Ads Powered By ClixSense


Saturday, December 25, 2010

Saya terima hukuman politik - Saidi

PASIR PUTEH 25 Dis. - Bekas anggota bahagian keselamatan Pas Pasir Puteh, Saidi Husin mendakwa dia sudah menerima 'hukuman politik' berikutan tindakannya mededahkan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas ditangkap khalwat.

Katanya, kejadian keretanya dirempuh kenderaan lain di Kampung Dalam Ru dan diserang oleh orang yang tidak dikenali di rumahnya malam kelmarin mungkin amaran awal supaya dia tidak meneruskan pendedahan berkaitan.

"Orang yang melakukan tindakan sedemikian adalah tidak rasional kerana membelakangi perundangan. Kalau saya membuat fitnah, samanlah di mahkamah dan biarkan pihak berkenaan menghukumnya.

"Saya memang mengesyaki kejadian yang berlaku ini ekoran tindakan saya yang berucap dalam beberapa siri ceramah berkaitan isu berkenaan.

"Tindakan dan hukuman sudah diambil terhadap saya tetapi tidak mengikut undang-undang. Ini tindakan jahiliah, tidak profesional dan sedikit pun tidak mengikut tuntutan Islam," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sungai Gali dekat sini hari ini.

Mingguan Malaysia hari ini melaporkan dakwaan Saidi dia diserang oleh sekumpulan lelaki di rumahnya kira-kira pukul 11.30 malam kelmarin.

Dalam kejadian itu, Saidi yang kini Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Kampung Persekutuan (JKKP) tanpa mukim mendakwa dia tidak mengalami kecederaan namun bajunya terkoyak akibat libasan yang dilakukan tiga lelaki.

Saidi bagaimanapun tidak menamakan mana-mana pihak atau mengaitkan dengan politik dalam aduan polis berkaitan kejadian dia diserang kerana memberi kepercayaan kepada pihak berkuasa untuk meneruskan penyiasatan.

"Saya juga tidak membuat laporan polis apabila kereta saya dirempuh kerana menganggap ia boleh diselesaikan di luar mahkamah. Namun, sehingga hari ini orang yang melanggar kereta saya tidak pun kelihatan ataupun membuat aduan kemalangan di mana-mana balai polis," katanya.

Menurutnya, ekoran paparan laman blog berkaitan pendedahan isu khalwat yang didedahkan itu, menyebabkan dia sentiasa berwaspada untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang tidak dapat diduga sebagaimana yang berlaku sebelum ini.

"Saya tidak pernah menuduh ADUN berkenaan berzina. Ia tidak keluar daripada mulut saya. Apa yang saya dedahkan kepada umum adalah saya pernah menangkap ADUN berkenaan berkhalwat dalam koc VIP kereta api dengan menyatakan nama-nama saksi yang ada bersama.

"Tuduhan berzina itu hanya paparan blog tertentu yang menghangatkan isu berkenaan," katanya.

Beliau dukacita dengan kenyataan ADUN berkenaan yang membuat penafian bahawa orang yang membuat fitnah berzina dosanya sama dengan orang yang berzina.

"Saya tidak membuat fitnah kes zina. Apa yang saya cakap adalah kebenaran yang membabitkan kes khalwat dan menyatakan kes tangkapan itu diserahkan kepada Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk tindakan lanjut.

"Itu sahaja dan saya tahu dosa dan hukuman memfitnah di sisi agama dan undang-undang," katanya.

Tambahnya, pihak tertentu tidak sepatutnya mengaitkan laporan yang disiarkan dalam blog tertentu sebagaimana 'ayat' yang diucapkan dalam ceramah sehingga sanggup melakukan sesuatu di luar batas perundangan terhadap dirinya.

No comments:

Post a Comment

Ads


Followers