Ads Powered By ClixSense


Monday, December 20, 2010

Jangan jadikan Parlimen safari politik

SEKIAN banyak perjuangan politik oleh pemimpin-pemimpin dengan pelbagai strategi menjatuhkan kawan dan lawan, mengapa Parlimen sebagai tempat peraturan hidup bermasyarakat dideraf, dibahas dan diluluskan menjadi seperti safari.
Ada yang memandang situasi mengangkat sepanduk yang berlaku di dalam Dewan Parlimen sebagai bukti bahawa inilah mentor bakal pemimpin yang akan mewarnai pemerintahan negara pada masa depan.
Jika pemimpin mengajar rakyat berdemonstrasi setiap kali tidak puas hati akan sesuatu perkara maka kita akan menjadikan sistem demokrasi sebagai pertaruhan. Rakyat turut melihat Parlimen dijadikan mahkamah tidak rasmi sedangkan peranannya adalah sebagai venue menggubal undang-undang.
Apabila Ahli Parlimen diletakkan di dalam satu tempat yang mulia untuk membuat undang-undang dijadikan mereka perlu melupakan agenda peribadi dan menumpukan kepada soal membela nasib dan kebajikan rakyat yang memilih mereka.
Masa untuk kempen politik peribadi dan kempen 'enau dalam belukar' sudah habis selepas keputusan pengundian Pilihan Raya Umum 2008 dikeluarkan. Rakyat yang mengharapkan Kerajaan Pakatan Rakyat memerintah mengikut manifesto yang mereka janjikan masih ternanti-nanti ianya dipenuhi seperti janji yang dibuat semasa PRU-12.
Apa yang dapat dilihat pakatan pembangkang hari ini bukan sahaja menonjolkan belang sebenar mereka yang tidak menghormati undang-undang malahan membawa budaya politik jalanan ke dalam Dewan Rakyat, dan mencatat sejarah tragis demokrasi berparlimen di Malaysia.
Gara-gara usaha terakhir untuk mempertahankan Ahli Parlimen Permatang Pauh daripada digantung selama enam bulan oleh Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen, ekoran tuduhan melulu beliau mengenai gagasan 1Malaysia dan APCO.
Gelagat demonstrasi jalanan dipamerkan tanpa silu cukup menyedihkan , tidak cukup dengan membawa sepanduk, ahli-ahli Parlimen pembangkang turut menjeritkan perkataan 'Apco', 'reformasi', 'zalim' dan 'booo' berulang-kali, piil mereka yang buruk ini dilihat seakan menghina sebahagian institusi demokrasi yang membawa mereka dari jalanan ke dewan berhawa dingin bagi mengubah nasib rakyat yang memangkah mereka dengan dakwat hitam semasa PRU yang lalu.
Apakah isu Apco, reformasi dan kezaliman terhadap seseorang individu ada kait-mengait dengan kepentingan rakyat marhaen di kampung dan di bandar.
Apakah isu itu semua akan menjadikan rakyat turut terangsang untuk berbuat perkara yang sama, sedangkan setiap pemimpin sepatutnya berhadapan dengan segala cabaran secara kendiri dan bukannya menyebarkan virus ketidakpuasan hati bak jalak berkokok siang ekor dipenuhi najis sendiri.
Seorang pemimpin bukan hanya diperkuatkan oleh rakyat yang dipimpin tetapi oleh kekuatan rohani dan jasmani kurniaan ilahi, ibarat kepala lokomotif yang menunda puluhan gerabak. Jika kepala gerabak masih tidak tahu hala tujunya ke mana, maka gerabak yang di belakang pula yang akan menjadi X-factor untuk ia tergelincir dari landasan.
Pasca PRU 12 rakyat yang menjadi pemilih bertauliah Kerajaan terus menjadi pemerhati dan pengkritik yang setia kepada Kerajaan Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat sama ada di kedai kopi dan di dunia siber.
Tingkah laku pemimpin, semuanya tidak lepas dari pandangan rakyat yang sudah terdedah dengan pendidikan dan teknologi ICT malahan mereka sudah matang menilai mana kaca permata dan mana caca marba.
Pendedahan Wikileaks sudah pasti turut menjadi penilaian rakyat dan ini yang membuatkan semua pihak panas punggung hingga tempat semulia Dewan Rakyat menjadi seperti safari demokrasi dengan isu tidak relevan dibangkitkan.
Hormatilah Dewan Rakyat kerana di situlah mandat sebagai wakil rakyat diberi kepada semua ahlinya. Soal individu yang tidak puas hati dengan perkara yang melibatkan dirinya sendiri tidak perlu dipolitikkan oleh sesiapa, malahan mengheret Suhakam bukan suatu tindakan yang tepat lagi bermanfaat untuk rakyat yang mengharapkan dewan yang mulia dijadikan wadah membela mereka.
Balik-balik ia digunakan untuk membela individu, adakah perjuangan sebagai Ahli Parlimen hanya untuk seorang dua sahaja dan bukan untuk 30 juta penduduk Negara ini. Tahniah Tan Sri Datuk Utama Pandikar Amin bin Haji Mulia kerana sesungguhnya Tan Sri telah menjaga Dewan itu sesempurna mungkin dari pihak yang menganggap mereka hanya pembangkang dan bukan ahli dewan yang mulia itu.
ABDUL RAZAK IDRIS
Banting, Selangor

No comments:

Post a Comment

Ads


Followers