Ads Powered By ClixSense


Monday, December 20, 2010

DAP yang sebenarnya memperalat 3R

KUALA LUMPUR 19 Dis. - Dakwaan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng bahawa Barisan Nasional (BN) memperalatkan 3R iaitu 'bangsa, agama dan raja' bertujuan menutup perbuatan parti itu yang sejak dahulu menggunakan pendekatan berkenaan bagi meraih sokongan rakyat.
Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, pemimpin DAP sejak sekian lama telah memainkan isu 3R dan ini terbukti apabila mereka bersungguh-sungguh memperjuangkan nasib Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan tidak menghiraukan usaha memartabatkan Sekolah Kebangsaan.
''Pemimpin DAP sering menghina kedudukan raja-raja Melayu dan ini jelas apabila baru-baru ini mereka mempertikaikan persetujuan yang diberikan oleh Sultan Perak, Sultan Azlan Shah untuk BN membentuk kerajaan di negeri itu.
''DAP juga memainkan isu agama termasuk mempersoalkan peruntukan besar Kerajaan Pusat bagi membina dan menyelenggara masjid pada tahun lalu," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas ucapan Guan Eng pada pembukaan konvensyen pakatan pembangkang di Pulau Pinang hari ini bahawa mereka yang menyokong BN bukan rakyat Malaysia sebenar kerana gabungan itu hanya tahu memperalatkan 3R.
Ketua Menteri Pulau Pinang itu turut menyifatkan pendokong dan peminat Utusan Malaysia sebagai 'rakyat Malaysia celup' kerana akhbar itu dituduh menggunakan fahaman ekstremis.
Menurut Mohd. Puad, sejak merdeka lagi BN sentiasa mempamerkan pendekatan yang sederhana dan tidak ekstrem sehingga menjadikan negara ini terus aman dan makmur.
Mengulas isu sama, seorang lagi Ahli MT, Datuk Zainal Abidin Osman berkata, Guan Eng perlu mempelajari sejarah yang menunjukkan bahawa BN tidak pernah memperalatkan 3R.
Beliau berkata, Guan Eng tidak harus membuat dakwaan yang tidak masuk akal itu kerana BN hanya mempertahankan isu-isu berkaitan 3R yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang berkata, Guan Eng seharusnya menjaga nama baiknya sebagai Ketua Menteri dengan mengelak daripada membuat tuduhan tidak benar.
Mengenai tuduhan Guan Eng terhadap Utusan Malaysia, Zainal Abidin berkata, ia adalah tidak benar kerana sejarah membuktikan akhbar itu banyak berjasa dalam pembangunan negara dan membuka minda orang Melayu.
Dalam pada itu, Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, tuduhan berkenaan adalah tidak berasas kerana BN sejak dahulu lagi memperjuangkan hak semua kaum untuk hidup aman dan mencari kekayaan.
''Semua rakyat juga bebas mengamalkan agama, bahasa dan budaya masing-masing dan tuduhan Guan Eng ini semata-mata khuatir kerana gagasan 1Malaysia yang dibawa BN semakin popular,'' katanya.
Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, pakatan pembangkang yang turut disertai DAP adalah pihak yang sebenarnya menghina bangsa, agama dan raja.
''BN sejak dahulu telah mempertahankan ketiga-tiga tonggak ini yang menjadi tiang seri negara, manakala pakatan pembangkang pula cuba menghancurkannya,'' ujar beliau.

No comments:

Post a Comment

Ads


Followers