Ads Powered By ClixSense


Saturday, June 12, 2010

10 Sifat Peribadi Yang Mesti Dipupuk


Sifat peribadi yang luhur merupakan aset penting dan berharga dalam kehidupan seseorang. Ia menjamin kehidupan yang indah dan bahagia tidak kira lelaki mahupun wanita. Tidak semua dalam kalangan kita memiliki sifat mulia yang luhur ini sejak azali. Sebab itu ia harus dipupuk supaya sebati di dalam diri kita dalam menjalani kehidupan seharian. Pupuk dengan membuat banyak kebaikan sesama manusia, mendekati diri dengan Allah, tidak berniat dengan hati, perkataan mahupun perbuatan yang menyebabkan orang lain merasa kecil hati serta sentiasa bersedekah “ alfatihah “ untuk insan di dunia ini.
Hayati 10 sifat peribadi luhur di bawah, tanamkan ke dalam hati sanubari, lalui kehidupan yang lebih bahagia…InsyaALLAH……
  1. Tulus
  2. Rendah diri
  3. Setia
  4. Berfikiran positif
  5. Perwatakan ceria
  6. Bertanggungjawab
  7. Percaya kepada diri sendiri
  8. Pemaaf
  9. Mudah berkira
  10. Empati
Tulus -Tulus atau ‘transparent‘ merupakan sifat yang paling disukai oleh semua orang. Ketulusan akan membuatkan orang lain berasa aman dan dihargai dengan kehadiran kita. Orang yang tulus tidak akan memperbodoh atau berbohong apabila berkata-kata. Sebaliknya sentiasa menyatakan kebenaran, tidak suka mengada-ngada, berpura-pura, mencari-cari alasan atau memutar belitkan fakta. Prinsip tulus ialah “berkata benar walaupun pahit”. Namun begitu, adalah lebih sempurna jika sifat tulus ini digabungkan dengan kebijaksanaan. Supaya ketulusan tidak menjadi penyebab yang boleh merugikan diri sendiri.

Rendah diri- Bukan rendah diri di atas kelemahan, tetapi merendah diri kerana kehebatan dan kekuatan. Inilah yang sukar manusia lakukan. Hanya orang-orang yang berjiwa kental mampu bersikap rendah diri. Ibarat padi yang semakin berisi semakin menunduk. Orang yang bersikap rendah diri mampu mengakui dan menghargai keunggulan orang lain. Sikap sebegini mampu memberi impak terhadap dua situasi.
Pertama, membuatkan orang yang lebih tinggi pangkatnya daripada kita untuk berasa segan dengan kita.
Kedua, membuatkan orang yang lebih rendah pangkatnya daripada kita untuk tidak merasa kekok apabila berinteraksi dengan kita. Hebat bukan?

Setia- Kesetiaan merupakan satu sifat yang tinggi nilainya. Orang yang setia sentiasa dipercayai dan boleh diharap, selalu menepati janji, mempunyai komitmen yang tinggi, rela berkorban dan tidak khianat.Tetapi kadang-kadang kesetiaan kita dicabar, itu dinamakan dugaan. Berserah pada Allah jika kesetiaan kita tidak dihargai kerana Allah maha mengetahui.

Berfikiran positif- Orang yang bersikap positif sentiasa berusaha melihat segala sesuatu dengan pandangan positif, meskipun dalam situasi yang buruk. Orang sebegini lebih suka membicarakan kebaikan daripada keburukan orang lain, lebih suka membicarakan tentang harapan daripada kekecewaan, lebih suka mencari penyelesaian daripada berputus asa, lebih suka memuji daripada mengecam, dan sebagainya. Kadang kala berfikiran positif dianggap untuk mengangkat bakul sendiri, apa pun hanya kita sahaja yang tahu sejauh mana keikhlasan kita dalam berfikiran positif. Pedulikan apa yang orang kata kerana setiap kebenaran itu akan terserlah jua akhirnya.

Berperwatakan ceria - Bukan semua orang dianugerahi wajah yang ceria. Oleh itu keceriaan tidak harus dinilai dari ekspresi wajah dan tubuh tetapi sikap dalaman (hati). Orang yang ceria adalah orang yang dapat menikmati hidup, tidak suka mengeluh dan selalu berusaha meraih kegembiraan. Dia juga mampu mentertawakan situasi, orang lain, juga dirinya sendiri. Dia mempunyai potensi untuk menghibur dan mendorong semangat orang lain. Namun ada kala tidak  semua manusia mampu menceriakan  orang lain, adakala terpaksa berlakun demi kebaikan orang lain.. yang penting ikhlas untuk niat member kebahagian untuk orang lain.

Bertanggungjawab- Orang yang bertanggungjawab akan melaksanakan kewajipannya dengan bersungguh-sungguh. Andai melakukan kesalahan, dia berani mengakuinya. Ketika mengalami kegagalan, dia tidak akan mencari kambing hitam untuk dipersalahkan ( lebih baik bersemuka dari menyimpan perasaan marah atau buruk sangka yang berterusan). Bahkan kalau dia merasa kecewa dan sakit hati, dia tidak akan menyalahkan siapapun. Dia menyedari bahawa dirinya sendirilah yang bertanggungjawab atas apa pun yang dialami dan dirasakannya 9 muhasabah diri terlebih dahulu).

Percaya kepada diri sendiri - Rasa percaya kepada diri sendiri memungkinkan seseorang itu menerima dirinya sebagaimana yang dianugerahkan oleh Allah s.w.t, menghargai dirinya dan menghargai orang lain. Orang yang percaya kepada diri sendiri mudah menyesuaikan diri dengan lingkungan dan situasi yang baru. Dia tahu apa yang harus dilakukannya dan melakukannya dengan baik.

Pemaaf - Kebesaran jiwa dapat dilihat dari kemampuan seseorang memaafkan orang lain. Orang yang berjiwa besar tidak membiarkan dirinya dikuasai oleh rasa marah/ benci dan permusuhan. Ketika menghadapi masa-masa sukar dia tetap tegar, tidak membiarkan dirinya hanyut dalam kesedihan dan kekecewaan tetapi sebagai manusia sifat ini tidak akan lari dari kita ( hati yang lembut) . Sesungguhnya orang yang memulakan sapaan kepada orang lain (terutamanya musuh)  lebih baik dan mulia daripada mereka yang cuba berpaling muka dan merasa amat rugi untuk memulakan sapaan. Allah tidak memandang rendah pada insan yang sedemikian , sekali pun insan ini  adalah seorang pesalah/ musuh.

Tidak Mudah berkira-  Orang yang tidak mudah berkira menganggap hidup ini ringan. Dia tidak suka membesar-besarkan masalah kecil. Bahkan berusaha mengecilkan masalah-masalah besar. Malah kesabarannya diganti dengan mendekati dan kembali kepada Allah.  Dia lebih suka jika kesalahan itu disandarkan ke bahunya, walaupun kesalahan itu bukan ciptaannya.. Dia tidak mahu memeningkan kepala dan memberi tekanan kepada diri sendiri ( jangan pentingkan diri) dengan masalah-masalah yang berada di luar kawalannya. Namun kita tidak boleh terlalu mudah berkira .ahhh biarkanlah tanpa berusaha memahami satu pihak yang lain kerana dikhuatiri akan membawa persengketaan yang boleh menyebabkan kita dibenci Allah.

Empati- Empati adalah sifat yang sangat mengagumkan. Orang yang mempunyai sifat empati bukan sahaja merupakan seorang pendengar yang baik tetapi juga dapat menempatkan diri di tempat orang lain. Ketika berlaku konflik dia akan selalu mencari jalan keluar terbaik bagi kedua belah pihak.. Dia juga tidak suka memaksa pendapat dan kehendaknya sendiri. Dia selalu berusaha memahami dan mengerti perasaan orang lain. Orang yang bersifat empati, akan sentiasa mendoakan kebahagian orang lain dan mahu melihat orang lain bahgia.

Kesimpulan

10 sifat peribadi luhur di atas sangat berharga jika dapat diadaptasi dalam hati masing-masing. Sesukar mana sekalipun kia cuba untuk memperbaiki diri ke arah kebahagian. Selagi kita bernama manusia, tidak akan lari dari sifat yang bertentangan dengan 10 sifat peribadi luhur di atas. Bukan mudah, tetapi berbaloi jika dapat sentiasa ditanam, dipupuk dan dirasai oleh semua orang. Anda akan rasai kenikmatan jika mampu mengamalkannya dalam kehidupan. Kalau bercakap soal tekanan, sudah pasti ada, kena ingat Allah tidak akan menguji hambaNYa , jika ia tidak layak untuk diuji. Kenalah banyak-banyak bersabar sekalipun pahit untuk ditelan. sesungguhnya yang pahit itu penawar kepada kesakitan. Jika setiap masalah atau dugaan dapat dihadapi dengan lebih mendekatikan diri kepadaNya , itu tanda anda insan yang amat dicintai Allah kerana kembali kepadaNYa dan masih kekal untuk bersandar kepadaNya tetapi jika tidak ada tanda-tanda yang dimaksudkan, ini menunjukkan anda dalam kalangan orang yang paling rugi di dunia ini sekalipun Allah turunkan rezeki yang kadang kala tidak memberi kelazatan dari rezeki tersebut. Fikir dan renungkan.

No comments:

Post a Comment

Ads


Followers