Ads Powered By ClixSense


Wednesday, June 30, 2010

PM yakin ekonomi mampu tumbuh 6 peratus

Najib Tun Razak menerima buku The Report: Malaysia 2010 daripada Michael Benson-Colpi sambil diperhatikan Abdul Wahid Omar (kiri) serta Paulius Kuncinas pada majlis pelancaran buku itu di Kuala Lumpur, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------

KUALA LUMPUR 30 Jun - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak optimis pertumbuhan ekonomi negara boleh mencapai enam peratus setahun khususnya dalam tempoh pelaksanaan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

Bagaimanapun beliau berkata, hasrat itu hanya boleh direalisasikan sekiranya semua pihak termasuk swasta bersama-sama menggembleng tenaga bagi menjayakan program transformasi yang telah digariskan oleh kerajaan.

Beliau berkata, pertumbuhan pada angka itu amat penting kerana ia begitu signifikan dengan cita-cita kerajaan untuk menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi.

''Antara 2011 hingga 2015, kerajaan meletakkan sasaran pendapatan kasar perkapita meningkat kepada RM38,850 atau AS$12,140 setahun.

''Namun, untuk mencapai sasaran ini negara memerlukan pertumbuhan sebenar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sekitar enam peratus setahun dan bagi saya ia boleh dicapai,'' katanya ketika berucap pada majlis pelancaran buku Laporan: Malaysia 2010 (Report: Malaysia 2010) di sini hari ini.

Laporan tersebut diterbitkan oleh syarikat penerbit antarabangsa, Oxford Business Group (OBG) dengan kerjasama Unit Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri, Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA) dan Maybank.

Turut hadir Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank, Datuk Seri Abdul Wahid Omar; Pengerusi OBG, Michael Benson-Colpi dan Editor Serantau OBG, Paulius Kuncinas.

Najib dalam ucapannya turut menghargai rumusan di dalam buku laporan tersebut apabila OBG melahirkan keyakinan bahawa Malaysia mampu mencapai pertumbuhan enam peratus pada tahun berkenaan.

''Saya lega apabila OBG merumuskan bahawa kita mampu mencapai pertumbuhan enam peratus pada tahun ini. Saya percaya ia bukan bersifat pujian tetapi rumusan itu adalah berdasarkan kepada fakta yang sebenar,'' ujarnya.

Najib dalam perkembangan berkaitan berkata, buku laporan yang diterbitkan oleh OBG itu boleh dijadikan sumber rujukan terutama pihak yang berminat membuat pelaburan di Malaysia.

''Secara umum ia menyentuh pelbagai aspek ekonomi di negara kita seperti kewangan Islam, pasaran modal, industri tenaga, penyelidikan dan inovasi, teknologi maklumat, pendidikan, hartanah dan pembinaan.

''Melalui buku ini, para pelabur yang berpotensi boleh mendapatkan maklumat diperlukan termasuk peluang-peluang pelaburan yang ditawarkan oleh negara serta faedah-faedah yang bakal mereka nikmati,'' katanya lagi.

No comments:

Post a Comment

Ads


Followers