Ads Powered By ClixSense


Saturday, June 19, 2010

Memperkasa Melayu hadapi tuntutan, asakan

[Utusan Malaysia 10 Jun 2010]

Oleh RUSLAN KASIM

PADA zaman Sultan Mahmud mangkat dijulang, permasalahan orang Melayu tidak begitu kompleks. Kehidupan mereka seadanya. Sembang-sembang politik tidaklah mendalam dan mendasar. Kehidupan harian sangat sederhana dan berligar di sekitar empat penjuru tiang halaman rumah masing-masing. Tetapi, orang Melayu tahu menilai maruah dan harga diri. Tidak ada yang lebih dipelihara melainkan soal maruah, harga diri dan air muka. Maruah adalah segala-galanya bagi bangsa Melayu.

Banyak peristiwa 'amuk Melayu' berlaku sejak tahun 1944 yang dipimpin oleh Kiyai Salleh sehinggalah kes Natrah pada awal tahun 1950-an di Singapura dan tragedi berdarah 13 Mei 1969 membuktikan pemilikan bangsa Melayu pantang diusik atau diganggu gugat oleh sesiapapun, apatah lagi daripada anasir-anasir luar lingkungan bangsa Melayu sendiri.

Soal agama dengan segala bidang dan institusinya, bahasa, hak-hak yang terkanun dan tidak terkanun, institusi Raja yang berdaulat, norma-norma sosial bangsa Melayu yang begitu halus mengakar pada adat dan budayanya serta perkara-perkara lain yang dianggap sinonim dengan persoalan maruah bangsa tidak boleh dilanggar dan dipalit oleh sesiapapun.

Kesemua perkara ini juga termaktub kemas di dalam Watikah Wasiat Raja-Raja Melayu yang dimeterai pada 31 Ogos 1957.

Pada peringkat awal kemasukan kaum- kaum pendatang ke Tanah Melayu dahulu, tidak banyak berlaku pergeseran kaum dan pencerobohan hak-hak orang Melayu kerana mereka tahu menjaga batas dan menghormati orang-orang Melayu.

Ia wujud mungkin kerana pada waktu itu mereka terpaksa menumpukan perhatian kepada soal-soal asasi seperti mendapatkan tempat tinggal, mengembangkan perniagaan dan terbukanya peluang dominasi ekonomi di wilayah baru (tentunya dengan perancangan dan bantuan pihak Inggeris), masalah kewarganegaraan, akomodasi dalam arus politik perdana Tanah Melayu, ketakutan mereka untuk pulang ke China akibat suasana politik di sana yang lebih menekan dan tidak menentu membuatkan mereka melihat Tanah Melayu lubuk yang lebih selesa bagi mengaut untung.

Namun, senario itu berubah setelah mereka memperoleh hak kerakyatan, pegangan ekuiti dan pemilikan sumber ekonomi yang semakin mencengkam, perkara-perkara tersurat dalam Perlembagaan yang boleh diberikan tafsiran semula dan dieksploitasi untuk lebih menghimpit orang Melayu serta beberapa perkara lain membuka ruang untuk mereka menangguk di air yang keruh.

Agenda menggoncang sendi-sendi bangsa Melayu dapat dilihat pada gelagat Lee Kuan Yew dan disemarakkan lagi dengan kenyataan Dr. Tan Chee Koon (pada waktu itu beliau memimpin Parti Buruh) yang mengkritik kerajaan tentang rancangan pendidikan dan sikap berat sebelah yang kononnya memberi kelebihan kepada anak-anak Melayu, tentang Maktab Mara dan sebagainya. Pendekatan yang agak komunal dengan mengemukakan statistik yang tidak tepat (perbandingan di antara pelajar Melayu dengan bukan Melayu dalam kursus-kursus profesional di IPTA ) bukan saja boleh menimbulkan dan membakar semangat kebencian antara kaum, bahkan ia boleh juga disifatkan sebagai jenayah politik yang sangat merbahaya pada waktu itu.

Khir Johari yang pada masa itu menerajui Kementerian Pelajaran menjawab tuduhan dan tohmahan tersebut dengan kata-kata beliau, "Sebahagian besar daripada mahasiswa Universiti Malaya dan Maktab Teknik adalah keturunan Cina dan tiap-tiap orang mendapat subsidi daripada kerajaan. Begitulah juga dengan Sekolah Tinggi Chung Ling Pulau Pinang yang mempunyai 3,500 orang murid dan 100 peratus terdiri daripada murid-murid Cina yang mendapat bantuan penuh dari kerajaan. Sekolah-sekolah lain seperti Victoria Institution, St. John, MBS di Kuala Lumpur, St. Michael dan ACS di Ipoh dan Penang Free School, kebanyakan muridnya terdiri daripada murid-murid Cina".

Sementara itu, Tunku Abdul Rahman yang sangat kecewa dengan sikap kaum imigran yang menyerlahkan tindak-tanduk seperti 'kacang lupakan kulit' pula memberikan kenyataan berikut: "Membina universiti Cina bererti menegakkan sesuatu yang sentiasa mengingatkan orang-orang Cina akan sifat Cina mereka dan bukan sebagai orang-orang Malaysia." Namun seperti biasa, jawapan dan kenyataan itu bagi mereka tidak cukup kuat untuk tidak mengizinkan kaum mereka menentukan dasar pelajaran sendiri.

Selepas terkeluarnya Singapura dari Tanah Melayu, pergolakan politik semakin kritikal khususnya setelah pihak pembangkang yang diterajui oleh beberapa parti politik bukan Melayu mendapat kejayaan di luar dugaan semasa Pilihan Raya Umum 1969 hingga akhirnya membawa kepada berlakunya tragedi berdarah 13hb Mei, 1969 akibat reaksi keterlaluan dan di luar batas kesopanan yang ditunjukkan oleh para pengikut mereka.

Setelah PAP menutup bukunya di Malaysia, DAP mengambil alih tugas sacred mission PAP dalam meneruskan perjuangan meleburkan benteng dan meranapkan kewibawaan bangsa Melayu dengan melontarkan gagasan Malaysian Malaysianya untuk mewujudkan padang yang 'sama rata'.

Persoalannya apakah perubahan sikap dan pendirian kaum imigran terhadap orang Melayu itu menjadi bertambah baik dan usaha pemupukan perpaduan kaum meningkat? Apa yang nyata ialah asakan dan tuntutan mereka semakin menjadi-jadi serta menampakkan kegilaan yang sukar dibendung, apatah lagi warna perkauman DAP terutamanya, yang amat pekat itu kini dicairkan oleh penglibatan dan sokongan sebilangan orang Melayu yang lupa di mana bumi dipijak dan tempat langit dijunjung.

PENULIS ialah Ketua Penerangan
Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara

No comments:

Post a Comment

Ads


Followers