Ads Powered By ClixSense


Minda Feriz Omar






ARKIB : 29/07/2009

Lambat laun rakyat pasti sedar

SINDROM rakyat mengundi pembangkang kerana membenci kerajaan sering kita saksikan baik pada pilihan raya umum mahupun pilihan raya kecil.
Seperti sudah diagak, kematian misteri mendiang Teoh Beng Hock, Setiausaha kepada seorang Exco Kerajaan Negeri Selangor juga dijadikan sebagai bahan oleh pembangkang agar rakyat terus membenci kerajaan Barisan Nasional.
Begitu juga para blogger propembangkang yang mengeluarkan 'cereka fiksyen' yang diolah penuh dramatik mengenai "bagaimana berlakunya kematian mendiang Beng Hock". Ia seolah-olah penulis blog itu ada bersama dan melihat saat-saat akhir sebelum Beng Hock menemui ajalnya!
Reaksi dan tabiat buruk pembangkang dan para blogger yang propembangkang semasa berdepan dengan pelbagai senario dan isu sememangnya sudah boleh diramal. Sering kali ia memualkan kerana mereka cuba mengambil kesempatan ke atas sesuatu isu secara keterlaluan sehingga seolah-olah mencabar dan menghina kebijaksanaan kita!
Begitu juga sewaktu pengundian di Manek Urai. Pemimpin-pemimpin UMNO dikatakan berkempen menggunakan politik wang, ditohmah membazir, berjoli dengan wang rakyat dan sebagainya. Walhal, hakikat sebenar di belakang kekalahan sipi BN baru-baru ini ialah kerana kerajaan Pas tidak menjalankan amanah rakyat kepadanya.
Tidak pernah saya bayangkan kemudahan asas seperti air bersih dan elektrik, pembinaan jambatan utama dan surau serta masjid masih gagal disediakan oleh kerajaan Pas walaupun selepas berkuasa hampir 20 tahun.
Ternyata "tepuk air didulang, terpercik ke muka sendiri".
Selain itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sentiasa menjadi mangsa setiap kali keputusan pilihan raya tidak memihak kepada pembangkang. Namun suara sumbang seperti itu tidak kedengaran pada pilihan raya kecil yang dimenangi oleh pembangkang.
Menabur Kebencian Vs Menawan Hati
Sesungguhnya, kempen pilihan raya bagi pembangkang adalah "medan menabur kebencian" terhadap kerajaan. Itulah modal mereka sejak dahulu untuk menarik sokongan. Memang terbukti, mengajak rakyat membenci kerajaan adalah lebih mudah berbanding usaha menawan hati pengundi untuk menyokong pakatan pembangkang yang kini semakin bercelaru.
Tanpa ada niat mempertikaikan kemampuan kumpulan professional yang ada dalam kem pembangkang, taktik kempen mereka sehingga kini masih intim menggunakan modal kebencian.
Misalnya di Manek Urai. Pembangkang berkempen agar rakyat tidak mengundi BN di atas alasan kerajaan BN tidak pernah adil dan sebagainya. Ia berbeza berbanding kempen BN yang lebih bersih dengan cuba menawan hati rakyat dengan menawarkan pembangunan.
Akhirnya, terbukti rakyat tidak termakan 'racun kebencian' buat selama-lamanya. Sebahagian besar pengundi di Manek Urai mula menerima tawaran pembangunan anjuran BN/UMNO.
Tidak ada kerajaan di dunia yang sempurna termasuk BN. Malah "tiada gading yang tidak retak". Kelemahan kepimpinan BN sebelum ini merupakan antara penyumbang kepada kegagalan Pilihan Raya Umum Ke-12.
Rakyat berhak menilai 50 tahun pembangunan di bawah BN. Cacat-cela itu wujud dan kerana 'beberapa titik nila' ini maka 'rosak susu sebelanga'.
Kerajaan terpaksa menelan bulat-bulat kesan daripada beberapa kegagalan program tertentu sekalipun adakalanya ia disebabkan faktor luaran dan ekonomi dunia.
Sesungguhnya, ramai yang termakan "racun kebencian" yang disemai pembangkang sehingga 'menutupi' majoriti jasa BN selama ini kepada negara dan bangsa.
Masyarakat pelbagai kaum terus-terusan diajak membenci kerajaan. Kaum Cina dan India terpengaruh dengan tuduhan UMNO sebagai parti rasis. Kaum Melayu pula dijaja dengan modal bahawa UMNO ini tidak Islamik dan mengamalkan rasuah. Dalam hal ini, media Internet ternyata suatu platform utama menanam rasa benci terutama di kalangan generasi muda.
Dalam hal ini, sekalipun pihak pembangkang menang pada pilihan raya, ia hanya disebabkan faktor orang benci, menyampah dan marah kepada kerajaan BN hanya kerana hal-hal tertentu sahaja. Kemenangan mereka bukan atas faktor keyakinan kepada pakatan pembangkang.
Apakah kita buta dan tidak dapat melihat bahawa kesatuan Pas, DAP dan PKR yang berlainan kutub ini semakin serabut dengan pelbagai masalah dalaman?
Bagaimanapun kita percaya lambat-laun rakyat pasti sedar. Rakyat Malaysia yang sebenarnya matang berfikir, mempunyai intelek tulen dan betul-betul sayangkan negara akan nampak perkara ini. Siapa yang sebenarnya berusaha dan siapa juga yang membangunkan negara.
Berbanding dengan kumpulan pembangkang yang lebih sibuk berminat untuk menyemai sindrom kebencian tetapi jasa pembangunan yang dibawa tidak ke mana. Mereka berterusan menjaja isu-isu yang tidak sepatutnya demi meraih sokongan rakyat.
FERIZ OMAR adalah Presiden Pertubuhan Profesional Melayu & Pewaris Bangsa (ProWaris)

ARKIB : 14/07/2009

Keputusan profesional penuh justifikasi

KEPUTUSAN yang ditunggu-tunggu penuh debaran oleh rakyat Malaysia tiba juga Rabu lepas. Akhirnya, Timbalan Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan keputusan muktamad kerajaan memansuhkan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI).
Ada yang gembira, ada yang tak puas hati dan ada juga yang masih mengambil sikap tunggu dan lihat. Paling menarik barangkali, di sebalik gambaran 'penolakan seratus peratus rakyat terhadap dasar PPSMI' sebagaimana yang digembar-gemburkan oleh pihak pembangkang, ada juga beberapa bancian bebas yang dilaksanakan oleh beberapa blog popular membuktikan sebaliknya.
Hakikatnya, jika keputusan bancian anjuran blog bebas masih memihak kepada cadangan supaya PPSMI diteruskan sekali pun, keputusan tersebut masih boleh dipersoalkan.
Menurut perangkaan 2008 yang dikumpulkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), pengguna Internet berdaftar di rumah adalah 85 peratus tertumpu di kawasan bandar dan hanya 15 peratus di kawasan luar bandar.
Statistik ini jelas menunjukkan bahawa taburan pengguna Internet yang diambil sebagai 'sampel' bancian tersebut hanya tertumpu kepada kelompok rakyat di dalam bandar yang aktif berinternet, manakala pandangan dan undian keseluruhan rakyat luar bandar belum diambil kira dan pasti dipinggirkan.
Secara kesimpulannya, tidak kira sama ada undi pelbagai bancian di atas benar-benar boleh dipercayai atau tidak, keputusan akhir ke atas dasar PPSMI ternyata ada 'peminat' yang tersendiri!
Kerajaan bukanlah tidak mencuba untuk meneruskan dasar PPSMI. Bagaimanapun, hasil pelbagai kajian ilmiah bebas seawal 2004 yang dianjurkan oleh pelbagai institusi dan organisasi berkaitan serta data statistik yang dikumpulkan oleh Kementerian Pelajaran mengenai keputusan pelajar dan kemampuan guru terhadap PPSMI tidak condong kepada penerusan dasar PPSMI. Ini sekali gus 'memaksa' kerajaan bertekad kepada keputusan pemansuhan.
Menyedari hasrat dan falsafah dasar PPSMI, kerajaan di peringkat awal tidak pernah putus asa untuk meneruskan dasar tersebut. Buktinya adalah melalui pelaburan ratusan juta ringgit ke atas usaha memperkasakan pengetahuan serta kebolehan guru dalam kedua-dua subjek berkenaan melalui pelbagai kursus dan latihan. Penggunaan teknik-teknik pengajaran yang terbaik juga telah diguna pakai. Namun, tiada perubahan ketara dapat dilihat.
Pelajar Melayu akan terus kecundang, keyakinan diri terbantut dan terus menganggur
Statistik Kementerian Pelajaran juga menunjukkan bahawa guru-guru PPSMI tidak mampu mengajar Sains dan Matematik seratus peratus dalam bahasa Inggeris malah dicampuradukkan dengan bahasa Melayu semasa mengajar dua subjek tersebut. Senario ini tidak berlaku di sekolah-sekolah kebangsaan Cina dan Tamil kerana kedua-dua subjek tersebut diajar dalam bahasa ibunda masing-masing. Yang menjadi mangsa adalah para pelajar Melayu yang semakin keliru, memperolehi keputusan peperiksaan yang terus menjunam sehingga mengakibatkan keyakinan diri terbantut. Kurang keyakinan diri inilah punca sebenar mengapa pelajar Melayu terus menganggur.
Untuk dikatakan dasar PPSMI telah gagal rasanya tidak juga. Lebih tepat barang kali kalau dikatakan ia kurang berjaya mencapai sasaran yang diingini. Bagi saya sendiri, PPSMI bukanlah tidak baik. Hasratnya, murni.
Namun demikian, menurut statistik sahih kajian Kementerian Pelajaran jelas membuktikan guru-guru belum bersedia sepenuhnya dan sebilangan pelajar luar bandar ada kekangan. Jika PPSMI diteruskan juga, kita menghadapi kekesalan berpanjangan kerana sejumlah besar anak-anak kampung yang cerdik tetapi ada kekangan pemahaman bahasa Inggeris akan menjadi korban nanti. Sanggupkah kita?
Syukurlah hikmah di sebalik pelaksanaan dasar kontroversi ini sekurang-kurangnya telah meningkatkan kesedaran akan pentingnya penguasaan bahasa Inggeris. Inilah natijah dan nawaitu asal PPSMI sewaktu perencanaannya diilhamkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad dahulu.
Melalui transformasi sistem pendidikan Malaysia yang dirancang oleh Kementerian Pelajaran ketika ini, ia akan tetap dapat memurnikan hasrat Tun Dr. Mahathir itu dengan kaedah memperkasakan pembelajaran bahasa Inggeris melalui 12 langkah yang diutarakan oleh Muhyiddin. Saya amat setuju agar bahasa Inggeris sepatutnya diperkasakan dahulu sebelum subjek Matematik dan Sains diajar dalam bahasa tersebut.
Saya berharap sangat jika silibus baru disusun supaya pelbagai jargon teknologi dan sains dapat diterapkan dalam pembelajaran bahasa Inggeris. Begitu juga dengan subjek Geografi hari ini yang hanya fokus terhadap ilmu alam Malaysia sahaja.
Saya yakin para pelajar akan lebih tertarik jika mereka dihidangkan dengan Geografi dunia sebagai salah satu silibus dalam subjek bahasa Inggeris. Dengan silibus tersebut, ia bukan sahaja seiring dengan pendekatan saluran National Geographic dan Discovery tetapi juga memupuk pemikiran generasi muda Malaysia untuk berbahasa Inggeris apabila mereka menjelajahi dunia suatu hari nanti.
Dalam perihal memartabatkan bahasa Melayu, iltizam Kementerian Pelajaran memperkasakan pembelajaran bahasa Melayu seharusnya telah menjawab tuduhan beberapa pihak yang mendakwa kerajaan tidak sensitif dengan nasib bahasa kebangsaan. Apatah lagi sekarang, dalam modul transformasi pendidikan ini, Muhyiddin telah mengangkat semula martabat bahasa Melayu menjadi bahasa ilmiah untuk memacu kemajuan ketamadunan Melayu masa hadapan.
Suka saya katakan, keputusan kerajaan sudah pun win-win (menang-menang) bagi semua pihak. Objektif murni PPSMI bakal diusahakan secara terbaik sementara bahasa Melayu pula akan terus dimartabatkan.
Sekalipun usaha menjurus kepada keputusan terhadap PPSMI telah dibuat, usaha untuk memperjelaskan falsafah di belakang transformasi pelajaran perlu dibuat secara crystal clear (sejelas mungkin).
Rakyat hari ini semakin peka terhadap hal ehwal semasa dan sentiasa mahukan penjelasan konkrit. Ingatlah, pihak pembangkang pula tidak pernah lelah mencari 'peluru' untuk mengelirukan rakyat daripada fakta sebenar.
Setiap keputusan perlukan penilaian profesional, penjelasan dan justifikasi rasional. Kalau ia demi kebaikan, rakyat tentu boleh menerimanya biarpun mungkin mengambil sedikit masa.
FERIZ OMAR ialah Presiden Pertubuhan Profesional Melayu dan Pewaris Bangsa (ProWaris)

ARKIB : 07/07/2009

Membudayakan 'Google' di kalangan generasi 'Y'

PENGGUNAAN teknologi yang salah akan mengundang kelahiran generasi masa hadapan yang hanya berminat dengan hiburan semata-mata dan langsung tidak menitik beratkan pembudayaan ilmu.
Sebelum luka menjadi nanah, sebelum nasi menjadi bubur adalah suatu tanggungjawab generasi X selaku generasi semasa untuk memberi input positif kepada generasi Y melalui pelbagai dorongan sihat agar mereka dapat membudayakan penggunaan teknologi untuk menggali ilmu pengetahuan.
Sesungguhnya, pembangunan dunia semakin pesat dan arus kemodenan memungkinkan teknologi baru dicipta hampir setiap ketika sehinggakan ada kalanya alam maya mula terasa sempit.
Membicarakan mengenai dunia teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), sudah pasti pemikiran kumpulan-kumpulan perintis 'dunia tanpa sempadan' yang mencetuskan kelahiran world wide web (www) pada era akhir 1980-an dan awal 1990-an barang kali tidak menjangka pencapaian luar biasa dunia ICT pada hari ini. Setelah hampir tiga dekad berlalu, dunia teknologi kini ternyata sudah mencapai suatu dimensi baru.
Daripada hanya telefon ATUR, sambungan internet kaedah dial up, permainan konsol dan laman-laman web yang statik lagi membosankan, industri ICT berevolusi kepada telefon bimbit yang mempunyai kapasiti melayari internet, sambungan internet jalur lebar, permainan konsol 3D dan kini laman web multi fungsi (Web 2.0) seperti paparan berita terkini, forum, blog, perkumpulan komuniti atas talian dan komunikasi video.
Bagi kumpulan generasi Y yang merangkumi kumpulan anak muda 18 tahun ke bawah, jargon seperti Yahoo Messenger, Blogspot, Twitter, MySpace, Spacebook, PS3 dan XBox barang kali bukan lagi sesuatu yang asing.
Tak keterlaluan jika dikatakan, elemen-elemen sebegini bagai 'santapan' harian anak-anak pasca abad ke-21. Melihat dari suatu sudut negatifnya, kita khuatir jika fenomena teknologi yang bertali arus ini menjadi tanpa kawalan lantaran melalaikan dan akhirnya, memudarat anak bangsa kita.
Manfaatkan Teknologi Ke arah Kebaikan
Pengalaman saya semasa mengendalikan program motivasi PMR di salah sebuah sekolah menengah di Putrajaya pada Khamis, 2 Julai lalu seakan-akan mengiakan keresahan saya.
Daripada penyelidikan dan pemantauan, kami dapati hampir 90 peratus pelajar memiliki telefon mudah alih sendiri. Rata-ratanya pula cenderung ke arah perisian permainan PSP dan PS3 terkini serta 'ketagihan' aplikasi Web 2.0 seperti Facebook dan Friendster.
Statistik pula menunjukkan keputusan peperiksaan penggal kedua menjunam berbanding dengan keputusan peperiksaan penggal sebelumnya. Ia cuma bagi sekumpulan pelajar dari sebuah sekolah sahaja. Bagaimana agaknya jika diambil kira sekolah-sekolah yang lain?
Justeru, saya berharap langkah Kementerian Pelajaran menggubal sistem pembelajaran negara tidak akan melupakan saranan agar perkembangan teknologi terkini diterap penggunaannya kepada pelajar-pelajar dalam cara yang positif iaitu mengundang kepada pemantapan dan pembudayaan ilmu.
Teknologi sekiranya sekadar diaplikasikan untuk berhibur, tentulah tidak berfaedah. Sepatutnya, budaya menggunakan internet bagi tujuan meng'google' ilmu pengetahuan dan maklumat terkini perlu diutamakan.
Dengan jutaan laman web membanjiri dunia maya, teknologi perlu dipergunakan semaksimum mungkin untuk kebaikan, menggali ilmu dan informasi terkini di serata dunia.
Dalam hal ini, kemampuan bahasa Inggeris pelajar juga dapat ditingkatkan. Walaupun pembelajaran bahasa Inggeris melalui penggunaan internet adalah kaedah pembelajaran yang dikira 'santai', namun ia tidak boleh dianggap sebagai rutin 'kebiasaan' sehingga menjadikan generasi Y 'ketagih' dan sanggup memberontak jika keinginan mereka untuk berinternet tidak diturutkan.
Seperkara lagi yang tidak boleh diabaikan adalah apabila internet disalah gunakan untuk meng-Google maklumat yang sesat lagi terpesong.
Justeru, pemantauan ibu bapa dituntut untuk mendorong penggunaan Internet secara betul dan tepat.
Perluaskan Jalur Lebar dan Wujudkan 'Sedikit Sempadan'
Kerajaan, di sebalik istilah dunia tanpa sempadan, mungkin boleh menilai kaedah untuk mewujudkan 'sedikit sempadan' dalam sistem perkhidmatan jalur lebar negara supaya generasi Y tidak mudah terdedah kepada perkongsian maklumat yang salah.
Natijah sebenar untuk melahirkan generasi kaya ilmu pengetahuan mungkin tidak akan dapat direalisasikan jika teknologi tidak sampai ke semua peringkat. Masalah kekangan kewangan ternyata masih wujud dan terus menghalang anak-anak luar bandar mengecapi perkembangan informasi terkini berbanding teman-teman di bandar.
Bagi yang mampu memiliki perkhidmatan jalur lebar mudah alih seperti perkhidmatan Celcom dan Maxis Broadband ada kalanya berhadapan dengan keterbatasan capaian perhubungan kerana tiada pencawang talian bukan sahaja di luar bandar malahan juga di sesetengah kawasan di dalam bandar.
Untuk mengatasi isu ini, kerajaan perlu menimbangkan secara serius cadangan yang sudah pun dilaksanakan di beberapa negara asing seperti Amerika Syarikat dan Eropah yang menggunakan laluan elektrik sebagai sumber capaian internet jalur lebar.
Sudah pasti kos penggunaan jalur lebar melalui laluan elektrik ini tidak perlu terlalu tinggi agar masyarakat luar bandar yang kurang berkemampuan tidak ketinggalan.
Insya-Allah, dengan sedikit pemantauan dan galakan sihat, adalah tidak mustahil untuk kita mengecapi cita-cita murni bgi melahirkan generasi baru yang membudayakan ilmu melalui teknologi ICT.
FERIZ OMAR ialah Presiden Pertubuhan Profesional Melayu & Pewaris Bangsa (ProWaris)
ARKIB : 30/06/2009

Rugi Melayu tolak perpaduan, 1Malaysia

KETIKA pertama kali Datuk Seri Najib Tun Razak melontarkan idea tentang aspirasi 1Malaysia, pelbagai pihak dilihat cuba memberikan takrifan dan andaian terbaik mereka mengenai istilah berkenaan.
Bermula dari bual bicara pemimpin negara, ahli politik, ahli akademik dan professional hinggalah ke cakap-cakap kedai kopi, segenap lapisan masyarakat bagai tercari-cari apakah intipati sebenarnya di sebalik konsep 1Malaysia.
Dalam begitu banyak teori yang dikemukakan, yang paling menyakitkan hati ialah andaian tidak bertanggungjawab beberapa pihak tertentu yang cuba menyamakan konsep 1Malaysia dengan perjuangan 'Malaysian Malaysia' dokongan DAP. Memang sah ia adalah suatu tuduhan yang berniat jahat bertujuan untuk mencalar imej kerajaan Barisan Nasional (BN) di kalangan masyarakat Melayu!
Sabtu lepas, setelah pelancaran logo dan lagu 1Malaysia, nampaknya masih ada sebilangan kecil masyarakat Melayu yang salah faham, ragu-ragu atau kabur dengan makna kepada saranan perpaduan melalui aspirasi tersebut.
Salah tanggap dan kekaburan sebegini banyak dipengaruhi oleh sikap orang Melayu sendiri. Antaranya, sikap yang berkecenderungan untuk memperoleh maklumat dari sumber yang tidak betul seperti laman-laman blog yang dikendali oleh bloggers yang buta hati dan jiwa yang murni.
Bukankah media-media perdana dan laman-laman web kerajaan sudah pun memberi informasi tentang hal ini dengan cukup terperinci.
Sudah sampai masanya, masyarakat Melayu merujuk kepada media-media perdana dan jika perlu, media alternatif yang menganjurkan kupasan pemikiran yang 'bebas', matang lagi mementingkan keharmonian rakyat dan bukannya melayan hujah-hujah beremosi.
1Malaysia hanyalah satu 'aspirasi' yang dicetuskan untuk mencari persamaan dan mengelakkan perbezaan di kalangan rakyat Malaysia. Ia adalah asas pembentukan senario kehidupan yang harmoni dan memupuk semangat erat seiring dengan kehendak prinsip Rukun Negara.
Terdapat lapan penerapan nilai murni di bawah 1Malaysia iaitu budaya kecemerlangan, ketabahan, rendah hati, penerimaan, kesetiaan, meritokrasi, pendidikan dan integriti.
Sewaktu pertama kali slogan '1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Prestasi Diutamakan' dilaungkan, Perdana Menteri sengaja mahukan seluruh rakyat Malaysia terlibat sama dalam menterjemahkan aspirasi tersebut.
Kita akui bahawa Wawasan 2020 sudah pun menjadi wawasan jangka masa pendek kerana ia bakal menemui kita beberapa tahun lagi. Malaysia hari ini perlukan suatu wawasan, visi dan misi baru yang berterusan.
Di atas kesedaran ini juga, rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama sepatutnya mula menunjukkan gerakan-gerakan positif untuk bersatu padu dalam menentukan wawasan visi dan misi negara yang baru.
Nampaknya bagi bangsa Melayu, keutamaan untuk mewujudkan perpaduan di kalangan bangsa dan agama sendiri bukan menjadi keutamaan. Sebaliknya, dalam isu Pas menolak usul perpaduan ummah UMNO-Pas yang kian memuncak, falsafah politik pula yang didahulukan sehingga meranapkan hak Melayu untuk menentukan hala tuju negara dalam menetapkan visi dan misi memajukan bangsa dan agama.
Begitu juga mengenai dakwaan yang mengatakan 1Malaysia bakal menindas nasib orang Melayu dan hak Bumiputera adalah tidak benar sama sekali.
Asas kepada dakwaan ini, konon-kononnya ialah tindakan kerajaan yang memansuhkan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MeCD) sedangkan hal yang sebenar ialah fungsi MeCD sudah pun diserap sepenuhnya ke Jabatan Perdana Menteri bagi tujuan menambah kecekapan dan mengurangkan kerenah birokrasi.
Dasar afirmatif yang bersifat menolong kaum Bumiputera sebetulnya tidak pun disentuh, malah bakal dilaksanakan dengan lebih telus.
Konsep 1Malaysia yang 'sebenar' ternyata bertujuan baik demi keharmonian pelbagai ras dan keturunan di Malaysia. Melalui nilai murni 'Penerimaan', masyarakat Malaysia dituntut agar menerima perbezaan kaum dan agama.
Dalam hal ini, sudah tiba masanya perspektif perpaduan negara diubah berbanding sekadar bertoleransi sebelum ini. Sikap sebegini membuat kita maju setapak ke hadapan kepada rasa hormat dan saling menerima.
Justeru, 1Malaysia sepatutnya menjadi ruang di mana masyarakat Melayu melupakan agenda politik buat sementara dan berpadu demi menyokong agenda perpaduan nasional. Ambil iktibar daripada kaum Cina di Malaysia, yang mana sekalipun wujud beberapa entiti politik yang menjaga kepentingan orang Cina, badan-badan bukan kerajaan (NGO) seperti Dong Zhong dan Shiu Qiu sentiasa menjadi tempat kaum Cina menyatakan kesatuan pendapat mereka.
Orang Melayu sajalah yang nampaknya begitu berpecah bagaikan tiada langsung titik temu hingga kini. Inilah punca kepada komentar Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, yang begitu kecewa dengan kegagalan perpaduan Melayu Pas dan UMNO bersatu baru-baru ini.
Saya menyeru seluruh umat Melayu menyokong aspirasi 1Malaysia yang dibawa oleh Najib dan melupakan perbezaan yang ada buat seketika demi kepentingan negara. 1Malaysia hakikatnya adalah rangkuman kepada elemen fundamental yang cukup perlu bagi merealisasikan cita-cita Wawasan 2020.
Seperti golongan Yahudi yang menetapkan cita-cita 100 tahun untuk kembali dan menguasai Baitulmaqdis, hendaknya orang Islam di Malaysia juga tidak perlu ralat untuk bersatu hati, mengejar wawasan yang sudah sedia termaktub ini.
Ayuh, mari kita terjemahkan konsep perpaduan 1Malaysia dan tentukan misi dan visi negara!
FERIZ OMAR ialah Presiden Pertubuhan Profesional Melayu & Pewaris Bangsa (ProWaris)

ARKIB : 23/06/2009

Berperikemanusiaankah Chin Peng?

NAMPAKNYA isu pertelingkahan dalaman Pas ekoran daripada susulan “kerajaan perpaduan” masih belum ada kepastian. Namun ada baiknya jika kita berdoa ke hadrat Ilahi demi kebaikan dan perpaduan ummah.
Sementara menanti perkembangan seterusnya, desakan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 13 Jun lalu untuk menghalalkan “Raja Komunis Malaya” pulang atas dasar “perikemanusiaan”, membuat saya teruja untuk mengupas saranan itu.
Sebelum belayar jauh, persoalan sama ada Chin Peng itu sendiri “manusia yang berperikemanusiaan” perlu dijawab.
Keputusan kerajaan sebenarnya jelas dan wajar, malah tiada sebab pun isu itu disensasi dan diperpanjangkan lagi. Tindakan mengeluarkan kenyataan-kenyataan berbentuk populis ternyata bersifat murahan, tidak sensitif dan perlu dihentikan segera.
Tidak terfikirkah tentang perasaan ahli masyarakat yang pernah hidup dalam kesengsaraan akibat kehilangan ahli keluarga gara-gara kekejaman komunis?
Perjuangan ‘Kemerdekaan’ PKM?
Menyelusuri sejarah, Parti Kuomintang dari China dengan fahaman komunisme berhasrat menubuhkan cawangan di Tanah Melayu sekitar tahun 20-an. Tetapi ia ditolak dan kemudiannya mendorong kepada penubuhan Parti Komunis Malaya (PKM) pada 1930.
Memang jelas di peringkat ini bibit-bibit kemunculan PKM sebenarnya tiada kena mengena pun dengan perjuangan kemerdekaan. Sememangnya, perjuangan PKM lebih berkait rapat dengan penentangan penjajahan Jepun di Tanah Melayu melalui Malayan Peoples’ Anti Japanese Army (MPAJA), di mana majoriti pendapat bersetuju bahawa ia didorong atas faktor Jepun sendiri yang merupakan musuh ketat kerajaan komunis di China.
Pandangan yang mengatakan PKM memperjuangkan kemerdekaan negara juga tidak berasas. Kita tidak menafikan bahawa PKM juga melakukan penentangan terhadap Jepun dan British.
Namun dosa PKM menumpahkan darah orang awam tidak boleh diampunkan sampai bila-bila. Tindakan membunuh dan menyeksa orang ramai selepas kekalahan tentera Jepun dan penentangan terhadap British ketika negara sudah di ambang kemerdekaan membuktikan bahawa PKM sebenarnya celaru dengan perjuangan mereka sendiri.
Kalau dinilai tindakan PKM meneruskan penentangannya lebih 30 tahun selepas kemerdekaan, untuk apa sebenarnya? Sudah terang lagi bersuluh. Jelas sekali tujuan utama PKM bukanlah untuk kemerdekaan, sebaliknya untuk menubuhkan kerajaan komunis yang menganjurkan fahaman “perhambaan minda” rakyat Malaysia!
Tanyalah mana-mana orang tua-tua dan bekas-bekas perajurit yang melalui kegetiran zaman darurat bertempur dengan komunis. Bukan sedikit jumlahnya. Tragedi Bukit Kepong menjadi bukti nyata ke atas tindakan komunis yang tidak perikemanusiaan.
Perjuangan kemerdekaan jenis apakah itu kalau sesudah merdeka pun anggota PKM masih tegar menghuru-harakan negara dan menyeksa rakyat yang tidak berdosa?
Kalau Shamsiah Fakeh boleh, mengapa tidak Chin Peng?
Ada juga kedengaran suara-suara ‘nakal’ yang bertanya: “Kalau Shamsiah Fakeh boleh, mengapa tidak Chin Peng?” Bagi saya pendapat untuk cuba menyamakan Chin Peng dan Shamsiah hanya dikeluarkan oleh mereka yang betul-betul buta sejarah.
Shamsiah pada hakikatnya adalah seorang pejuang yang memulakan perjuangannya melalui Angkatan Wanita Sedar (AWAS) dan Partai Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang jelas memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu dan bukan untuk “mengkomuniskannya”.
Bagaimanapun pemimpin atasan PKM pada ketika itu bernasib baik kerana berjaya menghasut beberapa pemimpin PKMM dan AWAS untuk menyertai perjuangan mereka.
Mujurlah kehadiran UMNO kemudiannya berjaya menyelamatkan suasana dan akhirnya membuktikan bahawa kemerdekaan boleh dicapai tanpa pertumpahan darah.
Malangnya ramai juga yang tidak tahu bahawa Shamsiah sebenarnya sudah dipecat oleh PKM pada 1972 sebelum rundingan damai 1989 antara kerajaan dan PKM yang menamatkan penentangan gerila PKM.
Bacaan saya dalam “Memoir Shamsiah Fakeh: Dari AWAS ke Rejimen ke-10”, Shamsiah sendiri mengaku bahawa beliau sama sekali tidak pernah membunuh tentera kerajaan yang rata-ratanya Melayu.
Sebaliknya, Chin Peng pula tidak pernah menyatakan kekesalan apatah lagi memohon maaf di atas kekejamannya. Bahkan menyatakan kebanggaan di atas perjuangannya seperti mana yang tercatat dalam tulisannya: “Alias Chin Peng: My Side of History”.
Sebagai Ketua Utama, Chin Peng harus dipersalahkan kerana kegagalan Rundingan Baling pada 1955.
Ketika itu, Almarhum Tunku Abdul Rahman sudahpun memberi peluang kepada pembubaran PKM secara aman, bahkan memberi kebenaran kepada Chin Peng untuk bergiat dalam politik melalui parti lain.
Namun, keangkuhan Chin Peng membuatkan komunis berjuang tanpa haluan dan terus-terusan mengorbankan lebih banyak nyawa rakyat.
Saya sebenarnya yakin bahawa suara-suara yang “menghalalkan” kembalinya Chin Peng ke bumi bertuah ini tidak lain hanyalah bermotifkan politik dan mengambil kesempatan semata-mata.
Generasi muda perlu menyelusuri sejarah dan jangan terpengaruh dengan dakyah ini. Hakikatnya, pendirian kerajaan tiada kaitan dengan perkauman dan perihal berperikemanusiaan. Chin Peng tidak termasuk dalam kategori yang layak dikaitkan dengan apa yang dipanggil “perikemanusiaan”.
FERIZ OMAR adalah Presiden Pertubuhan
Profesional Melayu dan Pewaris Bangsa (ProWaris)

ARKIB : 16/06/2009

Kerajaan perpaduan perlu diperjelas

SELESAI sahaja Muktamar Pas ke-55 minggu lepas, topik “kerajaan perpaduan” bergema kembali. Cuma kali ini, nadanya tampak lebih serius. Lebih-lebih lagi, kelompok yang dikatakan menyokong cadangan berkenaan juga telah menang besar dalam pemilihan tampuk kepimpinan Pas.
Sememangnya topik ini tenggelam timbul sejak beberapa bulan lalu. Setiap kali timbul, tidak putus-putus dihujani dengan komen, hujah dan andaian oleh pelbagai pihak.
Hakikatnya, polemik kerajaan perpaduan yang dikaitkan dengan dua entiti politik Melayu terbesar negara iaitu UMNO dan Pas itu ternyata mengundang perhatian yang cukup istimewa. Ia bukan hanya di kalangan masyarakat Melayu, malah orang Cina dan India.
Tiba-tiba sahaja, pihak yang tidak terlibat secara langsung dalam cadangan kerajaan perpaduan itu pun sibuk meluahkan pendapat masing-masing.
Bagi penulis, bibit-bibit kekecohan mengenai kerjasama ini bermula dengan pelawaan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Tajol Rosli kepada Pas di negeri itu untuk membentuk kerajaan campuran pada Julai lalu.
Awal daripada itu pun sebenarnya sudah diadakan juga perbincangan “tertutup empat mata” Pas-UMNO sejurus selesai PRU-12.
Kemuncak kepada usaha-usaha kerjasama ini akhirnya ‘meletup’ apabila banyak pihak menyeru UMNO-Pas mencari persamaan dan elakkan perbezaan demi agenda Melayu dan Islam.
Di atas usaha ini jugalah idea kerajaan perpaduan tercetus. Menakjubkan ialah pemimpin-pemimpin utama dalam pakatan pembangkang sehingga kini berterusan menepis usaha mewujudkannya.
Keadaan itu akhirnya memaksa Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri membuat kenyataan mengenai perkara tersebut.
Isu ini semakin menjadi-jadi apabila Pas secara terang-terangan menyatakan hasrat untuk mempertahankan usaha memegang hak 30 peratus ekuiti Bumiputera. Sedangkan pakatan pembangkang selama ini lebih dilihat masyarakat Cina dan India sebagai entiti politik yang liberal dalam hal berkaitan hak keistimewaan Melayu.
Para blogger propembangkang kelihatan seperti hilang punca dan serba tidak pasti bagaimana hendak mengulas isu kerajaan perpaduan ini.
Media-media rasmi di Internet milik pakatan pembangkang dilihat mengambil ‘jalan selamat’ dengan mengelak daripada mengulas isu berkenaan.
Ia berbeza sekali dengan ucapan-ucapan serta ulasan yang dimuatkan di dalam beberapa blog ulama Pas, yang mencerminkan sokongan mereka dalam isu ini.
Bagi pemimpin lain dalam pakatan pembangkang, terdapat banyak dakwaan yang mengatakan bahawa hal berkenaan tidak pun dibincangkan sesama mereka.
Ia sekali gus menimbulkan andaian bahawa gagasan kerajaan perpaduan itu adalah cadangan Pas, yang makin sedar betapa terbatasnya objektif dan ruang perjuangan sejati mereka dalam pakatan pembangkang itu.
Apa yang pasti, isu kerajaan perpaduan ini perlu diperjelaskan. Masing-masing masih lagi berteori. Jika pemimpin pakatan sendiri pun ada yang tidak tahu atau jelas mengenainya maka penyokong mereka juga akan keliru. Begitu juga pemimpin dan penyokong Barisan Nasional.
Jika kerajaan perpaduan ini menjadi realiti, ia tidaklah semestinya dalam bentuk “penggabungan”. Perpaduan yang dimaksudkan boleh dimulai dalam bentuk bersepakat terlebih dahulu.
Rancangan-rancangan menjana ekonomi dan memperbaiki mutu hidup rakyat yang diatur oleh kerajaan Persekutuan adalah usaha kerjasama permulaan yang baik.
Sesetengah pihak juga merasakan perlunya wujud entiti politik yang kuat sebagai timbal balas kepada kerajaan yang mentadbir. Di atas alasan ini jugalah maka usaha perpaduan harus difikirkan secara berhemah dan seteliti yang mungkin.

Profesional Melayu dan Pewaris Bangsa (ProWaris).
ARKIB : 09/06/2009

Mencari damai dalam demokrasi

SEWAKTU ingin menulis artikel ini, saya langsung teringat kepada ucapan Tun Dr. Mahathir Mohamad, mantan Perdana Menteri kita semasa Konvensyen Ulang Tahun UMNO yang ke-50, lebih 10 tahun yang lepas. Setelah sekian lama, hari ini saya semakin terasa akan kebenaran kenyataan Dr. Mahathir. Betapa jauh dan dalamnya kemampuan beliau “berfikir dan menaksir”. Ucapan beliau yang saya maksudkan itu antara lainnya menyatakan:
“Bangsa-bangsa Barat cuba mendakwa bahawa demokrasi tidak cacat dan menganggapnya sebagai satu sistem yang tidak ada siapa boleh mempertikaikan atau mengubahnya. Mereka menciptakan slogan ‘Vox Populi, Vox Dei‘ iaitu suara ramai adalah suara Tuhan.
“Tetapi percayalah demokrasi bukan suara Tuhan dan jauh daripada sempurna, bahkan ia penuh dengan kecacatan yang boleh membinasakan pengamalnya dan menjadikan mereka mangsa kezaliman demokrasi yang tidak kurang buruknya daripada kezaliman sistem feudal atau diktator.”
Hari ini, tatkala kita menjengah suasana politik di beberapa negara jiran, kita dapat melihat sendiri kebenaran peringatan tersebut. Apa yang berlaku adalah setiap kali gagalnya parti-parti yang memerintah di negara-negara tersebut memulihkan ekonomi dan taraf hidup rakyat, dakwaan rasuah dan isu salah tadbir pasti akan timbul yang akhirnya mencetuskan pula demonstrasi jalanan yang tidak berkesudahan.
Pertukaran parti yang memerintah negara bagaikan menjadi kemestian sekalipun parti berkenaan baru sahaja memerintah dan belum pun sempat membuktikan kemampuannya.
Demikian juga halnya jika kita menelusuri sejarah Afghanistan. Gara-gara dambakan demokrasi, sistem monarki sedia ada dijatuhkan. Namun ia berakhir dengan ibu kota Kabul musnah dan ribuan nyawa terkorban.
Dan setelah sekian lama, sudah amankah Afghanistan kini? Negara kita hari ini pun nampaknya tidak lagi terkecuali. Sudah kelihatan bercambahnya bibit-bibit kepada “bencana demokrasi” di negara yang kita cintai ini.

Senario demokrasi sihat menjamin keamanan
Melihat kepada elemen-elemen asas kepada demokrasi yang menjulang suara ramai sebagai penentu keputusan, bolehlah kita katakan bahawa kalau kena gayanya, demokrasi memang mampu membawa kepada kemakmuran, kedamaian dan kemaslahatan rakyat.
Ini kerana, sebarang tindakan yang dilakukan adalah atas kehendak yang “dipercayai dan diterima” oleh sekelompok majoriti. Lazimnya, keputusan majoriti adalah betul. Namun, oleh kerana sifat demokrasi itu sendiri yang tidak sempurna, maka ada kalanya kesimpulan yang dibuat itu tidak begitu tepat dan membinasakan.
Justeru, adalah menjadi suatu tanggungjawab kerajaan yang memerintah bagi menentukan sistem demokrasi yang wujud adalah sistem yang benar-benar sihat dan “menjurus ke arah kestabilan”.
Dewasa ini kita lihat, terdapat beberapa tuntutan yang bersifat “luar batasan”, berniat jahat dan prejudis diusulkan kepada kerajaan. Ada antaranya dilihat berpotensi mengganggu suasana aman dalam negara. Adalah tepat sekali tindakan kerajaan yang telah bertegas untuk enggan melayan tuntutan-tuntutan sebegini.
Malangnya, bila mana tuntutan “mengada-ngada” ini tidak dilayan, ia dibawa pula ke jalanan. Boleh dilayan sebenarnya bagi hal yang berpatutan, tetapi jika ia melampau, mampu merosakkan suasana demokrasi yang stabil dan mengganggu-gugat ketenteraman masyarakat berbilang kaum di Malaysia, maka jalan terbaik adalah untuk mengabaikan saja.
Kalau keperluan sampai begitu mendesak dan sudah tidak ada cara lain, gunakanlah ISA dengan sebijak-bijaknya. Pertahankanlah suasana demokrasi yang sihat.
Kuasa memilih di tangan rakyat
Pada ketika ini, secara jelasnya rakyat Malaysia cuma ada dua pilihan pemerintahan, pertamanya Barisan Nasional dan keduanya pakatan pembangkang. Secara peribadi, saya lihat Barisan Nasional sudah pun ada tujuan dan objektif yang jelas berbanding pembangkang yang kelihatannya masih ‘teraba-raba’, mencari ‘titik muktamad’ kepada kesepakatan parti-parti gabungannya. Yang tinggal lagi cumalah ‘menampung yang cacat’, ‘memperbaiki yang kurang’ dan ‘membuang yang sudah rosak’.
Sehingga kini, rasanya masih terdapat keraguan sama ada kesemua objektif perjuangan parti-parti politik dalam pakatan pembangkang dan slogan-slogan mereka seperti ‘Malaysian Malaysia’, Ketuanan Islam, Ketuanan Rakyat dan Pas Untuk Semua, dapat disatukan di bawah suatu ‘bumbung’ parti politik gabungan yang sah.
Dan yang paling penting, apa dan siapa yang harus ‘berkorban’? Soalan inilah yang masih lagi belum ketahuan jawapannya.
Hakikatnya, adalah tidak tepat kalau kita meletakkan untung nasib negara di tangan sekumpulan parti politik yang masih tercari-cari kata muafakat. Kalau sudah dapat kuasa memerintah negara, baru sibuk-sibuk hendak mencari persefahaman dan berakhiran dengan ‘tidak berjaya mencapai kesepakatan’ pula, saya khuatir akan berlakunya persengketaan yang membawa kepada ketidakstabilan negara.
Hari ini pun jalanan kita kadang kala terpenuh dengan rutin demonstrasi ‘aman’ yang ‘tidak aman’ oleh kumpulan-kumpulan sebegini. Apalagi jika kucar-kacir berlarutan nanti? Jika benar bahawa kuasa akhirnya di tangan rakyat. Maka fikir-fikirkanlah.
FERIZ OMAR ialah Presiden Pertubuhan Profesional Melayu & Pewaris Bangsa (ProWaris).

ARKIB : 02/06/2009

Dahulukan pembangunan insan

SETELAH lebih 50 tahun merdeka, sejarah membuktikan sistem pendidikan negara telah melalui pelbagai fasa transformasi dan kematangan yang disesuaikan dengan peredaran zaman.
Daripada sistem yang hanya didasarkan oleh sistem pendidikan Inggeris, kajian-kajian penambahbaikan telah dilaksanakan secara berterusan sehingga terhasilnya laporan seperti Penyata Razak (1956), Laporan Rahman Talib (1961) dan Laporan Kabinet (1979). Hasil kajian-kajian tersebut telah memungkinkan kelahiran Dasar Pelajaran Kebangsaan serta falsafah pendidikan negara yang lebih jelas, sesuai dengan jiwa, cita rasa dan budaya masyarakat berbilang kaum di Malaysia.
Pada awalnya kita lihat, dasar dan sistem pendidikan negara ini disusun agar lebih menumpukan kepada usaha menyatupadukan semua kaum. Namun, setelah beberapa ketika, dasar pendidikan negara dilihat memberi penegasan pula ke arah pendidikan asas 3M (Membaca, Menulis dan Mengira) dan pendidikan kerohanian dan kurikulum yang lebih ala Malaysia.
Demikianlah fasa-fasa kematangan dasar pendidikan negara sehingga lahirnya suatu sistem pendidikan pada hari ini yang menekankan ke arah kecemerlangan ilmu bertaraf dunia yang dalam masa sama tidak mengabaikan aspek holistik dan perpaduan.
Dan dengan kajian, perubahan yang disusun, direncana dan dijalankan, negara melahirkan generasi Malaysia yang begitu progresif sebagaimana yang ada pada hari ini.
Fasa Transformasi Berterusan Dan Rasional Perubahan
Hakikatnya dari semasa ke semasa, kerajaan melalui kementerian pendidikan sememangnya melaksanakan pelbagai kajian dan soal selidik yang bertujuan menyesuaikan lagi sistem pendidikan sedia ada agar terus melahirkan generasi Malaysia yang berkualiti tinggi, sesuai dengan peredaran zaman dan sesuai dengan aspirasi Satu Malaysia.
Antara usaha terkini yang dapat kita lihat, ialah idea berkenaan perubahan dalam jumlah maksimum 10 mata pelajaran dan empat mata pelajaran teras yang boleh diambil dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Dengan perubahan ini, dipercayai golongan guru dan pelajar tidak akan lagi terbeban dengan mata pelajaran yang banyak untuk diajar atau dipelajari. Sebaliknya, fokus dan tumpuan dapat diberikan ke arah pemahaman pembelajaran dengan lebih baik.
Justeru itu, kita mengalu-alukan sebarang usaha kerajaan untuk menyemak dan memperbaharui semula sistem pendidikan Malaysia. Misalnya dalam aspek perpaduan, sistem pendidikan negara lagi tidak boleh menerapkan pengajaran "bertoleransi".
Sebaliknya perlu lebih menekankan kepada konsep "penerimaan" bersesuaian dengan idea Satu Malaysia yang diusulkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Dalam aspek kerohanian dan kurikulum pendidikan pula, perubahan yang diperlukan mungkin daripada segi penambahbaikan sistem yang bersifat hafalan kepada pemahaman serta pembinaan holistik.
Kesemua intipati ini rasanya cukup perlu untuk melahirkan masyarakat Malaysia abad ke-21 yang sedang menghadapi pelbagai bentuk ancaman. Ia termasuklah usaha memecah-belahkan perpaduan rakyat, cabaran ilmu, ekonomi dan globalisasi. Dalam senario globalisasi ini, negara boleh terjerumus dalam kesusahan sekiranya generasi masa depan tidak dilengkapi dengan aspek intelektual.
Melihat kepada isu gejala rasuah, pertambahan jangkitan HIV dan AIDS serta isu penagihan dadah yang semakin meruncing, tidak hairan jika ada yang meminta agar aspek holistik dan kerohanian tidak dipandang remeh. Sebaliknya ia perlu diperkasakan dalam dasar pendidikan negara.
Sistem pendidikan harus menjadi wacana perubahan, membina generasi baru yang lebih berkualiti bukan hanya daripada aspek intelektual, tetapi juga akhlak.
Kaya Ilmu dan Kaya Peribadi Murni
Tiada guna kita melahirkan generasi yang kaya dengan ilmu tetapi miskin dengan peribadi murni.
Lahirnya generasi sedemikian yang memerintah negara pada masa depan, hanya akan memungkinkan negara terjerumus kepada "penjajahan alaf baru".
Peribadi murni akan membolehkan generasi yang lebih berwawasan dan berintegriti dalam memacu negara ke arah kemajuan.
Sekiranya garapan pembangunan modal insan itu diadun dengan tepat oleh sistem pendidikan negara, tidak mustahil untuk kita melihat anak-anak Melayu dan Islam mengulangi sejarah keagungan intelektual Islam yang dipacu oleh ilmuwan silam seperti Ibnu Sina, Ibnu Khaldun, Ibnu Rusyd, Al-Razi, Al-Farabi dan Al-Khawarizmi.
Kita sememangnya merindukan lahirnya generasi dari kelompok ilmuwan Islam yang melakukan penemuan terkini dalam pelbagai bidang ilmu. Bukan sekadar penterjemah sahaja.
Dapatkah "kemarau panjang" ini diakhiri? Saya rasa jawapannya bergantung kepada kejayaan kita membangunkan modal insan yang cintakan Allah, cintakan ilmu pengetahuan dan berakhlak tinggi. Dan dengan izin-Nya, kita boleh berjaya, Insya-Allah.
FERIZ OMAR adalah Presiden Pertubuhan Profesional Melayu dan Pewaris Bangsa (ProWaris)

ARKIB : 26/05/2009

Pemimpin kena tunjuk kesungguhan

SEHINGGA hari ini, Malaysia tidak putus-putus dihidangkan dengan senario pilihan raya kecil yang seakan-akan tidak berkesudahan walaupun Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) berakhir hanya 13 bulan lalu.
Bermula daripada peletakan jawatan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Wan Azizah di Parlimen Permatang Pauh sehinggalah Timbalan Ketua Menteri (1) Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin di Penanti, dapat dilihat ia bagaikan suatu proses berterusan.
Banyak penganalisis politik berpendapat pilihan raya ini (selain Kuala Terengganu, Bukit Gantang dan Manik Urai ekoran daripada kematian penyandang sedia ada) adalah suatu strategi grand design yang dimainkan oleh pakatan pembangkang bagi memastikan kelangsungan momentum protes terhadap pucuk kepimpinan praperalihan kerajaan Barisan Nasional (BN).
Apapun pendapat atau teori dan sama ada ia benar ataupun tidak, wang yang terpaksa dibelanjakan untuk pilihan raya-pilihan raya kecil itu bukanlah sedikit jumlahnya. Justeru, jika benarlah ia sengaja dirancang walhal boleh dielakkan, ia amat mendukacitakan kerana yang dibazirkan itu ialah wang rakyat.
Menilai daripada sudut akal yang sihat, tindakan sedemikian bukanlah suatu perancangan terpuji dalam keadaan dunia yang tidak menentu dan negara yang sedang menongkah arus kegawatan ekonomi sejagat.
Sewajarnya apa yang perlu diutamakan adalah pencapaian pemimpin-pemimpin setempat dan parti politik yang dipilih rakyat setahun lalu.
Sehingga saat ini, parti-parti pembangkang terus mengganggu-gugat ketenteraman negara dengan pelbagai isu dan "desakan yang bukan-bukan".
Kerajaan Malaysia di bawah Datuk Seri Najib Tun Razak sudah menunjukkan kepimpinan positif dalam membawa senario politik negara ke arah fasa penyelesaian isuisu berbangkit secara menyeluruh dan bukannya secara pendekatan jangka pendek (fire-fighting) seperti yang disangka dan diharapkan oleh parti pembangkang.
Pendekatan menyeluruh ini amat penting kerana ia secara langsung menggagalkan strategi pembangkang untuk menghalakan kerajaan BN ke arah satu sudut yang mampu memusnahkan imej BN-UMNO itu sendiri.
Kita juga tidak boleh lupa bahawa sebilangan besar rakyat terdiri daripada kelompok rakyat rasional yang tidak mudah terbuai oleh hujah-hujah pesona ahli-ahli politik.
Kelompok ini sentiasa menilai dan menitikberatkan pencapaian para pemimpin dan parti yang disokong mereka bagi memastikan ia mengotakan janji-janji yang dibuat semasa kempen PRU12 lalu.
Kesungguhan mengotakan janji
Persoalan sama ada janji-janji itu sudah dikotakan atau tidak, kesungguhan untuk merealisasikannya dinilaikan sebagai usaha di landasan yang tepat.
Rakyat ingin melihat kesediaan pemimpin untuk "menyinsing lengan dan membanting tulang" dalam usaha memenangi hati mereka.
Bagi para pemimpin berjiwa rakyat, usaha mereka perlu dibuat dalam bentuk fizikal dan nyata. Aktiviti bersama rakyat tidak boleh menjadi aktiviti waktu senggang yang hanya bermusim.
Demikian juga dalam hal beramah mesra dengan masyarakat serta mengambil tahu susah senang rakyat bawahan. Setelah mengenal pasti isu rakyat, laksanakanlah tanggungjawab dengan penuh kejujuran serta kegigihan.
Rakyat hari ini mendambakan keringat yang keluar daripada setiap pengorbanan yang telah mereka curahkan. Setiap titisan keringat itu sebenarnya mewakili setiap undian dan sokongan ke atas wakil rakyat tersebut. Inilah terjemahan lahiriah kepada slogan yang menyuruh wakil rakyat 'turun padang'. Ia perlu dilakukan dengan sebaik mungkin.
Pendefinisian semula istilah 'turun padang'
Puas saya mendengar istilah menyuruh wakil-wakil rakyat untuk 'turun padang'. Pada fikiran saya, jikalau pemimpin tersebut dipilih oleh rakyat dan proses pemilihan itu juga dibuat di kalangan rakyat maka istilah pemimpin 'turun padang' tidak seharusnya terus wujud.
Sesungguhnya, pemimpin dan rakyat adalah dari 'padang' yang sama dan tidak perlu diumpamakan seperti golongan dewa-dewa yang hidup dalam dunia double standard sehingga dipisahkan daripada rakyat.
Pemimpin harus sedar bahawa majikan mereka sebenarnya adalah rakyat. Pemahaman mendalam ini melahirkan konsep "Rakyat Didahulukan, Prestasi Diutamakan".
Jika istilah 'turun padang' masih lagi terus digunakan, pastikanlah tujuan program 'turun padang' adalah tulus untuk bertemu, mendengar rintihan dan membantu rakyat.
Yang patut diutamakan ialah memastikan negara kekal berdaya saing dalam memacu ke arah kemajuan dan kemakmuran.
Kepada semua wakil rakyat, jalankanlah tugas seperti tiada esok, secara bersungguh-sungguh, jujur serta jangan lari daripada tugas itu. Ingatlah, usaha yang gigih dan istiqamah perlu sentiasa disulami dengan ketelusan, keikhlasan dan kepimpinan berhemah.
FERIZ OMAR ialah Presiden Pertubuhan Profesional Melayu dan Pewaris Bangsa (ProWaris).

ARKIB : 12/05/2009

Melayu pascaliberalisasi ekonomi

GENAP 10 tahun, Malaysia sekali lagi terpaksa menempuh krisis ekonomi dunia. Krisis terakhir sekitar 1997-1999 yang dirancang oleh penyangak mata wang, George Soros. Tindakannya telah mengakibatkan nilai ringgit menyusut kepada RM4.50 bagi setiap dolar Amerika Syarikat (secara purata 1996: AS$1 > RM2.50). Malaysia yang ketika itu di bawah era Tun Dr. Mahathir Mohamad, terpaksa melaksanakan dasar kawalan modal (capital control) yang amat ketat.
Namun kini, di tengah-tengah kemelut ekonomi paling dahsyat sejak Perang Dunia Kedua, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, mengumumkan liberalisasi ekonomi - suatu pendekatan berlawanan dengan strategi Tun Dr. Mahathir bagi mempertahankan ekonomi Malaysia.
Selayang pandang terhadap liberalisasi ekonomi, ia seolah-olah merugikan orang Melayu kerana syarat kuota 30 peratus pegangan saham bumiputera dalam 27 sektor ekonomi kini dihapuskan.
Sebenarnya, Malaysia sudah berada dalam situasi 'keterpaksaan' dan sedikit 'terkebelakang' dalam mengotakan janji dengan negara-negara serantau untuk menarik pelaburan asing langsung (FDI) ke ASEAN melalui liberalisasi ekonomi.
Data-data ekonomi terperinci juga menunjukkan bahawa Singapura dan Thailand yang melaksanakan liberalisasi ekonomi jauh lebih awal dari Malaysia berjaya mempamerkan tahap pemulihan ekonomi yang tinggi. Tetapi, di manakah Melayu pascaliberalisasi ekonomi ini?
Selain daripada kekuatan Melayu melalui institusi pelaburan gergasi seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Tabung Haji, sebenarnya Melayu hari ini bertaburan dalam pelbagai sektor ekonomi sehingga susah untuk melihat dominasi dalam sesebuah industri secara spesifik.
Kalau dahulu di bawah era Tun Dr. Mahathir-Tun Daim Zainuddin melalui struktur ekonomi 'payung', kita dapat melihat antara lain enam ikon usahawan Melayu terkenal iaitu Tan Sri Wan Azmi (L&G), Tan Sri Azman Hashim (Arab Malaysian Group), Tan Sri Tajuddin Ramli (MAS), Allahyarham Tan Sri Yahya Ahmad (DRB-Hicom), Tan Sri Rashid Hussain (RHB Group) dan Tan Sri Halim Saad (Renong) yang bukan hanya jaguh dalam industri masing-masing di Malaysia tetapi juga mampu bersaing di peringkat antarabangsa.
Malangnya hari ini, hanya beberapa ikon usahawan Melayu yang dilahirkan. Komuniti kecil ini tidak semantap ikon terdahulu kerana kekuatan mereka lebih tertumpu di dalam negara dan banyak bergantung harap kepada kerajaan.
Apa yang ingin saya hurai mengenai senario di atas ialah Melayu tidak semestinya perlu mendominasi sesebuah industri secara spesifik. Dominasi ekonomi Melayu secara spesifik juga menjadikan kelompok usahawan Melayu seperti sitting-duck (sekawan itik) yang mudah dicantas oleh pesaing-pesaing bukan Melayu mahupun sebangsa dengannya.
Kita hari ini juga perlu sedar bahawa sebilangan besar Melayu bukanlah daripada keluarga yang dapat menyediakan modal untuk berniaga seperti kaum-kaum lain. Saya lahir dalam keluarga yang pernah hidup di bawah garis kemiskinan, berasa amat bersyukur kepada Allah SWT kerana menjadi seorang profesional yang berjaya dengan hanya bermodalkan tulang empat kerat dan akal yang diisi dengan ilmu pengetahuan tajaan kerajaan Malaysia.
Atas alasan supaya Melayu tidak tertumpu hanya pada sektor ekonomi tertentu dan supaya tidak terus alpa dengan kedudukan keluarga yang tidak bermodal untuk berniaga, usaha bagi melambakkan tenaga profesional dan vokasional perlu ditingkatkan.
Tiga Profesional Setiap Keluarga
Jika Tun Dr. Mahathir pernah melaungkan saranan "Ke arah 70 juta penduduk" bagi menampung strategi pembangunan negara, saya pula ingin menyarankan agar kerajaan pimpinan Najib-Muhyiddin menumpukan perhatian untuk melahirkan tiga profesional bagi setiap keluarga Melayu.
Ini kerana hari ini, secara purata, seseorang profesional mampu mengumpul aset sejumlah RM1 juta apabila mencecah umur 40 tahun. Mengikut penganalisisan kami, jika enam ikon Melayu yang dilahirkan sewaktu era Tun Dr. Mahathir-Tun Daim mempunyai aset berjumlah RM1 bilion setiap seorang, jumlah aset terkumpul adalah RM6 bilion.
Jumlah aset sebanyak RM6 bilion ini sebenarnya memerlukan hanya 6,000 orang profesional dari puluhan ribuan siswazah yang keluar dari lebih 100 IPTA dan IPTS setiap tahun. Yang pasti, di kalangan 6,000 profesional tersebut akan lahir beberapa individu yang menyerlah sebagai ikon usahawan Melayu terkenal.
Dengan wujudnya senario tersebut, lambakan profesional Melayu dalam pelbagai sektor ekonomi secara tidak langsung mengurangkan risiko dicantas; merapatkan jumlah golongan kaya dan miskin; dan meneruskan budaya ekonomi 'payung' yang membimbing ribuan generasi pelapis ekonomi Melayu akan datang.
Kesimpulannya, Melayu pascaliberalisasi ekonomi perlu merebut pendedahan pengalaman dalam 27 sektor ekonomi yang dipegang oleh pelabur asing.
Pendedahan yang baik sebenarnya boleh diolah menjadi senjata untuk bersaing dalam penyelidikan, penghasilan produk, pembinaan dan penyediaan perkhidmatan yang berkualiti menjangkaui piawaian antarabangsa.
Akhirnya, Melayu bukan hanya mendominasi pelbagai sektor ekonomi tetapi menjadi jaguh di peringkat dunia dan tidak lagi bergantung kepada kerajaan.
FERIZ OMAR ialah Presiden Pertubuhan Profesional Melayu dan Pewaris Bangsa (ProWaris)

ARKIB : 05/05/2009

Bank Idea Rakyat - pelengkap Satu Malaysia

DALAM suasana politik dan ekonomi Malaysia yang kian mencabar, tanggungjawab untuk memikul tugas negara tidak boleh dibebankan sepenuhnya kepada Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri serta 69 ahli Kabinet sahaja. Ia juga adalah tanggungjawab bersama yang perlu dipikul oleh setiap rakyat yang ingin terus hidup aman makmur di tanah air tercinta, Malaysia.
Tatkala mencari jigsaw terakhir supaya rakyat dapat terlibat secara langsung dalam pentadbiran negara, Bank Idea Rakyat dicadangkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Sekilas pandang seperti cadangan yang simple (ringkas) namun secara praktikalnya, boleh diterima pakai sebagai mekanisme pelengkap serta mampu membuat perubahan 180 darjah terhadap senario politik dan ekonomi negara.
Sejak Datuk Seri Najib Tun Razak melaungkan hasratnya untuk mewujudkan sebuah kerajaan beraspirasikan di bawah konsep 'Satu Malaysia,' 'Rakyat Didahulukan,' Prestasi Diutamakan,' puas saya memikirkan pelbagai kaedah dan tatacara bagaimana konsep tersebut dapat dilaksanakan dengan jayanya.
Struktur perwakilan baru UMNO yang akan diputuskan dalam mesyuarat khas pada akhir tahun ini bakal menyaksikan jumlah perwakilan UMNO ditambah menjadi 60,000 orang dan kuota pencalonan dikecilkan.
Ini sudah cukup menggambarkan bahawa hala tuju parti tersebut mulai Perhimpunan Agung UMNO ke-59 nanti ditentukan menurut keperluan semasa rakyat, khususnya Melayu di dalam UMNO.
Mengikut penganalisisan saya, walaupun perwakilan seramai 60,000 orang itu adalah jauh lebih ramai berbanding jumlah asal lebih kurang 5,000 orang, ia hanyalah 1.5 peratus daripada jumlah keseluruhan ahli UMNO yang kini sudah mencecah 4.0 juta orang.
Jika jumlah ini benar-benar mewakili 100 peratus suara ahli UMNO sekalipun, belum tentu ia mewakili 15 juta rakyat Malaysia yang layak mengundi pada PRU-13 nanti.
Walaupun demikian, saranan Najib-Muhyiddin adalah murni kerana struktur UMNO baru juga memberikan kuasa menghukum secara langsung kepada rakyat untuk tidak memanjangkan tempoh pentadbiran mana-mana pemimpin yang dirasakan gagal melaksanakan amanah secara berkesan.
Hakikatnya, sejauh manapun kita berhujah mengenai jumlah perwakilan baru UMNO, ia hanya bersangkut-paut dengan kaedah pemilihan pemimpin Melayu dari parti UMNO sahaja. Persoalan pemilihan pemimpin Melayu dan bukan Melayu dari parti-parti komponen BN yang lain serta kualiti perkhidmatan menteri-menteri Kabinet masih belum lagi terjawab.
Mungkin itu adalah antara alasan mengapa Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon dilantik dan dipertanggungjawabkan ke atas pengurusan prestasi Kabinet Najib-Muhyiddin dalam mencapai objektif sebenar konsep 'Rakyat Didahulukan, Prestasi Diutamakan'.
Demi memperkukuhkan lagi struktur pentadbiran kerajaan, saranan seperti Bank Idea Rakyat perlu dilihat sebagai 'jantung utama' dalam pentadbiran yang mendahulukan rakyat dan mengutamakan prestasi.
Ia bukan hanya bertindak sebagai jambatan di antara kerajaan dan 15 juta rakyat Malaysia yang layak mengundi pada PRU-13 nanti, malahan ia adalah bukti keterbukaan kerajaan dalam menerima pandangan, cadangan dan kritikan yang dibawa rakyat dalam pelbagai isu termasuk ekonomi, pendidikan, perhubungan kaum, kebajikan serta pentadbiran kerajaan secara keseluruhan.
Ternyata Bank Idea Rakyat ini tidak boleh disamaertikan seperti tabung pengaduan awam yang dianggap sudah lama wujud sejak zaman 'dinasour' kerana ia bukan hanya mengambil kira aduan rakyat semata-mata tetapi juga pandangan serta cadangan rakyat terhadap sesuatu isu secara khusus.
Dunia hari ini yang berorentasikan kecanggihan ICT pasti boleh menampung cadangan Bank Idea Rakyat itu dalam bentuk sistem pungutan suara seperti Public Relations System atau Sistem Perhubungan Rakyat yang melibatkan dua komponen utama iaitu, rakyat yang memberi cadangan dan pandangan secara tulus ikhlas; dan kerajaan yang menangani cadangan dan pandangan rakyat secara telus dan terperinci.
Malaysia yang rakyatnya semakin bijak dan peka dengan ehwal semasa perlu diberi hak sama rata untuk bersuara.
Menurut statistik Suruhanjaya Telekomunikasi dan Multimedia pada Disember 2008, jumlah pengguna internet adalah lebih kurang 10 juta orang manakala jumlah telefon bimbit berdaftar pula adalah sebanyak 26.5 juta orang.
Dengan kedua-dua kekuatan ini, infrastruktur Sistem Perhubungan Rakyat dan jaringan rakyat-parti-kerajaan sebenarnya sudah sedia terbentuk. Bagi rakyat yang bukan pengguna internet mahupun telefon bimbit, di ruang inilah wakil-wakil rakyat memainkan peranan untuk bertindak selaku ejen kerajaan yang efektif dengan menganjurkan kaedah sistem pungutan suara rakyat secara manual.
Memang benar bahawa cadangan Bank Idea Rakyat akan menjadikan setiap unit struktur kerajaan kembali peka kepada jeritan suara rakyat. Namun, tunggak kejayaan kepada saranan mekanisme pelengkap itu juga bergantung kepada keberkesanan tindakan susulan yang akhirnya akan diterjemahkan oleh rakyat dalam keputusan PRU-13.
Dengan penuh keyakinan dan harapan, semoga kerajaan sempat membuktikan keberkesanan tindakan susulan memandangkan PRU-13 bakal menemui kita kurang atau lebih tiga tahun dari sekarang.
FERIZ OMAR ialah Presiden Pertubuhan Profesional Melayu dan Pewaris Bangsa (ProWaris)

ARKIB : 28/04/2009

NGO Melayu - Katalis penyatuan Melayu, Islam

USAHA untuk mencari titik pertemuan Melayu dan Islam seperti yang dititahkan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah sewaktu upacara ulang tahun keputeraan baginda baru-baru ini perlu diterima sebagai perjuangan baru sepanjang zaman bagi setiap individu yang beragama Islam dan bergelar Melayu.
Tidak kita nafikan ramai kecewa dengan kenyataan terbuka Datuk Seri Mohammad Nizar bahawa Pas tidak akan bekerjasama dengan UMNO dalam merealisasikan kehendak Sultan Azlan Shah. Pertikaian sama ada 'UMNO lebih memerlukan Pas dan bukan sebaliknya' menunjukkan bahawa kenyataan bekas Menteri Besar Perak itu berbaur emosi, individualistik dan tidak mewakili Pas secara keseluruhan.
Hakikatnya, saranan Sultan Azlan Shah adalah murni dan mempunyai nilai kerohanian yang tinggi. Pas yang berjuang atas imej Islam sepatutnya berlapang dada dan menjadi yang paling awal terpanggil untuk menyahut saranan Sultan Perak. Sebaliknya, saranan tersebut ditolak mentah-mentah atas alasan-alasan tersendiri.
UMNO pula perlu mengkaji segala alasan mengapa kata-kata sehingga boleh membawa persepsi 'durhaka pada Raja' itu dibuat oleh seorang kepimpinan tertinggi Pas di peringkat negeri.
Kalau hari ini UMNO begitu kuat melaungkan peri pentingnya ketaatan dan kedaulatan Raja Melayu, di ruang ini jugalah UMNO perlu buktikan kedudukannya dalam merealisasikan saranan Sultan Perak itu.
Dalam hal ini juga, perdebatan UMNO-Pas seperti yang dianjurkan oleh pemimpin muda sewaktu kempen pemilihan UMNO 2009 tidak sepatutnya berulang kerana ia menunjukkan ketidakmatangan dan menjarakkan lagi perbezaan UMNO-Pas.
Badan-badan bukan kerajaan (NGO) Melayu juga perlu menjadi pemangkin (katalis) penyatuan Melayu dan Islam seperti yang disarankan oleh Sultan Azlan dan bukan terus melaga-lagakan parti-parti politik Melayu dengan pelbagai kenyataan sehingga menimbulkan kemusykilan terhadap kedudukan NGO sebagai badan perwakilan rakyat di peringkat akar umbi yang bebas daripada politik.
Sesungguhnya mengikut kajian peringkat akar umbi persatuan kami, usaha ke arah penggabungan UMNO-Pas adalah perkara yang paling ditakuti oleh barisan parti-parti pembangkang lain. Ini adalah kerana gabungan UMNO dan Pas secara majoriti mampu memberi sokongan solid undian Melayu setiap kali pilihan raya umum diadakan.
Jika kita kaji secara halus dan mendalam isu pergeseran UMNO-Pas hari ini adalah berpunca daripada individu-individu dalam kedua-dua parti itu sendiri dan tiada kaitan dengan wawasan serta objektif parti politik masing-masing.
Daripada perspektif hukum Islam pula, UMNO bukan sekadar menabur janji malahan telah membuktikan usahanya segiat mungkin ke arah pelaksanaan menurut sistem hukum Islam sepenuhnya.
Antara usaha UMNO dan Kerajaan Barisan Nasional adalah dengan wujudnya Undang-Undang Syariah Kekeluargaan Islam yang setaraf dengan Mahkamah Sivil (Perkara 121 1(A) Perlembagaan Persekutuan) melalui pelaksanaan yang disokong oleh majlis dan jabatan agama Islam seluruh Malaysia; Sistem kewangan dan perbankan Islam yang menjadi pusat rujukan dunia; Tabung Haji - sebuah institusi terbaik dunia dalam mempermudahkan rakyat mengerjakan ibadah haji dan umrah; Sistem pungutan zakat dan Baitul Mal; Sistem persijilan makanan halal yang diiktiraf dunia; dan banyak lagi.
Hukum hudud adalah hukum Allah yang sentiasa dekat dengan jiwa Islam dan jika persoalan itu menjadi alasan Pas untuk tidak bekerjasama dengan UMNO, ia adalah alasan kurang tepat. Hari ini, apabila hukum hudud dicadangkan di Dewan Undangan Negeri Kelantan, ramai juga ADUN UMNO yang mengangkat tangan bersetuju tetapi apabila diusulkan mengenai pelaksanaannya, perbincangan terhenti.
Memang kita akui bahawa usaha menterjemahkan hudud melalui pelaksanaannya seratus peratus ke atas sebuah negara pelbagai bangsa dan agama seperti Malaysia adalah suatu cabaran besar.
Di sinilah NGO Melayu boleh memainkan peranan dalam menggerakkan para intelektual Melayu dan Islam supaya berusaha mencari penyelesaian ke arah sistem pelaksanaan dengan mengambil kira tahap kesediaan penerimaan rakyat bukan Islam mengenai hukum tersebut.
Usaha ini bak kata pepatah Melayu, seperti 'menarik rambut di dalam tepung, rambut tidak putus, tepung tidak berselerak'.
Dalam dada-dada akhbar dan majalah media arus perdana juga sudah banyak membincangkan kedudukan hukum hudud yang sebenarnya sudah sedia dilaksanakan ke atas orang Islam dan Melayu melalui Undang-Undang Syariah Islam dan Kanun Keseksaan (Penal Code). Semoga kebaikan, keunikan dan kelebihan pelaksanaan hukum hudud ke atas orang Islam akhirnya terserlah dan diterima ramai.
Selain itu, ada juga pemimpin-pemimpin kanan negara yang menyatakan usaha ke arah penggabungan UMNO-Pas adalah tidak perlu kerana sejarah telah membuktikan bahawa ia suatu usaha yang sia-sia.
Bagi saya, faktor sejarah tidak ada kena mengena langsung dengan masa hadapan. Jika alasan yang sama digunakan, sudah pasti negara yang kita cintai, Malaysia hari ini masih lagi belum merdeka. Pejuang-pejuang Melayu sejak dari zaman Mat Kilau, Datuk Maharajalela, Tok Janggut, Ngah Ibrahim, Datuk Bahaman, Dato' Onn Jaafar hingga Tunku Abdul Rahman terus-terusan yakin pada usaha positif mencari kemerdekaan sehingga ia menjadi kenyataan pada tanggal 31 Ogos 1957.
Penyatuan Melayu-Islam adalah ternyata suatu usaha yang jujur dan ikhlas yang boleh membawa bangsa Melayu dan agama Islam ke tahap yang tidak terdaya disaingi oleh pesaing-pesaing lain. Ia perlu menjadi perjuangan abadi sepanjang zaman dan sentiasa direnungkan sebagai perjuangan yang belum selesai.
FERIZ OMAR ialah Presiden Pertubuhan Profesional Melayu dan Pewaris Bangsa (ProWaris)

ARKIB : 21/04/2009

Memacu kedinamikan ekonomi Malaysia

BARU-BARU ini, ekonomi kapitalis anjuran Amerika-Yahudi musnah setelah beberapa institusi kewangan gergasi dunia jatuh lumpuh. Antara punca kejatuhan ekonomi Amerika-Yahudi adalah disebabkan industri institusi kewangan terlalu mudah meluluskan kemudahan kredit individu; kos kehidupan seharian yang tinggi kerana kenaikan harga minyak dunia; rakyat gagal memenuhi komitmen kredit; syarikat-syarikat pelaburan membeli terlalu banyak opsyen kadar bon-bon terbitan institusi kewangan sehingga menjejaskan pembayaran balik apabila panggilan terhadap komitmen bon-bon tersebut dibuat; dan banyak lagi.
Kita akui bahawa struktur sub-ekonomi kapitalis bukan sahaja disokong dengan rapi dari segi pelaksanaannya malahan diiktiraf dan diguna pakai oleh seluruh dunia. Ini terbukti melalui kewujudan Pertubuhan Perdagangan Bebas (FTO); pusat bebas cukai dunia seperti di Cayman Islands dan Bermuda; lambakan pelbagai mekanisme pelaburan dan tukaran mata wang seperti derivatif, jualan pendek dan panjang, opsyen, urus niaga kadar tukaran dan banyak lagi.
Memang jelas bahawa teori kapitalis anjuran Amerika-Yahudi ini menghalalkan cara agar 'wang terus membuat wang' tanpa sandaran nilai sebenar yang kukuh.
Bagi saya, kesan ekonomi kapitalis ini adalah sama seperti buih kecil yang terus membesar tanpa dapat dikawal lagi sehinggalah ia meletup baru-baru ini. Menurut laporan, kos untuk menangani krisis ekonomi Amerika sahaja tidak termasuk Eropah dan negara-negara sedunia, sudah menjangkau AS$3 trilion.
Dari perspektif positif, Malaysia selaku salah satu unit ekonomi gergasi Asia perlu merebut peluang untuk membentuk semula dan menentukan hala tuju struktur ekonomi baru bagi menggantikan ekonomi kapitalis anjuran Amerika-Yahudi yang sekian lama menguasai dunia.
MENGUKUHKAN KEMBALI KEDUDUKAN
Malaysia yang ekonominya peringkat awal berasaskan pertanian, kemudiannya perladangan dan seterusnya perindustrian, agak 'terkebelakang' apabila hala tuju ekonomi diasaskan kepada industri asas tani.
Hari ini, alasan bahawa ekonomi tersebut adalah kebal dari mana-mana krisis ekonomi juga tidak tepat kerana rata-rata harga barangan makanan masih tinggi.
Sejarah membuktikan bahawa Semenanjung Malaysia dengan kedudukan lokasinya yang strategik sejak awal lagi merupakan sebuah laluan pusat perdagangan antara tersibuk di dunia yang menghubungkan India, China, Jepun dan Australasia.
Kepentingan laluan dagangan ini juga diguna untuk membentuk empayar kerajaan seperti Kerajaan Funan (Segenting Kra), Kerajaan Kedah Tua, Kerajaan Gangga Negara di Beruas, Empayar Srivijaya yang pernah berpusat di Kota Gelanggi Johor, Kerajaan Kesultanan Melayu Melaka pada kurun 15, Kerajaan Johor-Riau pada kurun 17 dan disusuli dengan Portugis, Belanda dan Inggeris sehingga tahun 1957.
Menyedari hakikat ini, seiring dengan pertumbuhan ekonomi China sebagai pusat tenaga buruh termurah dunia yang kini diiktiraf sebagai 'negara pengilang antarabangsa' dan Jepun terus gagah dengan kuasa ekonomi dunia, Malaysia perlu mengukuhkan kembali kedudukannya sebagai laluan dagangan utama timur-barat.
Usaha ini ternyata penting kerana ia dipandang serius oleh Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial bagi Asia dan Pasifik PBB (UNESCAP) dalam memajukan Projek Keretapi Rentas Asia (Trans-Asian Railway), sebuah projek yang menghubungkan Singapura dan Guongzhou, China.
Negara kita, yang dilengkapi dengan pelbagai kekuatan infrastruktur; ditampung pula oleh firma gergasi dunia seperti Petronas dan Sime Darby Plantations; disokong oleh puluh ribuan modal insan yang dihasilkan oleh lebih 100 institut pengajian tinggi setahun; dikukuhkan pula dengan kedudukan pusat kewangan Islam dunia, sebenarnya sudah lama bersedia untuk melaksanakan ekonomi berasaskan perkhidmatan perdagangan antarabangsa melalui perkhidmatan logistik, pergudangan, 'entrepot' dan sebagainya.
Malaysia sudah pun bersedia memposisikan kedudukannya sebagai pusat perdagangan dunia setaraf dengan Rotterdam atau setidak-tidaknya, mengambil alih kedudukan Pelabuhan Keppel, Singapura.
Kita perlu menggemblengkan kekuatan infrastruktur sedia ada seperti Pelabuhan Tanjung Pelepas Johor yang sebahagiannya dimiliki oleh Maersk-Sealand International (syarikat kontainer perkapalan terbesar dunia), Lapangan Terbang Senai sebagai Pusat Kargo Udara Serantau, Projek 968 km Electrified Double Track (EDT) dari Johor Bahru-Padang Besar dengan kelajuan keretapi penumpang-kargo selaju 160 km/jam dan MISC Berhad, syarikat perkapalan terbesar negara dengan 190 buah kapal kesemuanya.
Pada masa yang sama, kita juga perlu mencari jalan untuk tumpukan usaha ke arah merealisasikan 'Jambatan Indah Johor Bahru-Singapura' yang lama tertangguh.
Dengan terbinanya jambatan tersebut maka lengkaplah jaringan infrastruktur yang akan memacu Malaysia ke arah pertumbuhan ekonomi pesat mendahului negara-negara jiran serantau dalam menyediakan pelbagai peluang pekerjaan, perniagaan, perkilangan, pembangunan yang melimpah-ruah sekali gus memberi anjakan kepada nilai hartanah dan modal insan negara.
Saya yakin pertumbuhan ekonomi berasaskan perkhidmatan perdagangan antarabangsa ini akan bertindak sebagai 'pemangkin' kepada pelaburan asing langsung (FDI) yang Malaysia dambakan sekian lama.
FERIZ OMAR adalah Presiden Pertubuhan Profesional Melayu dan Pewaris Bangsa (ProWaris)

ARKIB : 07/04/2009

BERAKHIRNYA SATU TUGAS, BERMULANYA SEBUAH PERJUANGAN

Tanggal 3 April 2009 merupakan tarikh penyerahan pentadbiran negara kepada barisan kepimpinan UMNO yang diketuai oleh Datuk Seri Najib Tun Razak dengan sokongan utama Tan Sri Muhyiddin.
Upacara tersebut jatuh pada Jumaat, hari yang mulia buat umat Islam. Saya begitu terharu kerana peristiwa bersejarah itu ditakdirkan Allah SWT jatuh pada tarikh ulang tahun saya yang ke-38. Ternyata ia adalah hadiah istimewa buat saya, ProWaris, sahabat-sahabat NGO Melayu serta para bloggers yang berjuang sekian lama tatkala UMNO berada dalam serba “keterbatasan” untuk bertindak sebagai barisan pertahanan pertama bangsa Melayu dan Islam.
ProWaris yang telah berjuang selama lapan tahun sejak 2001 sentiasa memenuhi saf pertama dalam memastikan Agenda Melayu dan Islam terbela, tercapai dan terus terpelihara. Bagi kami, hak perjuangan Agenda Melayu bukannya 100 peratus hak mutlak UMNO. Perjuangan Agenda Islam adalah bukan 100 peratus hak mutlak Pas dan perjuangan menuntut keadilan adalah bukan hak mutlak Parti Keadilan Rakyat.
ProWaris mula lantang pada 2003 agar profesional Melayu tidak “terkebelakang” dalam mengharungi cabaran globalisasi dan bertindak sebagai katalis ekonomi negara.
Pada 2004, ProWaris mencadangkan pen- strukturan semula operasi dan kewangan Penerbangan Malaysia kerana MAS pernah diiktiraf sebagai syarikat penerbangan terbaik dunia dengan majoriti pekerja dan pemegang sahamnya adalah Melayu. Tahun 2006, seluruh Malaysia dikejutkan apabila ProWaris membangkitkan isu keretakan jambatan MRR2; risiko nyawa dan kemungkinan berlakunya penyelewengan – sehinggakan MRR2 ditutup untuk pembaikan dan penyiasatan.
Pada 2007, Profesional Melayu berpadu tenaga menghasilkan 20 Tuntutan ProWaris-Mapan terhadap Iskandar Malaysia melalui Buku Merah-Hitam demi mempertahankan hak bangsa Melayu, kesucian agama Islam, kedaulatan negara serta institusi raja di Malaysia.
Sekalipun telah dipersembahkan berkali-kali dengan penuh berhemah, usaha kami tidak dilayan oleh pucuk pimpinan negara. Sejak saat itu, kami berpendapat kepincangan pentadbiran negara sudah mencapai tahap kritikal sehingga diterjemahkan rakyat dalam PRU12 dengan kekalahan paling dahsyat BN-UMNO dalam sejarah 51 tahun merdeka. Senario itu telah dijangka awal-awal lagi oleh ProWaris melalui kajian “protes rakyat” sebelum pilihan raya.
Teras gerak kerja ProWaris terhadap isu-isu ini sentiasa dipasak oleh integriti roh Melayu profesional dan Islam yang kukuh. Kukuh kerana berjuang menurut fakta. Fakta yang begitu padat. Padat dengan analisis, akta perundangan dan statistik terperinci. Terperinci namun dipermudahkan melalui hujah yang jelas lagi efektif. Faktor inilah yang menarik ramai teman seperjuangan lain yang mahukan perubahan sekali gus tidak terus alpa dengan kelemahan pemimpin. Di sinilah bermulanya gerakan akar umbi melalui revolusi NGO-NGO Melayu.
ProWaris pernah diiktiraf Pas sebagai “pasukan elit Islam” yang profesional lagi berani, manakala sebilangan besar Melayu lain pula mengaitkan ProWaris sama seperti kumpulan “Selendang Merah” yang bangkit pada zaman 13 Mei 1969.
Tidak ramai tahu bahawa ProWaris pernah dikecam hebat sebagai “mencari publisiti murah”, pernah diugut oleh mereka yang bencikan perubahan, laman web rasmi juga pernah digodam dan pernah dikejar sehingga ke Mersing sewaktu menuntut peralihan kuasa disegerakan. Pengalaman yang paling memalukan adalah apabila saya sendiri dihalau keluar dari studio TV sewaktu siaran langsung program ulasan PRU12. Namun, inilah adat berjuang bak kata pepatah, kita perlu “tegak pada yang datar, berpegang pada yang benar”.
INI SUARA MUDA MEWAKILI 70 PERATUS PENGUNDI MALAYSIA!
Sebagai sebuah NGO yang memantau kedudukan UMNO-BN dari luar, kami yakin Najib-Muhyiddin tidak akan mempersia-siakan jerih-perih, ratapan-tangis, perahan minda, doa-zikir, waktu dan wang yang rakyat korbankan supaya transformasi politik ini berlaku. Memandangkan masa yang singkat, Najib dan Muhyiddin perlu menggunakan kuasa secekap mungkin agar momentum terbina hingga tercapainya kejayaan pada PRU13 kelak.
Antara perkara perlu dilaksanakan ialah merealisasikan segera janji struktur “Rak yat-Parti-Kerajaan”, memilih menteri Kabinet di kalangan individu yang mempunyai roh Islam murni, bijaksana, tidak dibenci rakyat, bersih rasuah serta berintegriti tinggi biarpun tidak begitu popular.
Selain itu, selesaikan isu sebilangan Pemuda UMNO yang menafikan ucapan Presiden pada Mesyuarat Agung 2009; buru dan perkenalkan dari sekarang ikon-ikon pemimpin muda yang boleh mewakili rakyat di bawah 40 tahun (70 peratus suara pengundi Malaysia) dan pergunakan kekuatan NGO dan bloggers yang membantu proses transformasi politik agar mereka turut sama memulihkan kecelaruan politik dan ekonomi negara bagi mengelakkan kesan ‘boomerang’ jika mereka diabaikan.
Pastikan pembentukan roh dan jati diri Islam di kalangan ahli UMNO secara berterusan.
Penyerahan pentadbiran kepada NajibMuhyiddin adalah bukti berakhirnya satu lagi tugas ProWaris. Sekalipun demikian, bagi kami ia juga adalah titik permulaan sebuah perjuangan Agenda Melayu dan Islam supaya ia “tidak terdaya dicabar” oleh sesiapa pun selepas ini !
FERIZ OMAR adalah Presiden Pertubuhan
Profesional Melayu dan Pewaris Bangsa (ProWaris)


ARKIB : 31/03/2009

Feriz Omar menulis

PEMIMPIN MELAYU PERLU ‘KECERDASAN SPIRITUAL’ TINGGI
Laungan janji keramat Datuk Seri Najib Tun Razak-Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam ucapan terakhir Mesyuarat Agung UMNO untuk menjadikan UMNO sebagai wadah perjuangan ‘Rakyat-Parti-Kerajaan’ bergema kuat sehingga menembusi dinding Dewan Merdeka di PWTC, melalui jalan-jalan kota raya, merentasi sungai-sungai, meredah belukar, mendaki bukit-bukau, melepasi lautan sehingga sampai ke pendengaran menusuk sanubari setiap orang Melayu dan orang Islam.
Sekalipun ia suatu janji yang belum lagi dikotakan, namun nada komitmen ke atas janji itu setidak-tidaknya memberi ‘harapan masa depan’ rakyat Malaysia secara keseluruhan.
NAJIB-MUHYIDDIN - PEMIMPIN PUNYA ‘SQ’ TINGGI
Seiring dengan artikel saya seminggu lalu yang menyentuh tentang “Strategi Blue Ocean – Formula Memulih Kembali UMNO”, Datuk Seri Najib berjanji akan mengembalikan kuasa akar umbi dengan mewujudkan hubungan harmoni ‘Rakyat-Parti-Kerajaan’ di luar jangkauan seperti mana di tahap Blue Ocean yang pasti tidak terdaya disaingi parti-parti pembangkang.
Kebanyakan usaha yang disarankan beliau tertumpu untuk menarik semula generasi muda yang sebenarnya memenuhi 70 peratus pengundi Malaysia.
Golongan ini telah dikategorikan oleh beliau sebagai pencetus idealisme ekonomi, politik dan masyarakat. Golongan yang berpendidikan tinggi ini adalah pejuang-pejuang siber yang hebat. Golongan ini pernah dicantas daripada memegang jawatan dan diketepikan oleh sebilangan pemimpin UMNO sekalipun ikhlas berkhidmat.
Buat permulaan, UMNO akan menganjurkan Mesyuarat Agung Luar Biasa bagi membincangkan cadangan syarat minimum kuota pencalonan bagi memudahkan laluan pemimpin yang difikirkan layak untuk bertanding.
Selain daripada itu, cadangan untuk menambahkan jumlah perwakilan sehingga mencapai jumlah 60,000 orang bagi memerangi gejala politik wang juga akan dibincangkan.
Cadangan-cadangan di atas menampakkan bahawa gandingan Najib-Muhyiddin telah melakukan homework untuk muhasabah diri serta menyahut jeritan Spiritual Quotient (SQ) atau Kecerdasan Spritual dalaman mereka. Sesungguhnya, SQ adalah suara hati yang jernih, tidak mungkin ditipu oleh sesiapa pun, termasuk diri kita sendiri dan sentiasa bertindak dengan penuh kesedaran.
Menurut kajian dalam buku Spiritual Intelligence – The Ultimate Intelligence, SQ kini telah dibuktikan sebagai kecerdasan ‘masa depan hakiki’ mengatasi Intelligent Quotient (IQ) dan Emotional Quotient (EQ) yang ditemui sekitar 1990-an.
Pengkajinya, Zohar dan Marshall mendefinisikan IQ seperti kecekapan, kecerdikan, dan berfikir secara logik komputer. EQ pula seperti reaksi haiwan yang bertindak mengikut persekitaran sekeliling. Manakala SQ seperti kebolehan untuk memalingkan pelbagai senario kehidupan ke arah psikologi ketuhanan, ini termasuk nilai-nilai Islam.
Kita mengakui bahawa psikologi sebilangan ahli UMNO masih cenderung ke arah kehidupan serba materialistik dan konsumerisme duniawi. Jikalau tidak, budaya menghalalkan cara politik wang tidak akan berlaku di tengah-tengah kemelut bangsa Melayu dan Islam yang memerlukan barisan kepimpinan UMNO berteraskan kearifan, kebijaksanaan dan kerohanian yang mana nilai-nilai ini adalah pegangan universal umat manusia.
‘DIPERHAMBAKAN’ PEMIMPIN
TIADA SQ
Isu terbesar dalam setiap Mesyuarat Agung UMNO adalah apabila beberapa pemimpin yang tiada nilai SQ sanggup menjual roh dan mengambil kesempatan menabur wang serta memanipulasi pemikiran perwakilan.
Tindakan penyogok politik wang itu seolah-olah merendahkan martabat sebilangan perwakilan UMNO sama seperti kelompok yang mudah ‘diperhambakan’, kelompok yang berpemikiran lemah, kelompok yang tidak yakin dengan Islam serta tidak takut dengan laknat Allah terhadap mereka. Lantaran sentiasa menawarkan diri untuk ditunggang dengan bebas sewenang-wenangnya.
Saya berharap saranan struktur Rakyat-Parti-Kerajaan dilaksanakan segera agar UMNO benar-benar wujud atas kekuatan akar umbi sekali gus membanteras gejala politik wang yang kian meruncing.
Sementara menantikan struktur perwakilan dan pemilihan UMNO itu menjadi realiti, kita perlu menjawab persoalan sama ada keputusan yang baru dibuat oleh lebih kurang lima ribu perwakilan UMNO, Wanita, Puteri dan Pemuda kali ini juga dipersetujui oleh lebih 15 juta rakyat Malaysia yang layak mengundi pada Pilihan Raya Ke-13 nanti di mana sebahagiannya bakal kita temui dalam pilihan-pilihan raya kecil Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Air pada 7 April 2009 nanti.
Saya ucapkan syabas kepada Presiden, Timbalan Presiden, Naib-Naib Presiden, barisan Majlis Tertinggi UMNO, barisan sayap UMNO dalam Mesyuarat Agung 2009. Kami akan terus menyokong dari luar dan sedia bergerak masuk!

ARKIB : 24/03/2009

Pilih pemimpin beri harapan ‘masa depan’

PADA 25 Mac 2009 akan terungkailah persoalan rakyat mengenai jangka hayat UMNO sebagai wadah perjuangan ketamadunan Melayu dunia. Tarikh ini juga akan menentukan sama ada ia akan mengakhiri atau memanjangkan lagi krisis politik dan ekonomi Malaysia yang secara kebetulan, jatuh pada jangka masa yang sama.
PUTARAN GANAS KRISIS POLITIK DAN EKONOMI – SECARA KEBETULAN?
Sebenarnya, putaran ganas krisis politik berlaku setiap 10 tahun bermula sebelum penubuhan Persekutuan Tanah Melayu. Pada 1946-1947, Datuk Onn Jaafar menentang kewujudan Malayan Union melalui UMNO yang baru ditubuhkan oleh beliau. Pada 1957: Sekali pun Malaya dimerdekakan namun keganasan komunis menjadikan rakyat musykil tentang status kemerdekaan tanah air.
Pada 1967-1969: Ketegangan antara kaum memuncak apabila jumlah kerusi ADUN Selangor terpecah sama rata antara BN dan parti pembangkang. 1974-1977: Revolusi mahasiswa menentang kewujudan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU). 1987: Pertandingan sengit antara Tun Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh sebelum UMNO diharamkan. 1997: Datuk Seri Anwar Ibrahim pemimpin kedua tertinggi UMNO dan kerajaan disingkir. 2008: Revolusi akar umbi dipelopori oleh NGO berlaku setelah kekalahan paling dahsyat UMNO-BN dalam sejarah 50 tahun merdeka, manakala pembangkang mengambil kesempatan atas kecelaruan politik dan ekonomi tanah air.
Senario 10 tahun putaran ganas juga berlaku dalam sektor ekonomi dunia. 2007: Kehancuran ekonomi kapitalis anjuran rejim Yahudi-Amerika akibat kenaikan harga minyak melampau. 1997: Ekonomi Asia tergugat setelah diserang penyangak mata wang George Soros. 1987: “Black Monday” memperlihatkan kerugian terbesar bursa-
bursa dunia ekoran daripada jual beli saham berlebihan. 1977: Ekonomi Amerika lembap menarik sama kebanyakan blok ekonomi ekoran daripada peperangan Vietnam.
Dunia pada ketika itu dipengaruhi oleh najis dadah serta budaya hippie sebagai alasan untuk mengalihkan generasi muda daripada isu pengangguran dan penyakit mental askar-askar peperangan Vietnam. 1967: Pound sterling Inggeris, mata wang dunia paling kukuh menjunam dan turut menjejaskan ekonomi dunia sehingga Presiden Indonesia ketika itu, Soekarno menganjurkan “Ganyang Malaysia” bagi mengalihkan pandangan rakyat ke luar negara.
Pada tahun yang sama, ASEAN ditubuhkan untuk menangani dan memaju pelbagai usaha politik, ekonomi dan sosial serantau.
Memang benar penganalisisan saya terhadap kronologi fenomena 10 tahun tersebut menarik namun sebagai seorang Islam, saya anggap ia adalah suatu kebetulan.
Apa yang lebih penting kejayaan dalam menangani krisis politik dan ekonomi di atas bergantung kepada gerak kerja efektif yang lahir dari barisan kepimpinan yang mempunyai kriteria ‘faktor-X’, berkredibiliti, berintegriti dan berintelektual tinggi.
STRATEGI BLUE OCEAN – FORMULA MEMULIH KEMBALI UMNO
Mengaitkan kandungan buku bertajuk Blue Ocean Strategy tulisan Kim and Mauborgne yang kini menjadi rujukan ramai pemimpin negara dan tokoh korporat dunia, UMNO yang sekian lama wujud dan matang dalam Red Ocean kini sudah sedia mewujudkan kekuatan baru di arena yang tidak terdaya disaingi parti-parti pembangkang.
Datuk Seri Najib perlu memimpin UMNO ke arah “mencari kekuatan melalui persamaan bukan persaingan” demi mewujudkan keharmonian antara hubungan rakyat-kerajaan sebagai mana penyedia perkhidmatan memenuhi cita rasa pelanggan dengan menyediakan keselesaan luar jangkauan.
Namun secara realitinya, UMNO terpaksa menghadapi pelbagai rintangan. Antara lain adalah krisis ekonomi dunia, asas perwakilan politik pelbagai kaum dan agama, kerakusan ramai calon pemimpin UMNO yang popular tetapi tidak berintegriti, golongan generasi muda yang menganggap UMNO sebagai parti dinosaur dan paling dahsyat adalah rasuah politik.
Oleh demikian pemilihan barisan kepimpinan UMNO serta sayap Wanita, Pemuda dan Puteri pada 25 Mac 2009 adalah suatu proses paling kritikal dalam sejarah penubuhannya.
Tetapi mungkin ramai perwakilan masih keliru dengan calon kepimpinan yang mana hendak dipilih.
Mengimbas kembali kata-kata Pengurus Kempen Barack Obama, Robert Fisk mengenai formula kemenangan mereka. Beliau menyatakan, presiden itu adalah pemimpin yang membawa harapan untuk “masa depan”.
Demi perubahan dan demi menyelamatkan agama, bangsa dan negara, pilihlah dan sokonglah calon-calon pemimpin yang memberi harapan “masa depan” dan yang tiada kaitan dengan “masa silam”.
FERIZ OMAR ialah Presiden Pertubuhan Profesional Melayu dan Pewaris Bangsa (ProWaris)

ARKIB : 17/03/2009

ISU PPSMI: BAHASA MELAYU TETAP UNGGUL

TUNJUK perasaan jalanan membantah Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) minggu lalu telah memaksa saya menyelami perjuangan mengenai isu ini.
Memang benar, sekalipun Matematik dan Sains adalah dua mata pelajaran sahaja tetapi kedua-dua mata pelajaran itu adalah asas kepada pelbagai pecahan ijazah serta sijil profesional seperti kejuruteraan, perubatan, arkitektur dan sebagainya. Apa yang ditakuti adalah apabila bahasa Melayu tidak lagi menjadi bahasa ilmu ketamadunan Melayu dunia.
Namun demikian, ramai juga rakyat merasakan niat murni kerajaan dalam PPSMI patut diteruskan dalam membentuk serta menyiapkan bangsa yang mempunyai tahap survival tinggi demi memudahkan ia bersaing di pentas dunia.
Bagi saya ini adalah dua cadangan yang perlu dipertimbangkan sebijak mungkin kerana PPSMI adalah suatu saranan yang bernatijahkan kebaikan namun ditentang sebilangan rakyat Malaysia.
Jika kita kaji usaha pembangunan e-book digital dunia di peringkat akhir yang diusahakan syarikat Amazon.Com, kita akan dapati buku berbentuk digital bakal mengambil alih percetakan buku masa hadapan.
Struktur percetakan buku di peringkat global juga menunjukkan martabat golongan penterjemah bahasa diangkat menjadi golongan terpenting yang memegang amanah utama untuk membawa generasi masa hadapan memenuhi ilmu di luar jangkauan.
Oleh demikian, persoalan mengenai sama ada bahasa Inggeris atau bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di Malaysia sudah pun terjawab sebenarnya! Kedua-duanya masih relevan selagi golongan penterjemah bahasa Melayu dan Inggeris terus wujud, masih belum malas, masih boleh menaip dan masih boleh dipertanggungjawabkan.
Yang kesalnya, tindakan tunjuk perasaan jalanan dirasakan agak keterlaluan sedangkan semua tahu bahawa keputusan kajian mengenai isu PPSMI sedang dirumuskan oleh pihak kerajaan. Untuk menyedapkan hati, biarlah saya yakin ia didalangi pihak pembangkang.
KRISIS EKONOMI PALING DAHSYAT
SEJAK PERANG DUNIA KEDUA
Pada hari Jumaat lalu, Indeks Komposit Bursa Malaysia (KLCI) terus menjunam di bawah 850 mata, suatu tahap yang amat rendah sejak tahun 2006. Sekalipun saya masih tidak setuju dengan kebanyakan rakyat meletakkan KLCI sebagai indeks kedudukan ekonomi Malaysia, namun indeks ekonomi lain seperti peratus pertumbuhan ekonomi, KDNK, indeks pengguna dan pelaburan asing langsung (FDI), juga rata-rata menunjukkan ekonomi Malaysia sudah berada di tahap zon kritikal.
Ini terbukti setelah Datuk Seri Najib mengisytiharkan Pakej Rangsangan Ekonomi Kedua Malaysia, disusuli pula dengan tindakan Perdana Menteri Jepun minggu lalu yang mengeluarkan arahan untuk menyiapkan Pakej Rangsangan Ekonomi Jepun Ketiga. Senario ekonomi kini diistilahkan Jepun sebagai ‘krisis ekonomi paling genting selepas Perang Dunia Kedua’.
Kenaikan harga minyak saranan Iran melalui OPEC sememangnya berjaya membuat rejim Amerika-NATO terkedu terhadap cadangan tindakan untuk menyerang Iran; negara yang dituduh Bush memiliki senjata pemusnah nuklear. Sekalipun cadangan Iran itu adalah untuk sementara, namun kesannya berjaya menghancurkan empayar ekonomi kapitalis anjuran Amerika-Yahudi bukan sahaja di Amerika tetapi juga menarik jatuh sama blok-blok ekonomi lain. Ini kerana sistem ekonomi kapitalis termasuk sistem perdagangan bebas WTO/AFTA sudah berakar umbi di serata dunia.
Ternyata dakwaan mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad terhadap penyangak matawang Soros sekitar 1997-1998 membuatkan saya begitu yakin bahawa sistem kapitalis akan musnah seperti sistem ekonomi sosialisme dan komunisme.
Membuat keuntungan daripada sistem tukaran asing melalui ‘spekulasi serta ramalan’ adalah haram. Konsep sistem kewangan Islam yang bersandarkan aset secara realitinya adalah hakiki dan kini dibuktikan kebal daripada mana-mana krisis ekonomi.
Buka-bukalah mata, sekalipun kita berdiri megah sebagai pusat kecemerlangan sistem kewangan Islam dunia, Malaysia masih lagi belum terlepas daripada krisis ekonomi kerana kebanyakan sistem ekonomi kita dipengaruhi kuat oleh ‘spekulasi serta ramalan’ terutamanya dalam jual-beli saham dan komoditi, kadar penetapan pembiayaan kewangan dan harga bon-bon terbitan, kelulusan pembiayaan perbankan dan keputusan untuk menentukan harga minyak.
Selagi sistem ekonomi Malaysia tidak bersandarkan pada realiti dan kewujudan sebenar, selagi itulah kita tidak akan merdeka dan sentiasa terjerumus bersama setiap kali berlakunya krisis ekonomi dunia.
Secara ringkasnya, banyak lagi perlu kita lakukan untuk menghadapi krisis ekonomi dunia, tetapi sebaliknya kita masih lagi khayal berseronok melayan kerenah politik negara. Krisis ekonomi paling dahsyat selepas Perang Dunia Kedua sudah pun tiba dan tidak lagi dapat kita elakkan bak kata pepatah Melayu, ‘membujur lalu melintang patah’.
FERIZ OMAR ialah Presiden Pertubuhan
Profesional Melayu dan Pewaris Bangsa (ProWaris).

ARKIB : 10/03/2009

KRITERIA PEMIMPIN: INTEGRITI VS POPULARITI

Dalam perbincangan saya bersama tokoh-tokoh politik, cendekiawan dan pemimpin-pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) di Institut Integriti Malaysia (IIM) pada 26 Februari lalu, saya mengambil kesempatan untuk mengupas kecenderungan rakyat Malaysia yang sudah mula meletakkan integriti pemimpin-pemimpin sebagai kriteria nombor dua selepas populariti.
Secara realiti pada hari ini, ramai antara kita tidak lagi boleh mencongak kedudukan terakhir kecelaruan politik Malaysia. Jerebu kekeliruan yang tebal anjuran pelbagai media sesekali membuat kita sesak dada dalam mengikuti arus perkembangan politik negara.
Ternyata, King Makers boleh menjadikan seseorang pemimpin itu popular biarpun pemimpin itu mempunyai masalah integriti yang tidak boleh dimaafkan sama sekali.
Gara-gara inilah, rakyat kini mudah mual melihatkan liputan melampau ke atas sesetengah pemimpin sehingga boleh menjadikan kita malas membaca atau menonton propaganda media.
Mujur bagi kita yang mempunyai ‘mata hati yang tajam’ mengetahui hakikat sebenar bahawa pemimpin-pemimpin yang lebih menonjol di dada akhbar ataupun media elektronik sebegini tidak semestinya menjadi calon lebih hebat berbanding pemimpin-pemimpin yang jarang mendapat liputan media.
MEMBINA MATA HATI YANG TAJAM
Sempena Maulidur Rasul 1430H semalam, mari kita imbas kembali senario peperangan Badar yang merupakan peperangan pertama golongan kafirun dan Islam.
Bayangkanlah betapa payahnya Nabi Muhammad SAW dan para sahabat mengumpulkan kekuatan tentera pada ketika Islam masih baru di bumi Arab.
Tentera kecil Islam seramai 313 orang adalah tentera yang mempunyai ‘mata hati yang tajam’ dan keyakinan yang tinggi terhadap Allah SWT sehingga berjaya mengalahkan ribuan gerombolan askar kafirun.
Begitu jugalah hendaknya Melayu UMNO sempena pemilihan hujung Mac 2009 nanti. Yakinlah dan sedar-sedarlah bahawa Allah Yang Maha Pencipta sebenarnya masih baru lagi berbicara melalui junjungan Nabi Muhammad SAW pada 610 Masihi iaitu hanya lebih kurang 1,400 tahun yang lalu melalui lima ayat pertama Iqra’ bermaksud ‘Bacalah’ yang sebenarnya disasarkan juga kepada golongan cerdik pandai untuk memimpin ummah.
Dalam membina keyakinan kepada Allah dan mengasah ‘mata hati yang tajam’, ayat 3 surah Al-Maidah juga jelas menunjukkan Allah SWT menyeru umat Islam untuk yakin beriman hanya kepada-Nya dengan berfirman, Pada hari ini telah Ku sempurnakan untuk kamu agama mu, dan telah Ku cukupkan kepada mu nikmat-Ku, dan telah Ku redhai Islam itu jadi agama bagi mu.
Dengan merumuskan kedua-dua ayat suci al-Quran ini, kembalilah kepada Allah dan Islam! Ingatlah bahawa peraturan hidup kita di muka bumi ini telah diatur dengan sempurna melalui al-Quran, Hadis dan Sunnah, Ijma’ serta Qiyas.
Atas keyakinan ini juga, insya-Allah kita sebagai golongan cerdik pandai yang dipilih untuk memimpin ummah akan diberikan-Nya lorong jelas untuk memperolehi ‘mata hati yang tajam’, insya-Allah.
INGATLAH PEMIMPIN ADALAH IKON INTEGRITI RAKYAT
Rencana tulisan saya bertarikh 24 Februari yang lalu ada menyentuh kes-kes skandal seks Presiden Bill Clinton di Amerika Syarikat dan Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek di Malaysia sebagai bukti kepincangan sistem demokrasi anjuran rejim Amerika Syarikat yang berleluasa di serata dunia.
Sistem demokrasi suara rakyat kini telah menghalalkan semua cara menurut kehendak manusia untuk mengetepikan persoalan integriti pemimpin sehingga melanggar falsafah pegangan agama-agama dunia, terutamanya Islam.
Seorang pemimpin yang berkerjaya sebagai ahli politik perlu sentiasa ingat bahawa dia adalah public figure (personaliti awam) yang secara tidak langsung meletakkan dirinya sebagai public property (hak awam) yang mana setiap tutur kata, tingkah laku dan cara hidup pemimpin tersebut sentiasa dipantau lantaran terdedah kepada kritikan rakyat terhadap integriti pemimpin.
Justeru, rakyat sememangnya berhak untuk mengkritik tentang kemungkinan terdapat unsur-unsur rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa dalam isu-isu berbangkit.
FERIZ OMAR ialah Presiden Pertubuhan
Profesional Melayu & Pewaris Bangsa (ProWaris).


ARKIB : 03/03/2009

Mahasiswa Islam perlu fahami konsep keutamaan

KETERBATASAN mahasiswa bantut kepimpinan masa depan?
Simposium Mahasiswa Islam 2009 (SIDANA ‘09) yang diadakan di Universiti Malaya pada hari Sabtu, 28 Februari 2009 lalu telah menarik ratusan kepimpinan mahasiswa dari seluruh negara. Dalam mengimbangi kecelaruan politik negara di luar kampus dan juga penguatkuasaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang ketat, program perbincangan intelektual aman sebegini sepatutnya mendapat perhatian penuh kepimpinan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dengan sekurang-kurangnya menghantar wakil pengurusan tertinggi ke majlis perasmian SIDANA 09 yang lalu.
Ini sebenarnya cabaran kali ke-4 yang saya terima untuk berhadapan dengan pemimpin-pemimpin mahasiswa di kampus di bawah tajuk perbandingan “Mahasiswa Luar Negara dan Mahasiswa Dalam Negara.”
Jemputan saya untuk mewakili kepimpinan NGO-NGO Malaysia telah saya guna sebaik-baik mungkin untuk berkongsi ilmu dalam merungkai pelbagai isu yang membelenggu warga kampus semua universiti di Malaysia.
Harapan ikhlas saya adalah untuk melihat mahasiswa-mahasiswi negara terus diwakili oleh kepimpinan yang mempunyai critical mind dan tidak mudah dimanipulasikan atau ditunggang oleh kepimpinan politik luar kampus.
Islam, jawapan kepada semua kekeliruan
Hari ini begitu ramai pemimpin Melayu yang menyeru bangsa Melayu untuk bangkit dan mencapai wawasan-wawasan besar seperti pembentukan personaliti agung (towering personality), memartabatkan ketuanan Melayu dan sebagainya.
Memang benar mereka cuba menjadi pemimpin-pemimpin Melayu yang idealis namun seingat saya, sewaktu berdialog bersama pemimpin-pemimpin begini, persoalan asas yang saya duga seperti “Siapakah aku seorang Melayu?" masih lagi gagal dijawab mereka dengan baik.
Kegagalan untuk menjawab persoalan fundamental seperti itu adalah jawapan mengapa permasalahan hari ini berlaku. Sudah terang lagi bersuluh. Permasalahan hari ini berpunca daripada isu jati diri dan isu roh yang lemah. Apabila roh lemah, kita mudah dilanda kekeliruan dan ramai juga yang mengambil kesempatan. Sebaliknya apabila roh kita kukuh, biar dilanda pelbagai cabaran sekalipun, Melayu dan Islam tetap utuh.

Melayu dan Islam perlu bersatu
Baru-baru ini, kita dikejutkan dengan berita Ehud Olmert dari parti Kadima yang diangkat menjadi Perdana Menteri Israel sekalipun jumlah peratusan undi rakyat yang diperolehnya kurang satu peratus daripada parti yang sebenarnya meraih undian terbesar pada pilihan raya umum Israel yang lalu.
Dalam situasi sama pada tahun 1969, Parti Perikatan yang diketuai oleh Allahyarham Tun Abdul Razak berjaya mentadbir Pulau Pinang sekalipun kalah dalam pilihan raya umum Dewan Undangan Negeri setelah parti Gerakan yang diterajui oleh Allahyarham Syed Hussein Al-Atas membuat keputusan untuk menyertai Perikatan.
Kedua-dua senario ini dicapai atas kata sepakat parti-parti bukan komponen kerajaan yang masih mahu wawasan bangsa dan agama dicapai sekalipun mereka memegang manifesto perjuangan yang sedikit berbeza.
Dalam kecelaruan politik hari ini, Melayu dan Islam juga perlu bersatu agar kita terus dapat memastikan isu-isu negara berada dalam ruang lingkup yang masih boleh dikawal. Adalah menjadi amanah kita juga sebagai kepimpinan muda untuk merancakkan usaha mencari persamaan dan bukannya perbezaan agar bangsa Melayu dan agama Islam bersatu di Malaysia.
Tetapi dalam keadaan kita perlu bersatu, ada juga yang tergamak menganjurkan perbahasan terbuka semata-mata untuk meraih populariti.
Gerak kerja kepimpinan efektif
Kepimpinan mahasiswa di kampus dan parti-parti politik perlu mengkaji visi, aspirasi dan kerangka gerak kerja efektif yang menjadi driving force kepada tindak balas NGO-NGO terhadap permasalahan masyarakat.
Selain daripada berjuang berpandukan al-Quran, Hadis dan Sunnah, Ijma’ serta Qiyas, terdapat empat prinsip gerak kerja yang saya amalkan dan boleh diguna pakai dalam perjuangan kepimpinan muda.
Pertamanya, Islam adalah agama syumul yang cukup lengkap mengatur cara politik, ekonomi dan kemasyarakatan. Kedua, keutamaan hidup adalah mendahulukan (i) Allah; (ii) diri sendiri; (iii) keluarga; (iv) jiran, sahabat dan saudara mara; dan (v) masyarakat. Ketiga, memegang keyakinan tinggi bahawa Allah jualah yang sebenar-benarnya memberikan rezeki. Keempat, laksanakan amanah dan tanggungjawab seperti tiada hari esok.
Dalam prinsip gerak kerja kedua, keutamaan seorang mahasiswa dalam pendidikan jatuh dalam kategori keutamaan untuk diri sendiri. Ini bermaksud, sekiranya pemimpin mahasiswa itu tidak cemerlang dalam pelajarannya maka dia tidak layak untuk mengutamakan orang ramai yang dipimpinnya.
Fikir-fikirkanlah, ramai juga pemimpin mahasiswa masa kini yang tidak memahami konsep keutamaan ini. Sebagai contoh, graduan yang keluar universiti, pandai-pandai terjun ke arena politik mendahulukan masyarakat, sedangkan belum lagi masuk ke dunia kerjaya sebenar dan memperoleh pendapatan kukuh untuk menyara keluarga.
Tidak kira sama ada kita belajar di institusi mana sekalipun tetapi jika pendidikan awal tidak diasuh dengan pendidikan agama Islam dan sejarah bangsa Melayu dan Malaysia, maka pemimpin yang kita lahirkan akan memakan diri, menjual negara dan mengamalkan strategi ‘politik gila-gila’ !
FERIZ OMAR ialah Presiden Pertubuhan
Profesional Melayu & Pewaris Bangsa (ProWaris).


ARKIB : 24/02/2009

APAKAH KUASA UNTUK MENGHUKUM, SIMBOL RAJA BERDAULAT?

SEPANJANG minggu lalu, Malaysia terus-terusan dilanda pelbagai isu hangat yang bukan sahaja mengganggu-gugat kedudukan ekonomi dan politik negara, malahan dasar kerangka penubuhan Malaysia yang berasaskan Raja Berperlembagaan turut dicabar oleh pelbagai pihak yang giat mengatur cara untuk merebut kuasa mentadbir negara.
APAKAH KUASA UNTUK MENGHUKUM, SIMBOL RAJA BERDAULAT?
Saya kecewa melihatkan kerenah Pengerusi Parti DAP, Karpal Singh yang berani menerjah dan bercadang untuk menyaman DYMM Sultan Perak. Karpal sendiri mengakui bahawa tindakan beliau bukan suatu lakonan.
Lakonan? Lakonan filem Bollywood sudah pastinya tidak. Tetapi filem yang bangsa Melayu gambarkan adalah watak Hang Jebat yang dibawa oleh Karpal di mana akhirnya, beliau sendiri akan tewas dihukum Raja akibat menderhaka.
Sepatutnya, institusi diraja adalah benteng pertahanan terakhir untuk bangsa Melayu dan agama Islam. UMNO pula diberi amanah sebagai benteng pertama untuk menerajui wadah perjuangan agama dan bangsa.
Persoalan utama dalam isu ini, apakah Karpal sengaja menutup mata dan lupa bahawa secara langsung atau tidak, institusi diraja adalah pemilik sebenar Malaysia? Apakah Karpal juga telah mungkir janjinya untuk berpegang kepada prinsip-prinsip Rukun Negara? Atau mungkin sudah lupa bahawa beliau dapat hidup bersenang-lenang mencari rezeki untuk keluarganya di tanah air tercinta ini sebagai seorang warganegara Malaysia yang perlu setia kepada Raja dan Negara?
Yang kita tidak mahu saksikan adalah apabila institusi diraja perlu membuktikan kedaulatan mereka melalui kuasa menghukum.
Mungkin Karpal perlu diingatkan kembali kepada kes "Penderhakaan terhadap Yang di-Pertuan Agong" yang dianjurkan Perkumpulan Al-Ma'unah pada tahun 2000 di mana tiga pemimpin tertinggi mereka dijatuhi hukuman gantung sampai mati dan 16 pula dipenjara seumur hidup dalam perbicaraan yang berakhir pada tahun 2003.
Mungkin buat Karpal sudah pasti institusi diraja tidak akan menjatuhkan hukuman yang sama ke atasnya kerana ia adalah hukuman yang terlalu berat. Sebaliknya, apa pula reaksi beliau jika kewarganegaraan beliau ditarik balik atas alasan gagal mematuhi Rukun Negara?
Adakah ini mungkin pengajaran yang lebih berkesan ke atas Karpal? Atau hukuman tersebut sepatutnya dikenakan ke atas dalang sebenar di belakang isu penderhakaan terhadap institusi diraja ini?
LETAK JAWATAN BUKTI INTEGRITI?
Baru-baru ini kita juga dikejutkan dengan tindakan YB Elizabeth Wong yang memutuskan untuk menawarkan perletakan jawatannya sebagai Exco Kerajaan Negeri Selangor dan kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lanjan ekoran daripada penyebaran gambar bogel peribadi beliau di internet.
Keputusan penawaran diri untuk meletakkan jawatan disebabkan oleh isu sebegini umpama sudah menjadi tindakan rutin yang mana akan disusuli dengan penawaran diri semula dalam pemilihan parti apabila kesnya reda. Sejarah seolah-olah berulang kembali.
Di Amerika Syarikat (AS), Presiden Bill Clinton terus memegang jawatan sebagai Presiden setelah kes skandal seks beliau dengan Monica Lewinsky dibicarakan di hadapan Senat. Di Malaysia pula tidak kurang hangatnya dengan kes skandal seks Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek dahulu yang mengakibatkan beliau melepaskan kesemua jawatannya di dalam kabinet, parti dan juga kerusi Parlimen Labis.
Yang menakjubkan dalam hal ini, rakyat Malaysia khususnya ahli-ahli MCA masih boleh menerima Soi Lek sehinggakan beliau mampu meraih undian terbanyak dalam pertandingan merebut kerusi Timbalan Presiden MCA.
Mungkin jika Clinton boleh, Soi Lek boleh, maka Elizabeth juga boleh!
Tetapi kita sebagai bangsa Melayu dan beragama Islam tidak boleh menerima kepimpinan negara yang diterajui oleh pemimpin-pemimpin yang tidak bermoral.
Inilah budaya demokrasi yang dianjurkan oleh jentera-jentera rejim AS yang sentiasa mencari jalan untuk memartabatkan kuasa rakyat mengatasi prinsip moral mana-mana agama di dunia, terutamanya Islam.
Budaya menghalalkan cara memilih pemimpin melalui suara rakyat terbanyak dalam konteks ini membuktikan kelemahan sistem demokrasi antarabangsa anjuran jentera-jentera rejim AS semakin berleluasa di negara kita. Ini akhirnya, akan menjadi penyebab keruntuhan bangsa dan tamadun negara yang telah lama kita bina dalam sekelip mata disebabkan rakyat masih memilih pemimpin-pemimpin yang tidak berintegriti.
HANYA MUKHRIZ BELUM DIBERI PELUANG
Saya merasakan peranan yang dimainkan oleh Profesor Muhammad Agus Yusof setelah menggantikan saya sebagai Moderator Hujah TV9 adalah amat profesional dan independent dalam mengendalikan pertemuan Mukhriz - Khairy - Khir Toyo yang dibawakan secara langsung dari Dewan Bahasa dan Pustaka pada 17 Februari lalu.
Semasa program Hujah TV9 tersebut, Profesor Agus telah melontarkan kenyataan bahawa sekali pun Khairy Jamaluddin pernah dianggap sebagai 'liabiliti' UMNO dan sekalipun Datuk Seri Mohd. Khir Toyo adalah penyebab kekalahan teruk kerajaan Barisan Nasional yang diketuainya di Selangor, tetapi mereka berdua masih lagi sanggup menebal muka mengejar jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia.
Walaupun Khairy dan Mohd. Khir dapat menepis tanggapan ramai terhadap mereka, peringkat akar umbi sememangnya mengenali siapakah mereka yang sebenarnya. Ini kerana kedua-dua individu ini pernah diberi peluang untuk memimpin dalam UMNO. Namun yang belum lagi diberi peluang ialah Datuk Mukhriz Mahathir dan tambahan pula beliau jugalah sebenarnya yang paling awal mencetuskan perjuangan supaya UMNO berubah.
Demi mengelakkan kecelaruan berlaku di peringkat Pemuda UMNO, sudah sampai masanya untuk bakal Presiden UMNO dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberikan signal sebenar kepada semua perwakilan UMNO sebelum Pemilihan Agung UMNO pada Mac 2009 nanti agar orang Melayu dan ahli-ahli UMNO terutamanya tidak terus berpecah-belah.
BERATUS SINGA MELAYU DIPERLUKAN SEGERA!
Ada juga sebilangan kecil rakyat Malaysia mencadangkan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak supaya memilih calon Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO yang kurang agresif daripada beliau. Gabungan yang digambarkan adalah seperti era Tun Dr. Mahathir Mohamad bersama Allahyarham Tun Ghafar dahulu.
Hakikatnya, lebih ramai rakyat Malaysia di peringkat akar umbi yang mahukan bukan sahaja satu singa Melayu malahan jawatan kedua tertinggi dalam pentadbiran UMNO dan Malaysia itu juga perlu diisi oleh singa Melayu yang segarang singa pertama.
Ini kerana dalam senario kecelaruan politik dan ekonomi negara, bukan sahaja kita perlukan satu singa malahan puluhan dan ratusan singa Melayu untuk memimpin agama Islam, bangsa Melayu dan Malaysia dalam mengharungi pelbagai cabaran perubahan.
Singa-singa baru ini perlu pula merujuk kepada singa yang paling berpengalaman dan bijaksana dalam menangani konflik dan sekali gus memantapkan kembali kedudukan politik dan ekonomi negara.
Saya ucapkan selamat datang Singa-Singa Melayu dan selamat tinggal Sang Singa yang tidak bergigi!
- FERIZ OMAR ialah Presiden Pertubuhan Profesional Melayu & Pewaris Bangsa (ProWaris)

Ads


Followers