Ads Powered By ClixSense


Saturday, April 30, 2011

TIDAK ADA PERKONGSIAN KUASA DALAM PAKATAN RAKYAT

1. Penulis percaya, jika seseorang ingin mendapatkan sesuatu dia hendaklah mengorbankan sesuatu untuk mendapatkannya.

2. Namun kepercayaan itu tinggal meleset apabila pengorbanan seseorang atau sekumpulan orang bukan saja tidak dihargai, tapi dilupakan, malah dianggap tidak wujud langsung.

3. Orang Melayu percaya, jika mereka inginkan kemerdekaan, mereka perlu berkorban bukan saja dari segi nyawa, malah mengorbankan beberapa kepentingan diri mereka, berhubung dengan kepentingan bangsa mereka, untuk mendapat kemerdekaan dan negara sendiri seperti yang disyaratkan oleh British.

4. Tidak timbul soal kepentingan diri terjejas, tetapi keazaman untuk menjadi bangsa yang merdeka, dan bebas terlalu kuat sehingga mereka pada ketika itu sanggup berkorban dan berkongsi hak sama rata dengan kaum-kaum lain.

5. Ya, kami akan terima mereka seperti saudara kami sendiri dan mereka akan dilayan sama rata sama seperti bangsa kami sendiri- itu janji kaum Melayu dan mereka tidak ada keraguan langsung tentangnya.

6. Kebebasan beragama dijamin dalam perlembagaan, perkongsian kuasa di antara pemimpin-pemimpin kaum berlaku, setiap permintaan cuba untuk ditunaikan, setiap masalah akan dikongsi dan diselesaikan atas semangat persahabatan dan persaudaraan yang erat. Sekolah dan aktiviti kebudayaan yang mengangkat dan mengekalkan tradisi dan keunikan sesuatu kaum juga tidak ada halangan dan dibenarkan. Malahan orang Melayu berkorban sekali lagi dengan memperkenal tulisan rumi (roman) bagi menggantikan sistem tulisan jawi demi bahasa mereka dapat difahami dan dikongsi dengan rakyat Malaysia yang lain. Semua ini dilakukan atas dasar integrasi kaum.

7. Dunia barat meramalkan penubuhan Malaysia akan diakhiri dengan perpecahan lantaran perbezaan kaum pada ketika itu, namun dunia barat tersilap, tidak ada pergaduhan, malah keamanan yang berterusan, rakyat tidak membangkitkan soal ketidakadilan kerana mereka dilayan dengan baik oleh saudara-saudara mereka. Pemimpin-pemimpin yang bekerjasama dalam parti yang berbeza kaum saling bersefahaman dan percaya betapa perlu mereka berada dalam satu kumpulan atau satu saf demi kebaikan Malaysia keseluruhannya.Perkongsian kuasa dan bukannya dominasi kuasa adalah faktor penting yang menjadikan negara Malaysia sangat aman dan damai.

8. Pendek kata Malaysia ketika itu aman dan sepi dari perkara-perkara yang merungsingkan kepentingan mana-mana kaum, namun ada juga suara yang membangkitkan tentang ketidakadilan dan haksama rata, namun ia sukar difahami oleh rakyat kerana jelas ketidakadilan yang dikatakan berlaku itu sebenarnya tidak ada berlaku. Namun Malaysia tidak aman selama-lamanya, sikap tamak berkuasa golongan ini akhirnya membawa malapetaka, 13 Mei tercetus dan ramalan dunia akhirnya menjadi kenyataan.

9. Kerajaan selepas 13 Mei 1969 sudah sedar bahawasanya tidak cukup jika hanya satu pihak saja yang berpuas hati,rakyat tidak wajar berpuas hati beasaskan kepercayaan mereka semata-mata, dan keadilan bukan dilihat dari aspek falsafah juga semata-mata tetapi hendaklah dikaitkan terus dengan kehidupan rakyat secara harfiah dan konkrit, DEB diperkenalkan dan perbezaan jurang ekonomi antara kaum dirapatkan.

10. Keamanan dan keharmonian berjaya dipulihkan malah dikukuhkan.

11. Jelas, rakyat Malaysia hidup aman dan damai kerana satu faktor penting yang telah disebut tadi, iaitu perkongsian kuasa dan bukannya dominasi kuasa. Tradisi perkongsian kuasa yang melibatkan pemimpin pelbagai kaum menjadi asas kestabilan politik yang membawa kepada keamanan sebenar. Peristiwa 13 Mei tercetus, apabila satu pihak, ingin mendonimasi kuasa secara berseorangan demi kepentingan diri mereka sahaja dan bukannya Malaysia secara keseluruhannya.

12. Tidak seperti bangsa Melayu yang berkorban untuk mendapatkan sesuatu bukan saja untuk milik mereka tetapi untuk milik semua.Namun pengorbanan ini telah dilupakan dalam sekelip mata.

13. Sebaliknya golongan tertentu ini, ingin mendapatkan kuasa tanpa perlu mengorbankan apa-apa sebaliknya telah mengguriskan perasaan orang lain.

SIAPA BATU API SEBENAR?

14. DAP mendakwa dirinya adalah multiracial (yang sebenarnya tidak mencerminkan komposisi sebenar rakyat Malaysia), .... kenapa tidak kata terus dirinya bukan perkauman. Sebenarnya, DAP segan menafikan dirinya bukan perkauman. Sikap perkauman DAP tidaklah mengejutkan orang Melayu. Ia adalah parti yang mempejuangkan hak dari satu bangsa sahaja semenjak dahulu lagi. Namun usaha DAP untuk bekerjasama dengan PAS pada tahun 1998 sepatutnya merupakan satu titik tolak yang positif kerana jelas ada petanda mereka sanggup berkongsi kuasa dengan orang lain. Malah ia merupakan kredit kepada kerajaan kerana mereka mahu mencontohi kerajaan dalam aspek perkongsian kuasa dan kerjasama merentasi kaum. Namun perkongsian kuasa ini bersifat olok-olok sehingga DAP ditolak oleh rakyat pada pilihanraya ketika itu.

15. Dalam pada mereka berjaya menubuhkan kerajaan hanya di beberapa negeri, sudah pandai pula mereka melabelkan orang lain sebagai perkauman. Sedangkan orang yang dituduh perkauman itulah yang telah membangunkan dasar yang selama ini membangunkan rakyat dan negara ke hadapan. Sebaliknya mereka membawa rakyat dan negara kebelakang.

16. Dalam tempoh berbaki 9 tahun lagi ke matlamat menjadi negara maju, sepatutnya politiking berasaskan perkauman tidak wujud lagi, ya kita menerima UMNO,MCA,MIC,PBB sekalipun adalah parti dengan kaum dengan aspirasi masing-masing tetapi apabila bercakap dengan kepentingan negara dan pembangunan masa hadapan, kepentingan diri atau satu pihak dikesampingkan, dan kepentingan negara menjadi keutamaan. Dengan kesepaduan parti komponen di bawah BN sebelum ini, parti komponen BN ini tidak ada sebab untuk menjadikan politik perkauman sebagai modal mendapatkan sokongan daripada kaum masing-masing. Sebaliknya DAP memerlukannya, sebagai modal untuk mendapat sokongan bagi mengukuhkan kuasa yang sedia ada.

17. Kemunculan DAP di persada politik arus perdana hanya menyebabkan perdebatan perkauman muncul tiba-tiba, sebelum ini tidak ada...dan tiba-tiba mereka berkata tentang kepentingan bangsa, bukan kepentingan negara. Orang Melayu yang khuatir pula mulai bercakap tentang kepentingan bangsa mereka. Kemunculan PERKASA adalah manifestasi daripada kemunculan DAP.Jika DAP kuat, PERKASA juga akan bertambah kuat.Perkauman akhirnya akan dibalas dengan perkauman. Kesudahannya sudah tentu mahu dielakkan.

18. Seperti yang dinyatakan dari awal tadi, sikap perkauman DAP tidaklah mengejutkan sama sekali, malah bukan satu kesalahan pun. Kita sudah tentu tidak boleh memaksa orang lain menjaga kepentingan kita, walaupun mereka dengan mulut manis mengatakan sebaliknya.

19. Sebaliknya PKR adalah dalang dan batu api sebenar yang mencetuskan fenomena perkauman yang lebih dahsyat, jika DAP perkauman, mereka tidak sanggup menyatakan sesuatu secara berdepan-depan dan mengguriskan perasaan seperti yang dilakukan oleh PKR. Anwar dan PKR dengan sengaja mempertikaikan kedudukan orang Melayu dalam perlembagaan seperti menuduh hak keistimewaan orang Melayu bersifat sementara dan menolak Ketuanan Melayu secara mentah-mentah dan berterus-terang.

20. Motifnya? PKR sengaja memprovokasi orang Melayu agar bersuara (responsif), dan suara mereka akan dianggap perkauman. UMNO adalah parti Melayu maka perlu juga dianggap perkauman. Ini untuk mengekalkan sokongan kepada diri mereka dan meningkatkan momentum yang sedia ada.

21. Siapa yang mendapat faedah daripada perdebatan perkauman yang merupakan satu pemikiran kebelakang ini?? Jawapannya tidak ada sesiapapun. Malah kerugian kepada semua, kerugian kepada rakyat dan kerugian kepada negara. Tidak dijangkakan dalam 9 tahun lagi di mana rakyat sepatutnya berhempas pulas agar Malaysia mencapai status negara maju, kita akhirnya terperangkap dalam permainan politik yang ketinggalan zaman. Usaha pemimpin-pemimpin terdahulu merapatkan jurang dan keharmonian antara kaum semenjak merdeka seperti musnah dalam masa yang sekejap sahaja.

22. DAP harus sedar ( mereka akan sedar?) dominasi politik dari satu pihak sahaja akan membawa ketidakstabilan, kerjasama DAP dan PAS yang sangat jelas olok-oloknya dan hipokrasinya tidak meyakinkan rakyat, dan PKR yang terlalu politiking sehingga ke tahap berbohong untuk mendapat sokongan rakyat telah meloyakan rakyat apabila tembelang mereka didedahkan . Sekurang-kurangnya DAP dan PAS tidak seteruk PKR yang sangat bermuslihat itu.

23. Perkongsian kuasa yang tulen akan membawa keharmonian, sedangkan perkongsian kuasa yang palsu maka hasilnya adalah palsu juga.Sebenarnya tidak ada perkongsian kuasa dalam Pakatan Rakyat, apa yang berlaku adalah usaha untuk mendominasi kuasa dari satu pihak yang bercakap tentang kepentingan diri mereka semata-mata.

No comments:

Post a Comment

Ads


Followers