Ads Powered By ClixSense


Saturday, October 16, 2010

Bajet 2011 : Transformasi ke arah negara maju

BAJET 2011 adalah belanjawan pertama Rancangan Malaysia Ke-10 dan yang kedua dibentangkan oleh Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak. Di atas sifat itu,
pembentangannya amat dinantikan oleh ramai penganalisis ekonomi kerana ia akan menetapkan rentak dan nada aktiviti ekonomi negara sejajar dengan visi nasional untuk menggapai negara maju yang berpendapatan tinggi, berpaksikan kepada prinsip keterangkuman dan kemapanan sejajar dengan roh Model Ekonomi Baru.
Untuk menjayakan Bajet 2011 yang bertemakan Transformasi Ke Arah Negara Maju Berpendapatan Tinggi, pihak kerajaan telah menggariskan empat strategi, iaitu merancak pelaburan swasta; mempergiat pembangunan modal insan; menambah baik kualiti hidup; dan memperkukuh penyampaian perkhidmatan awam.
Untuk mencapai kadar pertumbuhan enam peratus pada tahun 2011, pelaburan sektor swasta perlu ditingkatkan semula daripada tahap 10 peratus daripada KDNK yang dialami dalam tempoh sedekad yang lalu. Namun begitu, pelaburan FDI tidak akan mula mengalir ke bumi Malaysia sekiranya kita masih miskin dari segi modal insan mahir, tahap kreativiti dan produktiviti yang rendah serta lemah dalam menyediakan sistem penyampaian perkhidmatan awam.
Bagi tahun 2011, pihak kerajaan mensasarkan pelaburan swasta akan berkembang pada kadar 12.5 peratus kepada RM86 bilion. Sebahagian besar daripada jumlah tersebut membabitkan pembangunan hartanah kerajaan di sekitar Lembah Kelang dan pelaksanaan MRT untuk Greater KL sebagai penjana utama aktiviti ekonomi negara. Projek pembangunan hartanah seperti KLIFD [Kuala Lumpur International Financial District]; pembangunan tanah milik Lembaga Getah Malaysia di Sungai Buloh dan projek bersepadu Warisan Merdeka mampu menarik pelaburan swasta dari dalam dan luar negara. Limpahan nikmat ekonomi yang dapat dicapai melalui pembangunan hartanah yang dilaksanakan seiring dengan penambahbaikan sistem pengangkutan awam sudah tentu berkali ganda.
Projek projek hartanah dan MRT tidak mungkin dapat dibiayai semata mata dengan tabungan dalam negara. Oleh itu, adalah dijangka lebih banyak syarikat luar negara yang akan memainkan peranan penting dalam beberapa projek pembangunan strategik berimpak tinggi. Sebagai contoh, projek MRT mungkin memerlukan pembiayaan melalui bon yang memberikan peluang syarikat pelaburan luar negara untuk menumpang mengecapi pulangan modal yang lumayan kalau dibandingkan dengan tahap keuntungan modal di negara asal.
Saya menjangka tentu ada suara nakal yang mempersoalkan strategi kerajaan untuk mencipta pembangunan ekonomi melalui pembangunan hartanah kerajaan. Namun kita perlu sedar bahawa pembangunan hartanah memberikan limpahan nilai ekonomi yang berlipat ganda kerana banyak sektor hiliran yang akan turut terlibat dalam rantaian nilai pembangunan hartanah. Industri pelombongan agregat, simen, pasir, serta berbagai barangan dan perkhidmatan yang terlibat secara lansung atau tidak lansung dengan pembangunan hartanah akan turut berkembang.
Sememang nya pembangunan hartanah kerajaan sudah lama dibincangkan untuk dilaksanakan. Perbezaaan-nya kali ini adalah corak pelaksanaan, di mana pihak swasta diberikan peranan yang lebih meluas untuk membangunkan projek hartanah kerajaan.
Tumpuan turut diberikan kepada usaha merancakkan pasaran modal domestik dengan memperkenalkan beberapa langkah baru yang sudah sampai masanya untuk dilaksanakan. Sebagai contoh, Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerahaan [GLIC] disarankan untuk mengurangkan pegangan saham dalam syarikat tersenarai di Bursa Malaysia dan sebaliknya menggunakan modal yang ada untuk meningkatkan pelaburan di luar negara. Beberapa syarikat GLIC seperti PNB dan KWSP sudah mula mengorak langkah menubuhkan syarikat pelaburan di luar negara untuk tujuan tersebut. Namun kini, pihak kerajaan mahu peningkatan berganda dari segi pelaburan aset di luar negara.
Pengurangan pegangan saham di dalam syarikat tersenarai di Bursa Malaysia sememangnya dialu-alukan oleh banyak pihak, namun usaha mendapatkan pulangan yang setimpal atau lebih baik di luar negara mengundang risiko yang perlu diteliti oleh pihak GLIC. Apabila membuat pelaburan di luar negara beberapa faktor risiko khusus [contoh: risiko matawang, risiko repatriation of funds, risiko kadar faedah] perlu diberi perhatian untuk memastikan pulangan atas modal yang dilaburkan adalah setimpal.
Penyenaraian Petronas Chemical Sdn Bhd dan Malaysia Marine and Heavy Engineering Holdings Sdn Bhd bakal menceriakan aktiviti pasaran di Bursa Malaysia. Memandangkan kebelakangan ini sudah banyak syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia yang telah diswastakan, amatlah sesuai bagi kerajaan mengapongkan beberapa syarikat milik kerajaan di pasaran saham untuk mempelbagaikan saham pilihan yang secara langsung akan mengundang pelaburan yang lebih inklusif dari dana tempatan mahu pun luar negara.
Dua inisiatif kerajaan yang perlu diberikan perhatian ialah penubuhan Skim Amanah Hartanah Bumiputera dan Dana Pencen Swasta. Kedua -dua inisiatif ini pernah disentuh didalam beberapa bajet yang lalu dan kini sudah sedia untuk dilancarkan pada tahun 2011. Skim Amanah Hartanah Bumiputera adalah satu idea yang baik untuk menambah penyertaan yang lebih bermakna dan mapan oleh golongan bumiputera dalam sektor hartanah komersil. Manakala Dana Pencen Swasta akan memberikan pilihan kepada rakyat bagi melabur tabungan mereka. Sehingga kini, KWSP adalah satu satunya syarikat yang boleh menerima caruman pekerja untuk tabungan hari tua. Pengenalan Dana Pencen Swasta adalah langkah proaktif kerajaan supaya tabungan rakyat diberikan pulangan yang kompetitif oleh KWSP mahupun Dana Pencen Swasta.
Strategi kedua Baget 2011, iaitu membangunkan modal insan amatlah sesuai diberikan penekanan pada ketika ini. Ini adalah kerana untuk bersaing dengan negara lain bagi mendapatkan FDI mahupun pelaburan ekuiti, negara kita perlu menyediakan tenaga kerja yang cekap, celik IT, mahir dalam berbagai bahasa, inovatif dan kreatif.
Menarik
Salah satu langkah awal untuk menarik dan mengekalkan modal insan yang berkemahiran dari dalam dan luar negara adalah penubuhan Talent Corporation yang dijangka beroperasi pada awal tahun 2011. Melalui agensi ini, adalah menjadi harapan agar berbagai program dapat dirancang untuk menangani fenomena brain drain. Walaupun sudah ada beberapa inisiatif Brain Gain yang diusahakan di beberapa kementerian, namun usaha yang lebih komprehensif dan tersusun perlu diketengahkan agar kita dapat membawa pulang anak watan atau mengekalkan perkhidmatan mereka di Malaysia supaya dapat menyumbang kepada pembangunan negara.
Kerajaan memperuntukkan lebih daripada RM700 juta untuk mempergiat program latihan dan kemahiran manakala Program Latihan 1Malaysia pula akan dilaksanakan dengan peruntukan RM 500 juta. Ini bermakna lebih daripada RM1.2 bilion akan dibelanjakan untuk meningkatkan kemahiran siswazah, lepasan sekolah, belia dan para pekerja. Sememangnya saban tahun kerajaan telah menyediakan peruntukan yang besar untuk latihan dan kemahiran, namun bagi menyahut cabaran Perdana Menteri untuk bersedia ke arah negara maju, peruntukan bagi tahun 2011 dan seterus-nya perlu diperincikan dengan jelas agar peruntukan tersebut dibelanjakan sejajar dengan NKEA dan inisiatif yang diberikan penekanan oleh pihak kerajaan.
Satu langkah berani yang diambil oleh pihak kerajaan untuk menangani rungutan rakyat tentang kadar gaji dan upah yang agak rendah pada ketika ini adalah penubuhan Majlis Konsultansi Gaji Negara. Majlis tersebut akan menjadi wadah bagi semua pihak yang berkepentingan untuk duduk semeja bagi menggubal kadar dan mekanisme penetapan gaji mininum dan isu- isu yang berkaitan. Langkah awal telah diambil oleh pihak kerajaan sebelum ini dengan menaikkan gaji posmen daripada RM610 kepada RM710 sebulan.Bajet ini turut menguatkuasakan gaji pokok minimum untuk pengawal keselamatan.
Strategi ketiga Baget 2011 adalah mensejahterakan hidup rakyat.Pihak kerajaan telah menyediakan berbagai program untuk memastikan dalam menghambat taraf negara maju, segmen rakyat yang tertentu terus menerima pembelaan dan diberikan bantuan dan galakan yang setimpal. Namun begitu, kita perlu memberikan penghormatan kepada pihak kerajaan kerana memperkenalkan berbagai program pemilikan rumah yang mesra rakyat dan keputusan kerajaan untuk tidak menaikkan kadar tol PLUS Expressway Berhad bagi tempoh lima tahun akan datang.
Skim Rumah Pertamaku yang diterajui oleh Cagamas akan membolehkan pembeli rumah pertama yang berpendapatan isi rumah kurang dari RM3,000 sebulan untuk mendapatkan pinjaman seratus peratus. Ini bermakna, pembeli rumah pertama yang terdiri daripada golongan belia, tidak lagi perlu meminjam dari saudara mara dan ibu bapa untuk mendapatkan 10 peratus wang pendahuluan seperti yang diamalkan oleh institusi kewangan pada masa sekarang. Skim ini akan memberikan peluang kepada golongan belia dan siswazah untuk membeli hartanah daripada terus menyewa daripada pihak ketiga. Inisiatif ini juga dilihat dapat melonjak permintaan bagi berbagai projek hartanah yang akan dibangunkan dalam Rancangan Malaysia Ke-10.
Strategi keempat Baget 2011 adalah memperkukuh penyampaian perkhidmatan awam. Penekanan telah diberikan terhadap usaha untuk memudahkan sektor swasta berurusan dengan agensi kerajaan. Sebagai contoh, proses pendaftaran hartanah akan dipendekkan daripada 30 hari kepada sehari sahaja. Pihak kerajaan juga telah mengambil langkah proaktif dengan memansuhkan sistem Penilaian Tahap Kecekapan atau PTK yang akan diganti dengan satu sistem penilaian yang lebih inklusif dan komprehensif, menjelang Jun 2011.
Secara keseluruhannya, Baget 2011 telah menyerlahkan keazaman Perdana Menteri untuk membawa Malaysia ke gerbang negara maju. Beliau dengan jelas telah memperincikan berbagai inisiatif yang perlu diusahakan bagi menarik perhatian pelabur dalam dan luar negara untuk mengambil peluang perniagaan yang terkandung didalam NKEA dan Baget 2011. Pemantapan penyampaian perkhidmatan awam juga jelas sekali menjurus kepada menjadi enabler kepada usaha kerajaan untuk meningkatkan pelaburan FDI dan juga pelaburan ekuiti di dalam negara.

No comments:

Post a Comment

Ads


Followers