada dosa). Adalah mungkin untuk mereka silap, lupa dan bermaksiat sama ada dosa kecil atau besar.
Justeru itu para ulama menyatakan: setiap percakapan boleh diambil atau ditinggalkan, kecuali percakapan Nabi SAW sepertimana kemungkinan untuk selain golongan sufi melakukan maksiat dan bid'ah, demikian mereka (ahli sufi).
Maka wajib bagi kita untuk mengikut orang yang terhalang dari silap (maksudnya Rasullullah SAW) dan berhenti daripada mengikut sesiapa yang tidak terhalang daripada silap apabila melihat pada ikutan tersebut kekeliruan.
Bahkan kita bentangkan apa yang datang daripada para imam kepada al-Kitab dan al-Sunnah. Apa yang keduanya (al-Quran dan al-Sunnah) terima, maka kita terima, dan apa yang kedua tidak terima kita tinggalkannya.
Kita hanya diwajibkan mengikut syarak dan kita tidak pula diwajibkan mengikut perkataan dan perbuatan golongan sufi, melainkan setelah dibentangkannya" (kepada al-Quran dan al-Sunnah). (Al-Syatibi, Al-'Itisam m.s 165, Beirut Dar al-Kitab al-'Arabi, Beirut).
DR. Mohd Asri ZainUl Abidin ialah bekas mufti perlis dan kini pensyarah pengajian islam, universiti sains Malaysia (usm) yang sedang sabatikal di Britain.


 ARKIB : 12/04/2009

Mengapa rakyat tidak puas hati?

Ketika saya menulis artikel ini, saya sekali lagi dalam perjalanan ke Prague, Republik Czech. Kali ini saya akan bertemu dengan sejumlah besar bakal doktor perubatan negara kita. Minggu lepas saya di Doha dan Dubai bertemu dengan orang-orang Malaysia yang sudah hidup selesa hasil limpahan kekayaan dua negara teluk tersebut. Mereka kebanyakannya profesional muslim. Namun sepanjang pengamatan saya kebanyakan professional ini menyimpan perasaan tidak puas hati, bahkan mungkin ke peringkat ‘benci’ terhadap politik negara, terutama tingkahlaku ramai individu dalam parti kerajaan yang berkuasa. Demikian juga sepanjang saya bertemu dengan para pelajar luar negara terutama di peringkat pengajian tinggi Ph.D. Barangkali pendedahan mereka kepada fakta dan dunia menjadikan mereka begitu kritis. Saya cuba amati apakah di sebalik ketidakpuasan itu? Maka saya mengharapkan ruangan Mingguan Malaysia atas dasar kebebasan media dan juga kebaikan untuk kerajaan itu sendiri akan terus mengizinkan saya bercakap benar dalam ini.
Sehari dua ini telefon bimbit dan e-mel saya dipenuhi mesej daripada rakyat Malaysia daripada pelbagai lapisan yang mengulas tentang pembentukan Kabinet baru. Bermacam curahan perasaan dan ulasan dihantar kepada saya agar dapat saya melontarkan pandangan melalui media cetak atau dunia maya. Saya sebenarnya telah pun melontarkan pandangan tentang pembentukan Kabinet sebelum ini. Saya cadangkan dalam menangani suasana politik yang ada, selain daripada memastikan anggota kabinet terdiri daripada mereka yang telus dan mempunyai rekod yang bersih, dilantik juga beberapa anggota pembangkang yang berkemampuan memegang beberapa kementerian, atau sekurang-kurangnya sebagai timbalan menteri. Ini tentu mempunyai unsur kejutan dan menunjukkan kesungguhan kerajaan untuk bersikap telus dan berkongsi inspirasi rakyat. Tidak memerlukan kerajaan campuran.
Berbalik kepada kehendak rakyat, apakah sebenarnya kehendak rakyat? Sama ada seseorang rakyat itu sedar atau tidak, ilmu IR (International Relations) menyebut ada lima nilai asas sosial yang rakyat harap negara atau kerajaan menjaminnya untuk mereka. Perkara-perkara tersebut adalah security (keselamatan), freedom (kebebasan), order (peraturan), justice (keadilan) dan welfare (kebajikan). Sebagai muslim saya mungkin menambah penegakkan Islam sebagai prinsip dalam mengawal asas-asas tersebut. Ini berdasarkan firman Allah dalam Surah al-Nur ayat 55: (maksudnya) Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (umat Muhammad) bahawa ia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah (yang memegang kuasa pemerintahan) di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: khalifah-khalifah yang berkuasa; dan Dia akan mengukuhkan agama mereka (Islam) yang telah diredaiNya untuk mereka; dan Dia juga akan menggantikan untuk mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepadaKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain denganKu. dan (ingatlah) sesiapa yang kufur sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka.
Apabila asas-asas ini hilang, sama ada kesemua atau sebahagian daripadanya, maka kita akan melihat kegusaran rakyat dan tidak puas hati yang akan kedengaran di sana-sini. Di saat itu, mana-mana sahaja gerakan yang cuba menyeru kembali kepada asas-asas ini sama ada dalam bahasa kampung atau bandar, maka rakyat akan menyokongnya. Rakyat awam itu mungkin tidak tahu secara akademik tentang asas-asas ini, tetapi perasaan dan naluri kerakyatan mereka itu sentiasa menuntut agar asas-asas ini dijamin untuk mereka. Lebih tinggi pengetahuan dan pendedahan ilmu yang dimiliki oleh seseorang rakyat akan menjadikan mereka lebih sensitif tentang asas-asas ini.
Mari kita lihat keperluan asas-asas ini bagi kehidupan rakyat dalam sebuah negara, sebelum melihatnya di sudut antarabangsa. Rakyat sesebuah negara inginkan keselamatan mereka terjamin dari ancaman sama ada luar ataupun dalam. Mereka perlukan keselamatan negara yang kukuh dan kerajaan yang teguh. Keselamatan harian juga mesti terkawal. Di Malaysia masa kini Jenayah meningkat saban hari. Rakyat hidup dalam ketakutan terhadap nyawa dan harta benda mereka. Pembunuhan, penyeksaan, rompakan, kecurian dan pelbagai lagi jenayah yang mengancam keselamatan rakyat. Kedai dan kediaman selalu menjadi sasaran rompakan dan kecurian. Ini menyebabkan rakyat merasakan kerajaan tidak teguh dan gagal berfungsi dengan baik. Apatah lagi jika kepercayaan rakyat terhadap pihak keselamatan juga tergugat. Kemudian, selain kemerdekaan negara, rakyat perlukan kebebasan dalam kehidupan. Hak-hak asas mereka dalam kepercayaan, pemilikan, pendidikan, pendapat dan seumpamanya hendaklah terjamin. Memang, kebebasan ada hadnya sesuai dengan norma dan prinsip yang dipegang oleh sesebuah negara, jika tidak rosaklah keadaan. Namun had tersebut hendaklah ditetapkan atas kepentingan negara, bukan individu politik yang berkuasa. Apabila kebebasan asas mereka dirampas, rakyat akan melihat kerajaan sebagai musuh, bukan sebagai pelindung. Demikian rakyat harapkan peraturan dan keadilan agar berfungsi secara baik dan saksama. Peraturan yang baik hendak teguh dan berfungsi serta berjalan untuk semua secara tidak berat sebelah. Layanan untuk setiap rakyat hendaklah adil. Jangan ada yang terlepas dari peraturan atau undang-undang yang ditetapkan disebabkan kedudukan dan politik. Tiada sultan atau raja atau penguasa politik yang boleh mengatasi undang-undang dan peraturan yang disepakati. Jangan ada yang naik pangkat atau mendapat sesuatu pemberian daripada kerajaan tanpa mengikut peraturan.
Di sudut undang-undang, setiap pesalah hendaklah dihukum secara adil tanpa berat sebelah ataupun zalim. Kerajaan hendaklah berusaha meletakkan polisi yang baik memboleh rakyat hidup dengan selesa di sudut ekonomi dan keperluan asas kehidupan di zaman kini. Kerajaan mesti menyuburkan perkembangan ekonomi, memberikan peluang yang saksama, mengatasi kemiskinan, menjamin keperluan asas rakyat seperti pendidikan dan perubatan terutama bagi yang tidak berkemampuan. Begitu seterusnya. Seperti yang saya nyatakan bahawa sebagai seorang muslim sudah pasti saya ingin melihat asas-asas ini ditegakkan atas prinsip yang syumul lagi mendapat keberkatan. Islam yang adil itu menjamin asas-asas ini sekalipun untuk mereka yang bukan muslim. Kecacatan meletakkan Islam sebagai prinsip kerajaan bagi sesebuah negara yang majoritinya umat Islam akan menimbulkan rasa tidak puas hari rakyat muslim terhadap kerajaan mereka.
Hendaklah kita sedar, majoriti umat Islam di negara-negara mereka di seluruh dunia mahukan Islam menjadi prinsip dan asas pembentukan negara. Hakikat ini dirumuskan oleh John L. Esposito setelah membuat bancian dan kajian tentang hal ini di seluruh negara-negara umat Islam. Beliau nyatakan kesimpulan ini dalam bukunya Who Speaks For Islam.
Bertitik tolak dari pokok pangkal ini, maka jika rakyat kurang atau tidak puas hati dengan sesebuah pemerintahan, maka kerajaan tersebut hendaklah menyemak dirinya tentang asas-asas tersebut apakah telah dijamin dengan baik atau ada kecacatan yang jelas. Jika asas-asas itu dibaiki sehingga rakyat kembali selesa dan merasai fungsi kerajaan menjaminnya untuk mereka, saya percaya kerajaan dengan mudah akan dapat memenangi perasaan rakyat. Juga hendaklah sesebuah kerajaan seperti negara kita sedar bahawa dunia moden hari ini menyebabkan sesebuah kerajaan sukar menyembunyikan lagi kesalahan dan kecacatannya. Pencerobohan ke atas asas-asas ini akan tersebar dengan pantasnya dan menjadi perbualan dan tidak puas hati rakyat. Jika ia berlarutan ia menjadi barah dendam yang tidak dapat diubati lagi. Saya mungkin tidak ingin mengulas anggota-anggota kabinet kerajaan kita yang baru, tetapi saya ingin bertanya atau mengharapkan mereka dapat memastikan asas-asas ini dijamin untuk rakyat. Jika tidak, perasaan tidak puas hati itu tidak dapat diubati dengan sekadar lautan slogan dan janji.
DR. Mohd Asri ZainUl Abidin ialah bekas mufti perlis dan kini pensyarah pengajian islam, universiti sains Malaysia (usm) yang sedang sabatikal di Britain.
laman web: drmaza.com.
E-mel: moasriza@yahoo.com.

ARKIB : 05/04/2009

Salam buat Perdana Menteri baru


Malaysia mendapat Perdana Menteri yang baru. Demikian para pemimpin itu silih berganti, datang dan pergi. Tiada siapa yang dapat menongkat langit kekal. Cumanya kita di Malaysia bertuah kerana dua pemimpin kita meletakkan jawatan tanpa dipaksa. Berundur apabila mereka merasa perlu. Amalan yang seperti itu tidak dilakukan oleh seorang diktator yang tenggelam dalam kuasa dan kekejaman. Semoga nilai baik yang seperti itu berterusan. Ya, pemimpin datang dan pergi. Demikian insan sama ada rakyat atau penguasa hidup dan mati. Namun akhlak dan budi seorang pemimpin akan disebut dari generasi ke generasi. Begitu juga sikap buruk dan rakus seorang pemimpin akan menjadi sebutan zaman ke zaman.
Betapa ramai pemimpin yang sudah ratusan, bahkan ribuan tahun meninggalkan dunia ini; namun jasa baik mahupun sejarah buruk mereka terus dicatatkan di dada sejarah, lantas dibaca dari masa ke masa. Jika baik, mereka akan dipuji dan dicontohi. Jika buruk mereka akan dikeji dan dibenci.
Lebih penting daripada itu, setiap pemimpin akan mengadap Tuhan Yang Maha Adil. Setiap tindakannya akan dinilai dan soal. Jika dia melakukan kebaikan dan keadilan, tempatnya adalah syurga yang dilimpahi dengan nikmat yang tidak tergambar oleh insan.
Jika dia melakukan kezaliman, maka balasan buruk akan menantinya di sana. Kezaliman seorang pemimpin yang berkuasa mungkin tidak dapat dibantah oleh orang lain, atau mungkin boleh disembunyikan, atau dijustifikasikan oleh para pengampunya. Ketidakadilan terhadap rakyat dan penderitaan mereka mungkin tidak dapat dituntut di dunia ini, atau mungkin tiada siapa yang dapat membela, bahkan mungkin catatan sejarah juga akan terlupa.
Namun Tuhan dengan segala kebesaran-Nya menyebut dalam kitab-Nya: (maksudnya): Dan janganlah kamu menyangka bahawa Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim; Sesungguhnya Dia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar melihat keadaan yang berlaku), mereka terburu-buru (menyahut panggilan ke padang Mahsyar) sambil mendongakkan kepala mereka dengan mata tidak berkelip, dan hati mereka yang kosong (kerana bingung dan cemas) (Surah Ibrahim 42-43).
Pena saya sejak dahulu berbicara untuk semua pihak, tanpa berpihak melainkan cuba menghayati prinsip yang diyakini jua. Terimalah bicara ini dengan jiwa yang terbuka. Ramai orang mengucapkan tahniah apabila seseorang mendapat jawatan kepimpinan. Ya, mungkin juga boleh untuk kita berbuat demikian sebagai tanda bahawa seseorang yang dilantik itu mendapat penghormatan rakyat.
Namun sebenarnya, amanah dan bebanan tugas sebagai pemimpin adalah lebih besar bahayanya dibandingkan bahagianya. Justeru itu Nabi SAW mengingatkan kita betapa bahaya jawatan kepimpinan jika tidak diurus dengan betul, sabdanya: Kamu semua begitu bercita-cita terhadap jawatan kepimpinan, ia akan menjadi penyesalan pada hari kiamat. Ia sesuatu yang nikmat pada permulaannya tapi keburukan pada akhirnya (Riwayat al-Bukhari).
Bahkan baginda pernah menyebut: Allah tidak lantik seseorang hamba itu menguasai sesuatu rakyat kemudian hamba itu mati dalam keadaan dia menipu rakyatnya, melainkan Allah haramkan untuknya syurga (Riwayat Muslim).
Sebab itulah, Khalifah Umar bin Abd al-Aziz apabila beliau dilantik menjadi khalifah, beliau seakan tergamam dan begitu hiba. Ketika para pembesar menanti kemunculannya setelah dilantik, mereka berbisik bertanya anaknya, mengapa ayahnya belum keluar ke khalayak ramai. Kata anaknya: "Ayahku sejak dilantik, beliau terus bersendirian bersolat dan menangis. Apabila ibuku masuk kepadanya, airmatanya bercucuran hingga ke janggutnya. Apabila ditanya, dia berkata: Wahai Fatimah! Aku telah dikalungkan urusan umat Muhammad ini yang berbagai bangsa. Maka aku terfikir tentang orang yang fakir, yang lapar, yang sakit lagi derita, orang biasa yang susah, orang yang dizalimi lagi dipaksa, tawanan perang yang jauh, orang tua yang uzur, orang yang mempunyai keluarga yang ramai sedangkan wangnya sedikit dan seumpama mereka yang berada di segala tempat dan penjuru negara. Aku tahu tuhanku akan bertanya aku mengenai mereka pada hari kiamat kelak. Aku bimbang alasanku tidak cukup kukuh untuk menjawabnya, lalu aku pun menangis (lihat: Mahmud al-Baji, Muthul 'Ulya min Qada al-Islam, 144).
Ramai orang, termasuk kelompok agama yang berkepentingan akan berpusu-pusu mendampingi seseorang penguasa atau pemerintah. Mereka barangkali mempunyai banyak madah pujangga untuk bertasbih dan tahmid memuji dan memuja pemerintah agar tempiasan harta dan kuasa melimpahi mereka. Saya tidak mempunyai kepentingan untuk itu. Memang, saya mempunyai hubungan dengan ramai pemimpin dan penguasa, namun saya belum sempat menghafal madah berhias untuk dilafazkan di hadapan mereka. Jika saya suatu hari ingin melafazkannya, saya ingin melafazkannya dengan jujur, bukan dengan kemunafikan. Hari ini kita mendapat Perdana Menteri yang baru. Kita berdoa agar Allah sentiasa merahmati rakyat dengan direzekikan amanah dan keadilan sikap pemerintah yang baru. Kita doakan agar Allah memberi kekuatan kepadanya untuk menegakkan yang makruf dan mencegah yang mungkar. Walaupun mungkin ramai pemimpin itu telah tahu tentang tanggungjawab, tetapi mereka perlu diingatkan. Mereka perlu sentiasa menjenguk arahan Allah: Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya dan apabila kamu berhukum dalam kalangan manusia maka hendaklah kamu berhukum dengan adil. Sesungguhnya Allah memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha mendengar lagi Maha melihat. (Surah al-Nisa: 58). Mereka perlu selalu kembali mendengar apa yang Abu Bakr al-Siddiq ucapkan apabila beliau dilantik. Dengar penuh keimanan Abu Bakr menyebut: Wahai manusia, sesungguhnya aku telah dilantik menjadi pemimpin kamu, bukanlah aku yang terbaik di kalangan kamu. Jika aku betul, tolonglah aku. Jika aku salah, betulkanlah aku. Benar itu adalah amanah, bohong itu adalah khianat. Orang yang lemah di kalangan kamu adalah kuat di sisi sehingga aku mengembalikan haknya. Orang yang kuat di kalangan kamu, lemah di sisiku sehingga aku mengambil daripadanya hak (menghalang apa yang bukan haknya), insya-Allah. Jangan kamu meninggalkan jihad, kerana tidak ada kaum yang meninggalkan jihad, melainkan Allah timpakan mereka dengan kehinaan. Taatlah aku selagi aku taatkan Allah dan Rasul-Nya. Jika aku derhakakan Allah dan Rasul-Nya, maka tiada ketaatan untukku (Ibn Athir, Al-Kamil fi al-Tarikh, 1/361).
Antara perkara yang perlu untuk diingatkan para pemimpin negara ini, bahawa di kalangan mereka sering dicemari oleh kroni. Maka mereka hendaklah berhati-hati dalam hal ini. Pemimpin jika gagal untuk mengawal pengikut atau keluarga, bagaimana dia hendak mengawal negaranya. Kelompok ini jika tidak soleh akan mengancam nama baik, kewibawaan dan ketelusan seseorang pemimpin. Sabda Nabi SAW: Tidak dilantik seorang khalifah melainkan akan ada baginya dua bitanah (penasihat yang rapat). (Pertama) Bitanah yang menyuruhnya untuk melakukan kebaikan dan menggalakkannya. (Kedua) bitanah yang menyuruhnya untuk melakukan kejahatan dan menggalakkannya. Hanya selamat ialah sesiapa yang selamatkan Allah. (Riwayat al-Bukhari dan al-Nasai).
Pemerintah hendaklah dekat di hati rakyat, bukan dekat di hati kroni dan taukeh. Jadilah pemerintah itu seperti kata Muhammad bin Ka'ab al-Qurtubi apabila diminta menyifatkan keadilan pemerintah: Jadilah engkau bapa kepada yang muda, anak kepada yang tua, saudara kepada yang sebaya. Hukumlah manusia dengan kadar kesalahan dan kemampuan mereka. Jangan engkau pukul disebabkan kemarahanmu walaupun satu pukulan, nanti engkau termasuk dalam golongan yang melampau. (Ibn Muflih, Al-Adab al-Syar'iyyah, 1/202).
Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Baru, saya dari jauh ucapkan tahniah dan takziah. Tahniah atas kepercayaan negara, takziah atas bebanan amanah. Negara dan rakyat mengharapkan keadilan dan kebijaksanaan seseorang pemerintah. Simpatilah kepada rakyat, Allah akan bersimpati kepada YAB!


ARKIB : 15/03/2009

Islam: Prinsip atau alat?

Beberapa e-mel saya terima meminta saya menyatakan pendirian kepada media berhubung dengan isu pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris. Ada juga yang meminta supaya saya membantu dengan memberikan dalil-dalil dari al-Quran dan sunnah yang membuktikan bahawa perjuangan menghapuskan penggunaan bahasa Inggeris dalam pengajaran dua mata pelajaran adalah perjuangan agama. Saya berterima kasih atas kepercayaan dan harapan, namun saya menarik nafas panjang dan merasa amat gusar dengan permintaan itu.
Amat menakutkan apabila agama ini sering dijadikan alat untuk melariskan atau menghalalkan atau memenangkan sesuatu isu atau cita-cita.
Padahal agama sepatutnya menjadi prinsip, bukannya alat untuk mencapai matlamat tertentu. Saya secara peribadi mungkin boleh menyokong sama ada bahasa melayu atau bahasa Inggeris menjadi bahasa pengajaran kedua mata pelajaran tersebut. Itu adalah urusan kebijaksanaan dalam kehidupan yang terserah kepada manusia untuk menilainya.
Pemerintah ada hak dalam ijtihadnya. Rakyat juga ada hak mencadangkannya. Zaman dan tempat mungkin berperanan dalam menentukan tindakan atau pilihan yang terbaik.
Islam tidak pernah menyatakan kita mesti belajar sains dan matematik dalam bahasa Inggeris, atau Melayu, atau Arab atau sebagainya.
Hanya yang Islam perintah adalah agar muslim bertindak dengan bijak. Menentukan perkara yang seperti ini amat subjektif.
Setiap pihak boleh berbeza disebabkan perbezaan latar fikir. Islam tidak menghukum secara putus siapa yang betul atau siapa yang salah dalam hal yang seperti ini. Di sini saya rasa, sekali lagi kena dijelaskan beza antara Islam sebagai prinsip dengan Islam sebagai alat.
Islam sebagai prinsip bererti kita meletakkan Islam sebagai pegangan dan panduan. Kita akan melihat salah atau benar sesuatu berdasarkan kepada prinsip Islam. Kita akan menilai dengan adil setiap perkara dengan timbangan Islam sekalipun jika keputusannya itu tidak berpihak kepada kita, kita tetap akan akur. Inilah yang diarahkan oleh al-Quran dalam Surah al-Nisa 135: (maksudnya) “Wahai orang-orang yang beriman! hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu...” Dalam Surah al-Maidah ayat 8 pula Allah menegaskan: (maksudnya): Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan”.
Sementara menjadikan Islam sebagai alat atau umpan adalah mempergunakan Islam sebagai bahan untuk sesuatu tujuan, padahal tujuan tersebut hanya bersifat puak atau peribadi, bukan untuk kepentingan Islam yang hakiki. Nas-nas agama akan ditafsirkan atau disalahgunakan supaya sesuatu pandangan sekalipun tidak tepat, dapat dibela atau dijustifikasikan. Atau agama digunakan agar orang ramai tertarik dan percaya kepadanya sekalipun hakikat agama bukan sedemikian rupa. Inilah yang ditempelak oleh Allah dalam Surah al-Nahl, ayat 116-117: (maksudnya) “Dan janganlah kamu berkata dengan apa yang disifatkan oleh lidah kamu: “Ini halal dan ini haram”, untuk mengada-adakan sesuatu yang dusta terhadap Allah; Sesungguhnya orang-orang yang berdusta terhadap Allah tidak akan berjaya. (Mereka hanya mendapat) sedikit kesenangan (di dunia), dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya”.
Malang sekali dalam sejarah umat Islam, kecenderungan menggunakan agama sebagai modal begitu banyak dan berterusan. Kesannya amat bahaya dan mendalam. Bukan sedikit darah dan nyawa yang ditumpahkan kerananya. Umpamanya, Mazhab Syiah dan Khawarij tidak wujud pada zaman Abu Bakar, Umar dan ‘Uthman. Apabila berlaku krisis politik pada zaman ‘Ali disebabkan isu yang berlarutan dari penghujung pemerintahan Saidina ‘Uthman maka lahirlah kedua aliran ini. Bermula daripada isu-isu politik yang dibangkitkan dari zaman ‘Uthman, merebak menjadi sentimen agama.
Sehingga Syiah terbentuk dengan segala doktrin yang tersendiri; daripada isu ‘Uthman berkembang membentuk prinsip-prinsip kepercayaan mengenai Ahlul Bait yang tersendiri. Penindasan yang dialami oleh aliran Syi‘ah di bawah kuasa-kuasa politik Bani Umayyah, juga ‘Abbasiyyah menyebabkan berbagai akidah dan dalil baru muncul dalam aliran berkenaan.
Maka disebabkan sejarah politik yang panjang, menjelmalah Syiah dalam wajahnya yang kita lihat pada hari ini. Padahal ia bermula daripada isu yang boleh diselesaikan. Demikian Khawarij, bermula isu tidak puas hati dengan pendirian ‘Ali dalam menghadapi Mu‘awiyah, maka terbentuklah Khawarij dari ‘parti politik’, menjadi aliran agama yang mengkafirkan ‘Ali, ‘Uthman, Mu‘awiyah dan sesiapa sahaja yang tidak menyertai mereka.
Bagi menjustifikasikan pengkafiran itu, maka satu kaedah yang amat bahaya telah dijadikan pegangan iaitu setiap pelaku maksiat menjadi kafir. ‘Ali dan Mu‘awiyyah, bahkan ‘Uthman dianggap tidak berhukum dengan hukum Allah, maka mereka semua kafir. Slogan mereka: “Tiada hukum melainkan hukum Allah”. Kata Saidina ‘Ali mengenai slogan mereka: “Satu slogan yang benar, tetapi dengan tujuan yang batil”. (Al-Khatib al-Baghdadi, Tarikh Baghdad, 304/10, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah). Tumpah darah yang banyak telah berlaku antara tentera ‘Ali dan Khawarij.
Inilah bahayanya menjadikan agama sebagai modal politik atau apa sahaja. Ia boleh berlarutan terutama di kalangan mereka yang jahil sehingga tidak dapat membezakan antara isu politik semata dan isu agama yang sebenar. Jika ia isu politik semata, Islam menyerahkan kepada kebijaksanaan manusia akan menentu keputusan yang memberikan kemaslahatan untuk umat. Jika ia benar-benar isu akidah dan hukum, hendaklah penentu benar dan salahnya adalah al-Quran dan Sunnah bukan pandangan politik kepuakan. Sebab itu kita wajib membezakan antara berpolitik berdasarkan prinsip Islam, dengan mempolitikkan Islam.
Berpolitik berdasarkan Islam akan membebaskan seseorang dari daerah taksub, hukuman membabi-buta, kepuakan dan permusuhan yang melampaui batas dan segala akhlak yang jelek. Hanya yang menjadi teras adalah prinsip Islam. Rela membelakang parti atau puak, asalkan prinsip terbela. Sementara mempolitikkan Islam bererti menggunakan nas-nas Islam untuk menjustifikasikan tindakan-tindakan politik.
Kita akan lihat dalam ‘wayang politik’ sikap mempolitikkan agama akan menyebabkan mereka terbabit hilang pendirian, berubah-ubah prinsip dan etika. Namun yang pasti nas-nas agama akan terus digunakan walaupun akan menyebabkan berlaku kontradiksi yang jelas dalam pegangan mereka.
Dalam sepanjang sejarah, menjadikan agama sebagai modal politik telah dilakukan oleh pihak pemerintah dan pihak yang menentang pemerintah. Dalil-dalil agama pada bukan tempatnya akan digunakan oleh kedua belah pihak bagi mengekalkan pengikut yang mempunyai sentimen agama.
Bahkan dalam sejarah, antara sebab kemunculan hadis-hadis palsu adalah politik. Maka muncul hadis palsu yang menyokong Syiah, menyokong Muawiyah, menyokong ‘Abbasiyyah dan seumpamanya. golongan yang menggunakan agama yang ‘lahapkan habuan dan pangkat’ ada di mana-mana.
Mereka ini bersedia untuk mendendangkan dalil bagi menghiburkan slogan atau tindakan pemerintah.
Sebagai tindak balas, golongan agama yang menentang pemerintah juga akan melagukan nas-nas agama bagi menghalalkan tindakan mereka menentang sesuatu pemerintahan.
Hilanglah fungsi agama; daripada ia agama hidayah yang membimbing manusia bertukar menjadi alat yang memboleh manusia pijak di atasnya untuk sampai ke matlamat mereka.
Berpolitik berdasarkan agama memang tanggungjawab kita. Namun kita wajar berhati-hati, jika terleka kita akan tergelincir menjadi mempolitikkan agama. Seperti berniaga berdasarkan prinsip Islam memang diperintahkan. Namun berhati-hati, jangan sampai memperniagakan Islam. Justeru itu, bezakanlah antara menjadikan Islam sebagai prinsip, dengan menjadikan Islam sebagai alat. Bezakanlah antara berpolitik berdasarkan Islam dengan mempolitikkan Islam.
DR. Mohd Asri ZainUl Abidin ialah bekas mufti perlis dan kini pensyarah pengajian islam, universiti sains Malaysia (usm) yang sedang sabatikal di Britain.
laman web: drmaza.com.
E-mel: moasriza@yahoo.com.


 ARKIB : 08/03/2009

Maulid: Antara sejarah dan amalan

Para sarjana sejarahwan Islam berbeza pendapat tentang tarikh sebenar kelahiran Nabi saw. Hadis Nabi saw yang diriwayatkan oleh al-Imam Muslim hanya menyebut bahawa baginda lahir pada hari Isnin tanpa menyebut haribulannya.
Sesiapa yang membaca karya-karya sejarah Islam yang besar seperti al-Bidayah wa al-Nihayah oleh al-Imam Ibn Kathir (meninggal 774H) akan melihat berbagai pendapat tentang haribulan dan bulan kelahiran baginda saw. Bagi yang berpendapat baginda lahir pada bulan Rabi'ul Awwal, mereka berbeza pendapat pula dalam menentukan haribulannya.
Ada yang menentukan pada 8 haribulan, ada yang pada 9 haribulan, ada pula pada 12 haribulan seperti yang menjadi anggapan ramai, ada juga pada 17 haribulan dan seumpamanya.
Di samping di sana ada pula sarjana Islam yang menyatakan baginda lahir pada bulan Ramadan dengan hujah-hujah mereka yang tersendiri. Apa pun yang penting, sejarahwan Timur atau Barat, Utara atau Selatan tidak pernah berbelah pendapat tentang lahirnya seorang insan bernama Muhammad bin 'Abdillah yang diikrarkan oleh umat Islam sebagai rasul terakhir yang diutuskan Allah.
Hal ini berbeza dengan Jesus yang berada dalam gambaran Barat. Setengah ahli kajian mereka mempertikaikan tentang kelahiran Jesus itu sendiri.
Kelahiran Nabi saw adalah peristiwa yang amat penting kerana ia peristiwa yang memulakan episod baru bagi kehidupan manusia sejagat. Penentuan haribulan atau bulan secara tepat bukanlah faktor utama. Tidak dapat menentukan tarikh lahir yang pasti, bukan bererti seseorang itu tidak wujud.
Entah berapa ramai para nabi, tokoh, individu yang gagal dikesan tarikh kelahiran mereka, tetapi mereka wujud dan telah mewarnai sejarah. Kegagalan sarjana untuk mengetahui hari dan bulan sebenar kelahiran Nabi saw antaranya berpunca daripada tindakan para sahabah Nabi saw yang tidak merayakan tarikh tersebut.
Walaupun dalam sejarah Islam, merekalah generasi yang paling mencintai Nabi saw, namun mereka tidak membuat perayaan khas hari kelahiran baginda disebabkan kerana mereka tidak melihat baginda melakukan hal yang demikian.
Bahkan Ibn Kathir menceritakan bagaimana Saidina 'Umar apabila dicadangkan permulaan tahun Islam dikira pada tahun kelahiran Nabi saw, beliau menolaknya. Sebaliknya khalifah agung itu memilih tahun hijrah baginda sebagai permulaan kiraan.
Bukan kelahiran tidak penting, tetapi hijrah adalah permulaan kejayaan dan sejarah perjuangan. Perkara yang paling utama buat seorang rasul ialah baginda diikuti, bukan sekadar dirayakan.
Saban tahun orang Kristian Barat merayakan kelahiran Jesus, namun apakah kehidupan mereka sama seperti yang diajar oleh Jesus?
Hari berganti dan bertukar. Dunia Islam beralun dengan berbagai krisis politik yang akhirnya mencetuskan mazhab. Antaranya Mazhab Syiah yang asalnya merupakan mazhab politik, bertukar menjadi mazhab agama dengan segala macam aliran di dalamnya.
Islam sepatutnya mencorakkan politik telah bertukar menjadi 'politik mencorakkan Islam'. Lalu kefahaman agama dibina di atas blok-blok politik, bukan reka fikir politik itu diwarnakan oleh Islam. Maka perebutan kuasa berlaku atas agenda politik yang dimasukkan unsur Islam ke dalamnya. Maka berselerakanlah umat Islam akibat agenda politik berbagai aliran.
Di Mesir, Syiah Fatimiyyah pernah menguasai tampok kuasa. Berbagai agenda agama dilaksanakan dalam kerangka pemikiran mazhab politik yang bertukar menjadi agama. Berbagai perayaan agama dibuat dengan tujuan untuk mencapai matlamat politik yang tersendiri. Dalam Fatawa al-Azhar diakui bahawa ahli sejarahwan Islam tidak mengetahui sesiapa pun yang memulakan perayaan Maulid Nabi saw melainkan Kerajaan Syi'ah Fatimiyyah di Mesir yang mengadakannya secara besar-besaran.
Mereka turut meraikan hari kelahiran tokoh-tokoh Ahlil Bait dan kelahiran Nabi Isa a.s. Kemudian pada tahun 488H dihentikan oleh khalifah mereka al-Musta'la billah. Kemudian dihidupkan kembali oleh sesetengah kerajaan dan negeri. Demikianlah sejarahnya.
Ya, saya fikir, perasaan bersyukur mengenangkan sejarah kelahiran Nabi saw dengan semangat untuk mengikuti baginda adalah wajar. Di samping kita perlu sedar fakta-fakta yang disebutkan tadi. Jika bulan Rabi'ul Awwal ini dikatakan bulan kelahiran Nabi saw, maka tidak salah untuk kita berceramah menceritakan sejarah perjuangan dan prinsip-prinsip Islam yang dibawa oleh baginda. Sama ada pada bulan ini atau selain. Sama seperti apabila kita melintas suatu tempat bersejarah, kita mengenang sejarah tersebut. Cuma janganlah kita ini menjadi manusia bermusim yang hanya mengenang rasul dan ajaran baginda pada hari-hari tertentu, tetapi kita seakan sudah tidak mengingati baginda selepas itu.
Di samping itu, hendaklah kita sedar, jika kita mengikuti Nabi saw, maka pastikan kita tidak menokok tambah ajaran baginda apa yang baginda tidak izinkan. Baginda bersabda: "Sesiapa yang membuat perkara baru dalam urusan kami ini (Islam) apa yang bukan daripadanya maka ia tertolak" (Riwayat Muslim). Oleh kerana baginda tidak pernah menunjukkan kita ibadah khas sempena kelahiran baginda sama ada solat khas, atau puasa khas atau bacaan khas, maka kita tidak boleh mengadakannya.
Jalan yang patut diikuti dalam masalah ini adalah jalan para sahabah baginda saw Sabda baginda saw: "..Sesungguhnya Bani Israil berpecah kepada 72 puak, dan umatku akan berpecah kepada 73 puak. Kesemua mereka dalam neraka kecuali satu puak". Mereka bertanya: "Apakah puak itu wahai RasululLah?" Jawab baginda: "Apa yang aku dan para sahabahku berada di atasnya". (Riwayat al-Tirmizi dinilai sahih oleh al-Diya al-Maqdisi).
Perlu diingat, antara keistimewanya sejarah Nabi saw kerana ia dapat dikenal pasti antara yang tulen dan tokok tambah. Ini berbeza dengan sejarah pengasas-pengasas agama dalam dunia ini yang hampir keseluruhan sejarah mereka dibina atas sangkaan atau perkhabaran yang tidak pasti. Ilmu hadis yang menapis sanad dan matan telah memelihara fakta sejarah nabi kita Muhammad saw.
Hanya sejarah yang pasti sahaja yang menjadi ikutan kita, bukan yang direka. Kata al-Sayyid Sulaiman al-Nadwi: "Sesungguhnya sirah yang berhak diikuti oleh manusia sebagai contoh yang baik dan teladan yang tinggi disyaratkan terlebih dahulu mestilah bersifat tarikhiyyah (sejarah). Adapun sirah yang tertegak diatas dongengan dan cerita-cerita khurafat yang tidak disokong oleh riwayat-riwayat yang dipercayai kesahihannya, adalah menjadi tabiat insan tidak akan terpengaruh dengan apa yang diceritakan kepadanya tentang sirah peribadi yang direka sedangkan sejarah tidak pernah mengenalinya" (Sulaiman al-Nadwi, al-Risalah al-Muhammadiyyah, m.s. 41, Saudi: al-Dar al-Sa'udiyyah).
Buku Maulid al-Barzanji yang banyak dibaca dalam masyarakat kita ketika majlis kenduri-kendara atau selainnya mempunyai sumbangan yang tersendiri. Banyak sirah yang sahih dicatatkan oleh penulis karya tersebut iaitu Ja'far bin Hasan bin 'Abd al-Karim al-Barzanji (meninggal 1187H). Namun satu hakikat yang diboleh dinafikan dari segi ilmu hadis bahawa terdapat fakta-fakta yang tidak sahih dalam buku Al-Barzanji tersebut. Antaranya, beliau menyebut: "Telah hadirlah pada malam kelahiran baginda (Nabi saw) Asiah (isteri Fir'aun yang beriman) dan Maryam (ibu Nabi Isa a.s.) dalam kumpulan wanita dari syurga)". Tiada satu riwayat yang sahih daripada Nabi saw yang mengakui peristiwa seperti ini. Sehingga seorang pengkaji sejarah Muhammad Muhammad Hasan Syurrab menyebut: "Wajib kita berhati-hati ketika memetik dari buku-buku sirah terutamanya buku-buku sirah yang terkemudian. Para rawinya (periwayat) banyak menokok tambah cerita dan sirah Rasulullah. Mereka mengaitkan kepada baginda mu'jizat dan perkara-perkara luar biasa sejak kelahiran sehingga kepada kewafatan baginda dengan perkara yang tidak ada sanad yang boleh dipegang.
Seakan-akan para rawi ini melihat tujuan penambahan perkara-perkara luar biasa ini untuk memberikan kepada Rasul a.s. mu'jizat-mu'jizat yang tidak ada pada para nabi sebelum baginda (Muhammad Muhammad Hasan Syurrab, Fi Usul Tarikh al-'Arab al-Islami, m.s. 84, Damsyik, Dar al-Qalam).
Kita semua bersyukur dan bergembira dengan kelahiran Nabi Muhammad saw Namun kita wajib pastikan cara kita ikut dan faham mengenai baginda. Saban tahun banyak pihak yang meraikan maulid, apakah umat Islam bertambah dekat dengan baginda?

 ARKIB : 01/03/2009

Wanita! pastikan arah perjuanganmu

JANGKAAN saya agak meleset bahawa artikel poligami minggu lepas akan dibantah ramai wanita, sebaliknya, ramai wanita yang menghantar e-mel menyokong. Mereka cuma keliru dengan beberapa alasan yang dikemukakan oleh sesetengah ekstremis feminis yang membelasah isu poligami dalam Islam.
Saya ingin jelaskan, sesiapa yang mengikuti pandangan saya akan tahu sejak dahulu betapa saya mempertahankan hak-hak wanita khususnya di Malaysia. Kita hendaklah jelas bahawa yang patut dikritik bukan hukum-hakam Islam, tetapi kerenah pengurusan atau birokrasi mereka yang diamanahkan menguruskan urusan orang Islam, terutama mahkamah yang dinamakan syariah yang menyusahkan wanita, menangguhkan kes-kes talak bertahun lamanya, yang sempit dalam pemikiran hukum, menyusahkan urusan perkahwinan yang halal dan lain-lain kerenah sehingga yang halal begitu sukar dicapai dibandingkan yang haram. Salah urus perkara-perkara ini yang menzalimi hak umat Islam yang berkaitan urusan rumahtangga; lelaki dan wanita. Sehingga Islam menjadi kabur dan wanita menjadi prejudis dengan hukum-hakam syarak. Betapa ramai kaum wanita yang menghantar emel dan surat kepada saya menceritakan kekecewaan mereka terhadap pengurusan yang bernama syariah. Mereka sebahagiannya termasuklah yang baru menganut Islam. Pun begitu, kita lihat di Malaysia, ada jawatan-jawatan baru yang kurang perlu diwujudkan demi memberi tempat kepada 'orang agama' yang pencen. Ini berlaku, termasuk di badan-badan keagamaan yang penting termasuk kehakiman. Apabila agama dijadikan bagai urusan bisnes untuk kroni dan puak, maka hak orang awam terbengkalai. Sebab itu, saya kira patut dipuji Tun Mahathir di sudut beliau tidak mewujudkan jawatan besar untuknya apabila pencen.
Wanita! jika hendak berjuang, perjuanglah menghapuskan kerenah seperti ini, juga kesempitan fahaman mazhab atau fikah berkaitan wanita yang dipegang oleh kelompok agama ortodoks serta konservatif sehingga dipinggirkan hak wanita tanpa dalil. Ertinya, wanita hendaklah jelas apa yang patut perjuangkan. Saya telah sentuh hal ini banyak, sebahagiannya dalam buku saya 'Mengemudi Bahtera Perubahan Minda'. Jangan pertikaikan atau ubah hukum-hakam syarak yang tetap. Syariat Allah sentiasa adil lagi saksama. Jangan salah tafsirkan nas-nas al-Quran atau sunnah hanya kerana hendak memenuhi perjuangan yang kabur, atau tuntutan yang tersilap. Perjuangkan kerahmatan dan keluasan Islam yang Nabi saw peruntukkan untuk wanita. Dalam artikel-artikel lepas, saya telah sebut hadis yang menggambarkan betapa baginda memerdekakan wanita dari kongkongan. Wanita diberi peluang untuk merungkaikan rumah tangga jika mereka rasa ia amat sengsara. Sehingga apabila isteri Thabit bin Qais datang dan berkata: Wahai RasululLah! Aku tidak mempertikaikan Thabit bin Qais di sudut akhlak dan agamanya. Namun aku membenci kekufuran dalam Islam. Maka RasullulLah SAW bersabda: Mahukah engkau mengembalikan kebunnya? Jawabnya: "Ya". Lalu Rasulullah bersabda kepada Thabit: Ambillah kebunmu dan talakkanlah dia (Riwayat al-Bukhari). Demikian dalam riwayat al-Bukhari daripada 'Abdullah bin 'Abbas, katanya: Bahawa suami Barirah adalah seorang hamba bernama Mughith. Aku seakan masih terbayang dia mengikuti Barirah dari belakang serta menangis sehingga air matanya mengalir atas janggutnya. Nabi saw berkata kepada 'Abbas: "Wahai 'Abbas, tidakkah kau hairan melihat cintanya Mughith kepada Barirah dan bencinya Barirah kepada Mughith?". Lalu Nabi SAW berkata (kepada Barirah): "Tidak mahukah jika engkau kembali kepadanya". Barirah berkata: "Apakah engkau memerintahkanku?". Nabi SAW bersabda: "Aku hanya mencadangkan". Kata Barirah: "Aku tidak memerlukan dia". Dalam riwayat Abu Daud, disebut nasihat Nabi SAW kepada Barirah yang lebih jelas, di mana baginda bersabda: "Wahai Barirah, bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya dia suamimu dan ayah anakmu". Kata Barirah: "Apakah engkau memerintahkanku agar demikian?". Nabi saw bersabda: "Aku hanya mencadangkan". Dalam riwayat ini menunjukkan bahawa Nabi SAW tidak memaksa Barirah kembali kepada suaminya yang masih lagi berstatus 'hamba sahaya' sedangkan dia sudah mendapat taraf 'merdeka'. Walaupun Nabi SAW sendiri bersimpati kepada Mughith sehingga mencadangkan Barirah menerima kembali sebagai suaminya, namun apabila Barirah menolak cadangan Nabi saw, baginda tidak memurkainya. Inilah keluasan rahmat yang Nabi SAW telah tunjukkan buat kaum wanita. Para ulama berbeza pendapat apakah ruang untuk kekal bersama suami itu hanya diberikan untuk wanita yang dimerdekakan sedangkan suaminya masih hamba, atau merangkumi setiap wanita yang mendapati suaminya sudah hilang kelayakan. Apa yang penting, Nabi SAW bukan seperti 'pihak kaunseling sesetengah jabatan agama yang menyatakan "baliklah jangan menuntut talak, nanti tergugat Arasy Tuhanmu". Padahal mereka yang malas membuka kes baru. Masalah wanita pada mereka ini, bukan pada ajaran Nabi SAW; termasuklah bukan masalah itu pada poligami. Kata al-Imam 'Izz al-Din 'Abd al-Salam (meninggal 660H): dalam Qawa'id al-Ahkam fi Masalih al-Anam: Kita telah ketahui daripada sumber-sumber syarak bahawa tujuan (hukum-hakam) syarak ialah untuk kemaslahatan hamba-hambaNya di sudut agama dan akhirat mereka. Bukannya masaqqah (kesusahan dalam mengamalkan syariat) itu yang dimaksudkan dengan kemaslahatan, tetapi maksudnya ialah apa yang diperolehi hasil dari masaqqah tersebut. Ini sama seperti seseorang doktor yang menyuruh pesakitnya meminum ubat yang sangat pahit. Tujuannya hanyalah untuk mengubati. (1/29, Beirut: Dar al-Kutub al-'Ilmiyyah).
Contohnya, semasa Perang Dunia Kedua (1939-45) hampir 60 juta manusia mati, kebanyakan mereka lelaki. Semasa peperangan Iran-Iraq, 82,000 wanita Iran dan 100,000 wanita Iraq menjadi janda. Dan dunia terus berperang. Maka, peratusan wanita dan lelaki dalam dunia juga tidak seimbang di atas berbagai faktor. Kaum wanita lebih ramai daripada lelaki. Ditambah lagi sebahagian lelaki yang ada, terlibat dengan jenayah. Begitu juga yang meninggal kerana tugasan harian. Jika bukan poligami itu satu penyelesaian, apakah kita ingin menyuruh jutaan wanita mengurung 'naluri kewanitaannya? Atau apakah kita ingin beritahu mereka; lebih baik bersuamikan lelaki penagih daripada seorang yang telah berstatus suami?. Katanya Dr. Yusuf al-Qaradawi: "Inilah apa yang diraikan oleh Syariat Islam dalam persoalan poligami, ia telah menimbang antara segala kebaikan dan keburukan, segala manfaat dan mudarat, kemudiannya ia mengizinkannya kepada sesiapa yang perlu dan dikawal dengan syarat bahawa pengamalnya percaya terhadap dirinya bahawa dia dapat menjaga keadilan dan tidak takut berlakunya kezaliman dan berat sebelah. Firman Allah dalam Surah al-Nisa ayat 30: (maksudnya): Jika kamu takut tidak berlaku adil maka hanya seorang isteri. (m.s 133-134).
Saya lihat, ada orang bukan Islam di Malaysia turut menyelar poligami kononnya tidak adil kepada wanita. Apakah dia lupa bahwa agama yang dianutinya itu sebenarnya menyuruh wanita yang menjadi janda dibakar bersama mayat suami. Ia dinamakan 'Sati'. Itulah penyelesaian yang agamanya cadangkan untuk menyelamatkan janda dari keseorangan. Terima kasihlah dia kepada Inggeris yang menentang amalan sejak sekian lama di India. Sebenarnya, Islam di India telah lama menentang tradisi tersebut. Tudinglah jari ke warisan kononya itu, sebelum memperkatakan poligami.
Saya ingin beritahu para pejuang hak wanita, bahawa saya bersama anda dan perjuangan hak wanita, tetapi kita kena pastikan dahulu arah perjuangan itu!

ARKIB : 22/02/2009

Poligami: pro Barat atau Islam?


Saya mengambil masa yang panjang berfikir tentang tajuk poligami untuk ditulis di ruangan ini. Pasti lepas ini, mungkin ada wanita pembaca tulisan saya sejak sekian lama akan merajuk atau kurang senang. Pohon saya ingin menyentuh juga tajuk ini bagi berbicara dengan lojik feminis sekularis yang cuba menilai isu ini dengan mentaliti Barat.
Secara umumnya, masyarakat ‘Barat’ ini menganggap seseorang lelaki memiliki perempuan simpanan atau mistress adalah perkara biasa. Bahkan menjadi trend di Barat ini untuk pasangan hidup bagaikan suami isteri tanpa perkahwinan yang diiktiraf. Bertukar-tukar atau menambah bilangan mistress bukanlah satu keganjilan. Namun pemikiran dan undang-undang mereka tidak menerima seseorang lelaki memiliki lebih dari satu isteri atau berpoligami. Poligami bagi mereka mempunyai unsur penghinaan terhadap wanita, atau unsur kerakusan nafsu lelaki. Sementara perempuan simpanan atau seks dengan wanita tanpa perkahwinan bukan satu penghinaan atau kerakusan nafsu. Eksploitasi setiap inci alur tubuh wanita dalam media mereka juga adalah bagi mereka lambang kebebasan dan kemerdekaan wanita. Adapun wanita muslimah yang menutup auratnya dengan rela adalah lambang kezaliman atau penghalangan hak wanita. Malang sekali, aliran ‘liberal melulu’ yang menghantui sesetengah pihak, termasuk di negara kita yang menonjolkan diri sebagai pejuang hak wanita, menelan cara fikir Barat ini lalu menjadikan isu poligami dan menutup aurat sebagai sasaran.
Berbalik kepada isu poligami, perkara yang selalu dibangkitkan adalah bahawa ia menafikan hak wanita atau merendahkan wanita. Padahal beza antara seorang isteri kedua, atau ketiga, atau keempat dengan seorang wanita simpanan begitu besar. Selain dari soal haram dan halal yang dilihat pada neraca agama, seorang yang berstatus isteri mempunyai hak ke atas suaminya; hak nafkah, hak keturunan anak, hak keadilan pembahagian hari dan harta, hak dihormati dan disayangi, hak untuk tidak dipersiakan apabila jemu dan berbagai lagi. Sementara seorang mistress yang ‘dijamah’ dalam senyap atau terang, boleh ditinggalkan tanpa pesan apabila jemu dan diratah apabila bernafsu, tiada apa hak yang boleh dituntut atas kekudusan perkahwinan. Mereka memandang sinis kepada poligami tapi menganggap fonomena biasa bagi perempuan simpanan. Poligami bagi mereka membawa ketidakadilan antara wanita. Mereka patut ditanya; apakah memiliki perempuan simpanan itu adil bagi wanita? Begitu juga, apakah hidup ‘berumahtangga’ tanpa kahwin itu penghormatan bagi wanita?
Ramai masyarakat Barat ini menyangka bahawa hanya Islam sahaja yang mengizinkan poligami. Padahal asalnya, seseorang lelaki Kristian diizinkan berkahwin sebanyak mana bilangan isteri yang dia suka, kerana Bible tidak menghadkan bilangan isteri. Hanya beberapa kurun kebalakangan ini gereja menghadkan bilangan isteri kepada satu. Poligami juga diizinkan dalam Yahudi. Ini berdasarkan undang-undang Talmud, di mana Nabi Ibrahim isterinya tiga, Nabi Sulaiman isterinya seratus. Perlaksanaan poligami berterusan dalam Yahudi sehinggalah Rabai Gersom Ben Yehudah (960-1030M) mengeluarkan perintah menentangnya. Namun masyarakat Yahudi Sephardic yang hidup di kalangan umat Islam terus mengamalkannya sehingga tahun 1950. Namun di Barat, trend hidup pragmatik yang mereka cipta menggantikan agama.
Islam apabila membenarkan poligami, seperti biasa menetapkan dalam setiap perkara peraturan dan disiplinnya. Soal berlaku baik dan adil kepada isteri, bukan sahaja diwajibkan untuk mereka yang berpoligami, bahkan kepada sesiapa yang bermonogami juga wajib melakukan kebaikan dan keadilan kepada isterinya. Jika ada kecuaian mereka yang berpoligami bukan bererti poligami itu buruk, tetapi sikap pelaksananya itu yang salah. Betapa banyak mereka yang monogami yang menzalimi isteri, tidak bertanggungjawab terhadap keluarga dan berbagai lagi. Apakah kerena tindakan salah mereka itu, maka monogami juga patut dilarang? Inilah mentaliti kelompok liberal yang tidak terurus pemikiran mereka.
Ramai isteri yang menghantar e-mail kepada saya bahawa mereka tidak dapat terima suami mereka berpoligami. Ya, itu adalah perasaan yang dikongsi oleh kebanyakan wanita. Apatahlagi jika suami mereka itu tidak menunaikan tanggungjawab yang baik selama belum berpoligami pun. Apabila Allah dan rasul-Nya mengizinkan poligami, pasti ia mempunyai hikmah yang tersendiri. Poligami adalah ubat yang dimakan di waktu perlu dan jangan memakannya jika anda tidak memerlukan. Poligami dalam sejarahnya, menyelamatkan wanita-wanita yang kehilangan suami seperti isteri tentera yang terkorban kerana umat. Mungkin mereka masih muda dan perlukan perlindungan. Jika diharapkan orang bujang, biasanya mereka mencari pasangan dara. Siapa yang akan mengambil tanggungjawab ini? Biasanya lelaki yang stabil dan matang mampu mengendalikan mereka. Mereka ini kebanyakan sudah berkahwin. Saya lihat dalam negara kita, poligami dapat membantu wanita yang baru menganut Islam yang kadang-kala tiada orang bujang yang dapat menjaga mereka dengan baik.
Wanita sama seperti lelaki terdedah kepada sakit dan ketidakmampuan seks. Jika suami tidak mampu dari segi seks, isteri boleh menuntut dipisahkan perkahwinan. Jika isteri tidak bermampuan dari segi seks, amat tidak wajar wanita yang lemah dan disakit ditinggalkan begitu. Namun, dalam masa yang sama naluri suami juga hendaklah diraikan. Poligami boleh menyelesaikannya. Begitu juga jika isteri tidak mampu melahirkan zuriat, apakah patut suami menceraikannya? Poligami sebagai penyelesaian keinginan kepada zuriat keturunan. Maka apabila Islam membenarkan poligami, ia adalah ubat. Barangkali juga ada isteri yang tidak terdaya melayan kehendak suami yang ‘tinggi’ dalam seks. Poligami juga jalan keluar dari beban ini. Kadang-kala ada lelaki yang berwibawa yang memampukan dia memiliki lebih dari seorang isteri yang diberi keadilan yang rata. Maka dalam sejarah Islam, poligami tokoh-tokoh telah membuahkan kebaikan ilmu, keluasan keluarga dan keturunan. Berbagai lagi hikmah poligami yang boleh disenarai panjang. Malang sekali, apabila golongan Pro-Barat atau ‘Islam-Liberal’ ini menyatakan tujuan mereka menentang pologami itu kerana hendak membela wanita, apakah pada mereka selain isteri pertama itu bukan wanita? Wanita itu, bukan isteri pertama sahaja, tetapi setiap yang berjantina wanita termasuk yang akan menjadi isteri kedua dan seterusnya. Perasaan dan kehendak mereka juga adalah tuntutan dan hak wanita yang perlu dihormati.
Pernah saya sebutkan bahawa kadang-kala hukum-hakam Islam boleh diumpamakan sebuah kedai yang menyediakan berbagai jenis ubat untuk semua jenis penyakit. Jangan kerana ada ubat yang dijual itu tidak bersesuaian dengan penyakit kita maka kita menganggap ubat tersebut mesti dihapuskan. Poligami adalah salah satu ubat bagi penyakit yang bersesuaian dengannya. Menghalang zina dan membantu wanita. Bagi yang tidak memerlukan ubat ini dia tidak disuruh meminumnya.
Poligami juga adalah jalan keluar kepada kehendak cinta di luar kawalan. Di zaman ini, untuk seseorang lelaki mendapatkan wanita secara haram, amatlah mudah. Namun jika ada lelaki yang ingin berkahwin sekalipun atas poligami yang membawanya menanggung berbagai risiko, saya rasa dia patut dihormati dan ada nilai tanggungjawab terhadap wanita. Cuma malangnya, poligami ini jika digunakan oleh lelaki yang tidak bertanggungjawab sehingga mencemarkan institusi berkenaan. Apatahlagi golongan anti poligami ini hanya menonjolkan contoh-contoh buruk poligami dan melupai contoh-contoh baik yang banyak. Lelaki-lelaki yang baik dan berkemampuan patut tampil membawa contoh yang baik dalam perlaksanaan poligami. Sementara yang tidak berkemampuan dan ‘lemah kewibawaannya untuk adil, maka janganlah memakan ubat yang tidak diperuntukkan untuk anda.


ARKIB : 15/02/2009

Apakah penyembuh kekalutan kita?

BANYAK email yang dihantar kepada saya mengadu betapa tenatnya perasaan melihat apa yang sedang bergolak dalam negara kita. Ada yang kata dia sesak nafas memikirkan hal umat Islam di negara kita. Ada yang menyatakan dia sudah malas nak fikir lagi. Ada yang kata dia rasa tertipu dengan sikap para pemimpin politik yang dia sokong. Ada yang bertanya penyelesaian dan berbagai lagi.
Jika kita ada penyakit, kita tidak patut mengubati apa yang kita nampak sahaja. Kita perlu ubati akar atau punca penyakit tersebut. Jika tidak, ia akan menyerang semula. Mengetahui punca asal penyakitnya, jika pun kita tidak dapat menyelesaikannya akan menjadikan kita sentiasa beringat di masa hadapan. Kekusutan yang berlaku pada hari ini, apakah ia baru bermula semalam, atau sudah bertahun lamanya? Barah yang kelihatan boleh membunuh pada hari ini, apakah baru muncul ketika doktor berjaya mengesannya, atau sudah bertahun lamanya? Banyak penyakit itu gagal diubati disebabkan hanya pada sangat akhir ketika sudah benar-benar nazak, baru datang berjumpa perawat. Bukan tidak boleh, tetapi penyelesaian yang lengkap akan sukar diperolehi. Ya, banyak perkara dalam hidup kita, Islam hanyalah dirujuk ketika saat gawat. Ini seperti mereka yang berumahtangga, Islam mencadangkan pakej yang lengkap bermula dari ciri-ciri dalam memilih pasangan, mudahnya urusan perkahwinan, kehidupan dengan disiplin agama, tanggungjawab suami, isteri dan anak-anak, hukum-hakam nusyuz sehinggalah kepada bab talak apabila ternyata rumahtangga tidak lagi membawa kebaikan. Malang sekali bagi pasangan muslim jika hanya merujuk kepada hukum Islam ketika hendak bernikah dan talak sahaja. Sepanjang perjalanan rumahtangga; bermula dari masa memilih pasangan, hukum-hakam syarak dalam rumah tangga, tanggungjawab mendidik anak isteri dengan ajaran Islam dan berbagai lagi tidak pernah dipedulikan.
Masalah politik dalam negara kita juga sama. Ia tidak bermula pada krisis semalam, atau kelmarin. Namun ia bermula dari prinsip, tingkah laku dan perjalanan yang sudah berusia tua. Apakah sistem politik yang kita anut selama ini benar-benar diletakkan atas prinsip Islam? Kita juga patut bertanya; bilakah politik permusuhan dan kebencian secara meruncing itu disemai? Apakah puncanya, sehingga ‘ukhuwah’ parti, melebihi ukhuwah Islamiah yang diajar oleh Allah dan Rasul-Nya. Permusuhan politik di peringkat kampung sehingga ke bandar sering memperlihatkan kerakusan kuasa dan ketaksuban parti yang kedua-duanya adalah menyanggahi prinsip Islam yang kudus.
Seterusnya, hilangnya kepercayaan kepada orang-orang politik, bermula bila? Saya secara peribadi melihat ramai pemimpin politik berjawatan dalam negara kita ini sombong. Lebih buruk lagi, apabila ‘kerja-kerja salah’ mereka menjadi bahan perbualan umum. Sehingga hilangnya kepercayaan rakyat itu, bukan kepada mereka, ter‘mangsa’ sistem-sistem lain termasuk mahkamah dan polis. Parti pemerintah bukan tidak boleh diubati, tetapi perlu ada kesungguhan dalam membuang segala unsur barah yang bersarang di tubuhnya sekalipun barah itu berupa orang besar. Jika tidak, generasi baru akan terus prejudis.
Dalam banyak keadaan, manusia hilang prinsip dalam politik. Perkara yang diharamkan semalam, mungkin dihalalkan hari ini. Lompat parti umpamanya, haram dan halalnya pada orang politik parti berdasarkan untung rugi politik kepartian. Sistem Beraja juga demikian, apabila ia menguntungkan, ia disanjung, apabila sebaliknya ia dikeji. Begitu juga politik wang, halal dan haramnya diukur berdasarkan siapa yang beri? Berkawan dengan ‘parti kafir’ juga serupa, kufur dan Islamnya bukan diukur dengan dasar yang dipegang, tetapi siapa yang mereka berkawan? Jika kita berdasarkan prinsip dari awal, kita sentiasa akan istiqamah dalam memutus semua perkara berdasarkan prinsip. Kita akan bertanya; dari segi prinsip ‘apakah melompat parti itu memenuhi akhlak mulia yang diajar oleh Islam? Apakah wang yang mengikis ketelusan itu diizinkan oleh syarak? Apakah Sistem Beraja atau segala adat-istiadat Beraja itu diajar oleh Islam? Jika benar hendak menilai, kita mesti menilainya dengan bebas dan hanya bergantung kepada Allah.
Saya dukacita melihat kadang-kala pertelingkahan politik mengikis akhlak dan nilai Islam dalam jiwa kita. Dalam dunia internet, maki-hamun, carut-marut dan sumpah-seranah menjadi mainan dan hiasan para penyokong aliran-aliran politik. Lebih mendukacitakan, apabila perbuatan keji seperti itu menggunakan nama Islam. Saya membaca komen-komen penyokong parti tertentu mengenai kenyataan Mufti Perak Datuk Seri Harussani Zakaria yang melarang rakyat menentang keputusan Sultan Perak. Komen-komen itu penuh dengan carutan dan makian yang tidak tergamak untuk kita baca. Ya, bagi saya sendiri banyak pandangan dan pendapat Mufti Perak berkenaan yang saya kurang setuju. Namun, memaki hamun dan mencarut kepada seseorang yang ada sumbangannya yang tersendiri bukanlah akhlak yang diajar oleh Islam. Dalam hadis al-Imam al-Bukhari daripada Anas bin Malik r.a. katanya: Bukanlah Nabi s.a.w itu seorang pemaki orang, tidak juga seorang pengucap kekejian dan bukan seorang pelaknat orang lain.
Melihat kepada masalah-masalah yang seperti ini, membawa kita insaf bahawa ada dua perkara yang memerlukan perubahan dalam negara kita. Pertama; melihat semula segala dasar dan sistem yang dipakai dalam negara ini; sejauh manakah itu semua memenuhi prinsip-prinsip yang ditegaskan oleh Allah dan rasul-Nya. Kedua; kembali mentarbiah kaum muslimin; pemimpin dan rakyat agar berdisiplin dalam prinsip, amalan dan akhlak selaras dengan ajaran Allah dan rasulNya. Maksudnya hendaklah dilakukan penegakan Islam di peringkat dasar dan penghayatan. Dengan syarat, tafsiran Islam itu mestilah atas keikhlasan dan ilmu yang bebas dari kepentingan parti dan politik tertentu.
Saya menyeru kepada para pejuang perubahan, semoga apa yang berlaku menginsafkan kita, betapa kita perlukan Islam yang tulen yang merdeka dari kepentingan puak, adat, bangsa, parti dan seumpamanya. Hanya kembali kepada Allah dan rasulNya. maka sesungguhnya tidak mungkin dapat difahami apa yang dikehendaki Allah melainkan dengan perantaraan Rasululah. Sesungguhnya tiada jalan kita sampai kepada baginda melainkan melalui pengetahuan mengenai sunnah baginda. Pula tiada jalan kepada sunnah baginda melainkan dengan ilmu hadis. Justeru itu menjadi kewajipan ke atas kaum muslimin, samada pemerintah atau rakyat, pendakwah atau yang didakwah, beriman bersama kita bahawa tiada jalan terlaksananya apa yang kita seru kepadanya iaitu perlaksanaan keadilan dan keamanan, menegakkan hukum Allah di atas muka bumi kecuali dengan berdakwah kepada sunnah dan mengamalkannya, juga mentarbiah kaum muslimin dengannya. Bukan dengan hukum-hakam dunia, undang-undang ciptaan manusia, pandangan-pandangan individu dan pegangan-pegangan kepartian. Itu semua menjadikan umat semakin berpecah dan jauh dari matlamat yang dituju” (Al-Albani, Sahih al-Adab al-Mufrad m.s. 8-9 Saudi: Dar al-Sadiq).
DR. Mohd Asri ZainUl Abidin ialah bekas mufti perlis dan kini pensyarah pengajian islam, universiti sains Malaysia (usm) yang sedang sabatikal di Britain.
laman web: drmaza.com.
E-mel: moasriza@yahoo.com.


ARKIB : 08/02/2009

Jika kita hayati perjalanan ini...


RAMAI yang meminta saya mengulas tentang perkembangan politik tanah air yang gawat, khususnya di Perak. Saya fikir sudah cukup saya bercakap tentang soal prinsip politik dalam agama, memadailah. Bagi sesiapa yang berminat, sedikit persoalan tentang isu tersebut telah saya coretkan dalam laman web saya, bolehlah merujuk ke sana. Politik tanpa prinsip dan politik taksub adalah dua bala besar dalam negara kita kini. Biarlah saya tinggalkan politik gawat itu, sambil tersenyum sinis melihat mereka bersandiwara di atas pentas dengan masing-masing mendabik dada berbangga dengan politik mereka.
Bak kata al-Quran: (maksudnya) Dan sesungguhnya inilah umat kamu, umat yang satu, dan Akulah Tuhan kamu; maka bertaqwalah kamu kepada-Ku. Kemudian mereka itu berpecah-belah dalam urusan mereka kepada beberapa pecahan, tiap-tiap puak berbangga dengan apa yang ada pada mereka. Maka biarkanlah mereka tenggelam dalam kesesatannya itu hingga ke suatu masa. (Surah al-Mukminun, ayat 52-54).
Kadang-kala dalam kejenuhan hidup di dunia ini kita perlu sering diingatkan agar balik semula semula kepada asas insani. Semoga dengannya, jiwa kotor kita dapat diredakan dari taufan kehidupan. Gagal mengingati asas menyebabkan kita hilang kompas dalam kembara hidup. Justeru, mari kita keluar seketika dari kegawatan isu, ketamakan dan kerakusan dunia dengan kembali merenung kepada hakikat hidup. Walaupun bagi sesetengah orang, perbincangan tentang Hari Akhirat bagaikan kurang standard, namun mereka tetap tidak boleh menafikan bahawa hidup ini hanya sementara. Mereka tetap akan mati dan kehidupan dunia mereka akan berakhir tanpa tarikh yang dapat diberitahu oleh sesiapa pun. Sementara, di sana ada kehidupan yang lebih abadi yang sering kita lupai. Justeru, Nabi s.a.w mengingatkan kita tentang kehidupan ini, sabda baginda: Aku di dunia ini hanyalah bagaikan seorang penunggang kenderaan yang berehat di bawah sebatang pokok, kemudian pergi meninggalkannya (Riwayat al-Tirmizi, dinilai sahih oleh al-Albani). Demikian kita semua dan dunia ini. Malangnya, hakikat ini sering kita lupa. Kita lupa kita dalam dalam pemusafiran yang sedang menuju ke suatu destinasi. Hari dan waktu yang berlalu saban detik adalah perjalanan yang mengheret kita ke sana, sama ada kita mahu ataupun tidak. Tiada siapa yang menongkat langit di dunia ini. Tiada makhluk yang kekal. Kata ‘Abdullah bin ‘Umar r.a: Rasulullah s.a.w memegang bahuku lalu bersabda: Jadilah engkau di dunia ini bagaikan orang asing, atau seorang musafir. (Riwayat al-Bukhari).
Hidup ini menjadi gawat apabila kita terlupa, atau tidak tahu ke mana destinasi akhir yang hendak dituju? Sehingga ke manakah kita mahu perjalanan hidup ini sampai? Di mana kompas perjalanan hidup? Ramai yang tahu apabila ditanya, tetapi sering terlupa apabila diburu urusan dunia. Lebih malang lagi, di Barat ini ramai yang memang tidak tahu atau tidak beriman dengan destinasi akhir kehidupan. Ramai yang menjadi atheis, dan ramai pula yang masih tertanya-tanya tentang agama. Lalu mereka bertindak dalam hidup ini, seakan dunia tiada Tuhan dan akhirat itu tiada wujud dalam kamus kehidupan.
Kita yang mengaku beriman pun sering terlupa tentang perjalanan ini. Allah mengingatkan kita dalam Surah al-Takathur yang sering kita baca: (maksudnya) Telah melalaikan kamu perbuatan berlumba-lumba untuk membanyak-banyakkan (harta benda, kuasa dan pengaruh). Sehingga kamu masuk kubur. Jangan sekali-kali (bersikap demikian)! kamu akan mengetahui kelak (akibatnya yang buruk)! Sekali lagi (diingatkan): jangan sekali-kali (kamu bersikap demikian)! kamu akan mengetahui kelak akibatnya yang buruk)! Demi sesungguhnya! kalaulah kamu mengetahui (apa yang kamu akan hadapi) dengan pengetahuan yang yakin. Demi sesungguhnya! kamu akan melihat neraka yang marak menjulang. Selepas itu, demi sesungguhnya! – kamu akan melihatnya dengan penglihatan yang yakin. Selain itu, sesungguhnya kamu akan ditanya pada hari tentang segala nikmat (yang kamu telah menikmatinya)! (ayat 1-8). Ya, kita sering dilalaikan oleh politik, kuasa, harta, anak-pinak, persatuan, masyarakat, teman rakan, kerja dan berbagai lagi sehingga kita lupa untuk apa kita lakukan itu semua? Sebagai bekalan perjalanan? Atau sekadar berlumba membanyak atau menguatkan kedudukan dan harta tanpa mempedulikan halal dan haram sehingga menjadi beban perjalanan?. Maka persaingan hidup membawa kita terlupa pada destinasi akhir yang disediakan untuk kita hanyalah dua; syurga ataupun neraka. Tiada yang ketiga buatnya. Firman Allah: (maksudnya) Adapun sesiapa yang berat timbangan amal baiknya, maka dia berada dalam kehidupan yang senang lenang. Sebaliknya, orang yang ringan timbangan amal baiknya, maka tempat kembalinya adalah “Haawiyah”. Dan tahukah kamu apa itu “Haawiyah” itu?. (Ia adalah) api yang panas membakar. (Surah al-Qari‘ah, ayat 6-11)
Kita lupa bapa kita Adam asalnya daripada syurga dan kita sepatutnya pulang ke sana. Kita bukan berasal daripada neraka. Al-Quran sering mengulangi kisah Adam, antara hikmahnya, agar kita sering mengingati hakikat ini. Tempat pulang kita adalah syurga yang dilimpahi dengan segala kenikmatan. Sehingga Nabi s.a.w jelaskan tentang keindahan syurga itu, sabda baginda: Allah berfirman: “Aku sediakan untuk hamba-hamba-Ku yang soleh itu apa yang mata tidak pernah melihatnya, telinga tidak pernah mendengarnya (kelunakan bunyiannya), dan tidak pernah terlintas (keindahan itu) dalam jantung hati manusia. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Ya, kita patut pulang ke sana. Bukan tersalah jalan akhirnya kita ke neraka. Pohon perlindungan Allah dari itu semua! Membaca kisah syurga dalam al-Quran dan as-Sunnah menjadikan jiwa kita rindu dan syahdu. Mendidik jiwa agar beriman dengan syurga dan neraka adalah ubat kepada kegawatan dan kerakusan hidup. Mengingati syurga menjadikan luka dan parah yang terkena dalam perjalanan ini amat kecil dan sedikit. Mengingati neraka menjadikan penderitaan atau susah payah hidup dalam mematuhi prinsip yang Allah dan Rasul-Nya perintahkan itu, amat ringan. Nabi saw menceritakan kepada kita tentang kedahsyatan neraka dan kenikmatan syurga dalam sabdanya: Pada Hari Kiamat dibawa seorang penduduk dunia paling nikmat kehidupannya yang menjadi orang ahli neraka. Dia dicelup ke dalam neraka satu celupan sahaja, kemudian dia ditanya: Wahai anak Adam, pernah engkau melihat kesenangan? Pernah engkau mendapat kenikmatan? Jawabnya: “Tidak! Demi Allah, wahai Tuhanku! Lalu dibawa seorang penduduk dunia yang paling derita kehidupannya yang menjadi ahli syurga. Dia dicelup ke dalam syurga dengan satu celupan sahaja, kemudian dia ditanya: Wahai anak Adam, pernahkah engkau melihat penderitaan? Pernahkah engkau mengalami kesusahan? Jawabnya: Tidak! Demi Allah, wahai Tuhanku!. Aku tidak pernah melihat penderitaan. Aku tidak pernah mengalami kesusahan. (Riwayat Muslim). Ya, syurga melupakan kita kepada segala derita dunia, sementara neraka melupakan kita kepada segala kenikmatan dunia.
Jika kita ada kompas ini dalam kehidupan, tentu kita tidak akan terlajak terlalu jauh dalam kesalahan atau penyelewengan. Jiwa dan perasaan kita sentiasa rasa dikawal sehingga kita melihat dunia dengan segala kekerdilannya dan akhirat itu adalah kehidupan sebenar. Maka reda ombak duka, atau kerakusan jiwa. Saya cuba bertanya diri dan rakan-rakan apabila membahaskan sesuatu perkara ilmu; apakah perbahasan ini membawa ke syurga atau ke neraka? Jika saya boleh bertanya kepada orang politik; pergelutan kalian, cara kalian, bahasa kalian, gelagat kalian, loyar buruk kalian itu semua membawa ke syurga atau neraka? Ya, mungkin soalan itu dianggap tidak standard lagi oleh kelompok politik era moden ini, termasuk yang dahulunya bercakap Islam, tetapi itulah hakikat perjalanan kehidupan.
DR. Mohd Asri ZainUl Abidin ialah bekas mufti Perlis dan kini pensyarah Pengajian Islam, Universiti Sains Malaysia (USM) yang sedang sabatikal di Britain.
laman web: drmaza.com.
E-mel: moasriza@yahoo.com.


ARKIB : 01/02/2009

Antara tudung dan cawat besi

Minggu lepas ketika di Prague, Republik Czech saya mengambil peluang berjalan-jalan di kota yang penuh sejarah dan seni itu. Memang menarik Bandar Prague yang penuh dengan bangunan-bangunan lama yang cantik dan indah yang dibina sejak kurun ke sepuluh atau ke sebelas. Walaupun usia bandar ini sudah 10 abad, namun bangunan bersejarahnya masih dipelihara.
Inilah salah satu keistimewaan yang saya lihat di Barat. Mereka begitu menjaga sekali bangunan-bangunan bersejarah yang begitu banyak di sana-sini. Bangunan-bangunan bersejarah mereka diizinkan untuk diubahsuai untuk kegunaan semasa di bahagian dalaman, tetapi reka bentuk luaran yang menyimpan kenangan sejarah dikekalkan. Dengan itu bangunan-bangunan tersebut tidak terbiar, tetap terpelihara dan dijaga. Sejarah mereka yang panjang menyebabkan bangunan bersejarah begitu banyak di setiap kota dan desa. Istana-istana lama yang menyimpan kenangan tentang raja-raja Eropah bertaburan di sana-sini. Walaupun mereka sudah tidak menyimpan institusi beraja mereka, kerana sudah tiada apa keperluan lagi untuk dikekalkan, namun mereka menyimpan bangunan-bangunannya. Ia bahan sejarah untuk dikaji dan dikenang. Bagi saya, mungkin mereka akan mengenangnya sebagai satu institusi yang menggambarkan bagaimana kezaliman, pembaziran dan penindasan dihalalkan atas nama kuasa, bahkan lebih buruk atas nama agama.
Sebelum kuasa pemerintahan dipisahkan dari agama oleh kebangkitan golongan reformis sekular, para penguasa di Eropah memerintah atas nama agama. Gereja dan istana itu disepadukan. Tindakan-tindakan istana dianggap mendapat restu Tuhan kerana gereja sentiasa bersama istana. Inilah keburukan jika agama dijadikan alatan untuk kerakusan kuasa pemerintah. Akhirnya kekejaman pemerintah dianggap kerestuan agama. Kerakusan dan ketamakan akhirnya dipalitkan kepada agama. Pemikiran bahawa agama berada di bawah kuasa pemerintah atau raja adalah pemikiran yang berasal dari Kristian Eropah.
Dalam Islam, agama mengatasi mengatasi raja atau sultan atau pemerintah. Pemerintah bertanggungjawab membela agama, bukan mengongkong agama. Hukum-hakam agama tidak terikat di bawah kerestuan atau limpah perkenan pemerintah atau raja. Sebaliknya “Islam itu tinggi dan tiada yang lebih tinggi daripadanya”. Maka tidak pelik dalam sejarah Islam, para ulama berkata tegas dan berani di hadapan raja atau sultan atau khalifah tentang sesuatu hukum sekalipun tidak mendapat restu istana. Hanya ulama-ulama cari makan sahaja di sepanjang sejarah menjadi alatan atau ‘hamba’ raja atau penguasa.
Di Prague, ada muzium khas yang mempamerkan alat-alat penyeksaan yang digunakan pada kurun pertengahan. Muzeum Of Medieval Torture tersebut menggambarkan betapa tidak berhati perut para pelaksana hukuman tersebut. Antara yang ngeri adalah gergaji yang digunakan untuk menggergaji dari celah kelengkang orang yang dihukum. Juga alatan sula yang menakutkan. Begitu juga sikat besi yang digunakan untuk menyikat jasad mangsa sehingga terpisah antara daging dan tulangnya. Melihat itu semua mengingatkan saya kepada hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari di mana Nabi saw pernah menceritakan peri kesabaran para pejuang agama yang terdahulu. Kerakusan itu nampaknya terus diwarisi oleh zaman pertengahan Eropah. Sabda Nabi saw: “Sesungguh di zaman terdahulu, seorang lelaki dibuat lubang untuknya dalam tanah lalu dimasukkannya, lalu dibawa gergaji diletakkan atas kepalanya (digergaji) sehingga terbelah dua. Dia disikat dengan sikat besi sehingga terpisah antara daging dan tulangnya. Namun itu semua tidak membuatnya meninggalkan agamanya”.
Antara yang yang menarik yang dipamerkan adalah cawat-cawat besi yang dipakaikan kepada isteri-isteri tentera yang pergi berperang menentang tentera Islam di Palestin. Barangkali kerana tidak percayakan kesetiaan isteri-isteri mereka, maka cawat besi berkunci dipakaikan. Ia begitu menyeksa, begitu menyusahkan untuk bergerak, apatah lagi ke tandas. Pada musim sejuk, tidak dibayangkan bagaimana menderitanya wanita-wanita yang dipaksa pakai cawat-cawat tersebut. Itulah layanan yang diberikan kepada wanita Eropah pada zaman dahulu. Bagi mereka yang begitu mengagungkan pemikiran ‘orang Eropah’ tentang wanita, jangan lupa bahawa mereka baru sahaja keluar dari kegelapan lampau yang menzalimi wanita dengan begitu rakus. Malangnya, mereka memang telah keluar dari kegelapan itu, namun wanita mereka sekarang dimasukkan kegelapan baru di mana harga diri dan maruah menjadi begitu murah. Majalah dan akhbar saban hari menayangkan tubuh-tubuh yang muda dan cantik untuk menarik perhatian ramai demi keuntungan golongan ‘pemodal’ yang hanya memikirkan wang, tanpa menilai kesannya ke atas masyarakat. Sesetengah golongan ‘liberalis terlajak’ yang mengkritik pakaian yang dipakai oleh wanita muslimah kononnya mengongkong kaum wanita, sepatutnya tahu bahawa tudung dan pakaian yang menutup aurat itu tidak pernah mengganggu wanita beriman. Betapa ramai yang memakai tudung yang sempurna berjaya dalam merebut persaingan kehidupan mereka. Betapa ramai dalam kalangan mereka yang menutup aurat yang sempurna itu mencapai kemuncak kejayaan dalam kerjaya dan rumahtangga. Jika kebahagiaan dunia yang diburu itu yang menjadi sukatan, tiada sebarang data yang menunjukkan wanita muslimah yang bertudung kurang berjaya daripada yang tidak bertudung. Jika nikmat seks yang hendak diukur, adakah sesiapa yang berani menyatakan wanita bertudung kurang menikmati seks dibandingkan wanita lain? Janganlah apabila golongan ‘liberalis terlajak’ ini membaca perjuangan reformis Eropah membebaskan kongkongan terhadap wanita mereka, cuba hendak mengutip semuanya. Pakai cawat besi tidak sama dengan pakai tudung kepala. Cawat besi tidak mungkin dilakukan oleh manusia berhati perut, tetapi tudung ada nilai kesopanan dan kesusilaan. Sehinggakan golongan rahib wanita atau ‘nun’ juga memakai tudung. Mungkin ada pihak yang mempunyai pendapat yang berbeza tentang tudung, tetapi nas-nas Islam yang difahami oleh majoriti umat ini sejak dahulu sehingga sekarang menyuruh wanita muslimah agar tidak mendedah tubuh mereka melainkan wajah dan kedua tangannya. Adapun purdah, saya antara yang menganggap ia tidak diwajibkan oleh agama ini. Mungkin ia boleh dianggap mengongkong di zaman ini. Pun begitu, ia masih tidak sama dengan cawat besi para isteri tentera Kristian pada zaman pertengahan.
Sebenarnya Islam telah lama membebaskan wanita dari kegelapan kepada cahaya yang menerangi kehidupan manusia. Malangnya, di sesetengah negara adat istiadat kaum telah mengambil tempat agama. Wanita diwajibkan apa yang tidak diwajibkan oleh agama. Adat telah mengongkong mereka, seperti mana adat telah mengongkong wanita melayu zaman dahulu dan wanita sesetengah negara Arab di zaman kini. Kefahaman agama yang sempit juga, sering memangsakan wanita. Demikian di Malaysia, pengurusan agama seperti ‘mahkamah yang bernama syariah’ yang melewatkan kes-kes talak sehingga seseorang wanita terpaksa berkurung nafsu bertahun lamanya adalah cawat besi halimunan yang dipakaikan kepada wanita beriman secara kejam.
dR. Mohd Asri ZainUl Abidin ialah bekas mufti perlis dan sekarang pensyarah pengajian islam, universiti sains Malaysia (usm) yang sedang sabatikal di Britain.
laman web: drmaza.com.
E-mel: moasriza@yahoo.com.


ARKIB : 25/01/2009

Tegas berakidah, luas dalam fikah

Selama hampir dua minggu saya mengembara dari London ke Osnabruck, kemudian ke Berlin dan seterusnya ke Republik Czech. Di setiap tempat saya disambut dengan mesra dan meriah oleh para pelajar Malaysia. Walaupun kebanyakan mereka belum pernah bertemu saya, tetapi banyak pandangan saya; sama ada dalam bentuk ucapan atau tulisan, kebanyakan mereka telah pun menelaahnya. Alhamdulillah. Itulah kebaikan dunia internet jika kita manfaatkan. Walaupun sebahagian mereka berada di luar negara sejak saya belum menjadi mufti dan setelah saya berhenti pun mereka belum balik lagi, namun mereka tahu perkembangan Malaysia.
Dalam tempoh dua tahun saya menjadi mufti nampaknya pandangan yang dilontarkan telah diekspot ke sana. Setiap tempat yang saya sampai, saya memberikan ucapan dan membuat sesi soal jawab. Dunia hari ini begitu pantas maklumatnya, di mana sahaja saya berhenti, akan ada rakyat Malaysia yang tahu dan menunggu saya di berbagai stesen. Mereka menjemput ke berbagai program yang dianjurkan dan boleh dikatakan setiap warga Malaysia di kawasan berkenaan akan hadir.
Memberikan ucapan kepada pelajar terpilih dan bijak amatlah selesa dan senang. Mereka memiliki kecerdasan minda dan ketajaman untuk berhujah. Apabila merasakan pandangan yang dilontarkan itu berteraskan alasan meyakinkan, dengan mudah mereka bersetuju, jika tidak bersetuju, mereka akan bersoal jawab dan mendatangkan alasan mereka.
Saya sering mengingatkan pembaca dan mereka bahawa Islam sama sekali tidak menerima pegangan agama yang dibuat atas ikut-ikutan tanpa memahami dalil atau alasan. Tiada taklik buta dalam Islam ini. Tiada dalam Islam senjata beracun yang pernah digunakan oleh sesetengah golongan yang memakai label agama iaitu ‘barang siapa yang banyak bertanya, maka lemahlah imannya’. Jika manusia bijak seperti mereka yang mempelajari bidang-bidang yang sukar seperti perubatan tidak dibekalkan dengan kekuatan kefahaman yang berteraskan fakta dan dalil, siapa lagi yang hendak kita harapkan menjadi benteng Islam di zaman kini.
Dr Zakir Naik umpamanya, dia seorang saintis yang menyumbang kepada penyebaran Islam dengan hujah-hujah saintifik dan pemikiran tajam. Kebijaksanaannya digunakan untuk menyampaikan Islam. Peace TV telah dijadikan saluran media membolehkan manusia memahami Islam yang canggih dan mengatasi zaman.
Lihatlah, ketika sesetengah mereka yang bergelar ‘ustaz’ menggambarkan Islam sebagai agama yang dipenuhi dengan unsur Israiliyyat, hadis palsu, jampi itu dan ini, cerita-cerita lucu kewalian, upah pahala sebagai bisnes dan berbagai pencemaran yang lain, golongan profesional muslim yang mendapat disiplin ilmu perubatan, kejuruteraan, pembinaan dan berbagai lagi tampil menjelaskan Islam yang sebenar.
Islam yang mereka fahami dari sumber yang betul tanpa sebarang kepentingan kebendaan. Ini mengingat kepada Nabi Sulaiman a.s apabila beliau mendengar ucapan semut betina. Firman Allah: (maksudnya) Hingga apabila mereka sampai ke Waadin-Naml (lembah semut), berkatalah seekor semut betina: Wahai sekalian semut, masuklah ke sarang kamu masing-masing, jangan Sulaiman dan tenteranya memijak kamu, sedangkan mereka tidak menyedari. Maka tersenyumlah Sulaiman mendengar kata-kata semut itu, dan berkata (berdoa): Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmat-Mu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amalan soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah daku - dengan rahmat-Mu - dalam kumpulan hamba-hamba-Mu yang soleh. (Surah al-Naml: 18-19) Demikian, pengetahuan tentang alam membawa insan mendekatkan diri kepada Allah dan bersyukur kepada-Nya.
Dalam banyak ucapan, saya menceritakan kepada mereka tentang dua perkara yang penting. Pertama, kejelasan dan ketegasan Islam dalam perkara akidah, kedua keluasan dan kemudahan yang diperuntukkan oleh Islam dalam soal fikah.
Perkara ini perlu dijelaskan kerana dalam kalangan umat Islam, termasuk di Malaysia ada yang begitu longgar dalam akidah tapi begitu sempit dalam perkara fikah. Maka tidak hairan jika kita menemui di Malaysia mereka yang berserban atau berkopiah dan begitu takut untuk terkeluar dari mazhab fikah kebiasaannya, namun dalam masa yang sama dia masih percaya kuat kepada bomoh, atau gurunya dianggap ajaib, atau masih percaya tangkal. Saya pernah melihat kumpulan berjubah dan berserban sakan, namun pergi memohon hajat di kubur Pulau Besar Melaka. Pengaruh tarekat yang berlebihan atau kesufian yang melampau sering menjadikan sesetengah pihak gagal untuk membezakan antara batasan iman dan syirik.
Guru dan bomoh sering diangkat melebihi kadar sepatutnya, walaupun kita lihat mereka begitu menjaga sesetengah amalan fikah, sehingga kelihatan sempit dan beku. Maka tidak pelik, jika ada imam masjid di negara kita masih kuat pegang dengan bomoh, atau terikut dengan tarekat yang bukan-bukan. Sepatutnya, dalam isu akidah seseorang hendak sensitif dan selalu takut akan segala unsur syirik. Sementara dalam soal fikah, ada keluasan yang diberikan oleh syarak yang boleh kita amalkan. Umpamanya, di Eropah, pada musim sejuk, waktu siang agak singkat. Waktu solat mereka berkejaran dengan waktu kelas atau peperiksaan. Sebenarnya, dalam hal yang seperti ini, mereka boleh mengamalkan solat jamak, tanpa qasar. Sekalipun jika mereka menganggap diri mereka sudah tidak bermusafir, mereka tetap mempunyai peruntukan untuk menjamakkan solat tanpa qasar. Jamak bermaksud menghimpun dua solat dalam satu waktu, sama ada pada waktu pertama, atau kedua. Ini bagi solat Zuhur dan Asar, atau Maghrib dan Isyak. Maka boleh dihimpunkan solat Zuhur dalam waktu asar, atau sebaliknya. Demikian Maghrib dan Isyak.
Adapun qasar, iaitu memendekkan solat empat kepada dua rakaat, maka ia dikhususkan untuk mereka yang bermusafir. Sementara jamak, boleh untuk dilakukan oleh mereka yang sakit, ketakutan, terlalu sibuk, hujan, terlalu sejuk, musafir dan segala kesusahan yang lain. Dalam hadis Muslim, daripada Sa‘id bin Jubair meriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas, katanya: Rasulullah bersolat Zuhur dan Asar secara jamak di Madinah tanpa sebab ketakutan atau musafir. Kata Abu Zubair: Aku bertanya Sa‘id mengapa Rasulullah berbuat demikian?. Jawabnya: Aku pun pernah bertanya Ibn ‘Abbas seperti mana engkau bertanyaku, jawab Ibn ‘Abbas: Kerana baginda mahu agar umatnya tidak beban.
Maka bagi yang kesuntukan masa, seperti pelajar, atau doktor bedah, atau ahli parlimen, atau polis yang bertugas menjaga lalu lintas, atau mereka menjaga jentera yang sukar untuk ditinggalkan, maka peruntukan jamak ada dalam hadis ini untuk mereka.
Namun malangnya di Malaysia, ada yang sanggup meninggalkan solat apabila masuk hospital atas alasan sukar untuk solat. Apa tidaknya, fikah yang diajar diajar begitu sukar kerana ditokok tambah berbagai hukum lain yang memayahkan sehingga disuruh sesiapa yang sakit tidak mampu berwuduk sepenuhnya untuk wuduk separuh dan bertayamum sebakinya. Orang sihat pun hanya berwuduk, tiba-tiba yang sakit disuruh wuduk dan tayamum.
Para pelajar di sini mempunyai masalah kerana anjing begitu banyak. Ramai yang membawa anjingnya ke sana sini. Jalan menjadi kotor dengan najis anjing yang berselerakan. Berselisih dan bersentuh dengan anjing bukan perkara luar biasa. Demikian juga dengan daging babi yang amat digemari oleh ‘orang putih’.
Kefahaman fikah tempatan kita menjadikan sesetengah pelajar kita begitu gusar dalam masalah ini. Saya telah memberikan beberapa jawapan untuk mereka menceritakan kepelbagaian pandangan sarjana Islam berhubung dengan nilai najis kedua haiwan berkenaan dan
bagaimana kita dapat mengambil manfaat dari keluasan fikah Islam dalam hal-hal tersebut.
Apa yang penting mereka perlu tegas dalam akidah dan ambil kemudahan fikah yang diberikan syarak.
dR. Mohd Asri ZainUl Abidin ialah bekas mufti perlis dan sekarang pensyarah pengajian islam, universiti sains Malaysia (usm) yang sedang sabatikal di Britain.
laman web: drmaza.com.
E-mel: moasriza@yahoo.com.


 ARKIB : 18/01/2009

Hitler itu mungkin ada benarnya


Ketika saya menulis rencana ini (pada hari Sabtu) saya sedang berada di Osnabruck, Jerman. Pada hari Jumaat semalam saya memberikan ceramah ringkas di sebuah masjid di sini yang diberi nama Masjid Ibrahim. Kebanyakan ahli jemaahnya merupakan orang Arab. Saya berucap dalam bahasa arab mengenai isu semasa umat Islam sekarang khususnya Palestin. Imamnya yang berasal dari Syria berkhutbah dengan berani dan bersemangat tentang isu Gaza. Bahkan beliau berkempen agar ahli jemaahnya menyertai demonstrasi aman membantah kekejaman yang dilakukan terhadap rakyat Palestin. Saya melihat satu keperluan apa yang beliau kempenkan, sebab di Berlin telah dibuat demonstrasi besar menyokong tindakan Israel. Malanglah jika ada masjid di Malaysia yang tidak berani mengutuk Israel. Hari ini (Ahad) saya bercadang hendak ke Berlin untuk berjumpa dengan beberapa pihak.
Ini adalah kali pertama saya sampai ke Jerman. Semasa kecil apa yang saya tahu mengenai Jerman iaitu tenteranya di pihak yang jahat berperang melawan hero-hero Amerika. Ini semua adalah pengaruh filem Combat semasa zaman tersebut. Oleh kerana Amerika yang menerbitkan siri Combat tersebut, maka digambarkan merekalah di pihak yang benar dan Jerman di pihak yang jahat. Alasan kejahatan tidak diketahui melainkan kerana hero yang ditabalkan berada di pihak tentera Amerika. Demikianlah cara sesebuah filem mempengaruhi minda manusia, terutama kanak-kanak. Apabila masuk ke sekolah menengah serta terdedah kepada bahan bacaan yang berbagai, nama Adolf Hitler dan puak Nazinya agak sinonim dengan Jerman di lintasan minda setiap kali perkataan Jerman itu disebut. Selain itu, tidak banyak maklumat tambahan tentang Jerman yang saya baca.
Sebelum saya sampai ke Jerman, seminggu lepas saya menghabiskan buku yang ditulis oleh Seymour Rossel yang bertajuk The Holocaust. Sebagai Yahudi, beliau memang membela Yahudi dan mengutuk Hitler habis-habisan. Beliau mengutip maklumat daripada Encyclopedia Judia mendakwa bahawa Nazi telah membunuh sebanyak 5,820,960 Yahudi terutama Yahudi Poland dan Rusia. Saya tidak pasti sejauh manakah benar angka tersebut. Tapi yang pasti memang Hitler ialah seorang diktator yang sangat kejam. Membunuh dengan zalimnya bukan sahaja Yahudi, tetapi juga sesiapa sahaja yang menentangnya. Cara pembunuhannya juga begitu sistematik bagaikan kilang perusahaan yang teratur. Kekejaman itu tidak dapat diterima oleh sesiapa pun. Di Jerman sehingga hari ini kekejaman itu dikutuk oleh rakyat negaranya.
kekejaman
Namun, di samping kekejaman yang disandarkan kepada Adolf Hitler, persoalan yang patut ditanya, mengapakah kempen Adolf Hitler bahawa Yahudi adalah bangsa yang bahaya, telah merosak dan mengancam Jerman, mendapat sambutan ketika itu? Ketika Hitler baru cuba muncul dalam politik Jerman pada tahun 1919, walaupun beliau seorang pemidato yang baik, beliau belum terkenal dan hanya beberapa orang sahaja yang hadir mendengar ucapannya. Namun selepas itu, apabila beliau membangkitkan dalam ucapan-ucapannya isu anti-semitic atau anti Yahudi, rakyat Jerman mula membanjiri ucapannya dan menyokong gerakannya membenci Yahudi. Apabila Hitler dipenjarakan pada tahun 1923 selama sembilan bulan, beliau menulis bukunya yang terkenal Mein Kampf. Sejak awal penulisan buku tersebut, Hitler menegaskan bahawa penderitaan ekonomi yang dihadapi oleh bangsa Jerman yang ketika itu adalah berpunca dari kejahatan Yahudi. Perasaan kebencian terhadap Yahudi dihidupkan dalam buku tersebut. Sebenarnya, Hitler bukanlah orang memulakan kepercayaan bahawa Yahudi adalah bangsa perosak.
Pada 1542, pemimpin agung Prostestan Jerman, Martin Luther telah menulis tentang pembohongan dan kemerbahayaan Yahudi dalam bukunya Against The Jews And Their Lies. Pada kurun yang ke-14, Sepanyol dan Portugal memaksa masyarakat Yahudi hidup secara terpisah dari bukan Yahudi. Pada 1516, di Venice, Itali, pihak Gereja Katholik memerintah agar dibina tembok mengelilingi penempatan Yahudi yang dinamakan dengan Ghetto. Yahudi tidak benarkan keluar pada waktu malam sehingga menjelang fajar. Masyarakat awam Kristian ketika itu percaya bahawa Yahudi adalah bangsa yang jahat dan beramal dengan ilmu hitam. Pembinaan ghetto kemudiannya telah berkembang ke seluruh Eropah. Maka Yahudi Eropah dikepung di sebalik tembok ghetto, atau pekan-pekan khas hanya untuk mereka. Mengapakah masyarakat Eropah ketika itu bersepakat mempercayai Yahudi adalah kaum yang jahat? Jawapannya, sama ada kepercayaan itu adalah khurafat, atau mereka mempunyai asas pengalaman dengan Bangsa Yahudi. Jikalau jawapannya yang pertama, Yahudi adalah memang bangsa yang teraniaya. Jika jawapannya, Yahudi memang dalam sejarahnya telah merosakkan kehidupan manusia sehingga menjadi ketakutan kepada masyarakat Eropah, tindakan kejam atau rakus Adolf Hitler, sekalipun kejam dan tidak dapat diterima, namun ia secara tidak langsung mengurangkan jumlah kemerbahayaan Yahudi kepada masyarakat Eropah khususnya dan dunia amnya. Apa pun ceritanya, kesangsian pihak pihak Gereja Kristian telah lama berakar umbi, sehinggalah Yahudi kembali menipu Eropah pada hari ini. Lalu undang-undang Anti-Semitic dikuatkuasakan di Eropah, maka bangsa Yahudi mendapat kekebalannya di sini, terutama di Jerman ini.
Jika lihat dalam sejarah Islam, di samping menyedari tentang tabiat Yahudi, namun Islam tidak pernah menghukum mereka hanya kerena mereka Yahudi, tetapi menghukum berdasarkan tindakan mereka. Nabi SAW pernah mengizinkan mereka terus menetap di Khaibar yang subur. Namun mereka khianat, merancang dengan pihak musuh untuk menjatuhkan kerajaan Nabi saw Maka mereka pun diusir. Pada zaman Khalifah 'Umar Ibn al-Khattab, beliau telah memberikan kepada Yahudi penempatan dan keamanan di Alia, Palestin. Kebebasan beragama dan hidup diberikan dengan jelas serta termaktub dalam pengisytiharan khalifah agung tersebut. Namun, seperti biasa, Yahudi terus khianat. Sejarah pengkhianatan Yahudi bukan bermula sejak kemunculan pemikiran zionisme, tetapi sejak lama dahulu. Sejak kisah mereka dengan para nabi yang mengalami berbagai tragedi disebabkan kerenah mereka. Pun begitu, Islam tidaklah pula menghukum secara 'borong' dengan menyatakan setiap individu yahudi itu jahat.
Bahkan dalam sirah Nabi SAW, isteri baginda Safiyyah binti Huyyai merupakan anak ketua Kabilah Yahudi Bani Quraizah. Ada sahabah yang mulia bernama 'Abd Allah bin Salam. Beliau seorang yahudi, bahkan tokoh agamawan besar Yahudi. Beliau menganut Islam dan amat dihormati. Islam amat adil dalam menilai, tidak ditanggung dosa orang lain atas bahu orang lain. Maka walaupun secara umumnya, rekod Yahudi memanglah buruk, namun ini tidak menafikan kemungkinan adanya mereka yang baik di kalangan Yahudi. Tetapi rekod Yahudi secara umum, memanglah buruk. Ini diakui oleh Abd Allah bin Salam sendiri ketika beliau menganut Islam. Katanya: "Wahai Rasulullah! Kaum Yahudi adalah puak yang paling kuat berdusta. Mereka jika tahu aku menganut Islam mereka akan menuduhku bukan-bukan. Sembunyikanlah aku di sisi engkau dan hantarlah orang bertanya pendapat mereka mengenaiku". Maka Rasulullah pun menyembunyikannya dan menghantar orang memanggil golongan Yahudi lalu mereka pun datang. Rasulullah SAW bertanya mereka: "Apakah kedudukan Abdullah bin Salam pada pandangan kamu?" Jawab mereka: "Dia orang yang terbaik di kalangan kami, anak orang terbaik. Pemimpin kami, anak pemimpin kami. Ulama kami, anak ulama kami". Sabda Rasulullah: "Apakah jika dia menganut Islam, kamu akan turut menganut Islam?" Jawab mereka: "Allah lindunginya dari perkara tersebut". Sabda Rasulullah: "Wahai Abdulullah bin Salam, keluar dan beritahulah kepada mereka". Abdullah bin Salam pun keluar dan berkata: "Aku menyaksikan bahawa tiada ilah melainkan Allah dan Muhammad Rasulullah". Lantas mereka berkata: "Dia orang yang paling jahat di kalangan kami, anak orang yang paling jahat. Orang yang paling jahil di kalangan kami dan anak orang paling jahil". Kata Abdullah bin Salam: "Aku telah beritahu wahai Rasulullah! Bahawa Yahudi adalah kaum yang kuat berdusta". (Riwayat Ahmad dan al-Bukhari).
Kita bukan anti kaum tertentu, atau anti-semitic secara membabi buta seperti Hitler atau masyarakat Eropah dahulu. Namun jika kita melihat Yahudi Israel hari ini mengkhianati perjanjian atau bersikap jahat, itu bukanlah perkara baru dan pelik untuk mereka kerjakan. Kepercayaan Hitler itu, mungkin ada benarnya.
- Dr. Mohd Asri ZainUl Abidin ialah bekas mufti Perlis dan sekarang Pensyarah Pengajian Islam, Universiti Sains Malaysia (USM) yang sedang sabatikal di Britain.
Laman web: drmaza.com.
E-mel: moasriza@yahoo.com.

ARKIB : 11/01/2009

Akal mengukur maklumat

Masalah paling besar dalam kalangan sesetengah yang memakai gelaran ‘agamawan’ atau tokoh agama adalah apabila mereka tidak memiliki manhaj atau method yang betul dalam memahami sesuatu fakta yang dikaitkan dengan Islam ini. Lalu, atas kurang teliti, atau ‘kurang fikir’ atau ‘memang tak fikir’ mereka menelan semua perkara yang dikaitkan dengan agama samada hasil percakapan orang atau bahan bacaan. Dari situlah lahirnya khurafat, karut marut, tokok tambah, kekartunan pemikiran yang diberikan lebel agama. Jika hal itu berterusan, maka kekeliruan terhadap agama akan berkembang lantas agama akan dipersenda dan didustai. Inilah yang terjadi kepada agama Kristian di Barat pada hari ini sehingga penghormatan para penganutnya terhadap perlambangan utama agama tersebut; termasuk Tuhan dan Jesus menjadi bahan sendaan dan mainan. Ini kerana ajaran agama di Barat gagal menghadapi perkembangan akal kritis yang ada dalam kalangan mereka. Ini berbeza dengan negara-negara yang rakyatnya berjiwa feudal, atau rakyatnya diharamkan berfikir lalu mereka menelan segala perkara, sama ada benar ataupun salah tanpa mampu, atau mahu berfikir. Inilah yang terjadi kepada penganut berhala totok yang menyembah apa sahaja yang terlintas atau difikirkan ajaib. Sesiapa yang pergi ke India akan dapat melihat kemandulan akal dalam beragama.
Sesuatu riwayat atau kisah atau matan yang hendak dianggap benar untuk dikaitkan dengan Islam dinilai secara kritis sejauh manakah kesahihan maklumat tersebut. Ini mesti dilihat kepada sumber maklumat; samada ia berasal daripada al-Quran dan al-Sunnah atau tidak? Sementara jika riwayat itu bersumberkan hadis atau athar; hendaklah dipastikan ia riwayat yang diterima di sisi ilmu periwayatan. Bukan riwayat yang para perawi atau periwayatnya ditolak. Setelah proses ini dilepasi, dinilai pula sejauh manakah kemunasabahan sesuatu teks atau riwayat itu. Adakah ia bertentangan dengan al-Quran, atau realiti yang nyata, atau sejarah yang tidak dipertikaikan, atau akal yang disepakati? Jika ini berlaku dan tiada jalan keluar untuk menserasikannya, maka riwayat itu ditolak. Contohnya cerita bahawa Bahtera Nabi Nuh a.s. tawaf Kaabah dan bersolat di makam Ibrahim dua rakaat. Ini semua adalah dusta. Tidak masuk akal. Nabi Nuh a.s. wujud sebelum Ibrahim a.s. Sementara Kaabah dibina oleh Nabi Ibrahim dan Makam Ibrahim mengambil sempena nama Nabi Ibrahim a.s. Di mana Kaabah dan makamnya ketika itu untuk Bahtera Nuh bertawaf? Dengan itu para ulama hadis-hadis menolak cerita ini. Termasuk yang menempelak riwayat tersebut al-Imam al-Syafi‘I (al-Jurjani, al-Kamil fi Du‘afa al-Rijal, 4/270, Beirut: Dar al-Fikr). Malang sekali, masih ada penceramah agama yang mendendangkan kisah karut ini.
Pembunuhan
Beberapa e-mel saya terima mengadu mengenai sebuah tulisan dalam akhbar ini yang menyatakan tentang sunat membuat bubur pada sepuluh Muharam kerana mengenangkan peristiwa pembunuhan Saidina Husain bin ‘Ali r.huma. Ada yang bimbang masuknya unsur Syiah ke dalam masyarakat yang tidak diajar menilai sesuatu dengan kritis. Saya kata; kita tidak bimbang asal-usul sesuatu unsur pemikiran atau kefahaman dari mana datangnya. Selagi ia benar atau bertepatan dengan fakta, datanglah dari mana sahaja, sekalipun dari Yahudi. Kebenaran tidak memilih bulu. Apa yang dibimbangi adalah unsur tersebut terpinggir jauh dari kebenaran. Soal kelebihan amalan atau fadilat adalah ditentukan oleh Allah dan RasulNya. Dalam riwayat sahih yang manakah yang menyebut kelebihan membuat bubur hitam atau merah atau apa warna sahaja pada Hari ‘Asyura? Yang pasti ia tidak pernah ada. Apatah lagi peristiwa pembunuhan Husain bin ‘Ali berlaku pada tahun 61H, di zaman pemerintahan Yazid bin Mu‘awiyah. (lihat: Ibn Kathir, al-Bidayah wa al-Nihayah, 6/258, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah).
Terlajak membicarakan tentang pembunuhan cucunda Nabi SAW ini, al-Husain bin ‘Ali yang amat kita cintai, ingin saya jelaskan bahawa ahli-ahli sejarah ramai yang berpendapat bukan Yazid yang membunuhnya seperti yang didakwa. Saya ingin memetik apa yang diulas oleh sejarahwan besar, al-Imam Ibn Kathir (meninggal 774H): “Orang ramai mempunyai berbagai pendapat tentang Yazid bin Mu‘awiyah. Ada yang mencintai dan mengangkatnya iaitu segolongan penduduk Syam yang beraliran Nasibiyyah. Adapun golongan Syiah Rafidah, mereka mengejinya dan mengada-adakan berbagai pembohongan yang Yazid tidak lakukan. Ramai mereka menuduhnya zindiq (kafir yang berpura muslim). Dia tidak sampai begitu. Sementara pihak yang lain, tidak menyukainya dan tidak pula mencercanya. Ini kerana mereka tahu dia bukan zindik seperti yang dituduh oleh golongan Syiah Rafidah, namun pada zaman pemerintahannya berlaku berbagai peristiwa yang jelik dan perkara-perkara yang dibantah, hodoh dan keji. Paling teruk adalah pembunuhan Husain bin ‘Ali di Karbala. Namun dia tidak tahu (mengarahkannya) dan barangkali dia tidak meredainya” (al-Bidayah wa al-Nihayah, 6/256). Kata tokoh pengkaji hadis al-Imam Ibn al-Salah (meninggal 643H): “Tidak sahih di sisi kami bahawa Yazid memerintahkan agar dibunuh al-Husain r.a. Riwayat mereka yang dipercayai bahawa perintah agar dibunuh al-Husain dari orang yang mengepalai dalam pembunuhannya iaitu ‘Ubaid Allah bin Ziyad, gabenor Iraq ketika itu” (Ibn Tulun, Qaid al-Syarid min Akhbar Yazid m.s. 57, Kaherah: Dar al-Sahwah, Kaherah). Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah (meninggal 728H) mempunyai ulasan yang menarik, katanya: “Apabila kaum keluarga Husain datang kepada Yazid, dia memuliakan mereka dan mengiringi mereka ke Madinah. Diriwayatkan dia melaknat Ibn Ziyad atas pembunuhan al-Husain. Katanya: “Aku meredhai ketaatan penduduk Iraq tanpa membunuh al-Husain”. Namun begitu beliau tidak menampakkan bantahannya, membela kematiannya dan mengambil tindakan membunuh balas sedangkan itu adalah kewajipannya. Maka dengan itu, pendokong kebenaran mengutuknya disebabkan dia meninggalkan kewajipan di samping perkara-perkara lain. Adapun musuh-musuhnya mereka menokok tambah pendustaan ke atasnya berbagai- bagai lagi” (Ibn, Taimiyyah, Majmu’ al-Fatwa, 2/253, Riyadh: Maktab al-‘Abikan).
Unsur Syiah bukan baru dalam masyarakat kita, walaupun ia belum lagi keterlaluan. Ini dapat dilihat bagaimana orang melayu menamakan akar-akar kayu dengan nama ‘Ali dan Fatimah; seperti tongkat Ali dan Kacip Fatimah. Tidak dinamakan tongkat Abu Bakr atau ‘Umar, tidak juga Kacip ‘Aishah, atau Habsah. Dalam jampi juga ada menyebut: “fu kiri, fu kanan, berkat doa baginda ‘Ali”. Jika sekadar nama ‘Ali atau Fatimah tiada salahnya. Mereka ialah kaum keluarga Nabi SAW yang amat kita ksaihi. Sebaliknya yang ditakuti apabila perkara yang tidak agama dianggap agama dalam Islam. Itu yang menakutkan. Sehingga di Pakistan, Iraq, Iran dan kawasan-kawasan yang kuat pegangan Syiahnya, pada hari ‘Asyura mereka mencederakan diri masing-masing dengan alatan tajam kerana mengenangkan Saidina Husain dan kekejaman Yazid. Ribuan bahkan ratus ribu kaum Syiah berkumpul pada sepuluh Muharam saban tahun melukai tubuh dengan darah dan membasahi pipi dengan airmata mendendami Yazid dan mengenang al-Husain bin ‘Ali. Lalu peristiwa hitam semalam, terus menjadi dendam hingga ke hari ini. Siapakah sasarannya? Apa pun jawapannya, ia adalah antara sebab terpisahnya Sunni dan Syi‘ah. Satu ajaran yang hidup dalam nostagia luka yang sebahagiannya mungkin benar, sebahagiannya mungkin palsu.
Apapun, saya tidak dapat bayang jika seseorang yang ingin menganut Islam hadir menyaksikan upacara yang dikaitkan dengan Islam yang dipenuhi manusia yang mencedera dan melukai diri sendiri, apakah dia akan terus menganggap agama yang membangunkan akal dan jiwa, mudah dan lurus mencapai Tuhan? Atau mungkin dia tidak dapat membezakan antara ajaran Kristian yang mendakwa darah Jesus terpaksa ditumpah untuk menebus dosa manusia, atau mungkin dia akan keliru dengan agama sesat yang menyuruh penganutnya berjalan atas api dan melukai diri untuk menunaikan nazar atau menebus dosa? Saya tidak pasti. Apa yang pasti itu bukan sifat Islam seperti yang terkandung indah dalam al-Quran dan al-Sunnah.
dR. Mohd Asri ZainUl Abidin ialah
bekas mufti perlis dan sekarang pensyarah
pengajian islam, universiti sains Malaysia (usm) yang sedang sabatikal di Britain.
laman web: drmaza.com.
E-mel: moasriza@yahoo.com.

ARKIB : 04/01/2009

Demi ukhuwah Islam

Pembunuhan ganas yang dilakukan oleh Yahudi Israel di Gaza, Palestin amat memilukan. Ia bukan sahaja mencabar perasaan persaudaraan Islam atau ukhuwwah Islamiyyah kita, bahkan ia mencemar dan mengotori nilai kemanusiaan sejagat.
Ketika artikel ini ditulis sudah hampir 400 rakyat Gaza yang dibunuh kejam. Di mana Amerika yang kononnya berjuang memerangi pengganas? Pelindung Israel tersebut pantang ada kegiatan yang dianggap ganas yang dilakukan mereka yang mendakwa muslim terus sahaja dia akan besar-besarkan dan tindakan memeranginya secara membabi buta akan dilancarkannya. Namun setiap kali Israel melakukan keganasan, dialah yang akan mempertahankannya. Tidak jika Amerika itu digelar syaitan. Bahkan ketika Gaza diserang ganas oleh Israel ketika ini, Bush mengistiharkan Hamas itulah pengganas. Malanglah umat Islam jika masih ingin mengharapkan dari Amerika. Demokrasi yang kononnya hendak dijuarai oleh Amerika di dunia Arab hanyalah permainan politik semata. Umpamanya Mesir, sekalipun tampuk kuasa yang ada pada hari ini meminggirkan demokrasi dan mengkhianatinya, namun tampuk tersebut terus dipertahankan oleh Amerika disebabkan berbagai kepentingannya. Antaranya, Mesirlah pada hari ini yang menghalang kemasukan bantuan melalui sempadannya dengan Palestin. Sukar bagi syaitan berwatak malaikat. Saya tidak pasti dengan lobi Yahudi yang kuat dalam politik Amerika, apakah Obama akan mampu berbuat sesuatu?
Beberapa hari saya menyertai demonstrasi membantah kekejaman Israel di hadapan Kedutaan Israel di London. Bersama saya Saudara Maszlee Malik yang sedang menyiapkan Ph.D di sini. Beliau banyak menulis dan membabitkan diri dalam isu-isu Palestin. Juga Saudara Wan Saiful Wan Jan, orang Melayu yang aktif dalam politik British dan menjadi calon Parti Liberal Konservatif di United Kingdom ini. Ramai yang menyertainya. Bukan sahaja orang Islam dan Arab, turut sertai juga mereka yang bukan muslim yang terdiri daripada ‘orang putih dan tidak putih’ UK ini. Datuk Seri Shahidan Kassim yang sekali lagi datang ke London juga turut hadir. Selama seminggu demonstrasi berjalan di London. Bukan sahaja di hadapan Kedutaan Israel, orang ramai turut berdemonstrasi di hadapan Kedutaan Mesir kerana negara tersebut menutup sempadannya untuk bekalan makanan dan ubatan disalurkan kepada rakyat Palestin. Hari Sabtu (hari artikel ini ditulis) demonstrasi besar di seluruh London akan diadakan. Bantahan dibuat untuk menyelamatkan rakyat Palestin. Ia melepasi batasan kepuakan atau kepartian yang sempit. Jika sesiapa yang hendak membantah Israel pun masih nak kempen parti, ternyata otaknya sama dengan Israel.
Demonstrasi sebegini, mempunyai peranannya yang tersendiri. Saya juga mengharapkan umat Islam dan masyarakat dunia mengadakannya. Ya, bagi umat Islam sepatutnya tugasan kita lebih besar daripada sekadar tunjuk perasaan. Kita diwajibkan membantu saudara seislam kita yang ditindas atau dikejami dengan harta dan nyawa kita. Firman Allah: (maksudnya) Dan apakah yang menghalang kamu (maka kamu) tidak mahu berperang pada jalan Allah dan (untuk menyelamatkan) orang-orang yang tertindas yang terdiri daripada kaum lelaki, perempuan dan kanak-kanak, iaitu mereka yang selalu (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami! keluarkanlah kami dari negeri ini, yang penduduknya zalim, dan jadikanlah bagi kami daripada pihakMu seorang pemimpin yang mengawal (keselamatan kami), dan jadikanlah bagi kami dari pihakMu seorang pemimpin yang membela kami (dari ancaman musuh). Orang-orang yang beriman, berperang pada jalan Allah; dan orang-orang yang kafir pula berperang pada jalan taghut (pelampau). Oleh sebab itu, perangilah kamu akan pengikut-pengikut syaitan itu, kerana sesungguhnya tipu daya Syaitan itu adalah lemah. (Surah al-Nisa, ayat 75-76). Berdasarkan ini, kata al-Imam al-Jasas (wafat 370H): “Adalah sesuatu yang diketahui umum bahawa telah menjadi iktikad seluruh kaum muslimin; apabila penduduk sesuatu negeri (kaum muslimin) dalam ketakutan dari serangan musuh, dan mereka tidak mampu menghadapinya merasa terancam negeri, nyawa dan kaum mereka, maka ketika itu wajib ke atas seluruh umat untuk keluar mempertahankan kaum muslimin dari serangan musuh. Ini adalah perkara yang tiada khilaf lagi di kalangan umat. Tiada sesiapa pun yang menyatakan harus dibiarkan ditumpahkan darah kaum muslimin (Abu Bakr al-Jasas, Ahkam al-Quran, 4/312, Beirut: Dar Ihya al-Turath al-‘Arabi).

kekejaman
Namun atas kekangan keadaan yang ada. Ramai para pemimpin umat Islam yang tunduk kepada kehendak Amerika, lalu mereka menjadi pelindung secara langsung atau tidak langsung kepada Israel. Lihat sahaja Mesir yang sanggup menutup sempadannya sehingga bantuan makanan dan ubatan tidak dapat sampai kepada rakyat Palestin, sehingga rakyat Palestin tidak dapat melepaskan diri kekejaman Israel. Kita umat Islam menjadi umat yang tidak terdaya. Bukan sahaja bertindak, bahkan bersuara pun ramai yang takut. Tidak ramai pemimpin seperti Tun Dr. Mahathir Mohamad yang lantang dan berani untuk mengkritik dan berusaha membantah Amerika dan Israel. Ramai yang lain bergantung rahmat kepada Amerika. Bahkan bukan sedikit yang sedang ‘mengidam kerusi kuasa’ bertawakal harap dari Amerika.
Maka, di saat ini, sekurang-kurangnya demonstrasi, atau apa sahaja bantahan yang tidak bercanggahan dengan Islam hendaklah dilakukan oleh umat Islam yang tidak berkemampuan. Demikian juga bantuan kewangan. Di Malaysia, sepatutnya mereka yang memegang tampuk-tampuk pentadbiran agama, sama ada yang berada di atas kerusi politik, atau istana perlu menjadi kelompok yang paling lantang membantah dan menghulurkan bantuan. Saya terharu ketika berjumpa dengan sekumpulan wanita British yang tidak beragama Islam, mengikat serban Palestin di tengkok mereka dan memberitahu kami mereka akan mengambil cuti seminggu untuk menyertai bantahan terhadap Israel. Mereka mengedarkan risalah tentang kekejaman Israel. Malanglah, jika yang mereka yang seperti ini membantah Israel, tetapi golongan yang diberikan amanah menjaga agama tenggelam dalam keempukan takhta dan membisu seribu bahasa. Di mana pula Majlis Fatwa Kebangsaan ketika ini? Tidak adakah fatwa tentang apakah kewajipan umat Islam dalam isu Palestin? Setelah keletihan dengan isu yoga dan pengkid, tidakkah mahu difikirkan isu Palestin pula?
Jika tidak, malanglah bagi umat Islam yang terdedah kepada dunia berita dan maklumat, tiba-tiba tidak mengambil endah tentang apa yang berlaku di Palestin dan tanggungjawab muslim membela saudara-mara kita kaum muslimin. Sabda Nabi SAW: Bandingan orang-orang mukmin dalam kasih-sayang, kasihan dan simpati sama seperti satu jasad. Apabila satu anggota merasa sakit, maka seluruh anggota lain turut berjaga malam dan demam (Riwayat Muslim).
Islam bersikap adil. Islam tidak pernah menyatakan setiap mereka yang tidak menganut Islam itu adalah musuh Islam. Demonstrasi di seluruh dunia pada hari ini turut dilakukan oleh mereka yang bukan Islam. Islam hanya bermusuh dengan mereka yang melancarkan permusuhan dan kezaliman kepada umat Islam. Sama ada permusuhan itu atas kebencian kepada agama ini, atau atas sikap yang ingin menzalimi orang lain. Kemudian, Islam tidak menerima dan membantah kezaliman di mana sahaja ia dilakukan. Sama ada ke atas Muslim atau bukan Muslim, sama ada kepada insan atau binatang dan alam. Kita membantah kekejaman ke atas saudara seakidah kita di Palestin atas nama Islam dan kemanusiaan. Orang lain membantah atas dasar kemanusiaan. Jika mereka yang bukan Islam dizalimi, kita tetap akan membantah atas dasar Islam dan kemanusiaan. Ini kerana prinsip Islam merangkumi prinsip kemanusiaan sejagat. Namun jika ada yang langsung tidak membantah, maka dia tiada prinsip Islam dan prinsip kemanusiaan.
Dr. Mohd Asri ZainUl Abidin ialah bekas mufti perlis dan sekarang pensyarah pengajian islam, universiti sains Malaysia (usm) yang sedang sabatikal di Britain. laman web: drmaza.com. E-mel: moasriza@yahoo.com.

Ads


Followers