Ads Powered By ClixSense


Saturday, June 19, 2010

Ketuanan Melayu, Malaysia dan perjuangan waktu itu.

[Olahan dari buku Burhanuddin Al Helmy: Suatu Kemelut Politik, tulisan Prof.Datuk Hjh Ramlah Adam, terbitan Dewan Bahasa & Pustaka 2003]

"Soal Malaysia sekali lagi dibincangkan oleh Dewan Rakyat pada 1 Mei 1962. Dr.Burhanuddin yang berasa tidak puas hati dengan konsep Malaysia yang ingin ditubuhkan oleh Tunku Abdul Rahman sejak tahun 1961, telah membangkitkan hal ini sekali lagi dengan membuat satu cadangan balas kepada idea tersebut. Beliau ingin menentukan bahawa cita-citanya untuk melihat penyatuan Gugusan Pulau-pulau Melayu menjadi kenyataan. Cadangannya itu berbunyi:-

"Bahawa Dewan ini mengambil ketetapan oleh kerana Melayu Raya itu pada dasarnya ialah Gugusan Pulau-pulau Melayu, hendaklah dimasukkan didalam Rancangan Melayu Raya itu daerah-daerah Indonesia dan Filipina dan hendaklah Perdana Menteri membuat rundingan awal dengan pihak negara-negara Indonesia dan Filipina bagi mewujudkan kesatuan Melayu Raya itu".
Beliau juga mencadangkan bendera Indonesia Sang Saka Merah Putih sebagai bendera kebangsaan bagi Melayu Raya.

Seperti yang telah diduganya, perbahasan tentang cadangannya itu tidak mendapat sambutan tokoh-tokoh utama UMNO. Hanya Ahli Parlimen UMNO dari peringkat negeri telah menjawab hujah-hujah Dr.Burhanuddin dan penyokongnya Hj.Hassan Adli, Ketua Pemuda PAS dan Ahli Parlimen PAS bagi Terengganu Utara. Cadangan itu ditolak tanpa perlu mengambil undi ahli Dewan Rakyat.

Walaupun Dr.Burhanuddin gagal dalam cadangannya, tetapi beliau dan PAS tidak berputus asa. Perjuangan membela kepentingan orang melayu diteruskan oleh pemimpin PAS yang lain. Haji Hassan Adli, Ketua Pemuda dan Ahli Parlimen PAS Terengganu Utara, misalnya, telah membawa satu usul yang berdasarkan prinsip yang sama tetapi lebih menjurus kepada Persekutuan Tanah Melayu. Cadangannya berbunyi "Persekutuan Tanah Melayu dipunyai oleh orang Melayu dirakamkan dalam Perlembagaan Persekutuan", telah dikemukakan pada 5 Oktober 1962. Alasan Haji Hassan Adli juga berteraskan hujah Dr.Burhanuddin sendiri. Soal ketuanan Melayu misalnya menjadi salah satu sebabnya. Usul ini bagi beliau bertujuan 'untuk menyedarkan ahli-ahli politik Tanah Melayu tentang arah politik dan keadaan politik Tanah Melayu pada masa hadapan. Bagi orang Melayu, mereka boleh tahu apakah hak keistimewaan Melayu, apakah hak mutlak, apakah hak ketuanan mereka yang selama ini menjadi pusaka suci bagi mereka dan keturunan mereka akan kekal atau tidak pada masa akan datang'. Dengan kata lain, beliau melihat adanya cabaran-cabaran ahli politik bukan Melayu yang akan menyebabkan pada satu masa nanti ada pihak yang akan melihat Fasal 153 Kedudukan Istimewa Melayu itu tidak lagi mustahak dari segi perundangan. [Hal ini telah timbul pada 1960an sehingga tercetus Peristiwa 13 Mei 1969. MAGERAN yang ditubuhkan terpaksa meminda Perlembagaan dan meletakkan ia sebagai suatu yang tidak boleh diperdebatkan dikhalayak ramai dan dianggap sensitif. Parti-parti pembangkang yang bersifat perkauman yang melampau diharamkan dan dharurat diperkenalkan selama beberapa tahun. Lee Kuan Yew, Ketua Menteri Singapura juga membangkitkan hal itu dalam konsep Malaysian Malaysia, iaitu mendesak keadilan dan hak sama rata bagi semua rakyat Malaysia; akibatnya bersama-sama dengan faktor lain, Tunku Abdul Rahman mengeluarkan Singapura daripada Malaysia pada 9 Ogos 1965].
Dr.Burhanuddin menyokong cadangan Haji Hassan Adli ini dengan pendirian yang sama saperti dahulu. Tindakan PAS membentangkan cadangan-cadangan yang diangap terlalu perkauman diatas telah menyebabkan kerajaan Perikatan mengadakan satu rang undang-undang tambahan dalam 'Internal Security Act' [ISA], dengan memberi kuasa yang lebih kepada Menteri Dalam Negeri, untuk mengambil tindakan undang-undang kepada mereka yang 'membangkitkan perasaan permusuhan dan perkauman dalam Dewan Rakyat'. Pemerintah melihat tindakan PAS membuat cadangan dan menentang pemerintah dengan menegakkan kepentingan bangsa Melayu semata-mata akan menimbulkan ketegangan antara kaum. Sedangkan, semua pihak sepatutnya bekerjasama tanpa mengira bangsa bagi mengisi kemerdekaan yang baru dicapai. Perpaduan negara dan integrasi kaum sebagai satu bangsa memang menjadi falsafah kerajaan Perikatan. Maka, pindaan kepada rang undang-undang Akta Keselamatan Dalam Negeri [ISA] itu dibuat atas kesedaran itu.

Pada bulan Ogos 1963. The Malaysia Bill 1963 dibentangkan di Dewan Rakyat oleh Tunku Abdul Rahman. Kelulusan undang-undang ini akan membolehkan penubuhan Malaysia [menggabungkan Sabah,Sarawak dan Singapura dengan Persekutuan Tanah Melayu], secara sah oleh kerajaan Persekutuan Tanah Melayu pada 16 September 1963. Dr.Burhanuddin dalam memberi pendapatnya, menggulung semua ideanya yang telah diperkatakan selama ini. Beliau pada dasarnya tetap melihat penubuhan Malaysia oleh rang undang-undang ini tidak menepati erti kebangsaan Melayu Nusantara kerana Indonesia tidak termasuk didalamnya."

Demikian sedikit olahan dari petikan buku yang tersebut. Membaca buku seperti ini, seseorang boleh sedar dan membuat nilaian tentang bagaimana pemain-pemain politik dahulu, berpeluang berperanan dalam melahirkan sebuah negara dan berperanan menentukan wajah dan rupa bentuknya. Peluang dihari itu dan bagaimana ia digunakan, akan dihakimi kesan, kejayaan atau kegagalan serta kebijaksanaan mereka berperanan, oleh generasi pewaris dihari muka. Perjuangan yang berwawasan akan sentiasa konsisten dan pejuangannya kental berprinsip. Perjuangan yang kabur akan sentiasa bertukar wajah dan corak mengikut keperluan, tanpa konsistensi dalam tindak-tanduk, dan ia akan dapat dilihat dan dihakimi oleh generasi pewaris melalui catatan sejarah. Catatan sejarah juga merakamkan jejak dan panduan untuk meneruskan perjalanan atau membetulkan perjalanan, sepertimana kata bijak pandai bahawa "orang yang tidak belajar dari sejarah, sejarah akan mengajarnya" dan bahawa "sejarah sentiasa berulang"! Oleh itu, kita yang mewarisi negara bertuah ini dari pejuang terdahulu, adakah kita arif tentang bagaimana sesuatu itu bermula? Atau kita lebih gengsi dengan hanya berkata "tidak relevan"? Jika yang kedua itu pendirian kita, maka, orang yang tidak ada apa yang kita ada, akan berkata "benar, benar itu semua tidak relevan" dan hasilnya , kita akan kelam-kabut memulakan perjuangan baru , untuk mendapatkan semula "hak yang dipunyai, yang terlepas, sebab diabaikan sebagai tidak relevan". Kemudian baru kita tahu menghargai apa maknanya "biar berputih tulang, jangan berputih mata" dan apa maknanya "airmata darah"!

No comments:

Post a Comment

Ads


Followers