Ads Powered By ClixSense


Saturday, June 19, 2010

UMNO dan PAS bertindak sebagai satu Bangsa Melayu!

(Di olah dari buku tulisan Profesor Datuk Dr.Hjh Ramlah Adam bertajuk: Burhanuddin Al-Helmy,Suatu Kemelut Politik. Terbitan Dewan Bahasa Dan Pustaka,2003)

Kali pertama PAS bertindak menyokong UMNO didalam sidang Dewan Rakyat ialah pada 31 Januari 1962. Ketika itu Presiden PAS Dr.Burhanuddin Al Helmy telah berucap bagi menyatakan sokongan kepada usul yang sangat penting yang dikemukakan oleh Timbalan Perdana Menteri Tun Abd.Razak Hussein pada sidang Dewan Rakyat pada 29 dan 30 Januari 1962.

Usul yang dikemukakan oleh Kerajaan Perikatan pimpinan Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj, dan dibacakan di Dewan Rakyat oleh Timbalan Perdana Menteri , ialah berkenaan pindaan kepada Perlembagaan Merdeka 1956. Usul itu ialah bagi mencadangkan supaya beberapa pindaan dibuat kepada tiga perkara, iaitu, kerakyatan,mengecilkan kawasan pilihanraya dan kewangan.

Dr.Burhanuddin sebagai Presiden PAS telah membahaskan sokongan parti PAS terhadap usul itu didalam sidang Dewan Rakyat pada 31 Januari 1962. Menurut beliau sokongan PAS bagi rang undang-undang pindaan perlembagaan itu “ialah untuk melahirkan rakyat yang benar-benar mempunyai taat setia yang tidak berbelah bagi kepada negeri ini – itulah isi kandungan memorandum PAS semasa merdeka dahulu”. (Dibawah ini nanti akan kita perturunkan sepenuhnya Memorandum PAS kepada Suruhanjaya Reid ketika menentang Perlembagaan Merdeka 1956).

Dr.Burhanuddin dan PAS inginkan satu sistem kerakyatan yang dapat menjamin wujudnya satu kebangsaan yang tegas bagi Tanah Melayu yang merdeka.

Prinsip kedua sokongan PAS ialah bagi mendapatkan semula kekuatan dan kedudukan politik orang Melayu sebagai pribumi Tanah Melayu. Dr.Burhanuddin berkata:-

“PAS menegaskan bahawa bangsa Melayu adalah tulang belakang yang sebenarnya menanggung hak dan ketuanan negeri ini dan kepada bangsa itulah taat setianya tidak berbelah bagi yang tidak ada negeri lain melainkan negeri ini....kita menuntut satu perlembagaan yang betul-betul merupakan perpindahan didalamnya kedaulatan ketuanan bangsa Melayu mempunyai hak mutlak ketuanan negeri ini. Dan dengan ketuanan itulah kita berikan pertimbangan daripada hak pilihan kita sendiri dan kemahuan kita sendiri menentukan satu kerakyatan yang akan diberikan kepada satu kebangsaan yang tulen....dan dengan kesedaran sekarang inilah pindaan ini sebagai menampal kebocoran-kebocoran hak ketuanan Melayu-sokongan kita itu bersetuju dengan apa yang kita perjuangkan. UMNO sudah sedar bahawa kebocoran itu mesti diperbaiki....dengan pindaan itu nanti bertambah dekatlah perpaduan kebangsaan Melayu seperti yang diharapkan oleh PAS”

Rang undang-undang pindaan itu terhasil atas kesedaran UMNO dan Perikatan untuk mengetatkan kerakyatan dan dengan itu membolehkan penarikan semula 1,400,000 kerakyatan daripada mereka yang tidak berhak mendapatkannya, samaada kerana mereka tidak lahir disini,tidak mempunyai kesetiaan kepada Persekutuan Tanah Melayu atau mempunyai dua kerakyatan (dual nationality) dalam satu masa.

Buat pertama kalinya didalam Dewan Rakyat, UMNO dan PAS sekata dalam sesuatu isu. UMNO dan PAS bertindak sebagai satu bangsa Melayu yang bekerja untuk menjaga keselamatan bangsa Melayu daripada terus tenggelam dengan kemasukan orang asing dengan begitu mudah dalam politik Negara. Bagi anggota Perikatan yang lain pula, sokongan mereka kepada pindaan itu pada dasarnya bukanlah kerana kepentingan bangsa Melayu, tetapi kerana hubungannya dengan UMNO sebagai parti komponen Perikatan. Maka pindaan itu telah diterima dengan 80 menyokong dan 12 menentang.

Apakah pendirian PAS sebenarnya didalam soal kerakyatan bagi Persekutuan Tanah Melayu merdeka ? Berikut adalah memorandum PAS kepada Suruhan Jaya Reid yang merangka Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu:-

MEMORANDUM PERSATUAN ISLAM SA-MALAYA (PAS) KEPADA SUROHAN JAYA BEBAS

1. Ini ada-lah satu penyata di-kemukakan oleh Persatuan Islam Sa-Malaya (PAS) kepada Suruhan Jaya Perlembagaan yang di-tugaskan bagi memereksa dan membuat shor, pindaan atau sa-bagai-nya atas Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu dengan memerhatikan asas2 yang di-tentukan dalam tugas Surohan Jaya itu.

2. Dalam mengemukakan penyata ini Persatuan ini lebeh dahulu menarek perhatian Surohan Jaya itu kepada beberapa perkara saperti berikut:-

A. Bahwa negeri ini ada-lah NEGARA MELAYU dan hak BANGSA MELAYU yang telah di-buktikan oleh sejarah dan di-akui oleh undang2 dari satu ka-satu masa. Maka tugas Surohan Jaya Perlembagaan ini pada perenggan yang kelima Cheraian 5 untok mengawal kedudokan Melayu di-negeri ini jangan-lah di-lihatkan dari segi yang lain dari pada hakikat yang tersebut di-atas. Sa-barang perchubaan, sama ada berpelembagaan atau tidak-nya hendak mengubah hakikat ini ada-lah salah dari segi hak manusia dan undang2. Bangsa Melayu hanya mempunyai satu kedudokan dalam negeri ini ia-itu mereka-lah yang punya negeri ini dan kedaulatan mereka ada-lah kedaulatan mutlak dalam negeri ini.

B. Jadi dari itu tugas yang kelima yang tersebut jangan-lah ditafsirkan hendak memberi ke-istemewaan kechil2 bagi Bangsa Melayu, sa-balek-nya ada-lah tugas Surohan Jaya itu menetapkan bahwa KEDAULATAN BANGSA MELAYU DI-NEGERI INI IA-LAH MEREKA MEMPUNYAI KEDAULATAN MUTLAK DI-DALAM-NYA.

C. Bahwa kenyataan Politic yang ada dan sedang berjalan di-Persekutuan Tanah Melayu ini tidak-lah sa-benar2-nya merupakan hakikat yang sejati bagi kedudokan Politic-nya. Sa-balik-nya kenyataan2 itu ada-lah di-timbulkan oleh beberapa keadaan2 yang di-bawa oleh penjajahan Politic dan Economy yang bermaharajalela dalam negeri ini samenjak beratus2 tahun.

D. Jadi jangan-lah kenyataan2 itu di-jadi-kan ukuran yang hak dalam Politic negeri ini. Kelemahan kedudokan bangsa Melayu dalam economy dan pelajaran telah meletakkan mereka di-satu taraf yang menyebabkan hak Politic mereka yang mutlak itu tiada berkesan dan longgar. Maka dari segi undang2 ada-lah salah sa-kira-nya keadaan itu di-jadikan helah bagi merampas kuasa Politic mereka. Kalau-lah bangsa Melayu itu kuat dalam economy dan pelajaran-nya sudah barang tentu pada masa ini tiada terdapat kekusutan2 Politic yang memaksa kedatangan Surohan Jaya itu ka-negeri ini.

E. Persatuan ini, oleh sebab yang di-atas, menuntut supaya Surohan Jaya ini berpegang kepada hak manusia yang menegaskan bahwa lemah atau kuat-nya sa-sa-suatu bangsa itu bukan-lah menjadi ukuran kepada berhak atau tidak-nya mereka dalam sa-suatu.

F. Bahwa negeri ini dari satu masa ka-satu masa telah membuka-kan pintu-nya kepada bangsa2 asing yang telah tertarek kepada kekayaan negeri ini dan telah mendapat ni’mat hidup di-dalam-nya dengan tiada terganggu walau sedikit pun hingga-kan pada masa ini bilangan orang2 asing dinegeri ini dan kedudokan mereka dalam semua lapangan telah lebeh dari pada bangsa Melayu yang ada-lah bumiputra bagi negeri ini. Sa-siapa yang datang ka-negeri ini dapat melihat, bahwa tiada sa-buah negeri pun atau satu bangsa pun yang telah menerima baik dan memberi layanan penoh kepada orang2 asing lebeh dari pada Negeri Melayu dan Bangsa Melayu.

G. Jadi tuntutan berkenaan dengan hak kera’ayatan sama ada berupa Jus Soli atau pun berupa kelonggaran sharat2 kera’ayatan yang di-kemukakan oleh orang2 asing itu bukan-lah di-asaskan atas kesempitan hak hidup ma’amor yang di-rasai mereka, tetapi ada-lah di-terbitkan oleh perasaan tama’ dan haloba kepada kuasa yang telah pun di-dapati mereka pada masa ini.

H. Dalam menegaskan ini, Persatuan ini tidak-lah sekali2 memandang soal ini dari segi perkauman atau dari perasaan dengki atas kemajuan dan kemewahan yang dichapai oleh bangsa asing dalam negeri ini. Sa-benar-nya Bangsa Melayu tiada-lah sekali2 merasai dengki saperti itu, sa-balek-nya suka kepada kemajuan2 mereka; akan tetapi dalam masharakat negeri ini menuju kemerdekaan-nya dan segala usaha-nya, di-tumpukan untuk itu.

I. Bangsa Melayu merasa tersinggong kerana burok-nya niat pehak yang menuntut kuasa Politic itu dengan tiada sebab yang ma’kul mengehendaki mereka berbuat begitu. Langkah mereka itu hanya akan merosakkan perjuangan umat negeri ini menchapai kemerdekaan;dan Persatuan ini ada-lah menentang sa-barang perbuatan yang munkin melambat-kan kemerdekaan negeri ini.

J. Bahwa persamaan hak dan kera’ayatan Jus Soli yang di-tuntut oleh orang2 dagang itu dengan alas an bahwa itu ada-lah hak2 asasi manusia tidak-lah boleh di-jadikan sandaran dalam hal ini dalam negeri ini. Kerana negeri ini, dengan sebab2 yang di-timbulkan oleh penjajahan ka-atas bangsa Melayu, telah pun mereka mendapat hak2 saperti itu saperti mana yang telah tersebut di-atas tadi. Pada pendapat Persatuan ini sa-belom memberikan hak penoh dan tanggong jawab penuh kepada orang2 itu ada-lah mustahak kita merasa puas hati terlebeh dahulu tentang keta’atan mereka yang tidak berbelah bahagi dan tanggong jawab mereka yang penoh terhadap negeri ini dalam lapangan Politic, Undang2, Kebudayaan dan kemusharakatan. Ini, Persatuan Islam Sa-Malaya ini berani menegaskan belom-lah terdapat lagi pada semua orang2 dagang itu, walau pun yang di-peranakkan di-negeri ini hingga masa ini. Jadi Persatuan Islam Sa-Malaya suka memperingatkan Surohan Jaya ini jangan-lah keliru atau terpedaya dengan riuh rendah yang di-buat2 oleh mereka itu dalam soal ini, kerana bahwa tuntutan2 itu ada-lah di-kemukakan oleh orang yang tak pun berhak dalam negeri ini, sebab kebanyakan mereka bukan-lah rakyat negeri ini.

K. Surohan Jaya ini ada-lah di-ingatkan Bahwa sekira-nya kera’ayatan Jus Soli dan hak persamaan di-beri kepada mereka itu, maka negeri i ni akan menjadi sa-buah negeri yang terdedah kepada pengkhianatan2 yang akibat-nya akan mem-bahyakan kemerdekaan negeri ini. Itu ada-lah ber-lawanan dengan tugas Surohan Jaya ini menggubal Perlembagaan negeri ini sa-bagai sa-buah negeri yang MERDEKA yang mempunyai kerajaan pusat yang kuat.

3. Sa-telah mengingatkan perkara2 di-atas, Persatuan ini meminta kepada Surohan Jaya ini supaya sentiasa ingat bahwa suasana Politic di-Tanah Melayu ini ada-lah Istimewa dan mempunyai kedudukan yang bersendirian, chara2 merongkaikan kesulitan2 Politic itu pula tidak mudah dan mempunyai sharat2 yang bersendirian; dan sa-barang per-chobaan merongkaikan-nya semata2 dengan pertimbangan theory dan ukoran di-permukaan sahaja akan gagal dan akan mengechewakan negeri ini dan penduduk2-nya. Mengkaji kesulitan dan menchari rongkaian Politic di-negeri ini mesti-lah dengan pandangan yang dalam, perhatian yang lama dan pendirian bijaksana. Oleh sebab itu-lah maka Persatuan ini tidak pun bersetuju dengan sebarang Surohan Jaya Perlembagaan yang datang dari luar negeri dan tidak perchaya akan kesanggupan-nya menyelanggarakan soal yang sangat rumit ini.


4. Dalam keselurohan-nya, Perlembagaan negeri ini hendak-lah di-asaskan dan di-rangkaikan menurut tuntutan keadaan politic-nya, bentuk musharakat-nya dan Ilmu Alam tanah-nya. Politik negeri ini menyatakan bahwa bangsa Melayu ada-lah bumiputra negeri ini dan kedaulatan Politic ada-lah di-tangan mereka dengan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan2 Melayu sa-bagai kepala negeri masing2 dan bahwa orang2 asing biar pun kedudukan mereka ada-lah menumpang dalam negeri ini dan taraf mereka ada-lah sa-bagai orang dagang sahaja.

5. Oleh kerana keadaan Politic negeri ini sa-bagai di-atas, maka bentuk musharakat-nya dan kebudayaan-nya mesti-lah mengikut kedaulatan Bangsa Melayu itu pula. Dalam Perlembagaan negeri ini hendak-lah tegas bahwa kebudayaan negeri ini hendak-lah di-asaskan atas kebudayaan Melayu dengan Ugama Islam sa-bagai ugama resmi-nya, susunan musharakat dan pelajaran negeri ini mesti-lah di-pancharkan dari kebudayaan Melayu dan menuju perkembangan-nya.

6. Kedudukan Ilmu Alam negeri2 Melayu ini sudah barang tentu menuntut sa-buah Kerajaan pusat yang kuat. Persatuan ini berpendapat bahwa susunan saperti bentuk kerajaan Persekutuan Tanah Melayu yang ada ini ada-lah chukup bagi negeri ini pada masa ini dengan sedikit tambahan atau pindaan dalam beberapa perkara menurut perkembangan Politic-nya. Persekutuan negeri2 Melayu hendak-lah di-kemaskan dengan mengekal-kan kuasa otonomi dalam perkara yang munasabah.


7. Persatuan ini bersetuju pada asas-nya menubohkan suatu susunan Perlembagaan yang mempunyai dua Dewan Perundangan saperti yang ada di-dalam negeri2 lain dengan sharat susunan di-buat menurut kehendak dan keadaan negeri ini saperti yang tersebut.
8. Ssusunan Parliamant ini ada-lah tunduk di-bawah kedaulatan Duli2 Yang Maha Mulia Sultan2 Melayu yang di-pusatkan kuasa-nya kepada Dewan Raja2 Melayu denngan Yang Di-Pertuan Besar Persekutuan Negeri2 Melayu se-bagai Pengurusi-nya. Maka Yang DiPertuan Besar Persekutuan Negeri2 Melayu itu hendak-lah di-pileh oleh Dewan Raja2 Persekutuan negeri2 Melayu itu sendiri, dan kuasa-nya di-tentukan se-bagai Raja yang berpelembagaan sahaja.


9. Pada pendapat Persatuan ini sa-lain dari yang di-sebutkan dalam Perenggan (8) tiada-lah apa2 perubahan perlembagaan dalam taraf Duli2 Yang Maha Mulia Sultan2 Melayu se-bagai Sultan dalam negeri masing2.


10. Dalam hal kera’ayatan negeri ini Persatuan ini memandang bahwa asas kera’ayatan yang ada di-dalam perjanjian 1948 itu hendaklah di-pakai dengan perubahan seperti di-bawah ini:-


A. Masa sa-sa-orang dagang itu tinggal di-Tanah Melayu ini sa-belum meminta kera’ayatan negeri ini hendak-lah tidak kurang dari pada lima belas tahun dengan tidak putus2nya.


B. Persatuan ini membantah sama-sekali pemakaian kaedah Jus Soli bagi orang2 dagang di-negeri ini dengan asas seperti yang di-sebutkan dalam perenggan (2) cheraian (b), (i), (j), dan (k), walau dengan apa sharat sekali pun.

C. Persatuan ini menetapkan bahwa kebangsaan negeri ini mesti-lah kebangsaan Melayu, kerana kedaulatan negeri ini, ada-lah pada bangsa Melayu dan Raja2 Melayu. Jangan-lah Surohan Jaya ini menchoba meng-shorkan nama kebangsaan yang lain dari kebangsaan Melayu.
11. Sa-telah mempunyai kera’ayatan yang tetap itu maka hendak-lah di-rekamkan dalam perlembagaan negeri ini bahwa sa-siapa yang telah menchapai masa tinggal di-negeri ini saperti ini atau pun tetap sa-bagai orang dagang; ini sangat-lah penting bagi ketenteraman negeri ini sebab sakira-nya telah sabegitu lama tinggal di-negeri ini dan maseh juga tiada mahu menjadi ra’yat negeri ini, maka ada-lah kewajipan kerajaan negeri ini melayani sechara orang dagang.


12. Persatuan ini tidak mempunyai sedikit pun keperchayaan bahwa ada satu jaminan yang di-namakan memelihara kedudukan istimewa orang Melayu, sebab ada-lah hak yang jelas mutlak bahawa kedaulatan negeri ini ter-letak pada bangsa Melayu dan itu-lah kedudukan istimewa mereka yang mesti di-hormati dan di-kekalkan.

13. Persatuan ini sangat setuju memelihara kepentingan puak2 lain yang halal dan menurut pendapat Persatuan ini saperti mana yang di-terangkan lebeh dahulu dari ini kepentingan itu sudah pun di-pelihara pada masa ini. Kan tetapi Persatuan ini tidak sekali2 membenarkan kepentingan2 itu menjalar hingga kepada sat tingkatan merupakan tama’ merebut kuasa dari pada pehak puak2 yang lain; sebab itu ada-lah terang2 berlawanan dengan kedaulatan bangsa Melayu seperti di-sebutkan di-atas tadi.


14. Berkenaan dengan Negeri2 Selat Pulau Pinang dan Melaka, maka Persatuan ini tiada bersetuju dengan asas Surohan Jaya Perlembagaan ini yang terlalu kuat menegaskan kedudukan Baginda Queen dalam dua wilayah itu, pada pendapat Persatuan ini kedua2-nya itu hendak-lah di-jadikan negeri Melayu semula, sama ada bersendiri atau berchantum dengan sa-suatu negeri Melayu yang ada. Pada pendapat Persatuan ini hal ini ada-lah satu hak yang halal bagi penduduk2 negeri ini terutama bangsa Melayu. Dan Kerajaan British yang menjanjikan kemerdekaan negeri ini hendak-lah menunjokkan niat baik-nya dengan menyerahkan kedua2 wilayah itu samula kepada Persekutuan Negeri2 Melayu ini. Se-kiranya taraf kedua wilayah itu tidak di-ubah sechara ini, maka tugas Surohan Jaya ini yang hendak meujudkan satu kerajaan pusat yang kuat bagi Tanah Melayu yang merdeka itu tidak sekali2 dapat di-hasilkan.

Buku ini adalah satu pembacaan yang baik kepada semua anak-anak muda pewaris generasi, supaya mendapat pengetahuan tentang bagaimana pejuang-pejuang Melayu terdahulu, menyumbang kepada pembinaan nusa dan bangsa.

Seharusnya dengan itu, seseorang tidak akan tersasar dari landasan dan tidak mudah dikelirukan akibat tidak mengetahui perjalanan sejarah. Umpama berjalan didalam gelap tanpa tahu arah dan tuju.

Baca dan halusi setiap patah perkataan didalam Memorandum PAS kepada Suruhanjaya Bebas yang merangka Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu tersebut. Didalam bait-bait yang tertulis itu ialah gambaran sebahagian dari kemelut perjuangan bangsa diambang kemerdekaan.

Bagaimana masing-masing berperanan dan setakat mana mereka berjaya atau gagal dalam memainkan peranan masing-masing, sejarah yang menjadi hakim.

Bagaimana relevannya dengan keadaan politik pada hari ini ? Berpandukan sejarah, seseorang itu berpeluang mengkaji dan cari panduan dalam meniti perjuangan.

No comments:

Post a Comment

Ads


Followers